Anda di halaman 1dari 16

Bank Islam Menindas Rakyat Atas Nama Islam

Apabila sesuatu itu di buat atas nama Islam, ianya mistilah berasakan kesucian dengan berpandukan ajaran Rasul. Melebelkan nama Islam, sebenarnya merupakan satu tanggungjawab besar untuk melaksanakan amalan-amalan keislaman itu sendiri. Mengapakah bank itu dinamakan Bank Islam? Tidakkah Bank Islam terasa terpikul dengan nama Islam yang disandangnya. Melebel Islam tetapi tidak beridentitikan Islam adalah perbuatan yang meloyakan..Kecualilah, orang-orang yang menubuhkannya mempunyai agenda bisnes untruk medominasi umat-umat Melayu supaya melunggukkan duit di situ kerana rata-rata orang Islam lebih mementingkan kesucian. Kita lihat sejauhmanakah perjalanan dan perlaksanaan sistem bank islam benar-benar islam? Apakan bezanya Bank Islam dengan bank-bank konvensional yang lain.? Mungkinkah dengan penukaran istilah dari istilah faedah kepada profit misalnya, menyebabkan ianya menjadi suci? Sejauhmana Bank Islam hanya berhujjah dangan isu BLR untuk memuliakan diri sendiri? Mungkinkah dengan ciri-ciri yang Bank Islam ada, menyebabkan ramai orang yang bukan islam tidak tertarik dengan Bank Islam. Mereka selalu berkata.. sama saja maaaa. Kadang-kadang kita harus memahami apa sebenarnya maksud riba. Oleh sebab itu, Bank Islam cuba untuk lari dari riba dangan menukar istilah iaitu dari feadah kepada profit. Atas istilah baru itu, apa sahaja bayaran yang lebih dikenakan bolehlah dihalalkan.Sedangkan maksud sebenar riba adalah lebihan atau tambahan (al-ziyadah) yang dikenakan ke atas pinjaman. Dan sebab utama riba (bayaran lebih) ini diharamkan adalah kerana Islam memandang ianya sebagai satu penganiayaan ke atas si peminjam, yang terpaksa menanggung jumlah bayaran balik yang jauh lebih tinggi dari apa yang dipinjamnya. Sebagai contohnya, kalau dengan bank konvensional, pinjam RM100,000, bayar balik RM220,000, RM120,000 (bayaran lebih) itu adalah riba dan satu penganiayaan kepada si peminjam. Dengan Bank Islam pula, pinjam RM100,000, bayar balik RM250,000, bayaran lebih RM150,000 (jauh lebih tinggi). Adakah ini bukan riba dan bukankah satu penganiayaan?Malahan ia dihalalkan oleh Ustaz-ustaz yang disuap dengan gaji tinggi oleh pihak bank kerana anda menjaga kepentingan pelabur-pelabur mereka. Cuba kita fikir sendiri. Kita ada rumah bernilai RM100,000 dan nilai tersebut sudah pun disahkan oleh jurunilai berdaftar mengikut harga pasaran. Tapi bila kita beli rumah tersebut dari Bank Islam secara ansuran, Bank Islam cakap harga jualannya adalah RM250,000. RM250,000 itu berdasarkan nilai pasaran 30 tahun akan datang. Adakah kita rela atau

menyumpah-nyumpah dengan Bank Islam kerana mark-up harga tahap maut? Takkan kita nak niat sedekah pada bank yang sudah sememangnya kaya-raya. Lazimya, Bank Islam berhujah, bahawa harga kami adalah tetap. Tidak kira apapun terjadi harga sudah ditetapkan. Disinilah point Bank Islam untuk membela diri dan menyucikan diri, tetapi sesuatu yang kita harus tanya, apakan jadi dengan harta, jika dilelong atau telah muflis? Cara kiraan Bank Islam amatlah menyedihkan. Contohnya, katakan anda buat pinjaman RM100,000 dengan kadar 7.5% setahun untuk 30 tahun. Harga jualan bank islamik = RM 250,944. Sebulan anda bayar lebih kurang RM700 sebulan. Setahun, anda bayar RM8,400. 10 tahun anda bayar RM 84,000. Ditakdirkan, selepas 10 tahun, anda mengalami masalah kewangan dan tidak mampu bayar ansuran rumah lebih setahun. Rumah tersebut terpaksa bank lelong . Mengikut harga pasaran, rumah tersebut dinilaikan pada harga RM160,000. Tetapi kerana rumah itu dilelong pada harga murah, ia hanya dapat dijual pada harga RM 146,000 sahaja. Bank Islam akan buat pengiraan berdasarkan harga jualan yang sudah ditetapkan dari awal (RM250,944), tolak semua bayaran yang anda sudah buat selama 10 tahun (RM84,000) dan harga kutipan lelong RM146,000. Oleh kerana anda gagal buat bayaran dan rumah dilelong, bank tidak akan beri anda rebet atau diskaun. Mereka caj harga penuh. Selepas ditolak semua bayaran, anda masih lagi berhutang kepada bank RM20,944. Mahkamah perintahkan anda bayar baki hutang pada kadar RM100 sebulan dan selagi ia tidak selesai, anda masih diblack-list dari kesemua institusi kewangan (CTOS) sampai mati. Ini bebeza dengan bank konvensional (Bukan nak memuji bank konvensional, sekadar ambil perbandingan) apabila rumah anda dilelong, jumlah yang boleh dituntut oleh pihak bank, hanyalah setakat full settlement amount selepas 10 tahun (RM 86,655) dicampur dengan tunggakan bayaran serta interest (katakanlah semua RM10,345). Dari harga lelong RM146,000, tolak full settelement value RM 97,000, anda masih dapat untung RM 49,000 dari harga lelong tadi. Memanglah anda kini takde rumah, tapi sekurang kurangnya anda tidak ditinggalkan dalam keadaan masih berhutang dengan pihak bank. Boleh jugak mulakan hidup baru dengan menyewa dan selesaikan hutang hutang lain. Kadang2 terfikir mana yang lebih zalim... Mengapa sesuatu yang dibuat atas nama Islam boleh mengolah sistem kewangan sezalim itu? Selalunya Bank Islam berhujah atas nama BLR. Ramai rakyat tidak tahu makna BLR ini. Kadangkadang orang-orang bank menakut-nakutkan pengguna dengan BLR terutama jika berulang lagi krisi ekonomi.

Memang kita akui, kadar BLR akan berubah ubah dari masa ke semasa, tetapi ia tidak akan naik tidak tentu pasal. Jika ia dinaikkan, tentu ada sebab di sebaliknya. Sebagai contoh, tahun 1998 kadar BLR terpaksa dinaikkan kerana masalah manipulasi matawang ringgit di pasaran luar. Bila kadar pinjaman dinaikkan, ekonomi akan jatuh. Jika kita perhatikan, BLR naik pun tidak lama. BNM pun tahu, kalau kadar BLR disetkan tinggi, lama-lama orang tak mampu bayar loan mereka akan menderita. Kadar pinjaman tidak berbayar (non-performing loan) naik mencanak-canak. Selepas 2 tahun, kadar BLR jatuh kepada 6.8%, kemudian kepada 6.4% dan akhir sekali kepada 6.0%. Hanya apabila harga petrol dinaikkan 30 sen, harga barang mula naik, inflasi juga mula naik. Untuk mengawal inflasi dan harga barang yang dikawal, maka BNM naikkan kepada 6.75% sekarang ini. Anda boleh refinance loan konvensional lama kepada loan baru yang menawarkan kadar lebih murah BLR , dengan FREE MOVING COST , tanpa ada yuran guaman. Pindah saja loan lama kepada bank baru yang menawarkan interest yang lebih murah. Malahan ada institusi kewangan yang sanggup beri fixed rate untuk loan konvensional sepanjang tempoh pinjaman seperti di AIA Assurance, Malaysian Building Society (MBSB), Citibank,CIMB Bank dan sebagainya. Mereka boleh offer 5.75%, 5.99%, 6% fixed rate loan, Rasa-rasa mana yang lebih mahal? Loan konvensional atau loan islamik? Sekalilagi saya tegaskan, bukan untuk memuji bank konvensional, sekadar buat perbandingan, sahaja dan untuk melihatkan Bank Islam dan Bank konvensional tiada bezanya. Ini satu lagi, produk Bank islam yang didakwa adil dan mencerminkan keislaman iaitu rebet(ibra). Apa itu ibra? Ianya hanya sekadar gimik Sistem pinjaman Islam. Kita ambil contoh keadah ibra ni, berpandukan contoh pinjaman rumah tadi, setelah membayar pinjaman rumah selama 10 tahun (total payment RM84,000), nilai full settlement untuk loan konvensional adalah RM 86,655. Anda bayar RM 84,000, hanya untuk mengurangkan baki pinjaman sebanyak RM 13,345. Ini yang orang dulu mengamuk, bayar punyalah banyak, tapi baki pinjaman baru berkurangan sikit. Kebanyakan bayaran selama ni, hangus sebagai interest (bayaran lebih) kepada bank sahaja. Ini yang banyak dijadikan modal oleh islamik bank untuk menjatuhkan sistem interest oleh bank konvensional, kononnya tak telus. Padahal, orang mengamuk sebab mereka tidak ada pengathuan tentang sistem pengiraan loan. Kalau anda pakai loan islamik, setelah bayaran 10 tahun RM84,000, anda buat full settlement, bank islamik akan tolak RM 84,000 dari harga jualan RM 250,944. Baki hutang sepatutnya RM

166,944. Tetapi oleh kerana anda selesaikan pinjaman awal, maka bank islamik minta bayaran RM 86,655 sahaja lah. Lagi RM ,289 kira diskaunlah, rebet ibra' dari bank islamik. Banyak tuh RM80,000 diskaun, mana nak dapat? Kan bank islamik bermurah hati. Padahal, nilainya sama sahaja dengan full settlement loan konvensional. Tapi diwar-warkan seolah olah Bank Islam sangat bermurah hati bagi diskaun RM80,000. Sedangkan dari sudut teknikal, apabila anda selesaikan pinjaman lebih awal, pihak bank TIDAK BERHAK UNTUK TUNTUT INTEREST / PROFIT untuk baki tempoh pinjaman. Mereka hanya berhak ke atas tempoh sebelum penyelesaian awal sahaja. Cuba anda bandingkan sendiri, nilai early settlement dari loan konvensional dan loan islamik? Yang mana lebih murah? Kadangkala early settlement dari islamik loan lebih tinggi sedikit dari loan konvensional kerana mereka kenakan penalti caj yang lebih tinggi. Untuk kepastian, cuba anda selidik sendiri dan semak betulkan ada diskaun seperti yang dinyatakan, atau sekadar GIMMICK SAHAJA? Yang menjadi masalah sekarang, loan islamik tidak memgambil kira bayaran lebih yang anda lakukan untuk kurangkan profit yang dicaj ke atas loan anda. Ini berlaku terutamanya dalam pinjaman kereta dan pinjaman peribadi. Selagi pinjaman tidak dilangsaikan penuh, apa jua bayaran lebih tidak dikira untuk kurangkan total profit. Ini berbeza dengan loan konvensional di mana anda boleh bayar lebih untuk kurangkan baki pinjaman anda. Baki pinjaman berkurangan, interest yang dikenakan juga berkurangan. Disini juga harus diingat, Bank Islam bukan penjual rumah, kereta atau barangan kedai. Mereka adalah insititusi yang beri khidmat kewangan dan khidmat kewangan mereka, banyak datang dari meminjamkan duit pelabur pelabur mereka kepada orang ramai. Yang kadangkadang menjadi masalah, mereka mengenakan profit yang terlalu tinggi dari modal asal barang tersebut. Apabila si penjual mengenakan profit yang terlalu tinggi, ia mirip riba juga, iaitu riba al-Fadl. Ada dalil dari Quran yang menyatakan, adalah haram bagi seseorang yang mengenakan riba (bayaran lebih) berlipat ganda. Harus diingat juga, sistem ekonomi Islam bukan dibina dengan niat untuk membuat keuntungan semaksima yang boleh seperti sistem kapitalis. Ekonomi Islam mempunyai etika jual-belinya sendiri yang perlu kita patuhi dan etika ini menyarankan kita berbuat baik sesama orang lain, bukan menzalimi mereka. Tahukah kita ada beberapa sistem dalam Bank Islam ditiru dari bank konvensional. Contohnya, pinjaman kereta dan pinjaman peribadi. Mereka kata pinjaman Bank Islam bukan terjemahan

dari pinjaman konvensional, tetapi jika kita selidik, kita akan dapati ianya di copy bulat-bulat produk konvensional. Bagaiman ia terjadi? Ambil contoh pinjaman peribadi di sebuah bank A. Pinjaman ditawarkan pada 5.6% setahun sahaja untuk tempoh 5 tahun. Pinjam RM10,000, sebulan bayar RM 213 sahaja selama 60 bulan. Kononnya cukup murah 5.6%! Ramai orang tak tahu, 5.6% setahun itu bukanlah kadar sebenar pinjaman. Sebaliknya ianya adalah kadar nominal sahaja. Dalam erti kata lain, kadar pada nama sahaja. Pinjaman islamik meniru sahaja format pinjaman peribadi konvensional, yang gemar publishkan kadar nominal, dan bukannya kadar sebenar.Kadar sebenar untuk pinjaman tersebut, perlu anda rujuk mengikut kadar APR (Annual Percentage Rate) dalam loan agreement anda. Itulah kadar sebenar pinjaman anda dan ia dinyatakan pada kadar 10.2% setahun. Itulah, kadang-kadang kita pun tak tahu mengapa orang-orang Bank Islam tidak berterus terang dalam hal ini. Mereka ni tidak tahu ke atau mereka menganggap orang-orang awam tidak tahu apa-apa? Pinjaman kereta adalah satu lagi masalah Bank Islam. Ramai penarik-penarik kereta ala samsing berlambak mencari senarai nama peminjam yang lambat bayar ansuran. Mengapa badan yang berasakan Islam boleh mengupah samseng tarik kereta, untuk mengugut peminjam peminjam yang bermasalah?. Bila kereta dilelong, harga kereta jauh lebih rendah dari harga jualan pinjaman kereta. Si peminjam, sudahlah kena caj upah tarik kereta yang mahal, kemudian setelah kereta dilelong pun, masih menanggung hutang yang tidak habis sebab takde rebet. Berterusanlah si peminjam kena blacklist, menanggung hutang pinjaman kereta walaupun kereta sudah dilelong. Tetapi sebelum buat pinjaman kereta ini, cukup manis kata-kata mereka - pinjaman islamik yang telus dilakukan dengan akad sewa beli. Bila anda membeli kereta dengan skim pinjaman islamik mereka, anda umpama menyewa kereta dari mereka. Orang sewa kereta, kalau dah pulangkan, tidak perlu bayar sewa lagi. Tapi peminjam yang kereta sudah dilelong pun, masih kena blacklist dan tanggung hutang kadang-kadang sampai mati. Artikal ini bukan hendak menjatuhkan Islam. Hanya sekadar hendak memberi sedikit penerangan supaya sistem yang sedia ada boleh dibaikpulih dan lebih berwajah Islam. Tidak guna menggunakan nama Islam tetapi sistem masih jahlliah dan penuh kezaliman. Biarlah

Bank Islam didirikan atas dasar ingin membantu memajukan umah bukan untuk menindas ummah. Sampailah masanya, kerajaan harus bertindak membersihkan sistem Bank Islam atau sistem kewangan Islam. Apatah lagi dengan rekod Bank Islam yang telah mengalami kerugian. Mungkin, jika tidak diubah, orang Islam sendiri tidak akan dapat melihat kemuliaan dan kesucian Islam apatah lagi orang-orang bukan Islam.. Sejarah telah banyak membuktikan bahawa dari tangan orang Islam sendiri yang banyak menjatuhkan Islam.

Jangan baca sampai disini sahaja .. Teruskan Pembacaan Anda hingga ke akhir..

Perbankan Islam Zalim Kerana Mahal?


Oleh Zaharuddin Abd Rahman www.zaharuddin.net ( Artikel ini telah disiar dahulu di bulan februari yang lalu, ia disiar semula kerana masih banyak persoalan berkaitannya) Saya telah menjelaskan beberapa proses mengawal selia dan mematuhi Shariah di bank-bank Islam di dalam bab yang lepas. Bagaimanapun, saya tidak menafikan masih terdapat kemungkinan bank-bank Islam diseluruh dunia ataupun jendala perbankan Islam di bank konvensional yang tidak memberi perhatian sewajarnya terhadap proses itu. Justeru itu, menjadi tanggungjawab anggota majlis pengawasan Shariah setiap bank bagi bersikap lebih tegas, proaktif dan bersungguh-sungguh terhadap operasi bank yang diselia mereka. Masih segar di ingatan saya, pemuda mendekati saya lalu bertanya dengan soalan yang popular didengari. " Mengapa bank Islam lebih mahal daripada yang riba? "dan saya bertanya apakah yang menyebabkan ia membuat kesimpulan seperti itu. Lalu dengan tegas si pemuda ini menjawab: "Sebagai contoh. "katanya dengan yakin, "Ibu saya mengatakan membiayai perumahan bank Islam jauh lebih tinggi daripada perbankan konvensional, apa pandangan ustaz? "katanya sambil membulatkan matanya ke arah saya. Saya bertanya kembali. "Bagaimana cara ibu saudara mengira sehingga dapat jumlah itu? "kata saya, "Adakah saudara tahu berapa kadar keuntungan yang dikenakan oleh bank Islam dan berapa pula, yang dikenakan oleh Konvensional?" tanya saya lagi. Pemuda itu menjawab: "Bank Islam ini mengenakan kadar 7.60% setahun bagi tahun ke- tiga sehingga tiga puluh, manakala bank konvensional hanya mengenakan 6.75%, tambahan pula, bank Islam kena bayar RM1050 sebulan, bank konvensional hanya RM850 sahaja" katanya memberi contoh dengan yakin. Teknik yang Tidak Disedari Ini antara bentuk kekeliruan yang menjalar kalangan orang ramai yang ingin menggunakan perkhidmatan perbankan Islam di ketika ini. Mereka tidak dapat memahami cara kiraan yang betul menyebabkan mereka membuat keputusan dan kesimpulan yang salah. Bayangkan, perbankan Islam hanya mengenakan 7.60%

(tahun ke-3 sehingga 30 sebagai contoh), ini bermakna kadar ini tidak akan bergerak hinggalah 30 tahun itu, bukankah bank Islam menanggung risiko yang besar? Manakala apabila dilihat kepada pinjaman perumahan oleh produk konvensional, hampir kesemuanya memukau pelanggan dengan kadar rendah di tahun pertama, tetapi bagi tahun berikutnya kadarnya tidak dapat diketahui oleh pelanggan kerana ia bergantung kepada kadar peratusan BLR (Base Lending Rate ) atau Kadar Pinjaman Asas yang tidak tetap serta dicampur dengan 0.25% sebagai contoh. Bagaimana apabila peratusan BLR melambung tinggi seperti 10% seperti yang berlaku ketika krisis ekonomi? Bukankah ketika itu, kadar interest yang perlu dibayar oleh pelanggan juga amat tinggi. Ini tidak akan berlaku dalam pengamalan bank Islam kerana di awal kontrak lagi menetapkan harga jualannya, tanpa terikat dengan BLR dan tidak akan naik malah mungkin boleh turun sekiranya bank Islam bermurah hati memberikan rebate (ibra') apabila pihak pelanggan ingin membuat penyelesaian hutang awal early settlement'. Perlu dingat BLR naik beberapa kali sepanjang tahun lepas dan tahun ini dari 6% sehingga 6.75%. Ia juga boleh melonjak lagi mengikut keadaan ekonomi. Reduced: 89% of original size [ 759 x 563 ] - Click to view full image

Ini bermakna, kenyataan yang menyebut perbankan Islam mengenakan kadar yang lebih tinggi

bagi dibayar oleh pelanggan adalah kenyataan yang kurang tepat dan boleh dipertikai. Malah apabila dilihat kepada kadar membiayai yang dikenakan oleh perbankan Islam bagi produk-produk membiayai perniagaan juga membuktikan kadar adalah setara seperti ditawarkan oleh bank konvensional malah lebih murah dalam banyak keadaan. Hal ini sukar didedahkan kerana kadar membiayai syarikat berubah-ubah bergantung kepada tiga hal terpenting: * a) Kadar mengurus minima (cost of fund ) bank islam itu. * Prestasi dan kekuatan organisasi yang memohon pembiayaan. * c) Potensi and risiko perniagaan yang ingin diceburi. Semua yang disebut di atas mempengaruhi kadar yang dikenakan kepada pemohon. Saya sedar, walaupun saya menerangkan fakta di atas terdapat orang ramai yang mula menyebut: Zalim? "Jadi mengapa hanya setanding dengan konvensional? Kami ingin kamu menjadi lebih murah." "Bukankah bank Islam ini patutnya 'maqasid' (objektif Shariah) adalah membantu umat Islam, lalu kenapa mahal? " tanya pelajar sarjana IPTA kepada saya. Ketika itu, saya memberikan ceramah khas berkenaan produk perbankan Islam di sana, turut hadir adalah ketua jabatan fakulti Shariahnya. Lalu saya melihat kepada professor itu dan bertanya. "Professor, berapakah yuran yang dikenakan apabila saya ingin mengambil PhD dalam bidang Fiqh Islam dan Perbankan Islam." "Lebih kurang RM13,000" katanya. "Mengapa begitu tinggi Professor, kenapa tidak yurannya hanya RM 2000 sahaja?" tanya saya menguji. "Mana boleh, macam mana nak bayar gaji pensyarah kalau begitu" tegas Professor tersebut.

Demikian dapat saya simpulkan hal di perbankan Islam juga, harga yang ditawarkan adalah menurut kemampuan dan keperluan pasaran. Perlu difahami Islam menjaga hak penjual dan pembeli secara adil. Bukan hanya hak pembeli sahaja yang perlu dijaga. Adalah dikira kezaliman pada kita sebenarnya, apabila kita mengutuk kedai nasi lemak seorang islam kerana menjual nasi lemak dengan harga RM2.00, dalam keadaan kedai bukan Islam menjual pada harga yang sama ataupun lebih murah sedikit. Padahal, si Muslim menjual dengan kadar harga yang ia mampu tawarkan dan halal. Jual 2 Kali Ganda Harga Modal Tidak Zalim? Ada yang merungut dengan mengatakan bahawa bank-bank Islam zalim kerana harga aset yang dijualnya kepada pelanggan adalah dengan 100% keuntungan nescaya ia haram?. Jawapan saya, tidak sama sekali, selagi ia diterima oleh harga pasaran. Buktinya adalah dari hadith Nabi SAW : - - Ertinya : Sesungguhnya Nabi SAW memberi 'Urwah satu dinar untuk membeli seekor kambing, maka (atas kebijaksanaannya) dapat dibelinya dua ekor kambing, lalu dijualnya seekor dengan harga satu dinar, lalu ia dating bertemu Nabi membawa satu dinar dan seekor kambing, maka Nabi terus mendoakannya dalam jualannya, yang jika ia membeli tanah sekalipun pasti ia akan mendapat untung" ( Riwayat Al-Bukhari, no 3642 ) Hadith ini menunjukkan bagaimana sahabat membeli dua ekor kambing dengan harga satu dinar, bermakna 1/2 dinar seekor, dan kemudian menjualnya degan harga 100% keuntungan iaitu 1 dinar seekor. Transaksi ini diiktiraf oleh nabi malah dipuji dan didoakannya. Justeru, tindakan bank-bank Islam yang menjual rumah atau asset kepada pelanggan yang dibelinya dengan harga 100 % lebih dari harga asal adalah halal selagi mana pasaran dapat menerimanya. Kunci Memahami Bagi mendapatkan penjelasan lanjut berkenaan hal ini pembaca perlu memahami fakta berikut :-

a) Bank-bank Islam adalah merupakan syarikat-syarikat berlesen dan berdaftar yang juga mensasarkan keuntungan supaya organisasi maju ke hadapan. Bagi mencapai sasaran itu, perbankan Islam menawarkan khidmat kewangan menurut Islam melalui produk-produknya yang diiktiraf Shariah. Ia bukannya badan kebajikan yang menawarkan khidmat secara percuma. Bank-bank Islam juga mempunyai pelabur-pelabur yang mengharapkan pulangan yang baik hasil pelaburannya, dan ia bukannya wang subsidi yang diberi secara percuma. Saya yakin, apabila anda menjadi salah seorang daripada pemegang saham utama di bank Islam, adakah anda dengan mudah merelakan keuntungan yang diraih berkurangan semata-mata kerana ingin membantu umat Islam?. Jawabnya, ia tertakluk kepada iman pemegang saham itu. Hasilnya, apabila anda merungut ianya mahal, berusahalah supaya anda menjadi salah seorang pemegang saham dan mampu rendahkan harga bank yang anda miliki. Ini amat terpuji dan yang amat saya galakkan secara peribadi. c) Bank-bank Islam juga mempunyai para kakitangan yang perlu di bayar gaji selaras dengan nilai pasaran. Keuntungan adalah amat penting bagi menjamin kakitangan yang berkualiti dapat dikekalkan bagi mengurus bank secara efektif dan kompetetif. d) Bank-bank Islam juga perlu membayar kos operasi bangunannya dan peralatan-peralatannya. Justeru itu, apabila khidmat yang ditawarkan adalah percuma dan amat murah, bagaimana mungkin sebuah bank Islam mampu terus berkembang. Selepas memahami empat fakta di atas, cuba fahami fakta berikut pula: a) Apabila anda mengatakan, perbankan Islam sepatutnya sentiasa lebih murah berbanding konvensional kerana ia membantu orang ramai terutamanya orang Islam. Anda perlu menyedari kebajikan dan kepentingan bank juga perlu dijaga supaya mampu terus menerus membantu segenap lapisan masyarakat. Nabi tidak membenarkan kawalan harga dibuat oleh kerajaan pada masa yang tidak terdesak. Nabi juga menolak permintaan sahabat baginda untuk melakukan 'ceilin' harga di ketika pasaran tidak diserapi unsur zalim oleh peniaga. Sebagaimana respon dan jawapan nabi SAW kepada sahabat baginda : , Ertinya : Bahkan Allah SWT adalah yang menaik dan menurunkan harga, dan sesungguhnya akhu berharap untuk bertemu Allah dan tiada seorang pun dari kalangan kamu menuntut dariku akibat sebarang kezaliman ( yang aku lakukan) samada berkaitan darah atau harta" ( Riwayat Abu Daud ; hlm 385 ; Al-Bayhaqi, 6/29 ; Sohih menurut Albani)

Ia adalah kerana Nabi tidak mahu menghadkan hak peniaga bagi mendapat keuntungan. Justeru itu, selagi mana ruang keuntungan masih berada di paras pasaran adalah dibenarkan. [1] Apabila anda mengatakan, perbankan Islam sepatutnya membantu orang-orang yang susah dan bukan semakin menyukarkan mereka. Maka anda perlu memahami apabila bank Islam itu memperolehi keuntungan, ia akan mengeluarkan zakat bagi asnaf (kumpulan) yang layak menurut Shariah. Malah selain itu, bank-bank Islam juga mempunyai peruntukan sumbangan kebajikan yang diberikan menurut keadaan. Bukankah itu juga membantu individu yang susah dan memerlukan. Ini jelas, kerana orang yang benar-benar susah tidak akan mampu mendekati bank dan mengajukan permohonan. Maka sesiapa yang diluluskan permohonannya oleh bank-bank Islam sebenarnya adalah orang yang agak senang. Justeru itu, bukankah amat baik apabila zakat yang dikeluarkan oleh bank disalurkan kepada orang yang benar-benar susah berbanding yang sederhana susah. Kita perlu mengetahui jumlah peruntukan zakat yang sediakan oleh bank-bank Islam dan jendela "windows" perbankan Islam bagi tahun kewangan 2005 sebagai contoh adalah seperti berikut: RHB ISLAMIC Bank: RM920 ribu, HSBC Amanah: RM49 ribu, Maybank "Islamic windows": RM1.172 juta ; Public Bank "Islamic windows": RM55 ribu, Hong Leong Islamic: RM45 ribu. Merujuk kepada laporan setiap bank berkenaan bagi tahun kewangan 2005. Bukankah ini benar-benar membantu orang yang susah sebagaimana yang diinginkan? c) Keuntungan baik yang diperolehi bank-bank Islam juga membolehkan bank ini meluaskan lagi jangkauan operasinya, selain memantapkan lagi keuntungan akan datangnya. Ia adalah amat baik kerana bakal menghasilkan lebih banyak peluang kerjaya baru bagi individu Muslim di perbankan konvensional yang ingin berhijrah ke perbankan Islam, ia juga mewujudkan banyak peluang pekerjaan buat rakyat sekaligus membantu mereka. Malangnya, ramai yang suka menyempitkan fikiran mereka dengan hanya melihat kepada kadar-kadar membiayai sahaja. d) Adakah anda menyedari? Apabila bank mendapat keuntungan yang baik, maka ia juga menghasilkan kadar pulangan yang tinggi bagi penyimpan-penyimpan di akaun Islam sebagai contoh Akaun Mudharabah. Individu yang menyimpan akan mendapat pulangan yang lebih besar. Demikian juga penyimpan yang menyimpan dalam Akaun Simpanan Wadiah. Mereka juga berpeluang mendapat pulangan hibah' yang menarik. Ia juga satu lagi bentuk bantuan tetapi tidak disedari oleh orang yang merungut ini.

Adakah fakta ini mencukupi? Saya akan memberi jawapan memahamkan rakyat Malaysia. 1) Nilai yang halal adalah tidak ternilai. Seorang usahawan Malaysia memberitahu saya pengalamannya di London, harga ayam yang disembelih jauh lebih mahal daripada ayam yang tidak disembelih. Bagaimanapun, umat Islam tetap terpaksa membeli ayam yang mahal tadi demi memastikan makanannya halal walaupun ia lebih mahal. Bagaimana apabila individu mengatakan produk bank Islam lebih mahal. Majlis Penasihat Shariah masing-masing mengesahkan produk yang halal berbanding produk-produk yang tidak disahkan Shariah. Fenomena yang agak ganjil berlaku hari ini adalah orang Islam mengambil berat makanan yang dicampur dengan ayam tidak sembelih dan sebagainya, tetapi sering melupakan riba diharamkan. Ia adalah jauh lebih berat daripada memakan ayam bangkai ataupun khinzir. Allah SWT berfirman : Ertinya : Harta dan anak-anak adalah perhiasan kehidupan dunia tetapi amalan-amalan yang kekal lagi saleh adalah lebih baik pahalanya di sisi Tuhanmu serta lebih baik untuk menjadi harapan" ( Al-Kahfi : 46 ) Ayat surah Kahfi menurut Syeikh Ibn Asyur mengingattkan kita betapa perlunya kita menyedari amal soleh dan keberkatan adalah lebih perlu diutamakan dari harta banyak tanpa halal. Jadi dalam konteks ini, walaupun anda mendapat harga rendah di bank konvensional. ia bukanlah amal soleh kerana ia adalah Riba yang haram. Malangnya umat Islam, bila bercerita berkenaan perbankan Islam yang halal, yang paling disibukkan adalah kadarnya yang lebih mahal dari konvensional kononnya. Tidak terlihat langsung elemen HALAL dan HARAM dalam mindanya. Padahal, menggagahkan diri menggunakan perbankan Islam walaupun sedikit lebih mahal merupakan satu amal soleh yang amat terpuji dan itulah yang dilihat oleh Allah SWT sebagaimana yang dinyatakan dalam ayat di atas. Ini lah bukti, umat Islam sudah semakin hilang sensitiviti kepada alam barzakh dan akhiratnya. Padahal, tiada yang lebih zalim dari bank yang menyediakan perkhidmatan haram Riba,

semurah manapun mereka. Kerana ia tetapi haram dan amat zalim menurut hak Allah SWT. 2) Kos tambahan bagi khidmat profesional pengesahan Shariah. Apabila dilihat daripada perspektif perniagaan dan logik pula. Pengesahan Shariah amat diperlukan dalam semua produk, aktiviti pelaburan dan pembiayaan bank Islam. Justeru itu, keadaan ini dianggap sebagai satu proses menambah piawaian profesional yang pastinya memerlukan kos masa, tenaga dan kepakaran tambahan. Keadaan ini sekali lagi menyebabkan semua produk yang ditawarkan bank Islam adalah unik, istimewa dan melalui proses Shariah Screening', yang lebih unik dan berkualti mempunyai nilai pasaran yang sedikit berbeza.

3) Bank-bank Islam adalah pemain-pemain kecil yang sedang meningkat naik. Ini ternyata daripada statistik yang dikeluarkan oleh Laporan bank Negara Malaysia Tahun 2005 melaporkan aset semua bank-bank Islam dan jendela perbankan Islam di Malaysia sebanyak RM111.8 billion dan ia hanya merupakan 11.6% daripada keseluruhan aset bank di Malaysia. Ini bermakna, bank konvensional masih menguasai industri perbankan dengan cukup jauh sekali. Bagaimanapun, kita bersyukur kerana prestasi perbankan Islam mencatatkan pertumbuhan sebanyak 17.7% berbanding tahun 2004. Jumlah Keseluruhan Asset Bank di Malaysia Menurut Ranking Pada 30 Jun 06 Maybank : RM 224 Billion CIMB Group : RM 154 Billion Public Bank : RM 135 Billion RHB Capital : RM 96 Billion AMMB Holdings : RM 72 Billion Hong Leong : RM 61 Billion EON Capital : RM 38 Billion Affin Holdings : RM 35 Billion

Bank Islam Malaysia Berhad : RM 18 Billion Sumber : NST, 26 Nov 06 Maka, sebagai pemain-pemain kecil yang sedang naik, kadangkala harga yang ditawarkan mungkin lebih tinggi sedikit berbanding pemain-pemain besar. Ia dianggap seperti harga barangan yang ditawarkan di kedai runcit dibandingkan dengan harga di hypermarket. Individu memahami bank konvensional yang mempunyai aset besar sekitar RM150 billion (sebagai contoh), apabila ia menghadapi hutang tidak berbayar (non performing loan) daripada peminjamnya berjumlah RM150 juta, kedudukan bank itu masih tidak tergugat. Bagaimanapun, sekiranya bank Islam dengan asetnya berjumlah RM8 billion (seperti RHB Islamic Bank pada tahun 2006), apabila ia mempunyai jumlah nilai hutang tidak berbayar dalam jumlah yang sama (RM150 juta), sudah tentu ia akan memberikan kesan yang besar kepada jangka hayat bank Islam itu. Kesimpulannya, bank-bank Islam serta kaunter / jendela "windows" Islam hari ini perlu diberi lebih sokongan oleh semua rakyat demi memampukan ia mencapai tahap yang di gariskan kerajaan (iaitu 20% aset perbankan Islam berbanding konvensional), malah mengatasinya. Apabila hari ini kita sanggup berkorban sedikit demi memajukan bank-bank Islam, nescaya sudah pasti generasi akan datang mampu melihat dan menikmati kadar yang sangat hebat serta halal daripada institusi kewangan Islam dan produk-produk Islam. Saya secara peribadi juga amat mengharapkan agar kadar pembiayaan yang dikenakan oleh Bank-bank islam boleh lebih murah dari sekarang, bagaimanapun saya tidak dapat menyembunyikan syukur saya, kewujudan mereka ini pun adalah satu nilai yang besar buat umat Islam kerana dengannya dapat kita mengelakkan pembelian rumah dan lain-lain dari terjebak dengan Riba. Sekian Zaharuddin Abd Rahman www.zaharuddin.net Tulisan asal disiarkan pada 2006 Diedit pada 25 Julai 2007

Anda telah pun mendergar kedua2 pendapat tadi. Renung2kanlah.

Anda mungkin juga menyukai