SIRI 1 : AWAL AL-MUBARAK
"Berpuasa pada bulan Ramadhan dan berpuasa sebanyak tiga hari pada setiap bulan akan
menjauhkan fikiran jahat daripada hati dan membersihkannya."
Ramadhan menjenguk lagi. Dan sedari awal kedatangannya memang dinanti. Inilah masa
yang paling sesuai untuk merebut ganjaran pahala yang berlipat kali ganda tanpa
diganggu-gugat oleh syaitan dan iblis, hanya nafsu yang perlu dikawal. Setiap individu
mempunyai cara yang tersendiri menyambut Ramadhan. Ada juga mukmin yang
memulakan sambutan puasa dengan berpuasa sunat. Sebagaimana sabda Rasulullah SAW
yang bermaksud:
"Janganlah kamu mendahului Ramadhan dengan berpuasa sehari atau dua hari
sebelumnya, kecuali seseorang yang telah membiasakan diri berpuasa sunat, maka ia
dibolehkan berpuasa." - HR Tujuh Ahli Hadith
Puasa Ramadhan tidak boleh dimulakan dengan berpuasa sunat atas alasan ingin
menyambut ketibaan Ramadhan. Namun, jika seseorang individu itu telah biasa dan
memang mengamalkan berpuasa sunat di dalam hidupnya, maka individu ini tidak
ditegah untuk berpuasa sunat walaupun puasa sunat yang dilakukannya adalah pada
sehari atau dua hari sebelum kedatangan Ramadhan. Malahan, hal seperti ini dibolehkan
di dalam Islam. Misalnya, jika seseorang itu telah biasa berpuasa sunat pada setiap hari
Isnin dan Ramadhan pada tahun itu jatuh pada hari Selasa, maka individu itu dibolehkan
meneruskan puasa sunatnya sebagaimana lazimnya.
Namun jika individu itu sengaja melakukan puasa sunat sedangkan itu bukanlah
kebiasaan amalannya, maka puasa seperti ini adalah diharamkan kerana ia dikatakan
sebagai mendahului ibadat puasa Ramadhan. Walaupun ada segolongan individu yang
berpendapat puasa seperti ini sebagai satu penghormatan untuk menyambut ketibaan
Ramadhan tetapi Rasulullah SAW sendiri menidakkan dalil yang sebegini dan menegah
sama sekali amalannya.
Terdapat segelintir golongan bukan Islam yang berpendapat ibadat puasa ini tidak lain
daripada meletih dan menyeksakan lantaran pantang larang yang perlu dipatuhi, namun
pendapat-pendapat sebegini mula terhakis berikutan penemuan dan kajian yang
dijalankan menunjukkan bahawa puasa adalah satu amalan yang baik bagi menjamin
tahap kesihatan mental dan fizikal secara keseluruhannya.
Di samping menerangkan kepada mereka tentang konsep sebenar ibadat dalam Islam, kita
sentiasa digalakkan untuk memperbaiki dan menambah amalan dari semada ke semasa
terutamanya di dalam bulan Ramadhan ini. Ibadat utama dalam Ramadhan ialah untuk
mengerjakan puasa.
"Barangsiapa tidak membulatkan niatnya berpuasa sebelum fajar (subuh), maka tidak
ada puasa baginya." - HR Ahmad & Ashabus Sunan
Awal puasa ialah berniat untuk mengerjakan ibadat tersebut.
Niat puasa terbahagi kepada dua iaitu:
Berniat setiap malam sebelum datangnya waktu Subuh - seseorang yang berkeinginan
untuk berpuasa, wajib menyatakan niatnya; Berniat pada awal bulan Ramadhan sebelum
datangnya waktu Subuh - seseorang yang ingin berpuasa pada bulan tersebut, wajib
menyatakan niatnya untuk berpuasa selama satu bulan Ramadhan.
Kedua-dua pengertian ini boleh diterima pakai, namun bagi mendidik anak-anak kecil
berlatih berpuasa, lebih wajar jika kaedah yang pertama ini diterapkan kepada mereka.
Manakala kaedah yang kedua pula lebih mudah dan meringankan Seseorang yang akan
mengerjakan ibadat puasa selama sebulan Ramadhan, memadai jika menyatakan niat
puasanya sekali pada malam pertama Ramadhan. Jika niatnya dinyatakan setiap malam,
maka hal ini dikategorikan sebagai sunat dan tidak mendatangkan sebarang kemudaratan.
Selamat Berpuasa dan wassalam.
SIRI 2 : EMPAT TUNTUTAN
"Wahai orang-orang yang beriman, telah wajib ke atas kamu berpuasa sebagaimana
telah diwajibkan ke atas umat-umat sebelum kamu, semoga kamu menjadi orang yang
bertakwa." - Surah Al Baqarah: 183
Ramadhan adalah bulan yang amat bermakna bagi mereka yang tahu menilai dan
menghargai kelebihannya. Ramadhan merupakan masa untuk menguji tahap kesabaran,
waktu menunjukkan simpati kepada yang memerlukan ihsan, juga bulan mulia untuk
menambah ibadat dan amalan.
Rasulullah SAW telah menggariskan empat amalan utama yang digalakkan dalam
bulan ini iaitu;
1. Melazimkan bacaan kalimah taiyibah;
2. Beristighfar;
3. Memohon memasuki jannah dan
4. Berlindung dengan-Nya daripada neraka jahannam.
Rasulullah SAW telah menggesa para sahabat untuk menjadikan keempat-empat
perkara ini sebagai suatu amalan. Abu Saeed Khudri r.a meriwayatkan bahawa:
"Suatu ketika Nabi Musa AS memohon kepada Allah SWT agar diberikan satu kalimat
khas yang mana Baginda dapat mengingati Allah SWT dan dapat memohon sesuatu
melaluinya. Lantas Allah SWT menyuruhnya menyebut kalimah tersebut. Nabi Musa AS
berkata: "Wahai Allah, kalimah ini dibaca oleh semua hamba-Mu, aku mengkehendaki
yang khusus." Lalu Allah SWT menjawab, "Wahai Musa, jika ketujuh-tujuh langit dan
bumi dan semua yang terkandung di dalamnya kecuali Aku diletakkan ke atas sebelah
dacing dan kalimah ini pada sebelah yang lain, kalimah ini lebih berat lagi daripada
segala sesuatu."
Di dalam hadis yang lain pula dinyatakan bahawa jika seseorang menyebut kalimah
taiyibah ini, iaitu "laa ilaha illallah" dengan seikhlas hati, maka pintu syurga akan segera
terbuka untuknya.
Kita juga digalakkan untuk memperbanyakkan istighfar kerana Allah SWT telah
berjanji akan memberi kita jalan keluar daripada segala kesukaran dan membebaskan kita
daripada segala kesedihan. Malahan sesiapa yang memperbanyakkan istighfar akan
memperolehi rezeki daripada sumber yang tidak pernah disangkakan. Kalimah istighfar
yang mudah disebut adalah seperti "astaghfirullah". Tidak ada batasan dalam mengulang
sebutan istighfar ini. Semakin kerap ia diulang, semakin banyaklah pahala yang
dikumpul.
Di samping itu, kita turut dituntut agar sentiasa berdoa supaya ditempatkan di dalam
syurga sambil meminta kepada Yang Maha Esa menjauhkan kita daripada ancaman api
neraka. Doa yang boleh diamalkan untuk memohon agar ditempatkan di dalam syurga
ialah seperti berikut:
"Allahhumma as'alukal jannata wa a'uzubika minannar."
Dengan memperbanyakkan amalan di atas, maka akan bertambah banyaklah amal
ibadah yang kita lakukan untuk memenuhi bulan Ramadhan ini. Ramadhanlah masanya
yang paling sesuai untuk memperbanyakkan ibadah lantaran tiadanya gangguan godaan
daripada iblis dan syaitan.
Justeru, sebagai umat yang sentiasa mendambakan kasih sayang-Nya, perhatian dan
ganjaran-ganjaran yang telah dijanjikan-Nya, maka layaklah kita sebagai hamba-Nya
merebut peluang ini yang datang hanya sekali dalam setahun. Jika kita sanggup berhabis
wang ringgit semata-mata untuk tujuan kecantikan
dan hiburan, maka Allah SWT memberi peluang untuk kita berkunjung ke syurga-Nya
secara percuma. Tidak perlukan bayaran, hanya sedikit masa dan keikhlasan. Masih
enggankah lagi kita menerima tawaran ini? Fikirkan.
Selamat beribadat dan wassalam.
SIRI 3 : KELEBIHAN SAHUR & TAMAR
“Sahurlah kamu kerana dalam sahur itu ada berkat.” -HR Bukhari dan Muslim
Ibadat puasa adalah satu perkara yang dituntut dan diwajibkan ke atas semua umat Islam
yang telah cukup umur dan berkemampuan. Dalam mengerjakan ibadat puasa, sahur
adalah satu amalan sunat yang digalakkan kepada mereka yang berpuasa. Namun dalam
era globalisasi yang sentiasa bergerak pantas ini, umat muslimin menjadikannya sebagai
satu alasan untuk tidak bersahur. Mengantuk dan letih kerap dijadikan jawapan kepada
keengganan bersahur walaupun ia telah dianjurkan oleh Rasulullah SAW kepada setiap
yang berpuasa.
Umum begitu arif dengan kaum lain yang juga mengerjakan puasa, namun apakah yang
membezakan amalan puasa kaum muslimin dengan mereka? Perbezaannya jelas terletak
di dalam pengambilan makanan sahur yang mana mereka tidak bersahur. Ramai juga
yang tidak menyedari bahawa pada waktu bersahur juga adalah waktu yang mustajab
untuk berdoa dan Allah SWT tidak akan menghampakan doa mereka.
Bagi mereka yang bersahur Allah SWT akan memberi keuntungan yang berlipat kali
ganda. Selain daripada memperolehi kekenyangan dan kekuatan untuk mengerjakan
ibadat puasa pada sebelah siangnya, mereka juga akan memperolehi berkat yang
diturunkan pada sepanjang hari mereka melaksanakan ibadat tersebut.
Ibnu Hajar dalam mengulas Sahih Bukhari telah menyenaraikan beberapa kelebihan
puasa, yang antara lainnya ialah:
Menuruti sunnah;
Membezakan diri dengan Ahlul Kitab;
Menambah kekuatan untuk beribadat;
Meningkatkan keikhlasan dalam beribadat;
Menghilangkan perasaan marah yang diakibatkan oleh kelaparan dan
Mendapat peluang untuk mengingati Allah dengan berzikir dan berdoa.
Namun, kita tidak digalakkan untuk mengambil terlalu sedikit atau terlalu banyak
makanan pada waktu sahur. Memadai dalam anggaran yang secukupnya bagi membantu
untuk mengerjakan puasa pada keesokan harinya kerana pengambilan makanan yang
terlalu banyak atau sikit pasti akan menimbulkan rasa kurang selesa. Sebaik-baik sahur
yang dianjurkan ialah dengan memakan buah kurma atau tamar. Bersahur dengan
memakan kurma adalah sebahagian daripada sunnah Nabi, justeru jika kita
mengamalkannya, Allah SWT akan memberikan pahala sebagai ganjaran.
Abu Hurairah ra berkata, “Sabda Rasulullah SAW: Sebaik-baik makanan sahur bagi
orang mukmin adalah kurma.” -HR Ibnu Hibban & Baihaqi
Seandainya keletihan menimbulkan kesukaran untuk bersahur, Rasulullah SAW
menganjurkan agar tetap mengambil sebiji kurma ataupun memadai dengan seteguk air
untuk mengisi perut.
Waktu sahur yang paling afdhal ialah pada waktu menjelang Subuh, iaitu kira-kira 10
atau 15 minit sebelum bilal melaungkan azan Subuh. Rasulullah SAW juga pernah
bersabda bahawa waktu bersahur itu adalah bersamaan dengan bacaan 50 ayat suci Al-
Quran.
Selamat bersahur dan wassalam.
SIRI 4 : BERBUKA PUASA
"Manusia akan sentiasa berada dalam kebaikan selama ia menyegerakan dalam
berbuka." -HR Bukhari Muslim
Tiada yang lebih dinantikan selama waktu berpuasa sepanjang siang melainkan waktu
berbuka puasa. Apabila tiba Maghrib, maka muslimin yang berpuasa disunatkan agar
menyegerakan berbuka lantaran ganjaran pahala yang lebih banyak daripada mereka yang
menunda waktu berbuka.Rasulullah SAW juga menyeru umatnya agar tidak tergesa-gesa
ketika berbuka puasa. Makanlah dengan sewajarnya namun janganlah pula sehingga
habis waktu untuk menunaikan solat
Maghrib. Ini sejajar dengan sabda Baginda yang bermaksud:
"Apabila makanan telah dihidangkan, maka dahulukanlah makan daripada solat
Maghrib dan janganlah kamu tergesa-gesa ketika makan makanan malam kamu." -HR
Bukhari Muslim
Mendahului berbuka dengan memperbanyakkan doa adalah suatu yang dituntut kerana
Allah SWT telah berjanji akan mengabulkan doa mereka yang berpuasa. Sebaiknya
hendaklah doa yang meminta supaya diampunkan segala dosa yang pernah dilakukan
pada masa lalu. Doa ini bukan sahaja dituntut ketika hendak berbuka puasa wajib tetapi
juga ketika berpuasa sunat.
Terdapat beberapa doa pilihan yang boleh dijadikan pedoman ketika berbuka, iaitu:·
- - "Allahumma laka shumtu wa 'alaa rizqika afthartu."
(Ya Allah, demi Engkau, aku puasa dan dengan rezeki-Mu aku berbuka)
- - "Alhamdulillahiladzi a'aanani fashumtu wa razaqani fa afthartu."
(Segala puji bagi Allah, tuhan yang menolongku, sehingga aku (sanggup)
berpuasa dan memberiku rezeki, sehingga aku (dapat) berbuka)
- - "Allahumma laka shumnaa wa 'alaa rizqika aftharnaa, fa taqabbal minnaa
innaka antas samiiul 'aliim."
(Ya Allah, demi Engkau kami berpuasa dan dengan rezeki-Mu kami berbuka,
maka terimalah (puasa) dari kami. Sesungguhnya Engkau benar-benar Maha
Mendengar lagi Maha Mengetahui)
- - "Allahumma inni as 'aluka bi rahmatikallati wasi'at kulla syai'in
antaghfiralii."
(Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepada-Mu dengan rahmat-Mu yang
luasnya meliputi segenap (makhluk) agar Engkau mengampuni diriku)
Walau bagaimanapun, menurut Imam Nawawi dalam Kitab Al-Azkar, doa-doa berbuka
puasa tiada yang sahih. Rasulullah SAW bersabda bahawa setiap individu boleh berdoa
apa sahaja sesuai dengan keinginan mereka. Namun sebagai manusia biasa, adakalanya
doa yang dipanjatkan tidak dimakbulkan Allah SWT. Jika hal ini berlaku maka kita
hendaklah mengkaji di mana kesilapan kita. Mungkin juga makanan atau minuman yang
kita ambil datang daripada sumber yang tidak sah kerana salah satu syarat supaya doa
kita dimakbulkan ialah sumber makanan kita haruslah daripada sumber yang halal.
Bukan sahaja dari segi makan minum harian, malah kita sepatutnya lebih teliti dalam
melakukan dan memperkatakan apa jua perkara, termasuklah dalam urusan yang kita
anggap sebagai kecil dan remeh-temeh. Masalah tidak akan timbul jika kita
menyelesaikan perkara yang kecil terlebih dahulu sebelum
ianya menjadi lebih besar.
Selamat berbuka dan wassalam.
SIRI 5 : LAILATUL QADAR
Bismillahirahmanirahhim.
Assalammualaikum wbt.
"…(iaitu) ada pada bulan Ramadhan. Kerana itu, hendaklah kamu mencarinya pada
sepuluh hari terakhir. Kerana ia terdapat pada hari-hari ganjil, iaitu pada malam 21, atau
malam 23, atau malam 25, atau malam 27, atau malam 29, atau malam terakhir." - HR
Ahmad
Lailatul Qadar adalah satu malam istimewa yang dikurniakan kepada umat
Muhammad SAW lantaran kebimbangan Baginda terhadap usia umatnya yang semakin
pendek. Bagi mengatasi keraguan ini, maka Allah SWT menurunkan malam Lailatul
Qadar yang membawa pahala seperti beribadat selama 83 tahun. Ini bagi menyamakan
jarak masa umat terdahulu dengan umat Baginda pada hari ini dalam mengerja dan
mendapatkan pahala beribadat.
Suatu masa Baginda hendak memberitahu kaumnya mengenai tarikh Lailatul Qadar
yang tepat tetapi terjadi satu pergaduhan di antara dua orang muslim. Jelas Baginda,
maka itu rahmat (tarikh Lailatul Qadar) telah diambil kembali. Sesungguhnya perbalahan
kerapkali menyebabkan kita kehilangan nikmat dan rahmat. Justeru, Baginda
menyarankan kepada kaum muslimin agar menghubungkan silaturrahim kerana ia adalah
amalan yang lebih baik daripada solat, puasa dan sedekah. Silaturrahim juga akan
meningkatkan iman di dalam sesuatu kaum.
Pada zaman Rasulullah SAW, ramai ulama dan sahabat menyambut Lailatul Qadar
dengan tekun mengerjakan ibadat. Rasulullah SAW sendiri tidak pernah leka dalam hal
ini walaupun Baginda telah dijanjikan tempat di sisi-Nya. Malahan Baginda khusyuk
beribadat sehingga kakinya bengkak tanpa memikirkan kesakitan yang ditanggung.
Kita sebagai umatnya juga harus mengikuti contoh ini. Tidak sepatutnya kita memilih
untuk mengikuti sunnah Baginda yang dirasakan mendatangkan faedah yang besar
kepada kita sahaja kerana sememangnya semua sunnah Nabi memberi faedah. Namun,
apabila memperkatakan hal ibadat, jarang sekali kita mahu mencontohinya. Bak kata
pepatah tepuk dada, tanya selera.
Perbanyakkanlah amalan pada Malam Lailatul Qadar seperti membaca Al-Quran,
bertasbih dan bertahmid. Dan ia sesungguhnya boleh ditemui jika kita dapat
membezakan malam tersebut dengan malam-malam sebelumnya.
Rasulullah SAW telah menjelaskan di antara tanda-tanda Lailatul Qadar ialah:
· Malam yang sepi, tenang dan bercahaya;
· Tidak panas atau sejuk (sederhana) seolah bulan memancar terang;
· Tiada petir atau kilat sabung menyabung sehingga subuh;
· Pada paginya matahari akan timbul tanpa pancaran cahaya, seperti bulan
mengambang
Tanda ini amat jarang ditemui, kecuali tanda terakhir yang pernah terjadi. Andai
bertemu dengan malam ini, maka ucapkanlah doa berikut yang bermaksud:
"Ya Allah, sesungguhnya Engkaulah yang mengurniakan keampunan terhadap dosaku.
Dikau suka mengampun, maka ampunilah daku."
Pada malam ini juga Jibrail a.s akan turun ke bumi dan mengarahkan setiap malaikat
berkunjung, memberi salam dan berjabat tangan dengan mukmin yang sedang beribadat
di rumah mereka. Namun malaikat-malaikat ini tidak akan mendatangi mana-mana
rumah yang di dalamnya ada haiwan-haiwan peliharaan yang haram, penzina, juga rumah
yang di dalamnya tergantung perhiasan atau gambar haiwan dan manusia. Justeru,
awasilah perlakuan kita dan sentiasalah berusaha meningkatkan iman, terutamanya dalam
Ramadhan ini.
Semoga bersua dengan Lailatul Qadar dan wassalam.
KEPENTINGAN IBADAH PUASA
Oleh: Fadzila Azni @ Sukainah At Thahirah Ahmad
Assalamu'alaikum wrh.
Ibadah puasa adalah termasuk dalam rukun Islam. Ini bermakna puasa termasuk ibadah
yang terpokok. Yang menjadi perkara asas untuk membina peribadi Muslim. Apa yang
ada pada puasa hingga dipilih ALLAH untuk masuk senarai rukun Islam? Mula-mula
orang yang ingin pada Islam disuruh buat pengakuan dan kesaksian keyakinannya pada
ALLAH dan Rasul: "Aku naik saksi bahawa tiada Tuhan melainkan ALLAH dan
Muhammad itu pesuruh ALLAH."
Pengakuan ini kemudian disuruh buktikan melalui sembahyang. Berbagai ikrar, janji dan
harapan kita bisikkan kepada ALLAH sewaktu sembahyang demi membuktikan kita taat
tunduk (rukuk dan sujud) kepada-Nya. Menyatakan kerelaan fizikal dan mental kita
menyerah diri kepada ALLAH. Menajamkan rasa
kehambaan di dalam hati dan menyuburkan rasa berTuhan di dalam jiwa.
Ibadah puasa jatuh nombor ketiga iaitu selepas ibadah sembahyang. Maksudnya, selepas
membuat pengakuan taat setia, maka kita diuji dengan suatu perintah aneh iaitu puasa.
Kita tidak dibenarkan makan disiang hari selama sebulan sekalipun lapar dan makanan
ada dihadapan mata. Ertinya ALLAH mahu mendidik kita untuk
susah, berletih lesu, menahan keinginan pada sesuatu sekalipun ia ada di hadapan mata.
Bukankah itu aneh? Orang yang jahil dan kurang faham akan menganggap ia
sebagai suatu penyiksaan dan bebanan lantaran itu berlalunya Ramadhan disambut
dengan riang. Apa sebenarnya yang ALLAH kehendaki dari puasa?
Menahan keinginan terhadap sesuatu yang kita ingini adalah sesuatu yang perlu dan
penting. Istilah kecewa atau frust lahir dari seseorang yang tidak dapat
menahan hati dari keinginan yang tidak tercapai. Dan kecewa adalah penyakit lumrah
dalam masyarakat kini. Terkadang penyakit kecewa boleh membawa manusia kepada
pelbagai lagi penyakit-penyakit jiwa yang lain.
Dan ini akan terus berlaku sebab kehidupan manusia selalunya terlalu banyak keinginan-
keinginan yang tidak tercapai. Walau betapa bijak, kaya dan berkuasa
seseorang itu, dia tentu tidak dapat menolak taqdir ALLAH. ALLAH sudah tentukan
bahawa tiap manusia itu akan diuji.
Tidak tahu sabar adalah suatu kekurangan yang merbahaya. Terlalu banyak perkara di
dalam kehidupan yang meminta agar kita dapat berlaku sabar. Di dalam
menunaikan perintah-perintah ALLAH, di dalam menghadapi musibah dan kesabaran
yang paling utama adalah bersabar di dalam meninggalkan
larangan-larangan ALLAH lahir dan bathin.
Imam Bukhari ketika bermunajat dengan ALLAH berbisik-bisik:- "Bukan aku tidak sabar
dengan ujian-Mu ya ALLAH, cuma hendak mengadu pada Mu, tempat aku kembali nanti.
Memohon ketenangan, keampunan dan mutmainnah."
Begitulah seharusnya hati orang Mukmin tatkala berhadapan dengan persoalan hidup.
Mereka tunduk dan patuh kepada kehendak ALLAH kerana merasakan
segala-gala yang berlaku adalah dengan keizinan dan kemahuan ALLAH. Malah mereka
memuji-muji ALLAH kerana Maha Bijaksana dan Maha Adil-Nya melakukan kejadian
itu. Kalau ujian berupa nikmat, mereka bersyukur bersama airmata kesyukuran dan kalau
berupa kesusahan, mereka bersabar dan redha bersama airmata kesabaran.
UNTUK TUJUAN INILAH PUASA ITU DIPERINTAHKAN. ALLAH TENTUKAN
KEHIDUPAN DI DUNIA ADALAH PERGILIRAN NIKMAT
DAN UJIAN. DAN KEBAHAGIAAN SEBENAR IALAH PADA MEREKA YANG
BOLEH BERSYUKUR DAN BERSABAR. SEBAB ITU ALLAH
MAHU DIDIK MANUSIA KE ARAH ITU.
Bila kita berpuasa bererti kita mengajak diri kita bersabar terhadap keinginan kerana
ALLAH, bukan kerana lain-lain. Dan kalau ini dilatih, dibiasakan selama
sebulan, ertinya kita membuat latihan jiwa untuk bersabar, untuk patuh menanggung
kesusahan kerana
ALLAH.
Jiwa yang apabila berhadapan dengan kejadian yang malang, kecewa, hampa, susah dan
kegagalan akan tunduk dan sabar dengan ALLAH, kerana ALLAH. Kita boleh berikhtiar
untuk elakkan kemalangan itu tapi bukan dengan hati yang panas, marah-marah dan
memberontak. Sebaliknya kesabaran menghadapi ujian semakin meningkatkan rasa
kehambaan di dalam hati kerana merasakan lemahnya dia untuk menolak taqdir dan
kuasa ALLAH. Inilah jiwa yang tenang.
Seseorang yang merasakan puasanya selama ini tidak membuatkan jiwanya mahu
bersabar dengan keinginan yang tidak tercapai, kesusahan dan kegagalan, samalah
dengan orang yang tidak berpuasa. Maka kalau puasa tidak membuahkan akhlak yang
mulia dengan ALLAH dan sesama manusia, maka jadilah puasa itu sepertimana sabda
Rasulullah; "Tidaklah diperolehi apa-apa dari puasa itu melainkan hanya lapar dan
dahaga."
Kita berlindung dengan ALLAH daripada kerugian demikian.
Wassalam.
PUASA BERI KEKUATAN DALAMAN
Oleh: Dr. Mashitah Ibrahim
Doa disifatkan dalam salah sebuah hadis sebagai senjata orang Islam dan pada ketika
yang lain diibaratkan sebagai otak dari ibadat. Orang yang berpuasa seharusnya
membanyakkan berdoa kepada Allah. Doa memberi pengharapan dan menambah
keyakinan seorang hamba terhadap penciptanya. Doa juga menyedarkan manusia betapa
kerdil dan lemah manusia terhadap perancangan Allah.
Walau apa pun yang dirancang manusia ditangan Allah jua kuasa penentunya. Usaha
manusia tidak akan dapat mengatasi qadak dan qadar Allah.
Orang yang berpuasa digalakkan untuk banyak berdoa hinggakan disebut dalam satu
hadis bahawa mereka termasuk dalam 3 golongan manusia yang tidak akan
ditolak doanya. Sabda Rasulullah yang bermaksud 3 orang yang tidak akan ditolak
doanya ialah pemerintah yang adil, orang yang berpuasa hingga dia berbuka dan
orang yang teraniaya. Dapatlah kita fahami di sini latihan jiwa hasil daripada puasa akan
menyebabkan manusia hampir kepada Allah dan lantaran ia dekat
kepada Allah doanya mudah diperkenankan.
Manusia yang banyak berdoa kepada Allah bukan saja akan akur pada ketentuan Allah
tetapi berkeyakinan bahawa Allah memakbulkan permintaannya bahkan apa yang telah
ditentukan Allah adalah yang terbaik untuk dirinya.
Dalam ayat 186 Surah Al-Baqarah yang bermaksud: ''Apabila hambaKu bertanya tentang
Aku katakan (wahai Muhammad) bahwa Aku dekat dan Aku menyampaikan doa orang
yang meminta kepada Ku.''
Allah menjanjikan bahawa setiap yang meminta pasti akan dimakbulkan permintaannya.
Ini bermakna Dia akan mengotakan janji-Nya. Apa yang dihajati oleh orang
yang berdoa tadi akan ditunaikan tetapi menurut cara Allah dan perancangan-Nya bukan
perancangan manusia. Kadang-kadang perancangan Allah sama dengan
perancangan orang yang meminta kadang-kadang ia berbeza. Apa pun yang pasti doanya
termakbul dan Allah memberi pilihan yang terbaik untuk manusia itu.
Ibadat puasa bukan saja menggandakan pahala untuk orang yang taat melakukannya
tetapi ia menambah kekuatan spirituil melalui sifat ikhlas. Amalan puasa
adalah antara manusia dengan Allah. Jika kita makan atau minum dengan diam-diam
mungkin tiada siapa yang melihat cuma Allah saja yang tahu.
Dengan ini puasa menanam sifat jujur dalam diri sendiri dan kepada Allah. Apabila kita
membiasakan diri dengan ikhlas, kita
bertambah yakin dengan segala tindak-tanduk kita. Kerana pentingnya sifat ikhlas ini
Allah s.w.t. sendiri yang akan membatas pahala orang yang berpuasa.
Ketahanan badan yang diperoleh melalui latihan berlapar dalam puasa juga menghasilkan
ketahanan mental dan rohani. Melalui puasa dapatlah kita fahami
bahawa seseorang menjadi kuat dan boleh bekerja bukanlah kerana makan saja tetapi
kerana keyakinan dan iman kepada Allah akan menjadi nadi
penggerak kepadanya. Ini terbukti dalam sejarah peperangan Badar yang berlaku dalam
bulan Ramadan ketika pertama kali orang Islam diwajibkan berpuasa. Kekuatan seorang
sahabat boleh bertambah menjadi kepada tenaga kekuatan dua puluh orang hanya kerana
keimanan yang jitu pada Allah. Walaupun mereka sedang berpuasa musuh yang kenyang
akhirnya tewas ditangan orang Islam yang lapar dan sedikit jumlahnya.
Kesan kerohanian ini sebolehnya dikekalkan dalam diri orang Islam. Dengan itu mereka
dianjurkan meneruskan puasa sunat enam hari dalam bulan Syawal supaya
kekuatan rohani ini berkesinambungan. Bahkan untuk menjamin kesan kerohanian ini
lebih dirasai dan berterusan, dari sebelum Ramadan orang Islam sudah mula berjinak-
jinak dan berlatih melalui puasa Rejab dan Syaaban.
Puasa Ramadan berbeza dengan puasa dalam bulan lain. Ia penuh keberkatan,
kedatangannya dialu-alukan dan pemergiannya ditangisi. Jika manusia tahu apa yang
terkandung daripada keberkatannya mereka akan memohon supaya Ramadan itu
sepanjang tahun. Sayang sedikit bagi kebanyakan kita penekanan persediaan Ramadan
ialah seolah-olah Ramadan terpaksa dilalui untuk meraikan raya. Persiapan untuk raya
melebihi daripada persiapan untuk puasa., Seharusnya kita bersiap untuk puasa bersedia
meningkatkan kekuatan dalaman.
Bulan Ramadan sangat istimewa. Berkat dan rahmatnya membuat kebanyakan orang
terpanggil untuk membuat kebajikan dan menambah ibadat. Orang yang jarang membuat
amalan sunat pun akan sanggup sama-sama berjemaah, tadarus dan bertarawih. Paling
tidak pun mereka terpanggil ke masjid untuk menikmati
juadah berbuka dan ''moreh'' selepas tarawih yang disedekahkan oleh orang ramai.
Faktor pembangunan kekuatan manusia sebenarnya adalah terletak pada tiga perkara
utama iaitu akal, rohani dan jasmani. Semua kekuatan ini dapat dibina melalui puasa.
Akal menjadi kuat dengan pembacaan al-Quran. Rohani dan jiwa pula kental dengan
zikir dan istighfar. Fizikal badan pula mendapat ketahanan melalui puasa.
Ibadat puasa sesungguhnya berbeza dengan ibadat yang lain. Kesannya tidak terlibat
secara zahir. Ia lebih merupakan amalan dalaman yang tersirat dalam diri
seseorang. Ia berupaya memberi kekuatan dalaman untuk pembangunan insan.
DR. MASHITAH IBRAHIM
Penolong Profesor di Jabatan Quran dan Sunah, Kulliyah Ilmu Wahyu dan Sains
Kemanusiaan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.