Anda di halaman 1dari 7

https://www.bharian.com.

my/berita/nasional/2020/04/679003/sedia-hadapi-kelas-maya-
sesuai-normal-baharu

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyaksikan operasi pelbagai sektor terjejas dan
diarah tutup, termasuk sekolah serta institusi pengajian tinggi (IPT). Berikutan itu,
proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) di sekolah dikendalikan secara maya
melalui sistem e-pembelajaran. Wartawan BH, Ahmad Naim Tahir dan Ihsan Noorzali
berkongsi pandangan serta pengalaman Pengerusi Persatuan Teknologi Pendidikan
Malaysia (PTPM) merangkap Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Pendidikan, Fakulti
Pembangunan Manusia Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Madya Dr
Mahizer Hamzah dan Penerima Anugerah Guru Cemerlang Kementerian Pendidikan
Malaysia (KPM), Anuar Ahmad mengenai kelebihan serta kekangan e-pembelajaran
yang mungkin dijadikan kebiasaan kehidupan baharu atau ‘new normal’ bagi warga
pendidik dan murid selepas ini.

Prof Madya Dr Mahizer Hamzah

S. Dengan perkembangan teknologi dalam pendidikan terkini, adakah guru dan


murid sekolah di Malaysia bersedia sepenuhnya dengan sistem pembelajaran
dalam talian atau e-pembelajaran?

J. Sebenarnya perkembangan pembelajaran dalam talian di sekolah sudah bermula


apabila KPM memperkenalkan Sekolah Bestari bermula dengan 88 sekolah. Ia
kemudian diperluaskan kepada semua sekolah melalui Pembestarian Sekolah,
seterusnya memperkenalkan penggunaan Persekitaran Pembelajaran Maya Frog dan
sekarang Pelantar Pembelajaran Digital. Sebelum ini, guru menggunakan pembelajaran
dalam talian ini sebagai sokongan kepada pembelajaran konvensional yang dijalankan
dalam bilik darjah di sekolah. Namun, pada peringkat awal penggunaannya, ia amat
terbatas dan tidak semua guru menggunakannya. Kebanyakan guru menjadikan
pelantar pembelajaran dalam talian sebagai repositori untuk murid mendapatkan bahan
pembelajaran dalam bentuk pesembahan ‘power point’ dan nota dalam format PDF.
Namun demikian, pelaksanaan pemantauan penggunaan di setiap sekolah yang
dijalankan oleh KPM telah sedikit sebanyak memberi kesan terhadap peningkatan
pembelajaran dalam talian ini.

DISYORKAN UNTUK ANDA

 e-Pembelajaran sepenuhnya di universiti 2020


 Garis panduan pembukaan sekolah: Institusi pendidikan swasta
 COVID-19: Pendidikan menerusi dunia maya cabaran baharu buat guru
 COVID-19: Anjakan transformasi PdP di IPT
S. Sejak bila penggunaan sistem pembelajaran dalam talian di negara kita
meningkat?

J. Musibah yang melanda negara sedikit sebanyak memberi impak terhadap


penggunaan sistem pembelajaran dalam talian di sekolah. Bermula dengan penutupan
sekolah akibat jerebu yang melanda beberapa negeri di Semenanjung dan terkini,
penularan COVID 19 yang melanda seluruh dunia sudah memperlihatkan peningkatan
mendadak penggunaan pembelajaran dalam talian bagi menggantikan pembelajaran
dalam bilik darjah. Berdasarkan senario ini, boleh disimpulkan bahawa kebanyakan
guru dan murid sudah terdedah dengan pembelajaran dalam talian, namun bagi
memastikan penggunaan secara menyeluruh, beberapa isu pokok yang sering
dibangkitkan, antaranya kemudahan infrastruktur termasuk peralatan mencukupi serta
akses kepada capaian internet perlu diberi perhatian.

S. Pada pandangan Prof, apakah lagi persediaan yang perlu kerajaan melalui KPM
lakukan?

J. Secara peribadi, saya melihat KPM sudah banyak melaksanakan pelbagai inisiatif,
antaranya pembelajaran dalam talian bagi meletakkan sistem pendidikan negara
setanding negara maju. Ini diterjemahkan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan
Malaysia 2013-2025 dengan menjadikan kesamarataan akses kepada pendidikan
berkualiti bertaraf antarabangsa serta memanfaatkan teknologi komunikasi dan
maklumat (ICT) bagi meningkatkan kualiti pembelajaran di Malaysia. Namun, pelan ini
perlu diperkukuhkan dengan mewujudkan satu dasar pembelajaran dalam talian yang
jelas bagi memastikan setiap pihak memainkan peranan masing-masing untuk
memastikan matlamat ini tercapai. Kurikulum yang dibina juga harus disesuaikan
dengan pembelajaran dalam talian, termasuk berpusatkan murid dengan mengambil
kira kandungan pelajaran, pendekatan pembelajaran dan kaedah penilaian yang
berbeza daripada kaedah konvensional. Tidak dinafikan terdapat pelbagai latihan sudah
dianjurkan kementerian, bertujuan mempertingkatkan kemahiran guru membina bahan
pengajaran digital, namun penekanan juga harus diberikan kepada latihan kemahiran,
bagaimana mengendalikan pengajaran dalam talian yang berbeza dengan pengajaran
di bilik darjah dalam situasi yang terpisah di antara guru dan murid. Sistem
persekolahan sedia ada juga akan mengalami perubahan memandangkan kaedah
penjadualan pengajaran guru juga akan mengambil kira waktu persediaan guru
(konvensional dan dalam talian), pengajaran dalam bilik darjah, termasuk amali dan
pengajaran dalam talian.

S. Bagaimana pula persediaan guru dan murid?

J. Seperti yang sudah saya perkatakan sebelum ini, KPM menjalankan pelbagai kursus
bagi menyediakan guru dengan kemahiran menggunakan pelantar pembelajaran digital
serta membina bahan pengajaran. Perkembangan yang positif ini juga dapat dilihat
apabila ramai guru mampu menyediakan bahan pembelajaran digital mereka sendiri
untuk digunakan murid dan dikongsi dengan rakan guru lain. Ini boleh dilihat melalui
kumpulan minat khusus (SIG) yang diwujudkan bagi membantu rakan sekerja oleh guru
yang pakar, antaranya CikgooTube, kumpulan Telegram Google Classroom Malaysia
dan Facebook Guru Perpustakaan dan Media. Namun, tidak dinafikan masih ada
segelintir guru perlukan bimbingan dan diharap peranan yang dimainkan rakan guru
berkemahiran ini serta jurulatih yang sudah dilantik dapat membantu mereka.
Berbanding murid, peralatan mudah alih dan internet bukan sesuatu yang baharu,
malah mereka sudah terdedah dengan pelbagai aplikasi dalam talian yang lebih
interaktif. Oleh itu, tidak sukar untuk mereka menggunakan pelantar pembelajaran
dalam talian dan ini satu cabaran kepada guru dalam menghasilkan bahan
pembelajaran lebih menarik. Bagi murid yang tidak berkemampuan serta tiada akses
internet, guru yang melaksanakan pengajaran dalam talian perlu memikirkan kaedah
alternatif bagi membantu murid terbabit meneruskan pembelajaran.

S. Bagaimana pula dengan kemudahan infrastruktur dan infostruktur bagi tujuan


ini?

J. Kemudahan infrastruktur antara perkara yang sering diperkatakan sepanjang


pelaksanaan pembelajaran dalam talian sebelum ini. KPM juga sudah mengambil
pelbagai langkah bagi memastikan kemudahan di sekolah dipertingkatkan dari semasa
ke semasa, namun masih ada rungutan guru mengenai masalah capaian internet. Oleh
itu, bagi memastikan pembelajaran dalam talian berjalan lancar, kementerian perlu
mengenal pasti pembekal perkhidmatan yang benar-benar berwibawa untuk
menyediakan kemudahan terbabit di seluruh negara. KPM juga sudah beralih kepada
pelantar pembelajaran digital yang baharu bagi menggantikan Persekitaran
Pembelajaran Maya Frog berkuat kuasa Julai 2019. Pelantar baharu membolehkan
guru mengakses Google Classroom, Microsoft Teams, aplikasi latihan dalam talian
serta EduwebTV. Namun, apa sahaja pelantar pembelajaran yang digunakan, ia mesti
menyokong antaranya pelbagai pendekatan pembelajaran, mempunyai ciri-ciri mudah
guna, senang diakses, khidmat sokongan teknikal, penilaian dan pelaporan, boleh
diintegrasi dengan aplikasi lain, keselamatan dan privasi serta serasi mudah alih.
Kemudahan infrastruktur dan infostruktur ini saling memerlukan, kegagalan salah satu
akan menyebabkan proses pembelajaran dalam talian tidak dapat dilaksanakan.

S. Bagaimana memastikan murid benar-benar menggunakan sistem pembelajaran


dalam talian?

J. Pembelajaran dalam talian amat memerlukan disiplin murid yang tinggi serta
sokongan dan dorongan yang kuat daripada guru dan ibu bapa. Antara faktor yang
menyumbang kepada hilang tumpuan murid ialah persekitaran di rumah yang tidak
sesuai untuk pembelajaran, bahan pembelajaran tidak menarik, masalah capaian
internet, kegagalan peralatan teknologi yang digunakan, penjadualan tidak sesuai,
kurang sokongan ibu bapa dan murid yang lemah dalam mata pelajaran. Bagi
meningkatkan perhatian dan kehadiran murid ketika pembelajaran dalam talian, guru
boleh menyediakan bahan pembelajaran yang menarik dan sesuai, sama ada dalam
bentuk video, lembaran kerja, animasi dan sebagainya. Kandungan pelajaran yang
banyak juga boleh dipecah kecil bagi memudahkan murid memproses maklumat dan
mengurangkan masa pembelajaran mereka. Aktiviti permainan dalam talian juga dapat
meningkatkan tumpuan murid dan pemberian ganjaran bagi setiap aktiviti atau soalan
yang dapat dijawab oleh murid boleh meningkatkan motivasi untuk belajar. Guru juga
harus sedia merakam pengajaran yang dilaksanakan secara sinkronus bagi mengelak
murid tercicir. Ibu bapa juga tidak terkecuali memainkan peranan penting dalam
menyokong pembelajaran anak dengan menyediakan kemudahan asas untuk mereka
belajar di rumah seperti talian internet, komputer atau telefon pintar dan ruang
pembelajaran selesa. Di samping kemudahan fizikal, ibu bapa juga perlu bersedia
memainkan peranan sebagai fasilitator serta memberi galakan dan motivasi kepada
anak, mewujudkan jadual pembelajaran yang khusus di rumah juga membantu anak
mengurus aktiviti pembelajaran mereka, sama ada secara dalam talian atau kendiri.

S. Bagaimana mahu menjadikan pembelajaran dalam talian satu budaya atau


amalan di Malaysia?

J. Sesuatu perubahan yang hendak dilakukan bukan boleh berlaku sekelip mata. Ia
memerlukan masa, sokongan dan dorongan yang kuat daripada pelbagai pihak. Setiap
keputusan yang dibuat akan memberi impak besar terhadap sistem pendidikan.
Walaupun pada hakikatnya, pembelajaran dalam talian sudah dilaksanakan oleh
kebanyakan guru, terutama ketika tempoh PKP akibat wabak COVID 19, situasi akan
menjadi amat berbeza apabila keadaan pulih. Guru kembali kepada rutin harian di
sekolah melaksanakan pengajaran secara bersemuka di samping tugas lain. Begitu
juga dengan kehidupan murid dan ibu bapa. Oleh itu, perancangan lebih rapi perlu
dibuat bagi memastikan pembelajaran dalam talian dapat diteruskan. Guru perlu terus
menggunakan pendekatan pengajaran dalam talian bagi menyokong pengajaran di bilik
darjah. Pemantauan berterusan oleh pihak sekolah dan kementerian dapat memastikan
pelantar pembelajaran digital ini terus digunakan guru dan murid. Anugerah khas
galakan kepada guru dan murid yang terampil dalam pembelajaran dalam talian boleh
dipelbagaikan menerusi kategori berbeza dengan menjadikannya satu daripada acara
tahunan, sama ada pada peringkat sekolah, daerah, negeri mahupun kebangsaan. Di
samping pembelajaran dalam talian yang menyokong pembelajaran konvensional, saya
berpandangan sudah tiba masa KPM bergerak ke hadapan dengan melaksanakan
pembelajaran teradun, iaitu gabungan pembelajaran bersemuka dan dalam talian atau
dalam talian sepenuhnya. Ini bertujuan membantu murid yang tercicir akibat terbabit
dalam aktiviti luar sekolah, mengikut keluarga ke luar negara dalam tempoh panjang,
sakit, sudah lama meninggalkan sekolah, mengambil mata pelajaran elektif yang tidak
ditawarkan di sekolah mereka dan murid lemah yang memerlukan masa lebih lama
untuk menguasai pelajaran.

Anuar Ahmad

S. Adakah guru di Malaysia sudah biasa dengan sistem e-pembelajaran sebelum


ini?

J. Pembelajaran dalam talian sebenarnya sudah bermula sebelum PKP lagi. Kita ada
Cikgootube yang dikendalikan sekumpulan guru dari seluruh negara yang berkongsi
bahan pengajaran mereka mengikut subjek melalui YouTube. Ada juga portal MOE-
DL.EDU.MY yang menyediakan pelbagai maklumat yang boleh digunakan secara
percuma. KPM juga menyediakan Program Khidmat Bantu Pengintegrasian Teknologi
dalam Pengajaran dan Pembelajaran Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan
KPM anjuran Digital Classroom. Banyak lagi yang KPM sediakan secara percuma.
Saya antara guru yang terbabit secara aktif dalam program terbabit. Dalam keadaan
tiada pilihan ini, saya berpendapat kaedah ini yang terbaik untuk memastikan sesi
pembelajaran diteruskan menggunakan pelbagai platform dalam talian, lebih-lebih lagi
ketika PKP. E-pembelajaran langkah yang paling selamat agar murid tidak keciciran
dan melakukan aktiviti yang tidak berfaedah. Kaedah ini sangat bagus, apatah lagi
dalam keadaan murid tidak boleh hadir ke sekolah. Murid dan guru hanya perlu
berinteraksi dari rumah dan pengajaran serta pemudahcaraan (PdPc) tetap berjalan
mengikut silibus ditetapkan KPM.

S. Mungkin ada juga kelemahan dan kekangan dalam sistem ini yang boleh
menjejaskan proses PdPc yang berkesan?

J. Kaedah ini juga ada beberapa kekangan, lebih-lebih lagi bagi murid di kampung dan
pedalaman. Hasil dapatan kajian oleh KPM, sebanyak 36.9 peratus murid di seluruh
negara tidak mempunyai sebarang peranti elektronik. Selain itu, kelajuan internet antara
isu utama yang dihadapi murid ketika proses PdPc di rumah selepas PKP
dikuatkuasakan sejak 18 Mac lalu. Hal begini pasti membuatkan objektif pembelajaran
hanya dapat dicapai oleh golongan tertentu. Bagaimana pula untuk golongan yang tidak
mampu? Perkara ini perlu difikirkan jika e-pembelajaran ingin dikekal dan dijadikan
medium utama pembelajaran murid di Malaysia.

S. Lambat laun sistem kelas maya pasti mengambil tempat PdPc konvensional
selaras kemajuan dunia? Apa lagi persediaan dan persiapan yang perlu
dilakukan?

J. Sudah lebih sedekad dunia melangkah alaf baharu, menyaksikan suasana


pembelajaran dan pendidikan di Malaysia juga berubah. Sistem e-pembelajaran
sebenarnya bukan sesuatu yang baharu di Malaysia yang sudah segandingan dengan
negara maju, cuma ia agak kurang popular sebelum ini dan hanya menjadi keperluan
ketika PKP. Daripada kaji selidik KPM, didapati pemilikan peranti eletronik seperti
komputer dan telefon pintar untuk membolehkan PdPc dilaksanakan di rumah agak
terhad. Hanya enam peratus murid mempunyai komputer peribadi, tablet (5.67 peratus),
komputer riba (9 peratus) dan telefon pintar (46 peratus). Untuk memastikan objektif
tercapai dan sampai ke golongan sasaran iaitu murid, KPM perlu meneliti kaedah
terbaik dalam menghadapi kekangan itu. Guru-guru juga perlu menetapkan kaedah
terbaik yang lebih sesuai untuk diguna pakai dalam memastikan proses pembelajaran
diteruskan dan dapat dicapai dengan baik oleh golongan sasaran.

S. Daripada pengalaman peribadi, bagaimana maklum balas dan sikap murid


terhadap sistem ini?
J. Teori e-pembelajaran berpendapat bahawa murid dapat mengawal pembelajaran
mereka dengan lebih baik melalui peluang pembelajaran secara kolaboratif, interaktif
dan persendirian. E-pembelajaran menyediakan persekitaran pembelajaran
berdasarkan prinsip ‘-just-intime’, dengan kompetensi ‘anywhere, anytime, anyone’.
Sistem e-pembelajaran ibarat satu suasana pembelajaran berdimensi baharu. Rata-rata
murid berasa seronok dan mereka memang suka suasana pembelajaran sebegini
berbanding belajar di dalam kelas yang mereka anggap terbatas dan terkurung. Mereka
sangat gembira lebih-lebih lagi berpeluang mengambil bahagian secara aktif dalam
perbincangan dan aktiviti dalam talian.

S. Apa pula peranan ibu bapa supaya sistem ini benar-benar berkesan?

J. Perkara penting yang ibu bapa perlu fahami dalam e-pembelajaran ini ialah guru
hanya membantu murid dan berfungsi sebagai pemudah cara. Ibu bapa perlu rajin dan
bijak menyediakan proses pembelajaran untuk anak di rumah. Proses e-pembelajaran
bukan sahaja mengubah peranan guru, bahkan mengubah peranan ibu bapa di rumah,
lebih-lebih lagi peranan ibu bapa yang anaknya masih di Tahun Satu hingga Tahun
Tiga. Murid ini pasti tidak mampu melakukan tugasan dalam talian dengan kendiri. Ibu
bapa perlu membantu dan memantau aktiviti anak. Maka ini akan menjadi cabaran
baharu kepada ibu bapa untuk mewujudkan suasana pembelajaran di rumah.

S. Jika mahu jadikan PdPc e-pembelajaran sebagai budaya atau amalan di negara
kita, apa perlu dilakukan?

J. Secara fizikal, masalah kemudahan seperti internet dan pemilikan peranti elektronik
seperti komputer untuk setiap murid perlu diatasi terlebih dahulu. Namun begitu, e-
pembelajaran juga memberi cabaran yang baharu kepada pendidik dan pelajar.
Cabaran kepada pendidik adalah untuk menyediakan ruang e-pembelajaran bagi
menjayakan transformasi pengalaman pembelajaran dari persekitaran sebenar kepada
persekitaran pembelajaran secara maya. Cabaran kepada murid pula, mereka harus
lebih berdisiplin dan bersedia untuk belajar secara kendiri, perlu lebih
bertanggungjawab terhadap pengalaman pembelajaran mereka sendiri.
Keseluruhannya, murid perlu menghadiri program secara konsisten, beri tumpuan
semasa belajar dan memberi komitmen sepenuhnya. Jika murid sendiri tidak komited,
maka e-pembelajaran akan gagal meningkatkan kualiti pembelajaran murid itu sendiri.

S. Kaedah kelas maya ini juga secara tidak langsung menafikan tuduhan guru
goyang kaki sepanjang PKP. Dalam carian untuk frasa Google Classroom baru-baru
ini, Malaysia berada tangga kedua di dunia. Ini fakta, statistik yang membuktikan usaha
sebenar guru di Malaysia yang ramai tidak tahu dan sudah pasti tidak nampak. Untuk
makluman semua, Google Classroom adalah perisian pengajaran dan pembelajaran
dalam talian dikendalikan oleh Google yang menjadi platform digunakan KPM.
Pendekatan ini sudah digunakan oleh guru di Malaysia dalam e-pembelajaran ketika
PKP. Tahniah, sekalung penghargaan dan terima kasih kepada semua warga pendidik
Malaysia. Meskipun ditohmah dengan pelbagai kata kurang manis, tapi guru di
Malaysia terus tabah dan gigih menghadapi pelbagai cabaran. Mereka terus mendidik
anak-anak Malaysia tanpa jemu, mereka juga antara ‘petugas barisan hadapan’ yang
tidak didendang. Tahniah rakan guru. Seperti yang tertulis dalam lirik lagu ‘Kami Guru
Malaysia’, amanah yang diberi kami tak persiakan, apa yang kami janji tunai tetap kami
tunaikan.

Anda mungkin juga menyukai