Anda di halaman 1dari 14

RENCANA

Keluarga bahagia menurut Islam


Oleh PROF. DR. HARON DIN Klinik Darussyifa, Bangi

Manusia sebagai makhluk ciptaan Allah telah dibekalkan sejak awal kejadiannya dengan keinginan untuk berkeluarga, beranak pinak. Setiap keluarga juga menginginkan kebahagian. Justeru itu islam menyediakan satu garis panduan yang merangkumi asas asas untuk memimpin manusia mencapai kebahagiaan yang mereka mahukan sekali gus mendapat keredaan Allah. Allah berfirman: Dan di antara tanda tanda kebesaran Allah dijadikan kamu (manusia) pasangan hidup dari jenis kamu supaya dengannya Allah anugerah kasih sayang (mawaddah) dan rahmat (kasihan belas) dengan yang demikian itu jadi petanda kebesaran Allah untuk orang orang yang berakal. Ayat ini menjadi asas untuk manusia memahami tujuan sebenar perkahwinan. Islam letakkan tujuan yang amat murni dalam perkahwinan antara alam manusia dengan alam haiwan atau jin. Perhubungan jenis di kalangan haiwan hanya memuaskan nafsu syahwat tanpa sebarang akad atau tanggungjawab. Dalam alam jin miskipun ada adat resam ala mansia tetapi tidak ada sebarang akad dan tidak termaktub sebarang tanggungjawab seperti yang wujud dalam alam manusia. Islam meletakkan satu difinasi bersifat amanah untuk seorang lelaki mengamil isteri atau pasangan yang bukan sahaja untuk menunaikan fitrah tetapi lebih besar ialah untuk menikmati rahmat dan kebaikan serta keampunan daripada Allah.

Ertinya tujuan memuaskan hawa nafsu syahwat semata mata dalam perkahwinan hampir tidak disebut kerana ia hanya satu tuntutan naluri manusia. Kalau hawa nafsu syahwat menjadi tuntutan dalam perkahwinan maka perkahwinan manusia tiada bezanya dengan perhubungan jenis antara haiwan. Kemesraan wujud dalam alam haiwan seperti juga alam jin dan alam manusia tetapi bezanya Islam menganjurkan pada manusia supaya kemesraan dinikmati mengikut jalan yang diredhai Allah. Kemesraan mengikut cara yang mendapat rahmat Allah akan mewujudkan sebuah keuarga yang dipenuhi dengan keberkatan dan barakah, keberkatan yang akan melahirkan nilai nilai kemesraan dan kebahagiaan yang ditestui dan dilindungi Allah

Berkeluarga di alam baqa


Kekeluargaan dalam Islam tidak terbatas pada konsep duniawi semata mata seperti yang terbatas pada kelompok kelompok makhluk yang lain. Manusia, sekiranya ada status keluarga diredhai oleh Allah, maka mereka akan terus berkeluarga selepas berpindah dari alam dunia kealam baqa. Sepasang suami isteri yang soleh, yang mulia cara hidupnya, akan diredhai Allah dan selepas meninggalkan dunia ini mereka akan tetap bersama sama di akhirat bertemankan anak anak mereka. Hubungan keluarga dalam Islam adalah kudus (suci) justeru itu Islam mewajibkan suami memberi nafkah kepada isteri dan anak anak. Nafkah bukan sahaja membahagiakan keluarga di dunia malah segalanya akan diberi pahala sebagai amalan yang soleh. Setiap amalan yang soleh dan membawa kepada kemuliaan akan mendapat balasan yang baik di akhirat. Ini bererti insan dalam keluarga Islam adalah yang patuh dan mentaati segala perintah Allah terutama bagi mereka yang membentuk tatacara keluarga mengikut landasan yang diperintahkan oleh Islam. Islam adalah asas bagi setiap keluarga untuk menemui ketenangan fikiran dan tugas suami adalah untuk mengendalikan rumah tangga supaya dibina dan ditadbir atas landasan murni itu. Bagi anak anak pula mereka harus menghormati dan menghargai pengorbanan ibu bapa dengan sikap yang mulia sebagai tanda terima kasih. Kemesraan yang dipupuk atas nilai tanggungjawab akan menjadikan sebuah keluarga itu sebagai satu kelompok kecil masyarakat yang aman dan menjadi teladan. Membina keluarga bahagia tidak semudah membina rumah yang fizikal kerana membina rumah fizikal biasanya dapat dijalankan secara teratur berpandukan pelan yang sedia ada. Berpandukan kepada pelan, jurubina rumah akan membuat kerja mengikut arahan yang telah tertera pada pelan asal.

Tetapi bagi sebuah rumah tangga antara suami isteri dan anak anak, meskipun dibina atas satu rancangan atau pelan yang khusus lagi teliti, namun sampai masanya ada juga terjadi hal hal yang bertentangan daripada apa yang direncanakan. Kita seharusnya faham bahawa manusia adalah makhluk Allah yang lemah di mana ada yang mengimpikan cita cita yang tinggi tetapi mencapainya hanya sedikit sahaja, malah ada kalanya gagal sama sekali. Ini menunjukkan dalam setiap usaha manusia ada kuasa lain yang menentukannya. Ertinya kebahagiaan itu milik Allah dan bukannya hak manusia. Suami isteri adalah alat untuk menuju kebahagian, begitu juga anak anak dan harta benda. Semua itu hanyalah alat semata mata untuk mencapai kebahagiaann.

Kebahagian milik Allah


Haruslah disedari selagi sifat sesuatu benda itu bersifat alat maka ia hanya satu prasyarat yang tidak semestinya dapat menentukan kenyataan yang terjadi. Misalnya, cangkul hanyalah alat untuk memudahkan manusia mengerjakan kebun mereka atau menanam pokok. Tenaga manusia juga alat untuk membolehkan cangkul itu digunakan. Maka baiknya manusia menyedari bahawa material hanya alat tetapi kebahagiaan yang sebenarnya ada ditangan Allah.

Al-Quran dan Keluarga Bahagia


Al-Quran menjelaskan bahawa Nabi kita SAW adalah contoh teladan yang baik untuk dijadikan contoh kepada ciri-ciri keluarga bahagia. Firman Allah SWT maksudnya:
"Demi sesungguhnya adalah bagi kamu pada diri Rasulullah SAW itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang-orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)".

(Surah Al-Ahzaab : Ayat 74)

Ayat tersebut menjelaskan bahawa mereka yang mengharapkan keredaan Allah dan balasan yang baik di akhirat nanti disamping mereka tergolong dari kalangan mereka yang banyak mengingati Allah, maka bagi mereka contoh ikutan yang terbaik dari segala yang terbaik ialah diri Rasulullah SAW. Ini jelas membawa makna bahawa sekiranya kita ingin menjalani hidup dan kehidupan di dunia ini dengan penuh rasa kebahagian dan menikmati penghidupan di akhirat dengan kebahagian, maka kita hendaklah mencontohi diri Baginda SAW dalam apa jua bidang, tanpa berpilih-pilih dan cuba mencontohi yang mana kita rasa bersesuaian dengan diri kita sahaja. Demikian juga dari sudut kehidupan berkeluarga. Umat Muhammad SAW hendaklah mempelajari, mengkaji seterusnya mengamalkan bagaimana Baginda menjalani hidup dan kehidupan di dunia ini sebagai jambatan untuk menempuh penghidupan yang kekal abadi di

akhirat nanti. Maksudnya kebahagiaan di dunia ini berhubung kait dengan kebahagiaan di akhirat nanti. Ini sekaligus menyanggah pendapat mereka yang hanya mementingkan kebahagiaan hidup di dunia semata-mata tanpa mengambil kira kebahagiaan hidup di akhirat. Demikian pula halnya pendapat yang hanya mengutamakan kebahagaiaan hidup di akhirat semata-mata lalu memandang sepi kebahagiaan hidup di dunia ini. Tiada yang terlebih bahagia kecuali kebahagiaan hidup berkeluarga yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW. Cuma apa yang mungkin menyebabkan penilaian manusia itu berbeza-beza tentang konsep bahagia itu, ada hubung kait dengan tahap keislaman, keimanan dan ketakwaan masing-masing. Maknanya untuk menerima baik hakikat kehidupan Rasulullah SAW itulah yang terbaik dari yang terbaik, berkait rapat dengan maqam atau martabat masing masing dari sudut keislaman, keimanan dan ketakwaan. Apabila seseorang itu mempunyai tahap, maqam atau martabat keislaman, keimanan dan ketaqwaan yang rendah, ia sudah tentu tidak dapat menerima konsep kebahagiaan yang dijalani oleh Nabi SAW yang memperjuangkan hidup dalam taraf kemiskinan dari segi material. Tetapi mereka yang mempunyai tingkat keimanan dan ketakwaan yang tinggi, tidak akan menjadikan material sebagai kayu pengukur kepada makna kebahagiaan itu. Semakin tinggi tahap keimanan dan ketaqwaan seseorang itu maka semakin jelas baginya bahawa kebahagiaan yang hakiki itu adalah sepertimana yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW dan juga Khulafaur Rasyidin, yang rata-rata melihat kebahagiaan itu berpaksikan keimanan dan ketakwaan yang tinggi, atau dengan kata lain menilai kebahagiaan itu dengan rohani, jasmani dan akal yang sihat tanpa ada mengidap apa-apa penyakit. Hanya mereka yang benar-benar sihat keseluruhan tiga aspek tadi sahaja yang merasa kebahagiaan yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW itu sebagai kebahagian yang hakiki. AlQuran pula mahu semua manusia amnya dan umat Islam khasnya memilih kehidupan berumah tangga yang bahagia seperti yang ditunjukkan oleh Nabi SAW. Ini jelas apabila UmmulMukminin Saiyiditina Aisyah R.A ditanya mengenai akhlak Rasulullah SAW, beliau segera menjawab bahawa: "Akhlak Rasulullah SAW itu ialah (seperti tuntutan) Al-Quran". Firman Allah dalam surah Al-Ahzab ayat 74, hadis yang baru disebutkan (di atas) dan banyak lagi ayat serta hadis yang mengupas mengenai akhlak dan peribadi mulia Rasulullah SAW jelas menunjukkan bahawa Al-Quran adalah sebagai penjana keluarga bahagia.

Kesimpulan
Keluarga yang terdiri dari sepasang suami isteri dan dihiasi oleh sepak terajang anak-anak adalah satu institusi yang perlu kepada pentadbiran yang betul yang boleh menjamin kehidupan yang rukun, aman dan damai. Manakala suasana "Keluarga Bahagia" yang menjadi idaman semua manusia adalah matlamat yang ingin dicapai dengan apa cara sekalipun. Cuma apa yang cuba dicari kadang-kadang begitu kabur apabila penilaian terhadap erti kebahagiaan itu sendiri menghadapi masalah akibat dari permasalahan yang dihadapi oleh manusia dari sudut ketiga-tiga elemen penting yang kita huraikan sebentar tadi. Namun apa yang dapat kita titipkan melalui catatan yang serba ringkas ini dalam mendambakan kehidupan yang bahagia dalam institusi keluarga ialah; kesediaan kita untuk menjadikan Rasulullah SAW sebagai contoh teladan yang baik dalam segala agenda hidup kita, tanpa mempertikaikannya sedikitpun. Bilamana kita merasa kehidupan contoh (mithali) yang di tunjukkan oleh Baginda tidak dapat kita terima, atau gagal kita ikuti, itu bukan bermakna kita

perlu mencari alternatif lain dalam mencari kebahagiaan hidup. Tapi apa yang perlu kita lakukan ialah mencuba sedaya upaya untuk mengamalkan segala apa yang dibawa oleh Rasulullah SAW, segala apa yang disuruh buatlah dengan kemampuan yang maksima, demikian pula apa yang dilarang hendaklah kita jauhi, hindari dan tinggalkan sama sekali dengan penuh rasa kesedaran dan keinsafan demi memperolehi keredaan Allah SWT. Mempertingkatkan kualiti keislaman, keimanan dan ketakwaan kita adalah diiktiraf sah sebagai anak kunci sebuah kebahagiaan yang hakiki. Oleh itu terpulanglah kepada kita sejauhmana ikhlasnya niat kita dan juga usaha upaya kita untuk memiliki sebuah keluarga yang bahagia mengikut kaca-mata Al-Quran yang merupakan "Kalamullah" dan berpandukan contoh teladan yang ditunjukkan oleh Nabi besar kita Muhammad SAW yang diiktiraf oleh Allah SWT yang Maha Pencipta, Maha Mengetahui lagi Maha Pengasih dan Penyayang serta Maha Adil ke atas sekelian makhluk ciptaanNya. AW pula disahkan sebagai contoh yang mesti dikuti oleh seluruh manusia amnya dan umat Islam khasnya, jika benar-benar inginkan sebuah keluarga bahagia dalam erti-kata kebahagian yang hakiki. Semua pasangan yang berkahwin mengidamkan untuk mendapatkan keluarga yang bahagia namun bukan semua mampu untuk mengecapinya. Dibawah ini 50 tips untuk membina keluarga yang bahagia dari Dr Fadzilah Kamsah. 1. Pasang niat dan berdoa untuk menjadi suami terbaik. Tanpa berniat dan berdoa anda tidak mungkin jadi suami yang cemerlang. Ramai suami terlupa. 2. Bersyukur kerana mempunyai pasangan hidup. Yakinlah bahawa isteri anda adalah pasangan terbaik yang Tuhan tentukan untuk anda. Ketentuan Tuhan adalah yang terbaik. 3. Suami mithali menjadi kebanggaan isteri. Pastikan anda membentuk sifat positif dan istimewa. Cuba tanya diri apakah sifat atau amalan yang boleh dibanggakan oleh isteri anda. 4. Setiap hari pulang dengan senyum dan bersemangat. Apabila suami tersenyum, isteri dan anak-anak akan bahagia dan rahmat Tuhan akan turun. Senyumlah apabila sampai ke rumah. 5. Pastikan anda ada masa untuk berbual dengan isteri setiap hari. Semua isteri bahagia apabila dapat berbual dengan suami. Berapa minit yang anda luangkan unutk berbual dengan isteri setiap hari? 6. Telefon isteri ataupun hantar SMS sekadar untuk menyatakan yang anda sayang ataupun rindu pada isteri. Isteri anda akan berasa seronok dan bahagia apabila mendapat panggilan ataupun mesej tersebut. 7. Hiburkan hati isteri anda dengan bercerita, buat lawak atau gurauan yang mesra. Setiap gurauan mengubat hati isteri dan mengeratkan hubungan suami isteri.

8. Pastikan anda bergurau senda dengan isteri di dalam kenderaan semasa dalam perjalanan ke tempat kerja ataupun ke mana sahaja. Ramai suami membazir masa dengan membisu semasa di dalam kenderaan. 9. Amalkan makan bersama setiap hari. Berbual mesra dan nasihat menasihati semasa makan. Amalan ini akan menarik hidayat Tuhan dan mengeratkan hubungan. Elakan berbual perkara yang melalaikan semasa makan. 10. Ajak isteri mandi bersama sekali sekala. Bergurau senda semasa mandi bersama adalah sunah yang dapat mengeratkan hubungan suami isteri. 11. Amalkan mesyuarat keluarga sekerap yang mungkin. Amalan bermesyuarat menarik hidayat Tuhan,mengeratkan hubungan dan menyelesaikan banyak masalah.
12.

Bantu isteri melakukan kerja rumah. Ini adalah sunah yang dapat meringankan beban isteri, mengeratkan kasih sayang dan membahagiakan pasangan anda.

13. Pastikan penampilan anda anggun, kemas, bersih, wangi, sihat dan ceria. Ramai suami inginkan isteri yang mengancam, tetapi mengabaikan penampilan diri sendiri. 14. Didik isteri dengan memberi nasihat dan peringatan secara hikmah. Jadikan tindakan dan amalan anda sebagai contoh teladan yang cemerlang. Elakan cakap tak serupa bikin. 15. Berikan nafkah kepada isteri mengikut keperluan keluarga dan kemampuan suami. Ramai suami mengabaikan nafkah kerana isteri bekerja. Ramai suami yang kedekut dan berkira. Ini menyebabkan isteri derita dan rumah tangga terancam. 16. Jadikan penawar hati kepada isteri. Ambil berat keperluan dan kemahuan dan peka kepada emosi dan situasi isteri. Isteri yang bahagia membentuk keluarga sejahtera. 17. Sentiasa taat kepada semua perintah Tuhan dan memastikan keluarga juga patuh kepada Tuhan.
18.

Suami mithali sentiasa menyimpan rahsia isteri. Ramai suami secara sengaja ataupun tidak sengaja menceritakan keburukan isteri kepada orang lain. Ini wajib dihentikan.

19. Muliakan keluarga isteri seperti keluarga sendiri. Ada suami yang membeza-bezakan antara keluarganya dan keluarga isteri. Ada suami yang memusuhi keluarga isteri. 20. Bentuk sifat cemburu yang positif. Cemburu tanda beriman, sayang dan endah.Suami yang tidak cemburu adalah dayus. Isteri amat suka apabila suaminya ada sifat cemburu. Dia rasa dihargai.

21. Jadilah suami yang pemaaf. Syurga isteri di bawah tapak kaki suami. Maafkanlah isteri setiap malam sebelum tidur supaya rumah tangga bahagia dan isteri mudah masuk syurga. 22. Tegur kesilapan isteri dengan hikmah dan kasih sayang. Isteri merajuk bukan sebab ditegur, tetapi cara ditegur yang kasar. Apabila suami kasar, isteri jadi takut, bingung, hiba dan memberontak. 23. Gunakan Nabi Muhammad sebagai model. Hidupkan amalan sunah dalam rumahtangga. Sebut nama rasul apabila mendidik dan menasihati keluarga bagi mendapat hikmah. 24. Mendahulukan keperluan isteri daripada orang lain. Ini adalah tertib memberi khidmat. Ramai suami yang melebihkan orang lain daripada isterinya. Elakan kesilapan ini. 25. Suruh isteri dirikan sembahyang dan ibadah lain. Apabila berjauhan, telefon ataupun SMS bagi mengingatkan sembahyang. Wasiatkan isteri untuk sembahyang fardu dan sunat. Buat pesanan ini sehingga suami meninggal dunia. 26. Cintai isteri sepenuh hati. Cintai tanpa syarat, bertambah mengikut usia,penuh kemaafan, memberi tenaga,tidak pernah sensara serta berteraskan iman dan takwa. 27. Sentiasa berubah secara positif. Sebelum cuba ubah isteri dan keluarga, ubah diri dulu. Apabila suami berubah, keluarga akan turut berubah. Apabila suami cemerlang, isteri akan gemilang. 28. Pamer keprihatian yang tinggi terhadap keluarga. Ramai suami tidak ambil kisah dengan keluarga mereka.Cuba tanya apa lagi khidmat tambahan yang patut berikan kepada keluarga. 29. Pamer kematangan yang tinggi. Orang yang matang tenang, sabar, waras,bijaksana, dapat membuat keputusan dan cekap menyelesaikan masalah. 30. Memuliakan semua perempuan bukan sekadar isterinya. Ramai lelaki cuba hormat wanita tertentu sahaja.Ramai isteri yang kecewa terhadap suami yang menghina atau tidak hormat sebarang wanita termasuk pembantu rumah. 31. Bentuk beberapa sifat wanita yang terpilih dalam diri suami. Nabi Muhammad amat pemalu, pemaaf, peka,endah dan mudah menangis. Sifat wanita yang ada pada lelaki menaikkan martabat lelaki dan lebih disayangi wanita. 32. Mahir dalam menguruskan keluarga. Peka dengan masalah dan karenah ahli keluarga, cekap mencari punca masalah, mencari alternatif penyelesaian dan memilih penyelesaian yang optimum.

33. Membaiki diri secara berterusan. Tingkatkan iman dan takwa, cuci hati dengan sembahyang taubat, istighfar,memaafkan dan minta maaf, berkawan dengan orang yang baik, pendapatan yang berkat dan baiki amalan dan tindakan. 34. Jadi contoh atau model terbaik untuk keluarga. Doa dan usaha supaya setiap perbuatan anda dapat dicontohi dan dibanggakan ahli keluarga. Apakah sifat dan amal anda yang dapat dicontohi oleh ahli keluarga? 35. Jadikan diri anda pendorong dan motivator berkesan untuk keluarga. Sentiasa beri galakan dan belaian. Elak marah, kritik ataupun hina keluarga. Fikir positif dan bersangka baik terhadap keluarga. 36. Tingkatkan ilmu berkenaan agama. Lazimnya, suami yang mendidik keluarga berkenaan agama. Belajarlah ilmu agama dengan niat mendidik diri dan keluarga. 37. Sentiasa menegakkan kebenaran. Tegas menyatakan apa yang buruk dan apa yang baik. Elak mengenepikan kebenaran semata-mata bagi menjaga hati ahli keluarga. Tegakkan kebenaran dengan hikmah. 38. Bertindak tegas dan lemah lembut mengikut situasi. Tegas dalam menyeru ke arah kebaikan. Lemah lembut dalam menegur dan memberi nasihat. Tegas sangat orang memberontak, lembut sangat orang pijak. 39. Latih diri memuji dan menghargai isteri. Ramai suami yang pandai kritik tetapi tidak tahu memuji. Belaian merawat emosi dan fizikal isteri dan membuat dia terasa disayangi. Cari peluang untuk sentiasa memuji. 40. Cari peluang untuk bertindak romantis terhadap isteri. Ini termasuk senyum,lemah lembut, sebut sayang tiga kali sehari, buat sebelum disuruh, sentuhan sayang, pujian dan memberi hadiah. 41. Fahami yang isteri ingin selalu di sisi suami. Suami pula berjauhan dengan isteri sekali sekala. Apabila berjauhan, telefon, SMS ataupun e-mel unutk bertanya khabar, berikan maklumat dan mengubat rindu. 42. Bentuk kerjasama yang mantap dengan isteri. Pamer kesatuan hati dan pendapat kepada anak-anak dan orang lain. Wujudkan kerjasama melaui mesyuarat, berbual, tolak ansur, bermaaf-maafan dan banyak berdoa. 43. Nilai diri daripada kaca mata isteri. Buang sifat dan amalan yan isteri benci. Berusaha keras melakukan perkara yang isteri suka. Apabila isteri bahagia, suami akan bertambah bahagia. 44. Apabila suami melayan isteri seperti mana dia melayan kawan, pasti isteri bahagia. Bayangkan cara anda melayan isteri sebelum kahwin. Ulangi layanan itu sekarang. Pasti hebat kesannya.

45. Suami wajar belajar jadi mengikut setia. Patuhi cadangan, pandangan dan pendapat isteri yang betul. Jangan bangkang perkara yang baik. Kawal macho dengan saksama. 46. Buat undang-undang dalam rumah tangga. Apabila suami marah, isteri mesti senyap. Apabila isteri marah,suami mesti senyap. Ini mengelakkan daripada bergaduh. Orang tidak boleh bergaduh sendirian. 47. Latih gerak batin anda supaya serasi dengan gerak batin isteri. Serasikan gerak batin dengan berdoa, patuh perintah Tuhan, maafkan isteri, bersangka baik dan lakukan perkara baik untuk isteri mengikut sebarang lintasan dalam hati. 48. Pimpin isteri dengan nasihat dan kasih sayang. Pesan selalu dan nasihat sekalisekala. Waktu terbaik nasihat adalah semasa rehat, minum petang, waktu bersiar-siar dan semasa hendak tidur. 49. Seimbangkan hidup dengan sempurna. Rajin di tempat kerja, rajin juga di rumah. Peramah dengan kawan, peramah juga dengan isteri. Disiplin di pejabat, disiplin juga di rumah. Sabar dengan orang, sabar juga dengan isteri. Di luar dan di dalam rumah serupa. 50. Urus stress dengan sempurna supaya keluarga tidak terjejas. lakukan riadah,berdiet, hentikan merokok,bercampur dengan orang positif, bermain dengan bayi, tengok ikan di akuarium, menyanyi, sembahyang taubat dan maafkan semua orang.

SISTEM KEKELUARGAAN DAN PERKAHWINAN DALAM ISLAM


Kedatangan Islam telah membawa suatu perubahan besar dan amat berkesan dalam sejarah kehidupan manusia, sama ada dari segi pegangan, akhlak dan peraturan kehidupan. Islam telah menggariskan peraturan untuk manusia, bertujuan menjadi pedoman bagi membina masyarakat yang berdisiplin, sekaligus menyeru manusia kepada kehidupan yang lebih teratur. Di antara dasar-dasar yang menjadi tapak tegaknya masyarakat Islam ialah sistem kekeluargaan. Kekeluargaan adalah asas dan sumber kekuatan masyarakat. Ini kerana masyarakat ini terdiri dari unit-unit keluarga. Menurut Dr. Abdul Karin Zaidan keluarga umpama sel-sel yang berbentuk tubuh. Jika keluarga baik, nescaya masyarakat pun akan menjadi baik, sebaliknya jika keluarga itu rosak maka masyarakat seluruhnya akan menjadi rosak. Kekeluargaan menurut Kamus Dewan ialah yang berkaitan dengan keluarga atau hubungan sebagai anggota di dalam sesuatu keluarga, ianya berasaskan perhubungan keturunan atau disebabkan perkahwinan. Sesungguhnya yang dikatakan seisi keluarga adalah yang terdiri daripada suami isteri atau beserta anak-anak. Jelaslah bahawa pembinaan institusi keluarga mempunyai hubungkaitnya dengan perkahwinan. Memandangkan kepentingan inilah Islam telah mensyariatkan perkahwinan sebagai titik mula membina keluarga
Agama-agama wahyu memperakui bahawa perkahwinan pertama di kalangan manusia telah berlaku antara Adam a. s. dan Hawa. Perkahwinan ini berlaku dengan satu cara perhubungan yang dibenarkan oleh Allah Taala kepada mereka berdua. Ini merupakan suatu sistem perkahwinan yang disyariatkan bagi membiakkan manusia untuk meneroka bumi Allah dan menduduki nya buat sementara waktu. Selain daripada Al-Quran dan Al-Hadis, di dalam Old Testement dan New Testement, turut menceritakan kejadian Adam a. s dan Hawa sebagai pasangan yang pertama. Di dalam Taurat atau dikenali dengan perjanjian lama di bahagian permulaan kitab Bible di dapati beberapa ayat, di antaranya yang bermaksud Tuhan telah berkata tidak baik Adam berkeseorangan sahaja, maka aku akan jadikan seorang penolong sepertinya. Perkahwinan atau nikah menurut bahasa ialah berkumpul dan bercampur. Menurut istilah syara pula ialah ijab dan qabul (aqad) yang menghalalkan persetubuhan antara lelaki dan wanita yang diucapkan dengan kata-kata yang menunjukkan nikah, menurut peraturan yang ditentukan oleh Islam. Perkahwinan zawaj digunakan dalam Al-Quran bermaksud pasangan dalam ertinya perkataan ini bermaksud perkahwinan. Allah Taala menjadikan manusia itu berpasangan, menghalalkan perkahwinan dan mengharamkan zina. Tidakkah kita melihat pada bumi, betapa banyak Allah jadikan benda yang berpasangan di atasnya. Malah Al-Quran memberitahu kepada kita bahawa kita juga akan mempunyai pasangan dalam syurga, firman Allah Surah Al-Baqarah ayat 25 bermaksud; dan untuk mereka di dalamnya ada isteri-isteri yang suci dan mereka kekal di dalamnya. Sebagai contoh ialah kejadian di langit dan kejadian di bumi, jelas menunjukkan kebenaran bahawa Allah S.W.T. menjadikan semua ciptaannya dalam berpasangan. Keadaan tanah di muka bumi tidak rata semuanya, bahkan dijadikan berpasangan antara tinggi dan rendah. Di suatu kawasan penuh dengan tumbuhan menghijau malah di kawasan lain berpadang pasir. Daratan berpasangan dengan lautan, pokok-pokok yang meliputi bumi ini ada yang jantan dan betina. Demikian pula manusia

sedangkan atom yang sangat halus yang tidak dapat dilihat dari pandangan mata terdiri dari komponen-komponen yang berpasang-pasangan. Jika kita berfikir apakah hikmah Allah S.W.T. menjadikan berbagai-bagai jenis kejadian ini dalam keadaan berpasangan?. Kita sudah tentu dapat memahaminya dengan mudah. Cuba kita bayangkan bagaimana keadaan alam ini sekiranya ia sentiasa dalam keadaan malam atau siang sahaja, bumi berkeadaan kering, semuanya berpadang pasir. Manusia semuanya lelaki atau perempuan. Keadaan dunia seperti ini tentu membosankan dan kejadian ini tidak melahirkan keturunan malah manusia akan pupus dalam jangka masa yang singkat. Dengan adanya berpasangan, dunia kelihatan indah dan sesungguhnya kejadian Allah S.W.T. ini sangat indah. Dengan memberikan sedikit perhatian kepada kejadian ini, pasti anda mengerti mengapa anda dijadikan lelaki atau perempuan. Kedua-duanya dari acuan yang sama iaitu manusia yang dibentuk dari unsur-unsur kemanusiaan, seorang berwatak keras dan satu lagi berwatak lemah gemalai. Gerak langkah melambangkan kekuatan dan gerak langkah melambangkan keindahan. Sifat-sifat tersendiri yang ada pada lelaki dan wanita itu menunjukkan bahawa kekuatan lelaki dijadikan sebagai pelindung kecantikan wanita. Betapa indahnya kehidupan manusia ini dengan adanya pasangan di dalam kejadiannya. Betapa jemu dan bosan kehidupan ini jika yang menjadi penghuni alam lelaki semuanya, atau perempuan semuanya. Jadi, kejadian berpasangan antara lelaki dan wanita itu merupakan ramuan yang mengindahkan kehidupan. Allah S.W.T. berfirman: Di antara tanda-tanda kebesaran-Nya ia menjadikan untuk kamu pasangan dari jenis kamu sendiri untuk kamu tinggal tenteram di sampingnya dan dijadikan diantara kamu kasih sayang dan belas kasihan. Semuanya itu menjadi tanda-tanda bagi orang-orang yang berfikir. (ar-Ruum:21) Selain itu, kejadian berpasangan juga sebagai saluran untuk meneruskan keturunan manusia. Allah S.W .T. berfirman: wahai manusia bertakwalah kepada tuhan kamu yang menjadikan kamu semua dari jiwa yang satu dan dijadikan daripadanya pasangannya dan berkembang daripada keduanya banyak lelaki dan perempuan. (An-Nisa:1). Dengan keterangan ini jelaslah bahawa kejadian berpasangan antara lelaki dan wanita adalah untuk mengindahkan kehidupan manusia itu sendiri. Selain itu untuk mengekalkan keturunan manusia di muka bumi dalam masa jangka panjang sehingga Allah S.W.T. menentukan berakhirnya sejarah manusia di bumi ini. Ini semuanya adalah rahmat Allah S.W.T. kepada manusia yang diamanahkan untuk mengendalikan utusan di bumi sebagai Khalifah-Nya di muka bumi. Terdapat tiga jenis perkahwinan dalam sejarah manusia iaitu, poligami, poliandri dan monogamy. Perkahwinan jenis poligami ialah perkahwinan lelaki dengan ramai wanita dan amalan ini hampir diamalkan oleh semua bangsa di dunia. Mereka mengamalkan poligini tanpa had dan batas. Contohnya ada agama di negeri China yang membolehkan kahwin sampai 130 orang isteri. Pada syariat Yahudi, dibenarkan poligami tanpa batas. Berbeza dengan agama Islam hanya membenarkan poligami tidak melebihi empat orang isteri dengan syarat-syarat yang ketat. Manakala poliandri pula bermaksud perkahwinan yang berlaku antara seorang wanita dengan beberapa orang lelaki. Perkahwinan bentuk ini jarang berlaku kecuali di Tibet, orang-orang bukit di India dan di Arab pada masa jahiliah. Contohnya dalam masyarakat tradisi kaum Juansuwaris apabila saudara lelaki yang tua mengahwini seorang wanita, maka wanita itu menjadi isteri untuk semua saudara-saudaranya. Amalan ini dirujuk kepada kitab Mahabhrata.

Akhir sekali poligami iaitu perkahwinan yang berlaku antara seorang lelaki dan seorang wanita sahaja. Perkahwinan bentuk ini merupakan perkara biasa pada semua bangsa dan agama. Agama Kristian memandang perkahwinan itu adalah satu ikatan antara seorang lelaki dan seorang perempuan untuk sepanjang zaman, maka oleh kerana itu penceraian tidak diiktiraf sama sekali. Seorang lelaki hanya dibenarkan berkahwin sekali sahaja seumur hidup. Perkahwinan dalam syariat Yahudi membolehkan berpoligami tanpa batas manakala syariat Masehi iaitu pada setengah mazhab tidak dibenarkan berpoligami dan tidak dibenarkan bercerai, contohnya pada mazhab Khatolik. Jika diperhatikan dengan teliti, sistem perkahwinan Islam adalah lebih teratur dan menepati fitrah manusia. Jelaslah bahawa setelah kedatangan Islam, peraturan-peraturan perkahwinan yang telah berlaku itu telah diperbaiki dengan menghapuskan peraturan yang tidak baik dan mengekalkan mana-mana peraturan yang baik, malah dijadikan satu sistem baru yang lengkap dan sesuai bagi menjamin keselamatan dan kebahagiaan manusia. Islam sebagai satu agama fitrah dan bersifat universal serta sesuai dengan tabiat semulajadi manusia dan tidak bertentangan dengan kehendak naluri mereka. Malah Islam sentiasa membuka peluang kepada mereka untuk mencapai nikmat hidup dan keindahan manusia. Manusia seringkali tewas dengan godaan hawa nafsu untuk melakukan perkara kejahatan, juga sering melakukan perkara-perkara yang melanggar batas-batas kesopanan dan dasar-dasar akhlak yang mulia. Justeru, Islam secara logiknya berusaha untuk menutup pintu-pintu kerosakan dan keburukan demi kebahagiaan kepada seluruh umat manusia. Ini jelas boleh dilihat kepada falsafah perkahwinan di dalam Islam. Manusia akan menghadapi berbagai kepincangan sekiranya pergaulan lelaki dan wanita tidak diatur dan disusun mengikut peraturan tertentu. Tujuan perkahwinan ialah menyusun pergaulan antara lelaki dan wanita supaya dapat mewujudkan suasana kasih sayang yang memperindahkan kehidupan. Tanpa penyusunan yang rapi di dalam pergaulan diantara lelaki dan wanita, kepincangan tidak dapat dielakkan. Kerana itu, perkahwinan disyariatkan. Dalam perkahwinan, ditentukan kewajipan-kewajipan dan peraturan-peraturan yang akan membawa kebahagiaan kepada pasangan yang mematuhinya. Sebabnya jika peraturan-peraturan itu tidak dipatuhi, samada kerana kejahilan atau sengaja mengingkarinya, pasangan itu sentiasa dilanda arus yang menjadikan suasana hidup mereka tidak tenteram. Islam amat menggalakkan seseorang itu berkahwin, sebagai memperjelaskan lagi bagaimana Islam sangat menggalakkan perkahwinan, dimana dalam sesetengah keadaan Allah mewajibkan sseorang itu berkahwin. Hukum perkahwinan dalam Islam adalah wajib, sunat, makruh, haram. Hukum perkahwinan menjadi wajib adalah kerana seseorang yang mempunyai nafsu yang kuat sehingga boleh menjatuhkan diri kelembah maksiat (zina dan sebagainya) sedangkan ia seorang yang mampu. Dalam masalah ini boleh didahulukan perkahwinan dari naik haji kalau takut terjatuh ke lembah zina, tetapi kalau tidak ditakuti hendaklah didahulukan haji yang wajib. Manakala sunat pula ialah orang yang mampu, tetapi aman dirinya dari terjatuh ke dalam zina, ini adalah hukum asal perkahwinan. Seterusnya hukum perkahwinan menjadi makruh adalah kerana seseorang yang tidah mampu memberi nafkah lahir dan batin, tetapi sekadar yang tidak memberi kemudaratan kepada isteri, sama ada ia kaya dan tidak ada nafsu yang kuat. Akhir sekali hukum menjadi haram pula kerana tidak mampu memberi nafkah zahir dan batin kepada isterinya dan ia sendiri tidak berkuasa (lemah), tidak punya keinginan berkahwin serta akan teraniaya isteri kalau ia berkahwin.

Perkahwinan dalam Islam mempunyai hikmah dan tujuannya yang tersendiri, dimana ianya bukan hanya bersifat biologis semata-mata, tetapi adalah lebih tinggi dan lebih mulia. DI antara tujuan atau hikmah perkahwinan menurut Syariat Islam ialah untuk memperoleh ketenangan hidup, memelihara kesucian diri, melaksanakan salah satu tuntutan syariat dan menjaga keturunan. Pada hakikatnya Islam membentuk kaedah bagi mengatur fungsi kekeluargaan supaya pasangan suami isteri dapat memperolehi ketenangan, kasih sayang, ketenteraman dan seumpamanya. Sesungguhnya cinta yang sebenarnya antara lelaki dan wanita hanya akan lahir dari perkahwinan. Firman Allah Taala dalam surah Al-rum ayat 21 yang bermaksud:dan di antara tanda-tanda membuktikan kekuasaannya dan rahmatnya, bahawa ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikannya diantara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang berfikir. Di dalam tafsir Fi Zilaf Al-Quran yang dimaksudkan kasih sayang (mawaddah) dan belas kasihan (rahmah) ialah menjadikan hubungan suami isteri itu sebagai sumber ketenangan kepada jiwa, memberi kekuatan jasmani dan rohani, serta kemesraan hati nurani dan ketenteraman kepada kedua-duanya. Penjelasan Al-Quran yang lemah lembut menggambarkan hubungan lelaki dan wanita ini dengan gambaran yang amat menarik seolah-olah gambaran itu diambil dari lubuk hati dan perasaan kedua-duanya. Seterusnya memelihara kesucian diri, Manusia mempunyai naluri seks, naluri ini biasanya menjerumuskan manusia ke dalam maksiat yang merosakkan kehormatan diri. Keinginan seks ini hanya akan dapat dibendung melalui perkahwinan. Hadis Rasulullah S.A.W. yang bermaksud;wahai golongan pemuda, barang siapa diantara kamu yang mampu kahwin maka hendaklah ia kahwin kerana kahwin itu dapat menundukkan pandangan mata dan lebih mampu dapat mengekang hawa nafsu. (Hadis riwayat Al-Bukhari, Abu Daud, al-Tarmizi dan an-Nasai. ) Kemudian melaksanakan salah satu tuntutan syariat. Syariat Islam adalah syariat yang syumul, rasional dan selaras dengan tabiat manusia. Ia bertujuan untuk menjaga maslahat manusia di dunia dan di akhirat. Perkahwinan bertujuan untuk menyempurnakan tujuan manusia diciptakan iaitu beribadat kepada Allah Taala. Konsep ibadat sangat luas, setiap usaha harian. Malah setiap perkataan dan perbuatan yang baik termasuklah hubungan suami isteri itu sendiri adalah ibadat bagi orang yang beriman kepada Allah Taala. Pada zaman Nabi S.A.W. terdapat sebahagian sahabat yang cenderung untuk hidup dengan cara kerahiban. Mereka ingin mengasingkan diri dari masyarakat untuk memudahkan beribadah dengan berpuasa di siang hari, qiyam di malam hari di samping menjauhi wanita. Lantas Nabi mengumpulkan mereka dan member nasihat secara tegas dengan sabdanya yang bermaksud:aku adalah orang yang paling takut kepada Allah di antara kamu sekalian dan paling bertakwa kepadanya, akan tetapi aku berpuasa dan berbuka, aku bangun dantidur dan aku menikahi wanita. Barang siapa yang tidak menyukai sunnahku, maka dia bukanlah dari gologanku Akhir sekali perkahwinan juga boleh menjaga maruah keturunan sesebuah keluarga. Perkahwinan merupakan sebaik-baik jalan untuk memelihara dan mengembangkan keturunan yang suci. Firman Allah dalam Surah al-Nahl ayat 72 yang bermaksud: dan Allah telah menjadikan bagi kamu isteri daripada diri(jenis)kamu sendiri dan menjadikan bagi kamu dari isteri-isterikamu anak-anak an cucu. Sesungguhnya keturunan yang baik adalah merupakan saham yang tidak akan putus pahalanya sehingga akhirat, sabda Rasulullah S.A.W. yang bermaksud:bila mati seorang anak Adam putuslah amalannya, melainkan tiga perkara, sedekah atau ilmu yang dimanfaatkan dengannya atau anak yang soleh yang sentiasa mendoakannya.

Kesimpulannya, jelaslah bahawa ajaran Islam bersifat syumul dan meliputi keperluan dan keinginan naluri fitrah manusia itu sendiri. Tegasnya Islam menentang sikap mereka yang mengharamkan yang halal dan menghalalkan yang haramcontohnya ialah sikap mengekang nafsu daripada berkahwin (rahbaniyah) dan sikap terlampau menurut hawa nafsu atas dasar kebebasan individu sepenuhnya. Di barat mereka menyangka dengan menghalalkan pergaulan bebas, ianya telah mengembalikan kedudukan wanita sebagai manusia. Maka muncul perjuangan yang berbentuk feminism yang radikal yang memperjuangkan persamaan hak total antara lelaki dan wanita. Selain daripada factor lain yang turut menghancurkan institusi keluarga hari ini ialah sikap masyarakat yang mementingkan meterialisma. Pengaruh materialisma turut melanda masyarakat Islam dengan munculnya sikap sesetngah lelaki dan wanita Islam menolak perkahwinan itu kerana mementingkan kerjaya padahal dalam masa yang sama mereka tidak dapat mengawal nafsu mereka daripada melakukan perkara-perkara yang dilarang oleh Islam. Justeru itu satu-satunya penyelesaian yang Islam berikan kepada umat manusia dalam mengatasi masalah ini ialah mensyariatkan perkahwinan. Oleh kerana perkahwinan itu adalah salah satu bahagian dari syariat Islam yang ditetapkan oleh Allah Taala dan Rasullullah S.A.W., maka penghayatan dan perlaksanakannya merupakan satu ibadah kepada Allah Taala.

Anda mungkin juga menyukai