Anda di halaman 1dari 5

ANDAI INI RAMADHAN YANG TERAKHIR…website ILUVISLAM

Ramadhan tahun ini menjelma kembali, dan kita masih terkesima dengan masa yang
berjalan begitu pantas sekali.

Serasa baru sahaja meraikan Ramadhan dan Syawal pada tahun lepas, dan kini
meraikannya kembali.

Begitulah gambaran betapa di akhir-akhir zaman, di mana seminggu dirasakan bagai


sehari, sehari dirasakan bagai sejam dan sejam dirasakan bagai seminit.

Memasuki fasa bulan yang penuh barakah ini, marilah kita merenung kembali surah
yang diperintahkan untuk berpuasa, yakni surah al-Baqarah.

“Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana


diwajibkan atas orang-orang sebelum kalian agar kamu bertakwa.” (Surah al-
Baqarah: 183)

Perintah berpuasa yang Allah turunkan adalah supaya kita turut merasa bagaimana
mereka yang berlapar tanpa bekalan makanan, bagaimana fakir miskin merasa kais
pagi makan pagi, kais petang makan petang.

Merasa bagaimana umat Islam di Syria, Palestin yang menahan lapar akibat
kekurangan makanan. Perintah ini bukan saja-saja kerana pada akhir dan
penghujungnya Allah ingin kurniakan kita semua taqwa.

Dengan diberi nikmat kesihatan dan umur, hari ini Allah masih memberi kita hadiah
dan peluang bertemu Ramadhan. Alangkah gembiranya dan bersyukur tatkala ada
insan lain yang tidak sempat bertemu Ramadhan, mereka dijemput pulang bertemu
Pencipta.

Mungkin mereka juga seperti kita teruja menantikan Ramadhan, sudah merancang
untuk membeli makanan apa di bazar, sudah merancang untuk tarawih di masjid
mana, sudah merancang untuk melakukan yang terbaik pada Ramadhan kali ini.

Tetapi mereka tidak tahu bahawa mereka tidak sempat untuk melakukan apa sahaja
yang dirancang, kerana ajal dan maut tidak siapa yang tahu bila, di mana dan
bagaimana.
“Allah jadikan mati dan hidup kita untuk menguji siapa yang paling baik amalnya…”
(Surah al-Mulk: 2)

Begitu juga kita, kita sendiri tidak tahu adakah kali ini merupakan Ramadhan
terakhir kita. Rata-rata manusia begitu yakin mereka akan bertemu dengan
Ramadhan lagi dan lagi, begitu yakin bahawa Allah masih memanjangkan usia mereka.

Lalu kita mengambil sikap sambil lewa, acuh tak acuh menyambut Ramadhan, yang
meriahnya cuma hidangan makanan ketika berbuka, tetapi solatnya masih sama di
akhir waktu, al-Qurannya masih sama tidak mampu untuk selak helaian mushaf dan
dibiarkan sepi.

Solat Subuhnya masih sama lewat sesudah terbit matahari, rumah dan biliknya
masih sama bersepah dan tidak kemas, mulutnya masih sama mengumpat membawa
fitnah dan sedekahnya masih sama RM1.00 pada tabung masjid sahaja.

Apabila Allah mentakdirkan kita dipanjangkan usia untuk bertemu dengan bulan yang
sangat mulia ini, seharusnya kita sujud syukur, tanda betapa beruntungnya kita
masih terpilih untuk merebut pahala, menambah bekal di hari akhirat kelak, juga
bersyukur untuk memperbaiki segala kelemahan yang kita lakukan pada Ramadhan
yang lepas.

Lakukan sehabis baik pada Ramadhan kali ini, kerana mereka yang tidak sempat
bertemu Ramadhan pun tidak mengetahui bahawa Ramadhan tahun sebelumnya
merupakan Ramadhan terakhir buat mereka.

Andai ini Ramadhan terakhir kita, jadikan ia sangat bermakna. Ketibaan Ramadhan
yang dinanti haruslah disambut dengan rumah yang kemas dan hiaskannya dengan
cantik sekali, supaya kita senantiasa bersemangat dan selesa untuk beribadah.

Berazamlah untuk melaksanakan solat tarawih setiap malam walau keadaan kita
sibuk sekali pun. Solat tarawih hanya ada di bulan Ramadhan, jangan lepaskan
peluang untuk mendapat fadhilat pahala pada setiap malam dari satu Ramadhan
hingga ke malam terakhir Ramadhan.

Sekiranya kita dahulu begitu malas untuk tunaikan solat tarawih dek kerana perut
yang penuh, Ramadhan kali ini latihlah diri untuk memaksa diri melakukannya.
Sungguh andai ini Ramadhan terakhir kita, sekurang-kurangnya kita berjaya
menghabiskan solat tarawih sehingga Syawal menjelma. Mungkin tahun depan kita
tidak lagi berkesempatan untuk melakukan solat tarawih.

Andai ini Ramadhan terakhir kita, bersungguh-sungguhlah dalam melakukan ibadah


seperti membaca al-Quran. Jika kita masih merangkak-rangkak untuk mengeja
huruf-huruf yang terdapat di dalam al-Quran, inilah peluangnya untuk kita mencari
asatizah atau kawan-kawan kita yang pandai mengaji.

Masih belum terlambat, andai kita menyedari hakikat bahawa, “Aku tak pandai
mengaji, aku kena belajar mengaji, nanti aku nak jawab apa pada Allah.”

Ya, Ramadhan adalah bulan diturunkan al-Quran. Nabi Muhammad yang mulia juga
pada asalnya tidak tahu membaca sehinggalah Allah turunkan surah al-Alaq, “Iqra’’
iaitu “bacalah”.

Jangan pernah rasa terlambat atau tidak sempat untuk belajar membaca al-Quran,
selagi Allah mengurniakan kita umur yang panjang dan rezeki kesihatan, selagi itulah
peluang untuk belajar masih terbuka.

Rasulullah SAW bersabda: “Tuntutlah ilmu sejak dari buaian sampai ke liang lahad.”

Masa yang ada kita isikan dengan membaca al-Quran. Jadikan ia budaya, kelak ia
mendidik kita di bulan-bulan seterusnya supaya berasa seronok untuk membaca al-
Quran dan menjadikannya sebagai bestfriend kita.

Andai ini Ramadhan terakhir kita, berebut-rebutlah untuk mencari pahala sebanyak
mungkin sebagai bekalan untuk hari akhirat kita. Carilah ruang untuk bersedekah
kerana ganjaran mereka yang bersedekah di bulan Ramadhan, Allah lipat gandakan.

Jika sebelum ini seringkali berlaku pembaziran ketika berbuka, maka kurangkanlah
hidangan dan juadah berbuka.

Jika sebelum ini selepas bersahur tidur semula, gunakanlah masa yang ada untuk
menunaikan solat sunat dua rakaat dan bertadarus al-Quran sementara menanti
azan Subuh.
Jika sebelum ini waktu siang kita di bulan Ramadhan lebih banyak diperuntukkan
untuk tidur, tukarkan ia kepada sesuatu yang bermanfaat dan produktif. Usia yang
meningkat jelas merasakan akan kematian semakin menghampiri kita.

Jika dahulu sewaktu usia kanak-kanak, kita seronok menyambut Ramadhan


disebabkan kerana akan dapat bermain bunga api, dapat membeli makan kegemaran
di bazar, dan begitu teruja menanti Syawal untuk mengutip duit raya sekiranya
berpuasa penuh. Tetapi tidak lagi sewaktu usia kita semakin menginjak dan
bertambah.

Apa yang terfikir di hati kita cuma:

“Adakah aku sudah lakukan sehabis baik untuk Ramadhan?”

“Adakah ini Ramadhan terakhir aku?”

“Tahun depan ada lagi ke Ramadhan untuk aku?”

Sewaktu akhbar memaparkan kisah adik-adik tahfiz yang maut dalam kemalangan di
dalam bulan Ramadhan yang mulia ini, kita seharusnya merasa kagum kerana
pemergian mereka sebagai ahli syurga yang sudah menghafal al-Quran, malah
pemergian mereka yang husnul khatimah di dalam perjalanan untuk ke daurah tafsir
al-Quran.

“Mati di bulan Ramadhan dengan keredhaanNya.” – arwah adik Hakimi.

Ini merupakan azam Ramadhan salah seorang yang maut. Kini, Allah memakbulkan
doanya. Allahu, bagaimana pula pengakhiran hidup kita kelak? Buat jiwa-jiwa yang
telah bertemu Pencipta, Allah berfirman:

“Wahai jiwa-jiwa yang tenang! Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang redha
dan diredhaiNya. Maka masuklah ke dalam golongan hamba-hambaKu. Dan masuklah
ke dalam syurgaKu.” (Surah al-Fajr)

Marilah kita bersama-sama all out atau buat sehabis baik andai pada tahun ini
merupakan tahun terakhir kita menyambut Ramadhan. Jangan pernah persiakan
peluang dan hadiah yang Allah berikan kepada kita.
Sebulan yang Allah beri adalah masa terbaik untuk kita meninggalkan segala jahiliah
yang bersarang di dalam diri kita.

Meninggalkan perkara-perkara yang tidak mendatangkan manfaat untuk hari akhirat


kita, masa terbaik untuk kita merenung dan bermuhasabah sejauh mana kita sudah
menghargai Ramadhan.

Sejauh mana amal ibadah yang telah kita lakukan? Jika masih sama dan tiada
perubahan, maka bersegeralah! Sungguh, kematian itu tidak mengenal usia,tidak
mengenal pangkat mahupun status kesihatan anda.

Berusahalah merebut malam al-Qadr yakni malam yang lebih baik daripada seribu
bulan, kerana hari esok belum tentu milik kita, kerana tahun hadapan belum tentu
sempat bertemu dengan bulan yang penuh barakah ini.

Inilah madrasah tarbiah Ramadhan, semoga keluarnya kita daripada madrasah ini
dengan membawa segulung ijazah taqwa, biiznillah.

Anda mungkin juga menyukai