Anda di halaman 1dari 6

Penyalahgunaan Inhalan di Kalangan Remaja

Oleh: Haslina Hashim


Sumber: Dewan Kosmik, Julai, 2002

Ramai di kalangan kita terutamanya ibubapa sering bimbang mengenai


penyalahgunaan dadah seperti ecstasy, ganja, syabu dan lain-lain di kalangan
anak-anak kita terutamanya yang berusia remaja. Akan tetapi kita biasanya
terlupa malah tidak menyedari, atau mengabaikan kemungkinan terdapat
penyalahgunaan produk-produk yang biasa digunakan di rumah dengan cara
menghidu atau menyedut wapnya. Produk-produk ini kebiasaannya dianggap
sebagai tidak merbahaya akan tetapi sebenarnya produk-produk ini mengandungi
bahan pelarut organik beracun, yang apabila dihidu atau disedut wapnya akan
menyebabkan ketagihan, atau berpotensi mengakibatkan kematian secara tibatiba.
Kegiatan menghidu bahan-bahan ini, kebanyakannya gam, sering melibatkan
golongan remaja termasuk kanak-kanak berusia antara 10 hingga 18 tahun,
demikian menurut pihak polis yang telah dapat mengesan kegiatan ini di Perak.
Pada pertengahan tahun 2001, masyarakat Malaysia dikejutkan pula dengan
berita kematian beberapa orang pelatih Pusat Serenti Sungai Ruan, Raub,
Pahang. Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Belia dan Sukan Pahang,
penyakit yang menyerang pelatih tersebut berpunca daripada perbuatan mereka
menghidu bahan kimia seperti gam, thinner dan petrol secara berterusan untuk
menghilangkan ketagih.
Apakah inhalan?
Inhalan dikenali juga sebagai bahan hiduan atau sedutan adalah bahan mudah
meruap (volatile) yang dihidu atau disedut untuk menimbulkan kesan psikoaktif
atau merangsangkan perubahan minda. Umumnya, inhalan boleh dibahagikan
kepada tiga kategori utama iaitu:
1. Pelarut Mudah Meruap
Merupakan cecair yang akan meruap pada suhu bilik. Pelarut ini didapati dalam
kebanyakan produk-produk yang biasa digunakan di rumah atau untuk tujuan
penggunaan perubatan dan industri. Produk-produk tersebut termasuklah cat dan
penipis/pelarut cat, bahan pelindung fabrik, penanggal gris, bahan pengilat,
minyak gas, minyak petrol, gam dan pelekat, cecair pemadam dan dakwat pen.
2. Bahan gas
Merupakan bahan yang banyak digunakan dalam perubatan seperti eter,
klorofom, haloten dan nitrous oksida. Produk kegunaan di rumah yang
mengandungi gas termasuklah pemetik api yang berisikan gas butana, tong gas
propana dan gas peti sejuk iaitu freon. Penyembur aerosol pula biasanya
mengandungi kedua-dua bahan pelarut dan gas. Antara penyembur aerosol yang
mudah didapati di rumah adalah cat penyembur, semburan pewangi, penyembur

rambut dan penyembur pelindung fabrik.


3. Bahan Nitrit
Merupan sejenis bahan sedutan yang sering digunakan sebagai pemangkin
seks dan mudah diperolehi di kelab-kelab malam. Antara bahan nitrit yang biasa
digunakan adalah sikloheksil nitrit, amil nitrit dan butil nitrit yang terdapat dalam
sebahagian jenama penyegar udara. Nama lain yang biasa dikenali oleh penagih
ialah Climax, Rush, Locker Room dan Popper. Inhalan berbentuk bahan mudah
meruap dan bahan gas lebih digemari oleh golongan awal remaja, walau pun
terdapat juga golongan dewasa yang menggunakannya. Orang dewasa biasanya
terdedah kepada bahan sedutan melalui pekerjaan mereka, manakala golongan
remaja yang lebih berumur biasanya memperolehi dan terdedah kepada bahan
nitrit di kelab-kelab malam.
Inhalan seringkali dipilih oleh penagih kerana ianya mudah didapati, harganya pun
murah, serta penggunaannya mudah disembunyikan atau dielakkan dari
pengetahuan orang lain. Selain itu, bahan ini berupaya memberikan kesan-kesan
yang diingini penagih seperti rasa tenteram dan selesa yang berlebih-lebihan
yang dipercayai dapat mengurangkan tekanan hidup penagih, serta boleh
menimbulkan perasaan khayal yang cepat dan berulang kali. Golongan remaja
yang menagih juga akan lebih mudah diterima kumpulan rakan sebaya yang
terlibat dalam aktiviti yang serupa.
Cara Penggunaan
Wap bahan ini biasanya dihidu melalui hidung atau disedut melalui mulut. Selain
bahan inhalan yang tersenarai, penagih juga berkemungkinan menggunakan
bahan lain bersama seperti arak, dan ini akan meningkatkan risiko terjadinya
kesan yang lebih teruk. Hampir semua inhalan (kecuali bahan nitrit) yang
disalahgunakan bertindak di otak dengan menekan fungsi sistem saraf pusat dan
menghasilkan kesan yang seakan sama dengan kesan pengambilan arak
(alkohol), ubat tidur dan agen bius. Terdapat satu kajian terbaru yang
menunjukkan toluin iaitu sejenis pelarut yang didapati dalam gam, cat semburan,
dan penanggal cat, boleh mengaktifkan sistem dopamina dalam otak sama
seperti tindakan yang dihasilkan oleh dadah-dadah yang sudah lama dikenali
seperti heroin, candu, dan lain-lain lagi.
Bahan nitrit pula sebaliknya tidak bertindak terus ke atas sistem saraf pusat
seperti kebanyakan inhalan yang lain, akan tetapi bahan ini secara asasnya
bertindak membesarkan saluran darah dan merehatkan otot.
Kesan-kesan
Kebanyakan inhalan bentuk pelarut dan gas akan menyebabkan penagih berasa
khayal. Kesannya seakan sama dengan mabuk akibat meminum alkohol yang
banyak. Perasaan khayal ini biasanya berlaku selama 15 hingga 45 minit dan
akan berterusan sehingga satu hingga dua jam. Sekiranya kuantiti atau

kepekatan inhalan itu tinggi, penagih mungkin hilang deria rasa, dan seterusnya
tidak sedarkan diri.
Sekiranya wap inhalan disedut dengan kuat dan dalam, atau digunakan dengan
banyak dalam tempoh yang singkat, seseorang itu akan hilang kawalan diri,
berkelakuan agresif, tidak sedarkan diri, atau mati. Seiringan itu, penagih juga
akan berasa loya dan muntah. Jika muntah terjadi ketika pengsan, kematian
boleh berlaku akibat tersedak dan kesesakan nafas.
Seandainya inhalan yang dihidu berkepekatan tinggi, kegagalan jantung dan
kematian mengejut boleh terjadi. Hiduan boleh membunuh walau pun kali
pertama atau pun hiduan seterusnya. Inhalan yang pekat menyebabkan
kesesakan nafas akibat kekurangan oksigen. Selain itu, penekanan sistem saraf
pusat yang serius boleh melambatkan dan seterusnya menghentikan proses
pernafasan.
Seperti penagih benda-benda lain, inhalan boleh mengakibatkan pergantungan
fizikal dan psikologi kepada penagih jika digunakan untuk beberapa hari atau
lebih. Penagihan yang berterusan dalam jangkamasa panjang boleh
mengakibatkan kerosakan sel-sel otak yang kekal. Penagih akan hilang daya
tumpuan, mudah marah, hilang ingatan, mengalami kekeliruan serta kemurungan.
Selain itu, selera makan serta berat badan penagih turut merosot. Penagih juga
akan mengalami keletihan serta kawalan pergerakan badan akan turut terjejas.
Sebahagian inhalan juga boleh merosakkan organ-organ utama badan seperti
paru-paru, hati, buah pinggang, darah dan sum-sum tulang. Bahan nitrit yang
disedut bertindak membesarkan salur darah, meningkatkan kadar degupan
jantung dan menghasilkan keseronokan yang mampu bertahan selama beberapa
minit sahaja. Kesan-kesan lain adalah rasa panas, pening dan sakit kepala.
Bahan nitrit dipercayai berupaya menambahkan keseronokan dan keupayaan
seksual.

Bahaya bahan-bahan kimia


yang terdapat dalam
kebanyakan inhalan

Didapati dalam

Amil nitrit, Butil nitrit

Poppers, Climax, Rush

Benzene

Minyak petrol

Butane, Propane

Cecair pemetik api,


semburan cat dan rambut

Metilena klorida

Penanggal/penipis cat,
penyahgris

Nitrous oksida,

Krim whipping, tangki gas

Toluin

Minyak petrol,gam,
penanggal/penipis cat, cecair
pemadam

Trikloroetilena

Penanggal kotoran,
penyahgris, cecair
pemadam

Heksana

Gam, Minyak petrol

Kesan

Kematian mengejut kerana dihidu, ketahanan badan berkurang,


kerosakan sel darah merah.

Kerosakan sum-sum tulang, ketahanan badan berkurang, risiko penyakit


leukemia bertambah, kerosakan sistem pembiakan, kematian mengejut
melalui kesan ke atas jantung, kesan terbakjar yang teruk.

Mengurangkan keupayaan darah untuk membawa oksigen, perubahan


otot dan denyutan jantung.

Kematian akibat kurang oksigen di otak, pengsan, fungsi jantung terjejas.

Kerosakan otak (hilang kewarasan fikiran dan keseimbangan badan,


hilang penglihatan dan pendengaran), hati dan buah pinggang.

Kemamatian mengejut akibat dihidu, sirosis hati, kerosakan pendengaran dan


penglihatan, komplikasi sistem pembiakan, kekejangan anggota badan, kebas.
Mengenal penagih inhalan
Anggota masyarakat yang rapat dengan golongan remaja terutamanya ibu bapa,
rakan sebaya dan guru perlu memainkan peranan yang utama dalam
membanteras kegiatan merbahaya ini. Oleh itu, adalah penting untuk mengenali
tanda-tanda awal penagihan inhalan supaya langkah-langkah pencegahan dapat
dimulai sebelum terlambat.
Tanda-tanda berikut boleh membantu para ibubapa, rakan sebaya, dan guru

mengesyakki atau mengesan penagihan inhalan di kalangan anak-anak, rakanrakan dan murid-murid:

Terdapat bau bahan kimia pada nafas, badan, pakaian dan di bilik tidur

Kesan cat atau bahan seumpamanya di kawasan muka, tangan, atau


pakaian

Terdapat bintik-bintik merah dan pecah-pecah di sekitar mulut dan hidung

Mata seringkali kelihatan berair, merah dan berkaca, serta hidung berair

Terdapat bekas-bekas cat atau pelarut serta kain buruk atau pakaian
yang telah dicelup dengan bahan tersebut yang cuba disembunyikan di
dalam laci atau almari di bilik tidur

Remaja tersebut seringkali mengalami loya-loya, hilang selera makan,


pertuturan yang kurang jelas, serta kelihatan tidak terurus

Remaja terbabit kelihatan mengalami kurang daya tumpuan, mudah


marah dan murung.

Langkah Pencegahan
Menghidu atau menyedut inhalan BOLEH MEMBUNUH walau hanya dengan
sekali sedutan atau hiduan sahaja. Oleh itu ibu bapa, guru-guru dan rakan-rakan
yang merupakan pendamping utama remaja perlulah melakukan sesuatu agar
masalah ini dapat dicegah seawal mungkin. Antara yang dapat dilakukan adalah:

Sentiasa sedar, waspada serta mengambil tahu tentang masalah ini


dengan cara mendapatkan maklumat lanjut tentang penagihan bahan
sedutan, jenis bahan yang sering disalahgunakan, dan cara-cara untuk
mengesan masalah ini sekiranya terjadi di kalangan anak-anak, anak
murid atau rakan-rakan anda

Pastikan anak-anak, anak murid atau rakan-rakan anda mengetahui


tentang bahaya-bahaya merokok, minum arak, penyalahgunaan dadah
serta inhalan.

Elakkan membeli produk-produk yang mudah disalahgunakan seperti


bahan pelarut dan produk-produk berasaskan bahan pelarut, gas, minyak
petrol dan aerosol. Usahakan untuk mendapatkan produk-produk
alternatif yang berasaskan air sekiranya ada.

Sentiasa awasi mengenai kuantiti produk yang telah digunakan, sekiranya


kuantiti yang digunakan agak banyak, soal dan lakukan penyiasatan
lanjut

Sekiranya anda mensyaki sebarang perubahan tingkah laku anak atau


rakan anda, tanya dan cakap dengan mereka mengenai perkara yang
membimbangkan anda. Jangan tangguhkan untuk berdepan dengan
mereka.

Elakkan sikap tidak apa- Ingatlah bahawa satu sedutan atau hiduan
mungkin akan membunuh orang tersayang

Anda mungkin juga menyukai