Anda di halaman 1dari 3

Pakaian seragam sekolah bentuk disiplin, jati diri murid

September 12, 2023 @ 10:22am

facebook sharing buttonwhatsapp sharing buttontwitter sharing button

Foto hiasan.

Foto hiasan.

Pemakaian seragam sekolah sudah sekian lama dilaksanakan semenjak kita mencapai kemerdekaan.
Sejak 1970 pula, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memulakan langkah yang lebih tersusun
dalam mewajibkan semua murid sekolah rendah dan menengah untuk memakai pakaian seragam
sekolah.

Namun pada 3 Oktober 2021 Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin memberikan
kelonggaran kepada murid untuk tidak memakai pakaian seragam. Arahan pemakaian seragam
sekolah kemudian dikembalikan pada 12 Jun 2022.

Bagaimanapun sekali lagi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), pada 2 Mei 2023, mengeluarkan
arahan murid sekolah dibenarkan memakai pakaian sukan berikutan cuaca panas keterlaluan yang
melanda negara berpotensi memberi kesan kepada murid Arahan itu kelihatannya masih berkuat
kuasa sehingga kini meskipun cuaca sudah kembali pulih seperti sedia kala.

Rentetan itu, murid semakin selesa untuk tidak lagi mengenakan pakaian seragam. Mereka
sebaliknya lebih suka memakai baju sukan pelbagai warna dan keadaan ini menjadikan pakaian
seragam semakin dilupakan. Bagi pihak sekolah, mereka tidak mempunyai kuasa untuk
mengarahkan murid untuk kembali memakai pakaian seragam kerana tiada arahan daripada KPM.

DISYORKAN UNTUK ANDA

Meninjau keadaan semasa di sekolah, kelihatannya, ketika perhimpunan pada setiap hari Isnin,
hanya beberapa orang pelajar sahaja yang mengenakan pakaian seragam berbanding hampir 98
peratus daripada murid berpakaian sukan.

Agak cacat pemandangan pada perhimpunan sekolah dengan murid yang memakai baju sukan
pelbagai warna dan tidak memakainya dengan kemas. Gambaran ini menunjukkan murid sudah
selesa ke sekolah dengan berpakaian kasual sedangkan seragam sekolah pernah menjadi
kebanggaan murid suatu ketika dahulu. Segak bertali leher dengan pakaian seragam berlencana
tidak lagi diendahkan oleh murid sedangkan seragam sekolah sedikit sebanyak membentuk jati diri
murid ketika di alam persekolahan.
Pertembungan pendapat pastinya berlaku apabila arahan baharu daripada KPM dikeluarkan kerana
ibu bapa juga sudah selesa dengan budaya pemakaian baju sukan. Pakaian seragam sekolah yang
dulunya menjadi kemegahan zaman persekolahan dilihat oleh ibu bapa sebagai tidak lagi bermakna.
Malah, ada ibu bapa berasakan lebih jimat membeli baju sukan yang lebih murah harganya
berbanding satu set pakaian seragam sekolah.

Kembalikan pemakaian seragam sekolah

Justeru, KPM seharusnya bertegas dalam situasi ini terutama dengan arahan yang lebih jelas
mengikut Surat Pekeliling Ikhtisas 3/1983: Pakaian Seragam Murid-Murid Sekolah dan Surat
Pekeliling Ikhtisas Bil. 8/1985: Pakaian Seragam Murid-Murid Sekolah (Pindaan) yang dibuat sebelum
ini adalah terpakai melainkan arahan drastik memerlukan tindakan segera mengikut situasi semasa.

Mengembalikan kegemilangan dan kebanggaan sekolah sebagai sebuah institusi pendidikan dengan
beberapa peraturan dan arahan yang perlu dipatuhi akan menjadikan sekolah bukan sahaja sebuah
tempat menimba ilmu, malah medan bersosialisasi serta membentuk jati diri.

Sekolah juga tempat membentuk disiplin berasaskan Rukun Negara dan dalam masa yang sama
murid diasuh dengan satu jenama sekolah dengan pemakaian seragam sekolah selain bersatu padu
di bawah satu lencana. Mengapa semua ini tidak dipandang sebagai satu wadah yang baik terhadap
pelajar dan sekolah? Mengapa perlu kita menidakkan elemen yang sudah dibina sekian lama di
sekolah dan cuba melenyapkan sesuatu yang baik untuk pembentukan jati diri pelajar?

KPM perlu bertegas dalam soal ini. Arahan yang jelas perlu dikeluarkan supaya sekolah dapat
memahamkan ibu bapa untuk kembali kepada keadaan asal iaitu murid perlu berpakaian seragam
sekolah dan hanya pada hari tertentu sahaja mereka dibenarkan berpakaian sukan.

Situasi menang-menang ini diharapkan dapat mengembalikan kegemilangan sekolah dalam


membentuk disiplin dan jati diri murid. Seragam sekolah harus menjadi kebanggaan semua murid.
Lencana sekolah pula mengikat jiwa mereka untuk meningkatkan kecemerlangan sekolah.

KPM harus mengambil langkah proaktif bagi memperkasakan pemakaian seragam sekolah dan
dalam masa sama dapat mengekalkan budaya dan tradisi yang sudah terbina sekian lama.

Penulis adalah Dr Abd Razak Zakaria, Pengerusi, Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Keluarga
Universiti Malaya.

Anda mungkin juga menyukai