Anda di halaman 1dari 5

Isi kandungan

1.0 Pengenalan 4
2.0 Aktiviti yang dirancang 4
3.0 Kaedah dan instrumen pentaksiran 5
4.0 Penutup 8
5.0 Rujukan 9
1.0 Pengenalan

Pentaksiran merupakan salah satu komponen terpenting bagi membantu guru dalam
memastikan sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) yang dijalankan dapat sentiasa
ditambahbaik dari masa ke semasa. Hal ini kerana, melalui komponen tersebutlah guru
dapat menilai perkembangan murid dan kaedah pengajaran sekaligus merancang tindakan
susulan bagi merealisasikan pencapaian objektif bagi sesi PdP yang selanjutnya. Menurut
Lee Hoi Yeh (2021), bagi subjek Pendidikan Seni Visual (PSV), pentaksiran yang diadakan
mestilah berupaya menilai aspek kognitif, afektif serta psikomotor. Ini selaras dengan
matlamat PSV yang memfokuskan ke arah pembentukan insan yang seimbang dari segi
rohani, intelek, emosi dan jasmani melalui penghargaan keindahan seni dan warisan
budaya, serta pembangunan kreativiti, inovasi dan kemahiran yang bermanfaat untuk diri
dan masyarakat (Kementerian Pendidikan Malaysia [KPM], 2019).

2.0 Aktiviti yang dirancang

Rajah 2.1

Terdapat empat bidang kegiatan dalam subjek PSV iaitu menggambar, membuat
corak dan rekaan, membentuk dan membuat binaan serta asas kraf tradisional. Bidang yang
dipilih bagi penulisan ini adalah bidang menggambar. Berdasarkan bidang tersebut, aktiviti
berasaskan projek yang dirancang untuk subjek PSV Tahun 4 adalah aktiviti mozek dengan
tajuk ‘Warna-Warni Kek Cawan’. Rajah 2.1 menunjukkan contoh hasil karya teknik mozek di
bawah tajuk ‘Warna-Warni Kek Cawan’. Teknik mozek merupakan proses menyusun dan
menampal bahan secara bersebelahan, tidak bertindih dan masih menampakkan ruang latar
(KPM, 2019). Bagi tajuk ini, sesi PdP akan dijalankan selama dua minggu iaitu pada minggu
pertama murid akan menghasilkan lakaran perkembangan idea manakala pada minggu
kedua murid akan menghasilkan karya mozek.
Pada minggu pertama, setelah melakukan set induksi guru akan memberi
penerangan tentang definisi mozek, sejarah mozek serta bahasa seni visual yang terdapat
pada karya mozek iaitu jalinan, ruang, imbangan dan kontra. Setelah itu, secara
berkumpulan guru meminta murid akan membincangkan dan menyatakan prinsip rekaan
serta unsur seni yang terdapat pada gambar yang diberikan pada setiap kumpulan dengan
menggunakan Peta-i-Think. Kemudian, guru meminta murid untuk menghasilkan lakaran
berdasarkan tajuk ‘Warna-Warni Kek Cawan’ mengikut kreativiti masing-masing. Melalui
lakaran ini, murid perlu mengaplikasikan bahasa seni visual yang dipelajari seperti
menggunakan imbangan tidak simetri dalam melakar kek cawan.

Pada minggu kedua, pertama sekali guru akan memperkenalkan bahan-bahan yang
akan digunakan iaitu kertas A3, potongan kertas warna atau majalah atau surat khabar,
straw, lidi, gam dan gunting. Seterusnya, guru akan menunjukkan demonstrasi berkenaan
teknik penghasilan karya mozek seperti teknik gulungan(quilling), tampalan dan susunan
melalui tayangan video. Di sini, guru perlu memastikan murid dapat membezakan teknik
tampalan mozek dan kolaj. Guru juga akan menayangkan carta alir yang menunjukkan
langkah-langkah penghasilan mozek iaitu dimulakan dengan gunting straw, gunakan lidi
untuk menggulung kertas kemudian gamkan, susun dan tampal gulungan kertas secara
bersebelahan dan akhir sekali gamkan bahan hiasan. Seterusnya, guru akan menjalankan
sesi penilaian melalui kuiz yang disediakan melalui aplikasi ‘Quizziz’. Sebelum menamatkan
sesi PdP, guru akan memilih 3 nama murid secara rawak menggunakan aplikasi ‘Spin
Wheel’ bagi mempamerkan hasil karyanya serta menyatakan bahasa seni visual yang
terdapat pada karyanya dan sebagainya.

3.0 Kaedah dan instrumen pentaksiran

Salah satu jenis pentaksiran yang dijalankan di sekolah adalah Pentaksiran Bilik
Darjah(PBD). PBD merupakan sebuah pentaksiran yang dijalankan secara berterusan
dalam PdP yang bertujuan untuk mendapatkan maklumat tentang perkembangan,
kemajuan, kebolehan dan pencapaian murid(Muhammad Mustaqim Roslan, 2023). Terdapat
3 jenis kaedah pentaksiran iaitu pemerhatian, lisan dan bertulis. Dengan merujuk kepada
aktiviti yang dijalankan serta hasil pembelajaran yang ingin dicapai, kaedah pentaksiran
yang dipilih adalah pemerhatian. Instrumen yang digunakan untuk menjadi panduan kepada
guru dalam membuat pentaksiran adalah instrumen skala kadar. Jadual 3.1 menunjukkan
borang Instrumen Pentaksiran Bilik Darjah(PBD) yang disediakan untuk pentaksiran aktiviti
mozek.
Berdasarkan Jadual 3.1 diatas, murid akan dinilai melalui 5 tahap iaitu dari tahap
Lemah ke tahap Amat Cemerlang. Melalui borang ini, dapat dilihat bahawa murid akan
dinilai melalui 3 aspek iaitu kognitif, afektif serta psikomotor. Hal ini selari dengan objektif
pembelajaran yang telah ditentukan berdasarkan Standard Kandungan dan Standard
Pembelajaran yang terdapat dalam Dokumen Standard Kurikulum & Pentaksiran(DSKP)
yang merangkumi aspek bahasa dan kemahiran seni visual, penghasilan karya kreatif, serta
penghayatan karya.

Aspek penilaian psikomotor ini melibatkan pemerhatian terhadap projek atau amali
yang dilakukan oleh murid. Ia juga dikenali sebagai pemerhatian proses di mana ia
dilakukan untuk menilai kemahiran murid-murid dalam menghasilkan karya teknik mozek.
Melalui pemerhatian ini, guru dapat mengesan murid yang menguasai teknik mozek dengan
yang tidak menguasainya. Selain itu, guru juga dapat mengenalpasti sama ada murid dapat
mengaplikasikan bahasa seni dalam penghasilan karya atau tidak. Sebagai contohnya,
murid yang dapat mengaplikasikan prinsip imbangan di dalam lakarannya menunjukkan
bahawa murid tersebut menguasai salah satu dari prisip seni dengan baik.

Bagi aspek kognitif, pemerhatian dilakukan untuk menilai sejauh mana kefahaman
murid terhadap isi kandungan pelajaran seperti definisi mozek, teknik dan proses
penghasilan mozek serta bahasa seni yang dipelajari. Aktiviti berkumpulan yang dijalankan
dapat memudahkan guru untuk menilai kefahaman murid terhadap bahasa seni tersebut.
Murid juga dapat membuat banding beza antara keempat-empat jenis bahasa seni tersebut.
Melalui sesi apresiasi pula, guru dapat mengenalpasti kebolehan murid dalam
menyampaikan pengetahuan yang dikuasai sepanjang pembelajaran terutama tentang
bahasa seni.

Bagi aspek afektif, pemerhatian dilakukan bagi membuat penilaian terhadap


tingkahlaku murid-murid semasa sesi PdP berlangsung. Terdapat beberapa nilai yang dapat
diperhatikan pada murid, antaranya adalah nilai kerjasama, bertolak ansur dan kepimpinan
yang dapat dilihat semasa murid melakukan kerja dalam kumpulan. Seterusnya adalah nilai
kebersihan yang dapat dilihat apabila murid bertanggungjawab untuk mengutip sampah
yang terhasil daripada aktiviti.

4.0 Penutup

Secara kesimpulannya, jelaslah bahawa pentaksiran harus dilakukan bagi


memastikan perkembangan murid dapat diukur, penambahbaikan dalam kaedah pengajaran
dapat dilakukan serta tindakan susulan dapat diambil. Bagi subjek PSV, pentaksiran
mestilah merangkumi ketiga-tiga aspek utama iaitu psikomotor, kognitif dan afektif. Hal ini
kerana, setiap topik dalam subjek PSV memerlukan murid untuk melaksanakan projek
secara hands-on atau amali dan bukanlah sekadar mempelajari teori sahaja. Menurut Tan
Jia Yuh et. al. (2020), guru memerlukan kemahiran pentaksiran dalam menjamin kualiti
pentaksiran di dalam bilik darjah. Justeru, guru-guru subjek PSV perlulah kreatif dalam
merancang aktiviti dan seterusnya perlulah memilih kaedah pentaksiran yang bersesuaian
agar sesebuah sesi pengajaran yang berkesan dapat terwujudkan.
(810 patah perkataan: tidak termasuk jadual)
5.0 Rujukan
Kementerian Pendidikan Malaysia (2019). Buku Teks Pendidikan Kesenian Tahun 4
Sekolah Kebangsaan (KSSR). 14. https://anyflip.com/xlqtw/immo/basic

Kementerian Pendidikan Malaysia (2019). Dokumen Standart Kurikulum dan Pentaksiran


Pendidikan Seni Visual Tahun 1. 2. https://anyflip.com/qtozn/dxyw/basic

Lee Hoi Yeh (2021). Challenges faced by Visual Art Education with the Existence of
Classroom Based Assessment in Primary School within District of Hilir Perak.
KUPAS SENI: Jurnal Seni Dan Pendidikan Seni, 9(1), 46-57.
https://doi.org/10.37134/kupasseni.vol9.1.5.2021

Muhammad Mustaqim Roslan(2023). KAEDAH PENTAKSIRAN BILIK DARJAH (PBD) DAN


KESANNYA KEPADA MURID TAHAP SATU DI MALAYSIA: ANALISIS SUBJEK
PENDIDIKAN ISLAM. https://www.researchgate.net/profile/Muhammad-Bin-Roslan-
2/publication/
372372409_Kaedah_Pentaksiran_Bilik_Darjah_PBD_dan_Kesannya_kepada_Murid
_Tahap_Satu_di_Malaysia_Analisis_Subjek_Pendidikan_Islam/links/
64b34120b9ed6874a521ad3d/Kaedah-Pentaksiran-Bilik-Darjah-PBD-dan-Kesannya-
kepada-Murid-Tahap-Satu-di-Malaysia-Analisis-Subjek-Pendidikan-Islam.pdf

Tan Jia Yuh et. al. (2020). Pentaksiran bilik darjah dan prestasi murid sekolah jenis
kebangsaan cina di Hulu Langat, Selangor. JuPiDi: Jurnal Kepimpinan
Pendidikan, 7(3), 70-90.

Anda mungkin juga menyukai