Anda di halaman 1dari 6

Cerpen - Cabaran Ramadhan [suatu monolog]

17 Ramadhan 13 Tahun sebelum Hijrah

Deras langkah kaki Muhammad menuruni cerun Jabal Nur, badannya menggigil, hatinya
berdebar. Terkejut. Iqra’? Rasulullah?

Hubungan langit dan makhluk yang berjejal di bumi bermula semula setelah ratusan
tahun terputus, bersamanya satu sistem hidup yang mengeluarkan manusia daripada pekat
hitam yang membening busuk kepada sinar cahaya yang gilang-gemilang menewaskan
gemilang mentari…

Dan 17 Ramadhan berulang lagi. Latarnya berbeda, namun ruhnya masih di situ....

17 Ramadhan 1426 Hijrah

“Ramadhan,terasa kehilanganmu di saat kehadiranmu…”

Khalid tidak dapat meneruskan luahan perasaannya pada malam itu. Monitor
komputernya dimatikan.Hatinya kosong. “Sudah masuk hari ke 17…”, dia sebenarnya
masih tergapai mencari ‘ruh’ Ramadhan. Banyaknya informasi yang dia timba di kelas
tafsir bersama abang senior ditambah lagi dengan maklumat yang dia kutip daripada
buku-buku yang dibelinya masih belum menemukan dia dengan erti sebenar Ramadhan.

Fikirannya terheret ke wilayah lampau. Teringat saat dia berpuasa ketika masih kecil,
puasa yang-yuk kata kakaknya mengejek. Sahur bersama keluarga, di siang hari buka
periuk mengintai makanan. Dia tertawa sendiri saat mengingatkan peristiwa dia mencari
makanan di dalam peti sejuk. Kepalang gembira apabila menemukan potongan buah betik
di dalam mangkuk buat habuan perutnya yang sedia menyanyi-nyanyi kelaparan,
menjelang Maghrib, dia ‘berbuka’ pula bersama orang lain yang berpuasa.

Dari situ, dia menyusuri kenangan berpuasa ketika bersekolah rendah. Walaupun terasa
penat saat pulang dari sekolah, umminya tidak membenarkan dia berbuka. “Itulah
kebijaksanaan ummi sebagai seorang ibu...”,bisik hatinya akur meskipun dahulu dia
pernah mengamuk setelah umminya melarang dia berbuka.
Ditanggalkan kaca matanya, matanya digosok-gosok. Mengantuk. Dia rebahkan
badannya ke katil di sudut bilik G16 itu. Apartmen tempat tinggalnya terletak
bersebelahan jalan utama ke Bandar Swan. Bandar itu pasti sibuk malam-malam begini.
Kafir yang tidak punya tujuan hidup akan berusaha mencari keseronokan semaksima
mungkin malam ini. Riuh bunyi kereta di luar tidak menghalang dia untuk cuba
melelapkan matanya sambil melayani kenangan lama. “Simpang Gayung”, sekonyong-
konyong nama bekas asrama penuhnya itu melintasi wilayah fikir.

Dahulu, hampir setiap hari dia menginginkan keluar dari situ. Benarlah kata orang, kita
akan hanya menghargai sesuatu setelah kita kehilangannya. Pengalaman berpuasa di situ
memahat suatu macam kelainan. Tika itu, dirasakan puasa mudah baginya, mudah juga
mengisi masanya dengan Quran, solat-solat sunat seperti mudahnya busa yang terhasil
daripada didih air lenyap tatkala api ditutup. Hairan juga dia mengingatkan sesetengah
rakannya yang tidak berpuasa Ramadhan hanya kerana kesia-siaan yang dipanggil rokok!
Kata seorang rakannya dengan selamba, “Aku tak tahanlah, stress sangat lepas exam
tadi”

Kepalanya digeleng berkali-kali, kembali dia ke kamar tidurnya setelah menjelajah kota-
kota memori. Kenangan tinggal kenangan. Peristiwa yang berlalu pepak pengajaran. Dia
sedaya upaya tidak mahu merasakan dirinya baik kerana Iblis dihina ALLAH kerana
mengatakan dirinya lebih baik daripada Adam.

"Allah berfirman: "Apakah yang menghalangimu untuk bersujud (kepada Adam) di


waktu Aku menyuruhmu?" Menjawab iblis: "Saya lebih baik daripadanya: Engkau
ciptakan saya dari api sedang dia Engkau ciptakan dari tanah."Allah berfirman:
"Turunlah kamu dari syurga itu; kerana kamu tidak sepatutnya menyombongkan diri di
dalamnya, maka keluarlah, sesungguhnya kamu termasuk orang-orang yang hina." [Al-
A’raaf:12-13]

Baginya, hak untuk menghakimi adalah milik ALLAH, dan tugas Rasul yang mahu
ditelusurinya ialah menyeru dan menjelaskan.

Jam tangannya berbunyi, mengerling kemudian dipejamkan matanya erat-erat. Kembara


ke kota memori masih dia teruskan. Pengalaman berpuasa kali pertama di rantauan lekas
menyerbu dia yang masih belum melelapkan mata. Dia akui, semangat kerjasama dan
persahabatan lebih terasa di sini. Di tempat yang jauh daripada keluarga, sanak saudara,
serta rakan-rakan sekolah yang lain. Saling membantu dan bersama membeli makanan
berbuka untuk dinikmati beramai-ramai bersama saudara seislam tanpa mengira warna
kulit dan bangsa. Pengalaman yang punya erti yang besar buatnya.

“Barangsiapa yang menjamu orang yang berbuka puasa, maka pahalanya sama seperti
pahala orang yang berpuasa” [Hadith Riwayat Ahmad&An-Nasai]

Jauh dari tanah airnya, dia belajar erti ukhuwwah dan mahabbah. Ukhuwah yang tulen,
yang mempersaudarakan sesiapa sahaja atas dasar kesamaan aqidah yang diyakini.
Hujan menguyur damai saat pandangannya terlempar ke luar jendela. Masa pantas
berlari. Tiga Ramadhan telah berlalu sejak saat pertama kakinya disapa debu benua ini.
Dia masih runsing dalam pencarian ruh Ramadhan. Dia masih mencari erti sebenar
Ramadhan dan kepingin menghayati Ramadhan yang kaya dengan sejuta keistimewaan
seperti digambarkan oleh Rasulullah:

“ Sesungguhnya di syurga itu terdapat pintu yang dinamakan ar-rayyan yang


dikhususkan untuk golongan yang berpuasa dan pada hari kiamat tiada yang masuk
melalui pintu itu melainkan hanya golongan yang berpuasa yang akan diseru mereka itu
dengan ditanya : Siapakah golongan yang berpuasa ? Lalu mereka pun bangun dan
memasuki pintu tersebut dan kemudiannya ditutup setelah mereka selesai melalui pintu
tersebut dan tidaklah masuk selepas itu sesiapa pun” [Muttafaqun ‘Alaih]

Dia faham benar bahawa Ramadhan yang berlalu sudah gagal dia penuhi dengan amal.
Lailatul Qadr? Tidak terlintas untuk mencari kerana malam-malam yang pergi adalah
malam-malam yang dipenuhi dengan lena yang panjang.

“Di dunia sedikit sekali mereka tidur di waktu malam” [Adz-Zariyaat:17]

Kerana apa? Kerana dia tidak ambil pusing atau barang kali tidak mengerti beza
Ramadhan dan bulan lainnya. “AstaghfiruLlahal’aziim”, beristighfar dia, menyesali
Ramadhan yang pergi yang gagal dimanfaatinya sebaik mungkin.

“Ladang kebaikan itu bernama Ramadhan, isilah ia dengan amal ibadah [mutiara
kata]”

Dia makin bingung, bingung kerana masih gagal menerokai jalan keluar daripada
persoalannya. Perasaannya juga tidak dapat digambarkan dan tidak dapat diceritakan.
Kusut sehingga pena tidak bisa menggambarkan keperihalannya .

Ramadhan yang mampir lewat ini menyaksikan cabaran yang berganda. Dahulu, dia
berpuasa hanya semata-mata taqlid pada rukun Islam tanpa penghayatan sebenar serta
puasa adalah sekadar untuk berhari raya, tetapi kali ini dia bertekad untuk menghadapi
segala cabaran yang merentangi. Penghayatan tidak akan hadir tanpa cabaran ditempuhi.
Baginya, cabaran maha getir adalah memelihara hati. Hati atau yang disebut qalbu itu
sebetulnya amat sensitif terhadap persekitaran. Pintu masuk ke lubuk hati adalah
pancaindera yang tampak jelas di luar yang antaranya telinga, lidah, dan lisan. Segera dia
teringat analogi berkaitan nafsu dalam sebuah buku; nafsu itu ibarat budak kecil yang
merengek, terpulanglah sama ada memenuhi kehendaknya atau mendidiknya. Segera pula
pesan seniornya menyerbu ke danau ingatan, “di dunia, jika manusia bersusah payah,
maka syurga pun akan terbuka untuknya. Sebaliknya, jika di dunia syahwat menjadi
pilihan hati dan akal, kelak neraka akan terbentang luas untuknya di akhirat.”

“Syurga itu ditutupi dengan susah payah, neraka ditutupi dengan syahwat” [Muttafaqun
‘Alaih]
“Berpuasa bukan sekadar menahan lapar dan dahaga, tetapi menahan nafsu, menjaga
mata, telinga dan lisan kita daripada mendengar serta menuturkan perkataan yang tidak
menyumbang terhadap saham akhirat”, nasihat ustaznya di bangku sekolah dahulu.

“Abu Hurairah r.a berkata: Rasulullah s.a.w bersabda: Jika kamu sedang berpuasa,
maka jangan berkata keji, dan jangan marah dan jika ada orang memaki atau mengajak
berkelahi, hendaklah orang itu diberitahu: Saya berpuasa” [Muttafaqun ‘alaih]

“Abu Hurairah r.a berkata: Rasulullah s.a.w bersabda: Siapa yang tidak suka
meninggalkan kata-kata dusta dan perbuatan yang palsu , maka ALLAH tidak
memerlukan daripadanya, puasa yang meninggalkan makan dan minumannya.”

Bulan ini bulan Al-Quran maka ramailah yang mula mendekati mushaf Al-Quran yang
lama berabuk.“Alhamdulillah”, bersyukur dia kerana ALLAH telah mengeluarkan dia
daripada golongan yang tidak mempunyai masa untuk Al-Quran. Mengeluarkan dia
daripada dia yang dahulunya sedikit sekali menyentuh Quran.

“Dan berkatalah Rasul: “Wahai Tuhanku! Sesungguhnya kaumku telah menjadikan Al-
Quran ini suatu yang tidak diacuhkan.” [Al-Furqan:30]

Bulan Ramadhan ini, seperti kebiasaannya, akan ramai yang menyambut cabaran untuk
duduk-duduk membaca Al-Quran. Malangnya, yang beristiqamah hingga ke akhir
Ramadhan dan diteruskan ke bulan-bulan yang lain adalah terlampau sedikit. Lebih
sedikit lagi yang berusaha mentadabbur Al-Quran. Dia gusar andai dia tidak mampu
untuk beristiqamah, kerana istiqamah adalah anugerah ALLAH untuk hamba-
hambaNYA yang menjadi petunjuk bahawa Allah menginginkan hambanya itu tetap
dalam amalan tersebut.“Ya ALLAH teguhkanlah hatiku dan jasadku untuk istiqamah,
anugerahkanlah aku cinta yang amat mendalam kepada Al-Quran”, hati kecilnya
membisikkan do’a.

Pelbagainya cabaran Ramadhan adalah bertujuan untuk mendidik hati dan ruh. Dia akui
bahawa usaha untuk mendidik hati dan ruh dalam bulan-bulan yang lain adalah teramat
mencabar, kerana syaitan sentiasa mengintai dan mengintip peluang keemasan untuk
menghasut manusia. Tarbiyyah ruhiyah juga adalah tarbiyyah yang terawal diamalkan
oleh Rasulullah SAW ke atas para sahabat baginda. Berkesannya tarbiyyah itu terbukti
pada awal peristiwa Hijrah. Kesukaran untuk meninggalkan harta, rumah, dan segala
yang dimiliki bukan lagi apa-apa jika ianya semata-mata untuk ALLAH, semata-mata
untuk menyelamatkan aqidah. Begitulah pengorbanan Muhajirin. Jauh dari tanah air
tercinta, menanti pula golongan yang menyambut mereka dengan senyuman tak pernah
lekang, harta yang ingin dikongsi, malah isteri untuk diceraikan demi saudara baru yang
datang dari jauh. Begitulah tulusnya hati Ansar. Dia kagum dengan 2 golongan yang
sangat bererti dalam lipatan sejarah Islam ini. Maha Bijaksana ALLAH yang telah
memilih mereka untuk menjadi sahabat seperjuangan junjungan kesayangan semua,
Rasulullah SAW.
Bukti yang kedua pula apabila datang seruan perang, perang pertama dalam sejarah umat
Islam. Perang Badar. Perang yang berlaku dalam bulan Ramadhan. Antara sekalian bulan
dalam takwim tahunan, ALLAH telah memilih bulan Ramadhan sebagai bulan bagi
perang pertama itu. Digetap bibirnya. Qadar ALLAH maha hebat, akalnya yang singkat
itu tidak terjangkau akan hebatnya ilmu Sang Khaliq.

Kenangan demi kenangan bermain dalam kotak fikirannya. Sejarah umat Islam juga
menjadi juadah mindanya malam ini. Mindanya mula mengalah. Matanya mulai kuyu,
isyarat supaya dia lekas berehat. Dia menggagahkan diri, perlahan dia bangun dari tempat
tidurnya. Monitor komputer dihidupkan kembali. Mungkin itu jawapannya….
Mungkin…lalu, dia menyambung…

Ramadhan,
ku terasa kehilanganmu di saat kehadiranmu...
1000 bulan pahala amalan tersembunyi di dadamu...
sedang aku masih termanggu leka...
kerna aku masih keliru...

sedang ini mungkin yang terakhir....

Di sudut hati,

Aku menginginkan redha ALLAH,

Di sudut hati,

Aku merayu petunjuk ALLAH…

Di sudut hati,

Tersimpan sebutir impian yang tinggi

Aku mahu bertemu denganNYA...

Aku mahu bersama RasulNYA…

Aku mendambakan hidayahNYA...

Teramat....

Agar petunjuk mengemudiku di sini...

Kerna aku tidak mahu bersungguhan merayu

di hari penghisaban semua manusia...


Bersumpah dan berjanji di hadapanNYA...

Aku ingin beramal, aku ingin berbakti, aku ingin hidup untukNYA !

Sedang masa beramal diperuntukkan di dunia

Hari ini adalah peluang untuk beramal dan bersiap siaga

Sebelum tibanya esok yang tidak pasti

Punya nafaskah lagi untuk jasadku yang hina...

Dan yang perluku buat hanyalah mujahadah...

Mujahadah serta istiqamah...

Nah,ku rasakan itulah jawapannya...

Kerana ALLAH tidak pernah dan tidak akan menzalimi hamba-hambaNYA...

Cuma hakikatnya manusia sendiri yang mencari musnah...

Ramadhan,

Pantas sekali kau berlari pergi...

Sedang aku masih terpaku di sini...

Tergapai cuba membongkar rahsiamu yang jauh tersimpan ...

Rahsia milik mu’minuun

yang akhirnya melangkah melalui ar-Rayyan...

Anda mungkin juga menyukai