Anda di halaman 1dari 13

PROJEK MODEL KERUSI BEG BAGASI

a) Pernyataan Masalah Penggunaan semula barang bermaksud menggunakan semula barang yang terpakai. Cara ini boleh menggantikan pembelian barang yang baru. Melalui penggunaan semula, kita boleh mengurangkan tenaga yang diperlukan untuk pengekstrakan, pengangkutan, dan pemprosesan bahan mentah. Pengurangan tenaga untuk menghasilkan barang boleh membantu kita memelihara alam sekitar. Selain itu, kita juga boleh menjimatkan kos untuk membeli barang yang baru. Beg bagasi merupakan satu keperluan yang sangat penting kepada perantau dan pelancong, khususnya yang ingin pergi bercuti di luar untuk tempoh yang lama. Oleh sebab beg bagasi diperbuat daripada kulit, maka ia dijual dengan harga yang mahal. Dalam beg bagasi, kita boleh memasukkan pelbagai jenis barang seperti pakaian, alat hiasan, alat basuh, dan lain-lain. Apabila beg bagasi ini sudah menjadi lama, kita akan menggantikannya dengan beg bagasi yang baru. Namun, patutkah beg bagasi yang lama terus dibuang begitu sahaja? Jika kita membuangnya, ini terlalu membazirkan. Jika kita menjualnya, tidak semestinya ada orang yang ingin membeli. Kini, kerusi kayu juga jarang digunakan untuk memberi laluan kepada kerusi plastik dan sofa. Sofa, terutmanya jauh lebih selesa berbanding kerusi kayu. Sama seperti beg bagasi, patutkah kayu kerusi dibuang? Bolehkah ia dimanfaatkan untuk membuat produk yang lain?

Persoalan-persoalan di atas telah mendorong kami untuk memikir bagaimana menggunapakai kedua-dua objek tersebut untuk menghasilkan satu objek yang unik. Selepas mengadakan perbincangan bersama rakan-rakan, akhirnya kami mengambil keputusan untuk menghasilkan kerusi beg bagasi. b) Inspirasi menghasilkan model Keputusan untuk menghasilkan kerusi beg bagasi ini terdiri daripada tiga faktor, iaitu dapat menggunakan semula barang terpakai, kesenangan di luar, dan keselesaan.

Kerusi beg bagasi ini akan dihasilkan dengan menggunakan beg bagasi dan kerusi kayu yang lama. Kaki kerusi kayu dipotong untuk dijadikan kaki kepada kerusi beg bagasi. Cara ini boleh memastikan kedua-dua barang ini dapat digunakan semula dengan bermanfaat, justeru menepati hasrat yang disarankan oleh kerajaan untuk mempraktikkan amalan penggunaan semula barang dalam kehidupan agar dapat memelihara sumber alam.

Kerusi beg bagasi ini juga boleh digunakan di mana-mana sahaja, tidak kira di pantai, taman rekreasi atau di tepi jalan raya. Apabila berjalan sekian lama di luar, kita tentu akan mencari tempat duduk apabila berasa letih. Namun, tempat duduk ini hanya disediakan di sesetengah lokasi tertentu, malah di sesetengah tempat, tempat duduk tidak disediakan langsung. Hal ini menyebabkan kita terpaksa berjalan jauh untuk mencari tempat duduk. Jika kita duduk di atas rumput, pasir atau di tepi jalan, seluar kita pasti akan kotor. Sekiranya kita meringkuk untuk masa

yang lama, kaki juga akan sakit. Tambahan pula, kita tidak mungkin akan membawa kerusi dai rumah ke mana-mana sahaja. Oleh itu, penghasilan kerusi beg bagasi boleh memberi kesenangan kepada manusia untuk mengatasi masalah tempat duduk di luar.

Di samping itu, keselesaan tempat duduk juga merupakan idaman manusia. Di rumah, kita pasti akan memilih untuk duduk di sofa berbanding dengan kerusi kayu dan kerusi plastik. Di luar, walaupun tempat duduk disediakan di sesetengah tempat, tetapi tempat duduk biasanya tidak selesa kerana dibuat daripada kayu, plastik, dan bata merah. Oleh itu, kerusi beg bagasi boleh menawarkan tempat duduk yang selesa dengan ada bantal di dalamnya.

c)

Ciri-ciri kerusi beg bagasi Kerusi beg bagasi ini dihasilkan dengan mengambil kira pelbagai ciri.

Pertama, kerusi beg bagasi mudah dibawa ke mana-mana sahaja. Kita hanya perlu membawa beg bagasi ibarat pergi melancong. Kaki kerusi dan skru boleh disimpan dalam beg bagasi semasa dibawa ke luar. Proses pemasangan kerusi bagasi juga sangat mudah. Apabila kita ingin menggunakannya, kita hanya perlu memasang kaki kerusi pada keempat-empat sudut di tapak bawah beg bagasi dan mengetatkannya dengan skru untuk membentuk kerusi.

Satu lagi kelebihan kerusi beg bagasi ini adalah boleh dipasang di manamana sahaja. Bukan sahaja di luar, tetapi kerusi beg bagasi ini juga boleh diguna di

dalam rumah. Apabila ramai tetamu datang ke rumah kita semasa sambutan tertentu, kerusi beg bagasi boleh disediakan sebagai tempat duduk. Dengan cara ini, kita boleh menjimatkan kos untuk membeli kerusi baru di rumah. Kini, harga kerusi di pasaran agak mahal. Kita perlu membayar RM20 untuk membeli sebuah kerusi plastik, sofa pula memakan harga yang lebih tinggi. Selain dapat menjimatkan kos, kerusi beg bagasi ini juga dapat menarik perhatian tetamu.

Dengan meletakkan bantal ke dalam beg bagasi, keselesaan tempat duduk tidak lagi menjadi masalah. Kita boleh duduk dengan selesa seperti duduk di atas sofa di rumah. Namun, kita patut memastikan bantal yang dimasukkan ke dalam bagasi lebih tinggi daripada zip agar dapat duduk dengan selesa. Span boleh dimasukkan untuk meninggikan bantal jika perlu. Di samping itu, satu bantal juga dipasang pada tapak atas beg bagasi untuk membolehkan kita bersandar padanya.

Selain itu, untuk memastikan kestabilan kerusi, kita telah memasang satu papan lapis di tapak bawah beg bagasi. Banyak paku dipasang di sekeliling papan lapis agar dapat memaku papan dengan ketat. Kaki kerusi juga amat mudah dipasang dengan menggunakan skru. Untuk memperketat lagi pemasangan kaki kerusi, pemutar skru boleh digunakan.

d) Gambar

e)

Langkah-langkah menghasilkan kerusi beg bagasi

Langkah 1: Sediakan alat dan bahan yang berikut. a) Alat : Gergaji, pemutar skru b) Bahan : Beg bagasi, 4 kaki kerusi kayu, skru, 1 keping papan lapis, 2 bantal, gam Gajah, span

Antara alat dan bahan yang diperlukan untuk menghasilkan kerusi bagasi : pemutar skru, bantal, kaki kerusi kayu, papan lapis, dan span

Langkah 2: Ukur panjang dan lebar beg bagasi untuk mendapatkan keluasannya. Lakar keluasan beg bagasi pada papan lapis. Langkah 3 : Guna gergaji untuk memotong papan lapis berpandukan keluasan yang dilakar pada papan lapis tersebut. Langkah 4 : Pasang papan lapis di tapak bawah beg bagasi. Tambah beberapa batang kayu untuk memberi sokongan kepada papan lapis tersebut.

Langkah 5 : Sediakan 4 batang kaki kerusi dengan ketinggian yang bersesuaian. Pasangkan kaki kerusi yang sama tanda pada papan lapis.

Langkah 6 : Guna pemutar skru untuk memperketat skru yang dipasang.

Langkah 7 : Tegakkan kerusi dan lekatkan 1 bantal pada tapak atas beg bagasi dengan menggunakan gam Gajah.

Langkah 8 : Masukkan span ke dalam beg bagasi.

Langkah 9 : Letak 1 bantal di atas span. Pastikan bantal lebih tinggi daripada ruang beg bagasi.

Langkah 10 : Kerusi beg bagasi sudah siap dan boleh diduduk! Untuk duduk dengan lebih selesa, anda boleh sandarkan kerusi dekat dinding.

f)

Rumusan Kerusi beg bagasi merupakan salah satu produk yang dihasilkan dengan

menggunakan beg bagasi dan kaki kerusi lama. Justeru, penghasilan produk ini dapat memenuhi saranan kerajaan yang menggalakkan penggunaan semula barang-barang yang terpakai. Bukan sahaja kerusi beg bagasi, malah pelbagai produk boleh dihasilkan dengan menggunakan barang terpakai. Penggunaan semula barang boleh membantu kita menjimatkan sumber alam, justeru memelihara alam sekitar yang kita cintai ini.

Manusia sudah tentu mengidamkan produk yang boleh meningkatkan gaya hidup mereka. Kerusi beg bagasi amat mudah dihasilkan dan boleh diguna di mana-mana sahaja. Justeru, produk ini dapat memenuhi cita rasa manusia yang inginkan kesenangan. Di samping itu, keselesaan manusia juga dipelihara dengan adanya bantal yang selesa di dalam beg bagasi tersebut. Sebelum menghasilkan kerusi beg bagasi ini, kami telah membuat perbincangan selama beberapa kali untuk memastikan produk yang kita hasilkan dapat memenuhi cita rasa pengguna.

Melalui projek ini, kami sedar betapa pentingnya pemikiran yang kreatif dan inovatif diperlukan untuk menghasilkan barang-barang yang dapat meningkatkan gaya hidup. Amat sayang sekiranya barang-barang terpakai yang boleh digunakan dibuang begitu sahaja. Pelbagai idea boleh dijana untuk membuat modifikasi terhadap barang-barang tersebut agar dapat digunakan untuk tujuan yang lain. Justeru, kita boleh menjimatkan wang untuk membeli barang.

Kesimpulannya, kami berharap penghasilan kerusi beg bagasi ini dapat memberi inspirasi kepada pembaca dan kami sendiri untuk menghasilkan lebih banyak produk dengan menggunakan barang terpakai pada masa hadapan. Kehidupan kita akan menjadi lebih ceria dengan adanya produk-produk tersebut. Terima kasih ingin diucapkan kepada ahli-ahli yang menyumbang barang-barang dan titik peluh untuk memastikan penghasilan kerusi beg bagasi menjadi kenyataan.

Anda mungkin juga menyukai