Anda di halaman 1dari 7

MUTIARA BONDA Ada uraian air mata yang mengalir di pipi bonda.

Aku tahu itu tangisan yang lahir daripada perasaan gembira yang tidak terlafaz oleh bonda. Bonda menguntum senyuman sendirian yang berpanjangan. Aku pasti, perkhabaran warkah yang bersetemkan Jordan itu cukup menghargai kegigihan bonda, kerana di puncak harapan ada tubuh yang disakiti. Ada tangisan yang menyayat hati setelah ada bengkak yang berdarah. Setelah bermusim-musim membesarkan adik, bonda ibarat pengumpul setem yang mengoyakkan setem duka dan sampul kehidupan, lalu dimasukkan ke album pengalaman. Akhirnya, menganggap itulah yang paling berharga buat bonda. Album yang sarat dengan suka duka kehidupan bersama-sama adik. Kejayaan adik lebih meyakinkan bonda dengan ketentuan Rabbul Jalil. Saat syahdu begini, wajah adik kembali menerjah di kotak fikiranku. Ada tikaman masa lampau yang menajam di ingatan yang sengaja aku asah-asahkan. Membesarkan adik menagih selautan kebesaran. Mengimbau kenangan lalu, melahirkan seribu kesyukuran dalam diriku kerana dikurniakan seorang ibu setabah bonda. Mencerna sikap adik yang tidak ketentuan, pohon sabar aku seakan-akan mahu tertumbang. Namun, aku cuba juga mengejapkan agar akarnya kuat. Biarlah kepedihan berterusan menginap di segenap relung hati yang kian pengap dengan amukan senyap. Terasa lagi berpiuh-piuh bonda melentur adik. Itu susu galur kepayahan yang sudah berlalu lebih 10 tahun lampau. Adik wira tunggal dalam keluarga. Pastinya sayang kami sekeluarga kepadanya melangit tinggi. Tercalar macam mana pun gelagat adik, kami tangani sahaja dengan sabar.

Malah, adik merupakan tongkat bonda setelah hampir tersungkur dengan hukuman yang memilukan. Kelahiran adik bagai azimat mujarab yang mengubati sengsara bonda. Pendek kata, adik ibarat penyelamat kekuatan bonda. Namun, satu-satunya teruna yang disangka dapat dijadikan sandaran keluarga telah menghempap batang hidung kami sendiri. Sejak dimasukkan ke alam persekolahan, awal-awal lagi sudah terserlah kemalasan dan ketidakkesungguhan adik terhadap ilmu. Adik akan mengamuk kalau permintaannya diabaikan. Kalau mengamuk, habis barang di dalam rumah dibalingnya. Berpantul-pantul kalimah mengarut keluar daripada mulut mongelnya. Saya tahu, kerana terlebih berkawanlah adik terlebih cekap menyumpah. Berang adik hanya akan reda tatkala kehendaknya dituruti. Pernah ketika adik berusia sembilan tahun barannya cukup melampau. Adik meminta RM5.00 daripada bonda untuk membeli mercun. Apabila bonda enggan memberinya, tidak fasal-fasal adik menghempas cawan kaca, lalu serpihannya terkena ibu jari kaki bonda. Darah memancut daripada ibu jari kaki bonda yang terluka. Namun, keinsafan adik tidak terjelma di hatinya. Diambilnya duit dari dompet bonda dan terus keluar. Ya Allah... betapa geramnya aku. Bonda hanya menangis. Kadang-kadang bonda akan menyalahkan diri sendiri. Bonda yang berdosa kerana tak pandai menjaga anak. Aku tidak suka dengan kelembutan bonda terhadap adik. Walaupun adik sudah hilang rasa hormat, bonda masih berlembut dan tidak jemu-jemu menasihatinya. Memang dari kecil adik tidak pernah dicubit, tidak pernah ditengking, apatah lagi dirotan. Oleh sebab itu, perangainya begitu nakal. Daripada belajar di taski hinggalah ke darjah enam, adik didukung di belakang bonda untuk menuruni dari satu anak tangga ke satu anak tangga. Maklumlah, rumah dua tingkat. Bayangkanlah, sudah berusia 12 tahun pun, bonda masih mendukungnya! Boleh terpatah dua

batang tulang belakang bonda itu. Tetapi, kalau tidak dibuat begitu, alamat berjam-jamlah adik akan mengesot dengan mata yang terpejam. Bondalah yang berkuyup lencun memandikan adik. Gigi adik pun bonda yang gosokkan. Di suruhkan mengangakan mulut, adakalanya jari bonda digigit adik. Isyy... kalau aku... memang lima jari sudah tercap di pipinya. Tetapi bonda? Bonda cuma berkata perlahan,Kenapakah adik buat bonda begini? Adik tak kasihankan bonda? Ah, tiada sejuring pun ihsan adik bertamu! Aku betul-betul sakit hati. Berasap-asap bara meluat aku. Pagi-pagi hendak ke taski bertalu-talu pemandu van bingit membunyikan hon. Dia kerap merungut bosan dengan kelewatan adik. Malah, kadang-kadang pernah pemandu van itu tolong angkatkan adik masuk ke dalam van. Lihatlah, begitu sukarnya untuk menyekolahkan adik! Malu betul pada jiran. Seolah-olah bonda tidak pandai mendidik anak! Dalam seminggu, hanya tiga empat hari adik pergi ke sekolah. Cikgunya pun sudah tidak larat hendak menjengah ke rumah. Kerja sekolahnya saya dan bonda yang akan selesaikan. Hal ini untuk memastikan adik mahu ke sekolah pada esok harinya. Pernah adik didenda ketuk ketampi sebanyak 20 kali kerana gagal melangsaikan kerja Matematiknya. Sejak itu apalagi, adik mulalah berhelah tidak mahu ke sekolah kerana takut akan guru itu. Makin peninglah dan kalutlah bonda meneropong ikhtiar. Buku rekod kemajuan adik penuh dengan angka-angka merah. Malah adik cukup setia dengan angka tercorot. Tidak tahulah, adik ini mewarisi kemalasan siapa. Padahal, dua orang kakak kembar aku ialah puncak kejayaan keluarga aku. Buktinya, Kak Long kini di Universiti Southwestern, Texas dan Kak Ngah aku di Universiti Monash, Australia.

Sepatutnya, beribu nasihat bonda boleh menjadikan adik anak yang soleh, tetapi kosong lompong. Walaupun bonda tidak pernah meluahkannya, namun aku dapat menterjemahkan kekecewaan pada wajah bonda. Yalah, hati seorang ibu, ibarat gelas, biarpun tidak berkecai, namu pasti akan ada retaknya. Adik tidak pernah sedar akan kelukaan yang pernah mendarah dan mendaging di hati bonda. Kasihan melihat bonda bersengkang mata menjahit baju upahan, dari sejak bertaburannya bintang, hinggalah riuh kokokan ayam. Adik, tidak pernah membantu bonda menjengah ke bendang bergelumang selut. Menoreh getah dalam gelita pagi, apatah lagi. Adik tidak pernah rasa semua itu. Walaupun masih kecil, adik patut ambil tahu tentang kesusahan ini dan memahaminya. Timbunan kerja itulah yang mengenyangkan perut kami. Kenapa adik tidak menghargai pengorbanan bonda? Aku dan adik juga selalu bertikam lidah. Aku rasa dunia ini akan aman kalau dia tiada di rumah. Alangkah, jauhnya kami dalam keadaan yang berdekatan! Asal berjumpa sahaja berbahanglah perang pertengkaran. Tegur sepatah, dibalas makinya yang petah. Inilah yang menjauhkan ukhuwah kami. Terpaksalah aku memujuk hati agar sabar, seperti bersabarnya bonda. Aku cuba belajar cara memadamkan api marah yang menyala-nyala dalam diri. Kata bonda, manusia pemarah ialah musuh dugaan. Kalau marah, lidah bonda tidak pernah tersasar. Tetapi, aku ini kalau geram sangat, mulut pun mulalah terbabas. Akhirnya, bonda menyuruh aku untuk bersabar. Fikir semula ayat-ayat yang telah diucapkan. Ujar bonda, ayat-ayat belati menyukarkan proses mengacuankan adik. Ujar bonda lagi, sifat seseorang tersembunyi di sebalik lidahnya. Jadi, hormatilah perkataan sendiri kerana di situlah terletaknya penghormatan orang kepada kita.

Bagi aku, nasihat yang menyejukkan hati mestilah didahului kata-kata berapi yang membakar kepala. Biar adik rasa tercabar dan berpalis malu tatkala adiknya diperlekeh. Entahlah. Aku harap bonda tidak tersalah mengasuhnya. Semasa awal darjah enam, adik tiba-tiba mewartakan sesuatu hasrat yang tidak terduga. Betapa gelabahnya kami. Pipi cengkung bonda dibasahi air mata. Adik telah menghancurkan impian bonda. Adik telah mencincanglumatkan jantung bonda. Adik nak berhenti sekolah. Bosanlah kena belajar selalu. Mana boleh paksa-paksa. Adik meluat betul dengan buku-buku dan cikgu yang semuanya garang. Begitulah lontaran ayat adik. Selamba, menuturkan kalimat itu. Aku kepalkan tangan. Aku awasi diri. Aku takut kalau kewarasan aku tidak daya dikekang, akan melayanglah tangan ini. Kalau UPSR pun tak sempat nak ambil, nak buat apa? Jadi kuli? Makan tidur, makan tidur? Sanggup turun ke bendang? Sanggup menoreh? Atau lebih berminat nak jadi kutu merewang? Hoi... Kak Cik apa tahu ? Orang dah malas nak belajarlah. Malas. Tak fahamkah? Lagipun, kilang kan banyak? Susah apa? jerkah adik biadab. Bonda hanya menggelengkan kepalanya yang beruban. Adik... sedarkah keputusan ini boleh menghancurkan masa depan adik? Hanya orang berilmu dipandang mulia, nak. Sopan berhikmah pujukan bonda. Adik mendengus kasar. Berlalu ke bilik menghempaskan kuat daun pintu sebagai tanda protes. Ada pendaman impian yang tersimpan di kalbu bonda. Bonda berhajat menghantar adik ke sekolah agama selepas adik menamatkan sekolah rendahnya. Bonda mahu adik bergelar Ustaz

Mohd. Harraz. Bonda mahu adik mewarisi kealiman suaminya, Lebai Sidi. Bonda mahu adik berjuang hingga liang syahid seperti arwah ayahnya. Harapan bonda ini bukan sekadar mencangkul angin. Dayung sudah di tangan, sampan sudah di tengah lautan. Namun, bonda tidak mampu melawan ombak kedegilan adik. Aku tahu, sekali adik sedang berdiri di muka cermin, bonda sedang memikirkan seraut wajah lain. Adik yang selekeh berseluar jean dan terkinja-kinja mendengar radion bertukar kepada adik yang segak berjubah dan berkopiah sambil membaca al-Quran. Nampaknya, ruang harapan bonda seolah-olah terpana dalam sinar bulan yang kian mengecil. Bonda tidak dapat menyekat hasrat merapu adik itu. Kak Long dari luar negara sanggup menelefon rumah setelah aku memberitahu hal adik. Kak Long marah-marah. Jenuh dia berpesan agar bonda memujuk adik. Kak Long hendak berbual dengan adik, tetapi jangan haraplah adik nak melekat di rumah. Kak Ngah pula berjela-jela menulis surat buat adik. Panjang sakan teks khutbahnya. Adik tetap berdegil bagaikan mencurah air ke daun keladi. Buang masa, buang idea, buang dakwat pen, buang kertas, dan buang duit setem sahaja. Sudah bertahun-tahun tidak balik ke Malaysia, mana tahu adik kian menyakitkan. Nasihat disepikan sahaja kerana kawan yang mengapiapikannya. Setelah berhenti sekolah, bermulalah perkamusan baharu dalam hidup adik. Adik mula berkawan dengan mereka yang jauh lebih tua daripadanya. Mula pandai meminta pakaian yang berjenama mahal. Adik pakai seluar labuh meleret-leret. Hal itu tidak mengapalah, sekurang-kurangnya adik dapat mengurangkan kerja orang majlis perbandaran menyapu sampah.

Bibir adik sudah mula nampak pucat kebiruan. Aku pernah terjumpa sekotak rokok di dalam poket seluar adik. Kalau boleh, aku hendak godam dan tonyoh-tonyoh mulut adik. Eee, geramnya aku. Kepulan asap yang dihembuskan cukup untuk meggambarkan adik sedang membakar keringat bonda.

Anda mungkin juga menyukai