Anda di halaman 1dari 3

AL-QURAN PENYEMBUH PENYAKIT

Alhamdulillah, bersyukur ke hadrat Allah swt kerana dengan keizinanNya jua dapat kita
berjumpa di alam siber - satu alam zahir yang hanya transparent (zahir) bagi pemilik
internet. Rencana atau koleksi tazkirah ini insyallah boleh dijadikan sumber rawatan di
tengah-tengah kesakitan rohani yang dialami oleh umat dewasa ini.
Isi kandungan tazkirah ini bukanlah berdasarkan pendapat sendiri malahan saya petik dari
pelbagai sumber termasuk Al-Quran, Hadith serta kita-kitab ulamak serta petikan kuliyah
yang dihadiri. Dalam Islam sebenarnya sudah tercerna lengkap dengan pelbagai rumusan
dan cara rawatan bagi mengatasi masalah kegawatan jiwa dan sebagainya. Ini tidak
didapati dalam agama-agama lain yang sibuk bertungkus lumus mencipta teori dan ism
untuk mengubat jiwa seperti kaedah yoga, menelan pil, dadah, menonton wayang/tv/video,
berkreasi di hutan lipur, memanjat gunung, mengadakan konsert dan pelbagai aktiviti rakan
dsb; padahal itu hanya menyesat dan menambahkan kerosakan jiwa yang lebih gawat.
Jalan keluar bagi semua kekalutan ini ialah melalui Islam yang syumul dan lengkap dari
awal hingga akhir dunia. Nabi Muhammad saw sudah menggariskan mereka yang
berpegang dengan 2 pusaka yang ditinggalkannya tidak akan sesat selama-lamanya.
Kedua-dua sumber itu ialah Al-Quran dan Hadith.
Jelas, bahawa Al-Quranulkarim adalah alat penyembuh dan pencuci roh teragung yang
mampu menggilap semula jiwa manusia untuk kembali ke jalan lurus yang diredhai Allah.
Inilah ubat yang hampir pupus dan dilupakan oleh masyarakat modern hari ini sehingga
mereka mencari ubat-ubat lain yang bukan menjadi penawar malah menghancurkan
kemanusiaan itu sendiri. Ubat yang dijumpai adalah racun pada hakikatnya.
Tazkirah kali ini akan memfokuskan tentang perlunya kita (terutama diri saya sendiri)
supaya bermuzakarah dengan Al-Quran sehingga tilawah Al-Quran menjadi budaya yang
mampu merubah atau meruntun perjalanan hidup sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah
dan rasulNya.
Kepentingan Al-Quran:

"Sesungguhnya hati-hati berkarat seperti berkaratnya besi. Sahabat-sahabat


bertanya bagaimana untuk mensucikannya, ya Rasulullah? Baginda menjawab,
dengan membaca Al-Quran dan mengingati mati." - Hadith

"Yang terbaik di antara kamu ialah mereka yang mempelajari Al-Quran dan
mengajarkannya." - Hadith

"Ahli Quran ialah Ahlullah"

"Bacalah Al-Quran. Kamu diberi pahala dengan setiap bilangan huruf yang dibaca." Ibnu Mas'ud

"Tiap-tiap ayat di dalam Al-Quran adalah satu darjat di dalam syurga dan satu lampu
di dalam rumahmu." - Amr ibnul 'As

"Rumah yang dibacakan Al-Quran nescaya lapanglah penghuninya, luas kebajikan,


masuklah malaikat dan keluarlah syaitan. Rumah yang tidak dibacakan Al-Quran,
sempitlah penghuninya, sedikitlah kebajikan, keluarlah malaikat dan masuklah
syaitan" - Abu Hurairah

Zaman ini, hati manusia sentiasa terdedah dengan kekotoran disebabkan maksiat yang
dilakukan. Setiap maksiat membawa kepada dosa dan setiap dosa akan menambah
setompok titik hitam di dalam hati nurani dan menjadikan ia gelap hingga sukar melihat
jalan kebenaran. Apabila tompok-tompok hitam sudah memenuhi sebahagian besar hati,
maka yang benar (haq) dilihat sebagai salah (batil) dan yang salah (bathil) dipandang
sebagai benar (haq). Maka ketika itu kompas hidup sudah tidak berfungsi lagi. Syaitan
bermaharajalela menunggang diri membawa ke mana saja yang dihajatinya. Hati kita juga
tidak terlepas daripada kekotoran ini dan memerlukan penyucian sebagai persiapan untuk
berdepan dengan malaikat Munkar-Nakir dan lebih-lebih lagi hebat semasa berdepan
dengan Allah Rabbul-Jalil di hari kiamat nanti. Salah satu cara menyuci hati ialah dengan
membaca Al-Quran.
Islam dari dulu lagi menganjurkan umatnya supaya membaca Al-Quran, menganalisa atau
meneliti kandungannya serta mengamalkan apa yang dibaca. Generasi awal sungguh gemar
dan giat membaca, malah ada yang mengkhatamkan 30 Juz Al-Quran setiap hari, seminggu
sekali atau sebulan 2 atau 3 kali. Sungguhpun begitu mereka tetap bergiat dengan kerjakerja dunia serta maju di dalam pelbagai bidang kehidupan. Musuh Islam memandang
potensi yang ada di dalam Al-Quran dan cuba menghalang umat Islam daripada
membacanya. Lantas direka pelbagai cara media massa (audio dan video) untuk melalaikan
mereka. Akhbar, majalah hiburan, radio, televisyen, video, filem, komputer dan akhir-akhir
ini internet direka dan dieksploit untuk merosakkan budaya Islamik yang diterapkan oleh AlQuran. Ternyata strategi mereka mengena. Akhir-akhir ini kita lihat umat Islam dilekakan
dengan TV, radio, komputer, tayangan gambar, majalah hiburan dan sebagainya. Umat
Islam semakin renggang dengan Al-Quran. Akhbar harian menjadi ketagihan. Mereka
mampu membaca akhbar dari kulit ke kulit dua hingga tiga kali sehari tapi tidak mampu
membaca walaupun sehelai atau satu ayat daripada Al-Quran. Mereka mampu duduk
berjam-jam di depan set TV tapi tak mampu menghadap tok guru mengajar Al-Quran.
Inilah penyakit masyarakat Islam hari ini.
Kita perlu kembali kepada Al-Quran dan menjadikannya sebagai amalan hidup. Kalau tidak
mampu membaca huruf Jawi, perlulah terlebih dulu mempelajarinya. Amat malang generasi
kini yang bukan saja buta Al-Quran tetapi buta huruf Jawi yang menjadi perantaraan AlQuran. Anak-anak murid dulu memang diasuh dan diajar dengan tulisan Jawi tapi
malangnya sejak di'haram'kan pendidikan jawi di sekolah oleh seorang 'talibarut' musuh,
ramai di antara kita sekarang tidak dapat membaca kita-kitab lama yang bertulisan Jawi.
Malang sekali disebabkan tidak mengenal huruf Jawi, lantas Al-Quran diperjauhi dan
dipermusuhi.
Ada beberapa perkara yang harus diperhati semasa membaca Al-Quran. Di antaranya:

suci dari hadas (besar atau kecil)

duduk menghadap kiblat

dibaca dengan tertib, tartil dan bertajwid

memelihara hak-hak ayat

disunatkan menangis semasa membaca terutama apabila sampai ayat ancaman dan
amaran

dinyaringkan supaya sekurang-kurangnya kedengaran oleh dirinya sendiri

Antara amalan-amalan batin yang perlu diperhatikan:

merasakan keagungan Al-Quran dan memikirkan maknanya satu persatu

menghadirkan kebesaran Allah di dalam hati

khusyuk semasa membaca

fahamkan makna yang dibaca

berfikiran tenang

Di samping itu, jika dapat jadikan wirid harian/mingguan membaca surah-surah utama
seperti Surah Yasin, Al-Mulk, Al-Waqiah, Ad-Dukhan dan sebagainya. Apa yang istimewa
dalam tilawah ialah sungguhpun berulang-ulang kali dibaca ayat-ayatnya, seseorang tidak
berasa jemu malahan semakin terasa akan kehebatan dan kelazatannya seolah-olah sedang
berkomunikasi dengan Allah. Amat benarlah firman Allah "Sesungguhnya orang yang
beriman ialah mereka yang apabila disebut nama Allah hatinya menjadi takut gementar dan
apabila dibacakan kepadanya ayat-ayat Allah, bertambahlah keimanannya dan mereka
bertawakkal kepada Allah."
Pada peringkat permulaan mungkin agaknya sukar untuk membaca dan mengkhatamkan
Al-Quran. Sungguhpun begitu jangan pula tinggalkan langsung sesuai dengan kata orang
tua-tua 'kalau tak mampu buat semua, jangan pula tinggalkan semua'. Mulakanlah sedikit
demi sedikit. Insyaallah apabila kelazatan membaca sudah menebal, kemampuan untuk
membacanya akan bertambah. Insyallah doa dan hajat kita akan dimakbulkan Allah. Hati
akan berjinak-jinak dengan kalimah Allah dan berusaha mendengarnya melalui kaset-kaset
atau CD Al-Quran yang terdapat di pasaran. Malahan dalam internet terdapat banyak tapak
yang menyediakan ruangan Al-Quran secara audio. Mendengar Al-Quran juga diberikan
pahala kerana Nabi saw pernah bersabda "Barangsiapa mendengar suatu ayat dari Kitab
Allah (Al-Quran), nescaya ayat itu menjadi nur baginya pada hari kiamat."
Marilah sama-sama kita mengubah cara hidup kita yang berhobikan hiburan dan material
semata-mata kepada hobi mendengar dan membaca Al-Quran. Kurangkan masa membaca
akhbar dan gantikan masa tersebut dengan membaca Al-Quran. Semoga hendaknya Allah
matikan kita di dalam iman dan menghembuskan nafas terakhir dengan bibir yang masih
basah berkumat-kamit melafazkan ayat-ayat suci Al-Quran. Amin.

Anda mungkin juga menyukai