Anda di halaman 1dari 12

MENINGKATKAN KEMAHIRAN MENULIS KARANGAN MENGGUNAKAN

PENDEKATAN BERFOKUS

Disediakan Oleh:
Pn. Hjh. Elina Binti Hj. Mohd Abd. Kahar
Dr. Abdul Jawi Bin Abnoh Sawi
SMK. DATUK PANGLIMA ABDULLAH,
91308 SEMPORNA, SABAH.

Abstrak

Kajian ini bertujuan untuk membantu pelajar yang lemah dalam


menguasai kemahiran menulis karangan yang merupakan satu
komponen dalam mata pelajaran Bahasa Melayu Kertas 1 SPM.
Sampel kajian melibatkan seramai 98 orang pelajar dan seorang
guru terlibat dalam kajian ini. Saya memfokuskan kepada
penulisan karangan. Tinjauan awal telah dibuat melalui ujian pra
yang menunjukkan murid lemah terhadap penulisan karangan.
Oleh itu, melalui tinjauan awal, didapati pelajar menghadapi
masalah pembelajaran pasif terhadap pengajaran dan
pembelajaran formal dalam kelas. Oleh itu, pendekatan berfokus
diperkenalkan kepada pelajar sebagai satu cara untuk mengatasi
masalah pembelajaran yang dihadapi pelajar terutama dalam
penulisan karangan. Kajian juga telah menjalankan pelan tindakan
berdasarkan pendekatan berfokus yang diperkenalkan dan
mendapati penguasaan kemahiran pelajar dalam menulis karangan
semakin memuaskan jika dibandingkan dengan sebelumnya.
Pelajar tersebut lebih menunjukkan sikap positif dengan
menunjukkan pembelajaran aktif untuk menguasai kemahiran
menulis karangan dan mempunyai keyakinan diri dalam aktiviti
pengajaran dan pembelajaran di kelas bagi mencapai keputusan
yang cemerlang dalam Bahasa Melayu di peringkat SPM.
1. PENDAHULUAN

Era globalisasi telah banyak membawa perubahan terhadap ekologi pembelajaran pelajar
(Arifin, 2003). Dalam hal ini, mutu pendidikan berkualiti amat dituntut dalam
menghadapi cabaran alaf baru, cabaran dunia siber dan semuanya boleh dirangkumkan
sebagai cabaran menghadapi dunia yang tidak menentu perkembangannya kesan ledakan
maklumat merentasi sempadan negara. Lantaran itu, iklim pembelajaran pelajar yang
berkesan dan harmoni perlu difikirkan bagi mencapai kecemerlangan pendidikan. Namun
demikian, perkara membimbangkan ialah berlaku kemerosotan kualiti pembelajaran
pelajar dalam proses pengajaran dan pembelajaran pelajar ketika mengikuti pendidikan
formal dalam kelas berdasarkan pencapaian pelajar dalam penulisan karangan sehingga
menjejaskan pencapaian pelajar dalam Bahasa Melayu peringkat SPM. Fenomena ini
perlu ditinjau secara teliti dan mendalam bagi mencari formulasi berkesan dalam
menangani isu pembelajaran pelajar dalam kelas khususnya dalam pengajaran dan
pembelajaran (P&P) Bahasa Melayu SPM.

2. LATAR BELAKANG KAJIAN

Mata pelajaran Bahasa Melayu merupakan mata pelajaran teras pada peringkat Sijil
Pelajaran Malaysia (SPM). Mata pelajaran Bahasa Melayu peringkat SPM mempunyai
dua bahagian, iaitu Bahasa Melayu Kertas 1 (1103/1) dan Bahasa Melayu Kertas 2
(1103/2). Format pentaksiran bagi mata pelajaran ini telah mengalami perubahan format
bermula tahun 2004. Satu instrumen pentaksiran bagi mata pelajaran Bahasa Melayu
Kertas 1 ialah karangan. Karangan merupakan satu komponen penting dengan peruntukan
markah yang ditetapkan sebanyak 130 peratus. Aspek yang diberikan penekanan dalam
penulisan karangan ialah kemahiran membuat pendahuluan, pernyataan isi, dan penutup.
Menulis karangan memerlukan pelajar menguasai kemahiran berkenaan secara berkesan.
Oleh itu, penulisan karangan memerlukan kemahiran aras tinggi.
Kemahiran membuat pendahuluan, pernyataan isi, dan membuat penutup dalam
penulisan karangan umum perlu dikuasai oleh pelajar SPM bagi membolehkan pelajar
memperoleh markah yang tinggi. Oleh hal demikian, penguasaan terhadap kemahiran
menulis karangan memerlukan pendekatan berfokus yang komprehensif untuk memberi
kefahaman yang mudah dan jelas kepada pelajar.
Sehubungan itu, projek penyediaan dan pemilihan bahan-bahan bantu mengajar
(BBM) dengan pendekatan berfokus ATMA+ dan KIA+ disediakan yang bertujuan untuk
membantu pelajar SPM sekolah SMKDPA dalam menangani masalah yang dihadapi
pelajar dalam aspek penulisan karangan umum. Antaranya dari segi masalah dalam
penguasaan format penulisan karangan, teknik dalam perenggan penulisan, masalah
mengembangkan idea, dan ketidakmampuan memiliki sumber rujukan yang baik dan
sesuai.

3. ISU DAN FOKUS KAJIAN

Berdasarkan ujian pra Bahasa Melayu bulan Mac. Kelas Tingkatan 5 (Kelas Ixora,
Dahlia, dan Teratai) didapati 18.4 peratus pelajar gagal dalam kelas berkenaan dalam
penulisan karangan. Oleh itu, pelajar gagal dalam penulisan karangan berpunca daripada
pelbagai faktor yang perlu ditinjau secara teliti dan mendalam. Pembedahan terhadap isu
kegagalan pelajar dalam pembelajarannya, khususnya dalam penulisan karangan perlu
dilakukan dengan segera. Keadaan ini tidak boleh dibiarkan berpanjangan kerana pelajar
ini akan menghadapi SPM 2012 pada bulan November. Seandainya mereka tidak
menguasai kemahiran menulis karangan dengan baik kebarangkalian mereka tidak akan
mendapat keputusan cemerlang dalam mata pelajaran Bahasa Melayu peringkat SPM
kerana soalan bahagian ini merangkumi 130 markah daripada 240 markah keseluruhan
Bahasa Melayu Kertas 1. Oleh itu, kajian tindakan perlu dilakukan bagi meningkatkan
penguasaan kemahiran menulis karangan dengan kaedah terancang dan sistematik. Selain
itu, perlu ada satu pendekatan dan strategi yang sesuai dan pelbagai untuk pengajaran dan
pembelajaran menulis karangan. Lantaran itu, bagi meningkatkan kemahiran menulis
karangan, ‘Pendekatan Berfokus’ dilaksanakan yang diserapkan dalam proses pengajaran
dan pembelajaran (P&P) di kelas.
Berdasarkan Huraian Sukatan Pelajaran (HSP) Tingkatan Lima Bahasa Melayu,
dalam Bidang Interpersonal berfokus pada keupayaan pelajar berkomunikasi berasaskan
bahasa dengan menggunakan kata, frasa, rangkai kata, ungkapan, dan ayat secara
bertatasusila untuk mengekalkan hubungan melalui perkongsian idea semasa melakukan
interaksi sosial. Manakala Bidang Maklumat berfokus pada keupayaan murid
memperoleh dan menyampaikan pelbagai pengetahuan dalam bidang ilmu. Pemerolehan
maklumat didapati melalui aktiviti mendengar, berbual, membaca, dan mengakses
maklumat daripada multimedia menerusi e-pembelajaran. Hasil pembelajaran yang boleh
dicapai oleh murid dalam Bidang Maklumat adalah untuk mendapat, memproses, dan
menyampaikan maklumat dengan berkesan. Oleh hal demikian, menulis karangan
merangkumi bidang interpersonal dan bidang maklumat yang perlu dikuasai oleh pelajar
ketika proses pengajaran dan pembelajaran formal di kelas. Antara contoh hasil
pembelajaran yang perlu dicapai adalah seperti berikut:-
1.3 Menyampaikan maksud yang tersurat dan tersirat berdasarkan bahan yang
dikemukakan dengan menggunakan kata dan ungkapan yang sesuai.
7.5 Memahami dan meneliti maksud tersurat dan tersirat daripada sesuatu bahan.
8.8 Membuat karangan dengan alasan yang munasabah.
Oleh hal demikian, sebagai guru perlu mengembangkan potensi pelajar selaras dengan
Matlamat dan Falsafah Pendidikan Kebangsaan agar dapat membentuk insan pelajar yang
seimbang. Selain itu, guru juga perlu menyemai minat dan sikap positif terhadap
pembelajaran pelajar dengan memperkenalkan pendekatan pembelajaran secara
komprehensif dan strategi belajar Bahasa Melayu di samping berusaha meningkatkan
kemahiran penulisan karangan bagi mencapai kecemerlangan pelajar dalam mata
pelajaran Bahasa Melayu peringkat SPM.

4. OBJEKTIF KAJIAN

a. Memudahkan proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) dengan penggunaan


teknik yang sesuai, mudah, dan betul.
b. Memudahkan sesi latih tubi atau latihan dalam pemerengganan karangan.
c. Mudah dirujuk semula (akses kendiri) oleh pelajar.
d. Meningkatkan penguasaan kemahiran menulis karangan.
e. Menerapkan kesedaran dalam diri dan nilai terbaik, iaitu gred A+ dalam pencapaian
Bahasa Melayu Kertas 1, Karangan Umum.

5. KUMPULAN SASARAN

Kajian melibatkan pengajaran seorang guru dan 98 orang pelajar Tingkatan 5, iaitu 33
orang pelajar di kelas Ixora, 35 orang pelajar kelas Dahlia, dan 30 orang pelajar kelas
Teratai. Keseluruhan kebolehan pelajar daripada ketiga-tiga kelas ini adalah pada tahap
lemah, sederhana dan baik.Lazimnya, dalam ketiga-tiga kelas berkenaan, terdapat
beberapa orang pelajar yang menghadapi masalah pembelajaran khususnya masih tidak
menguasai kemahiran menulis karangan umum dengan baik. Oleh itu, kajian tindakan
dilaksanakan untuk mengatasi masalah tersebut.

6. METODOLOGI KAJIAN

Metodologi kajian yang digunakan ialah:-

a. Pemerhatian
Sikap pelajar dilihat secara langsung di dalam kelas sewaktu aktiviti pengajaran dan
pembelajaran (P&P), dan penggunaan stesen pembelajaran.

b. Ujian Pra
Ujian ini diberikan kepada pelajaran untuk mengukur tahap pencapaian pelajar dalam
penulisan karangan sebelum pelaksanaan pendekatan berfokus.

c. Tindak Balas Dalam Aktiviti Pengajaran dan Pembelajaran


Tindak balas pelajar dinilai semasa mereka menjawab soalan yang dikemukkan oleh guru
berpandukan contoh latihan yang disediakan dalam pendekatan berfokus.

d. Semakan Buku Latihan


Buku latihan akan disemak oleh guru dari semasa ke semasa sebagai tindakan pengayaan
dan pengukuhan penguasaan kemahiran menulis karangan. Tindakan semakan secara
langsung dapat menilai tahap perkembangan pelajar dalam menguasai kemahiran
berkenaan. Semasa semakan latihan markah diberi mengikut standard pemarkahan SPM
yang sebenar seperti berikut:-
Secara holistik = 100 markah
Jumlah = 100 markah

e. Ujian Pos
Ujian pos diberi untuk mengetahui tahap pencapaian pelajar dalam penulisan karangan
pada akhir kajian.

7. TEORI KAJIAN
Kajian ini menggunakan ‘Teori Pembelajaran Kognitif’ berpandukan ‘Pendekatan
Berfokus’ yang ditekankan dalam penulisan karangan. Penggunaan bahan rangsangan
yang berbentuk soalan berpandu dan contoh jawapan dalam penulisan karangan adalah
berdasarkan Teori Kognitif Behaviorisme dan Teori Gestalt. Berdasarkan Teori Kognitif
Behaviorisme, manusia menyedari bahawa rangsangan akan menyebabkan gerak balas.
Oleh hal demikian, manusia sentiasa melihat rangsangan sebagai sesuatu yang perlu
diberi tindakan menurut perspektif yang sesuai berdasarkan persepsi, pengalaman,
persekitaran atau apa sahaja yang berkaitan. Hal ini bermakna, tingkah laku manusia
adalah berasaskan pengetahuan atau pemikiran mereka tentang sesuatu situasi
(rangsangan) yang menyebabkan sesuatu perubahan tingkah laku akan berlaku. Oleh itu,
dalam situasi kajian ini rangsangan berlaku apabila guru mengemukakan soalan
menyebabkan pelajar bertindak balas mencari jawapan berdasarkan bahan dalam modul
pendekatan berfokus sehingga mewujudan gerak balas kognitif (Rajah 1).

Rajah 1 : Teori Pembelajaran Kognitif dan Kaitan Rangsang dengan Gerak Balas


Menurut Teori Gestalt pula, pembelajaran akan digerakkan oleh rangsangan yang
berbentuk ‘kekaburan’ yang memerlukan penyelesaian (Bower dan Hilgard, 1983). Oleh
hal demikian, manusia akan tergerak untuk menyelesaikan ‘kekaburan’ tersebut melalui
proses yang dikenali sebagai ‘celik akal’. Lantaran, dalam proses ‘celik akal’ struktur
kognitif manusia yang telah sedia tersimpan dengan pelbagai maklumat dan pengalaman
akan dikaitkan dengan masalah (rangsangan) yang perlu diselesaikan itu. Situasi ini
bermakna bahan rangsangan mempunyai peranan untuk membantu dalam mengaktifkan
proses ‘celik akal’ atau pembelajaran aktif itu sendiri. Berdasarkan konteks kajian ini,
pelajar yang masih ‘kabur’ atau lemah menulis karangan akan mengalami proses ‘celik
akal’ atau pembelajaran aktif apabila guru memberi bimbingan dan panduan dalam
penulisan karangan yang baik.

Selanjutnya dalam Teori Pembelajaran Kognitif menekankan tentang cara struktur


pemikiran (kognitif), memperoleh, menyusun, menyimpan, dan menggunakan maklumat
sebagai tindak balas terhadap rangsangan. Tegasnya, teori ini memperincikan bagaimana
minda atau struktur kognitif memproses maklumat. Berdasarkan teori ini, terdapat empat
komponen asas dalam struktur kognitif manusia, iaitu pancaindera, persepsi, ingatan
jangka pendek dan ingatan jangka panjang.

8. PELAKSANAAN KAJIAN

8.1 Tinjauan Masalah

Tinjauan awal terhadap masalah kajian berkaitan dengan mengenal pasti masalah
pembelajaran pelajar dan seterusnya mengenal pasti punca pelajar gagal dalam
penguasaan kemahiran menulis karangan. Pemerhatian dilihat terhadap tingkah laku
pembelajaran pelajar dalam aspek sikap dan kesediaan pelajar ketika proses pengajaran
dan pembelajaran berlangsung dalam kelas. Sikap pelajar yang kurang memberi tumpuan
terhadap pengajaran guru dan budaya leka dalam pembelajaran telah dikenal pasti sebagai
faktor yang mempengaruhi kemahiran pelajar dalam penulisan karangan. Begitu juga
terdapat pelajar yang membuat latihan yang diberikan oleh guru secara sambalewa dan
kurang berkualiti. Masalah yang dihadapi pelajar dalam penulisan karangan dapat
diperhatikan melalui aktiviti pengajaran dan pembelajaran di kelas.

8.2 Analisis Tinjauan Masalah

Berdasarkan latihan yang diberikan dan penyemakan latihan pelajar untuk meninjau
masalah yang menjadi punca pelajar gagal menguasai kemahiran menulis karangan
seperti yang terkandung dalam Jadual 2.

BIL. MASALAH JUMLAH (%)


1 Tidak faham kehendak soalan 35%
2 Lemah penghuraian isi 68%
3 Lemah pembinaan ayat 57%
4 Tidak ada keyakinan diri 45%

8.3 Tindakan yang Dijalankan

Berdasarkan analisis pemerhatian dan laporan semakan latihan pelajar yang dinyatakan di
atas, satu tindakan telah dijalankan. Langkah pertama yang dijalankan ialah memberi
pendedahan teknik menjawab soalan Bahasa Melayu SPM sebenar, khususnya kepada
penulisan karangan dan sistem pemarkahan.
Pelajar yang mengalami masalah pembelajaran dan kurang memberi tumpuan
terhadap pengajaran dan lemah dalam penulisan karangan adalah perlu diberi perhatian
dalam kalangan pelajar sasaran. Oleh itu, tindakan dilakukan dengan memperkenalkan
‘Pendekatan Berfokus’ dalam penulisan karangan. Tindakan yang dilakukan ialah
memberi pendedahan berkaitan kemahiran menulis karangan dan penekanan terhadap
semakan latihan pelajar berpandukan kepada strategi ‘Pendekatan Berfokus’ yang
diperkenalkan.

8.4 Hasil Pemerhatian dan Penilaian

Setiap kali mata pelajaran Bahasa Melayu, aktiviti latihan penulisan karangan dijalankan.
Aktiviti tersebut memerlukan pelajar menulis karangan berpandukan bahan rangsangan
yang diberikan oleh guru. Guru membuat aktiviti sesuai dengan topik karangan yang
diajar. Sebelum menulis karangan, guru memberikan maklumat berkaitan dengan kaedah
menulis karangan berpandukan tip-tip penulisan yang ditunjukkan dalam ‘Pendekatan
Berfokus’. Soalan karangan diberikan kepada pelajar untuk dibincangkan yang ada
terkandung dalam ‘Pendekatan Berfokus’. Soalan berkenaan adalah sebagai rangsangan
kepada pelajar untuk panduan dan pengembangan idea pelajar dalam penulisan karangan.
Guru juga menerangkan teknik menulis karangan dengan berpandukan kaedah yang
ditunjukkan dalam ‘Pendekatan Berfokus’ iaitu;

Pendekatan Berfokus 1: Arahan Teknik Markah A+ / Aku Tahu Matlamat Akhir! (ATMA)
a. Memperkenalkan tema buku teks Tingkatan 4 dan 5 yang perlu diberi perhatian.
b. Membuat analisis mengikut agihan soalan Bahasa Melayu Kertas 1 SPM (2004 – 2011).
c. Membuat analisis berdasarkan Jenis / Format karangan.
d. Memaparkan isu semasa sepanjang tahun 2008 – 2010 (Fokus SPM 2010/2011).
e. Menyediakan bahan terpilih (1-14): karangan SPM.

Pendekatan Berfokus 2: Kembangkan Idea A+ / Kita Ikut Arahan! (KI’A+’)


f. Memperkenalkan tip-tip penting penulisan
- Tip 1 : Merancang masa dengan betul
- Tip 2 : Merancang penulisan
- Tip 3 : Kekemasan tulisan
- Tip 4 : Merangka dan membina karangan
g. Latihan mengembangkan idea
h. Penyediaan bahan berfokus KI’A+.
i. Memberi nota penanda wacana (permulaan karangan, memulakan isu baharu, huraian
isi karangan, memberi contoh dalam karangan).
Tentatif pelaksanaan tindakan bagi pelaksanaan ‘Pendekatan Berfokus’ ditunjukkan
dalam Lampiran 1 dan 2. Sehubungan itu, kesemua maklumat yang dinyatakan di atas
dijalankan secara bersepadu yang diserapkan dalam proses pengajaran dan pembelajaran
pelajar di kelas.

Aktiviti yang dijalankan adalah seperti berikut:

Langkah 1 : Guru membuat analisis terhadap isu (tema buku teks Tingkatan 4 dan 5) yang
perlu diberi perhatian berdasarkan tema pengajaran yang disampaikan. Seterusnya
mengaitkan isu yang dipaparkan dengan topik karangan yang akan dibincangkan. Guru
juga membuat analisis berdasarkan jenis / format karangan yang diberikan kepada pelajar.

Langkah 2 : Guru memberikan soalan karangan sebagai fokus perbincangan. Guru


memberikan panduan menuliskan karangan mengikut format yang telah ditetapkan dan
menunjukkan contoh pelaporan karangan mengikut topik yang diberikan berpandukan
‘Pendekatan Berfokus’. Pengajaran dilakukan secara dua hala bagi menggalakkan
pembelajaran aktif dalam kalangan pelajar.

Langkah 3 : Guru meminta pelajar mengembangkan idea berdasarkan latihan


mengembangkan idea yang terdapat dalam ‘Pendekatan Berfokus’. Guru menjelaskan
kaedah mengembangkan idea kepada pelajar.

Langkah 4 : Guru memberi tugasan penulisan karangan lengkap sebagai pemantapan


pelajar terhadap penulisan karangan mengikut format karangan yang disampaikan.
Pelajar membuat tugasan yang diberikan berpandukan ‘ Pendekatan Berfokus’.
Langkah 5 : Guru memberi penegasan terhadap penulisan karangan yang baik di samping
memberikan beberapa penanda wacana sebagai panduan kepada pelajar.

9. DAPATAN KAJIAN

Setelah beberapa aktiviti dilaksanakan mengikut langkah-langkah yang dijalankan,


dapatan kajian menunjukkan terdapat peningkatan dalam penguasaan kemahiran menulis
karangan dalam kalangan pelajar tingkatan 5 secara keseluruhannya. Pelajar sendiri
melakukan penerokaan kendiri berdasarkan panduan yang diberikan oleh guru
berdasarkan pendekatan berfokus. Kelemahan pelajar dalam menulis karangan dapat
dapat di atasi bagi pelajar yang berpotensi cemerlang. Manakala pelajar yang lemah dapat
diminimumkan kesilapan menulis karangan dan masih berada pada aras lulus. Setiap kali
latihan menulis karangan, saya telah memeriksa latihan tersebut dan memberikan markah
mengikut standard SPM sebenar.

Jadual 2: Pencapaian Pelajar Dalam Ujian Pra, Latihan dan Ujian Pos

PENCAPAIAN

MARKAH Ujian Latihan Latihan Latihan Latihan Ujian


Pra 1 2 3 4 Pos

Cemerlang
(70 – 100) 7 10 15 17 19 22
(7.2%) (10.2%) (15.3%) (17.3%) (19.4%) (22.4%)
Kepujian 61 63 61 58 65 55
(50 – 69) (62.2%) (64.3%) (62.2%) (59.2%) (66.3%) (56.1%)
Lulus 12 23 20 23 14 12
(40 – 49) (12.2%) (23.4%) (20.4%) (23.5%) (14.3% (12.3%)
Gagal 18 2 2 0 0 9
(1 – 39) (18.4%) (2.1%) (2.1%) (0%) (0%) (9.2%)

Sumber: Unit Peperiksaan Sekolah, 2011; Laporan Kemajuan Pelajar, 2011.

Berdasarkan Jadual 2, pencapaian pelajar dalam ujian pra adalah kurang menggalakkan,
iaitu didapati hanya 7 orang pelajar mencapai tahap cemerlang, 61 orang pelajar
mencapai tahap kepujian, 12 orang pelajar lulus dan 18 orang pelajar berada pada tahap
gagal. Walau bagaimanapun, pencapaian pelajar dalam latihan (1-4) yang diberikan
menunjukkan berlaku peningkatan pencapaian. Seterusnya dapatan kajian melalui ujian
pra menunjukkan pencapaian yang menggalakkan. Jika dibuat analisis perbandingan
dengan merujuk kepada analisis ujian pra dengan ujian pos didapati wujud peningkatan
peratusan dalam tahap pencapaian cemerlang dan sebaliknya, wujud penurunan sedikit
dalam tahap pencapaian kepujian. Manakala tahap pencapaian pelajar dalam peratus lulus
masih konsisten sebaliknya berlaku penurunan peratus pelajar yang berada pada tahap
gagal. Hal ini bermakna, pelaksanaan ‘Pendekatan Berfokus’ yang diserapkan dalam
pengajaran dan pembelajaran di kelas memberikan kesan baik terhadap pencapaian
pelajar dalam kemahiran penulisan karangan.

10. REFLEKSI KAJIAN

10.1 Penilaian Pencapaian Pelajar

Langkah-langkah pengajaran yang dirancang telah dilaksanakan dan berjalan dengan


lancar. Semasa aktiviti pembelajaran berjalan, didapati keyakinan pelajar untuk
menjawab soalan karangan semakin meningkat. Pelajar telah membuat penerokaan
kendiri melalui pelbagai sumber. Setiap kali latihan karangan diberikan pelajar dapat
memberikan isi berdasarkan pendekatan berfokus dilaksanakan melalui pendekatan
kembangkan idea (KI ‘A+’) dan pendekatan Arahan Teknik Markah A+ Aku Tahu
Matlamat Akhir (ATMA+). Namun demikian, pencapaian pelajar dalam membuat latihan
menunjukkan peningkatan. Hal ini bermakna kelemahan pelajar dalam menulis karangan
dapat diminimumkan. Soalan-soalan karangan yang diberikan diambil daripada soalan
peringkat daerah Semporna. Walau bagaimanapun pencapaian pelajar bagi setiap latihan
agak kurang cemerlang, namun markah yang diperoleh mampu meningkatkan pencapaian
pelajar yang sederhana dan lemah kepada tahap yang lebih baik. Keadaan ini terbukti
melalui ujian pos yang dilaksanakan. Semasa ujian pos diberikan hanya 12 orang pelajar
mencapai tahap lulus dan 9 orang pelajar mencapai tahap gagal. Jika dibuat perbandingan
antara ujian pra dengan ujian pos didapati ada peningkatan dari segi pencapaian pada
tahap cemerlang telah mengalami peningkatan ketara, iaitu 7 orang pelajar meningkat
kepada 22 orang pelajar.

10.2 Rumusan Pemerhatian

Masalah pembelajaran pelajar yang ditunjukkan melalui tingkah laku pembelajaran


pelajar pasif telah dapat diatasi. Sikap pelajar yang gemar berbual, kurang tumpuan, dan
tidak membuat latihan amat berkurangan. Secara tidak langsung menunjukkan bahawa
teknik penulisan TIK (Tema, Isu, Kata Kunci) dalam pendahuluan, penggunaan AT (Ayat
Topik), AH (Ayat Huraian), AC (Ayat Contoh), dan AP (Ayat Penyimpul) dalam isi, serta
CHK (Cadangan, Harapan, Kesan) dalam penutup yang diserapkan dalam Pendekatan
Berfokus mampu memberi panduan kepada pelajar untuk meningkatkan pembelajaran
pelajar menjadi aktif dan berfokus bagi mencapai kecemerlangan dalam penulisan
karangan. Oleh itu, sebagai guru mata pelajaran Bahasa Melayu, pencapaian murid dalam
penulisan karangan umum diharap dapat membantu meningkatkan peratus keseluruhan
markah Kertas 1 Bahasa Melayu khususnya di peringkat SPM kelak.

10.3 Refleksi Pengajaran Guru

Setelah beberapa latihan diberikan kepada pelajar dan akhir kajian pelajar telah
menunjukkan penguasaan baik dalam kemahiran menulis karangan. Keadaan ini memberi
respon positif terhadap pembelajaran pelajar sehingga mempunyai keyakinan diri dalam
menjawab soalan karangan sehingga mampu berdikari membuat latihan sendiri dan
menulis karangan dengan baik. Guru juga telah mengemukakan soalan kepada pelajar di
kelas sama ada mereka masih menghadapi masalah menulis karangan. Pelajar memberi
respon baik bahawa bimbingan guru dalam pendekatan menulis karangan dan tip-tip
penting penulisan karangan banyak membantu pelajar untuk meningkatkan kemahiran
dalam menulis karangan. Respon positif daripada pelajar terhadap pelaksanaan
‘Pendekatan Berfokus’ amat bermakna kepada penyelidik dalam usaha meningkatkan
kecemerlangan pelajar dalam Bahasa Melayu di peringkat SPM.

11. CADANGAN UNTUK MENERUSKAN KAJIAN TINDAKAN

Aktiviti-aktiviti yang dijalankan banyak membantu menjayakan dan meningkatkan


pencapaian pelajar berkenaan dalam penulisan karangan. Walau bagaimanapun terdapat
aspek lain yang perlu diberi perhatian khususnya dalam pengajaran tatabahasa. Oleh itu,
dicadangkan untuk meningkatkan penguasaan pelajar berkenaan dalam penggunaan
imbuhan dan penggunaan kata dalam ayat. Selain itu, pelajar juga perlu menguasai
kemahiran membina ayat secara gramatis bagi menghasilkan penulisan karangan yang
baik.

12. PENUTUP

Pembelajaran pelajar perlu diberi perhatian secara serius kerana boleh memberi kesan
terhadap kemahiran penulisan karangan. Seandainya pelajar mengalami masalah
pembelajaran boleh menjejaskan pencapaian pelajar dalam penulisan karangan. Guru
seharusnya peka terhadap masalah pembelajaran pelajar dan berusaha untuk
mengatasinya dengan menggunakan strategi pengajaran dan pembelajaran yang berkesan.
Oleh itu Pendekatan Berfokus yang diserapkan dalam pengajaran dan pembelajaran guru
dalam penulisan karangan diharap mampu meningkatkan pencapaian pelajar dalam
penulisan karangan dan seterusnya melonjakkan kecemerlangan pencapaian pelajar
dalam mata pelajaran Bahasa Melayu peringkat SPM.

Anda mungkin juga menyukai