Anda di halaman 1dari 3

PIDATO SAEBATUL 2 AVEROSE 2023

TEKNOLOGI SEBAGAI ALAT TRANSFORMASI DALAM ERA DIGITAL

Bismillahirrahmanirrahim, Cetusan barakah buat peneraju acara, saf kehakiman


intelektual berkarisma, seterusnya sidang hadirin warga dewan berwibawa.
Assalamualaikum w.b.t. dan salam Malaysia MADANI.

Tampilnya saya dalam arena pidato ini untuk memperkatakan tajuk TEKNOLOGI
SEBAGAI ALAT TRANSFORMASI DALAM ERA DIGITAL

Sebelum gelanggang dibuka,

dengar dahulu paluan rebana,

Sebelum kata meningkah bicara,

dengarkan dulu kupasan tajuknya.

Menurut Profesor Dr Sidek Baba dalam bukunya yang berjudul Pendidikan Rabbani,
Pendidikan ialah proses memberikan asas asuh, pupuk dan bentuk. Para pelajar
tidak semata-mata menerima pengetahuan, maklumat dan ilmu, sebaliknya diasuh
trampil cemerlang dari sudut ilmu, peribadi dan akhlak.

Teknologi ialah ciptaan baharu hasil inovasi dan sains. teknologi maklumat ialah
ledakan komunikasi baharu dengan menggunakan peranti input dan output
berbantukan komputer. Asasnya mudah, komputer dan talian. Melalui talian dan
komputer, dunia menjadi sangat kecil. Sekecil hujung jari. Malah jari-jarilah yang
menjadi penghubung dan mahaguru kepada ilmu dan maklumat. Dewasa ini, dunia
teknologi maklumat sangat cepat, pantas dan tuntas. Mengakses maklumat tidak
lagi memerlukan set komputer yang besar. Memadai dengan sebuah komputer mini
sebesar buku latihan atau telefon pintar yang boleh digenggam.

Tuan-tuan, puan-puan sidang dewan sekalian.

Transformasi Dalam Era Digital bolehlah diertikan sebagai satu usaha asuh, pupuk
dan bentuk yakni mengasuh, memupuk dan membentuk manusia berbantukan
teknologi baharu. Dalam gelanggang pidato ini saya ingin mengupas bagaimana
teknologi maklumat menjadi wahana penting dalam pendidikan, khususnya untuk
pelajar di sekolah.

Melalui trasnformasi ini, para pelajar bukan sahaja boleh berinteraksi dengan rakan
dari serata dunia, malah para pelajar boleh berinteraksi dan berdiskusi tentang
pelajaran. Frog vle misalnya menyediakan ruang pembelajaran atas talian atau
disebut ‘VIRTUAL LEARNING’. Pembelajaran maya ini menyediakan ruang yang
luas untuk para pelajar – guru – ibu bapa berinteraksi antara satu sama lain. Bahan
pembelajaran boleh dimuat turun. Hasil tugasan pula dimuat naik setelah disiapkan.
Dalam tempoh yang singkat murid boleh mendapatkan maklum balas daripada guru.

Dalam usaha memperkukuh pendigitalan sistem pendidikan negara, peruntukan


besar diperlukan bagi menyediakan fasiliti dan infrastruktur berkaitan, termasuk
mendapatkan teknologi terkini untuk diaplikasikan dalam proses pengajaran dan
pembelajaran (PdP).

Perkara ini jelas ditekankan oleh Tokoh Pendidikan Negara, Tan Sri Alimuddin Mohd
Dom, menggesa supaya Kementerian Pendidikan (KPM) wajar diberi lebih banyak
peruntukan tambahan dalam Bajet 2023 agar selari dengan hasrat kerajaan untuk
mentransformasikan pendidikan negara.

Sidang hadirin yang bervisi,

Bagaimana pula dengan media sosial yang menjadi kegilaan sekarang ini? Media
sosial seperti facebook, twitter, instagram, weechat, telegram dan sebagainya boleh
dimanfaatkan untuk pendidikan. Murid-murid, guru-guru bersama ibu bapa boleh
mewujudkan kumpulan-kumpulan perbincangan tersendiri.Melalui kumpulan ini ahli
boleh mengemukakan apa jua persoalan, kemushkilan berkaitan peperiksaan. Guru-
guru pula boleh member tip-tip berguna untuk diamalkan. Malah melalui pautan fail,
urusan muat naik dan muat turun boleh dilakukan. Dalam kaedah pembelajaran atas
talian kumpulan perbincangan seperti ini disebut sebagai forum.
Sidang hadirin sekalian.

Sebagai pelajar yang bakal menduduki peperiksaan, latih tubi sangat penting. Lebih-
lebih lagi latih tubi soalan tahun-tahun lalu dan latih tubi soalan daripada negeri-
negeri lain. Soalan-soalan ini sebenarnya sangat mudah diperolehi melalui internet.
Terdapat banyak laman sesawang dan blog yang menyediakan kemudahan
mengakses soalan-soalan ini secara percuma. Nah! Apa tunggu lagi. Sampan sudah
di air, pendayung sudah di tangan. Mudiklah ke hilir atau tongkahlah ke hulu. Ambil
peluang memuat turun bahan tersebut. Jangan lupa disimpan dalam pemacu dan
dicetak untuk latihan.

Zaman ini zaman atom. Zaman millennium. Zaman canggih dan zaman sibuk. Masa
berlalu begitu cepat. Ibu bapa terpaksa menggadai masa untuk menyara keluarga
sehingga terbabas untuk mengetahui perkembangan sekolah anak-anak. Tidak
mengapa. Usah khawatir. Kementerian Pendidikan Malaysia telah membangunkan
satu sistem yang dinamakan Sistem Analisis peperiksaan Sekolah atau SAPS.

Sidang dewan yang budiman.

Berdasarkan hujah dan fakta di atas, jelaslah bahawa pendidikan teknologi


maklumat merupakan satu kaedah pendidikan yang penting kepada pendidikan
Negara. Murid-murid akan lebih mudah menerima ilmu pengetahuan dan pelajaran
dengan berbantukan teknologi maklumat. Walau bagaimanapun terpulanglah
kepada cara penggunaannya. Justeru gunakanlah teknologi dengan cara dan tujuan
yang betul

Jalan yang gelap bawalah suluh

Lihat cahaya buat pedoman

Pendidikan teknologi maklumat jadi penyuluh

Tentu kecemerlangan dalam genggaman

Sekian, wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Anda mungkin juga menyukai