Anda di halaman 1dari 3

Manfaat Teknologi Maklumat dan Komunikasi dalam Dunia Pendidikan

Assalamualaikum wbt dan salam sejahtera. Salam perpaduan bertatahkan intan


kemesraan saya ucapkan kepada pengerusi majlis, barisan panel hakim nan bijak
bestari, penjaga masa yang setia dengan detik waktunya, kerabat seangkatan yang
petah berhujah, dan seterusnya kulasentana dewan yang ceria di hati tinggi pekerti.
Tampilnya saya di arena ini untuk menyampaikan pidato yang bertajuk ‘Manfaat
Teknologi Maklumat dan Komunikasi dalam Dunia Pendidikan’. Sebuah tajuk
yang amat ringkas tetapi menarik untuk dikupas dan dikongsi bersama.
Sebelum gelanggang dibuka,
Dengar dahulu palun rebana,
Sebelum kata meningkah bicara,
Dengarkan dahulu kupasan tajuknya.
Menurut Kamus Dewan Edisi Ke-4, manfaat ialah sesuatu yang mendatangkan
kebaikan, manakala teknologi maklumat dan komunikasi didefinisikan sebagai
teknologi yang berkaitan dengan pemerolehan, penyimpanan, pemprosesan dan
penyebaran maklumat melalui penggunaan komputer dan telekomunikasi. James
Alan Senn (1998), seorang pakar komputer menyatakan bahawa teknologi
maklumat dan komunikasi mengandungi tiga komponen iaitu komputer,
komunikasi dan tahu guna. Gabungan ketiga-tiga komponen ini mencipta peluang
kepada manusia dan organisasi untuk lebih produktif, berkesan dan berjaya.
Persoalannya, bagaimanakah teknologi maklumat dan komunikasi dapat memberi
manfaat dalam dunia pendidikan?
Kulasentana dewan yang saya muliakan,
Indikator saya yang pertama adalah teknologi maklumat sebagai pengakses
maklumat yang efisien. Efisien membawa maksud mampu mengerjakan sesuatu
tugas dengan tepat dan cermat tanpa pembaziran waktu, tenaga atau belanja. Masa
itu emas. Pada zaman di mana masa merupakan segala-galanya, kita sentiasa
mencari inisiatif yang paling pantas bagi menyiapkan sesuatu kerja. Begitu juga
dengan mencari ilmu pengetahuan. Dalam hal ini, teknologi maklumat berjaya
membawa pembaharuan dalam kehidupan manusia dengan menjimatkan masa
yang diperlukan bagi mengakses sesuatu maklumat. Misalnya, hanya beberapa saat
yang diambil oleh ejen carian untuk memaparkan beribu-ribu atau berjuta-juta
maklumat berkaitan kata kunci yang ditaip jika dibandingkan dengan masa yang
entah berapa lama yang akan diambil bagi mendapatkan jumlah maklumat yang
sama daripada buku-buku. Apabila terdapat kemudahan seperti ini, maka dengan
sendirinya seseorang akan berminat mencari maklumat kerana semua yang mereka
mahu boleh didapati dengan hanya satu klik sahaja.
Kulanwangsa dewan penggerak wawasan,
Indikator saya yang kedua, sudah terang lagi bersuluh teknologi maklumat
berfungsi sebagai alat pembelajaran dan pengajaran yang kondusif. Kondusif
membawa maksud sesuai ataupun sesuatu yang baik untuk membantu mencapai
serta mendorong menghasilkan sesuatu. Kajian menunjukkan bahawa
behaviourisme manusia meningkat apabila maklumat dalam bentuk grafik
digunakan berbanding maklumat yang terdiri daripada tulisan secara 100%. Ini
adalah kerana grafik dapat merangsang minda dengan lebih efektif. Atas sebab
inilah Kementerian Pendidikan Malaysia telah membelanjakan berjuta-juta ringgit
bagi menghasilkan CD-ROM untuk digunakan pada waku pengajaran dan
pembelajaran di sekolah. CD-ROM ini ternyata lebih berkesan kerana murid-murid
memahami sesuatu topik yang diajar dengan lebih mendalam. CD-ROM berjaya
mewujudkan suasana pembelajaran yang menyeronokkan serta membantu guru-
guru mengendalikan proses pengajaran dan pembelajaran mereka dengan lebih
menarik. Kesannya, pelajar lebih bersemangat untuk belajar dan sikap ini
dipercayai dapat meningkatkan tahap intelek mereka dan sedar atau tidak budaya
ilmu dapat dipupuk.
Kulasentana dewan yang saya hormati,
Indikator saya yang ketiga adalah teknologi malumat sebagai wahana mewujudkan
masyarakat yang berpengetahuan tinggi. Pembelajaran merupakn proses sepanjang
hayat. Ungkapan ini bukanlah sesuatu yang mustahil dengan adanya teknologi
maklmuat sebagai medan pengajian masa kini. Trdapat kes di mana seorang pesara
guru yang berusia 76 tahun yang telah menyambung pengajiannya semata-mata
kerana beliau mahu menambah ilmu yang sedia ada. Beliau bukan sekadar
menggunakan internet untuk berkongsi maklumat dan penyelidikan tetapi juga
mengambil kursus tanpa perlu melangkah kaki kedalam bilik kuliah. Seiring
dengan hasrat kerajaan menjadikan Malaysia sebuah negara yang maju menjelang
tahun 2020,semestinya rakyat Malaysia yang patriotik harus memajukan diri
mereka sebagai golongon inteligensia tanpa mengira batasan umur atau generasi.
Bak kata pepatah, tua-tua kelapa makin tua makin pekat santannya, tua-tu manusia
makin tua makin geliga otaknya. Dengan adanya teknologi maklumat sebagai
pemangkin peningkatan maklumat, pasti kita tidak akan mempunyai sebarang
kekangan bagi memajukan nusa kita yang tercinta.
Kulawarga dewan peneraju warisan bangsa,
Indikator saya yang terakhir, teknologi maklumat sebaga pelangkau batasan
kemahiran manusia. Pada tahun 1825, Louis Braillle telah mencipta tulisan Braille
bagi membantu golongan cacat penglihatan membaca dan menulis. Tetapi dengan
adanya speech synthesizer atau lafaz buatan iaitu sebuah program text-to-speech,
orang dengan gangguan visual dapat mendengar karya tulis computer. Alat ini
boleh digunakan bersama perisian perkakasan. Ini seterusnya membolehkan
golongan istemewa yang cerdik pandai menggunakan kepakaran yang ada bagi
memajukan diri mereka. Misalnya ahli fizik teori yang terkemuka di dnia, Stephen
Hawking iaitu Profesor Lucas untuk Matematik di Universiti Cambridge
menggunakan teknologi ini. Walaupun mengalami ketakupayaan yang kekal dan
kebelakangan ini, kelumpuhan dari leher ke bawah yang diakibatkan oleh penyakit
neuron motor, Hawking telah lama mencpai kerjaya yang menakjubkan dan kini
merupakan salah seorang ahli akademik yang termasyur. Ini membuktikan bahawa
teknologi maklumat dapat meningkatkan kualiti kehidupan manusia dengan
membantu mereka menggunakan ilmu yang sedia ada.
Warga dewan yang dikasihi,
Setiap yang bermula pasti akan berakhir, sebelum lidah berhenti bicara, sebelum
kaki mengatur langkah, ingatlah bahawa teknologi maklumat sememangnya telah
membuka dimensi yang baru dalam bidang ilmu bak air laut yang tidak pernah
kering. Dalam dunia yang kompetitif ini, semua individu berlumba-lumba bagi
melengkapkan diri mereka dengan ilmu. Teknologi maklumat telah memainkan
peranan yang amat besar dalam hal ini dan merupakan wahana yang utama dalam
menyumbang ilmu kepada penduduk sejaga. Diharapkan semua pihak dapat
memanfaatkan anugerah yang tidak ternilai ini dengan sebaik-baiknya. Sebelum
saya mengundurkan diri, izinkan saya melafazkan serangkap pantun yang berbunyi
Sebidang kain alas berjamu,
Merah bata kainnya kasa,
Orang lain menambah ilmu,
Ilmu banyak di alam maya.
Sekian, wabillahhil taufiq walhidayah wassalamualaikum wbt

Anda mungkin juga menyukai