Anda di halaman 1dari 10

CONTOH FORUM BERTAJUK (Pengaruh perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi dalam

pendidikan

FORUM 6

Tajuk : Pengaruh perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi dalam

pendidikan

Ahli Moderator = Nur Adja

Ahli Panel 1 = Syami Bin Abu Noh

Ahli Panel 2 = Shami Aufa

Ahli Panel 3 =Parameswary

Pengetua = Minisah & Ain Husna

Bismillahhirrohmanirrahim..Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Syukur kepada Ilahi, kerana dengan izin-Nya, dapat kita bersua kali ini di dalam satu forum ilmiah, bagi
membincangkan berkenaan salah satu isu yang berlaku di dalam bidang penididikan pada masa kini.
Sebelum itu saya ingin mengalukan kehadiran tuan puan pada majlis kita pada hari ini. Semoga kita
semua akan memperoleh manfaat yang berguna daripada forum ini. InsyaAllah.

Tajuk forum kita pada hari ini berkisar mengenai isu dan cabaran pendidikan semasa, yang berfokuskan
kepada pengaruh perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi dalam pendidikan. Sebagai
pembuka bicara, izinkan saya menyampaikan serangkap pantun.

Pergi ke Ipoh membawa ketupat,

Membawa bersama keropok roka,

Teknologi maklumat banyak manfaat,

Mari bincangkan buruk baiknya.

Tanpa melengahkan masa lagi saya ingin memperkenalkan 6 orang ahli panel yang tidak asing lagi.
Seterusnya ahli panel kedua, segak dan tampan, saudara Syami. Saudara Syami merupakan Pengarah
Pelajaran Negeri Selangor. Beliau telah berkhidmat di Jabatan Pelajaran Negeri selama 5 tahun. Selamat
datang kami ucapkan.

Dan di hujung sana, orang lama dalam bidang pendidikan, guru veteran yang telah berkhidmat selama
20 tahun di dalam bidang pendidikan. Selamat datang kami ucapkan kepada saudara Tuan Haji Simi Zul.

Baiklah sebelum kita pergi dengan lebih jauh, izinkan saya menerangkan terlebih dahulu berkaitan tajuk
forum kita pada hari ini. Seperti yang kita semua tahu, kita telah pun memasuki era globalisai moden di
mana, teknologi maklumat dan komunikasi telah pun berkembang dengan sangat pesat. ‘Maklumat di
hujung jari’ merupakan frasa yang sangat popular bagi menggambarkan situasi ini. Kemajuan teknologi
maklumat ini juga turut mempengaruhi bidang pendidikan. Jadi pada hari ini kita akan membincangkan
sejauh manakah pengaruh kemajuan teknologi maklumat dan komunikasi di dalam bidang pendidikan
dan apakah kesannya kepada pendidikan negara kita.

Jadi, sebagai pembuka forum kita pada kali ini, saya ingin bertanyakan soalan kepada guru pakat it kita,
saudara Safran. Baik cikgu, apakah yang sebenarnya yang dimaksudkan dengan teknologi maklumat dan
komunikasi ini?

Panel Pertama:

Terima kasih kepada moderator, saudara Ridzuan di atas soalan yang diajukan. Assalamualaikum dan
salam bahagia saya ucapkan kepada semua hadirin dan hadirat yang saya hormati. Terima kasih kerana
sudi meluangkan masa untuk hadir dan turut serta dalam forum kita pada pagi yang mulia ini.

Berbalik kepada soalan tadi, sebenarnya Teknologi Maklumat dan Komunikasi mempunyai pelbagai
takrifan yang bersifat global. Sebelum saya lanjutkan lagi penerangan saya eloklah kiranya kita melihat
satu per satu definisi teknologi, maklumat dan komunikasi.
Definisi Teknologi menurut Kamus Besar Bahasa Indonesia (1990 : 1158), Teknologi adalah ; 1) Metode
ilmiah untuk mencapai tujuan praktis ilmu pengetahuan terapan 2) Keseluruhan sarana untuk
menyediakan barang- barang yang diperlukan bagi kelangsungan dan kenyamanan hidup manusia.

Menurut Rogers (dalam Seels, Richey, 1994 : 12) pula, teknologi adalah suatu rancangan langkah
instrumental untuk memperkecil keraguan mengenai hubungan sebab akibat dalam mencapai hasil yang
diharapkan.

Menurut Iskandar Alisyahbana seperti dikutip Yusufhadi Miarso (2007 : 131), teknologi adalah cara
melakukan sesuatu untuk memenuhi kebutuhan manusia dengan bantuan alat dan akal, sehingga
seakan-akan memperpanjang, memperkuat, atau mebuat lebih ampuh anggota tubuh, pancaindra, dan
otak manusia.

Namun, takrifan teknologi yang diguna pakai di sekolah-sekolah dan institusi-insitusi pengajian tinggi di
Malaysia ialah aplikasi pengetahuan sains yang boleh memanfaatkan serta menyelesaikan masalah
manusia yang dihadapi dalam kehidupan seharian.

Seterusnya adalah maklumat. Maklumat merupakan cetusan idea, pendapat pengertian, fakta atau
pengetahuan baru yang dikemukakan untuk kegunaan pengguna semua. Maklumat juga merujuk
kepada sebarang data yang telah dimanipulasikan oleh komputer yang boleh disimpan, dikongsi dan
boleh dicapai pada bila-bila masa dan di mana jua.

Komunikasi pula ditakrifkan sebagai komunikasi dapat ditakrifkan sebagai perhubungan (secara langsung
atau dgn perantaraan surat, radio, telefon, dll); ~ massa komunikasi atau perhubungan dgn atau yg
sampai kpd orang ramai amnya; berkomunikasi berhubungan (secara langsung atau dgn perantaraan
surat, radio, telefon, dll), mengadakan perhubungan (bercakap, berbincang, bertukar-tukar pendapat,
dll). Takrifan ini adalah menurut Kamus Dewan Edisi Empat. Secara ringkasnya komunikasi adalah proses
bertukar-tukar maklumat dengan menggunakan peranti dan perkhidmatan komunikasi seperti internet,
e-mel, telesidang video, dan telefon.

Berdasarkan definisi-definisi yang sayang terangkan tadi, teknologi maklumat dan komunikasi-TMK
(ICT_Information and Communication Technology) boleh didefinisikan sebagai satu set ilmu teknologi
yang merangkumi alat dan sumber untuk membina, menyebar, menyimpan, membawa nilai tertentu,
dan menguruskan maklumat. Teknologi ini mampu merapatkan jurang penyebaran ilmu antara yang
kaya dengan yang miskin, yang berpendidikan dengan yang tidak berpendidikan, antara yang di bandar
dan di luar bandar, dan di antara golongan wanita dan lelaki.
Pengerusi :

Terima kasih panel pertama kita. Pendefinisian yang sangat padat dan jelas. Hadirin sekalian,
sememangnya kita akui penggunaan alat-alat teknologi maklumat dan penggunan internet banyak
membantu dalam kehidupan seharian kita. Malahan penggunaannya sudah dianggap sebagai satu
keperluan bagi sesetengah pihak terutamanya masyarakat bandar. Persoalan saya kepada Encik Khairul,
adakah dasar pendidikan negara kita seiring ataupun menyokong pengaruh penggunaan teknologi
maklumat dan komunikasi dalam pendidikan, dan apakah contoh penggunaannya di dalam bidang
pendidikan masa kini.

Panel Kedua:

Terima kasih tuan moderator. Pertamanya terima kasih kerana menjemput saya bagi berkongsi
maklumat berkaitan forum kita pada hari ini.

Berbalik kepada soalan tadi.untuk makluman, kerajaan Malaysia melalui Rancangan Malaysia Ke-9
(2006-2010) telah menyatakan bahawa prasarana ICT yang mencukupi akan diagihkan kepada semua
institusi pendidikan di negara ini termasuklah pelaksanaan kurikulum ICT dalam pembelajaran,
pengintegrasian ICT dalam pengajaran dan pembelajaran, menaik taraf pengetahuan dan kemahiran ICT,
pengaplikasian ICT dalambsistem pengurusan sekolah serta memperbaiki kemudahan dan kelengkapan
ICT daribsemasa ke semasa.

Ianya turut dinyatakan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2001-2010) dimana
pembangunan ICT dalam pendidikan akan dilaksanakan dengan tujuan utamanya adalah untuk
mempertingkatkan pembangunan infrastruktur ICT selain daripada meluaskan akses dan ekuiti
kelengkapan ICT, mewujudkan kurikulum berasaskan ICT (ICT-based), meningkatkan sistem penilaian
menggunakan ICT, menggalakkan integrasi ICT dalam pengajaran dan pembelajaran, meningkatkan
pengetahuan dan kemahiran ICT di kalangan pelajar, guru-guru dan staf-staf lain, mengaplikasi ICT
dalam sistem pengurusan, memperbaiki kemudahan dan kelengkapan ICT, mempertingkat usaha dalam
kajian dan pembangunan ICT, serta usahasama antara institusi pendidikan dan komuniti sosial haruslah
diterapkan bagi menggalakkan penggunaan ICT dalam pendidikan.

Menurut Yuen, Law, & Wong (2003), sejak beberapa dekad lalu, peningkatan positif dalam penggunaan
dan pengintegrasian Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) telah memberikan impak yang besar
kepada kehidupan masyarakat dan aktiviti seharian mereka. Maka, tidak mustahil jika terdapatnya
peningkatan pada minat, tumpuan serta pelaburan yang besar dilaburkan untuk pengintegrasian ICT
dalam pendidikan di seluruh dunia. Beberapa ‘masterplans’ untuk mengintegrasikan ICT dalam
pendidikan telah dilaksanakan di beberapa buah negara (Pelgrum dan Anderson, 1999). Antara objektif
yang ingin dicapai dalam perancangan ini termasuklah membentuk kebolehan pelajar dalam
menyelesaikan masalah, memahami konsep ‘self-learning’,menganalisis maklumat yang dicari dan
berfikir secara kritis.

Penggunaan dan pengaplikasian ICT dalam konteks pendidikan di Malaysia adalah faktor utama yang
menyumbang kepada cabang ilmu baru dalam era informasi kini (Salbiah, n.d). Dalam sistem pendidikan
di Malaysia, ICT membantu dari aspek pembelajaran dan pengajaran serta sistem pengurusan di
sekolah. Oleh yang demikian, Kementerian Pendidikan Malaysia telah membentuk tiga polisi utama
dalam pendidikan iaitu: kemudahan ICT disediakan kepada semua pelajar sebagai langkah untuk
mengurangkan jurang digital antara sekolah, ICT dalam pendidikan sebagai medium bantuan pengajaran
dan pembelajaran, menjadikan ICT sebahagian daripada matapelajaran di sekolah serta menggunakan
kemudahan ICT untuk meningkatkan produktiviti dan keberkesanan dalam sistem pengurusan sekolah.

Pengerusi :

Terima kasih kepada panel kedua kita. Berdasarkan penerangan tadi, dapat kita lihat di sini bahawa
penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi telah pun digunakan dan diterapkan di dalam
pendidikan negara kita. Pada pandangan Cikgu Zul, sebagai orang lama di dalam bidang pendidikan,
apakah penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi ini akan memberikan faedah atau kesan yang
positif kepada bidang pendidikan? Atau ianya lebih mendatangkan kesan negative berbanding kesan
yang positif?

Panel Ketiga :

Terima kasih kepada moderator, terima kasih juga kerana telah memberi kesempatan kepada saya
untuk bersama-sama dalam forum ini. Berbalik kepada soalan yang ditujukan kepada saya. Sepertimana
yang kita sedia maklum pada masa kini, perkembangan pesat dalam bidang teknologi telah membawa
kebaikan kepada pelbagai sektor, terutamanya sektor pendidikan. Walau bagaimanapun, ada
sesetengah pihak yang berpendapat bahawa teknologi juga membawa kesan yang buruk kepada sektor
pendidikan. Isu ini juga merupakan isu yang hangat diperbincangkan pada masa kini. Pada pandangan
saya sebagai guru lama yang berada dalam bidang pendidikan ini, penggunaan teknologi maklumat
dapat meningkatkan keberkesanan dalam penyampaian ilmu kepada pelajar dan kedua, menjimatkan
kos.

Penggunaan teknologi dalam pendidikan sememangnya boleh mendapat perhatian daripada pelajar dan
memudahkan mereka menyerap ilmu yang disampaikan oleh seseorang pengajar. Pada masa kini, boleh
dikatakan peralatan teknologi seperti komputer telah menjadi sebahagian daripada kehidupan generasi
muda. Oleh itu, penggunaannya dalam bidang pendidikan dapat menjamin hasil yang memuaskan. Hal
ini kerana penyampaian dapat dipersembahkan dalam bentuk visual yang menarik, animasi, 3D dengan
suara yang dapat menarik perhatian pelajar terutamanya pelajar sekolah rendah. Ia juga dapat
meringankan beban pelajar yang terpaksa mengalas beg yang penuh dengan buku ke sekolah sekiranya
dapat digantikan dengan hanya beberapa keping CD-ROM pada masa hadapan.

Penggunaan teknologi dalam pendidikan juga dapat menjimatkan masa pelajar dan memupuk sikap suka
membaca dalam kalangan pelajar. Dengan adanya teknologi, apa-apa maklumat dapat diperoleh dengan
mudah hanya dengan satu klik pada tetikus. Berbanding dengan pelajar pada masa lalu yang terpaksa
mencari maklumat dengan cara manual dan bahan bercetak hanyalah satu-satunya harapan untuk
mereka memperoleh maklumat yang diingini, pelajar sekarang mempunyai kelebihan dengan adanya
kemudahan internet. Hal ini kerana selain daripada bahan bercetak, pelajar juga dapat memperoleh
maklumat yang diingini melalui internet dengan cepat. Penggunaan media elektronik juga dapat
meningkatkan minat membaca dalam kalangan pelajar. Sebagai bukti, untuk membolehkan kita
mengikuti perkembangan semasa dan menimba ilmu pengetahuan melalui internet, kita perlu
membaca. Segala maklumat yang dipaparkan melalui laman web adalah dalam bentuk tulisan dan untuk
mengetahui maklumat tersebut, kita perlu mahir membaca. Secara tidak langsung, ia dapat memupuk
sikap membaca dalam kalangan mereka.

Dengan adanya teknologi yang canggih, segala tugas dapat dilaksanakan dengan cepat dan betul.
Sebagai contoh, proses mencari maklumat, menyelesaikan tugasan yang diberi oleh pengajar dan lain-
lain lagi. Memang tidak dapat dinafikan bahawa ini merupakan kebaikan daripada perkembangan
teknologi. Adanya teknologi multimedia menjadi semakin menarik kerana teknologi ini baru
diperkenalkan pada tahun 1990-an walaupun sebelumnya sistem CAL (Computer Aided Learning) dan
hiperteks masih terbatas dalam media yang terpisah-pisah belum digabungkan seperti multimedia yang
memiliki makna gabungan pelbagai media; teks, suara imej, animasi dan video dalam satu perisian
(Jacobs, 1992).

Apabila semakin banyak teknologi diperkenalkan dalam bidang pendidikan, pendidikan jarak jauh
menyediakan satu cara untuk menyebarkan maklumat dan pengetahuan secara global. Kini, pelbagai
pengetahuan terkini dapat disalurkan melalui internet. Internet merupakan khazanah ilmu yang
membantu berjuta-juta pelajar untuk mendapatkan maklumat dalam proses pembelajaran dan
penyelidikan

Pengerusi:

Terima kasih kepada Cikgu Zul atas penjelasan yang cukup baik saya kira. Seperti yang kita semua sedia
maklum, guru memainkan peranan besar dalam mendidik anak-anak murid di sekolah. Persoalannya,
adakah pengaruh teknologi maklumat dan komunikasi ini akan memudahkan atau lebih membebankan
guru? Dan apakah pula peranan guru dalam menjayakan penggunaan teknologi maklumat dan
komunikasi ini dalam pendidikan? Saya tujukan soalan ini kepada panel kedua kita, En Khairul. Silakan.

Panel Kedua:

Pada pendapat saya, ianya sememangnya membantu dan memudahkan guru. Tidak timbul soal
membebankan guru kerana kewujudannya serta fungsinya lebih kepada untuk membantu dan
memudahkan tugas guru. Bagaimana ianya dapat membantu? Guru dapat menggunakan kemudahan ini
bagi melaksanakan pnp dengan lebih menarik dan berkesan serta ianya memudahkan untuk mencapai
objektif pnp yang telah ditetapkan.

Namun ini berbalik kepada sikap guru juga. Ada sesetengah guru yang mungkin mempunyai ideologi
yang berbeza, dan meletakkan pengaruh negatif terhadap penggunaan ICT dalam pendidikan ini.
Contohnya apabila seorang guru yang tidak berminat dengan penggunaan ICT, ataupun tidak
mempunyai kemahiran dalam penggunaannya, guru tersebut akan merasa terbeban dan sukar.
Berbanding guru yang mempunyai kemahiran, mempunyai pengetahuan, mengetahui kebaika
penggunaan ICT ini, guru-guru ini tidak akan merasa terbeban malahan berasa lebih lega kerana
mempunyai alat bantuan yang efektif bagi menjayakan pengajaran mereka.

Pengerusi:

Mungkin cikgu Safran ingin membuat sedikit penambahan?

Panel Pertama:

Terima kasih saudara Ridzuan. Pada masa kini, TMK sepatutnya dilihat sebagai satu keperluan. Kita tidak
boleh lagi menafikan keguaannya sangat penting dan meluas dalam kehidupan seharian kita. Sistem
pendidikan kita juga perlu selari. Kita tidak boleh ketinggalan dan masih ditakuk lama.

Seperti yang telah disebut oleh Encik Khairul tadi, semuanya berbalik kepada guru itu sendiri. Oleh itu,
guru-guru seharusnya melengkapkan diri dengan memantapkan lagi pengetahuan dan kepakaran dalam
bidang ini, seiring dengan peredaran masa dan kecanggihan teknologi yang kian pesat membangun. Hal
ini sangat penting kerana sebagai seorang guru, tugas kita bukan hanya mengajar murid menulis dan
membaca. Kita juga bertanggungjawab dalam menentukan kemajuan pendidikan di Malaysia yang
tercinta ini.

Pengerusi:
Jawapan yang sangat mantap telah diberikan oleh kedua-dua panel kita. Namun begitu, pastinya
penggunaan teknologi maklumat ini ada batasannya. Terutamanya di negara kita, di mana sekolah telah
terbahagi kepada sekolah di kawasan bandar dan luar bandar. Bagaimana Cikgu Zul melihat keadaan ini?

Panel Ketiga:

Setiap perkara tentunya ada pro dan kontra seperti penggunaan ICT dalam pendidikan. Kebanyakan
berfikir sepertinya sukar untuk mengaplikasikan penggunaan ICT bagi kawasan luar bandar kerana
kekurangan bekalan elektrik dan internet. Namun, menurut Konvensyen Nasional PIPP Kedua (2008)
berkenaan marapatkan jurang pendidikan telah menyarankan beberapa program serta projek
infrastruktur ICT di luar 3 bandar. Ini adalah bertujuan supaya dapat membina kesediaan pembelajaran
awal di kalangan kanak-kanak berumur lima tahun khususnya murid-murid luar bandar dan juga anak-
anak Orang Asli.

Sementara itu, kerajaan Malaysia melalui Rancangan Malaysia Ke-9 (2006-2010) turut menyatakan
bahawa prasarana ICT yang mencukupi akan diagihkan kepada semua institusi pendidikan di negara ini
termasuklah pelaksanaan kurikulum ICT dalam pembelajaran, pengintegrasian ICT dalam pengajaran
dan pembelajaran, menaik taraf pengetahuan dan kemahiran ICT, pengaplikasian ICT dalam sistem
pengurusan sekolah serta memperbaiki kemudahan dan kelengkapan ICT dari semasa ke semasa.
Kementerian Pelajaran juga berusaha untuk merapatkan jurang pendidikan di antara muridmurid
sekolah-sekolah bandar dengan murid-murid sekolah-sekolah luar bandar seperti mana yang
terkandung di dalam Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP).

Oleh hal demikian, keterbatasan yang wujud pada masa sekarang akan dilupuskan secara berperingkat
dari semasa ke semasa. Sebagai seorang guru, saya menyokong seratus peratus penggunaan ICT dalam
pendidikan di negara kita untuk mewujudkan negara yang berfikiran minda kelas pertama pada masa
akan datang.

Pengerusi:

Terima kasih diucapkan kepada Cikgu Zul atas penjelasannya sebentar tadi. Soalan terakhir saya pada
hari ini, dan saya ingin mendengar dari ketiga-tiga panel kita pada hari ini. Berikan sedikit rumusan
berkaitan pengaruh penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi di dalam pendidikan di negara
kita. Kita mulakan dengan panel pertama, Cikgu Safran.

Panel Pertama:

Pada pendapat saya, pengaruh dan sumbangan TMK sangat besar dalam bidang pendidikan tidak kira
dari sudut pengurusan dan pentadbiran mahupun pengajaran di sekolah. Oleh itu, guru-guru seharusnya
bersedia untuk menghadapi kemajuan TMK yang dilihat semakin pesat saban hari.
Pada hari ini, kita sedia maklum bahawa sebahagian besar murid tidak kira di kota mahupun desa
mempunyai akses yang cukup mudah kepada ICT. Situasi ini cukup berbeza dengan apa yang kita alami
sekitar 10-20 yang lepas di mana akses kepada kemudahan ICT ini terhad. Oleh itu, adalah menjadi
tanggungjawab kita sebagai seorang guru untuk membimbing dan memastikan murid-murid
menggunakan ICT untuk tujuan-tujuan yang berfaedah dan ilmiah. Sekiranya guru sendiri “buta IT”,
bagaimana pula untuk membimbing murid yang sememangnya dilahirkan dalam dunia yang maju dan
moden ini. Sekian, terima kasih.

Pengerusi:

Panel kedua kita, Encik Khairul.

Panel Kedua :

Kesimpulannya, dunia tanpa sempadan ini memaksa industri pendidikan di Malaysia untuk melalui era
transformasi yang sangat dirasai gelombangnya. Selain itu, perkembangan pendidikan di Malaysia yang
semakin pesat ini adalah hasil daripada minat ibu bapa yang tinggi terhadap perkembangan pendidikan
dan persekolahan anak-anak mereka baik di peringkat pra sekolah, pendidikan rendah, menengah dan
juga di institusi pengajian tinggi.

Kesedaran tersebut adalah implikasi daripada kesedaran mengenai kepentingan pendidikan bagi
memajukan diri dalam menghadapi cabaran kehidupan yang semakin sengit. Oleh itu, peranan-peranan
daripada pihak pendidik, ibubapa, dan pelajar itu sendiri amatlah penting bagi menghadapi transformasi
dunia tanpa sempadan ini. Akhir sekali, pihak perancang pendidikan perlu melihat isu-isu dan cabaran
yang berbangkit secara menyeluruh dan komprehensif. Menyelesaikan masalah secara runcitan dan
memberi tumpuan kepada aspek tertentu dan mengurangkan tumpuan kepada aspek lain akan
menghalang pelaksanaan pendidikan kita terutama bagi memenuhi aspirasi Falsafah Pendidikan
Kebangsaan itu sendiri.

Pengerusi:

Dan yang terakhir, silakan Encik Zul

Panel Ketiga :

Penggunaan teknologi dalam pendidikan semakin meluas pada masa kini. Ia akan memberi kesan
terhadap apa yang dipelajari dan bagaimana pelajar belajar sama ada baik ataupun buruk. Oleh itu
kesan baik dan buruk penggunaan teknologi dalam pendidikan harus dipertimbangkan sebelum
perlaksanaannya. Persoalan seperti di mana dan bagaimana kita menggunakan teknologi maklumat
harus dijawab dan bukannya kita harus atau tidak harus menggunakannya.

Pengerusi:

Terima kasih saya ucapkan kepada ketiga-tiga ahli panel kita pada hari ini kerana sudi hadir dan sudi
menyuarakan pendapat masing-masing. Moga apa yang kita dapat hari ini memberikan sedikit
pencerahan dan input yang bermanfaat kepada kita.

Nampaknya masa amat mencemburui kita. Jadi, sedikit rumusan yang dapat kita buat pada hari ini ialah,
ICT atau teknologi maklumat bukanlah sesuatu yang baru atau asing lagi dalam kehidupan seharian kita,
begitu juga di dalam bidang pendidikan. Namun, ianya masih lagi boleh dikategorikan sebagai salah satu
cabaran yang perlu dihadapi oleh para guru. Yang pasti, kita tak akan dapat lari dari peredaran kemajuan
dan globalisasi dunia yang semakin berkembang pesat. Justeru, sebagai pendukung falsafah pendidikan
negara, para guru haruslah bersiap sedia bagi menghadapi cabaran ini.

Baiklah, sebelum kami mengundur diri, terimalah serangkap pantun nan indah daripada saya.

Tuailah padi antara masak,

Esok jangan layu-layuan;

Intailah kami antara nampak,

Esok jangan rindu-rinduan.

Salam hormat. Sehingga kita bertemu lagi. Akhir kata,

Orang putih, orang Pakistan,

Terima kasih syukran jaziilan.

Wabillah hitaufiq Walhidayah Assalamualaikum Warahmatullahhiwabarakatuh

Anda mungkin juga menyukai