Anda di halaman 1dari 10

MENINGKATKAN KEMAHIRAN MENGENALPASTI

BACAAN DENGUNG DAN TIDAK DENGUNG


DALAM HUKUM LIMA MENGGUNAKAN
TEKNIK PANTUN DUA KERAT
Oleh:
Nurul Husna binti Abdul Mutalib, Mohd. Jaafar bin Ab Latif
Jabatan Agama Islam dan Moral, IPG Kampus Dato Razali Ismail
khazinatulhusna@gmail.com , mjaafar@ipgmkdri.edu.my

ABSTRAK
Pengkaji telah mengenalpasti masalah murid dalam mengenalpasti bacaan yang perlu
dibaca dengan dengung dan tidak dengung melalui pengajaran dan pemudahcaraan
(PdP) di dalam kelas. Oleh itu, kajian tindakan ini dijalankan bertujuan
meningkatkan kemahiran mengenalpasti bacaan dengung dan tidak dengung
menggunakan teknik pantun dua kerat dan hanya terhad kepada hukum lima sahaja.
Kajian yang telah dijalankan di Sekolah Kebangsaan Seri Budiman II, Kuala
Terengganu ini melibatkan lima orang murid tahun 4 al-Ghazali. Tinjauan awal
menunjukkan murid lemah dalam mengenalpasti bacaan dengung dan tidak dengung
dalam hukum lima. Intervensi pantun dua kerat telah diberikan beserta bantuan
jadual. Hasil dapatan dari ujian lisan, analisis dokumen dan temu bual menunjukkan
intervensi ini memberi kesan yang positif kepada murid. Murid sudah boleh mengenal
perbezaan tanda bagi bacaan dengung dan tidak dengung dalam hukum lima.
Kesimpulannya, kemahiran murid mengenalpasti bacaan dengung dan tidak dengung
dalam hukum lima dapat ditingkatkan sekiranya guru mampu menggunakan kaedah
atau teknik yang sesuai dengan tahap mereka. Amalan penyelidikan untuk mencari
pendekatan terbaik dalam melaksanakan pengajaran dan pembelajaran bukan sahaja
dapat mengurangkan masalah pembelajaran murid malah menggilap kreativiti dan
inovasi guru.
Kata kunci: pantun dua kerat, dengung, tidak dengung, hukum lima

REFLEKSI PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN


Pengkaji telah menjalani praktikum di Sekolah Kebangsaan Seri Budiman II, Kuala
Terengganu bagi praktikum fasa ketiga. Tempoh pengkaji berpraktikum adalah selama
12 minggu bermula pada 14 Februari 2014 sehingga 24 April 2014. Setelah jadual
diberikan, pengkaji perlu mengajar tahap dua sahaja iaitu tahun 5 al-Ghazali, 5 alFarabi, 5 Ibnu Sina dan 4 al-Ghazali bagi mata pelajaran Pendidikan Islam. Tahap
pencapaian akademik bagi murid dari kelas al-Ghazali adalah paling baik, pencapaian
akademik bagi murid dari kelas al-Farabi adalah pada tahap sederhana manakala
pencapaian akademik bagi murid dari kelas Ibnu Sina adalah lemah.
Pengkaji telah mengajar bidang al-Quran bagi kelas 4 al-Ghazali dan 5 alGhazali masing-masing sekali dalam seminggu. Sepanjang melaksanakan pengajaran
dan pembelajaran (pdp) bagi kedua-dua kelas ini, pengkaji telah menemui kelemahan

murid untuk mengenali bacaan dengung atau tidak dengung dalam hukum lima. Hal
ini disedari oleh pengkaji pada minggu kedua lagi. Pada mulanya pengkaji hanya
meminta murid menyebut hukum bacaan sama ada dengung atau tidak dengung.
Murid memberikan pelbagai jawapan. Malahan terdapat murid yang memberikan
jawapan yang betul tetapi apabila pengkaji membuat riak wajah seolah-olah jawapan
yang diberikan itu salah, murid terus menukar jawapan mereka. Hal ini membuktikan
murid hanya meneka jawapan dan kurang yakin dengan jawapan yang diberikan.
Bahkan bukan itu sahaja, pengkaji juga cuba mendengar bacaan murid secara
individu ketika sesi tasmik. Murid kebanyakannya dapat membaca al-Quran dengan
lancar namun hampir kesemua tempat yang perlu dibaca dengung tidak dibaca dengan
dengung. Oleh itu, pengkaji bertanya kepada murid sama ada mereka telah
mempelajari hukum nun mati atau hukum lima. Murid memberikan jawapan bahawa
mereka pernah mempelajarinya namun mereka tidak ingat. Malahan ada juga murid
yang lansung tidak tahu bahawa selepas tanwin dan nun mati akan ada hukum bacaan
sama ada dengung atau tidak dengung.
Bagi murid kelas 4 al-Ghazali, pengkaji telah membuat aktiviti berkumpulan.
Mereka dikehendaki menyenaraikan perkataan yang perlu dibaca dengan dengung
pada ayat yang telah ditetapkan. Hasilnya, pengkaji mendapati kebanyakan perkataan
yang disenaraikan adalah salah. Ada kumpulan yang menyenaraikan perkataan yang
mengandungi mad, ada juga yang menyenaraikan perkataan tidak dengung dan ada
juga kumpulan yang salah semua. Bagi mendapatkan kepastian mengenai tahap
pengetahuan murid dalam bacaan dengung dan tidak dengung, pengkaji telah
menggunakan kaedah pemerhatian ketika sesi tasmik yang diadakan selepas waktu
pulang.
Masalah yang dihadapi oleh murid-murid dalam mengaplikasi bacaan
dengung dan tidak dengung agak ketara. Masalah ini juga disedari oleh pengkaji
berlaku kepada murid-murid di sekolah praktikum pertama dan kedua. Oleh itu,
pengkaji telah terdorong untuk membantu murid meningkatkan kemahiran bacaan
dengung dan tidak dengung dalam hukum lima dengan cara yang lebih mudah.
Melalui kajian tindakan yang bakal dihasilkan, pengkaji berharap murid-murid dapat
dibantu untuk menguasai kemahiran mengenal perkataan yang perlu dibaca dengung
dan tidak dengung dan seterusnya dapat membaca al-Quran dengan bertajwid.
Diharapkan juga masalah pembacaan al-Quran murid dari segi sebutan dengung dan
tidak dengung dapat dikurangkan melalui teknik yang bakal diperkenal dalam kajian
tindakan ini.

SOROTAN LITERATUR
Menurut kamus dewan edisi keempat, (2007:1695) meningkatkan membawa maksud
meninggikan kedudukan, membesarkan, memperhebat.
Kemahiran pula dimaksudkan dengan kecekapan, kepandaian. (kamus dewan edisi
keempat,2007:976)
Bacaan ditakrifkan sebagai bahan untuk dibaca, cara membaca, hasil yang dibaca.
(kamus dewan edisi keempat,2007:100) Dalam konteks kajian ini, bacaan merujuk
kepada cara membaca.
Dengung bermaksud
keempat,2007:336)

berbunyi

(bersuara)

bergema.

(kamus

dewan

edisi

Hukum lima merujuk kepada hukum nun sukun (mati) atau tanwin bertemu dengan
huruf hijaiyyah yang terdiri daripada 28 huruf maka hukumnya terbahagi kepada
empat: Izhar, Ikhfa, Idgham dan Iqlab. (Mohd Firdaus,2010).
Teknik merujuk kepada unit-unit kecil yang terkandung dalam sesuatu kaedah. Teknik
merangkumi aktiviti, perlakuan dan kemahiran guru yang digunakan dalam
pengajaran. (Ahmad Mohd Salleh,2007:191)
Pantun pula merupakan puisi lama yang biasanya terdiri daripada empat baris dalam
tiap-tiap rangkap (dua baris pertama merupakan pembayang maksud dan yang
selainnya mengandungi maksudnya) (kamus dewan edisi keempat,2007:1137)
Ada pendapat mengatakan perkataan pantun adalah daripada bahasa
Minangkabau iaitu panuntun yang bermaksud pembimbing atau penasihat yang
berasaskan sastera lisan dalam pengucapan pepatah dan petitih yang popular dalam
masyarakat tersebut. (Dewan Bahasa dan Pustaka online, 2014)
Menurut kajian Mohamad Razif Mohamad Nawi (2013), beliau turut berhadapan
dengan murid yang tidak kenal dan tidak ingat huruf-huruf dalam hukum tajwid
khususnya hukum lima. Pengkaji ini memfokuskan pembahagian huruf-huruf
hijaiyyah dan nama-nama dalam hukum lima bagi mengelaskan bacaan dengung dan
tidak dengung dalam hukum lima.
Penggunaan perbezaan tanda bacaan bagi mengelaskan bacaan dengung dan tidak
dengung dalam hukum lima turut digunakan dalam buku Mantap Mengaji Kaedah alMatien karangan Zamri Mohd. Zainuldin dan Wahid Abd. Hanif (2009). Buku ini
menerangkan tanda-tanda bacaan dan cara membacanya dengan terperinci. Namun
begitu, maklumat yang terlalu padat dan tidak fokus kepada setiap hukum akan
menyebabkan murid sekolah rendah sukar memahami maklumat yang hendak
disampaikan. Oleh itu, pengkaji merujuk buku ini dan melakukan inovasi dengan
menghasilkan pantun dua kerat bagi memudahkan murid mengenal tanda bacaan
dengung dan tidak dengung khususnya dalam hukum lima.

TUJUAN KAJIAN
Kajian ini dijalankan bertujuan meningkatkan kemahiran murid dalam mengenalpasti
bacaan dengung dan tidak dengung khususnya dalam hukum lima dengan
menggunakan teknik pantun dua kerat.
Objektif
Mempermudah murid mengenalpasti bacaan dengung dan tidak dengung dalam
hukum lima menggunakan teknik pantun dua kerat.
Persoalan Kajian
Bagaimanakah teknik pantun dua kerat dapat membantu murid mengenal bacaan
dengung dan tidak dengung dalam hukum lima?

METODOLOGI KAJIAN
Pengkaji telah menggunakan model penyelidikan tindakan Kurt Lewin (1948) yang
bermula dengan perancangan, tindakan, pemerhatian dan refleksi.

Bagi menjalankan kajian tindakan ini, pengkaji memilih untuk memberi fokus kepada
lima orang murid dari tahun 4 al-Ghazali di Sekolah Kebangsaan Seri Budiman II.
Murid yang dipilih terdiri daripada dua orang murid lelaki dan tiga orang murid
perempuan yang mempunyai tahap kognitif yang sederhana dan bijak. 5 orang murid
yang dipilih ini juga boleh membaca al-Quran dengan baik. Akan tetapi, mereka telah
mendapat markah yang sederhana dalam ujian dianostik.
Pengumpulan data menggunakan instrumen analisis dokumen, temu bual dan ujian
lisan. Data kualitatif dianalisis secara deskriptif mengikut peserta kajian.
Bagi analisis dokumen, pengkaji telah memberi soalan latihan merangkumi kalimahkalimah dengung dan tidak dengung dalam hukum lima. Peserta kajian perlu
menentukan samada kalimah yang diberikan perlu dibaca secara dengung atau tidak.
Latihan ini diberikan sebelum, semasa dan selepas intervensi dijalankan. Pengkaji
dapat menganalisis kefahaman dan penguasaan peserta kajian melalui latihan yang
diberikan.
Dalam kajian ini, pengkaji telah menjalankan temu bual berstruktur secara bersemuka.
Peserta kajian ditemu bual sebelum dan selepas intervensi dijalankan. Sebelum
intervensi dijalankan, soalan temu bual adalah berkaitan pemahaman peserta kajian
tentang hukum bacaan dengung dan tidak dengung yang terdapat di dalam al-Quran.
Setelah intervensi dijalankan iaitu setelah mereka diperkenal dengan kaedah pantun
dua kerat, soalan temu bual adalah berkaitan pemahaman peserta kajian dan
penguasaan peserta kajian terhadap bacaan dengung dan tidak dengung.
Pengkaji juga menggunakan ujian lisan bagi mengukur tahap penguasaan peserta
kajian. Ujian lisan melibatkan sepuluh kalimah yang perlu dibaca secara dengung atau
tidak dengung melibatkan hukum lima sahaja. Ujian lisan dijalankan sebelum, semasa
dan selepas intervensi dijalankan.

SPESIFIKASI INTERVENSI

Rajah 1:Pantun Dua Kerat

Rajah 2: Jadual Bantuan Pantun Dua Kerat

Berikut merupakan pantun dua kerat beserta jadual. Nama-nama bagi tanda bacaan
dengung dan tidak dengung dalam hukum lima direka oleh pengkaji bagi
memudahkan murid mengingat tanda bacaan tersebut. Pantun perlu dihafal terlebih
dahulu sehingga murid mampu menguasai dan menyebut semula pentun dua kerat
tersebut. Setelah itu, pengkaji memperkenal jadual bagi membantu murid mengingat
simbol, contoh bacaan dan cara bacaan dengan jelas. Pengkelasan warna pada pantun
dan jadual bantuan turut membantu murid supaya mudah mengenalpasti kedudukan
pantun dan jadual.
Pengkaji telah menjalankan tiga sesi bagi melaksanakan intervensi pantun dua kerat.
Pada sesi pertama, para peserta kajian perlu menghafal pantun dua kerat sehingga
ingat dan fasih. Setelah itu, ketiga-tiga instrumen iaitu temu bual, ujian lisan dan
analisis dokumen akan dijalankan bagi melihat perkembangan peserta kajian.
Pada sesi kedua, peserta kajian perlu menyebut pantun yang dihafal sambil merujuk
jadual. Hal ini dilakukan bagi mengukuhkan ingatan peserta kajian.
Pada sesi ketiga, peserta kajian hanya perlu menyebut semula tanda bacaan dengung
atau tidak dengung dalam hukum lima tanpa dibantu oleh pantun atau jadual.
Sekiranya peserta kajian kurang ingat tanda-tanda tersebut, langkah satu dan langkah
dua akan diulang semula.

DAPATAN KAJIAN
Pengkaji telah memilih seorang peserta kajian bagi memperincikan dapatan beliau
secara keseluruhan. Peserta kajian yang dipilih merupakan seorang murid perempuan
tahun 4 yang boleh membaca al-Quran dengan lancar. Namun begitu, bacaan beliau
masih lagi salah dari segi sebutan kalimah yang perlu dibaca dengan dengung dan
tidak dengung khususnya dalam hukum lima.

Sesi satu.
Pada sesi satu, peserta kajian yang diberi nama Aisyah ini diminta menghafal pantun
dua kerat. Beliau dapat menghafal pantun dengan baik namun masih kurang lancar.
Hasil temu bual pada sesi satu menunjukkan Aisyah suka dengan pantun yang
diberikan dan beliau turut memberitahu pengkaji bahawa beliau akan menghafal
semula pantun tersebut sehingga lancar.
Hasil analisis dokumen iaitu latihan pada sesi satu mendapati Aisyah masih
melakukan empat kesalahan dari sepuluh soalan yang diberikan. Hal ini menunjukkan
Aisyah masih belum menguasai konsep dan isi pantun tersebut kerana pangkaji masih
belum menjelaskan isi di sebalik pantun.
Hasil ujian lisan pada sesi satu turut menunjukkan prestasi yang sama dengan analisis
dokumen. Aisyah masih melakukan empat kesalahan pada kalimah-kalimah yang
diuji.
Kesimpulannya, menghafal pantun dua kerat masih belum mencukupi bagi
menjelaskan konsep tanda bacaan dengung dan tidak dengung dalam hukum lima.

Sesi dua.
Pada sesi kedua, Aisyah sudah berjaya memahami konsep tanda bacaan dengung dan
tidak dengung dalam hukum lima. Buktinya, beliau berjaya menjawab kesemua soalan
latihan yang terdiri daripada sepuluh soalan dengan betul kesemuanya.
Hasil ujian lisan pada sesi dua mendapati Aisyah hanya melakukan satu kesalahan dari
sepuluh kalimah yang disediakan.
Apabila disoal dalam temu bual, Aisyah memberitahu bahawa beliau sudah ingat
pantun yang diberikan namun kadangkala beliau masih tertukar ketika membaca.
Kesimpulannya, pantun dua kerat beserta jadual bantuan mampu membantu murid
mengenalpasti bacaan dengung dan tidak dengung dalam hukum lima. Namun, latihan
secara berterusan perlu diberikan.

Sesi tiga.
Pada sesi ketiga, Aisyah sudah mampu membaca kesemua kalimah dalam ujian lisan
dengan betul. Bacaan beliau juga fasih dan jelas.
Hasil analisis dokumen pada sesi ketiga turut menunjukkan bahawa Aisyah dapat
mengenalpasti kalimah yang perlu dibaca secara dengung dan tidak dengung dalam
hukum lima dengan baik.
Hasil temu bual mendapati Aisyah yakin bahawa beliau dapat membaca al-Quran
dengan betul selepas intervensi ini diajar kepadanya.

Kesimpulannya, teknik pantun dua kerat berbantukan jadual mampu membantu murid
mengenalpasti bacaan dengung dan tidak dengung dalam hukum lima dengan baik.
Namun begitu, guru perlulah sentiasa mengulang-ulang kembali pengajaran ini supaya
ilmu yang diberikan lebih kukuh dalam ingatan murid.
Bagi rumusan secara keseluruhan, kelima-lima peserta kajian menunjukkan perubahan
yang positif setelah intervensi dijalankan terhadap mereka. Teknik pantun dua kerat
dalam memperkenal tanda bacaan dengung dan tidak dengung dalam hukum lima
sangat membantu murid ke arah perubahan yang lebih baik.

KESIMPULAN
Kesimpulannya, intervensi teknik pantun dua kerat mampu membantu murid
mengenalpasti bacaan dengung dan tidak dengung dalam hukum lima. Penggunaan
pantun yang pendek memudahkan murid menghafal fakta dari pantun tersebut. Selain
itu, jadual bantuan turut membantu murid dalam mengenalpasti dan mengingat tandatanda bacaan dengung dan tidak dengung dalam hukum lima. Di samping itu,
penggunaan warna yang pelbagai dan dikhususkan supaya wujud persamaan antara
pantun dan jadual turut memudahkan murid merujuk jadual.
Melalui kajian tindakan yang dijalankan, pengkaji mendapati bahawa seorang guru
perlulah sentiasa mencari ilmu dan idea baru untuk digunakan dalam pengajaran dan
pembelajaran. Profesion perguruan sememangnya sangat mencabar. Dalam era
modenisasi, ilmu dapat diperoleh di mana-mana. Oleh itu, seorang guru perlu
mempunyai ilmu pengetahuan yang mendalam dan menyampaikan ilmu secara kreatif.
Kajian yang dijalankan oleh pengkaji masih boleh diberi penambahbaikan.
Pertamanya, pengajaran Pendidikan Islam khususnya dalam bidang al-Quran perlu
disampaikan dalam pendekatan yang lebih menarik dengan kepelbagaian bahan bantu
mengajar. Oleh itu, pengkaji seterusnya boleh menjadikan teknik pantun dua kerat
menjadi lebih menarik dengan menggabung jalin unsur nyanyian dan muzik pada
pantun tersebut. Di samping itu, bahan bantu lain boleh digunakan sebagai bantuan
seperti carta tiga dimensi (3D), alat permainan, dan token.
Selain itu, pengkaji ingin mencadangkan agar kajian menggunakan pantun dua kerat
ini juga diperluaskan kepada bidang-bidang lain dalam pendidikan Islam iaitu bidang
Ibadah , Aqidah, Sirah serta Adab dan Akhlak Islamiah. Bahkan bukan itu sahaja,
malah teknik ini juga dapat digunakan dalam subjek-subjek lain.
Seterusnya, Bagi meningkatkan lagi keberkesanan kajian, pengkaji juga ingin
mencadangkan kajian dijalankan dengan bilangan peserta kajian yang lebih ramai
berbanding kajian ini. Hal ini bertujuan menjadikan kajian yang dijalankan lebih
realistik dengan keadaan semasa bilik darjah di Malaysia yang mempunyai sekitar 30
hingga 40 orang murid kecuali sekolah kurang murid (SKM).
Akhir sekali, pengkaji telah menjalankan kajian terhadap murid yang mempunyai
pencapaian sederhana. Oleh itu, pengkaji ingin mencadangkan kajian berkaitan
penggunaan pantun dua kerat diperluaskan kepada murid yang mempunyai
pencapaian akademik yang rendah pada masa hadapan. Murid yang rendah pencapaian

akademiknya perlu diberi ransangan serta kaedah pengajaran yang lebih menarik
supaya mereka mampu memperkembang lagi keupayaan kemahiran membaca dan
menulis. Kepelbagaian kaedah pengajaran dapat mengelak murid daripada menjadi
bosan dan penat semasa proses pembelajaran.

RUJUKAN

Al-Quran al-Karim
Buku
Abdul Qadir Leong (1996). Tajwid Al-Quran Rasm Uthmani. Kuala Lumpur :
Pustaka Salam Sdn. Bhd.
Abdullah al-Qari bin Haji Salleh (1994). Kursus Qari dan Qariah. Kelantan:
Pustaka Aman Press Sdn. Bhd.
Ahmad Mohd Salleh (2007). Pengajian Agama Islam & j-QAF Metodologi dan
Pedagogi Pendidikan. Selangor : Oxford Fajar Sdn. Bhd.
Chia Chiow Ming, Edna Wellington, Faridah Anum Abdul Wahid, et. al.
Penyelidikan Tindakan Panduan Penulisan Laporan. Kuala Lumpur:
Freemind Horizons Sdn. Bhd.
Mahadi bin Dahlan, Azharuddin Sahil (2011). Al-Quranul Karim Rasm
Uthmani. Selangor : Pustaka Haji Abdul Majid.
Rosinah Edinin (2011). Penyelidikan Tindakan Kaedah dan Penulisan. Kuala
Lumpur: Freemind Horizons Sdn. Bhd.
Syeikh Muhammad Aly Ash Shbny (2002). Al-Tibyan Fi'ulum Al-Qur'an.
Selangor: Crescent News (Kl) Sdn Bhd.
Zamri Mohd. Zainuldin, Wahid Abd. Hanif (2009). Mantap Mengaji Kaedah
al-Matien. Kuala Lumpur: Telaga Biru Sdn. Bhd.

Jurnal

Ab. Halim Tamuri, Ahmad Munawar Ismail Amal Hayati Md. Noor, Mohd
Izzuddin Mohd Pisol. (2013). Penilaian Guru terhadap Pelaksanaan
Model-Model Tilawah al-Quran Program j-QAF. Selangor.

Ahmad Rozaini Ali Hasan, Sharifah Anom Omar, Wan Ariffin Wan Yon.
(2009). Kemahiran Membaca Al-Quran Di Kalangan Pelajar-Pelajar
Uitm Sarawak, Sarawak.

Ding Choo Ming (2009). Oral Poetics in Malay Manuscripts: A Study of


Hikayat Syamsul Anuwar, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Fazlina Binti Fadzil, Nurulazidah Binti Jaafar. Kajian Pengamalan Dan


Kesedaran
Pembacaan Al-Quran Dalam Kalangan Pelajar Muslim
Politeknik Port Dickson Negeri Sembilan. Negeri Sembilan.

Mohd Yakub @ Zulkifli bin Haji Mohd Yusoff, Saidi bin Mohd (2007).
Keupayaan Bacaan Al-Quran Di Kalangan Pelajar Tingkatan Empat:
Kajian Di Beberapa Buah Sekolah Menengah Terpilih Di Negeri
Terengganu. Terengganu.

Kajian Tindakan

Mohamad Razif bin Mohamad Nawi (2013). Penggunaan Kaedah Mnemonik


Dalam Meningkatkan Kemampuan Murid Mengingat Huruf-huruf Bagi
Hukum Lima DalamKalangan Murid Tahun 4. Kuala Terengganu.

Abdullah Zaki bin Nordin (2012). Penggunaan Kaedah Smart Finger Tajwid
Dalam Membantu Murid Menguasai Hukum Nun Mati Bagi
Tahun 5C. Kuala Terengganu.

Mohd Firdaus bin Mat Nazi (2010). Meningkatkan Kefahaman Hukum Tajwid
Nun Mati Dan Tanwin Dalam Kalangan Murid Tahun 4 Bestari
Sekolah Kebangsaan Darat Batu Rakit Menggunakan Pendekatan
Jadual Hukum Lima. Kuala Terengganu.

Internet
Akim Mubarak (2011). Soal Jawab. http://drakim.blogspot.com/2011/05/soaljawab.html. Diakses pada 7 April 2014.
Dewan Bahasa dan Pustaka (2014). Pantun.
http://www.dbp.gov.my/lamandbp/main.php?Content=vertsections&Su
bVert SectionI
D=826&VertSectionID=25&CurLocation=208&IID&Page=1.
Diakses pada 19 April 2014.
Kamus
Kamus Dewan Bahasa Edisi ke-empat (2007)

Anda mungkin juga menyukai