Anda di halaman 1dari 3

Teks Pidato

Tajuk : KEPENTINGAN PENDIDIKAN TEKNOLOGI


MAKLUMAT.
Assalamualaikum warahmatullahi wabara katuh,
salam sejahtera,
salam satu Malaysia
Yang saya muliakan tuan peneraju agenda
Yang arif lagi berdiri di pasak kebenaran, para hakim yang budiman
Yang dikasihi tuan-tuan, puan-puan sidang dewan yang dirahmati
sekalian.
Tampilnya saya dalam arena pidato ini untuk memperkatakan tajuk
KEPENTINGAN PENDIDIKAN TEKNOLOGI MAKLUMAT.
Sebelum gelanggang dibuka,
dengar dahulu paluan rebana,
Sebelum kata meningkah bicara,
dengarkan dulu kupasan tajuknya.
Apa itu pendidikan teknologi maklumat? Dan apa itu
pendidikan? Menurut Profesor Dr Sidek Baba dalam bukunya yang
berjudul Pendidikan Rabbani, Pendidikan ialah proses memberikan
asas asuh, pupuk dan bentuk. Para pelajar tidak semata-mata
menerima pengetahuan, maklumat dan ilmu, sebaliknya diasuh
trampil cemerlang dari sudut ilmu, peribadi dan akhlak.
Seterusnya izinkan pula hamba menerangkan apa itu teknologi
maklumat. Teknologi ialah ciptaan baharu hasil inovasi dan sains.
teknologi maklumat ialah ledakan komunikasi baharu dengan
menggunakan peranti input dan output berbantukan komputer.
Asasnya mudah, komputer dan talian. Melalui talian dan komputer,
dunia menjadi sangat kecil. Sekecil hujung jari. Malah jari-jarilah
yang menjadi penghubung dan mahaguru kepada ilmu dan maklumat.   
Dewasa ini, dunia teknologi maklumat sangat cepat, pantas dan
tuntas. Mengakses maklumat tidak lagi memerlukan set komputer
yang besar. Memadai dengan sebuah komputer mini sebesar buku
latihan atau telefon pintar yang boleh digenggam.
Tuan-tuan, puan-puan sidang dewan sekalian.
Klausa KEPENTINGAN PENDIDIKAN TEKNOLOGI
MAKLUMAT bolehlah diertikan sebagai satu usaha asuh, pupuk dan
bentuk yakni mengasuh, memupuk dan membentuk manusia
berbantukan teknologi baharu. Dalam gelanggang pidato ini saya
ingin mengupas bagaimana teknologi maklumat menjadi wahana
penting dalam pendidikan, khususnya untuk pelajar di sekolah.
Melalui teknologi maklumat, para pelajar bukan sahaja boleh
berinteraksi dengan rakan dari serata dunia, malah para pelajar boleh
berinteraksi dan berdiskusi tentang pelajaran. Frog vle misalnya
menyediakan ruang pembelajaran atas talian atau disebut ‘VERTUAL
LEARNING’. Pembelajaran maya ini menyediakan ruang yang luas
untuk para pelajar – guru – ibu bapa berinteraksi antara satu sama
lain. Bahan pembelajaran boleh dimuat turun. Hasil tugasan pula
dimuat naik setelah disiapkan. Dalam tempoh yang singkat murid
boleh mendapatkan maklum balas daripada guru.

Bagaimana pula dengan media sosial yang menjadi kegilaan


sekarang ini. Media sosial seperti facebook, twitter, instagram,
weechat, telegram dan sebagainya boleh dimanfaatkan untuk
pendidikan. Murid-murid, guru-guru bersama ibu bapa boleh
mewujudkan kumpulan-kumpulan perbincangan tersendiri seperti
kumpulan UPSR. Melalui kumpulan ini ahli boleh mengemukakan
apa jua persoalan, kemushkilan berkaitan peperiksaan. Guru-guru
pula boleh member tip-tip berguna untuk diamalkan. Malah melalui
pautan fail, urusan muat naik dan muat turun boleh dilakukan. Dalam
kaedah pembelajaran atas talian kumpulan perbincangan seperti ini
disebut sebagai forum. Antara universiti yang menggunakan kaedah
ini ini ialah Universiti Terbuka Malaysia.
Sidang hadirin sekalian.
Sebagai pelajar yang bakal menduduki peperiksaan, latih tubi
sangat penting. Lebih-lebih lagi latih tubi soalan tahun-tahun lalu dan
latih tubi soalan daripada negeri-negeri lain. Soalan-soalan ini
sebenarnya sangat mudah diperolehi melalui internet. Terdapat
banyak laman sesawang dan blog yang menyediakan kemudahan
mengakses soalan-soalan ini secara percuma. Nah! Apa tunggu lagi.
Sampan sudah di air, pendayung sudah di tangan. Mudiklah ke hilir
atau tongkahlah ke hulu. Ambil peluang memuat turun bahan tersebut.
Jangan lupa disimpan dalam pemacu dan dicetak untuk latihan.
Zaman ini zaman atom. Zaman millennium. Zaman canggih dan
zaman  sibuk. Masa berlalu begitu cepat. Ibu bapa terpaksa
menggadai masa untuk menyara keluarga sehingga terbabas untuk
mengetahui perkembangan sekolah anak-anak. Tidak mengapa. Usah
khawatir. Kementerian Pendidikan Malaysia telah membangunkan
satu sistem yang dinamakan Sistem Analisis peperiksaan Sekolah atau
SAPS.
Sidang dewan yang budiman.
          Berdasarkan hujah dan fakta di atas, jelaslah bahawa
pendidikan teknologi maklumat merupakan satu kaedah pendidikan
yang penting kepada pendidikan Negara. Murid-murid akan lebih
mudah menerima ilmu pengetahuan dan pelajaran dengan
berbantukan teknologi maklumat. Walau bagaimanapun terpulanglah
kepada cara penggunaannya. Justeru gunakanlah teknologi dengan
cara dan tujuan yang betul
          Jalan yang gelap bawalah suluh
          Lihat cahaya buat pedoman
          Pendidikan teknologi maklumat jadi penyuluh
          Tentu kecemerlangan dalam genggaman
Sekian, wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Terima kasih.

Anda mungkin juga menyukai