Anda di halaman 1dari 19

Topik  Pengenalan

1 Ilmu
HASIL PEMBELAJARAN
Pada akhir topik ini, anda seharusnya dapat:
1. Menjelaskan maksud tamadun;
2. Menghuraikan konsep, ciri, prinsip, matlamat dan sumber tamadun;
3. Menganalisis perbezaan dan hubungan tamadun dengan
kebudayaan; dan
4. Menilai persamaan dan perbezaan antara tamadun.

 PENGENALAN
Seorang sarjana bernama Courtland Canby (1980) telah menyenaraikan rentetan
tamadun manusia yang bermula sejak 10,000 SM. Ia bermula di Timur Tengah
pada zaman Hassuna Ware hingga ke tamadun yang lebih maju seperti tamadun
Mesir (SabaÊ dan SamarraÊ), Babylon, Yunan, Romawi, Byzantium dan Parsi,
China, India dan Semenanjung Arab. Pembinaan tamadun dan peradaban oleh
bangsa dan negara berkenaan berlaku secara evolusi yang didukung oleh para
sarjananya yang memiliki keilmuan yang tinggi sehingga dapat
menyumbangkan hasil kesarjanaan mereka kepada keperluan bangsa dan
negaranya. Sejarah kewujudan manusia di dunia ini juga turut membawa
kepada penemuan yang mengagumkan daripada pelbagai hasil man-made yang
datangnya daripada sesuatu bangsa. Setiap negara dan bangsa memiliki
tamadunnya tersendiri yang berbeza-beza mengikut sumbangan para sarjana
mereka. Pembentukan tamadun berasaskan kepada ilmu dan kesarjanaan.
Sejarah juga telah membuktikan kepada kita bahawa sewaktu memuncaknya
sesuatu tamadun, ia sentiasa diiringi dengan kehadiran begitu ramai para
cendekiawan dalam pelbagai bidang kesarjanaan yang dapat memberikan
sumbangan kepada pembangunan tamadun tersebut.

Copyright © Open University Malaysia (OUM)


2  TOPIK 1 PENGENALAN ILMU

Tamadun Barat moden yang sedang kita saksikan sekarang merupakan


peradaban baru yang begitu dikagumi oleh seluruh penghuni dunia. Ia juga
tidak terlepas daripada pembangunan keilmuan dan budaya yang ingin
diterapkan oleh tamadun tersebut. Namun malangnya tamadun moden kini,
sama ada yang muncul di dunia Barat mahu pun di sebelah Timur, rata-rata
tidak bertunjangkan kepada sistem nilai moral dan agama. Akhirnya kita
menyaksikan dua aspek yang terpecah dan terpisah, di mana pembangunan
material nampaknya begitu hebat pada satu sisi, manakala pada sisi yang lain
pembangunan rohaninya kelihatan terabai. Ketidakseimbangan ini
menyebabkan sesuatu tamadun yang dimiliki oleh sesebuah bangsa dan negara
lambat launnya akan hancur. Peperangan, perbalahan etnik dan agama,
ketamakan kuasa politik dan perebutan sumber ekonomi menjadi punca
runtuhnya sesebuah tamadun yang telah dibina sekian lama.

1.1 KONSEP TAMADUN


Perkataan tamadun pertama kali diperkenalkan oleh Jurji Zidan, seorang penulis
Kristian yang banyak menulis tentang sejarah Islam dan Sastera Arab.
Sesetengah sarjana pula berpendapat Ibn Khaldunlah yang mula-mula
memperkenalkan istilah „tamadun‰ yang diambil daripada Bahasa Arab. Dari
sudut etimologi dalam bahasa Inggeris, tamadun selari dengan perkataan
civilisation. Perkataan ini diambil daripada bahasa Latin civitas yang bererti
bandar (city ) atau proses urbanisasi, dengan alasan bahawa setiap perubahan
bermula di bandar dan ciri asas peradaban manusia lebih mudah ditemui di
bandar. Civilisation juga bermaksud tamadun manusiawi yang merujuk kepada
kemajuan jati diri manusia di dalam membangunkan kehidupan dalam pelbagai
peringkat terutamanya di peringkat negara. Penggunaan perkataan ini mula
digunakan dan terjelma dalam buku Inggeris pada kurun ke-19 Masihi.

Mengikut Kamus Dewan (1991), perkataan tamadun bererti kebudayaan,


kemajuan dan peradaban. Satu lagi perkataan bahasa Melayu yang hampir sama
pengertiannya dengan perkataan tamadun ialah perkataan „peradaban‰ yang
membawa erti kebudayaan, tamadun dan kemajuan (jasmani dan rohani).

Tamadun secara umumnya diertikan sebagai pembangunan, perubahan,


kemajuan dan peradaban yang dicapai oleh sesuatu bangsa atau kaum di dunia.
Istilah tamadun juga ditakrifkan sebagai keadaan masyarakat manusia yang
dicirikan atau didasarkan pada taraf kemajuan kebendaan serta perkembangan
pemikiran yang tinggi peradabannya. Tokoh Barat (Eropah) seperti Max Weber,
Dancy Ribeiro, Arnold Toynbee, Clicve Bell dan David Rodnick (sarjana Sains
Kemasyarakatan) melihat konsep tamadun dari perspektif material (kebendaan)
semata-mata dengan mengaitkan tamadun dengan kebudayaan, di mana

Copyright © Open University Malaysia (OUM)


TOPIK 1 PENGENALAN ILMU  3

kebudayaan mencakupi aspek bahasa, cara berfikir, agama, adat resam,


kepercayaan dan kesenian. Kesemuanya merupakan aktiviti akal fikiran (lihat
Rajah 1.1).

Pendapat tokoh-tokoh Timur (Islam) seperti Ibn Khaldun, Muhammad al-Bahi,


Syed Muhammad Naquib al-Attas dan Beg M. A. J pula mengatakan bahawa
tamadun bukan berdasarkan kepada aspek material semata-mata atau akal
fikiran sahaja, sebaliknya tamadun perlu berlandaskan kepada aspek kerohanian
(agama) iaitu wahyu dan sunnah. Sesuatu bentuk tamadun dan kebudayaan
yang bertentangan dengan al-Quran dan hadis adalah bukan tamadun dan
kebudayaan Islam. Menurut mereka, tamadun merupakan kesepaduan
pencapaian manusia dalam aspek kerohanian dan kebendaan yang berpusat di
kota dalam bentuk skrip, seni bina, ilmu pengetahuan, sains, teknologi,
kepercayaan, perundangan dan politik. Tamadun menurut mereka adalah
beberapa situasi dan kondisi yang melebihi daripada apa yang ada dalam
konteks kemajuan. Dengan itu tamadun membawa makna segala kemajuan dan
perkembangan yang mencakupi kegiatan manusia yang meliputi semua aspek
kebudayaan, keilmuan dan agama manusia.

Rajah 1.1: Tamadun Mesir purba dari perspektif material


Sumber: http://s4g09hhloh-ppc.blogs.smjk.edu.my/category/tamadun-mesir-purba/

Copyright © Open University Malaysia (OUM)


4  TOPIK 1 PENGENALAN ILMU

SEMAK KENDIRI 1.1


1. Jelaskan perbezaan konsep tamadun dari sudut pandangan Jurji
Zaidan dan Ibnu Khaldun.

2. Bagaimanakah anda memahami maksud tamadun dari perspektif


Barat dan Timur?

1.2 CIRI-CIRI TAMADUN


Dari dekad ke abad, manusia menjadi lebih inovatif dan kreatif untuk
menyesuaikan kehidupan mereka dengan alam persekitaran. Perubahan ini
bergantung pada pencapaian keilmuan dan kekuatan rohaniah mereka. Proses
pembentukan tamadun merupakan manifestasi kepada pencapaian manusia
dalam kedua-dua aspek ini. Perubahan dalam pelbagai aspek kehidupan dapat
dilihat dalam sebuah negara yang bertamadun. Rajah 1.2 menunjukkan ciri-ciri
tamadun yang dapat dilihat dalam sesebuah negara. Setiap ciri tersebut akan
diikuti dengan penjelasan dalam subtopik yang seterusnya.

Rajah 1.2: Ciri-ciri sesebuah tamadun

Copyright © Open University Malaysia (OUM)


TOPIK 1 PENGENALAN ILMU  5

1.2.1 Pertumbuhan, Pembinaan dan Perkembangan


Kota (Urbanisasi)
Ciri utama kelahiran tamadun ialah kehidupan manusia ketika itu yang hidup
lebih teratur dan bersistematik. Mereka ingin memastikan bekalan makanan
mereka mencukupi dan berterusan. Pada masa ini, manusia menetap di suatu
tempat. Mereka memilih persisiran sungai sebagai penempatan kerana lembah
sungai yang subur amat sesuai untuk aktiviti pertanian bagi pengeluaran
makanan. Selain itu, sungai juga amat kaya dengan sumber bekalan makanan.
Manusia juga boleh menggunakan sungai sebagai salah satu jalan pengangkutan.
Dengan adanya bekalan air yang mencukupi, ia memainkan peranan yang
penting dalam menjalankan pelbagai kegiatan ekonomi seperti pertanian,
penternakan, perikanan dan perdagangan.

Daripada perusahaan pertanian mereka berkembang dari segi penanaman,


penyimpanan bahan makanan dan penternakan binatang. Masyarakat ketika ini,
lebih maju dan berdaya saing dalam mencipta peralatan baru seperti cangkul
untuk memudahkan aktiviti pertanian. Mereka juga turut membina empangan
dengan menggunakan teknologi pengairan bagi meningkatkan hasil pengeluaran
makanan untuk menampung keperluan asas kehidupan. Contohnya,
penempatan awal bermula di Mesir sejak tahun 7000 Sebelum Masihi lagi.
Kesinambungan daripada berlakunya Revolusi Pertanian, akhirnya membawa
kepada kemunculan banyak bandar baru. Antara bandar yang muncul ketika ini
ialah Memphis, Dhilkah dan Thebes.

1.2.2 Pembahagian Kerja secara Kolektif


Kesan daripada peningkatan produktiviti manusia, setiap anggota masyarakat
mempunyai peranan dan tanggungjawab masing-masing. Oleh itu,
pengkhususan pekerjaan berdasarkan kepada pembahagian pekerjaan dan
kepakaran menjadi amalan mereka. Kewujudan pelbagai jenis pekerjaan seperti
petani, penternak dan nelayan menjadikan kehidupan masyarakat ketika ini
seimbang dan saling bergantungan antara satu sama lain. Barangan atau produk
dihasilkan oleh ahli komuniti ini secara tidak langsung membawa kepada proses
pertukaran antara barang dengan barang sesama mereka bagi memenuhi
tuntutan keperluan seharian.

Proses pertukaran barang dengan barang ini dikenali sebagai sistem barter.
Ketika itu, penggunaan mata wang masih belum berkembang. Sistem barter
inilah yang menjadi asas kepada aktiviti perdagangan yang berlaku pada zaman
tersebut. Sebagai contoh, tamadun China mengkhusus dalam pengeluaran kain
sutera. Hasil daripada kepelbagaian pengkhususan pekerjaan ini akan

Copyright © Open University Malaysia (OUM)


6  TOPIK 1 PENGENALAN ILMU

mempercepatkan lagi proses urbanisasi dan perkembangan tamadun. Kesannya,


hubungan dengan tamadun luar akan berlaku dan menyebabkan penyebaran
ilmu pengetahuan, teknologi dan budaya antara masyarakat.

1.2.3 Stratifikasi dan Organisasi Sosial


Penambahan penduduk menyebabkan wujud kehidupan berorganisasi yang
mencakupi pelbagai aspek seperti aspek sosial, ekonomi dan politik. Bermula
daripada sebuah keluarga kecil kemudiannya ia menjadi sebuah masyarakat
yang kompleks. Kebiasaannya sistem sosial berbentuk piramid adalah secara
stratifikasi (bersusun lapis). Pemimpin atau raja menggunakan unsur religi
(agama) dan magis atau mendakwa mereka sebagai wakil Tuhan demi mendapat
pengiktirafan sebagai pemerintah. Wujud golongan pemerintah dan golongan
yang diperintah telah membantu pentadbiran berjalan lancar dan teratur.
Biasanya raja menduduki kedudukan yang teratas diikuti golongan bangsawan
yang memainkan peranan sebagai pentadbir. Golongan teknokratik menjadi
pemimpin diikuti oleh pembesar istana dan seterusnya ahli agama, golongan
pendeta dan paling rendah adalah golongan rakyat.

Kewujudan organisasi sosial membawa kepada pengenalan sistem perundangan


dan penghakiman untuk mendisiplinkan masyarakat dan melindungi nyawa
serta harta benda. Contoh kehidupan berstruktur seperti ini jelas dalam
kehidupan masyarakat tamadun Mesopotamia semasa pemerintahan Raja
Hammurabi.

1.2.4 Tulisan dan Komunikasi


Kewujudan bahasa dan sistem tulisan adalah sebahagian daripada
perkembangan ilmu pengetahuan dalam proses pembentukan tamadun.
Hasilnya dapat dilihat sehingga ke hari ini. Pada awalnya tulisan dipahat dalam
bentuk gambar, simbol atau berbentuk pepaku. Tulisan ini digunakan untuk
menceritakan kisah dan peristiwa sesuatu perkara. Lambang bertulis merupakan
alat bagi melahirkan idea secara kronologi seperti perundangan, pengetahuan
serta memudahkan pengendalian pentadbiran, percukaian dan perakaunan pada
zaman itu.

Bahasa amat penting untuk tujuan komunikasi dan penyebaran ilmu


pengetahuan dalam sesebuah masyarakat dan juga menjadi medium antara
sesebuah masyarakat dengan masyarakat yang lain. Tulisan pula amat penting
untuk tujuan urusan pentadbiran seperti penyimpanan rekod, penulisan
undang-undang dan hal keagamaan. Oleh sebab itu, bahasa dan tulisan

Copyright © Open University Malaysia (OUM)


TOPIK 1 PENGENALAN ILMU  7

merupakan instrumen paling penting untuk menyampai, memperkembang serta


mencatatkan idea pemikiran manusia.

Sistem bahasa dan tulisan adalah alat bagi mendapatkan ilmu pengetahuan.
Antara bahasa yang tertua ialah bahasa Yunani dan Sanskrit. Contoh tulisan
awal ialah tulisan Heiroglyphic iaitu tulisan orang Mesir Purba yang dipahat
dengan cantik, halus dan penuh kesenian pada makam dan batu. Tulisan
Cuneiform pula tulisan bergambar yang dipermudahkan dengan bentuk simbol
yang ditulis pada kepingan tanah liat oleh masyarakat Mesopotamia untuk
merekodkan tentang kegiatan perdagangan. Sistem tulisan berbentuk pepaku
pula dihasilkan oleh orang Sumeria. Tulisan Piktograf (huruf berbentuk gambar)
pula telah dicipta oleh masyarakat Indus yang masih belum dapat ditafsirkan
lagi. Tulisan Histogram merupakan tulisan yang berbentuk simbol terkenal
dalam masyarakat Cina.

1.2.5 Sistem Agama dan Kepercayaan


Menganuti sesuatu agama adalah fitrah manusia. Manusia memerlukan agama
supaya ia mengetahui matlamat hidup agar tidak tersasar daripada destinasi
yang ingin ditujuinya. Kehidupan yang berakhlak dan bermoral tinggi
merupakan perkara yang dititikberatkan dalam kehidupan bertamadun. Pada
awal ketamadunan, masyarakat mengamalkan kepercayaan secara berevolusi
bermula daripada naturalisme atau penyembahan alam semula jadi seperti
pokok, batu dan sebagainya, berunsur kepada kepercayaan animisme iaitu
percaya bahawa terdapat kuasa ghaib yang menguasai alam sekeliling seperti
roh, kemudiannya dinamisme iaitu penyembahan kepada unsur ghaib
(supernatural ) seperti matahari, api, angin dan petir yang dipercayai
mempunyai semangat dan harus dihormati demi menjaga keamanan dan
kemakmuran hidup. Dari semasa ke semasa, secara evolusi kepercayaan
bertukar menjadi agama yang menjadi pegangan hidup mereka (lihat Rajah 1.3).

Rajah 1.3: Evolusi agama dan kepercayaan tamadun awal

Selain itu, terdapat amalan politeisme iaitu penyembahan banyak Tuhan seperti
menyembah dewa-dewi yang dewa-dewi juga dipercayai mempengaruhi
kehidupan seharian manusia. Mereka mempercayai jika tidak disembah, dewa-dewi
ini akan marah dan boleh mendatangkan malapetaka seperti banjir serta kemarau.
Amalan Politeisme ini diamalkan ketika zaman tamadun Indus yang mana mereka

Copyright © Open University Malaysia (OUM)


8  TOPIK 1 PENGENALAN ILMU

menyembah dewi bermuka tiga. Masyarakat tamadun Mesopotamia juga


mempunyai kepercayaan bahawa terdapat penyembahan dewa dewi. Ia banyak
diadakan ketika upacara keagamaan di Ziggurat oleh masyarakat Zeus.

1.2.6 Penggantian Kehidupan Nomad kepada


Kehidupan Moden melalui Kemajuan Sains dan
Teknologi
Penaakulan pemikiran dan keilmuan yang tinggi melambangkan kemajuan sains
dan teknologi dalam masyarakat tamadun awal. Kreativiti dan peningkatan
inovatif dalam penciptaan teknologi dan pembinaan dibuat bertujuan bagi
menyempurnakan lagi keselesaan kehidupan manusia. Masyarakat awal adalah
golongan nomad yang sentiasa berpindah randah dengan membuka kawasan
pertanian dan penternakan baru. Pada zaman itu mereka sudah pandai mencipta
peralatan pertanian seperti parang, bajak dan cangkul yang kemudiannya maju
setapak dengan mencipta kincir air, roda, kapal, empangan, terusan dan
peralatan peperangan. Kesemua ini meninggalkan kesan dari segi pertanian,
perdagangan dan pengangkutan. Tidak dapat dinafikan sejarah sesebuah
tamadun amat bergantung kepada ketinggian sains dan teknologi. Kehidupan
nomadik beralih kepada kehidupan yang lebih moden dengan penciptaan yang
lebih hebat seperti robotik, komputer, telefon dan sebagainya.

1.2.7 Kesenian dan Estetika


Setiap unsur kesenian memiliki nilai estetika (lihat Rajah 1.4). Nilai estetika
merupakan perasaan indah yang dapat dirasakan jauh ke dalam jiwa manusia.
Hal ini dapat dilihat dari segi seni lagu, seni tari, seni bina, seni ukir, lukisan,
kraf dan sastera. Contohnya, dalam tamadun Mesopotamia terdapat epik
Gilgamesh yang menceritakan keperwiraan bangsanya iaitu Illiad dan Odyssey.
Homer juga banyak menceritakan tentang kejayaan dan pengembaraan orang
Yunani. Keindahan seni lukisan Leonardo da Vinci, keindahan seni muzik oleh
Mozart dan kelunakan taranum al-Quran adalah contoh kesenian estetika yang
melambangkan ketinggian sesebuah tamadun yang dicipta.

Copyright © Open University Malaysia (OUM)


TOPIK 1 PENGENALAN ILMU  9

Rajah 1.4: Keindahan seni bina masjid kini akan menjadi nilai estetika untuk
rujukan di tamadun akan datang
Sumber: http://www.panoramio.com/photo/31442368

AKTIVITI 1.1
Dengan merujuk kepada satu tamadun tertentu dan secara
berkumpulan, bincangkan ciri-ciri tamadun yang boleh didapati dan
bentangkannya di dalam kelas.

1.3 PRINSIP TAMADUN

Subtopik ini akan membincangkan prinsip tamadun yang mencakupi pelbagai


aspek seperti yang diringkaskan dalam Rajah 1.5. Setiap prinsip tersebut akan
dijelaskan lagi dalam perenggan berikutnya.

Copyright © Open University Malaysia (OUM)


10  TOPIK 1 PENGENALAN ILMU

Rajah 1.5: Prinsip tamadun


(a) Sosioekonomi
Sosioekonomi merupakan prinsip paling asas dalam mewujudkan sebuah
tamadun. Ini supaya manusia boleh menjalani kehidupan mereka dengan
lebih sistematik. Sosioekonomi menggambarkan bagaimana sesebuah
masyarakat melaksanakan aktiviti perekonomian berdasarkan sesuatu
etnik dan kaum. Pada asalnya sesuatu kaum melambangkan kegiatan
penguasaan perekonomiannya seperti kaum Cina dengan perniagaannya,
masyarakat India dengan perladangan estetnya dan kaum Melayu sinonim
dengan pertanian. Pendidikan dan keilmuan telah mengubah persepsi ini
yang pada zaman pasca modernisme tiada lagi berlaku penguasaan
ekonomi berasaskan kaum, sebaliknya semua kaum bebas menjalankan
kegiatan perekonomian mengikut kebolehan dan minat mereka.
Kebijaksanaan sesuatu kaum dalam menguasai dan memonopolikan
perekonomian melambangkan ketinggian keilmuan dan kemahiran dalam
mencipta ketamadunan bangsa.

(b) Interaksi Manusia dengan Alam


Manusia perlu berinteraksi antara satu sama lain untuk terus
hidup. Interaksi dengan alam pula hendaklah dibudayakan secara
kolektif. Pembudayaan idea, tenaga, usaha dan pengalaman akan
terhasil daripada interaksi antara manusia dengan alam. Bermula dengan
memahami dan menerokai alam, manusia dapat mengeluarkan isi alam
untuk dimanfaatkan bagi mengisi keperluan kehidupan manusia.
Penciptaan peralatan yang digunakan untuk mengeluarkan hasil mahsul
bumi menunjukkan kebijaksanaan manusia dalam menggunakan teknologi
yang menjadi salah satu prinsip tamadun.

Copyright © Open University Malaysia (OUM)


TOPIK 1 PENGENALAN ILMU  11

(c) Daya Kreativiti Manusia


Manusia diberi akal dan pancaindera untuk berfikir serta mencari jalan
penyelesaian. Daya cipta manusia yang tinggi melambangkan tamadun
sesebuah bangsa. Bangsa Mesir, contohnya, telah membina piramid yang
begitu unik sekali yang tidak dapat ditandingi dengan teknologi moden
masa kini. Tiada satu bangsa pun di dunia ini yang dapat menandingi
ketinggian tamadun mereka yang hebat pada zaman itu.

(d) Persaingan Manusia


Setiap manusia mempunyai kehendak masing-masing. Manusia perlu
berhadapan dengan dua batasan bagi memenuhi kehendaknya, iaitu
keupayaan diri sendiri dan batasan sumber yang diperlukan. Ini
menyebabkan manusia terpaksa bersaing antara satu sama lain. Dalam
persaingan manusia sudah tentunya mereka saling berlumba-lumba untuk
menghasilkan sesuatu idea dan penciptaan akhirnya memberi manfaat
kepada individu lain. Penciptaan dan inovasi baru inilah salah satu prinsip
tamadun.

(e) Peminjaman Kepakaran


Manusia mempunyai keupayaan diri masing-masing dan kemungkinan
berbeza antara satu sama lain. Oleh itu, pertukaran kerjasama dan bantuan
diperlukan. Perkongsian idea atau kepakaran akan membantu
menjimatkan tenaga, jarak dan masa.

SEMAK KENDIRI 1.2

Apakah perbezaan antara ciri-ciri dan prinsip sesuatu tamadun?


Senaraikan.

1.4 MATLAMAT TAMADUN


Tamadun mempunyai pelbagai matlamat dan setiap matlamat ini membezakan
suatu tamadun dengan tamadun yang lain. Jadual 1.1 menjelaskan beberapa
matlamat tamadun dengan lebih terperinci.

Copyright © Open University Malaysia (OUM)


12  TOPIK 1 PENGENALAN ILMU

Jadual 1.1: Matlamat Sesuatu Tamadun

Matlamat Tamadun Penjelasan


Ilmu pengetahuan Ilmu merupakan kekuatan ekstrinsik dan intrinsik sesuatu
bangsa. Bangsa Yunan yang hidup 2,000 tahun yang lalu sangat
cintakan ilmu pengetahuan sehingga daripada kalangan
mereka inilah lahirnya ahli falsafah yang terkemuka seperti
Plato, Socrates, Hippocratic yang telah mempengaruhi bangsa
lain di Eropah dan dunia Arab.
Pencapaian material Tamadun yang dibangunkan daripada pencapaian kebendaan
melalui pelbagai sektor ekonomi seperti pertanian,
perindustrian, perkapalan, penternakan dan sebagainya boleh
memberikan kehidupan yang sempurna kepada manusia.
Pengamalan agama, Tamadun yang tinggi juga terbina daripada individu yang
moral dan akhlak konsisten mengamalkan agama dan nilai moral serta akhlak.
Setiap tamadun menghendaki setiap insan atau bangsa bukan
sahaja perlu memiliki agama bahkan diwajibkan untuk
melaksanakan segala suruhan dan menjauhi segala tegahan
sesuai dengan taraf manusia sebagai khalifah (pemimpin) di
dunia ini.
Kesejahteraan hidup Segala penciptaan terbaru hasil daripada kreativiti dan inovasi
sesuatu bangsa telah memberikan kesejahteraan kepada
kehidupan manusia sejagat. Penciptaan komputer dan alat
terbaharu, contohnya, memudahkan manusia melakukan tugas
dengan cepat dan dapat berkomunikasi tanpa sempadan ruang
dan masa.

AKTIVITI 1.2
Merujuk kepada prinsip dan matlamat tamadun yang telah
dibincangkan, berikan contoh sesuai yang diambil dari tamadun
tertentu. Bincang dan bentangkan di kelas bersama tutor dan rakan.

1.5 SUMBER TAMADUN


Semua bangsa di dunia ini mempunyai tamadunnya yang tersendiri. Jadual 1.2
menunjukkan sumber asas sesuatu tamadun.

Copyright © Open University Malaysia (OUM)


TOPIK 1 PENGENALAN ILMU  13

Jadual 1.2: Sumber Tamadun

Sumber Tamadun Penjelasan


Ilmu Manusia dianugerahkan oleh Tuhan dengan ilmu pengetahuan yang
mengangkat darjat ketinggian manusia berbanding dengan makluk-
Nya yang lain. Dengan ilmulah manusia membina tamadun dan
peradaban melalui pelbagai penciptaan yang sangat maju.
Pemikiran Tamadun awal manusia seperti tamadun Yunan, Babylonia, Sumero-
Assyro-Mesopotamia dan Mesir berkembang seiring dengan
perkembangan pemikiran, peradaban, kebudayaan dan
pembangunan bangsa mereka. Melalui pemikiran yang tinggi,
mereka dapat membina monumen yang dikagumi sehingga hari ini.
Material Kebendaan ialah asas bagi pembinaan sesebuah negara. Tanpa
sumber dan hasil bumi yang ada manusia tidak dapat
membangunkan negara. Semakin kaya hasil bumi sesebuah
negara, maka semakin tinggi kualiti tamadun yang dicipta.
Agama Agama dapat membentuk peribadi dan komuniti yang memiliki
personaliti, tatasusila dan budi pekerti yang terpuji untuk membentuk
sebuah masyarakat, negara atau bangsa.

SEMAK KENDIRI 1.3


Berikan contoh terperinci tamadun yang dibangunkan dengan sumber
yang telah dibincangkan.

1.6 PERBEZAAN DAN HUBUNGAN TAMADUN


DENGAN KEBUDAYAAN
Kebiasaannya tamadun merujuk kepada pembangunan atau perubahan
daripada sesuatu yang bersifat tradisional kepada pembangunan yang lebih
sempurna. Kebolehan manusia dalam mencipta dan melahirkan sesuatu yang
baru juga disebutkan sebagai tamadun. Dengan kata lain, tamadun sering
digunakan bagi menunjukkan elite sesuatu masyarakat atau negara.

Menurut Kamus Dewan (1970), perkataan tamadun bermaksud kebudayaan,


peradaban dan kemajuan. Dari segi penggunaan, peradaban sinonim dengan
tamadun. Beradab bererti bersopan dan hidup diatur oleh hukum dan
mempunyai tingkat kebudayaan yang lebih tinggi. Dari segi penguasaan makna,
maksud tamadun adalah lebih meluas berbanding peradaban dalam konteks
penggunaannya.
Copyright © Open University Malaysia (OUM)
14  TOPIK 1 PENGENALAN ILMU

Dalam kehidupan bertamadun, masyarakat manusia dicirikan sebagai


masyarakat yang memiliki budaya yang tinggi dan terpuji. Budaya merujuk
kepada tatacara mereka bertindak ke atas persekitarannya (termasuk
persekitaran sosial) dalam menguruskan kehidupan secara kolektif. Berbudaya
tinggi dan terpuji pula merujuk kepada kehalusan budi dan kesempurnaan
moral yang dipaparkan dalam kehidupan mereka.

Walau bagaimanapun, tamadun berbeza daripada budaya apabila dilihat


daripada dua keadaan berikut:

(a) Pengaruh tamadun berkekalan lebih lama berbanding dengan pengaruh


budaya. Sebagai contoh, kesetiaan kepada maharaja merupakan satu
tamadun dalam masyarakat Jepun meskipun sistem politik mereka kini
jauh berbeza dari dahulu. Cara mereka berpakaian dan pemilihan jenis
makanan pula merupakan pengaruh budaya kerana telah mengalami
banyak perubahan dalam tempoh seratus tahun ini.

(b) Tamadun lebih bersifat universal merentasi sempadan geografi dan


budaya. Tamadun melampaui batas kenegaraan dan wilayah sedangkan
budaya selalunya dikaitkan dengan negara atau wilayah tertentu.
Tamadun Islam misalnya mengandungi beberapa budaya mengikut negara
atau wilayah yang berbeza. Sebagai contoh, budaya masyarakat Islam di
rantau Melayu berpakaian berbeza daripada masyarakat Islam di
Semenanjung Arab sungguhpun mereka berada di bawah naungan
ketamadunan Islam. Budaya sesesuatu tamadun biasanya terikat dengan
kedudukan geografi.

1.7 PERSAMAAN DAN PERBEZAAN ANTARA


TAMADUN
Terdapat banyak perbezaan dan persamaan antara satu tamadun dengan satu
tamadun yang lain. Ciri-ciri perbezaan dan persamaan antara tamadun boleh
dilihat terutamanya dari sudut teologi, epistemologi dan etika. Sebagai contoh,
persoalan teologi berhubung dengan konsep monoteisme Islam begitu berbeza
daripada metafizik Buddhisme yang tidak menerima konsep Tuhan Pencipta
(Creator God). Hinduisme pula sebaliknya, menerima konsep Tuhan walaupun
manifestasi monoteismenya berbeza daripada Islam, Kristian dan Yahudi. Islam,
Kristian dan Yahudi dilihat secara umum merupakan agama-agama monoteistik
tetapi kepercayaan monoteisme mereka berbeza antara satu sama lain.

Copyright © Open University Malaysia (OUM)


TOPIK 1 PENGENALAN ILMU  15

Dalam konteks melihat perbezaan dan persamaan antara tamadun, tujuh


persoalan etika berikut dikemukakan:
(a) Alam sekitar
Hidup secara harmoni dengan alam sekitar merupakan satu prinsip yang
diterima oleh kesemua agama. Berdasarkan pengajaran sesetengah agama,
alam sekitar dilihat sebagai anugerah Tuhan. Manusia pula
dipertanggungjawabkan sebagai khalifah yang berperanan sebagai penjaga
alam sekitar. Bagi Islam, Buddhisme dan beberapa aliran Kristian
memelihara alam sekitar bermakna menggunakan anugerah Tuhan secara
bertanggungjawab. Namun, dalam beberapa tamadun tertentu, memelihara
alam sekitar diberi pentafsiran pasif sehingga alam sekitar itu disembah
dan dilihat sebagai Divine Power. Sungguhpun terdapat perbezaan
pandangan ini, namun tamadun tradisional secara umumnya tidak
memusnahkan alam sekitar.

(b) Keluarga
Tamadun tradisional begitu menghayati prinsip keluarga sebagai asas
pembentukan masyarakat. Dalam sesebuah keluarga, telah menjadi
warisan turun-temurun amalan menentukan kedudukan antara kaum
lelaki dan kaum perempuan melalui hierarki kuasa. Menurut
Konfusianisme, kesetiaan dan pertalian yang erat melalui konsep
kekeluargaan sebegini merupakan penafian hak seseorang dan
bertentangan dengan keadilan. Konsep kekeluargaan dalam pengajaran
Islam pula begitu mementingkan kasih sayang dan hormat-menghormati.

(c) Komuniti
Komuniti sangat penting dan berpengaruh dalam menentukan personaliti dan
identiti seseorang manusia. Komuniti juga dapat memastikan bahawa nilai
dan norma murni dalam masyarakat sentiasa dihormati. Di samping itu,
komuniti dapat memberi sokongan moral, material dan psikologikal kepada
anggotanya. Dalam sejarah ketamadunan manusia, dapat diperhatikan
bagaimana identiti seseorang dan kemantapan komuniti mencapai
keseimbangan dalam beberapa tradisi tertentu seperti Islam dan Buddhisme.

(d) Kerajaan
Falsafah tamadun tradisional amat menekankan persoalan moral atau
akhlak sebagai dasar sesebuah kerajaan. Peranan dan tanggungjawab
kerajaan dijelaskan melalui peranan dan tanggungjawab seseorang raja.
Sifat raja yang saksama dan adil merupakan tema utama tamadun silam.
Dalam tamadun Cina, tulisan Moh-Tze, Lao-Tze, Kung Fu-Tze, Meng Tze
dan beberapa tokoh yang lain sangat menekankan perkara ini. Begitu juga
dalam tamadun India, Kautilya membincangkan ciri-ciri kepimpinan yang
saksama dan adil. Manakala dalam tamadun Islam, al-Farabi, al-Mawardi,

Copyright © Open University Malaysia (OUM)


16  TOPIK 1 PENGENALAN ILMU

al-Ghazali dan Ibn Khaldun turut menumpukan perhatian kepada


persoalan yang sama. Kesetiaan kepada raja dan perlindungan yang
diberikan oleh raja kepada rakyat merupakan dimensi penting kerajaan
dalam tamadun tradisional.

(e) Ekonomi
Dalam tamadun tradisional, kegiatan ekonomi berlaku dalam konteks
„Moral Semesta‰ (Moral Universe). Dalam ajaran Buddhisme, wujud konsep
hak kehidupan sebagaimana yang termaktub dalam salah satu daripada
eightfold path. Dalam ajaran Islam, prinsip yang berkaitan dengan halal dan
haram mempunyai hubungan yang rapat dengan persoalan akhlak. Hakikat
ini menjelaskan bahawa wujud kegiatan ekonomi yang boleh
mempertingkatkan tahap moral manusia sebagaimana juga wujud kegiatan
ekonomi yang boleh merosakkan moral manusia. Konsep „wang‰,
„keuntungan‰, „ganjaran‰ dan „pasaran‰ sangat dipengaruhi oleh
pertimbangan moral. Walau bagaimanapun, kenyataan ini bukanlah
bermakna tidak terdapat penipuan, rasuah atau bentuk penyelewengan yang
lain seperti yang berlaku dalam kegiatan ekonomi moden.

(f) Pendidikan
Dalam tamadun tradisional, matlamat utama pendidikan adalah untuk
pembinaan sifat mulia seseorang (character-building) melalui proses
pengajaran ilmu. Menyedari akan perkara tersebut, dimensi inner
being diberi penekanan penting dalam konsep pendidikan Islam, Kristian,
Hinduisme dan agama lain. Manusia perlu mengetahui dan menguasai
dirinya dahulu sebelum mampu menguasai persekitaran luaran melalui
pengetahuannya tentang alam. Cuma cara transformasi ini berlaku berbeza
dari satu tradisi ke tradisi yang lain. Dalam ajaran Islam persoalan tauhid
memainkan peranan penting dalam transformasi manusia tetapi dalam
ajaran Buddha dan beberapa aliran ajaran Hindu, transformasi sifat dapat
dicapai melalui proses mencari diri sendiri.

(g) Kesihatan
Sepertimana bidang-bidang dalam masyarakat yang lain, konsep kesihatan
dalam tamadun tradisional tidak terpisah daripada pandangan semesta
sesebuah agama. Sifat yang penting dalam konsep kesihatan tamadun
tradisional ialah pandangan dan pendekatan holistiknya. Holistik
bermakna suatu pandangan yang mengakui bahawa kesihatan seseorang
dipengaruhi oleh alam sekitarnya yang lebih luas, lebih menyeluruh dan
saling berhubungan. Menurut konsep holistik, mengubati penyakit
bermakna memulihkan keseimbangan seseorang dan dengan melalui
proses ini, keharmonian dapat dipulihkan dalam tubuh badan pesakit dan
seterusnya mencapai keseimbangan dalam kehidupannya.

Copyright © Open University Malaysia (OUM)


TOPIK 1 PENGENALAN ILMU  17

Berdasarkan pemerhatian terhadap kehidupan bertamadun, jelas bahawa


teras kepada konsep kehidupan dan pencapaian matlamat hidup dalam
tamadun tradisional mempunyai beberapa ciri persamaan. Namun begitu,
dalam persoalan tertentu, terutamanya yang berkaitan dengan teologi
wujud beberapa perbezaan yang harus kita fahami. Memahami persamaan
dan perbezaan antara satu tamadun dengan tamadun yang lain seharusnya
mendorong kita untuk lebih bersikap toleransi ke arah mewujudkan
keharmonian sejagat. Kesimpulannya, mengetahui persoalan dasar
berkaitan dengan ilmu ketamadunan membuka ruang kepada seluruh
manusia untuk berinteraksi secara positif ke arah kehidupan yang lebih
saksama.

SEMAK KENDIRI 1.4


Melalui aktiviti berkumpulan jelaskan:
(a) Perbezaan dan hubungan antara peradaban dan tamadun; dan
(b) Cari persamaan dan perbezaan ciri-ciri tamadun yang dimiliki
oleh sesuatu bangsa dengan bangsa yang lain.

• Perbezaan pendapat mengenai definisi tamaduan antara sarjana Barat dan


Timur dilihat dari sudut etimologi. Barat lebih memfokuskan kepada
maksud kebendaan dengan pembentukan bandar sebagai kayu ukur
pemodenan, kemajuan, peradaban dan perubahan, manakala sarjana Timur
pula mentakrifkan tamadun dari sudut pandangan kerohanian dengan
impak akhlak, moral, keimanan, hidup dalam peraturan dan perundangan
syariat di samping tidak menolak aspek materi.

• Dari segi ciri-ciri tamadun, ia mencakupi aspek urbanisasi, sosial, pekerjaan,


bahasa, komunikasi, agama dan kepercayaan, sains dan teknologi dan seni
estetika sebagai manifestasi kandungan tamadun yang perlu ditunjukkan
oleh sesuatu bangsa.

• Interaksi antara manusia dengan manusia, manusia dengan alam dan


ketinggian keilmuan mengisi prinsip tamadun itu sendiri.

• Matlamat tamadun adalah untuk memperlihatkan kehebatan hasil


penciptaan manusia dalam pelbagai aspek kebendaan di samping
pengamalan terhadap agama bagi menjamin kesejahteraan hidup manusia.

Copyright © Open University Malaysia (OUM)


18  TOPIK 1 PENGENALAN ILMU

• Sumber tamadun diambil daripada ilmu, pemikiran, material dan agama.

• Perbezaan antara tamadun dengan kebudayaan amat ketara jika dilihat dari
segi maksud antara dua etimologinya. Tamadun memberi pengaruh yang
berkekalan sepanjang zaman, bersifat universal dan merentasi sempadan
geografi, manakala kebudayaan lebih bersifat sementara dan sentiasa
berubah mengikut perubahan sesuatu kaum.

• Setiap bangsa dan negara memiliki tamadunnya yang tersendiri dan


senantiasa dikongsi bersama secara sejagat.

Animisme Perubahan
Dinamisme Politeisme
Estetika Sosioekonomi
Falsafah Stratifikasi
Kemajuan Tamadun
Naturalisme Transformasi
Pemodenan Urbanisasi
Peradaban

Bell, C. (1973). Civilization and old friends. Chicago, IL: The University of Chicago
Press.
Ibn Khaldun., & Abd. Rahman Ibn Khaldun. (1960). Muqaddimah Ibn Khaldun,
Qaherah, Mesir: Dar al-Kutub al-Arabiyah.
Kamus Dewan. (1991). Kuala Lumpur, Malaysia: Dewan Bahasa dan Pustaka.
Mohamad Taba. (1994). Pengenalan tamadun Islam, al-Quran dan ideologi masa
kini. Bangi, Malaysia: Pusat Pengajian Umum, Universiti Kebangsaan
Malaysia.
Muhammad Abdul Jabar Beg. (1980). Islam and Western concept of civilization.
Kuala Lumpur, Malaysia: The Universiti of Malaya Press.

Copyright © Open University Malaysia (OUM)


TOPIK 1 PENGENALAN ILMU  19

Renfew, C. (1972). Before civilization. London, England: The Chaucer Press.


Ribeiro, D. (1968). The civilization process. Washington, WA: Smithsonian
Institution Press.
Syed Muhammad al-Naquib al-Attas. (1977). Islam: Fahaman agama dan asas
akhlak. Kuala Lumpur, Malaysia: ABIM

Copyright © Open University Malaysia (OUM)

Anda mungkin juga menyukai