Anda di halaman 1dari 3

KEJAYAAN Mohd Faiz Subri merangkul

Anugerah Puskas Persekutuan Bola


Sepak Antarabangsa (Fifa) 2016
merupakan satu pencapaian yang
membanggakan, kata Menteri Belia dan
Sukan, Khairy Jamaluddin.
Beliau berkata, jaringan 'ajaib' Mohd
Faiz yang mencetuskan fenomena
sehingga mendapat perhatian seluruh
peminat bola sepak dalam dan luar
negara itu adalah jaringan yang hanya hadir sekali dalam seumur hidup.
"So proud (Sungguh bangga). Tahniah, Faiz. Once in a lifetime goal (Jaringan
sekali dalam seumur hidup)," katanya dalam laman Twitter.
Sementara itu, penyerang bola sepak kebangsaan, Mohd Safee Mohd Sali
yang turut meluahkan rasa bangga menyifatkan kejayaan itu membuktikan
kemampuan dan kualiti yang dimiliki pemain tempatan untuk menghasilkan
jaringan yang luar biasa serta berdiri sama taraf dengan pemain kelas dunia.
"Tahniah!!! Anda membuktikan pemain tempatan juga berkualiti... Satu
penghargaan yang diimpikan buat semua pemain bola sepak dunia... untuk
berada di sana bersama pemain kelas dunia dan memenanginya memang
satu yang luar biasa.
"Saya tumpang bangga kerana anda adalah pemain tempatan dari Malaysia
dan bukannya dari Argentina... I'm sorry Messi (Maaf Messi)," kata Safee
dalam entri Facebooknya.
Jaringan menakjubkan Mohd Faiz itu menerima undian 59.46 peratus
mengalahkan dua lagi calon - Johnath Marlone Azevedo da Silva dari Brazil
yang mendapat 22.86 peratus dan pemain wanita, Daniuska Rodriguez dari
Venezuela, 10.01 peratus.
Gol tercantik dunia oleh Mohd Faiz itu adalah melalui sepakan percuma
ketika membantu pasukannya, Pulau Pinang mencatat kemenangan 4-1 ke
atas Pahang pada aksi Liga Super, 16 Feb tahun lepas.
Lebih manis, kejayaan pemain kelahiran Ayer Hitam, Kedah itu menjadikan
beliau pemain Asia pertama dikurniakan anugerah sempena nama legenda
bola sepak Hungary, Ferenc Puska, yang menikmati kejayaan hebat bersama
pasukan Real Madrid pada 1950-an dan 60-an serta bersama pasukan
kebangsaan negara beliau. Bernama

JERLUN: Kejayaan Mohd Faiz Subri merangkul Anugerah Puskas Persekutuan


Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) 2016 adalah satu kebanggan buat negeri
kelahirannya, Kedah dan juga negara.
Bapanya, Subri Kader, 64, yang terharu dengan kejayaan anak kelima daripada
enam beradik itu, disifatkan sangat bermakna buat keluarga yang
sememangnya dinanti-nantikan sejak tercalon untuk anugerah berprestij itu.
"Saya terharu dan gembira dengan kejayaan Mohd Faiz ini dan ini adalah
hadiah untuk negeri dan negara.
"Saya berharap kejayaan ini sebagai pembakar semangat untuk dia terus
berjaya pada masa depan," katanya kepada pemberita sebaik sahaja Mohd Faiz
diumumkan sebagai pemenang anugerah itu kira-kira pada pukul 2.40 pagi.
Subri berkata kejayaan itu juga sangat berbaloi apabila selama ini keluarga
memberikan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepadanya.
"Apa yang saya rasa ketika ini adalah mahu memeluknya apabila sampai ke
tanah air nanti.
"Dia seorang anak yang baik dan sentiasa ingat keluarga dan ibu bapa,"
katanya.
Beliau melahirkan rasa terharunya apabila nama keluarga disebut Mohd Faiz
ketika berucap sempena kemenangannya di Zurich, Switzerland.
"Ini mungkin kejayaannya disebabkan mendapat restu kami seluruh keluarga,"
katanya.
Menurutnya Mohd Faiz ada menghubungi keluarga pada sebelah petang tadi
sebelum berlangsungnya majlis anugerah itu.
Mengenai majlis kesyukuran, Subri berkata mereka sekeluarga akan berbincang
dengan Mohd Faiz terlebih dahulu sebelum membuat keputusan.
Sementara itu, ibu Mohd Faiz, Saadiah Ishak, 55, berkata mereka sekeluarga
mengicapkan terima kasih kepada seluruh penduduk kampung, penyokong dan
rakyat Malaysia di seluruh negara yang mendoakan kejayaan anaknya itu.

Katanya ia juga sebagai semangat buat Mohd Faiz untuk lebih berjaya termasuk
mewakili negara pada masa akan datang.
Saadiah berkata kejayaan yang dikecapi anaknya itu sudah tentu merupakan
saat yang terbaik buat hidup anaknya itu.
"Bukan senang nak dapat anugerah ini. Ini semua berkat doa keluarga dan
seluruh rakyat Malaysia," katanya.
Mohd Faiz merupakan finalis dalam kategori gol tercantik bersama-sama dua
pemain lain iaitu Jonath Marlone Azevedo da Silva dari Brazil dan pemain bola
sepak wanita, Danisuka Rodriguez dari Venezuela.
Teknik 'knuckleball' yang dicalonkan pada anugerah tersebut dilakukan Mohd
Faiz ketika menjaringkan gol melalui sepakan percuma ketika perlawanan Pulau
Pinang menentang Pahang pada saingan Liga Super, 16 Feb tahun lepas.
Anugerah Puskas dinamakan sempena penyerang legenda Hungary, Ferenc
Puskas yang menjulang tiga gelaran Eropah bersama pasukan gergasi
Sepanyol, Real Madrid dari 1959 hingga 1966.
Sejak diperkenalkan pada 2009, anugerah yang bertujuan mengiktiraf gol
tercantik di dunia sepanjang sesuatu tahun itu pernah dimenangi bintang bola
sepak terkenal dunia antaranya Cristiano Ronaldo, Zlatan Ibrahimovic, Neymar
dan James Rodriguez.
-- BERNAMA

Anda mungkin juga menyukai