Anda di halaman 1dari 3

KEPENTINGAN PENDIDIKAN TEKNOLOGI MAKLUMAT

Bismillahirrahmanirrahim,
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,
Salam sejahtera dan Salam Malaysia Madani,
Sejambak kasih seharum kasturi buat peneraju agenda,
Barisan hakim yang arif lagi berdiri di pasak kebenaran
Rakan-rakan dan hadirin yang dirahmati sekalian.

Tampilnya saya dalam arena pidato ini untuk menyampaikan pidato saya yang
bertajuk KEPENTINGAN PENDIDIKAN TEKNOLOGI MAKLUMAT.

Sebelum gelanggang dibuka,


Dengar dahulu paluan rebana,
Sebelum kata meningkah bicara,
Dengarkan dulu kupasan tajuknya.

Apa itu pendidikan teknologi maklumat? Dan apa itu pendidikan? Menurut Profesor
Dr Sidek Baba dalam bukunya yang berjudul Pendidikan Rabbani, pendidikan ialah
proses memberikan asas asuh, pupuk dan bentuk. Para pelajar tidak semata-mata
menerima pengetahuan, maklumat dan ilmu, sebaliknya diasuh trampil cemerlang dari
sudut ilmu, peribadi dan akhlak.

Seterusnya, izinkan pula saya menerangkan apa itu teknologi maklumat. Teknologi
ialah ciptaan baharu hasil inovasi dan sains. Teknologi maklumat ialah ledakan
komunikasi baharu dengan menggunakan peranti input dan output berbantukan
komputer. Asasnya mudah, komputer dan talian. Melalui talian dan komputer, dunia
menjadi sangat kecil. Sekecil hujung jari. Malah jari-jarilah yang menjadi
penghubung dan mahaguru kepada ilmu dan maklumat.

Dewasa ini, dunia teknologi maklumat sangat cepat, pantas dan tuntas. Mengakses
maklumat tidak lagi memerlukan set komputer yang besar. Memadai dengan sebuah
komputer mini sebesar buku latihan atau telefon pintar yang boleh digenggam.
Hadirin sekalian.

Klausa KEPENTINGAN PENDIDIKAN TEKNOLOGI MAKLUMAT bolehlah diertikan


sebagai satu usaha asuh, pupuk dan bentuk yakni mengasuh, memupuk dan
membentuk manusia berbantukan teknologi baharu. Dalam gelanggang pidato ini,
saya ingin mengupas bagaimana teknologi maklumat menjadi wahana penting dalam
pendidikan, khususnya untuk pelajar di sekolah.

Melalui teknologi maklumat, para pelajar bukan sahaja boleh berinteraksi dengan
rakan dari serata dunia, malah para pelajar boleh berinteraksi dan berdiskusi
tentang pelajaran. Frog V.L.E misalnya menyediakan ruang pembelajaran atas talian
atau disebut ‘VIRTUAL LEARNING’. Pembelajaran maya ini menyediakan ruang yang
luas untuk para pelajar – guru – ibu bapa berinteraksi antara satu sama lain.

Bagaimana pula dengan media sosial yang menjadi kegilaan sekarang ini? Media sosial
seperti facebook, twitter, instagram, telegram, tiktok dan sebagainya boleh
dimanfaatkan untuk pendidikan. Murid-murid, guru-guru bersama ibu bapa boleh
mewujudkan kumpulan perbincangan tersendiri.

Sidang hadirin sekalian.

Sebagai pelajar yang bakal menduduki peperiksaan, latih tubi sangat penting. Lebih-
lebih lagi latih tubi soalan tahun-tahun lalu dan latih tubi soalan daripada negeri-
negeri lain. Soalan-soalan ini sebenarnya sangat mudah diperolehi melalui internet.
Terdapat banyak laman sesawang dan blog yang menyediakan kemudahan mengakses
soalan-soalan ini secara percuma. Nah! Apa tunggu lagi. Sampan sudah di air,
pendayung sudah di tangan. Mudiklah ke hilir atau tongkahlah ke hulu. Ambil peluang
memuat turun bahan tersebut. Jangan lupa disimpan dalam pemacu dan dicetak
untuk latihan.
Zaman ini zaman atom. Zaman millennium. Zaman canggih dan zaman sibuk. Masa
berlalu begitu cepat. Ibu bapa terpaksa menggadai masa untuk menyara keluarga
sehingga terbabas untuk mengetahui perkembangan sekolah anak-anak. Tidak
mengapa. Usah khawatir. Kementerian Pendidikan Malaysia telah membangunkan
beberapa sistem, misalnya seperti Sistem Analisis peperiksaan Sekolah yang
dikenali sebagai SAPS dan Sistem i.d. Me. Aplikasi ini boleh dilayari oleh ibu bapa
untuk mengetahui tahap perkembangan dan pembelajaran anak-anak di sekolah.

Hadirin yang budiman,

Berdasarkan hujah dan fakta di atas, jelaslah bahawa pendidikan teknologi


maklumat merupakan satu kaedah pendidikan yang penting kepada pendidikan
negara. Murid-murid akan lebih mudah menerima ilmu pengetahuan dan pelajaran
dengan berbantukan teknologi maklumat. Walau bagaimanapun, terpulanglah kepada
cara penggunaannya. Justeru, gunakanlah teknologi dengan cara dan tujuan yang
betul.

Jalan yang gelap bawalah suluh


Lihat cahaya buat pedoman
Pendidikan teknologi maklumat jadi penyuluh
Tentu kecemerlangan dalam genggaman

Sekian, wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Anda mungkin juga menyukai