Anda di halaman 1dari 4

1

PERUTUSAN HARI ULANG TAHUN TUDM KE-56


OLEH PANGLIMA TENTERA UDARA
1 JUN 2014



Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam 1Malaysia.

Perwira dan Perajurit TUDM Yang Saya Kasihi,

Alhamdulillah serta ucapan kesyukuran ke Hadrat Allah Subhanahuwataala
atas keizinanNya kita dapat bersama-sama menyambut Hari Ulang Tahun TUDM ke
56 pada 1 Jun 2014. Pada tahun ini TUDM telah mencapai usia 56 tahun
berkhidmat memelihara keselamatan dan kedaulatan ruang angkasa Negara dengan
rekod yang cemerlang. Pada tahun ini tema sambutan HUT adalah Kuasa Udara,
Kuasa Negara merupakan simbol unik tentang peranan dan keupayaan TUDM
dalam melaksanakan misinya mempertahankan kedaulatan Nasional, integriti
dan kepentingannya melalui penggunaan kuasa udara yang efektif.

Kuasa Udara merupakan teras kepada fungsi Tentera Udara yang ditafsirkan
sebagai the ability to project military force in the air by or from a platform or
missile operating above the surface of the earth merupakan pernyataan mutlak
digariskan dalam manual Air Power Doctrine TUDM. Ia menjadi platform
pengoperasian TUDM bersandarkan kepada tiga komponen utama iaitu
Konsepsual, Moral, dan Fizikal untuk pengeksploitasian proses pemikiran,
semangat juang, dan strategi pertempuran oleh seluruh warga Tentera Udara.


2

TUDM telah melalui evolusi dan pembangunan yang pesat samada dalam
konteks organisasi, warga, dan keupayaan asetnya seiring dengan tuntutan cabaran
peranan di persekitaran geostratgik yang dinamik. Setelah 56 tahun menabur jasa
dan bakti kepada Negara, TUDM kini lebih bersedia memperkasa Kuasa Negara dan
mendokong setiap aspirasi kepimpinan Nasional untuk melonjakkan Malaysia
sebagai Negara membangun menjelang tahun 2020 dan tahun-tahun seterusnya.

Tema Kuasa Udara, Kuasa Negara yang dinyatakan, bukan hanya sebagai
frasa yang dipamerkan tanpa penghayatan. Saya berharap setiap perwira dan
warga TUDM menghayati dengan mendalam terhadap ungkapan tersebut untuk
dijadikan sebagai motivasi berterusan dalam merealisasikannya bagi menghasilkan
impak tinggi kepada setiap tanggungjawab yang di amanahkan.

Sepanjang setahun yang lepas, TUDM telah membuktikan kepada rakyat kita,
betapa pentingnya Angkatan Udara dalam menentukan ruang angkasa Negara
sentiasa terpelihara dari sebarang ancaman anasir jahat yang berpotensi
menggugat kedaulatan tanah air. TUDM telah meningkatkan keyakinan kerajaan
dan pihak-pihak berkepentingan apabila kita terlibat terus dalam beberapa operasi
dengan cemerlang seperti Ops Daulat, Ops Murni, Ops Haiyan, dan yang terkini
dalam Operasi Mencari dan Menyelamat MH370. TUDM juga sentiasa memastikan
tanggungjawab operasi terlaksana dengan jayanya dalam operasi-operasi rutin
seperti Ops Curiga dan Ops Eyes in the sky.

Dalam konteks memperkasakan Kuasa Udara TUDM, usaha meningkatan
keupayaan Tentera Udara sentiasa diberi keutamaan walaupun kita berhadapan
dengan cabaran-cabaran yang diluar kawalan terutamanya peruntukan kewangan
yang terhad oleh pihak kerajaan. Namun demikian, syukur Alhamdulillah, pada
tahun lepas, tahun ini dan tahun-tahun seterusnya, keupayaan aset TUDM terus
meningkat dengan perolehan pesawat-pesawat baru berteknologi tinggi seperti EC
725, dan A400M. Disamping itu, usaha pesat menyemak semula Blue Print secara
komprehensif, sedang pesat dilakukan sebagai inisiatif strategik pembagunan dan
pemodenan keupayaan kuasa udara TUDM dimasa hadapan.

Dalam aspek kuasa negara, kekuatannya ditentukan oleh pelbagai faktor
yang bergantungan antara satu sama lain termasuk elemen populasi, saiz, wilayah,

3

sumber semula jadi, kekuatan ekonomi, teknologi, kestabilan sosial dan kekuatan
ketenteraan. Sejak Peperangan Dunia Ke-2, dan era peperangan moden, kekuatan
angkatan udara sering menjadi kuasa penentu (decisive power) bagi sesebuah
negara mengungguli peperangan tersebut. Beberapa peperangan dan konflik
lampau dan kontemporari membuktikan bahawa kekuatan kuasa udara mampu
melemahkan seluruh kekuatan pertahanan sesebuah negara seperti Battle of Britain,
peperangan di Vietnam, peperangan Teluk di Iraq dan peperangan Falkland
merupakan contoh bahawa penggunaan kuasa udara amat signifikan sebagai
penentu kemenangan atau kehancuran bagi sesebuah negara mempertahankan
kedaulatannya. Begitu juga dengan konflik di Libya, di mana kuasa udara telah
menjadi kuasa penentu melemahkan pihak musuh.

Justeru itu, kekuatan sesebuah angkatan tentera bagi sesebuah negara
sering ditentukan oleh kekuatan angkatan udaranya. Negara Malaysia sebagai
sebuah negara yang berdaulat, tidak terkecuali dari ancaman yang tidak menentu
berdasarkan kepada kedudukan geostrategik nya. Sungguh pun Dasar Pertahanan
Negara menggariskan elemen pertahanan utama adalah secara tindakan diplomasi,
namun langkah memperkukuh cegah rintang tidak sewajarnya diabaikan.

Strategi pertahanan berlapis mengunjurkan peranan TUDM sebagai satu-satu
nya elemen Angkatan Tentera Malaysia yang mampu merentasi dan mengungguli
ketiga-tiga lapisan pertahanan tersebut terutamanya penguasaan ruang angkasa
disemua lapisan. Natijahnya, negara akan terjamin dari sebarang pencerobohan
dengan kehadiran elemen angkatan udara yang sentiasa mengawasi lingkaran
pertahanan negara.

Ingin saya tegaskan disini, bahawa kekuatan dan keupayaan TUDM tidak
hanya bergantung kepada jumlah dan jenis pesawat yang dimiliki. Kekuatan
sebenar yang mesti dibangun dan dilestarikan adalah keampuhan seluruh anggota
TUDM yang akan mengendali dan mengurus aset-aset berkenaan. Pengukuhan
cara kita berfikir, pemerkasaan semangat juang yang tinggi, dan ketelitian merangka
strategi jangka panjang adalah keseluruhannya terletak di atas bahu setiap
pemimpin dan anggota-anggota TUDM sendiri. Pembangunan modal insan bagi
membentuk warga TUDM yang berketerampilan merupakan penentu kepada
pembentukan Kuasa Udara yang kita aspirasikan.

4


Justeru itu, saya menghendaki semua Panglima, Komander dan seluruh
warga TUDM mengambil tindakan terancang untuk menentukan tema Kuasa Udara,
Kuasa Negara dijadikan panduan dan dilaksanakan melalui langkah-langkah utama
diperingkat pemerintahan dan pangkalan, seperti berikut:

Merangka pelan tindak penghayatan tema melalui penerangan, terjemahan
dan mempamerkan logo dan tema di lokasi-lokasi strategik di pangkalan dan
tempat kerja.
Melaksanakan aktiviti-aktiviti motivasi bagi peningkatan semangat juang dan
keterampilan anggota.
Merangka dan melaksana program transformasi berdasarkan Pelan AF-NG.
Menyusun strategi memperkasakan keupayaan TUDM berpandukan Strategic
Readiness System (SRS).

Perwira dan Perajurit TUDM Yang Saya Kasihi,

Akhir kata, dengan tulus ikhlas, saya mengucapkan terima kasih kepada
seluruh warga yang telah bersatu padu dalam melaksana tanggungjawab yang
diamanahkan. Saya berdoa agar seluruh warga TUDM diberi petunjuk, taufik dan
hidayah, serta sentiasa sihat dan selamat dalam menunaikan kewajipan masing-
masing. Marilah kita bersama-sama memanjatkan doa memohon restu ke Hadrat
Ilahi, semoga perjuangan suci kita mendapat keredhaan Allah Yang Maha Esa, demi
agama, bangsa dan negara.
Selamat Hari Ulang Tahun TUDM ke-56 kepada seluruh perwira dan warga
TUDM yang dikasihi. Selamat Bertugas.
Sekian,
Sentiasa Di Angkasa Raya

Jeneral Tan Sri Dato Sri Rodzali bin Daud TUDM
Panglima Tentera Udara

Anda mungkin juga menyukai