Anda di halaman 1dari 2

PEMBELAJARAN MAYA SATU KEMUDAHAN

Kerajaan
Pendahuluan

Penggunaan gajet seperti telefon pintar, komputer riba dan tablet menjadi kewajipan bagi segenap
manusia. Evolusi teknologi yang pesat membangun telah banyak merubah cara hidup manusia pada
hari ini. Misalnya, penggunaan surat telah digantikan dengan emel yang hanya menggunakan alam
maya untuk berhubung dan perkhidmatannya adalah percuma. Kemajuan yang dikecapi manusia
pada hari ini menjadi satu bukti bahawa kita hendaklah terus berevolusi untuk memanfaatkan
teknologi. Hal ini kerana tamadun yang maju adalah tamadun yang sentiasa menambah baik
kehidupan mereka khususnya anggota masyarakat agar kita dapat duduk sama rendah dan berdiri
sama tinggi dengan negara maju yang lain. Antara sektor yang perlu meraikan penggunaan teknologi
masa kini dan meninggalkan cara konvensional adalah sektor pendidikan. Maka, wajar untuk kita
bincangkan apakah kelebihan pendidikan secara maya atau pengajaran & pembelajaran
dilaksanakan secara dalam talian?

Isi 1
Pendidikan secara dalam talian dapat membantu guru untuk menyampaikan ilmu dengan cara yang
lebih mudah serta interaktif buat para pelajar. Berbeza dengan pembelajaran secara bersemuka,
pendidikan maya memerlukan guru dan pelajar berinteraksi melalui tablet, komputer atau telefon.
Guru-guru perlu menyediakan bahan pembelajaran secara video dan mengajar melalui webinar atau
panggilan video kepada anak muridnya. Kita akui, cara ini kurang memberikan kepada pelajar
khususnya kanak-kanak yang memerlukan pembelajaran secara bersemuka. Tetapi, guru boleh
menggunakan video interaktif yang terdapat secara percuma di Internet. Pelajar juga boleh mencari
sumber pembelajaran yang lebih banyak berbanding hanya bergantung kepada buku teks. Malah,
terdapat banyak aplikasi seperti quiz yang dapat memudahkan proses pengajaran dan pembelajaran
secara dalam talian untuk guru dan pelajar. Bak kata pepatah Melayu, laut yang ditimba tidak akan
kering. Selagi kita ada kemahuan untuk mencari dan menyampaikan ilmu, pasti ada jalan yang
terbaik untuk kita mengecapi niat murni itu.

Isi 2

Dari sudut pandang yang lain, pendidikan secara maya dapat memberi keselesaan atau suasana
yang kondusif kepada pelajar dan guru. Jika di sekolah, pelajar perlu memakai pakaian seragam yang
bagus untuk mendisiplinkan mereka tetapi apabila di rumah, pelajar tidak perlu untuk berpakaian
seragam dan hanya memakai pakaian mengikut keselesaan mereka. Selain itu, pendidikan secara
maya di rumah membolehkan pelajar untuk fokus dengan lebih baik kerana kurang gangguan
daripada pelajar atau raka sekelas. Tapi realitinya, masih ramai pelajar di luar bandar yang ssukar
untuk mengikuti pendidikan secara maya. Oleh itu, pihak berkuasa hendaklah melakukan tindakan
untuk meningkatkan infrastruktur Internet di seluruh negara agar pendidikan secara maya ini dapat
dinikmati oleh segenap penduduk di Malaysia.

Isi 3

Kelebihan lain pendidikan secara maya adalah ia dapat meningkatkan kemahiran teknologi dalam
kalangan guru dan juga pelajar. Umum mengetahui, pendidikan secara maya memerlukan kemahiran
teknologi pelajar untuk akses masuk ke dalam aplikasi pembelajaran dalam talian. Pelajar perlu
mendapatkan talian Internet yang stabil untuk melalui proses pendidikan maya secara lancar. Di
waktu negara kita menghadapi pandemik COVID-19, kita dapat menyaksikan guru-guru
menggunakan pelbagai kaedah khususnya penggunaan teknologi untuk menyampaikan pengajaran
kepada murid-murid. Situasi ini telah membuatkan warga pendidik untuk berfikir di luar kotak dan
menghasilkan bahan pengajaran yang terbaik menggunakan teknologi yang ada. Intihannya,
pendidikan secara maya dapat meningkatkan kemahiran teknologi dalam kalangan guru serta pelajar
secara langsung atau tidak langsung.
Isi 4

Akhir sekali, kelebihan pendidikan secara dalam talian ialah memudahkan pelajar untuk mengulang
kaji pelajaran. Contohnya, pelajar boleh melihat semula rakaman pengajaran guru sekiranya mereka
tidak memahami atau ingin mengulangkaji pelajaran. Situasi ini adalah satu kelebihan jika
dibandingkan dengan pendidikan secara bersemuka kerana pelajar mungkin berasa malu dan takut
untuk bertanyakan kepada guru. Tambahan pula, pelajar dapat mengakses pelbagai bahan
pembelajaran yang terdapat di Internet untuk mengulang kaji dan tidak bergantung kepada buku teks
sahaja. Pembelajaran yang interaktif ini sedikit sebanyak dapat membuka minda dan ruang kreatif
pelajar dalam mendapatkan ilmu pengetahuan dan menambah kemahiran diri mereka. Natijahnya,
pendidikan secara maya banyak membantu pelajar untuk tidak menjadi seperti katak di bawah
tempurung kerana penggunaan tekcnologi akan menjadi satu perkara penting di masa kini dan akan
datang.

Penutup

Kesimpulannya, pelbagai kelebihan yang diperoleh sekiranya guru atau pelajar melaksanakan
pendidikan secara maya. Seperti yang saya bincangkan, masih terdapat jurang di kawasan luar
bandar yang tidak mampu untuk menikmati pendidikan dalam talian dengan baik. Justeru, kerajaan
hendaklah berganding bahu dengan pembekal perkhidmatan talian Internet untuk memastikan liputan
Internet di Malaysia ditingkatkan dan berada di tahap yang terbaik. Pandemik Covid-19 menjadi satu
bukti bahawa kita perlu bersedia untuk melakukan anjakan paradigma dalam mendepani apa jua
situasi agar pendidikan anak-anak kita terjamin. Seterusnya memastikan generasi akan datang yang
mewarisi barisan kepimpinan negara dapat menjadi lebih baik dan membawa negara yang maju ke
persada dunia.

Anda mungkin juga menyukai