Anda di halaman 1dari 4

Tazkirah ketika solat tarawih

1001 Kemusykilan Oleh DR. ABDUL HAYEI

BIN ABDUL SUKOR


(Akademi Pengajian Islam)
SOALAN:
Saya tinggal berhampiran sebuah masjid di Kuala Lumpur. Masjid ini dahulunya makmur, kini
jemaahnya semakin berkurangan kerana mereka tidak selesa dengan aktiviti masjid yang selalu
menjemput penceramah dari luar untuk menyampaikan ceramah agama.

Ceramah-ceramahnya pada anggapan saya banyak menyentuh perkara yang tidak berkaitan
seperti mengecam dasar-dasar kerajaan dan menyindir orang-orang tertentu.

Program Ramadan pada tahun ini nampaknya sama dengan tahun-tahun lalu, iaitu menjemput
penceramah untuk menyampaikan tazkirah Ramadan setiap kali selepas salam solat tarawih.
Jemaah juga merungut dengan tazkirah pada waktu itu, kerana mereka lebih tertumpu pada
bacaan al-Quran, bukan pada tazkirah yang berkisar mengenai tajuk yang tidak menentu dan
seolah-olah jemaah dipaksa mendengarnya.

Soalannya, bolehkah tarawih ditunaikan di rumah sahaja atau di masjid-masjid di luar kawasan.
Saya sangat menghargai jawapan tuan yang pastinya beralasan dan meyakinkan. -
SALAHUDDIN, Paya Jaras, Selangor.

JAWAPAN: Saya berpendapat jemaah masjid perlu meneruskan solat jemaah dan tarawih di
masjid dalam kariah sendiri dan mengikuti kegiatan agama yang disusun. Jika berlaku kekeliruan,
hendaklah dibetulkan melalui pentadbiran masjid yang biasanya terdiri daripada imam, nazir dan
jawatankuasa.

Jika tidak juga selesai, majukan perkara itu ke Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI)
atau jabatan agama di negeri-negeri yang berkenaan.

Mengambil keputusan sendiri dengan meninggalkan masjid kariah dirasakan tidak tepat, kerana
jika manusia yang membawa masalah itu ke masjid, maka manusia tidak kekal selama-lamanya
di situ. Ia akan pergi dan bertukar, jika tidak pada tahun ini, maka mungkin pada tahun hadapan,
sedangkan masjid kekal selama-lamanya dan anda tidak pernah berkrisis dengan masjid.

Dalam Islam, ada dua kumpulan yang boleh dirujuk untuk menyelesaikan kekeliruan jika ia
berlaku dalam masyarakat, sama ada di masjid atau di luar masjid, iaitu kumpulan yang diberi
nama ahl al-zikr (orang yang berpengetahuan agama) dan kumpulan ulu al-amr (pemerintah).
Mereka adalah orang yang boleh membuat keputusan muktamad dalam apa jua kekeliruan yang
berlaku.

Sehubungan ahl al-zikr (orang berpengalaman agama), Allah berfirman yang bermaksud:
Bertanyalah kamu kepada orang-orang yang berpengetahuan agama, jika kamu tidak mengetahui
- (al-Nahl: 43).
Perintah supaya merujuk kepada kumpulan ulu al-amr (pemerintah) pula, Allah s.w.t. berfirman
yang bermaksud: Dan apabila datang kepada mereka suatu berita mengenai keamanan ataupun
kecemasan, mereka terus menyebarkannya, padahal kalau mereka kembalikan sahaja hal itu
kepada Rasulullah dan kepada pemerintah yang berkuasa di antara mereka, tentulah hal itu dapat
diketahui oleh orang-orang yang layak membuat keputusan mengenainya di antara mereka - (al-
Nisa: 83).

Saya berpendapat dua kumpulan ini mampu membuat keputusan terbaik. Mereka tidak harus
bertelagah dalam membuat keputusan bagi kepentingan masjid. Mereka harus mengambil kira
banyak aspek sebelum mengeluarkan apa-apa perintah dan arahan. Masalah tazkirah Ramadan
ketika solat tarawih sedang berjalan seperti yang dikemukakan di atas, lebih sesuai jika
pandangan ahl al-zikr dirujuk. Manakala hal-hal yang berkaitan bangunan masjid pula lebih baik
kalau diambil kira pandangan ulu al-amr (pemerintah).

Kekeliruan yang berbangkit sekitar tazkirah Ramadan dan solat tarawih itu sepatutnya tidak perlu
dirujuk kepada pihak yang lebih atas, memadailah dengan pandangan imam atau nazir pada
peringkat masjid sahaja, kerana imam dan nazir pun telah dilantik daripada yang terpilih di
kalangan jemaah dan sepatutnya mereka telah mewakili dua kumpulan yang disebut di atas.

Masalah yang berbangkit hari ini ialah mungkin juga di masjid yang saudara maksudkan itu
imam masjid tidak menjalankan tugasnya dengan betul. Ia dipilih menjadi imam hanya
berdasarkan keperluan memimpin solat semata-mata seperti suaranya merdu, mampu membaca
Fatihah dan surah mengikut tajwid dan banyak menghafaz doa.

Pada hemat saya, kelayakan setakat itu belum cukup memadai bagi memenuhi jawatan imam
yang tinggi dan mencabar itu. Imam masjid sepatutnya mempunyai pengetahuan yang mendalam
tentang ilmu-ilmu dunia dan agama.

Dia perlu tahu serba sedikit tentang asas-asas ekonomi dan politik. Dia perlu tahu psikologi
manusia dan kemasyarakatan dan perlu peka dengan penyakit-penyakit yang memusnahkan
masyarakat dan kaedah-kaedah mengatasinya, di samping ilmu tentang halal dan haram.

Universiti-universiti tempatan harus diberi kepercayaan untuk membuka bidang-bidang pengajian


seperti fakulti dakwah dan kepimpinan untuk mendidik anak-anak muda Islam memimpin masjid
dan masyarakat secara profesional.

Kenyataan yang ada di masjid-masjid pada hari ini ialah imam-imamnya tidak mampu
menjalankan tugasnya dengan sempurna, tidak berkebolehan menyampaikan khutbah dengan
baik, mereka hanya membaca khutbah dan berjaya melenakan jemaah yang suka tidur.

Sesungguhnya masjid merupakan sebuah sekolah yang didirikan untuk mendidik rohani
jemaahnya yang terdiri daripada berbagai-bagai lapisan masyarakat seperti murid, jemaah yang
berkunjung setiap kali waktu solat untuk mendapatkan bekalan rohani menerusi solat jemaah,
zikir, iktikaf dan sebagainya.

Imam merupakan pemimpin rohani pertama yang membimbing jemaahnya. Jika ada penceramah
dari luar dijemput, maka imam perlu bertanggungjawab mengawal tajuk dan seluruh isi
penyampaian penceramah agama itu.
Imam yang dilantik memimpin sesebuah masjid harus tahu kehendak jemaahnya. Dia perlu
melayani kehendak mereka dengan adil. Dia perlu meningkatkan layanannya terhadap jemaah
yang menjadi tetamu rohaninya sebagaimana pelayan kedai makan melayani pelanggan yang
sedang makan tengah hari.

Jemaah masjid harus keluar dari masjid dengan perasaan tenang hati dan ingin datang ke masjid
lagi.

Tidak adil bagi imam sesebuah masjid menyerahkan segala tugasnya kepada orang lain yang
tidak berkeahlian, atau menyangka bahawa tugasnya hanya memimpin solat lima waktu. Tugas-
tugas lain pula dianggap hanya kerja sukarela yang boleh diterima atau ditolak, kecuali jika dia
mendapat imbuhan.

Sesungguhnya mengimami solat bukan suatu jawatan yang boleh digaji, kerana tiada imbuhan
pada ibadah yang wajib dikerjakan. Hanya apabila tugas ini dikendalikan secara percuma oleh
mereka yang tidak berkemampuan, maka pihak berkuasa perlu mengambil alih bagi memastikan
perjalanannya lebih tersusun dan teratur, lalu dilantik daripada kalangan mereka yang lebih
berupaya dengan imbuhan yang sepatutnya.

Tazkirah Ramadan yang berlaku di masjid tidak semuanya buruk dan tidak semuanya baik.
Penceramah itu sendiri yang menentukannya. Sindir-menyindir dan memburuk-burukkan orang-
orang tertentu, ketika hati para jemaah sedang menagih keampunan dan rahmat Allah sangat
bertentangan dengan ajaran Islam.

Kalaupun tidak menyindir dan memburuk-burukkan sesiapa, kehendak para jemaah perlu dirujuk
terlebih dahulu sama ada mereka suka atau tidak suka mendengar tazkirah yang akan diadakan.

Secara peribadi saya berpendapat ceramah agama sewaktu solat tarawih tidak sesuai diadakan.

Penghayatan Ramadan memadai dengan solat tarawih, tadarus al-Quran, iktikaf dan solat malam.
Jika ada jemaah yang berminat menambah lagi amal ibadahnya pada waktu malam atau siang,
bolehlah dilakukan secara bersendirian dengan mengadakan ibadah tambahan yang tidak terbatas
bagi mereka yang meminatinya.

Ceramah agama, tazkirah atau kuliah adalah suatu program yang terlalu umum. Ia tidak terikat
dengan waktu dan masa bahkan boleh diadakan sepanjang tahun, siang dan malam, di surau dan
di mana-mana jua.

Tajuk-tajuk ceramah juga boleh menyentuh pelbagai aspek dan isu yang menyentuh kegiatan
hidup manusia termasuk hal-hal kemasyarakatan, politik dan kenegaraan.

Lain halnya dengan solat tarawih, amalan ini adalah suatu ibadah khusus pada bulan Ramadan.
Ibadah ini ada kaifiyatnya, ada waktunya dan ada bacaannya yang ditentukan oleh Rasulullah.

Perjalanan solat tarawih tidak sehala sepenuhnya kerana ia dilakukan secara berjemaah. Solat ini
dikerjakan sebanyak 20 atau 8 rakaat mengikut keselesaan dan minat seseorang. Di masjid-masjid
negeri, imam tarawih biasanya mengkhatamkan al-Quran, sekurang-kurangnya sekali dalam solat
tarawih sepanjang bulan itu.

Antara makmum ada yang mengikuti solat di belakang imam. Mereka bukan sahaja bersolat
tetapi mengikuti bacaannya dengan khusyuk. Kadang-kadang menerusi bacaan imam, makmum
secara tidak langsung mengambil peluang memperbaiki bacaan yang disedarinya salah sama ada
pada panjang pendek, makhraj, wakaf dan sebagainya.

Atas pertimbangan awlawiyyat (keutamaan) seperti yang disebut di atas, solat tarawih lebih
utama daripada ceramah. Oleh itu solat tarawih perlu diberi masa secukupnya, waktunya tidak
harus dikongsikan dengan program lain. Jika ada program lain yang juga penting, hendaklah
diberi masa khas kepadanya.

Solat ini tidak penting sama ada dikerjakan 20 atau 8 rakaat. Imam bebas memilih mana yang
disukainya dengan persetujuan jemaah dan pentadbir masjid, asalkan sembahyang itu dikerjakan
dengan penuh khusyuk dan dinikmati sebagai detik-detik munajat antara seorang hamba dengan
Allah yang menentukan hidup dan matinya.

Sebagai panduan, beberapa kaedah yang selalu dipakai dalam Fiqh Awlawiyyat (keutamaan) ialah
ibadah khusus hendaklah mendahului ibadah umum, kepentingan jemaah hendaklah mendahului
kepentingan individu, ibadah berwaktu hendaklah mendahului ibadah tanpa waktu, kualiti
hendaklah mendahului kuantiti, yang mudah mendahului yang susah, malah waktu-waktu tertentu
lebih utama untuk diisi dengan amalan-amalan tertentu sahaja.

Contoh-contoh keutamaan ini banyak dikemukakan oleh Dr. Yusuf al-Qaradawi dalam bukunya
Fiqh al-Awlawiyyat. Buku ini telah diterjemahkan ke bahasa Malaysia dan sangat baik dibaca.

Saya tidak sependapat dengan sesetengah orang yang mengatakan mengikuti majlis ilmu itu
wajib, solat tarawih itu sunat. Oleh itu amalan wajib seperti ceramah agama, hendaklah
mendahului amalan sunat seperti solat tarawih. Kaedah ini mungkin betul, tetapi pemahamannya
salah kerana ia tidak membezakan antara ilmu-ilmu yang wajib dan tidak wajib dipelajari,
sedangkan ilmu ada juga yang berupa racun berbahaya.

Anda mungkin juga menyukai