Anda di halaman 1dari 4

Insan Cemerlang Teras kegemilangan Ummah Dato Dr Fadzilah Kamsah pernah berkata Insan yang cemerlang datangnya dari

akal, hati yang tenang, jiwa yang mantap. Selami jiwa, selami akal, selami lautan dalam. Selamat beramal. , Assalamualaikum dan salam ummah!! Terima kasih saudara peneraju acara. Yang dihormati barisan kehakiman yang berkarisma bersulamkan keadilan, penjaga masa yang tidak alpa dengan jarum jamnya, seterusnya barisan rakan sepejuangan, serta muslimin dan muslimat pengerak kegemilangan ummah. Maka, tampillah arjuna pertiwi untuk mengupaskan tajuk syarahan saya dibawah kata kunci Insan Cemerlang Teras Kegemilangan Ummah. Tak kenal maka tak cinta. Oleh yang demikian, sebelum lautan dalam kita salami dan sebelum lautan isi kita terokai, izinkan saya mendefinisikan tajuk syarahan saya pada kali ini. Menurut Professor DatoDr Harun Din, insan cemerlang bermaksud individu yang dapat memperkasakan dirinya baik dari segi ilmu mahupun berdaya saing dari segi teknikal ataupun professional. Menurut kamus dewan edisi keempat teras bermaksud asas. Manakala, frasa kegemilangan ummah, didefinisikan oleh Mufti Kerajaan Negeri Perak sebagai nilaian tinggi umat islam yang seimbang dunia dan akhirat. Justeru, untuk membina ummah yang gemilang, kita mestilah mengimbau kembali peristiwa hijrah dan sirah nabawiyah yang membawa 1001 hikmah kepada seluruh umat, melalui empat eleman yang akan saya kupas pada hari ini. AIYUHAL IKHWAH, Wacana fikrah yang pertama, Melahirkan Sifat Ubudiyah. Kepimpinan Rasulullah adalah berasaskan sifat ubudiyah atau kehambaan yang ada pada diri baginda. Hamba Allah yang sejati adalah yang menggunakan segala daya dan upayanya untuk mentaati Allah s.w.t, menurut segala perintah-Nya tanpa hujah, tanpa tangguh, tanpa raguragu dan pada masa yang sama hatinya yakin sungguh-sungguh kepada ketuhanan Allah s.w.t yang memelihara, menjaga, melindungi, menguruskan segala sesuatu dengan cara yang paling baik. Mentaati perintah Allah s.w.t dengan memelihara sempadan syariat dinamakan takwa, dan keyakinan hati terhadap ketuhanan Allah s.w.t yang memelihara serta mengatur,

dinamakan iman. Gandingan iman dan takwa melahirkan sifat ubudiyah yang sejati. Beriman tanpa bertakwa atau beramal adalah kejahilan. Beramal tanpa beriman adalah munafik. Allah berfirman di dalam surah (At Talaq: 2-3):

Sesiapa yang bertaqwa kepada Allah, nescaya Dia akan mengadakan baginya keluar, dan diberi rezeki dari sumber yang tidak diduga. Dari sini dapat kita fahami bahawa sifat ubudiyyah kepada Allah s.w.t merupakan satu eleman penting yang perlu ada dalam diri setiap individu. Sifat ubudiyyah yang mantap terhadap Maha Pencipta juga merupakan satu kekuatan dalaman yang boleh menjadi aspirasi dan inspirasi kepada kemandirian jiwa insani dalam usaha melahirkan ummah yang berakhlak mulia. Terbuktilah sifat ubudiyyah Rasulullah SAW merupakan inspirasi untuk melahirkan insan yang cemerlang seterusnya membentuk kegemilangan ummah. SIDANG HADIRIN SEKALIAN, Wacana fikrah saya yang kedua ialah Mewujudkan Sifat Masuliyyah. Rasulullah SAW merupakan seorang pemimpin yang bersifat masuliyyah atau bertanggungjawab. Umat Islam terutamanya yang bergelar pelajar atau mahasiswa hari ini perlu bersiap siaga dengan segala percaturan kearah merealisasikan wawasan negara untuk membentuk masyarakat madani dan negara maju yang terpimpin mengikut acuan sendiri menjelang tahun 2020. Sabda Rasulullah S.A.W. dari riwayat Al-Bukhari yang bererti : " Kamu sekalian adalah pemimpin dan kamu juga akan diminta bertanggungjawab tentang apa yang kamu pemimpin, ketua atau imam adalah pemimpin dan ia akan diminta tanggungjawab tentang apa yang dipimpin. Suami adalah pemimpin di dalam keluarganya, dan dia akan bertanggungjawab tentang apa yang dipimpin. Isteri juga dipimpin, dalam mengendalikan rumahtangga suaminya dan dia juga akan ditanya tentang apa yang dipimpinnya, dan pembantu rumahtangga juga pemimpin dalam mengawasi harta benda majikannya dan dia juga akan ditanya tentang apa yang dipimpinnya."

Dari hadis ini jelaslah bahawa tiap-tiap orang tidak dapat melepaskan diri dari tanggungjawab, dan tiap-tiap orang tidak dapat melepaskan tugasnya terhadap masyarakat dan semuanya akan ditanya oleh Allah apakah tanggungjawab kita itu dapat dilaksanakan dengan baik atau tidak. SIDANG HADIRIN SEKALIAN, Wacana fikrah saya yang ketiga ialah Mewujudkan Sifat Mahabbah. Sifat mahabbah pada jiwa setiap manusia di muka bumi ini merupakan faktor penggerak jiwa dan raga untuk melahirkan ummah yang gemilang berpaksikan kecintaan kepada illahi. Mahabbah dalam konsep ibadah menyebabkan seorang hamba menundukkan hatinya untuk mengagungkan Allah Ya Rabulizati yang di cintai, mentaati dengan sebenar-benar ketaatan di dalam menjalankan perintah-Nya dan menjauhi larangan-Nya di atas seluruh makhluk-Nya. Bila mahabbah ibadah ini diberikan kepada selain Allah, maka ini termasuk perbuatan syirik kepada Allah. Asy Syaikh As Sadi menjelaskan mahabbah melalui penyataannya iaitu: Pokok tauhid adalah pemurniaan mahabbah kepada Allah. Mahabbah ini merupakan pokok penyembahan dan peribadatan kepada-Nya. Tidaklah sempurna tauhid sampai sempurnanya mahabbah seorang hamba kepada Rabbnya. Allah SWT berfirman di dalam surah:


Dan orang-orang yang beriman lebih besar cintanya kepada Allah. Nah, terbuktilah sifat mahabbah Rasulullah merupakan inspirasi membina insan cemerlang dan ummah gemilang. Oleh itu, kita memerlukan falsafah kanta cenkung yang boleh mencapahkan segala sinar positif dan dalam masa yang sama sebuah kanta cembung bagi menutup penuh ruang tembusnya sinar negatif kearah solidariti bangsa dan membina kekuatan ummah. WARGA DEWAN YANG DIHORMATI SEKALIAN, Wacana fikrah saya yang terakhir ialah Menekankan konsep Itqan. Konsep Itqan boleh disimpulkan sebagai usaha kearah kesempurnaan. Pengaplikasian kualiti hendaklah dijadikan azam atau ikrar untuk dikota. Senario kita umat Islam pada hari ini, khususnya di Malaysia tidak begitu mengambil berat tentang persoalan solat. Dengan sebab pengabaian solat inilah kita lihat generasi Malaysia hari ini semakin lemah iman dan ketaqwaan kepada Allah swt serta bercambah dan merebaknya gejala maksiat dan pergaulan bebas yang meruntuhkan akhlak umat Islam negara kita terutamanya muda-mudi di negara ini.

Oleh itu, sebagai pelajar muslim dan muslimah yang merupakan harapan dan bakal menerajui kepimpinan negara pada masa hadapan perlu menyiapkan diri dengan pelbagai pengetahuan usaha yang bersungguh-sungguh untuk menyempurnakan ibadah. Insyallah, akan membuahkan hasil menjadi mukmin yang cemerlang. Biasakan yang betul, betulkan yang biasa. Allah berfirman dalam surah Ar-Rad ayat 11:

Sesungguhnya, Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. TUNTASNYA, Saya merayu kepada sidang pendengar supaya menjadikan agenda pengorbanan sebagai tunjang utama kearah pembentukkan arah perjuangan islam yang lebih mapan dan ampuh. Hal ini, mampu menyulamkan lebih banyak pengajaran yang dapat dijadikan iktibar dalam memanifestasikan insan cemerlang pemangkin ummah gemilang. Melahirkan masyarakat yang beriman dan bertaqwa Mengwujudkan individu yang bertanggungjawab dalam kehidupan. Mencintai Allah dan Rasulullah. Mentaati perintah Allah dan menjauhi laranganNya. Bersungguh-sungguh dalam penyempurnaan setiap ibadah yang dilaksanakan.

SIDANG DEWAN SEKALIAN, Melalui serampang empat wacana fikrah saya utarakan tadi itu jelaslah apabila dihayati dan diamalkan konsep U.M.M.I iaitu Ubudiyyah, Masuliyyah, Mahabbah, dan Itqan. Maka kita mampu melahirkan insan yang cemerlang dan Malaysia akan menjadi dengan ummah yang gemilang di dunia mahupun di akhirat kelak. Insyallah.

Anda mungkin juga menyukai