Berikut adalah antara peribahasa yang mempunyai maksud yang sama atau hampir sama.
-carik-carik bulu ayam akhirnya bercantum jua
-air dicencang tak akan putus
(perbalahan antara adik beradik tidak kekal lama, lama kelamaan akan berbaik-baik jua)
belut pulang ke lumpur
haruan pulang ke lubuk
(perantau yang pulang semula ke tempat asal)
api dalam sekam
gunting dalam lipatan
musuh dalam selimut
(musuh yang ada dalam kalangan sesuatu kumpulan tanpa disedari)
membuka pekung di dada
menepuk air di dulang terpercik ke muka sendiri
(mendedahkan keburukan ahli keluarga akan mengaibkan diri sendiri)
seekor kerbau membawa lumpur habis semua terpalit
kerana nila setitik, rosak susu sebelanga
(disebabkan perbuatan seorang, semua yang lain turut terkena akibatnya)
sudah dapat gading bertuah, tanduk tidak berguna lagi
habis madu, sepah dibuang
(apabila memperoleh barangan yang lebih baik, barang yang lama tidak diperlukan lagi)
lain padang lain belalang
banyak udang banyak garam, banyak orang banyak ragam
lain dulang lain kakinya
rambut sama hitam, hati lain-lain
(manusia mempunyai sikap yang berbeza antara satu sama lain)
bagai isi dengan kuku
bagai aur dengan tebing
bagai dakwat dengan kertas
(persahabatan yang sangat akrab)
hati gajah sama dilapah, hati nyamuk sama dicecah
berat sama dipikul, ringan sama dijinjing
bukit sama di daki, lurah sama dituruni
(susah senang dihadapi bersama)
ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi
bagaimana acuan, begitulah kuihnya
bapa borek, anak rintik
(seseorang yang akan mengikut sifat dan tingkahlaku bapanya)