Anda di halaman 1dari 18

PEMURNIAN SEJARAH ISLAM

Bilakah Sayyidina Hasan Dilahirkan


Oleh: Allamah Habibur Rahman al-Kandahlawi (Terjemahan dan saringan: Muhammad Hanief Awang Yahaya) Pengenalan: Adalah amat penting tarikh sebenar kelahiran Sayyidina Hasan dipastikan dengan tepat kerana ada banyak hadis yang berlegar di dalam masyarakat dan di dalam kitab-kitab besar merujuk kepada Sayyidina Hasan yang sudah besar ketika hayat Rasulullah s.a.w. Kami akan menganalisa kesahihan hadis-hadis tersebut di dalam siri-siri akan datang, insyaAllah, berdasarkan fakta umur sebenar Sayyidina Hassan ini. Peperangan Uhud berlaku bulan Syawwal pada tahun ketiga hijrah. Selepas peristiwa yang besar ini, Rasulullah s.a.w. mengahwinkan Sayyidiana Ali dengan Fatimah.(Hasyiah al-Bukhari, jil. 1, hal. 532). Dalam hal ini kemungkinan perkahwinan tersebut berlangsung pada akhir tahun ke 3H atau awal 4H. Ahli sejarah Syiah, Mulla Baqir al-Majlisi menyebutkan perkahwian itu pada bulan Muharram. (Jila al`Uyun, jil. 1 hal. 166) Jika dilihat kepada kenyataan di atas, bagaimana mungkin ahli sejarah mendakwa bahawa Hasan dilahirkan pada tahun ke 3H sedangkan ibubapanya berkahwin pada akhir tahun ke 3H atau awal 4H. Fatimah r.ha. mempunyai lima orang cahaya mata, Hasan, Husin, Muhsin, Ummu Kulthum dan Zainab. Ahli sejarah sepakat mengatakan Muhsin meninggal dunia ketika masih kecil. Begitu juga mereka sependapat bahawa Husin lebih muda daripada Hasan. Persoalannya siapakah yang mula-mula dilahirkan oleh Fatimah. Syiah Rafidhah dan ahli sejarah mendakwa Hasanlah yang sulung. Dengan huraian di atas, dakwaan ini dengan sendirinya tertolak. Dalam hal ini Mulla Baqir menulis: " Mendengarkan perkara itu, Fatimah berada dalam keadaan sedih dan sugul. Beginilah keadaan sehingga ke malam. Apabila malam menjelang beliau meletakkan Hasan di bahu kanan dan Husain di bahu kiri sementara memimpin tangan Ummu Kulthum.. Dalam perjalanan pulang Rasulullah s.a.w. mengangkat Hasan dan Fatimah pula mengangkat Husain dan memegang tangan Ummu Kultum menuju ke masjid." (Jila al-`Uyun, jil. 1 hal. 217,218) Perhatikan adakah Hasan dan Husain yang berada di atas dukung lebih besar atau Ummu Kulthum yang dipimpin itu lebih besar? Peristiwa ini sendiri membuktikan bahawa Ummu Kulthum lebih tua daripada Hasan dan Husain. Ketika Sayyidina Ali berkahwin pada tahun 4H maka anak yang pertama dilahirkan itu adalah Ummu Kulthum. Nampaknya seolah-olah tidak mungkin Hasan dilahirkan sebelum tahun 5H. Ummu Kulthum ini kemudiannya diperisterikan oleh Sayyidina Umar yang melahirkan dua orang cahaya mata untuk beliau iaitu Zaid dan Ruqayyah. Segala bunga-bunga indah ini ditaburkan oleh Syiah Rafidhah untuk menyatakan bahawa Umar berkahwin dengan Ummu Kulthum ketika beliau masih kanak-kanak berumur 5 tahun. Kekeliruan yang ditimbulkan oleh golongan Rafidhah menyebabkan ulama yang besar sekalipun terkena fitnah. Sebagai contoh Hafiz Ibn Hajar dalam al-Isabah dan Ibn Hajar al-Hathami dalam al-Sawa`iq al-Muhriqah telah menukilkan kisah perkahwinan Ummu Kulthum ketika berusia 5 tahun. Walhal keadaan begitu jelas sekali bahawa Ummu Kulthum dilahirkan pada tahun 4H dan berkahwin dengan Umar pada tahun 17H ketika berusia lebih darpada 13 tahun. Semua ahli sejarah bersetuju bahawa ketika Hasan dilahirkan, orang yang menyambut beliau ialah Asma binti `Umais. Ini satu fakta penting dan tidak dapat dipertikaikan lagi. Asma pada mulanya berkahwin dengan Ja`far bin Abi Talib, iaitu abang kepada Sayyidina Ali. Setelah Ja`far syahid di dalam pertempuran Mutah, Abu Bakar mengahwini Asma. Setelah Abu Bakar meninggal dunia Ali pula berkahwin dengannya. Di awal zaman Islam, Asma dan suaminya Ja`far telah berhijrah dengan membawa iman masingmasing ke Habsyah kerana gangguan yang dilakukan oleh musyrikin Mekah. Hijrah ini berlaku pada tahun 5 kenabian. Mereka menyampaikan dakwah Islamiah kepada Raja Habsyah yang bernama Najasyi sehingga beliau memeluk Islam bersama-sama dengan beberapa orang lain. Persoalannya sehingga bilakah Ja`far dan isterinya berada di sana dan bilakah mereka kembali ke Hijaz? Jawapan kepada persoalan ini akan merungkai segala kekeliruan. Semua ulama Ahli Sunnah, ulama hadis dan ahli sejarah serta golongan Rafidhah sepakat bahawa para sahabat yang berhijrah ke Habsyah tiba di Madinah setelah selesai peperangan Khaibar. Imam al-Bukhari meriwayatkan sebuah hadis yang panjang daripada Abu Musa al-Asy`ari, kata beliau: "Apabila kami mendapat tahu Rasulullah s.a.w. hendak berhijrah lalu kami bersedia untuk berangkat untuk hijrah bersama. Bersama saya dua orang saudara iaitu Abu Burdah dan Abu Ruhm. Sayalah yang paling muda pada ketika itu. Kami bersama kaum kami seramai 53 orang atau 52 orang menaiki kapal. Tetapi kapal kami membawa kami kepada al-Najasyi di Habsyah. Di sana kami bertemu dengan Ja`far bin Abi Talib dan kami tinggal di sana bersamanya sehinggalah kami datang menemui Rasulullah s.a.w.

ketika Khaibar telah ditawan. Ada beberapa orang yang berkata kepada kami yakni yang berhijrah dengan kapal: "Kami mendahului kamu dalam hijrah. Asma datang menziarahi Hafsah, isteri Rasulullah s.a.w.." Abu Musa berkata lagi: Beliau antara wanita yang datang bersama kami dan termasuk dari kalangan orang Islam yang berhijrah ke negeri al-Najasyi. Kemudian Umar bin al-Khattab masuk menemui Hafsah pada ketika itu Asma berada dekat dengan Hafsah. Lalu Umar bertanya sambil memandang kepada Asma: "Siapa ini? Dia menjawab: "Asma binti `Umais. Umar bertanya lagi: Orang Habsyah atau orang Bahriyyah (orang laut) Asma menjawab: "Ya". Umar berkata lagi: Kami mendahului kamu berhijrah maka kami lebih berhak dengan Rasulullah s.a.w. daripada kamu. Lalu Asma binti Umais marah seraya berkata: "Tidak sekali-kali. Demi Allah kamu berada bersama Rasulullah s.a.w. Dia memberi makan kepada orang lapar di kalangan kamu dan memberi peringatan kepada orang jahil di kalangan kamu sedangkan kami berada di negeri yang sangat jauh, dibenci orang. Itu semua kerana Allah dan kerana Rasul-Nya. Demi Allah, saya tidak akan menjamah sebarang makanan dan tidak akan minum sedikit airpun kecuali saya akan beritahu kepada Rasulullah s.a.w. tentang apa yang kamu ucapkan tadi. Kami sering diseksa dan mengalami ketakutan. Saya akan sebutkan kepada Rasulullah s.a.w. dan saya akan tanyakan baginda. Demi Allah, saya tidak akan berdusta, tersilap dan tambah apaapa". Tatkala Rasulullah s.a.w. datang Asma berkata kepada baginda: "Sesungguhnya Umar telah berkata begini dan begini" Kemudian Rasulullah s.a.w. bertanya kepada Asma: "Apa jawapan kamu kepadanya? Asma menjawab: Saya kata begini dan begini Rasulullah s.a.w. bersabda: "Umar tidaklah lebih berhak dengan diriku daripada kamu. Dia dan sahabat-sahabatnya itu hanya memiliki satu hijrah sahaja. Sedangkan kamu, wahai ahli kapal, memiliki dua hijrah. Asma menceritakan bahawa Abu Musa al-Asy`ari dan ahli kapal yang lain datang menemui saya secara kumpulan demi kumpulan untuk menyebut-nyebutkan hadis ini. Tidak ada sesuatupun di dunia yang lebih mengembirakan mereka dan sangat besar di dalam diri mereka selain daripada hadis ini yang diucapkan oleh Rasulullah s.a.w. Abu Burdah berkata bahawa Asma berkata: "Saya sering dapati Abu Musa meminta saya mengulangngulang hadis ini". Abu Burdah berkata daripada Abu Musa berkata: "Kami menemui Rasulullah s.a.w. selepas pembukaan Khaibar lalu baginda membahagikan untuk kami harta ghanimah dan tidak memberikan kepada orang lain selain kami yang tidak menyertai pembukaan itu" (Sahih al-Bukhari, Kitab al-Maghazi, Bab Ghazwah Khaibar). Sekarang terpulanglah kepada anda sendiri, wahai Ahli Sunnah untuk berfikir dan membuat keputusan bilakah sebenarnya Hasan dilahirkan. Ini kerana peperangan Khaibar disepakati berlaku pada tahun 7 H. Bagi menguatkan lagi hujah, kami akan mengemukakan lagi sebuah riwayat al-Bukhari yang menceritakan peristiwa semasa Abu Bakar menjadi khalifah: "Abu Bakar bersembahyang asar kemudian keluar berjalan-jalan lalu terlihat Hasan sedang bermain dengan kanak-kanak lalu mendukungnya ke atas bahunya sambil berkata: Ku tebus ayah dan ibuku, kamu ini mirip Rasulullah s.a.w. dan tidak mirip Ali. Dan Sayyidina Ali pada ketika itu senyum ketawa." (Sahih al-Bukhari, Kitab al-Manaqib, Bab Sifat al-Nabi s.a.w.) Hasan masih lagi kecil ketika Abu Bakar menjadi khalifah sehingga dalam keadaan usia beliau yang sudah tua itu sanggup mendukung Hasan. Biasanya, paling tua kanak-kanak itu didukung dalam usia empat atau lima tahun. Perawi yang menukilkan kisah ini menyebutkan bahawa Hasan sedang bermain dengan kanak-kanak. Ini membuktikan Hasan masih lagi kecil ketika Abu Bakar dilantik menjadi khalifah. Segala perbincangan di atas membawa kepada kesimpulan yang jelas iaitu Hasan tidak dilahirkan pada tahun 3 H tetapi pada 7 H. Beliau bukanlah anak sulung Fatimah dan mengikut kepada kaedah ulama hadis, beliau tidak berpeluang untuk mendapat kemuliaan menerima gelaran sahabat.

Kepalsuan Kisah Hindun Memamah Hati Hamzah


Dipetik dengan sedikit ubahsuai dari buku IBNU ISHAK Peranannya Dalam Penyebaran Fahaman Syiah Di Kalangan Ummah karangan Maulana Muhammad Asri Yusoff.

Sebuah kisah yang boleh dikatakan tiada sebuah buku sirah pun yang ditulis kemudian tidak menyebutkannya ialah kisah Hindun memamah, mengunyah atau memakan hati Sayyidina Hamzah semasa atau selepas peperangan Uhud. Kisah ini adalah ciptaan dan rekaan Ibnu Ishaq. Dialah orang yang mula-mula sekali di dalam dunia ini yang mengemukakan kisah tersebut. Kemudian at-Thabari menyebarkannya tetapi melalui jalan

riwayat Ibnu Ishaq. Ringkasnya Ibnu Ishaqlah merupakan satu-satunya paksi dalam meriwayatkan kisah ini. Ibnu Ishaq berkata, Mengikut cerita yang sampai kepada saya menerusi Saleh bin Kaisan, Hindun Binti Utbah dan perempuan-perempuan lain bersamanya melakukan mutslah terhadap sahabat-sahabat Rasulullah s.a.w. yang terbunuh. Mereka memotong telinga-telinga dan hidung-hidung (sahabat-sahabat yang terbunuh itu) sehingga Hindun menyucuk telinga-telinga dan hidung-hidung orang-orang yang terbunuh itu untuk dijadikan sebagai gelang kaki dan kalung-kalung. Dia memberikan gelang kaki, kalung dan subangnya (antinganting) kepada Wahsyi, hamba Jubair Bin Muthim. Dia membelah perut Hamzah dan mengambil hatinya lalu dikunyahnya tetapi tidak dapat ditelannya kerana itu dia memuntahkannya keluar. (Lihat Sirah Ibnu Ishak m.s. 385, Sirah Ibn Hisyam jilid 3 m.s. 36) Ibnu Jarir at-Thabari pula meriwayatkan dari Muhammad Bin Humaid, dia mengambil cerita ini dari Salamah Al Abrasy. Salamah pula mengambil dari Ibnu Ishaq. Ibnu Ishaq mengatakan, Saleh Bin Kaisan menceritakan kepadanya (Lihat Tarikh al-Umam Wa al-Muluk-at-Thabari jilid 2 m.s. 204) Salah seorang yang tersebut dalam isnad ini ialah Muhammad Bin Humaid ar-Razi. Beliau ialah penduduk Ray. Dia selalu menukilkan riwayat dari Yakub al-Qummi (seorang penulis kitab-kitab Syiah dan selainnya). Yakub bin Syaibah berkata, Dia selalu mengemukakan riwayat-riwayat yang sangat mungkar. Imam Bukhari berkata, Kedudukannya dipertikaikan. Abu Zuraah ar-Razi seorang alim senegeri dengannya berkata, Dia seorang pendusta besar. Fadlak ar-Razi juga seorang alim senegeri dengannya berkata, Saya mempunyai 50,000 riwayat Muhammad bin Hummaid ar-Razi tetapi satupun darinya tidak saya kemukakan kepada orang ramai. Pernah Ibnu Kharasy mengemukakan riwayat Muhammad bin Humaid lantas dia berkata, Demi Allah! Dia berbohong. Ulama hadis yang lain berkata bahawa dia selalu mengambil hadis-hadis orang-orang tertentu kemudian menisbahkannya kepada orang lain. Imam Nasai berkata, Dia seorang yang lemah. Saleh Jazarah berkata, Tidak pernah saya lihat dalam hidup saya seorang yang lebih mahir berbohong dari dua orang iaitu pertama, Muhammad bin Humaid (ahli sejarah) dan kedua, Sulaiman asSyazkumi. Imam Fadhlak ar-Razi pernah menceritakan bahawa, Saya pernah pergi kepada Muhammad bin Humaid. Ketika itu dia sedang mereka sanad-sanad cerita-cerita palsu. Imam Zahabi berkata, Muridnya Muarrikh (sejarawan) at-Thabari telah menulis dengan penuh yakin bahawa Muhammad bin Humaid tidak ingat al-Quran. Di akhir hayatnya hanya dua orang yang menerima riwayat-riwayat darinya iaitu: 1) Abul Qasim Baghawi 2) Muhammad bin Jarir at-Thabari Ibnu Humaid meninggal dunia pada tahun 248 H (Lihat Mizanu al-Itidal jilid 3 halaman 530, Tahzibu al-Kamal jilid 6 m.s. 286-287). Seorang lagi yang ada dalam isnad Ibnu Ishak ini ialah Salamah al-Abrasy yang nama penuhnya Salamah bin Fadhl. Dia terkenal dengan gelaran al-Abrasy. Pernah menjadi qadhi di Ray kerana itulah dia dinisbahkan dengan ar-Razi. Kuniahnya ialah Abu Abdillah. Dia terkenal sebagai sejarawan di

zamannya selain dianggap sebagai salah seorang perawi penting Maghazi Ibnu Ishaq. Pandangan ulama hadis dan rijal terhadapnya dapat dilihat melalui nukilan Imam Zahabi. Beliau menulis, Ishaq bin Rahawaih berkata, Dia seorang dhaif. Bukhari berkata, Sesetengah hadisnya mungkar. Imam Nasai berkata, Dia seorang dhaif. Ali Ibnu Madini menceritakan, Setelah kami pulang dari Ray, riwayat-riwayat yang pernah kami dengar dari Salamah kami buangkan dengan anggapan ia adalah karut dan dusta. Yahya bin Main berkata, Salamah al-Abrasy ar-Razi adalah seorang Syiah. Abu Hatim ar-Razi berkata, Dia tidak boleh dijadikan hujjah. Abu Zurah ar-Razi berkata, Penduduk Ray sama sekali tidak suka kepadanya, lantaran fahamannya yang salah. Sebagai seorang qadhi, beliau selalu berlaku zalim terhadap orang ramai meskipun dia bersembahyang dengan khusyuk. Sebelum menjadi qadhi beliau mengajar kanak-kanak dan beliau meningggal dunia pada tahun 191 H. (Mizanu al-Itidal jilid 2 m.s. 12, Tahzibu al-Kamal jilid 3 m.s. 252-253) Ibnu Ishaq mendakwa riwayat ini diambilnya dari Saleh Bin Kaisan. Siapakah Saleh Bin Kaisan itu? Beliau ialah seorang tabii kecil dan tsiqah (perawi yang boleh dipercayai) tetapi beliau lahir selepas 70H dan meninggal dunia pada tahun 140H. Dia lebih tua sedikit dari Muhammad Bin Ishaq sedangkan peristiwa peperangan Uhud telah berlaku 70 tahun sebelum kelahirannya. Siapakah pula yang menceritakannya kepada Saleh? Tentu sekali beliau bukan merupakan penyaksi peristiwa itu dengan mata kepala sendiri. Sudah tentu sekurang-kurangnya seorang yang ghaib dalam isnad ini menjadikannya riwayat munqati. Sepertimana dimaklumi riwayat munqati tidak boleh diterima (sebagai hujah). Sebenarnya Saleh Bin Kaisan tidak pun meriwayatkan kisah ini. Ibnu Ishaq sahaja yang mengaitkannya dengan Saleh. Selain dari Ibnu Ishaq, tidak ada sesiapapun mengambil cerita ini baik dari Saleh Bin Kaisan atau orang lain sepanjang pengetahuan sejarah. Di antara sekian ramai anak murid Ibnu Ishaq pula, tidak ada yang meriwayatkan cerita ini darinya selain Salamah al-Abrasy. Kemudian tidak ada seorang pun yang meriwayatkan dari Salamah al-Abrasy selain Muhammad Bin Humaid ar-Razi. Seterusnya tidak ada seorang pun yang meriwayatkan dari Muhammad bin Humaid ar-Razi selain dari Ibnu Jarir at-Thabari. Thabari meninggal dunia pada tahun 310H. Ini bermakna dari tahun 70H hingga tahun 310H, di setiap peringkat hanya ada seorang sahaja yang meriwayatkan kisah ini, seolah-olah ia suatu perkara yang sulit dan perlu dirahsiakan. Ia hanya boleh diterima dari setiap generasi, seorang sahaja! Sekiranya peristiwa ini benar-benar berlaku dan ia mempunyai saksi yang melihatnya dengan mata kepala, tentu sekali ia tersebar lebih awal dari itu dan sepatutnya perawi-perawi cerita ini semakin ramai dari satu generasi ke generasi selepas itu. Terbuktilah bahawa kisah ini tidak popular kecuali setelah masyarakat Islam menerima apa sahaja riwayat yang dikemukakan oleh Ibnu Ishaq dan atThabari dengan membuta tuli. Kisah ini sebetulnya tidak diketahui oleh sesiapa pun sebelum tahun 70H. PENILAIAN LOGIK Dari segi Logiknya, bagaimana Ibnu Ishak hanya nampak Hindun sahaja melakukan perbuatan keji ini dan menuding jari kepadanya sedangkan ramai lagi perempuan-perempuan lain yang turut serta dalam peperangan Uhud selain Hindun seperti Ummu Hakim binti al-Harits Bin Hisyam, Barzah (isteri kepada

Safwan bin Umayyah), Barrah binti Masud bin Amar bin Umair as-Saqafiyyah (ibu kepada Abdullah Bin Safwan), Buraithah binti Munabbih bin al-Hajjaj (isteri kepada Amar bin al-As dan ibu kepada Abdullah bin Amar bin al-As). Sulafah binti Saad, Khunas binti Malik dan Amrah binti Alqamah dan lain-lain lagi. Dalam kesibukan perang dan hingar bingar kedua-dua pasukan yang berperang itu, bagaimana kelihatan kepada Ibnu Ishaq Hindun sedang memakan hati Hamzah dan menjadikan telinga, hidung dan lain-lain anggota Hamzah sebagai gelang kakinya di samping menghadiahkan pula kalung dan subangnya kepada Wahsyi yang telah mensyahidkan Hamzah. Untuk mengetahui semua tindakan Hindun dengan sah dan tepat, seolah-olahnya Ibnu Ishaq telah mengutus wartawan-wartawan dan juru-juru kamera yang tidak terbabit langsung dalam peperangan, tugas mereka hanyalah menyaksikan dan merakamkan apa yang berlaku dalam peperangan itu lalu melaporkannya kepada Ibnu Ishaq dan menyerahkan pula gambar-gambar sebagai bukti sokongan kepada apa-apa yang disampaikan oleh mereka itu. Untuk mendapat kepastian sedemikian rupa semestinya Ibnu Ishaq dibantu oleh orang-orang tadi. Ini kerana tidak pula orang-orang yang ikut serta secara langsung sama ada dari kalangan orang-orang Islam atau mereka yang ada di pihak orang-orang kafir tetapi kemudiannya memeluk Islam menceritakan sepertimana yang diceritakan oleh Ibnu Ishaq. Perempuan-perempuan yang dikatakan oleh Ibnu Ishaq telah bersama-sama dengan Hindun melakukan mutslah (memotong-motong anggota orang yang telah mati dengan maksud melepaskan geram dan dendam) juga tidak menceritakan seperti mana yang diceritakan oleh Ibnu Ishaq itu. Maka bagaimana kita akan menerima riwayat yang melaporkan kisah tersebut menerusi Saleh Bin Kaisan yang lahir setelah lebih 70 tahun berlakunya peristiwa ini dan mengenepikan pula saksi-saksi mata kepala yang turut serta dalam peperangan ini sama ada dari kalangan orang-orang Islam atau dari kalangan orangorang kafir. Wahsyi yang diketahui dan diterima oleh semua sebagai pembunuh Sayyidina Hamzah kemudiannya telah memeluk agama Islam. Jubair bin Muthim tuan kepada Wahsyi kemudiannya juga memeluk agama Islam. Hindun binti Utbah, isteri Abu Suffian, ibu kepada Sayyidina Muawiyah yang dikatakan oleh Ibnu Ishaq telah memakan hati Hamzah, kemudiannya juga telah memeluk agama Islam. Semua mereka ini tidak ada pun menceritakan apa yang diceritakan oleh Ibnu Ishaq pada hal merekalah orangorang yang terlibat secara langsung dalam peristiwa ini dan paling patut dirujuk dan diselidiki penjelasan mereka. SIKAP IMAM BUKHARI Imam Bukhari jauh berbeza dari Ibnu Ishaq kerana meriwayatkan kisah pembunuhan Sayyidina Hamzah melalui pembunuhnya sendiri bukan melalui orang yang lahir 70 tahun selepas peristiwa itu berlaku. Menurut metod ilmu riwayat, riwayat yang dikemukakan oleh Imam Bukhari lebih wajar diterima kerana beliau mengambil dari orang yang terlibat secara langsung dalam peristiwa itu. Mari kita perhatikan riwayat Imam Bukhari dalam Sahihnya berhubung peristiwa itu. RIWAYAT IMAM BUKHARI Imam Bukhari menukilkan dari Jafar bin Amar bin Umaiyyah ad-Dhamri dia berkata, Saya telah berangkat untuk satu perjalanan dengan Ubaidullah bin Adiy bin al-Khiyar. Bila kami sampai di Hims, Ubaidullah bin Adi bertanya kepada saya, Mahukah engkau berjumpa dengan Wahsyi? Boleh kita tanya kepadanya tentang pembunuhan Sayyidina Hamzah. Saya berkata, Tentu sekali.

Pada hari-hari itu Wahsyi menetap di Hims. Kami bertanya seseorang, Di mana rumah Wahsyi? Orang itu menceritakan, Itu dia Wahsyi sedang duduk di bawah naungan (bayang) rumahnya. Bila kami ternampak dia dalam rupanya yang gemuk dan tidak berambut itu tak ubah seperti sebuah gereba. Kami berdiri sejenak setelah sampai di hadapannya lalu kami memberi salam kepadanya. Beliau menjawab salam kami. Perawi berkata, Ketika itu Ubaidullah bin Adi bin al-Khiyar menutup muka dan kepalanya dengan serban. Wahsyi tidak nampak apa-apa darinya melainkan dua mata dan kakinya sahaja. Ubaidullah pun bertanya Wahsyi, Kamu kenalkah siapa saya? Wahsyi mengangkat pandangannya ke arah Ubaiullah, kemudian dia berkata, Demi Allah! Tidak! Ya, Cuma saya tahu bahawa Adi bin al-Khiyar telah berkahwin dengan seorang perempuan dipanggil Ummul Qital binti Abi al-Is. Dengannya Adi bin al-Khiyar telah mendapat seorang anak lelaki. Sayalah yang telah mencari seorang pengasuh untuk anaknya itu dan saya dengan ibunya membawakan anak itu untuk diserahkan kepada pengasuh tersebut. Sekarang saya sedang memerhatikan kaki awak. Saya rasa engkaulah anak itu. Ubaidullah pun mengalihkan kain dari mukanya. Dia bertanya Wahsyi, Bolehkah kamu ceritakan kepada kami tentang pembunuhan Hamzah? Wahsyi menjawab, Ya, tentu boleh. Ceritanya begini: Hamzah telah membunuh Thuaimah bin Adi bin al-Khiyar dalam peperangan Badar. Tuan saya Jubair bin Mutim berkata kepada saya, Kalau engkau dapat membunuh Hamzah, engkau merdeka. Bila saya keluar untuk berperang pada tahun Ainain (Ainain ialah salah satu bukit di Uhud, di hadapannya terletak Wadi Uhud), saya juga keluar bersama orang lain untuk berperang. Bila masingmasing pasukan telah membetulkan saf, maka Siba bin Abdul Uzza pun tampil kehadapan seraya berkata, Adakah sesiapa yang akan berlawan? Wahsyi menceritakan, Dari kalangan pihak lawan, Hamzah bin Abdul Muthalib tampil ke hadapan seraya berkata, Oh Siba! Oh anak Ummu Anmar! Mudim anak-anak perempuan, adakah engkau memerangi Allah dan Rasulnya? Kemudian dengan pantas Hamzah menyerang lalu dia (Siba) menjadi seperti kelmarin yang telah berlalu (terus mati). Wahsyi berkata, Saya ketika itu bersembunyi di sebalik satu batu besar sambil mengintai-intai Hamzah. Bila dia lalu dekat saya, terus saya membaling lembing saya ke arahnya. Lembing itu mengenai bahagian pusatnya lalu menembusi belakangnya. Itulah pertemuan saya yang terakhir dengannya. Bila semua orang pulang dari medan perang, saya juga pulang bersama mereka dan terus menetap di Mekah (selepas merdeka) sehingga Islam tersebar di sana, kemudian saya pun keluar ke Taif. Bila orang Taif menghantarkan utusan-utusan kepada Rasulullah s.a.w. maka ada orang berkata kepada saya, Nabi tidak mengganggu utusan, kerana itu saya pun menyertai golongan utusan itu untuk mengadap Nabi s.a.w. Bila Nabi s.a.w. melihat saya, Baginda pun bertanya, Adakah engkau Wahsyi? Saya menjawab, Ya. Baginda s.a.w. bertanya lagi, Engkaukah yang telah membunuh Hamzah? Saya menjawab, Berita yang sampai kepada tuan itu adalah benar. Nabi s.a.w. pun bersabda, Bolehkah engkau sembunyikan mukamu dari pandanganku? Wahsyi berkata, Aku pun pergi dari situ. Selepas kewafatan Rasulullah s.a.w., Musailamah al-Kazzab memberontak. Saya berfikir dalam hati saya bahawa seharusnya saya keluar untuk menentang Musailamah. Boleh jadi saya akan dapat membunuhnya dengan itu terbalaslah (terbayarlah) pembunuhan Hamzah oleh saya. Setelah terfikir

begitu saya pun keluar bersama orang ramai untuk berperang. Tiba-tiba (dalam peperangan) saya ternampak seorang sedang berdiri di celah tembok. Dia kelihatan seperti unta yang kehitaman warnanya. Rambutnya berselerak. Saya lepaskan lembing saya ke arahnya dan tepat mengenai dadanya sehingga menembusi belakangnya. Selepas itu tampil seorang Ansar Madinah lalu menetak kepalanya. Abdullah Bin al-Fadhl menceritakan bahawa Sulaiman bin Yasr menceritakan kepada saya bahawa beliau mendengar Ibnu Umar berkata, Seorang perempuan yang ketika itu berdiri di atas bumbung rumah lantas berteriak mengatakan, Demi Amirul Mukminin (Musailamah al-Kazzab)! Dia telah dibunuh oleh budak Habsyi. (Lihat Sahih Bukhari jilid 2 m.s. 583) Demikianlah kedudukan sebenar kisah ini mengikut cerita dari mulut pembunuh Sayyidina Hamzah sendiri. Dari riwayat ini dapat disimpulkan beberapa perkara seperti berikut; 1. Wahsyi adalah hamba kepada Jubair bin Muthim. Jubair bin Muthimlah yang mendorongnya membunuh Hamzah dengan janji akan memerdekakannya jika dia berjaya membunuh Hamzah. Di dalam riwayat ini tidak ada isyarat pun tentang campurtangan Hindun dalam pembunuhan Hamzah. Bukan Hindun yang mendorong Wahsyi supaya membunuh Hamzah, bukan juga Hindun yang dapat memerdekakan Wahsyi kerana Wahsyi bukan hambanya, malah dalam riwayat Ibnu Ishaq sendiri pun Wahsyi adalah hamba Jubair bin Muthim. 2. Di dalam riwayat ini juga tidak tersebut Hindun memberikan gelang kaki, kalung dan subangnya kepada Wahsyi kerana kejayaannya membunuh Hamzah. Bahkan Wahsyi tidak mendapat apa-apa hadiah dari sesiapa pun selain dari hadiah kemerdekaan yang dijanjikan tuannya Jubair bin Muthim. Sekiranya ada, maka tidak ada sebab kenapa Wahsyi menyembunyikannya. 3. Wahsyi ikut serta dalam peperangan Uhud dari awal hingga akhir di pihak orang-orang kafir Quraisy dan akhir sekali beliau pulang ke rumah bersama orang-orang lain. Di dalam riwayat Bukhari ini beliau tidak menyebutkan cerita perempuan-perempuan membuat kalung dari anggota orang-orang Islam yang syahid yang telah dipotong oleh mereka. Tidak ada juga beliau menyebutkan kisah sesiapa memakan hati sesiapa. Jika diandaikan beliau tidak melihat apa yang dilakukan oleh perempuanperempuan Quraisy terhadap orang-orang Islam yang mati syahid dalam peperangan Uhud itu terutamanya Hindun sekalipun tetap berkemungkinan juga beliau mendengar cerita itu di Mekah setelah pulang tetapi tiadanya cerita Wahsyi ini daripada perbuatan-perbuatan perempuan tersebut menunjukkan bahawa semua itu tidak benar. 4. Kerana Wahsyi telah membunuh Hamzah yang begitu disayangi oleh Rasulullah s.a.w., Nabi s.a.w. meminta beliau supaya tidak bersemuka dengannya. Tetapi Jubair bin Muthim, pada ketika pembukaan Mekah tidak pula diminta oleh Rasulullah s.a.w. supaya tidak bersemuka dengannya seperti Wahsyi. Apa yang dilakukan oleh Hindun, jika benar seperti yang didakwa oleh Ibnu Ishaq, bahawa Hindun telah membelah perut Hamzah dan mengunyah hatinya maka kelakuan itu lebih dahsyat daripada apa yang dilakukan oleh Wahsyi terhadap Hamzah, kerana sudah lumrah dalam peperangan seseorang membunuh pihak lawannya. Tetapi adalah sesuatu yang luar biasa seseorang membelah perut orang yang telah mati dalam peperangan lalu memotong hatinya untuk dikunyah atau dimakan. Sepatutnya Rasulullah s.a.w. juga tidak sanggup bersemuka dengan Hindun sama seperti Wahsyi tetapi sebaliknya apabila Nabi s.a.w. menakluk Mekah, di samping Baginda s.a.w. mengisytiharkan damai, Baginda s.a.w. juga telah mengisytiharkan nama-nama orang yang perlu dihukum bunuh.

Pada ketika itu Hindun tidak tersenarai dalam orang-orang yang perlu dihukum bunuh. Tidak juga Nabi s.a.w. menyatakan kebencian dan dendamnya kepada Hindun malah sebaliknya mengisytiharkan kepada umum bahawa sesiapa yang masuk ke dalam rumah Abi Sufyan (juga merupakan rumah Hindun) untuk menyelamatkan dirinya, dia terselamat dan mendapat keamanan. Pengisytiharan seperti ini membuktikan dengan sejelas-jelasnya bahawa Hindun atau Abu Sufyan tidak terlibat sama sekali dalam pembunuhan Sayidina Hamzah apa lagi untuk dikatakan beliau telah membelah perut Hamzah lalu memakan hatinya. Hindun seperti juga ramai orang-orang Quraisy yang lain telah memeluk agama Islam, selepas berbaiah dengan Nabi s.a.w. dalam keadaan bersemuka dengan Nabi s.a.w., beliau secara terbuka menyatakan perasaannya setelah memeluk Islam terhadap Nabi s.a.w. Kata beliau, Wahai Rasulullah! Dulu tidak ada manusia yang berkhemah di atas muka bumi ini lebih dipandang hina olehku darimu tetapi hari ini tidak ada orang yang berkhemah di muka bumi ini lebih ku kasihi darimu. Lihatlah bagaimana beliau menyatakan isihatinya terhadap Nabi s.a.w. dengan bersemuka dan lihatlah pula apa jawapan Nabi s.a.w. dan bagaimana Nabi s.a.w. menyambut kata-katanya itu. Dari kata-kata Nabi s.a.w. itu kiranya sirnalah segala tuduhan yang dilemparkan oleh musuh-musuh Islam terhadap Hindun, ibu mertua Nabi s.a.w., ibu kepada Ummu Habibah dan juga ibu kepada Sayyidina Muawiyah. Baginda s.a.w. lantas bersabda, Ya, demikian juga aku. Demi Tuhan yang nyawaku berada ditanganNya. (Lihat Sahih Bukhari jilid 1 m.s. 539) Ini bermakna Nabi s.a.w. juga kasih kepada Hindun seperti mana Hindun mengasihinya. Malah untuk menyatakan kasihnya yang sungguh-sungguh itu, Baginda s.a.w. bersumpah dengan Tuhan yang nyawanya berada ditanganNya. 5. Daripada dua riwayat berlainan kandungannya yang dikemukakan oleh dua orang tokoh, Ibnu Ishaq dan Imam Bukhari, tergambar dengan jelas aliran pemikiran dan aqidah masing-masing. Yang pertama berfahaman Syiah yang sememangnya membenci para sahabat dan memusuhi mereka sementara yang kedua pula mengasihi sahabat seperti Rasulullah s.a.w. sendiri mengasihi mereka. 6. Ibnu Ishaq mendakwa mendapat cerita yang dikemukakannya dari Saleh bin Kaisan yang lahir 70 tahun selepas peristiwa peperangan Uhud itu berlaku. Imam Bukhari pula menerima riwayat yang dikemukakannya dengan sanad yang bersambung-sambung dan tidak terputus. Perawi-perawinya terdiri dari orang-orang yang kuat dengan isnad yang kuat dan tidak terputus-putus. Imam Bukhari mengambil riwayat tentang pembunuhan Hamzah dari pembunuhnya sendiri iaitu Wahsyi. Siapakah yang lebih boleh dipercayai? Seorang yang mengambil riwayat dari orang yang lahir 70 tahun selepas kejadian atau orang yang meriwayatkan sesuatu peristiwa dari orang yang menyaksikan sendiri peristiwa itu malah terlibat secara langsung dalam peristiwa itu? 7. Ibnu Ishaq dan kuncu-kuncunya sebenarnya mahu menanam rasa benci di dalam hati ummah terhadap Sayyidina Muawiyyah yang telah memusnahkan pergerakan musuh Islam selama pemerintahannya 20 tahun sebagai Gabenor dan 20 tahun sebagai Khalifah. Dia seolah-olahnya menghujah para pembaca riwayatnya dengan cerita yang dikemukakan itu, iaitu Sayyidina Muawiyah adalah seseorang yang jahat, kejam dan tidak berperikemanusiaan. Kejahatan dan kekejaman itu bukanlah suatu yang baru bahkan ia adalah suatu yang turun temurun diwarisinya dari ibunya yang telah sanggup membelah perut Hamzah dan mengunyah hatinya, juga diwarisi dari ayahnya yang

merupakan kepala kafir Quraisy dalam peperangan Uhud itu. Inilah sebenarnya motif yang telah melahirkan cerita ini ke alam nyata.

8. Ibnu Ishaq sebetulnya mahu mencabar fikiran ummah dengan suatu alasan di sebalik cerita yang dipersembahkan itu. Bahawa jika Wahsyi yang telah melakukan suatu perkara yang lumrah berlaku dalam sesuatu peperangan pun diminta oleh Nabi s.a.w. supaya tidak menunjukkan mukanya kepada Baginda s.a.w., bagaimanakah pula dengan orang yang telah membelah perut Sayyidina Hamzah lalu mengunyah hatinya? Adakah mungkin Rasulullah s.a.w. dapat menerima orang seperti itu? Kalau pun orang itu kemudiannya memeluk agama Islam dan berbaiah dengan Nabi s.a.w., tetap juga ada kemungkinan bahawa Nabi s.a.w. menerima keislamannya secara taqiyyah! Imam Bukhari mengemukakan hadis, Hindun menyatakan isihatinya kepada Rasulullah s.a.w. secara terbuka dan bersemuka dengan Rasulullah s.a.w. seperti disebutkan tadi di bawah bab Kelebihan Hindun Binti Utbah. Apa yang Imam Bukhari mahu abadikan melalui bab ini ialah Hindun bukan sahaja telah diterima keislamannya, bahkan beliau mempunyai kelebihan dan keistimewaannya tersendiri. Apa yang dapat difahami secara mudah ialah sekurang-kurangnya beliau merupakan mertua kepada Nabi s.a.w. dan ibu kepada Amirul Mukminin Sayyidina Muawiyah bin Abu Sufyan. Itu sahaja pun bagi umat Islam bukan alang kepalang keistimewaannya.

Kisah Isra' Mi'raj Dari Rumah Ummu Hani'


Saringan oleh www.darulkautsar.net dari artikel asal oleh Maulana Muhammad Asri Yusoff
Audio

Download MP3

Kisah Isra' Mi'raj' yang berlaku kepada Rasulullah s.a.w. bermula dari rumah Ummu Hani ' adalah begitu popular di kalangan masyarakat dan diutarakan dalam pelbagai bentuk yang menarik terutamanya pada musim Isra' Mi'raj'. Kisah ini diterima bulat-bulat tanpa dipersoalkan dan diperiksa kecacatannya oleh kerana ia telah dimasukkan ke dalam sukatan-sukatan mata pelajaran Agama Islam termasuklah sukatan yang disediakan oleh Universiti al-Azhar- Sila rujuk buku sukatan pelajaran Muthala'ah yang diterbitkan oelh Universiti al-Azhar untuk peringkat menengahnya. Kita berasa sedih dengan nasib ummah yang malang ini. Setelah merosot dalam segala-galanya dan berada dalam keadaan tenat, umat Islam disuapkan pula dengan ubat-ubat beracun berupa cerita -cerita yang karut marut seperti ini. Apa agaknya yang akan terjadi kepada ummah ini jika keadaan ini dibiarkan terus merebak.

Walaupun al-Quran secara lantang mengatakan, Maha Suci Tuhan yang telah menperjalankan hambaNya pada waktu malam dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa"- (Surah al-Isra' ayat 11); walaupun Sahih Bukhari, Sahih Muslim dan lain-lain kitab hadis yang muktabar dengan terang-terang menyebutkan riwayat dari Anas bin Malik dan Malik bin Sa'sa'ah bahawa Nabi s.a.w. bersabda, Ketika saya berada di Baitullah, ketika saya berada dalam hatim (yakni di Masjidil Haram)", namun sebahagian besar ulama' masih lagi dengan lantang berkhutbah di atas mimbar dengan mengemukakan riwayat mi'raj Nabi s.a.w. bermula dari rumah Ummu Hani '! Mereka adalah golongan yang membaca al-Quran dan hadis, tetapi masih tidak mahu meninggalkan riwayat tersebut. Sebaliknya mereka cuba mengemukakan bermacam-macam ta'wilan dengan mengatakan umpamanya, rumah Ummu Hani' itu terletak dalam hatim! Padahal telah diketahui umum bahawa tiada rumah sesiapapun dalam hatim itu! Ada juga yang mengatakan bahawa ketika Baginda s.a.w. beristirehat di rumah Ummu Hani', tiba-tiba datang dua orang malaikat, mereka menebuk bumbung rumah Ummu Hani' lalu mengangkat Baginda s.a.w. ke Ka'bah. Ta'wilan-ta'wilan seumpamanya ini terpaksa dilakukan oleh mereka untuk mengkompromikan keterangan al-Quran dan hadis yang jelas dengan riwayat "Imam al-Maghazi" Muhammad bin Ishaq. Begitu mendalamnya kesan dan pengaruh Ibnu Ishaq itu dalam fikiran umat Islam dan ia melekat dengan begitu kuat sekali sehingga tidak boleh ditanggalkan lagi ! Sebenarnya, cerita yang mengatakan dua malaikat menebuk bumbung rumah Ummu Hani' untuk membawa keluar Rasulullah s.a.w. ke Baitullah atau ke Masjidil Haram itu lebih cocok dikaitkan dengan inovasi kumpulan penculik dari mengaitkannya dengan sabda Nabi s.a.w.! Akan ada pula nanti orang yang bersangka baik terhadap pengendap-pengendap atau penyamun-penyamun yang mengintai-intai mereka dari atas bumbung rumah.....manalah tahu jangan-jangan mereka juga malaikat seperti yang tersebut dalam riwayat ini !!!. Kisah ini bukan sahaja telah dikemukakan oleh Ibnu Ishaq, malah ia juga telah dikemukakan oleh alKalbi- seorang pendusta besar dan Syi'ah pekat seperti Ibnu Ishaq dan ramai lagi orang-orang yang seperti mereka. Riwayat yang dikemukakan oleh Ibnu Ishaq adalah sebagaimana berikut: Di antara kisah yang sampai kepada saya dari Ummu Hani' binti Abi Thalib berhubung Isra' Rasulullah s.a.w ialah beliau (Ummu Hani') menceritakan, Rasulullah s.a.w. tidak diIsra'kan melainkan ketika Baginda s.a.w berada di rumahku. Baginda s.a.w tidur di samping ku pada malam itu di rumah ku. Mula-mula Baginda s.a.w bersembahyang Isya' kemudian tidur. Kami pun turut tidur. Sebelum fajar Rasulullah telahpun mengejutkan kami lalu bersembahyang Subuh. Kami bersembahyang bersamanya." Setelah itu Rasulullah bersabda, Wahai Ummu Hani'! Malam tadi saya telah bersembahyang bersama kamu seperti yang kamu tahu di wadi ini. Selepas itu saya pergi ke Baitul Maqdis dan bersembahyang di sana dan sekarang saya bersembahyang Subuh bersama kamu seperti yang kamu saksikan." "Setelah itu Rasulullah s.a.w bangkit untuk keluar. Aku memegang hujung selimut Baginda s.a.w, maka tersingkap perut Nabi s.a.w bagaikan kain qibti yang berlipat lalu aku pun berkata kepada Baginda s.a.w, Wahai Nabiyallah! Janganlah engkau ceritakan perkara ini kepada orang ramai, nanti mereka akan mendustakan engkau dan menyakitimu". Baginda s.a.w berkata, Demi Allah! Aku tetap akan menceritakan kepada mereka". Ummu Hani berkata, "Akupun memerintahkan seorang sahaya

perempuanku berketurunan Habsyi, Eh! Ikutlah Rasulullah s.a.w. supaya engkau dapat mendengar apa yang disampaikannya kepada orang ramai dan apa pula reaksi mereka terhadap keterangan Baginda itu." Sebelum itu Ibnu Ishaq telah pun mengemukakan peristiwa Isra' Mi'raj yang dinukilnya dari Hasan Basri di mana diceritakan, Setelah pagi sekembalinya Rasulullah s.a.w dari Isra' Mi'raj, Baginda s.a.w menceritakan kepada orang-orang Quraisy peristiwa perjalanannya. Berkatalah kebanyakan orang, Demi Allah! Pelik betul cerita ini. Jarak yang direntasi oleh unta sebulan perjalanan dari Mekah ke Syam dan sebulan pula perjalanan balik dari sana ke Mekah mungkinkah boleh direntasi oleh Muhammad dalam hanya satu malam dan sudah pun ia sampai ke Mekah? " Maka ramailah orangorang yang telah memeluk Islam menjadi murtad. Orang ramai terus pergi kepada Abu Bakar untuk bertanya beliau.." - (Ibid jilid 2 m.s. 32,33 & 34) Ibnu Ishaq, Ibnu Sa'ad dan al-Kalbi langsung tidak mengemukakan isnad mereka dalam menyampaikan kisah ini. Tetapi Ibnu Jarir, at-Thabari, Baihaqi, Ibnu Abi Hatim, Abu Ya'la dan Ibnu Asakir telah mengemukakan isnad bagi kisah ini. Perawi-perawi yang tersebut dalam isnad mereka ialah Abu Ja'far -ar Razi, Abu Harun al-Abdi dan Khalid bin Yazid atau Abu Malik. Marilah kita berkenalan sebentar dengan perawi-perawi tersebut :1) Abu Ja'far ar-Razi Namanya Isa bin Abi Isa. Lahir di Basrah dan menetap di Ray. Di antara orang yang meriwayatkan daripada beliau ialah anak beliau sendiri Abdullah dan Abu Nu'aim. Meskipun Yahya bin Ma'in dan Abu Hatim mengatakan beliau seorang tsiqah namun Ali Ibnu Madini mengatakan beliau seringkali melakukan kesilapan. Riwayat-riwayatnya bercelaru. Fallas berkata, Ingatannya sangat teruk." Ibnu Hibban berkata, Dia seringkali mengemukakan riwayat-riwayat yang mungkar dengan menghubungkan kepada Imam-Imam yang masyhur." Abu Zur'ah berkata, Selalu dia mengalami kecelaruan fikiran (waham)." Imam Zahabi pula berkata, Dia telah mengemukakan peristiwa Mi'raj dalam satu riwayat yang panjang melalui Rabi' bin Anas. Diambilnya dari Abu al-'Aaliah dan Abu al-' Aaliah pula mengambilnya dari Abu Hurairah. Di dalam riwayatnya itu banyak sekali perkara-perkara mungkar ".- (Mizan al-I'tidal jilid 3 m.s. 320) Imam Zahabi telah menghukum mungkar riwayat ini kerana terdapat dalam sanadnya Abu Ja'far arRazi, kerana kecacatan pada buruknya ingatannya dan beliau selalu mengaitkan cerita karut dengan Imam-Imam yang masyhur. Bagaimana dengan dua orang lagi perawi dalam isnad tersebut? Selepas Abu Ja'far ar-Razi mari kita lihat perawi seterusnya. 2) Khalid bin Yazid Abu Malik ad-Dimasyqi - Dia adalah penduduk Damsyik. Yahya bin Ma'in berkata, Dia adalah seorang manusia yang lemah". Imam Ahmad berkata, Dia tiada bernilai langsung." Nasa'i berkata, Dia tidak tsiqah". Daraquthni berkata berkata, Dia seorang da'if". Ibnu Abi al-Hawari menceritakan bahawa, Saya pernah mendengar Yahya bin Ma'in berkata, Di Iraq ada sebuah kitab yang perlu dikebumikan iaitu tafsir al-Kalbi (yang kemudiannya terkenal dengan Tafsir Ibnu Abbas). Di Syam pula ada sebuah kitab yang juga perlu dikebumikan iaitu kitab ad-Diyat tulisan Khalid bin Yazid. Hati Khalid ini tidak akan senang selagi tidak berbohong tentang ayahnya dan para sahabat ".

Ahmad bin Abi al-Hawari ini juga berkata, Dulu saya pernah menyalin kitab Khalid ini tetapi kemudiannya saya memberikannya kepada penjual ubat untuk dijadikan kertas pembungkus ubatubatnya." Imam Zahabi berkata, Dia dilahirkan pada tahun 105H dan mati ketika berumur 80 tahun." (Lihat Mizan al-I'tidal jilid 1 m.s 654) Keterangan di atas membuktikan bahawa Khalid bin Yazid adalah seorang yang tidak boleh diterima menurut sekalian ulama' hadis. Imam Yahya bin Ma'in bahkan mengatakan beliau seorang pendusta besar. Dia banyak berbohong tentang para sahabat. 3) Perawi ketiga ialah Abu Harun al-Abdi Namanya ialah Umarah bin al-Juwain. Riwayat-riwayatnya terdapat dalam Sunan Tirmidzi dan Sunan Ibnu Majah. Imam Zahabi berkata, Dha'if." Hammaad bin Zaid berkata, Pembohong." Imam Ahmad berkata, Tidak bernilai langsung." Yahya bin Ma'in berkata, Dia seorang dha'if (lemah). Riwayatriwayatnya tidak boleh dibenarkan." Nasa'i berkata, Matrukul hadis (seorang yang ditinggalkan dan tidak dipakai hadisnya)." Ibnu Hibban berkata, Dia selalu mengaitkan riwayat-riwayat dengan Abu Sa'id al-Khudri iaitu riwayat-riwayat yang tidak pernah dikemukakan oleh Abu Sa'id." Imam Syu'bah berkata, Kalau aku diberi pilihan di antara 2 perkara, sama ada aku dibunuh atau mengemukakan kepada orang ramai riwayat-riwayat Abu Harun, maka aku akan memilih supaya dibunuh, aku tidak akan mengemukakan riwayatnya. Sebelum ini aku selalu bertanyakan halnya dari setiap qafilah yang datang tetapi kemudian dia datang ke Basrah. Padanya ada sebuah kitab. Saya membaca kitab itu. Saya mendapati dia menuliskan keburukan-keburukan Ali di dalamnya." Iman Daraquthni berkata, "Dia seorang yang sentiasa berubah-ubah. Kadang-kadang menjadi seorang Rafidhi (Syi'ah), kadang-kadang menjadi seorang Khariji (orang Khawarij)." Ibnu Hibban berkata, Riwayat-riwayat yang dikaitkannya dengan Abu Sa'id al-Khudri semuanya bohong. Abu Sa'id tidak pernah meriwayatkan begitu." Jauzajani berkata, Abu Harun adalah seorang pendusta besar. Dia selalu menuduh para sahabat dengan pelbagai tuduhan." Syu'bah berkata lagi, Pernah aku pergi kepadanya dan meminta supaya menunjukkan kepadaku riwayat-riwayat yang dikaitkan Abu Sa'id dengannya. Dia meletakkan sebuah kitab di hadapanku. Di antara yang tersebut di dalam kitab itu ialah Abu Sa'id al-Khudri berkata bahawa Utsman bin Affan telah benar-benar kufur terhadap Allah s.w.t. sebelum beliau wafat. Saya mengembalikan kitab itu kepadanya dan terus pulang. Itulah dia Abu Harun al-Abdi yang menulis tentang keburukan-keburukan Sayyidina Ali dan juga keburukan-keburukan Sayyidina Utsman. Jika orang seperti ini mengemukakan riwayat yang menyebut bahawa, " Setelah Nabi S.A.W menceritakan peristiwa Isra' Mi'raj yang dialaminya, maka murtadlah sekian ramai orang-orang yang telah memeluk Islam; barangkali mengikut Abu Harun al-Abdi ini termasuklah juga Sayyidina Ali dan Sayyidina Utsman, kerana bukanlah ramai sangat orang-orang yang telah memeluk agama Islam hingga ke waktu itu. Yahya bin Ma'in berkata, Abu Harun mempunyai satu sahifah yang dipanggilnya Sahifah al-Washi (penerima wasiat atau Sahifah Ali). Saleh bin Muhammad pula berkata bahawa, Abu Harun lebih bohong daripada Firaun. Dia telah meninggal dunia pada tahun 134H." - (Lihat Mizanu al-I'tidal jilid 3 m/s 173-174).

Itulah sekilas pandang tentang perawi-perawi kisah Isra' Nabi S.A.W dari rumah Ummu Hani'. Mereka terdiri dari orang-orang Syi'ah seperti Ibnu Ishaq juga dan telah dihukum oleh ulama' Rijal dengan pelbagai hukuman seperti yang telah dikemukakan tadi. Sekarang mari pula kita menilai riwayat tersebut dengan neraca dirayah dan logik untuk menentukan di mana letaknya kepalsuan dan serentak dengan itu dapat kita faham apa maksud sebenar di sebalik cereka itu. 1) Isra' dan Mi'raj Nabi s.a.w. berlaku sebelum Nabi berhijrah ke Madinah. Pada waktu itu Ummu Hani' masih belum memeluk agama Islam. Beliau hanya memeluk agama Islam setelah Mekah ditakluk Nabi pada tahun 8 Hijrah. 2) Sembahyang Isya' dan Subuh baru difardhukan pada malam Mi'raj itu. Bagaimana mungkin seperti yang tersebut di dalam riwayat ini di mana Nabi s.a.w telah bersembahyang Isya' bersama Ummu Hani' yang belum Islam di rumahnya? 3) Siapakah yang dimaksudkan oleh Ummu Hani' dengan perkataan ' kami' dalam riwayat ini iaituKami bersembahyang bersama Nabi"? Kalau yang dimaksudkan ' kami' di sini termasuk suami beliau Hubairah, maka suaminya adalah di antara musuh ketat Rasulullah s.a.w pada ketika itu bahkan setelah Mekah dikuasai Nabi s.a.w pun dia tidak memeluk agama Islam sebaliknya cabut lari ke Najran. Kemudian dari sana dia berangkat pula ke Rom lalu menganut agama Kristian dan mati sebagai seorang Kristian. 4) Tersebut juga dalam sirah bahawa Nabi s.a.w telah melamar Ummu Hani' kepada Abu Thalib sebelum Baginda s.a.w berkahwin dengan Khadijah tetapi Abu Thalib menolak mentah-mentah lamaran itu dengan alasan Nabi s.a.w seorang yang papa kedana dan tidak mulia. Setelah itu Abu Thalib mengahwinkan Ummu Hani' dengan Hubairah yang merupakan musuh ketat Rasulullah s.a.w. Dalam keadaan sebegini wajarkah Nabi s.a.w bermalam di rumah Ummu Hani'? Sememangnya musuhmusuh Islam mereka cerita ini dengan maksud menuduh Nabi s.a.w dengan 2 tuduhan iaitu :1) Jika kita andaikan Hubairah pada malam itu berada di rumah maka ia menunjukkan betapa tidak malunya Nabi s.a.w kerana telah bermalam di rumah seorang yang Nabi sendiri telah dianggap sebagai papa kedana dan tidak mulia berbanding orang itu. Lebih penting dari itu, bagaimana Rasulullah s.a.w boleh bermalam di rumah musuhnya? Tidakkah mungkin Hubairah juga telah mengetahui bahawa Nabis.a.w pernah melamar Ummu Hani' sebelumnya? Tidakkah mungkin timbul rasa cemburu di dalam hati Hubairah, manalah tahu kalau-kalau Nabi s.a.w masih menaruh hati kepada isterinya? Apalagi bila diingatkan Muhamamd adalah musuh ketatnya? 2) Jika diandaikan pada malam itu Hubairah tiada di rumah pula, maka cerita ini akan membuka peluang seluas-luasnya untuk meragui kesucian peribadi Nabi s.a.w., kerana Nabi s.a.w. digambarkan telah tidur bersama seorang perempuan yang pernah dilamarnya dahulu, di rumah perempuan itu pada ketika ketiadaan suaminya. Malah cerita ini menunjukkan betapa intimnya perhubungan Nabi s.a.w dengan Ummu Hani'. Keadaan ini dapat dilihat dengan jelas pada keesokan paginya bila mana Nabi s.a.w bersedia untuk keluar memberitahu orang ramai tentang Isra' Mi'rajnya, bagaimana Ummu Hani memegang hujung selimutnya sehingga terdedah perut Nabi s.a.w yang digambarkan seperti kain qibti yang berlipat.

3) Kisah ini jelas bertentangan dengan al-Quran dan hadis-hadis Nabi s.a.w yang sahih menurut ilmu usul hadis. Salah satu tanda kepalsuan sesuatu hadis itu ialah ia bercanggah dengan al-Quran dan hadis-hadis yang sahih. 4) Tidak masuk akal sama sekali Nabi s.a.w akan meninggalkan rumahnya sepanjang malam untuk bermalam di rumah seorang perempuan asing dalam keadaan di rumah Baginda s.a.w. sendiri masih ada dua orang anak perempuan Baginda iaitu Fatimah dan Ummi Kultsum. Dalam kisah ini tidak diterangkan pula kepada siapakah Nabi s.a.w meninggalkan mereka berdua dan untuk apa Nabi s.a.w bermalam di rumah Ummu Hani '? 5) Tindakan Ummu Hani' memegang hujung selimut Nabi s.a.w pada keesokan paginya menunjukkan dengan jelas bahawa Hubairah tiada di rumah. Kalau Hubairah tiada di rumah maka siapakah lagi yang tidur di rumah Ummu Hani ' pada malam itu dan bersembahyang secara berjamaah? Sesungguhnya kisah ini merupakan satu serangan yang amat dahsyat terhadap kesucian peribadi Nabi s.a.w. Ia tidak mungkin dicipta dan direka kecuali oleh musuhmusuh Nabi s.a.w 6) Dalam riwayat Hasan Basri pula tersebut bahawa setelah Nabi s.a.w mengemukakan peristiwa Isra' dan Mi'raj, maka murtadlah ramai orang yang telah memeluk agama Islam. Tetapi tidak pula dalam riwayat ini disebutkan nama orang-orang yang telah murtad itu. Siapakah mereka? Sedangkan orang-orang yang memeluk agama Islam pada ketika itu tidaklah begitu ramai. Nama-nama mereka pun disebutkan dengan jelas dalam kitab-kitab sirah. Sesungguhnya kisah ini juga merupakan satu serangan ke atas keikhlasan dan keteguhan para iman para sahabat Nabi s.a.w ia hanya rekaan musuh-musuh sahabat semata-mata. 7) Sebenarnya orang-orang yang mereka kisah ini adalah orang-orang Syi'ah seperti yang terbukti pada latar belakang perawi-perawinya yang telah disebutkan sebelum ini. Sesuatu cerita rekaan Syi'ah pasti akan mempunyai unsur melebih-lebihkan Sayyidina Ali dan mengistimewakannya dari sahabat-sahabat Nabi s.a.w yang lain. Bukankah Ummu Hani' ini kakak kepada Sayyidina Ali, anak kepada Abu Thalib? Bagaimana Syi'ah akan melepaskan peluang ini? Mereka tidak menerima sesuatu peristiwa besar yang berlaku kepada Rasulullah s.a.w tanpa adanya peranan Sayyidina Ali atau keluarganya di sebalik peristiwa itu.

Peristiwa Muakhat (Ikatan Persaudaraan Di Antara Muhajirin Dan Ansar)


Oleh: Maulana Muhammad `Asri Yusuff Saringan oleh : www.darulkautsar.net Peristiwa ' muakhat' ialah ikatan persaudaraan yang dijalinkan oleh Nabi s.a.w. di antara sahabat sahabat Muhajirin dan Ansar. Ibnu Ishaq menulis: Rasulullah s.a.w. mempersaudarakan di antara sahabat - sahabat Muhajirin dan Ansar. Maka Baginda s.a.w. bersabda mengikut apa yang sampai kepada kami dan kami berlindung dengan Allah s.w.t. dari mengatakan atas nama Nabi sesuatu yang tidak diucapkannya -" Bersaudaralah kamu kerana Allah dua - dua orang ". Kemudian Baginda s.a.w. memegang tangan Ali seraya berkata, " Ini saudaraku". Rasulullah adalah penghulu sekalian Rasul, ikutan orang - orang bertaqwa dan pesuruh Tuhan Semesta Alam yang tidak mempunyai bandingan dan tandingan dari kalangan hambaNya, dengan ini menjadi saudara kepada Ali bin Abi Thalib. Hamzah bin Abdul Muttalib

Singa Allah dan Singa RasulNya dan bapa saudara Rasulullah s.a.w. menjadi saudara kepada Zaid bin Haritsah, hamba yang telah dibebaskan oleh Rasulullah s.a.w. Kepadanyalah Hamzah berpesan pada hari peperangan Uhud, sekiranya beliau gugur dalam peperangan itu. Ja'far bin Abli Thalib, Zuljanahain (yang mempunyai dua sayap yang terbang di dalam syurga) menjadi saudara kepada Muadz bin Jabal. - (Lihat Sirah Ibnu Ishaq m/s 234, Sirah Ibnu Hisyam jilid 2 m/s 108 - 110) Cerita dari Ibnu Ishaq ini perlu dinilai semula dan diuji dengan neraca riwayat dan dirayat untuk menentukan kesahihannya. Oleh kerana Ibnu Ishaq tidak mengemukakan sanadnya (dan untuk menggantikan 'sanad' dia telah bersumpah dengan nama Allah bahawa apa yang diceritakannya adalah sesungguhnya dari Rasullullah s.a.w.!) maka kita akan menilainya menggunakan kaedah dirayah sebagaimana berikut: (i) Jalinan persaudaraan yang dianjurkan oleh Nabi s.a.w. di antara sahabat Muhajirin dan Ansar itu adalah dengan maksud supaya sahabat - sahabat Muhajirin tidak kesepian dan bersedih hati kerana perpisahan dengan ahli keluarga dan sanak-saudaranya di Makkah selain dari untuk sama - sama berganding bahu, bantu-membantu terutamanya dalam memberikan peluang pekerjaan dan mewujudkan kesempatan - kesempatan untuk hidup berdikari bagi Muhajirin. Tetapi dalam riwayat ini kita melihat beberapa orang Muhajir telah dipersaudarakan Nabi s.a.w. dengan Muhajir juga termasuklah diri Baginda s.a.w. sendiri yang telah bersaudara dengan Sayyidina Ali. Apa perlunya Rasulullah s.a.w. bersaudara dengan Sayyidina Ali kerana sememangnya Baginda s.a.w. mempunyai pertalian darah dengan Sayyidina Ali selain dari telah memelihara Ali semenjak kecilnya lagi. Rasulullah s.a.w dengan kedudukannya tidak memerlukan 'persaudaraan' dalam konteks supaya boleh hidup berdikari atau mendapat pekerjaan untuk hidup. Ikatan persaudaraan yang sebegini sebenarnya menjatuhkan martabat Baginda s.a.w. sebagai nabi Allah! Ketika menyebutkan kelebihan - kelebihan Rasulullah s.a.w. sebagai penghulu sekalian Rasul, Rasulullah s.a.w ikutan orang - orang bertaqwa dan seterusnya tidak lain kerana untuk menyatakan kelebihan Sayyidina Ali itu sendiri kerana tentunya seorang yang dipilih sebagai saudara oleh Rasulullah s.a.w.. adalah seorang yang cukup istimewa dan tiada tolok bandingnya. Persaudaraan Nabi s.a.w. dengan Sayyidina Ali ditolak oleh para ulama' dan mereka menganggapnya tidak sahih kerana persaudaraan yang diadakan itu adalah di antara Muhajirin dengan Ansar supaya terjalin kasih sayang di antara mereka, justeru itu persaudaraan Nabi s.a.w. dengan Sayyidina Ali begitu juga persaudaraan di antara Muhajirin dengan Muhajirin yang lain sama seperti persaudaraan Hamzah dan Zaid adalah suatu yang tidak berfaedah, begitu juga persaudaraan antara Muaz bin Jabal dengan Ja'far. ii) Seterusnya Ibnu Ishaq menyebutkan persaudaraan yang dijalinkan di antara Hamzah dengan Zaid bin Haritsah sedangkan mereka berdua ini juga dari kalangan Muhajirin. Untuk apa pula dipersaudarakan mereka berdua ? Mungkin Ibnu Ishaq cuba memintas lintasan fikiran kita yang mungkin ragu dengan ikatan persaudaraan di antara Nabi s.a.w. dengan Sayyidina Ali padahal mereka berdua adalah Muhajirin. Untuk menenangkan kita, sengaja Ibnu Ishaq mempersaudarakan Hamzah dan Zaid bin Haritsah, bukankah mereka berdua itu dari kalangan Muhajirin ? (iii) Dalam riwayat tersebut di atas, Ja'far bin Abi Thalib telah dipersaudarakan dengan Muadz bin Jabal. Bagaimana mungkin Nabi S.A.W mempersaudarakan Ja'far dengan Muadz kerana Ja'far telah berhijrah ke Habsyah pada tahun kelima dari kenabian s.a.w. iaitu lapan tahun sebelum Hjirah dan berangkat dari Habsyah ke Madinah pada tahun ketujuh selepas Hijrah (semasa penaklukan Khaibar) sedangkan peristiwa mu'akhat ini berlaku lapan bulan selepas berlakunya Hijrah ke Madinah ? Riwayat ini sebenarnya menunjukkan bercelarunya fikiran Ibnu Ishaq ini. Ibnu Katsir membuat komentar terhadap riwayat Ibnu Ishaq ini dengan menulis bahawa keterangan Ibnu Ishaq dalam riwayat ini boleh dipertikaikan. Malah Ibnu Hisham sendiri mempertikaikan cerita ini. ((Lihat al-Bidayah Wa an-Nihayah jilid 3 m/s 227) (iv) Dalam riwayat yang sama juga disebutkan persaudaraan di antara Salman dan Abu Darda'. Ini juga tidak mungkin berlaku kerana di permulaan hijrah Nabi S.A.W, Salman merupakan hamba kepada seorang Yahudi. Selepas memeluk Agama Islam, beliau telah meminta dari tuan nya supaya memerdekakan beliau. Tuannya telah meletakkan beberapa syarat yang berat yang mana terpaksa disempurnakan syarat - syarat itu oleh Salman dalam masa empat tahun. Pada tahun yang ke-lima Hijrah barulah Salman dimerdekakan. Bagaimana mungkin seorang yang terbelenggu dengan belenggu perhambaan itu dipersaudarakan dengan seorang sahabat Ansar pula ? Mungkin sekali di sebalik ikatan persaudaraan Salman dengan Abu Darda' itu adalah agenda Ibnu Ishaq yang tersendiri memandangkan beliau (Salman) adalah orang Farsi. Mengikut dakwaan orang - orang Syi'ah, beliau (Salman) mempunyai ilmu - ilmu orang - orang dahulu dan orang - orang kemudian, malah beliau adalah yang

kelima dari 5 orang atau menurut riwayat yang lain ketiga dari 3 orang yang tetap di atas keimanannya selepas kewafatan Nabi S.A.W, sedangkan sahabat-sahabat yang lain telah murtad. Masalahnya bagaimanakah beliau (Ibnu Ishaq) boleh menerima seorang mukmin sejati seperti Salman dipersaudarakan dengan seorang yang tidak tersenarai dari kalangan yang tetap dengan keimanannya (menurut akidah Syiah) selepas kewafatan Rasulullah s.a.w. Zubair bin Awwam dan Abdullah bin Mas'ud adalah di antara yang dipersaudarakan di permulaan hijrah itu tetapi yang anehnya mereka berdua dari kalangan Muhajirin juga !! Seterusnya Zubair bin Awwam dan Abdullah bin Mas'ud adalah di antara yang dipersaudarakan di permulaan hijrah itu dan mereka berdua pun dari kalangan Muhajirin juga !! (v) Ammar bin Yasir dan Huzaifah merupakan 2 orang yang tersenarai di antara sahabat - sahabat yang dipersaudarakan Nabi S.A.W. meskipun kedua - dua mereka dari golongan Muhajirin Hujah-hujah di atas telah membuktikan palsunya riwayat yang dikemukakan oleh Ibnu Ishaq itu walaupun dipermulaan riwayatnya beliau menegaskan dengan pasti dan penuh yakin bahawa, " Kami berlindung dengan Allah dari mengatakan atas nama nabi s.a.w sesuatu yang tidak diucapkan oleh baginda. " tetapi bagaimana pula dengan riwayat yang dikemukakan oleh Tirmidzi dalam Sunahnya dan Hakim dalam Mustadraknya ?

HADIS TENTANG PERSAUDARAAN RASULLULLAH DENGAN ALI DALAM SUNAN TIRMIZI DAN MUSTADTRAK HAKIM

Bagaimana pula dengan riwayat yang dikemukakan oleh Tirmidzi dalam Sunannya dan Hakim dalam Mustadraknya ? Riwayat ini adalah sebagaimana berikut: "Dari Ibnu Umar bahawa, " Setelah Rasulullah s.a.w mempersaudarakan sahabat - sahabat Baginda s.a.w., maka Ali pun datang sambil menangis dan berkata, " Wahai Rasulullah ! Engkau telah mempersaudarakan sahabat - sahabat yang lain tetapi tidak mempersaudarakan saya dengan sesiapapun. " Maka Nabi s.a.w. pun bersabda, " Engkau adalah saudaraku di dunia dan di akhirat". (Lihat Sunan Tirmidzi jilid 2 m/s 236 dan as-Mustadrak jilid 3 m/s 14) Sebelum membincangkan hadis ini terlebih dahulu perlu disedari oleh kita semua bahawa musuh musuh Islam dipermulaan sejarah Islam telah menggunakan berbagai - bagai cara untuk memecahbelahkan umat Islam di zaman itu merancang dengan rapi untuk mengelirukan ummah tentang sejarah awal mereka melalui orang - orang tertentu seperti Ibnu Ishaq dan orang - orang yang menyelinap masuk di kalangan Ahlus Sunnah dan menjadi sebagai perawi mereka. Pendek kata sukar sekali untuk ditemui suatu kitab yang betul - betul bersih dari puak - puak penyangak ini. Walaupun begitu kita merasa amat bertuah dan berbangga kerana ulamak-ulamak kita telah meninggalkan pusaka yang amat berguna untuk menilai, mengesan dan menjejaki golongan yang tidak bertanggungjawab ini. Perawi pertama di dalam hadis yang dikeluarkan oleh Tirmidzi ini ialah Hakim bin Jubair yang merupakan seorang dha'if dan Syi'ah. Bukhari berkata Imam Syu'bah mempertikaikannya. Ahmad berkata bahawa Hakim bin Jubair ialah seorang yang dha'if, mungkarul hadis (seorang perawi dha'if yang mana riwayatnya selalu bercanggah dengan riwayat - riwayat perawi - perawi yang tsiqah). Nasa'i berkata, " Dia seorang yang tidak kuat". Daruquthni menulis, " Dia seorang yang matrukul hadis (seorang yang ditinggalkan hadisnya dan tidak dihiraukan ceritanya). Muadz menceritakan bahawa, " Kami pernah meminta kepada Syu'bah supaya dikemukakannya hadis - hadis Hakim bin Jubair. Dengan permintaan kami itu beliau lantas menjawab, " Dengan mengemukakan hadisnya saya bimbang saya akan masuk neraka." Fallas berkata, " Bahawa Abdul Rahman bin Mahdi tidak mahu menerima riwayat - riwayatnya dan selalu berkata, " Walaupun riwayat - riwayatnya adalah sedikit, namun kebanyakannya adalah mungkar (menyalahi riwayat - riwayat orang yang tsiqah). " Jauzajani berkata, " Hakim bin Jubair adalah seorang pendusta besar". Abu Hatim berkata, "Dia seorang yang dhaif dan matrukul hadis selain dari seorang yang melampau dalam fahaman Syi'ahnya" - (Lihat Mizanu al-I'tidal jilid 1 m/s 583 - 584, Tahzibu at-tahzib jilid 2 m/s 383 dan lain lain) Perawi kedua dalam isnad Tirmidzi ini ialah Ali bin Qadim Abu al Hasan al-Khuzaa'i al-Kufi. Yahya bin Ma'in mengatakan, " Dia seorang yang dhaif". Ibnu Adi menulis, " Banyak dari riwayatnya menurut pandangan saya adalah mungkar". Ibnu Sa'ad juga berkata, " Dia seorang mungkarul hadis dan dia seorang Syi'ah pekat". (Mizanu al-I'tidal jilid 3 m/s 150) Perawi terakhir dalam isnad Tirmidzi ialah Juma'i bin Umar at-Taimi. Dia telah menukilkan hadis ini dari Abdullah bin Umar.

Imam Bukhari menulis tentang Juma'i bin Umar at-Taimi sebagaimana berikut, " Walaupun dia telah mendengar hadis - hadis dari Ibnu Umar dan A'isyah namun ulama' hadis mempertikaikan riwayat riwayatnya." Ibnu Hibban menulis, " Dia seorang Rafidhi (Syi'ah pekat). Dia mereka hadis sesuka hatinya." Ibnu Numair berkata, " Dia terbilang di antara orang - orang yang paling dusta." Ibnu ' Adi pula menulis, " Bahawa cerita yang dikemukakannya adalah mungkar. Kebanyakan riwayat riwayatnya tidak dikemukakan oleh orang lain ". (Mizanu al-I'tidal jilid 1 m/s 421) Jelaslah sudah bahawa terkumpul dalam isnad Tirmidzi itu tiga orang Syi'ah berturut - turut. Dua daripadanya tertuduh mereka hadis. Perawi - perawi yang tertuduh mereka hadis, riwayat - riwayatnya dihukum maudhu' dan palsu. Isnad Hakim pula mengandungi dua orang perawi yang lain iaitu Ishak bin Bishr dan Salim bin Abi Hafsah al-Ijli al-Kufi. Mereka menukilkan dari Jumai' yang disebut tadi. (1) Ishak bin Bishr: Imam Zahabi menulis bahawa Abu Bakar Ibnu Abi Syaibah, Musa bin Harun dan Abu Zura'ah ar-Razi mengatakan dia seorang pendusta besar. Daraquthni menulis bahawa, " Dia terbilang di antara orang orang yang selalu mereka hadis. Dia seorang pendusta besar dan pereka hadis". - (Lihat Mizanu alI'tidal jilid 1 m/s 186, Kitabu ad -Dhu'afa Wa al-Matrukin m.s. 61) (2) Salim bin Abi Hafsah al-Ijli al-Kufi Berkenaannya Fallas berkata, " Dia seorang dha'if, seorang Syi'ah pelampau." Nasa'i berkata, " Tidak tsiqah". Ibnu ' Adi berkata, " Dia tercela kerana fahaman Syia'ahnya yang melampau". Muhammad bin Bishr al-Abdi menceritakan bahawa, " saya pernah melihat Salim bin Abi Hafsah - janggutnya sangat panjang tetapi dia sangat bodoh. Dia selalu berkata, " Ingin sekali aku ikut serta dalam setiap peperangan yang dilancarkan oleh Ali Alaihissalam". Jarir b. Abd. Hamid berkata, " Pernah saya melihat Salim bertawaf Ka'bah sambil mengucapkan talbiah seperti ini, " Labbaika Muhlika Bani Umayyah (Ku sahut seruanMu oh Tuhan yang membinasakan Bani Umayyah)." Pernah Umar bin Dzar berkata kepada Salim bin Abi Hafsah, " Engkau telah membunuh Sayyidina Utsman. " Dia bertanya," Bunuh macam mana?" Umar bin Dzar menjawab, " Bila engkau senang hati dengan pembunuhannya bermakna engkau telah membunuhnya". Husain bin Ali al Ju'fi menceritakan bahawa, " Saya pernah melihat Salim bin Abi Hafsah. Dia berjanggut panjang dan sangat bodoh. Salim selalu mengucapkan talbiah begini, " Labbaika qaatila Na'tsal (Ku sambut seruanMu wahai Tuhan yang membunuh Na'tsal). " Na'tsal ialah nama seorang Yahudi di Madinah. Golongan Syi'ah telah memanggil Sayyidina Utsman dengan Na'tsal (seolah - olah mereka mahu mengaitkan Sayyidina Utsman dengan si Yahudi yang jahat itu) Ali bin al-Madini berkata," Saya pernah mendengar Jarir bin Abdul Hamid berkata, " Bahawa saya telah meninggalkan riwayat - riwayat Salim kerana dia selalu memusuhi dan menentang orang - oang Sunni bagi pihak Syi'ah". Ali bin al-Madini berkata, " Orang - orang yang riwayatnya ditinggalkan oleh Syiah seperti Jarir tentu sekali dia seorang Syi'ah melampau. " Bukhari menulis bahawa, " Dia tidak tsiqah". (Kitabu ad-Dhu'afa as-Saghir m/s 36). Khalab bin Hausyab pula menyatakan bahawa, " Dia adalah kepala kepada golongan yang memburuk-burukkan Abu Bakar dan Umar." - (Lihat Mizanu al-I'tidal jilid 2 m/s 110) Sekarang lihat pula apa kata pengarang - pengarang kitab hadis maudhu' tentang cerita ini : Muhamamd bin Tahir al - Fattani al- Hindi menulis, " Semua riwayat - riwayat yang menyatakan Sayyidina Ali telah dipersaudarakan oleh Rasulullah s.a.w. dengan dirinya termasuklah riwayat Tirmidzi adalah dha'if" - (Lihat Tazkiratu al - Maudhu'aat m.s. 97). Nasiruddin al- Albani menulis bahawa Imam Ibnu Taimiyah ada menulis dalam kitabnya 'Minhaju as-Sunnah' bahawa semua riwayat yang menyatakan Ali dipersaudarakan dengan Rasulullah s.a.w. adalah maudhu'. Imam Zahabi juga menulis demikian dalam 'Mukhtasar Minhaj as-Sunnah'- (Silsillah al-Hadis ad-Dha'ifah Wa al-Maudhu'aat jilid 1 m.s. 356). Imam Zahabi dalam Mizan al-I'tidal telah pun menulis bahawa riwayat Jumai' bin Umair adalah mungkar. Dalam Talkhis Mustadrak pula beliau menulis, " Jumai' adalah perawi yang tertuduh dan Ishaq bin Bishr al- kahili adalah seorang yang punah ranah"- (Talkhis al-Mustadrak jilid 3 m/s 14) Apa yang sebenarnya berlaku ialah Sayyidina Ali telah dipersaudarakan oleh Rasulullah s.a.w. dengan Sahl bin Hunaif al-Ansari. Lihatlah apa yang ditulis oleh Ibnu Katsir, " Muhammad bin Ka'ab al-Qurazi berkata bahawa Ali telah berhijrah setelah keluarnya Rasulullah s.a.w. dari Mekah. Rasulullah s.a.w. telah memerintahkan supaya beliau membayar hutang - hutang Baginda s.a.w. dan supaya mengembalikan barang - barang simpanan penduduk Mekahyang disimpan oleh Baginda s.a.w. Rasulullah s.a.w. memerintahkan beliau supaya mengiringi Baginda s.a.w, setelah menyelesaikan semua perintah - perintah yang tersebut tadi. Selepas berhijrah Nabi s.a.w. telah mempersaudarakan beliau dengan Sahl bin Hunaif." - (Lihat al-Bidayah Wan an-Nihayah jilid 7 m.s. 224)

Daripada keterangan yang lalu, para pembaca sekalian dapat melihat bahawa perawi - perawi dalam Isnad Tirmidzi dan Hakim yang meriwayatkan cerita ini sama bulu dan warnanya dengan Ibnu Ishaq.

Anda mungkin juga menyukai