Anda di halaman 1dari 8

Reka Bentuk Ukiran Kayu

Rupa dan bentuk serta makna kesenian orang Melayu seperti anyaman, tenunan, batik, songket,
telepok, kesenian logam emas dan perak dan ukiran kayu banyak dipengaruhi oleh alam semulajadi
tukang dan pegangan serta kepercayaan mereka. Rupa dan jiwa Melayu adalah manifestasi agama,
sejarah, tradisi lisan dan bertulis, budaya, kepercayaan, jampi mentera, azimat, lagenda dan mitos.

Rupa seni bukan sahaja mencerminkan nilai weltanschauung dan aspirasi budaya, tetapi mereka
juga adalah alat komunikasi spiritual masyarakat.

Hubungan erat antara makna dan rupa sesuatu
kesenian itu termasuk seni ukir dapat dilihat pada karya tukang-tukang lama. Asal bentuk yang
dijumpai dalam motif ukiran kayu orang Melayu bermula dari kepercayaan animisme, dituruti oleh
elemen Hindu, Buddha dan akhirnya Islam sebagai akidah dan pegangan orang Melayu kini. Unsur
dalam bentuk seni ukir Melayu tradisi sebelum dan selepas kedatangan Islam termasuklah:


Sebelum Islam (Pra A 14) Selepas Islam (Pasca A14)
Dewa Tuhan
Kala Punca Bunga Ukir
Makara Sulur Bayu
Gunungan Kepala
Pohon Bodhi Pohon Beringin/P. Hayat/ D. Budi
Stupa Buah Buton
Padma/ Teratai Telipok
Naga Naga (elak penggunaan)
Garuda Geroda (elak penggunaan)



Jenis-Jenis Bunga Ukir Atau Corak
Terdapat lima corak bunga ukir yang terdapat dalam reka corak tradisional, antaranya awan
larat, awan silang atau kerawang, awan bentuk huruf, larik dan semetri.

Awan Larat

Awan larat berilham daripada alam iaitu awan yang berarak apabila ditiup angin. Ada
pula mengatakan bahawa nama ini diambil sempena nama seorang anak kecil bernama
Awang yang menggaris tanah hingga melarat-larat menjadi bentuk yang cantik.
Gambaran inilah yang diabadikan oleh pengukir dalam ukirannya. Kebiasaannya
pengukir mencipta daun, buah dan bunga hasil ilhamnya sendiri. Awan larat ini corak
yang paling dimuliakan dalam apresiasi seni ukir Melayu Klasik. Ukiran jenis ini tidak
diletakkan di paras pusat. Awan larat terbahagi kepada dua jenis yakni Awan Larat
MelayuAsli dan Awan Larat Jawa. Awan Larat Melayu Asli juga dikenali sebagai Awan
Larat Jawi. Bentuknya mempunyai bunga yang besar dan jarang. Coraknya bermula dari
satu tempat dan melarat memenuhi ruang yang lain. Batangnya berlingkar dan
bertembung dengan daunnya yang berlipat lunak. Awan Larat Jawa pula bentuknya lebih
kecil daripada Awan Larat Melayu Asli. Daun dan bunganya rapat-rapat. Terdapat banyak
bunga dan daun saling bertindih. Bentuk daunnya lurus dan tidak berlipat.

Silang / Kerawang

Bunga ukir bentuk ini adalah dalm garis yang bengkang-bengkok. Garisan bersimpang-
siur seumpama akar yang berlegar. Ukiran corak ini biasanya terdapat dalam bentuk
papan tebuk tidak silat.

Awan Bentuk Huruf

Jenis ukiran berbentuk huruf yang dimaksudkan ialah huruf-huruf dalam al- Quran. Ukiran
ini biasanya banyak terdapat di masjid.

Awan Jenis Larik

Awan jenis Larik berbentuk gerlang-gerlang pada batang bulat. Keindahan jenis ini
terletak pada gerlang yang berkala dan tersusun. Ukiran ini biasanya terdapat pada
tongkat, tiang-tiang ulu senjata dan sebagainya. Kebanyakannya mempunyai dua jenis
larik.




Awan Jenis Simetri

Awan jenis simetri biasanya terdapat dalam bentuk geometri Islam, misalnya corak
swastika. Awan jenis ini biasanya terdapat di masjid atau mimbar.

Pengaruh Motif Corak Ukiran Tradisional

Motif ukiran kayu secara langsung dipengaruhi unsur-unsur alam sekitar dan cara hidup
masyarakat zaman dahulu. Adat resam, kepercayaan, agama, iklim, geografi dan
persekitaran amat kuat pengaruhnya kepada pengukir. Antara pengaruh yang dimaksudkan
ialah unsur tumbuh-tumbuhan, unsur makhluk hidup, unsur kaligrafi, unsur geometri dan
unsur kosmos.

Unsur Tumbuh-Tumbuhan

Unsur ini biasanya diambil daripada tumbuhan yang menjalar. Antara tumbuhan yang
paling popular di kalangan pengukir ialah jenis kacang, labu, ketubit, ketam guri, salad,
bunga lawang, bunga raya, bunga cina dan sebagainya. Unsur ini merupakan unsur yang
dominan dalam rekaan seni ukir tradisional.

Unsur Makhluk Hidup

Unsur ini kebanyakannya dipengaruhi oleh semangat dan kepercayaan. Pada zaman
pengaruh Hindu, unsur-unsur seperti kepala burung, ayam, itik dan naga sangat disukai
oleh pengukir. Setelah kedatangan Islam, pengaruh ini semakin berkurangan. Ukiran
unsur makhluk hidup banyak terdapat pada kapal atau perahu nelayan di pantai timur.

Unsur Kaligrafi

Setelah kedatangan Islam di Tanah Melayu, unsur kaligarfi Jawi dan ayat al-Quran mula
diukir oleh pengukir-pengukir tempatan. Unsur kaligrafi ini digabungkan dengan unsur-
unsur tumbuh-tumbuhan.

Unsur Geometri

Unsur ini dikenali sebagai tumpal. Unsur ini mempunyai kaitan dengan unsur geometri
Islam. Pola-pola geometri disusun berulang-ulang.

Unsur Kosmos

Unsur ini menggambarkan alam semesta seperti matahari terbit, bintang, bulan dan
gunung-ganang. Ukiran seperti ini banyak terdapat di tebar layar rumah-rumah Melayu
Trasidional.



Bentuk Ukiran

Dalam memahami karya ukiran kayu, kita perlu melihat jenis ukiran tersebut. Ada tiga jenis
ukiran yang umumnya diperoleh di tanah air kita ini. Ukiran yang menjadi rujukan adalah dari
Pantai Timur dengan tumpuan kepada ukiran Kelantan dan Terengganu. Ini adalah kerana
artifak ukiran kayu masih lagi disimpan dan dijaga dengan baik serta penghasilan ukiran kayu
mengikut reka bentuk tradisi masih diamalkan dan dihasilkan di sana. Ianya adalah suatu
hasil kerajinan tangan dan kesenian yang masih bertahan. Barangan kegunaan harian
daripada kayu dan senibina tradisi masih lagi kelihatan, baik yang lama mahupun yang
baru.Tiga jenis ukiran yang dimaksudkan ialah:

Ukiran Panel

Ukiran panel adalah panel dinding kayu yang terdapat pada senibina rumah tradisional yang
merupakan hiasan dua dimensi.Ukiran panel ini mempunyai panjang dan lebar yang pelbagai
dan ketebalan yang seragam mengikut ketebalan dinding.Panel ini diukir dengan teknik tebuk
tembus atau tebuk separuh/ tebuk timbul. Teknik ukiran kedua-duanya boleh dikemaskan
dengan silatan ukir seperti silat belah rotan, silat sodok, silat bunuh juring dan sebagainya.
Panel berukir biasanya tidak digunakan bersendirian tetapi dipadankan dengan elemen-
elemen lain seperti panel kosong, jendela, pintu dan lubang angin. Elemen ini digubah
dengan begitu teliti sehingga mencapai suatu reka bentuk komposisi dinding yang begitu
indah dan tidak jemu mata memandang.



Ukiran panel ini digubah diukir dengan motif dalam bentuk lingkaran (spiral) yang
bergelar Awan Larat. Permulaan reka bentuk ukiran disebut punca dan dari punca inilah
gubahan ukiran akan keluar dalam bentuk lingkaran hingga memenuhi ruangan panel
yang hendak di ukir. Punca ukiran ini adalah benih umpama semua yang bernyawa
bermula dengan benih baik tumbuhan, haiwan ataupun manusia. Panel ukir ini berfungsi
tidak hanya sebagai hiasan kepada dinding rumah tetapi mengandungi makna yang lebih
daripada itu. Panel ukir ini ibarat gunungan atau pohon budi atau pohon hayat pada
persembahan wayang kulit yang membawa lambang kehidupan seperti juga tree of life
dalam banyak budaya lain di dunia. Ini adalah kerana motif yang dihasilkan walaupun
tumbuhan asasnya, tetapi bukanlah suatu pohon sebenar yang boleh dilihat di dalam
alam semulajadi. Ia adalah suatu perlambangan yang membawa maksud tentang
kewujudan pencipta alam ini yang maha berkuasa dan maha agung.

Setiap tampak dinding bangunan atau rumah tradisi ini berbeza walaupun nampak
serupa. Ia ditentukan oleh banyak faktor termasuk saiz tampak, bilangan pembukaan
pintu, tingkap dan kedudukan panel berukir pada tampak bangunan. Panel-panel dinding
ini selain dari mempunyai motif tumbuhan ia juga dizahirkan dengan motif khaligrafi,
kosmos dan geometri. Motif motif ini adalah penghayatan pengukir tentang apa yang
diperhatikan sekeliling mereka dengan panduan kepercayaan dan agama. Jelas di sini
agama Islam menjadi asas pembentukan jiwa dan tercetuslah ilham rupa seni ukir kayu
daripadanya. Jenis tumbuhan yang diilhamkan termasuklah tumbuhan rumput rampai,
tumbuhan di air, tanaman herba dan ulam-ulaman, bunga-bungaan dan pohon buah-
buahan Motif tumbuhan menggabungkan unsur-unsur pokok seperti punca, batang, sulur
daun, putik, bunga, dan buah. Walau bagaimana pun karya tumbuhan yang terhasil
bukanlah seperti asli tumbuhan yang boleh diperolehi dari alam sekitar pengukir. Ini
adalah kerana jika diteliti pohon ciptaan ini berlainan dengan pohon yang asli. Dalam satu
pohon tersebut digabungkan dua atau tiga unsur/elemen dari pohon lain menjadi satu.
Ini bertujuan supaya ciptaan pengukir itu tidak serupa dengan apa yang diperolehi dalam
alam semula jadi. Pegangan, asas, prinsip dan panduan ini diselitkan dalam setiap hasil
karya panel ukir.

Motif khat dalam ukiran kayu biasanya dihadkan kepada kedudukan yang tinggi seperti di
atas dipintu, dipintu gerbang dan bahagian atas dinding rumah. Ia dirancang sejadi
dengan pembinaan rumah dan bukan diadakan sebagai elemen hiasan tambahan. Oleh
sebab khat ini biasanya ayat Al Quran maka kedudukannya yang tinggi dan di atas
penting. Makna ayat Al Quran ini penting sebagai pelindung, pendinding dan penjaga
penghuni rumah supaya selamat, sejahtera dan bahagia aman damai dan harmoni seisi
keluarga.

Motif geometri atau abstrak pula berasaskan bentuk segitiga, segiempat dan bulat.
Bentuk asas ini diolah dan digubah menjadi motif kompleks seperti bentuk s, relung,
gulung, simpulan, silangan,swastika, jalinan, jala berliku,bentuk t, serong dan
sebagainya. Bentuk geometri sangat digemari sebagai motif tebuk tembus dan ditemui
pada lubang pengudaraan atau jejala angin di bahagian atas dinding, bangunan, pagar
musang dan panel dinding.

Panel-panel ukir ini secara lahiriahnya bertujuan untuk pengudaraan, pencahayaan, dan
keindahan senibina bangunan. Pengudaraan tetap dirasakan walaupun ketika cuaca
kurang baik yang tidak memungkinkan jendela dibuka tetapi panel pengudaraan menjadi
penyaman udara. Pencahayaan pula membantu keadaan rumah Melayu yang asalnya
gelap kerana penggunaan kayu cengal yang akan gelap kehitaman bila dimamah usia.
Keindahan pencahayaan terserlah dengan ukiran tebok tembus sebagai pembayang bila
waktu siangnya dari dalam kerana matahari dan waktu malamnya dari luar kerana terang
pelita atau lampu.

Di negeri-negeri Pantai Timur panel dinding dibina dalam konsep pasang siap seperti
perabut yang dipopularkan semula kini pada bangunan konkrit. Bila kesemua empat
tampak dinding bangunan telah siap dipasang barulah ia dibawa ke tapak untuk didirikan.
Pemasangan adalah dalam konsep tanggam tebuk- pasak tanpa paku bagi
membolehkan ia dibuka dan dirombak jika perlu.

Ukiran Arca

Ukiran arca pula ialah semua alatan dan artifak kegunaan masyarakat Melayu yang
berbentuk tiga dimensi dan boleh digunakan bersendirian tanpa perlu sokongan elemen
lain. Ini termasuk sekecil-kecil objek didapur seperti sendok, sudip, sarang putu,
sengkalan, tapisan hingga kekukur kelapa. Alatan rumah biasanya berukir seperti almari
pakaian, cermin muka, pengadang/ skrin ruang, penyidai pakaian, peti dan cepu kayu.
Masyarakat Melayu sama ada menjadi petani atau nelayan sebagai cara kehidupan
mereka mempunyai alatan daripada kayu. Pengangkutan nelayan kelaut seperti perahu
nelayan, bangau perahu, okok, caping perahu, pendayung, cepu kelaut dan kotak kelaut
semuanya mempunyai ukiran. Manakala didarat pula petani menggunakan tenggala dan
igu yang diperbuat daripada kayu berukir, kertok lembu, perunggul, ketam dan kuku
kambing juga tidak terlepas daripada air tanggan seorang pengukir.

Kegiatan masa senggang dan lapang masyarakat Melayu pula dipenuhi dengan
berinteraksi sesama keluarga dan masyarakat dengan bermain congkak dan gasing
berukir, memelihara burung dalam sangkar berukir menjerat puyuh dengan jebak puyuh
berukir. Kaum wanita pula menjahit, menganyam dan menenun kain dengan alatan
daripada kayu yang berukir. Kegiatan ini dengan peralatannya kebanyakan dibuat di
bawah rumah atau di serambi dan selasar dalam suasana redup lagi nyaman. Hulu
senjata seperti parang, anak wali,kelewang dan pisau juga berukir untuk digunakan
sebagai alat membelah, menebas, menghiris, dan menakek. Suasana bersosial
masyarakat Melayu berjalan dalam keadaan santai dan penuh kemesraan dan saling
hormat-menghormati.

Di luar perkarangan rumah pula institusi masjid memainkan peranan sebagai pusat
komuniti. Bangunan masjid juga dipenuhi dengan alatan berukir seperti rehal, tongkat
khutbah, mimbar, geduk dan kertuk masjid daripada kayu. Selain daripada alatan yang
berukir ini keseluruhan masjid dihiasi ukiran pada dinding, jala, angin, pagar musang,
tiang, tunjuk langit, nesan bumbung, hiasan meleh/ andam-andam, buah buton dan pintu
gerbang.

Kemuncak kepada kehidupan harian masyarakat Melayu ialah majlis-majlis dan upacara-
upacara yang diadakan untuk menyempurnakan tanggungjawab individu dalam keluarga
atau masyarakat dengan adat-adat seperti kelahiran, berkhatan dan nikah kahwin.
Semua adat dan tradisi ini dimulakan dengan iringan tepak atau cerana sireh junjung
yang berukir dan dibuat bertingkat serta pulut kuning atau pulut semangat berbentuk kun
atau gunung yang di persembahkan dalam paha berukir. Berkhatan bagi anak-anak
orang bangsawan dan raja-raja disempurnakan dengan kenaikan berupa burung mitos
atau geroda dengan nama-nama seperti Burung Gagak Sura, Burung Belalai, Burung
Singa atau Burung Merak Mas.

Simbol dan lambang budaya masyarakat Melayu terletak kepada senjata keris. Keris
digunakan sebagai penanda waris atau keturunan, lambang kuasa dan adat, senjata
melawan musuh dan pelengkap pakaian orang Melayu zaman dahulu.

Keris adalah arca berukir paling indah dan berseni dalam seni pertukangan tangan
Melayu. Bentuknya yang hebat, gagah, dan berani di diadun dengan indah dan sopan
memberi kemantapan kepada suatu lambang yang sangat dihormati. Kenyataan ini
diperkuat pula dengan pertukangan yang melibatkan tiga orang pandai tukang iaitu
pandai besi, pandai logam halus dan pandai kayu. Tambahan pula tukang yang boleh
mengukir hulu dan sarong keris boleh membuat arca berukir dan panel lain tetapi tidak
semua tukang yang boleh mengukir panel dan arca lain boleh mengukir keris. Ia
memerlukan tahap ketertiban, kebijaksanaan, kefahaman, penghayatan , kepekaan,
kemahiran, kehalusan, disiplin, daya tumpu dan kesabaran yang paling tinggi untuk
mencapai tahap tersebut. Kematangan ke tahap ini memakan masa yang begitu lama
dan biasanya seseorang tukang keris itu digelar adiguru dan pakar didalam bidangnya.

Ukiran Larik

Kayu larik adalah cara sebatang kayu dihias dalam keadaan berpasangan iaitu bentuk
cembung dan cengkung menggunakan pahat berbagai saiz dan alat bindu untuk
memutar kayu. Dengan komposisi cembung dan cengkung atau istilah tempatan, jantan
dan betina, kayu larik akan menghasilkan suatu gubahan sesuai untuk penggunaan sama
ada pada tiang, dalam kedudukan menegak bagi barangan kegunaan harian seperti
almari, meja skrin penghadang, penyidai pakaian, pintu gerbang dan mimbar. Dalam
posisi mendatar, ia boleh menjadi hulu kepada alatan senjata seperti hulu parang,
lembing dan anak wali manakala dalam kedudukannya sebagai penghias atau penyudah
alatan, ia menjadi buah butong seperti pada penyudah tunjuk langit di atas atau di bawah
bumbung pada tapak alang.









Karya Ukiran Kayu

Karya ukiran kayu di Semenanjung Tanah Melayu yang masih boleh dilihat hingga kini
dapat dikenal pasti perbezaannya jika dihalusi. Ukiran yang mempunyai gaya ragaman
dan pengaruh yang sama boleh dilihat dengan jelas melalui senibina rumah tradisi
Melayu tempatan. Ia boleh dibahagikan mengikut zon-zon berlainan di seluruh
Semenanjung seperti di utara, termasuk Perlis, Kedah dan Pulau Pinang, di tengah utara
termasuk Perak dan Selangor, di tengah Selatan termasuk Negeri Sembilan dan Melaka,
di Selatan iaitu Johor, di Timur iaitu Pahang dan di Timur Laut termasuk Kelantan dan
Terengganu. Seni ukiran kayu Melayu melibatkan bahan, tukang dan teknik dalam
mengenalinya dengan lebih tepat. Bahan kayu merupakan sumber utama artifak dan
barangan masyarakat Melayu kerana sumber kayu yang banyak diperolehi di sekeliling
mereka. Malaysia mempunyai hutan hujan tropika yang banyak bagi menyumbangkan
berbagai-bagai jenis species kayu bagi kehidupan mereka. Mengenali tukang ialah
melalui hasil karya kesenian kayu mereka. Amalan, adab, nilai dan etika serta pegangan
mereka terserlah melalui air tangan mereka. Barangan kegunaan harian dan senibina
Melayu adalah pencerminan masyarakat terhadap persekitaran, semangat, etika dan nilai
budaya Melayu.

Anda mungkin juga menyukai