Anda di halaman 1dari 3

TEKS UCAPAN OLEH : EN. JAAFAR B.

SALLEH KETUA JABATAN REKABENTUK & KOMUNIKASI VISUAL

SEMPENA : MAJLIS MAKAN MALAM GRADUASI (BACK TO SCHOOL)

PADA : 28 MAC 2014

BERTEMPAT DI : DEWAN HARUM MANIS

Bismillah Hirrahmanirahim, Assalamualaikum W.B.T, dan Salam Sejahtera Alhamdulillah, terlebih dahulu marilah kita bersama-sama memanjatkan kesyukuran kita ke hadrat Illahi yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang kerana dengan limpah izinNya, dapatlah kita bersama-sama berkumpul di sini dalam Majlis Makan Malam Pra-Graduan dan juga majlis perpisahan yang bertemakan "Back To school" bagi tahun 2014 pada malam ini. Terima kasih kepada pengacara majlis kerana memberi saya ruang dan peluang untuk menyampaikan ucapan sepatah dua dalam majlis makan malam yang berprastij ini.

Saya juga merakamkan setinggi-tinggi terima kasih kepada EN. EZAR EZIARDY BIN ZAINUDIN, EN.HAKIMI BIN RASELI dan PN. FARIZA BINTI ISA selaku pensyarah bagi subjek Event Management , saudara MOHD ALIF MOHD FAZEL selaku pengarah bagi Majlis Makan Malam Pra-Graduan kali ini, barisan AJK dan tak dilupakan hadirin para mahasiswa dan mahasiswi tahun akhir Jabatan Rekabentuk dan Komunikasi Visual sekalian.

Saya percaya tanpa perhatian dan komitmen yang baik sebagai satu pasukan untuk bekerja bukanlah mudah untuk dilaksanakan dengan jayanya, seperti yang kita lihat pada malam ini, dan juga berharap telah dibalas dengan pengalaman yang sangat bermakna sepanjang penglibatan anda dalam projek ini. Syabas dan tahniah saya ucapkan.

Majlis Makan Malam Pra-Graduan yang saban tahun diadakan tidak lain tidak bukan untuk meraikan jasa pelajar tahun akhir yang bertungkus lumus memberikan komitmen yang terbaik dalam pelajaran dengan ini dapat menaikkan lagi nama politeknik PTSS sebagai politeknik terbaik. Sesungguhnya jasa dan bakti yang anda taburkan amat-amat dihargai dan tidak dapat dilupakan.

Sebagai pelajar senior ataupun pelajar tahun akhir, kami amat prihatin dengan kesibukan anda dalam bidang akademik masing-masing. Ada yang perlu membuat kertas kerja dan ada juga yang membuat projek tahun akhir bergantung pada bidang masing-masing. Walau bagaimanapun, anda tetap meluangkan masa memberi sokongan pada projek semesta 5 bagi subjek Event Managemant. Syabas dan tahniah saya ucapkan kepada mereka yang berkenaan sesungguhnya penyertaan anda ini akan menjadi satu inspirasi buat pelajar junior bagi mengikut jejak langkah anda.

Saya ingin mendoakan agar para pelajar sekalian terus berusaha mencari kejayaan dalam hidup. Untuk mencapai kejayaan yang sebenar bukanlah satu perkara mudah. Namun, kalau tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya. Oleh hal yang demikian, biarlah majlis makan malam pra-graduan ini menjadi pembakar semangat untuk anda semua terus mengahadapi pelbagai dugaan yang mendatang diluar sana. Menyeluk pekasam sehingga ke pangkal lengan, alang- alang mandi biar basah, alang-alang berdakwat biar hitam, bara yang digenggam biar sampai menjadi arang, agar pada suatu hari nanti, menjadi benih yang dicampakkan ke laut menjadi sebuah pulau.

Saya berharap para pelajar yang bakal menamatkan pengajian ini agar tidak terus melupakan politeknik ini dan tahniah buat semua pelajar tahun akhir yang akan memegang segulung diploma. Kami senantiasa mengalu-alukan kehadiran anda di politeknik ini satu hari kelak.

Akhir kata,

"Kalau anda mahu Cemerlang, anda mesti sanggup bertembung dengan banyak halangan. Halangan terbesar adalah MINDA anda sendiri, yang hanya sukakan sesuatu yang selesa dan mudah" pertikan kata dari Inamori Kazuo

Sekian, Wabillahitaufik wal hidayah, Assalamualaikum wbt.

Anda mungkin juga menyukai