Anda di halaman 1dari 2

Tajuk Cerita : Singa Yang Sombong

Assalamualaikum warahmatullahiwabarokatuh dan salam sejahtera. terima kasih pengerusi


majlis yang saya hormati para hakim yang bijaksana, guru-guru dan rakan-rakan sekalian.

Yang terlena, sedar-sedarkan.


Yang tersedar, dengar-dengarkan
Yang terdengar fikir-fikirkan.

Pergi berburu di hutan rimba,


Dapat seekor si anak rusa,
Sila dengar cerita hamba,
Singa Yang Sombong akhirnya binasa.

Dalam sebuah hutan, tinggal seekor singa yang sombong. Badannya yang besar dan
kuat menyebabkan semua haiwan takut kepadanya. Singa merasakan dirinya yang paling
hebat dan tidak ada haiwan yang lain mampu mengalahkannya.

Namun sayangnya, kekuatan yang dimiliki, membuat Singa itu sangat sombong.
Singa memandang rendah pada penghuni rimba yang lain. Banyak haiwan yang telah
menjadi mangsanya. Oleh itu, tiada haiwan yang sanggup menentang Singa yang sombong
itu. Semakin hari, singa tersebut semakin zalim dengan semua haiwan

Pada suatu hari, semua haiwan di rimba telah mengadakan satu perjumpaan.
Mereka berbincang bagaimana untuk menewaskan Singa yang ganas lagi sombong itu.
Tiba-tiba Sang Kancil bangun dan bersuara.

“Wahai kawan-kawan, kehidupan kita sekarang semakin terancam. Ramai kawan kita
telah menjadi mangsa Singa yang zalim itu. Marilah kita fikirkan bersama cara untuk
menewaskan singa itu”. Semua haiwan bersetuju dengan cadangan Sang Kancil itu.

“Siapa ada cadangan, silakan” kata Sang Kancil Semua terdiam. Tiba-tiba Tebuan
bersuara, “Wahai kawan-kawan, biarlah saya cuba menewaskan Singa itu.” Haiwan lain
ketawa sambil memperkecilkan kebolehan Tebuan.

“Selain saya, siapakah yang berani menawarkan diri, silakan.” Tebuan mencabar
kawan-kawannya. Masing-masing tunduk diam. “Oleh kerana tidak ada haiwan lain yang
berani menentang Singa, marilah kita sama-sama menyokong Sang Tebuan sebagai wira
kita.” Kata Sang Kancil dan disambut dengan tepukan yang gemuruh oleh penghuni rimba
itu.

Pada keesokan harinya, semua penghuni rimba keluar untuk menyaksikan


pertarungan antara Singa dan Tebuan. Tiba di suatu tempat, mereka ternampak Singa
masih tidur di bawah pokok. Lalu Tebuan pun terbang menghampiri Singa.

“Hai Singa yang zalim. Hari ini aku mencabar engkau untuk berlawan denganku.”
kata Tebuan dengan berani. “Engkau nak berlawan dengan aku?” tanya Singa itu sambil
ketawa. “Belum cuba, belum tahu. Walaupun aku kecil, tapi dengan azam yang kuat, aku
akan dapat menewaskanmu,” jawab Tebuan penuh semangat. “Baiklah, kalau engkau
berani, marilah,” kata Singa.

Dengan pantas, Tebuan terbang mengelilingi Singa itu. Singa itu berpusing-pusing
untuk menampar Tebuan tetapi tidak berjaya. Lama kelamaan Singa itu menjadi letih.
Tebuan mengambil kesempatan ini. Dengan pantas ia masuk ke dalam lubang hidung singa
yang luas itu. Lalu menyengat Singa itu dari lubang hidungnya.

Singa itu meraung kesakitan. Ia bersin beberapa kali tetapi tidak berjaya
mengeluarkan Tebuan. Semakin lama, semakin kuat gigitan tebuan itu. Tidak lama
kemudian, singa itu pun mati akibat kesakitan yang amat sangat. Semua binatang bersorak
kegembiraan. Mereka menyanjung keberanian tebuan itu.

Semua penghuni rimba mengucapkan terima kasih kepada Tebuan kerana telah
berjaya mengalahkan Singa yang sombong itu. Selepas kematian Singa, haiwan di rimba
hidup dengan aman dan sentosa. Tiada lagi penghuni rimba yang hidup dalam ketakutan.

Ingat kawan-kawan,

1. Orang yang besar tidak semestinya kuat dan orang yang kecil tidak semestinya
lemah.
2. Kita mesti muafakat dalam membuat keputusan agar kejayaan dapat dicapai.
3. Kita tidak boleh memandang rendah di atas kebolehan dan kekurangan orang lain.

Bersatu iaitu teguh


Bercerai kita roboh
Kalau kita bersungguh-sungguh
Musuh ganas dapat ditempuh

Sungguh enak buah kuini,


Pohonnya rendang di tepi kali,
Cerita saya berakhir di sini,
Di lain masa, bersua lagi

Sebelum saya mengundurkan diri marilah kita sama-sama fikirkan. Kecil jangan
disangka anak, besar jangan disangka bapa. Akal yang cerdik dan semangat kental dapat
mengalahkan kekuatan fizikal

Sekian, terima kasih.

Anda mungkin juga menyukai