Anda di halaman 1dari 3

DISIPLIN ASAS KECEMERLANGAN DIRI\

Melati kuntum tumbuh melata,


Sayang merbah di pohon cemara,
Selamat pagi mulia sentosa,
Sembah hamba pembuka bicara.

Terima kasih Tuan Pengerusi Majlis yang budiman,


Yang sudi memberi laluan, barisan panel hakim yang adil lagi bijaksana, pastinya cendiakawan,
para guru yang disanjungi, seterusnya, rakan - rakan yang disayangi. Salam sejahtera dan Salam
Malaysia Madani.

Di sini ingin saya; Nur Airis Imani dari 5 Unggul menzahirkan rasa kesyukuran kerana diberi
peluang keemasan di dalam dewan yang serba indah, dalam negara yang sentiasa aman damai,
suasana pagi yang gelap pada zahirnya bertukar cerah terus memberi laluan mudah kepada saya
untuk menyampaikan sebuah pidato penting yang bertajuk, Disiplin Asas Kecemerlangan Diri.

Sidang dewan yang saya muliakan,

Sebelum saya meneruskan bicara, menyusun kata-kata, izinkan saya mendefinisikan tajuk pidato
saya pada hari ini. Menurut Kamus Dewan disiplin merupakan satu latihan pemikiran dan
kelakuan supaya seseorang individu dapat mengawal diri dan patuh pada peraturan atau tata
tertib. Asas pula ialah tapak dasar yang merupakan satu permulaan manakala kecemerlangan
didefinisikan sebagai kegemilangan atau kejayaan yang dicapai oleh individu. Rumusannya;
kepatuhan kepada peraturan dan tata tertib dapat menjadi penggerak atau pemacu ke arah
kejayaan atau kegemilangan hidup seseorang.

Hadirin sekalian,

Akal yang cerdas terletak kepada tubuh badan yang sihat. Tubuh yang sihat dan cergas memang
diperlukan untuk menjalankan aktiviti seharian. Antara salah satu faktor yang perlu diambil berat
ialah faktor kesihatan. Kesihatan dapat dijaga apabila pemakanan diawasi. Makanan yang
banyak bahan perasa, bahan pengawet dan berkarbonat mestilah dihindari bagi memastikan saraf
otak berjalan lancar kerana bahan seperti inilah yang melemahkan ingatan dan menyebabkan
sukar untuk menghafal sesuatu. Makanan seperti ini juga boleh menyebabkan kegemukan dan
obesiti berlaku. Jika terjadi sedemikian, proses pembelajaran sukar untuk dijalankan.

Oleh itu, sewajarnya kepada sesiapa yang mencari- kecemerlangan diri dan kehidupan
berdisiplin perlulah menjaga pemakanan harian. Jaga pemakanan anda, Makan untuk hidup,
bukan hidup untuk makan. Peraturan semestinya ada di sekeliling kita.

Faktor yang akan saya tegaskan seterusnya berdasarkan aspek mematuhi peraturan iaitu patuh
kepada arahan. Sama ada peraturan di jalan raya dengan adanya trafik, di rumah adanya ibu
bapa, di sekolah adanya guru, atau dimana sahaja kita berada pasti ada arahan dan peraturan
tersendirinya. Pelajar yang cemerlang merupakan pelajar yang patuh kepada arahan gurunya.
Anak yang taat, merupakan anak yang mendengar arahan ibu bapanya. Dan pengguna jalan raya
yang berhemat adalah pengguna yang akur dengan arahan dan peraturan jalan rayanya. Kajian
akal menunjukkan individu yang cemerlang ialah individu yang akur dengan arahan. Contohnya,
guru menyuruh pelajar mengulang kaji pelajaran dan menyiapkan kerja sekolah tetapi pelajar ini
bukan seorang yang patuh pada arahan dan pasti tidak diendahkan kata-kata guru tersebut.
Bagaimana ingin cemerlang jika berlaku sedimikan rupa? Ingat, patuh pada arahan,
kecemerlangan dalam tangan!

Sidang dewan yang saya hormati,

Individu yang berdisiplin adalah individu bermotivasi tinggi. Di mana ada kemahuan di situ ada
jalan. Memilih untuk berdisiplin, anda pasti terpimpin. Hendak seribu daya, tak hendak seribu
auta. Orang yang bermotivasi sentiasa mempunyai semangat juang dan inginkan persaingan.
Sekiranya kita berada dalam zon selesa, tanpa sebarang persaingan, mana mungkin kita dapat
membina kejayaan! Contohnya saudara-saudari sekalian, saya tidak akan berdiri di sini kalau
saya tidak ada motivasi! Saya tidak akan menyertai pertandingan ini jika saya tidak ingin merasai
nikmat persaingan! Melalui pertandingan ini saya belajar berdisiplin. Mana tidaknya?? Saya
perlu menghafal, perlu mencari isi, perlu belajar berintonasi, perlu menghilangkan rasa gentar.
Perlu juga membahagikan masa. Jadi dengan adanya motivasi diri yang tinggi saya dapat
membentuk disiplin diri. Siapa yang menuai, dia akan dapat hasilnya. Siapa yang bersungguh-
sungguh dia akan dapat kejayaannya.

Hadirin sekalian,

Resepi kejayaan telah saya suapkan, keluarkan sedikit tenaga, kunyah dan telan akan meresap ke
dalam diri. Akhir kata sebelum dewan ini kembali sunyi, saya mahu tegaskan sekali lagi, disiplin
yang jitu dalam diri seseorang, mampu membawanya ke gerbang kejayaan yang cemerlang,
gemilang dan terbilang. Tak tumbuh tak melata, tak sungguh saya tak kata.
Sekian, terima kasih.

Anda mungkin juga menyukai