Anda di halaman 1dari 4

Islah dan Pengislahan: Gagasan Pembaharuan yang Sebenar

Oleh: Mohammad Fazril Bin Mohd Saleh Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia

Islam merupakan agama (din) yang diturunkan Allah kepada manusia melalui perantaraan para Rasul alihim al-solat al-salam untuk menjadi rahmat kepada sekalian alam. Sebagai agama risalah, al-Qur`an menyarankan dua bentuk penyebaran agama Islam kepada manusia. Pertama, seruan dakwah terhadap mereka yang berada di luar lingkungan agama. Usaha ini perlu dilakukan dengan kebijaksanaan, nasihat yang baik dan dialog yang berhemah. Sehinggakan kepada penguasa zalim seburuk Firaun pun, Nabi Musa AS diperintah Allah untuk berdakwah menggunakan perkataan yang lembut dan mengetengahkan hujah yang benar dan baik. Bentuk kedua penyebaran risalah Islam pula lebih bersifat dalaman iaitu usaha memperbaik masyarakat Islam itu sendiri. Dalam melaksanakan usaha islah dalaman ini, al-Qur`an mengetengahkan dua bentuk tindakan yang beriringan dan saling melengkapi: (1) menyeru kepada perkara-perkara kebaikan (amr bi al-maruf); (2) mencegah segala bentuk kemungkaran (nahy an al-munkar). Tugas islah ini merupakan kefarduan, malah keunggulan umat Islam sebagai umat terbaik (khayra ummah) juga bersyaratkan kejayaan mereka melaksanakan tugas ini. Hakikat ini disokong oleh hadis Nabi SAW yang menjamin kemestian berlakunya usaha pembaharuan ini secara berterusan dengan kemunculan seorang pembaharu agama: Sesungguhnya Allah mengutuskan kepada umat ini pada setiap awal kurun seorang yang akan memperbaharui agamanya (man yujaddidu laha dinaha). Pada awal era moden, para pemikir dan pemimpin Muslim telah menyedari pentingnya pembaharuan (islah) sebagai usaha memajukan umat terutama untuk menghadapi hegemoni sosio-ekonomi dan kebudayaan Barat. Kelemahan umat Islam tampak ketara dengan peristiwa-peristiwa tragik yang berlaku seperti kegagalan serangan Empayar Uthmaniyah terhadap Vienna pada 1683, yang bukan sahaja menandai runtuhnya kekuatan tentera Islam yang ketika itu sangat digeruni tetapi juga menayangkan pudarnya kebanggaan dan rasa percaya diri terhadap keagungan peradaban umat Islam. Keadaan ini diperburuk lagi dengan Perjanjian Carlowitz 1699 M dan Passorwitz 1718 M yang merugikan umat Islam. Keruntuhan yang sama juga terasa di Empayar Moghul India di mana tentera pimpinan Nawab Siraj al-Daulah dikalahkan oleh Syarikat Hindia-Timur Inggeris (English East India Company) dalam suatu peperangan di Plassey pada 1757. Di Mesir, kejayaan serangan tentera pimpinan Napoleon Bonaparte pada 1798 M semakin menyingkap keruntuhan kekuatan tentera Islam. Perjanjian Kutruch Quinarji pada 1774M antara Empayar Uthmaniyah dengan Rusia turut menyumbang kepada

keruntuhan kekuatan tentera dan peradaban Uthmani di mata Eropah sehingga ke hari ini. Kesedaran untuk menghalang kemaraan penjajah Eropah dan boneka mereka serta mengembalikan maruah umat nampak ketara terutama pada idea dan praktis para pelopor gerakan Islah seluruh pelosok dunia Islam yang menyedari keperluan bagi umat melakukan pencarian semula identiti umat. Pengislahan dan pembaharuan yang sebenar mengisyaratkan suatu kegiatan penting dan terancang yang menghasilkan kebaikan. Dengan kata lain, ia merupakan suatu gerak perobahan dari keadaan buruk kepada baik, yang baik kepada yang lebih baik dan yang mengekalkan keadaan baik itu. Lawan kepada makna pengislahan dan pembaharuan semestinya keburukan, penyelewengan, dan kejahatan. Pengislahan berasal daripada perkataan Arab iaitu Islah, yang menurut Ibnu Manzur bermaksud: perbuatan ke atas seseorang atau sesuatu yang membuatnya baik, betul, teratur, adil, sesuai dengan segala nilai yang tinggi. Sehubungan itu, menurut Wan Mohd. Nor Wan Daud, sesuatu tindakan samada yang maju ke depan atau mundur ke belakang, samada yang bertambah atau berkurang, samada yang giat bergerak atau yang statik, adalah dianggap sebagai pengislahan jika ianya menghasilkan kebaikan dan keadilan dalam pelbagai segi. Malah, pengislahan juga boleh membawa maksud meruntuhkan dalam konotasi yang positif, umpanya meruntuhkan kezaliman dan maksud meruntuhkan umpamanya meruntuhkan kejahilan. Sementara itu, Uthman El-Muhammady menafsirkan perkataan islah dalam konteks yang lebih luas yakni menjadikan sesuatu itu baik, betul, munasabah dengan kedudukan yang wajar, tersusun dengan baik, soleh, bertaqwa, sihat, berkembang maju, berguna, bermanfaat, sesuai, munasabah, layak; meletakkan sesuatu mengikut apa yang selayaknya, pengembalian kepada yang wajar, memperbetulkan, mengelokkan, membuat pembaharuan yang diperlukan, memperbaiki, menjadikan Berjaya, mendamaikan dua pihak, demikian yang seterusnya. Dalam al-Qur`an, terdapat penggunaan perkataan islah dalam pelbagai pengertian di atas, antaranya dengan maksud mengurus secara patut sebagaimana dalam surah al-Baqarah (2), ayat 220: dan mereka bertanya kepadamu tentang anak yatim, katakalah: "Mengurus urusan mereka secara patut (islahun lahum) adalah baik. Penggunaan perkataan islah yang merujuk kepada maksud perdamain terdapat dalam surah al-Nisa`, ayat 114 dan surah al-Hujurat, ayat 10: Tidak ada kebaikan pada kebanyakan bisikan-bisikan mereka, kecuali bisikan-bisikan dari orang yang menyuruh (manusia) memberi sedekah, atau berbuat ma'ruf, atau mengadakan perdamaian di antara manusia.. (al-Nisa`: 114)

Orang-orang beriman itu sesungguhnya bersaudara. Sebab itu damaikanlah (perbaikilah hubungan) antara kedua saudaramu itu dan takutlah terhadap Allah, supaya kamu mendapat rahmat. (al-Hujurat: 10) Islah juga bermaksud mendatangkan kebaikan, sepertimana dalam ayat 88 surah Hud: Syu'aib berkata: "Hai kaumku, bagaimana pikiranmu jika aku mempunyai bukti yang nyata dari Tuhanku dan dianugerahi-Nya aku dari pada-Nya rezeki yang baik (patutkah aku menyalahi perintah-Nya)? Dan aku tidak berkehendak menyalahi kamu (dengan mengerjakan) apa yang aku larang. Aku tidak bermaksud kecuali (mendatangkan) perbaikan (al-Islah) selama aku masih berkesanggupan Wahbah al-Zuhaili, dalam menafsirkan ayat ..aku tidak bermaksud kecuali (mendatangkan) perbaikan (al-Islah).. di atas mengaitkan fungsi Islah dengan konsep dakwah iaitu menyuruh kepada maruf dan mencegah yang mungkar. Lawan kepada pengislahan ialah fasad yang memberi makna kerosakan, kezaliman, penyelewengan, kemerosotan, pembaziran, kekacauan dan sebagainya dari pelbagai sudut dan jenis kegiatan manusia. Sebagaimana yang telah dinyatakan oleh Allah di dalam al-Quran al-Karim, Allah melagakan makna islah dengan fasad, dalam surah al-Baqarah (2), ayat 11 hingga 12: Bila dikatakan kepada mereka, Janganlah membuat kerosakan dan penyelewengan (fasad) di bumi, mereka menjawab, kami hanya membuat kebaikan (islah). Sesungguhnya merekalah yang melakukan kerosakan dan penyelewengan (fasad), tetapi mereka tidak menyedarinya. Dalam menjelaskan pertentangan antara islah dan fasad, Wan Mohd Nor Wan Daud melemparkan persoalan, siapakah yang menentukan baik dan buruk dan apakah pula ukuran penentu samada suatu bangsa itu sudah muslih (developed) atau sedang muslih (developing) ataupun fasad (undeveloped)? Menurut beliau, persoalan ini wajar difikirkan kerana dalam rantaian ayat-ayat al-Qur`an yang bersangkutan dengan yang disebut di atas, Allah menggambarkan keadaan mereka yang mengingkari agama yang sebenar, yang menganggap diri mereka pintar dan cerdik sebaliknya mereka menganggap orang-orang yang sebenarnya beriman dan beramal soleh sebagai bodoh dan bebal. Justeru, merekalah kononnya yang berbuat Islah sedangkan pada hakikatnya merekalah menghasilkan penyelewengan, kerosakan, kezaliman dan lain-lain. Atas sebab itu juga, a-Qur`an sentiasa menghubungkan kegiatan yang sebenarnya membangun (amal soleh) dengan iman yang benar. Malah, amal soleh hanya boleh lahir daripada jiwa yang sebenarnya beriman.

Hakikatnya, kemunculan gerakan islah adalah bertujuan membangunkan diri dan melaksanakan Islam berteraskan iman dan amal menurut ajarannya yang murni. Ia dapat memberi keyakinan kepada umat Islam tentang kesesuaian Islam untuk dilaksanakan pada setiap masa dan dalam sebarang situasi. Konsep Islah yang didokong gerakan ini memfokuskan kepada pemurnian ajaran agama dan penyatuan umat. Apabila setiap individu Muslim menyedari tanggungjawabnya sebagai seorang hamba dan khalifah, perpaduan umat pasti tercapai dan cita-cita besar umat bagi mengembalikan tamadun khayra ummah adalah tidak mustahil menjadi kenyataan.

Rujukan
Abdullah, Abdul Rahman. Pemikiran Islam Masa Kini: Sejarah dan Aliran, (KL: DBP, 1987),

al-Attas, Syed Muhammad Naquib. Prolegomena to The Metaphysics of Islam: An Exposition of The Fundamental Elements of The Worldview of Islam, Kuala Lumpur: ISTAC, 1995. . The Meaning and Experience of Happiness in Islam, (Kuala Lumpur: ISTAC 1993), al-Zuhaili, Wahhbah Tafsir al-Munir, Damsyik: Dar al-Fikr, 1991. alattas, Sharifah Syifa. The Worldview of Islam: An Outline, Islam and the Challenge of Modernity, Kuala Lumpur: ISTAC, 1994. Ali, Abdullah Yusuf. The Holy Quran: Translation and Commentary, U.S.A: Amana Corporation Maryland, 1983. El-Muhammady, Muhammad Uthman. Fiqh al-Dakwah: Mengislah Ummah Awlawiyat Gerakan Islam http://www.abim.org.my/minda_madani/modules, 12 Feb. 2004 Gibb, H.A.R. Modern Trends in Islam, New York: Octagon Books, 1972 Hashim, Zainudin. Tokoh-tokoh Gerakan Islam Abad Moden, KL: Jundi Resources, 2009. Ibn Khaldun, Abdul Rahman. Mukadimah Ibn Khaldun, KL: DBP, 2006. Nor, Riduan Mohamad. Sejarah dan Perkembangan Gerakan Islam Abad Moden, KL: Jundi Resources, 2007. Sjadzali, H. Munawir. Islam dan Tata Negara: Ajaran, Sejarah dan Pemikiran, Jakarta: Penerbit Universitas Indonesia, 1993. Sharif, M.M. A History of Muslim Philosophy Vol. 1, Weisbaden: Otto Harrasowitz, 1966. The Educational Philosophy & Practice of Syed Muhd Naquib

Wan Daud, Wan Mohd Nor. al-Attas, KL: ISTAC, 1998.

. Pembangunan di Malaysia: Ke Arah Satu Kefahaman Baru yang Lebih Sempurna, KL: ISTAC, 2001.

Anda mungkin juga menyukai