Anda di halaman 1dari 3

Bebola pembersih sungai

Oleh AZELI ALI mohdazeli.ali@kosmo.com.my Bagaimanakah bebola yang diperbuat daripada lumpur menjadi bahan pemusnah pencemaran yang amat berkesan?

MEMBALING bebola lumpur ke dalam Sungai Emas di Batu Feringghi, Pulau Pinang.

SEPERTI bermain pondok-pondok. Itulah yang dilakukan oleh 15 pelancong asing yang menginap di Golden Sands Resort (GSR) dekat Batu Feringghi, Pulau Pinang yang menyertai pertandingan membuat bebola lumpur. Hakikatnya, ia adalah satu acara tanggungjawab sosial hotel itu untuk menyediakan bebola lumpur yang akan digunakan sebagai bahan pembersih sungai. Bebola tersebut dibuat daripada tanah liat yang dicampur dengan cecair effective microorganism (EM) dan bahan buangan dapur seperti kulit buah-buahan dan sayursayuran. Menurut Ketua Pentadbiran EM Admins, Soo Lee Choo, bebola lumpur yang dipenuhi EM itu boleh diaplikasi di tasik, kolam atau sungai sebagai bahan pemusnah pencemaran yang amat berkesan. "Sebanyak 1,407 biji bebola lumpur telah dihasilkan dan digunakan pada pelancaran kempen Pencemaran Kepada Penyelesaian anjuran Golden Sands pada 11 Mac lalu," jelasnya. Lee Choo memberitahu, teknologi EM bola lumpur itu amat sesuai digunakan sebagai bahan membersihkan sungai yang tercemar kerana ia akan pecah perlahan-lahan seterusnya meningkatkan kualiti air.

"Konsep EM dibangunkan oleh Prof. Teruo Higa dari Universiti Ryukyus, Okinawa, Jepun yang mampu meningkatkan kualiti tanah serta perkembangan benih tanaman.

SEBANYAK 1,407 biji bebola lumpur dihasilkan oleh pelancong asing yang menginap di Golden Sands Resort, Batu Feringghi, Pulau Pinang.

"Ia mengandungi bakteria asid laktik, yis dan bakteria fotosintetik, actinomycetes dan beberapa jenis organisma lain. "Malah hasilnya juga dapat dilihat dalam masa yang singkat iaitu kira-kira tiga hari selepas bebola itu dicampakkan ke dalam sungai," katanya. Selain bebola lumpur untuk pembersihan sungai, EM juga boleh digunakan dalam bidang ternakan sama ada menghindarkan lalat atau meningkatkan pengeluaran tanaman serta pengurusan sisa industri. Dalam pertandingan tersebut, Elizabeth Bannerman dari England muncul juara dengan menghasilkan 231 biji bebola lumpur. "Saya cukup teruja dan terhibur. Ia seperti kembali ke zaman kanak-kanak bersama rakan-rakan. Cuma, bezanya saya menghasilkan sesuatu untuk disumbangkan kepada kebersihan alam. "Percutian ke Batu Feringghi ini cukup meninggalkan kesan kepada saya apabila dapat menyumbang sesuatu kepada alam sekitar," jelasnya. George Lewis, 73, yang menduduki tempat ketiga pula berkata, usaha pihak pengurusan GSR ini wajar dipuji kerana menjadi peneraju kepada kempen seumpama itu.

"Biarpun seolah-olah bermain dengan lumpur tetapi sebenarnya ada sumbangan yang diberikan terhadap penjagaan alam sekitar dan mencegah pencemaran sungai. "Saya harap banyak lagi hotel di Malaysia mengikut jejak langkah seperti ini agar sungai dan laut di Malaysia terpelihara," katanya. Dalam pada itu, GSR turut mencatat rekod tersendiri apabila menjadi hotel pertama di negara ini yang mewujudkan Pusat Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) Effective Microorganism (EM) melalui penghasilan ciptaan pertamanya, bebola lumpur. Menurut Pengurus Besarnya, Bruno Cristol, bebola lumpur ini dianggap ajaib kerana keupayaannya membersihkan sungai dalam masa yang singkat. "Sebagai tanggungjawab sosial korporat GSR, kami berhasrat menggunakan bebola lumpur ini sebaik mungkin dengan menjadikan Sungai Emas dekat sini sebagai sungai angkat kami untuk dipulihkan. "Atas sebab itu jugalah, kami mewujudkan pusat penyelidikan dan pembangunan EM sebagai usaha menjadikan bebola lumpur sebagai alat pembersihan yang menjaga kebersihan sungai, selain murah dan amat berkesan," katanya. Beliau menyeru agar usaha yang sama dimainkan oleh pelbagai pihak termasuk pengusaha tempatan yang berniaga di pesisir pantai Batu Feringghi bagi memastikan kebersihan pantai di situ.

Anda mungkin juga menyukai