BIDAYUH
Masyarakat Bidayuh merupakan masyarakat etnik Sarawak yang rata-ratanya mendiami
kawasan bukit di luar bandar Kuching. Terdapat pelbagai suku kaum di kalangan
masyarakat Bidayuh dan masing-masing mengamalkan pegangan serta adat resam yang
tersendiri. Kebudayaan dan adat resam ini banyak dipengaruhi oleh unsur-unsur ritual
dan kepercayaan yang mereka anuti. Berikut dipaparkan adat resam masyarakat
Bidayuh berkaitan kelahiran, perkahwinan dan kematian secara ringkas dan menyeluruh.
http://malaysiana.pnm.my/01/010403swkbidayuh_pengenalan.htm
Pengenalan
Bagi masyarakat Bidayuh, adat-adat tertentu perlu dipatuhi semasa sedang
mengandung. Adat-adat tersebut bertujuan untuk menjaga kesihatan ibu dan
kandungan dan bertujuan untuk mengelakkan daripada berlakunya sebarang bencana.
Berikut dipaparkan adat masyarakat Biadayuh berkaitan adat kelahiran secara ringkas.
Sewaktu Mengandung
Semasa mengandung, beberapa pantang larang dan adat tertentu diamalkan. Antaranya
ialah adat menawar perut, berpantang dan persiapan menyambut kelahiran.
Upacara Menawar Perut
Apabila si isteri mengandung, satu upacara iaitu menawar perut atau birayang iteakan
diadakan untuk menggalakkan anak dalam dalam kandungannya membesar dengan
sempurna. Hanya bidan kampung yang berpengalaman dijemput untuk melakukan
upacara ini. Selepas sahaja bidan berkenaan membaca mentera, tubuh perempuan
mengandung itu dibalut dengan kain untuk menghalau segala keburukan dan kekotoran.
Kemudian dia akan mengenakan pakaiannya yang bersih dan berbaring dengan mukanya
memandang ke syiling. Pada ketika ini, bidan akan melakukan upacara menawar perut.
Dia akan melumuri perut wanita tersebut dengan kunyit, minyak kelapa dan merenjis
beras kunyit sambil mengoncangkan tongkat saktinya di atas perut perempuan
berkenaan sambil membaca jampi serapah.
Pantang Larang
Semasa mengandung, si isteri serta suaminya dikehendaki mengamalkan pantang larang
berikut:
Tidak boleh mencuri, kerana dikhuatiri anak yang bakal lahir itu akan menjadi pencuri.
Tidak boleh memakan daging rusa kerana dikhuatiri anak yang bakal lahir itu akan
menjadi gila dan akan menyukarkan proses bersalin.
Tidak boleh keluar pada waktu senja kerana takut disampuk hantu atau umot sanja yang
http://malaysiana.pnm.my/01/0104030101swkbidayuh_mengandung.htm
Semasa Bersalin
Apabila si isteri sudah hampir tiba untuk bersalin, dia akan dibantu oleh pembantunya.
Orang yang diperlukan ketika ini ialah bidan, ibunya ataupun suaminya sendiri untuk
membantunya memasang pemegang sekiranya perlu atau untuk memasukkan bara api
ke dalam tempurung untuk mengasap wanita berkenaan. Ini bertujuan untuk menghalau
semangat jahat daripada mengganggu proses kelahiran tersebut.
Bidan kampung akan membaca jampi serapah dengan memegang semangkuk air sejuk
dan semangkuk gaharu yang membara. Pada penghujung setiap bacaan jampinya dia
akan mengetuk bawah mangkuk tersebut dengan hujung jari tengah tangan kanannya
sebanyak tujuh kali. Kemudian dia akan meniup air di dalam mangkuk itu dengan
mulutnya. Proses ini diulangi sebanyak tujuh kali. Selepas itu dia akan menyembur air
itu dengan mulutnya ke atas badan si isteri tersebut dari muka hingga ke penghujung
kaki, manakala si isteri tersebut berbaring. Selesai sahaja proses ini dilakukan,
air tirusoh atau air selusuh diberikan kepada si isteri tersebut untuk diminum, sebolehbolehnya dalam sekali teguk. Andainya tidak ada apa-apa reaksi dalam masa setengah
jam selepas itu, maka sirih perlu disediakan dan jampi serapah yang sama dibaca
mengikut peraturan yang sama. Selepas itu sirih tadi diberi kepada isteri tersebut untuk
dikunyah, dan seterusnya menanti saat untuk bersalin.
http://malaysiana.pnm.my/01/0104030102swkbidayuh-bersalin.htm
Selepas Lahir
Selepas kelahiran, terdapat beberapa adat dan pantang larang tertentu yang dijalankan.
Kenduri Selepas Bersalin
Sebagai tanda penghargaan atas khidmat bidan dan pembantunya, keluarga berkenaan
akan menyembelih dan memasak ayam untuk dimakan bersama bagi menandakan
kelahiran anak tadi. Selepas makan, bidan akan diberi pinggan tanah berisi beras, sedikit
kunyit dan kelapa kering serta wang tunai sekurang-kurangnya lima ringgit.
Pembantunya juga diberi upah yang sama kecuali wang tunai yang hanya sebanyak tiga
ringgit. Selepas itu pantang pun dijalankan selama tujuh hari tujuh malam. Sepanjang
tempoh ini hanya bidan dan pembantunya tadi dibenarkan memasuki bilik untuk
merawat si ibu dan anaknya.
Menyimpan dan Menanam Uri
Uri bayi tersebut dimasukkan ke dalam kendi tanah yang kecil dan ditutup dengan abu
dapur dan ditinggalkan di sudut tempat memasang api dalam bilik keluarga berkenaan
sehingga bayi itu sudah boleh duduk dan berjalan sendiri. Mengikut adat masyarakat
Bidayuh, kendi yang mengandungi uri tadi akan dipecahkan apabila si anak sudah mula
belajar berjalan. Jika anak perempuan, kendi dipecahkan dengan kayu api dan sekiranya
anak lelaki, kapak akan digunakan. Uri tadi juga akan ditanam ke dalam tanah dan
masyarakat Bidayuh percaya perbuatan ini boleh menyebabkan si anak perempuan tadi
pandai membuat kerja-kerja rumah dan anak lelaki pula pandai membuat kerja-kerja di
sawah.
http://malaysiana.pnm.my/01/0104030103swkbidayuh-lepaslahir.htm
Pengenalan
Bagi masyarakat Bidayuh, perkahwinan ialah satu cara untuk menjadi anggota dan
menikmati hak sebagai anggota biik atau ramin itu. Masyarakat Bidayuh mengamalkan
monogami sahaja. Namun demikian, perkahwinan semula selepas penceraian ialah satu
perkara biasa. Oleh sebab larangan yang kuat terhadap inses, perkahwinan luar daripada
keluarga sendiri ialah peraturan penting dalam masyarakat tersebut. Masyarakat Bidayuh
juga melarang perkahwinan antara sepupu.
Kumpulan seperti Dayak Selako melarang ahlinya daripada berkahwin dengan anggota
kaum yang pernah menjadi musuh perang mereka kerana khuatir akan termakan
sumpah namun kerana sudah berlaku perkahwinan yang pertama antara nenek datuk
rnereka dengan keturunan bekas musuh rnereka, maka larangan tersebut mansuh. Di
kalangan kumpulan Dayak Bukar-Sadong, peraturan tentang perkahwinan agak longgar.
Lelaki dan perempuan boleh bebas bergaul dan berkenalan antara satu dengan lain
sebelum mereka berkahwin.
Merisik
Dalam masyarakat ini, tidak ada upacara merisik. Perkahwinan biasa berlaku apabila
seseorang sudah cukup dewasa dan memilih pasangan hidup. Sebagai petani, bakal
mentua inginkan calon suami yang boleh bekerja di kebun lada mahupun bertanam padi.
Mereka juga mengharapkan calon menantu lelakinya berpekerjaan tetap dengan
kerajaan atau swasta supaya kehidupan anak dan keturunannya terjamin. Kecuali
perkahwinan yang terlarang, masyarakat Bidayuh bersikap terbuka terhadap pilihan
anak-anak mereka. Dalam kumpulan Bukar-Sadong dan kumpulan Selako, mereka
dibenarkan untuk memilih pasangan yang disukainya tanpa mengira asal kaum.
http://malaysiana.pnm.my/01/0104030201swkbidayuh_merisik.htm
Meminang
Cara perkahwinan dilakukan berbeza mengikut kumpulan. Dalam kumpulan seperti
Selako, Jagoi dan Lara, perkahwinan boleh didahului dengan pertunangan. Pertunangan
ditandai dengan pertukaran cincin antara kedua-dua belah pihak. Andai kata pasangan
itu merasakan mereka secocok, perkahwinan boleh dilang-sungkan kemudian.
http://malaysiana.pnm.my/01/0104030202swkbidayuh_meminang.htm
Bertunang
Terdapat perhubungan antara menuai padi dan peristiwa perkahwinan. Lebih baik hasil
yang diperolehi, lebih banyak perkahwinan dapat dilangsungkan. Ini adalah kerana
majlis pertunangan dan perkahwinan melibatkan majlis kenduri yang besarr dan mewah
terutama bagi anak sulung lelaki atau anak tunggal. Sekiranya mereka gagal
mengadakan kenduri pertunangan dan perkahwinan, orang ramai akan mencemuh
pengantin lelaki. Kerana itulah apabila hasil padi berkurangan, pertunangan atau
perkahwinan juga akan berkurangan.
Usia minima untuk bertunang bagi anak perempuan pada masa lampau ialah 16 tahun,
manakala bagi anak lelaki 18 tahun. Selepas memilih bakal tunang dan isterinya, lelaki
itu akan melantik orang perantaraan perempuan. Antara lain, perantara perempuan
tersebut akan menghantar tepak sirih atau kapur tunangatau sebentuk cincin
kepada perempuan berkenaan di samping untuk mendapatkan pandangan pihak
keluarga perempuan mengenai perkahwinan tersebut.
http://malaysiana.pnm.my/01/0104030203swkbidayuh-bertunang.htm
Majlis Perkahwinan
Majlis perkahwinan yang diadakan sangat bergantung pada kemampuan ekonomi
keluarga pengantin. Dalam masyarakat Bidayuh, pilihan tempat tinggal selepas
berkahwin bergantung pada banyak faktor. Faktor utama ialah kedudukan ekonomi
pasangan yang berkahwin. Pihak suami yang berada dan berkedudukan boleh
mempengaruhi pihak isteri untuk tinggal bersama-sama keluarganya (amalan virilokal)
dan begitulah sebaliknya (uksorilokal). Dalam keadaan perkahwinan suami isteri sudah
stabil, mereka boleh duduk di rumah sendiri (amalan neolokal).
Kumpulan Dayak Selako melarang pengaulan bebas antara lelaki dan perempuan.
Perkahwinan boleh berlaku secara 'terpaksa' melalui amalan yang dikenal sebagai
'batangkap'. Ini merupakan amalan apabila pasangan lelaki dan perempuan yang kerap
dilihat berdua-duaan boleh dihadapkan kepada para pemimpin kampung supaya
tindakan dapat diambil. Mereka yang ditangkap bersetuju untuk berkahwin setelah
dibicarakan oleh pemimpin serta penduduk kampung supaya hubungan mereka sebagai
suami isteri boleh disahkan dengan mengadakan sedikit upacara setelah denda atas
kesalahan rnereka telah dijelaskan. Amalan batangkap dilakukan atas pasangan yang
menghadapi tentangan daripada ibu bapa.
Satu lagi cara melangsungkan perkahwinan adalah melalui amalan 'nyagam', apabila
bakal suami dihantar bersama-sama segala tikar bantalnya ke kediaman bakal isteri
setelah mendapat persetujuan daripada pihak perempuan. Biasanya lelaki yang memilih
untuk berkahwin cara demikian ialah seorang duda atau balu.
Perkahwinan yang sempurna mengikut pandangan suku Selako, Jagoi dan Lara ialah
perkahwinan yang melibatkan pengetahuan, peranan dan perancangan oleh ibu bapa
kedua-dua belah pihak. Perkahwinan juga mungkin melibatkan peranan orang
perantaraan atau dikenal sebagai picara di kalangan masyarakat Selako untuk mewakili
pihak lelaki. Setelah semua pihak bersetuju, hari dan masa yang sesuai akan ditetapkan.
http://malaysiana.pnm.my/01/0104030204swkbidayuh_kahwin.htm
Pengenalan
Sesuatu kematian dalam semua masyarakat perlu disempurnakan dengan sebaikbaiknya. Masyarakat Bidayuh juga tidak terkecuali menguruskan upacara kematian
dengan mengikuti pantang-larang dan adat-adat tertentu. Secara ringkasnya adat
http://malaysiana.pnm.my/01/0104030301swkbidayuh_kematian.htm