Anda di halaman 1dari 3

SEJARAH PENENTANGAN MASYARAKAT CINA HAKKA 1857

Sebenarnya kedatangan masyarakat Cina di Sarawak telah berlaku lebih awal lagi iaitu
semenjak pembukaan lombong-lombong antimoni dan emas di kala pemerintahan Pengiran
Mahkota lagi. Dan ianya di dalam skala besar apabila Rajah Brooke memerintah kerana dasar
Brooke yang mahukan mereka membina ekonomi bagi Sarawak Kingdom pada masa itu.
Pada tahun 1857, muncul pula gerakan penentangan oleh masyarakat Cina yang menjadi
pelombong di Bau. Mereka adalah daripada masyarakat Cina Hakka yang berasal dari Sambas
dan mereka sudahpun berada di Sarawak sekitar tahun 1820an lagi. Golongan ini membuat
kongsinya sendiri yang dinamakan San-Tiau Kou dan Ta-King. Kedua-dua pertubuhan kongsi ini
bersatu padu dengan mengusahakan lombong-lombong di Bau, Bidi, Paku dan Tandong.
Apabila Brooke memerintah banyak urusan lombong-lombong antimoni dan emas diberikan
kepada Borneo Limited iaitu sebuah syarikat yang menjadi hak milik Kerajaan Sarawak
Kingdom. Dasar ini tidak disenangi oleh kumpulan kongsi ini dan bermulala penentangan
daripada mereka.
Sebenarnya Rajah Brooke tidak menggemari kesatuan kongsi-kongsi ini kerana dikatakan
mereka seperti telah menubuhkan “negeri di dalam negeri” ketika itu. Kesatuan kongsi-kongsi
ini dikatakan mempunyai sistem kehakiman tersendiri, membuat senjata, menggunakan
matawang sendiri malah mengibarkan bendera mereka sendiri tidak bendera Sarawak
Kingdom. Keadaan ini harus dihentikan maka muncullah sebuah syarikat perlombongan
Sarawak Kingdom sendiri di dalam memastikan pengaruh ini tidak terus menular.
Selain daripada itu pada tahun 1852, Rajah Brooke telah Daerah Bau telah dibentuk di dalam
peta Sarawak Kingdom pada waktu itu. Masyarakat cina dibenarkan melantik kapitan daripada
bangsa Cina dengan pada masa yang sama seorang Kapitan Inggeris juga akan berada di Bau di
dalam usaha mengawal pengaruh mereka di Bau. Pada ketika inilah Brooke telah menggunakan
kuasanya dengan tidak membenarkan ahli kongsi membuat keputusan-keputusan penting
seperti mengendalikan kes jenayah dan juga dengan sesuka hati mengambil tanah milik
masyarakat tempatan di Bau malah membina parit pun tidak dibenarkan.
Jika dahulunya candu merupakan makanan bagi masyarakat Cina tetapi ketika di era
pemerintahan Brooke, undang-undang Candu menjadi peraturan yang menjadi duri dalam
daging bagi mereka. Masyarakat Cina Hakka juga tidak menyetujui untuk sumber ekonomi
mereka sama-sama dikongsi dengan masyarakat Cina Hokkien dan Teochew di Kuching kerana
ini adalah permusuhan lama antara mereka sejak dahulu lagi.
Akhirnya kerana ketidakpuasan ini maka pada 18hb Februari 1857, telah berlaku penentangan
yang dilakukan oleh masyarakat Cina Hakka iaitu mereka daripada pelombong emas di Bau yang
dipimpin oleh Liu Shan Bang. Liu Shan Bang berdiri di hadapan sekumpulan 600 pelombong
Cina di hadapan kuil lama “Tian Sze Lung Kiung” di Mau San. Mereka mendengar kata-kata
semangat daripada ketua mereka Liu Shan Bang dan semangat mereka berkobar-kobar untuk
berperang dengan rajah Brooke.
Pada hari ini iaitu 18 Februari 1857 telah tercatit satu sejarah di Sarawak Kingdom bahawa ada
sekumpulan pelombong Cina yang akan melakukan satu tindakan besar bagi membela kaum
mereka daripada terus ditindas dan dianayai. Di dalam ucapan kata-kata semangat daripada Liu
Shan Bang menyatakan bahawa mereka harus bangun memberontak kerana selama ini mereka
masih bersabar apabila cukai kepala dikenakan terhadap mereka walaupun pada hakikatnya
pelombong-pelombong Cina terlebih dahulu mendiami dan melombong di kawasan itu sebelum
James Brooke tiba di Sarawak pada 1841 lagi.
Mereka juga masih lagi berdiam diri apabila James Brooke mengusir keluar anggota masyarakat
pelombong yang enggan membayar cukai. Akan tetapi mereka tidak boleh berdiam diri lagi
apabila warisan cara hidup dan hak mereka mula dipijak-pijak sudah tentu mereka tidak boleh
membiarkan sahaja. Larangan mengimport candu, arak selain mengeksport emas ke luar negera
seperti apa yang mereka lakukan turun-temurun dahulu adalah melampau sama sekali. Selesai
dengan kata-kata semangat itu, kesemua pengikut Liu Shan Bang sudah bersiap sedia untuk
memulakan peperangan di Kuching.
Arahan dikeluarkan oleh Liu Shan Bang, ketua Kongsi 12 dan beraraklah ratusan angkatan
pelombong bersenjata ke Pangkalan Bau yang terletak kira-kira 1 km dari Kuil Tian Sze Lung
Kiung. Di pangkalan itu sudah tersedia 30 perahu besar atau jong dan mulalah angkatan
pelombong menyusuri sungai menuju ke Tonjong kira-kira 2 jam perjalanan dari Bau. Terik
sinaran mentari semakin malap berganti petang tetapi angkatan pelombong Cina terus
bergerak dengan penuh waspada. Menjelang tengah malam tibalah angkatan pelombong Cina
ini di Kuching.
Di satu kawasan rahsia, Liu Shan Bang pun mula menyusun strategi peperangan. Sebahagian
daripada 600 pelombong akan bergerak di bawah pimpinannya menuju ke kediaman James
Brooke manakala sebahagian lagi akan bergerak memasuki Kuching untuk menyerang dan
seterusnya menawan Bandar Kuching, pusat pemerintahan Sarawak pada masa itu.
Sedang semua rakyat Kuching dibuai mimpi indah tiba-tiba terdengarlah jeritan dan pekikan
membelah langit malam. Pegawai dan tentera Rajah Brooke panik kerana tidak menyedari
serangan dan amukan pelombong Cina. Bangunan kerajaan musnah dibakar manakala lima
pegawai Inggeris Rajah Brooke dibunuh termasuk Harry Nicholetts yang disangkakan sebagai
Rajah James Brooke. Ramai warga Inggeris yang lari lintang pukang bersama-sama dengan
keluarga mereka memohon perlindungan di sebuah Gereja di Kuching.
Liu Shan Bang menghala ke kediaman Rajah James Brooke dan terus melakukan amukan di
kediaman tersebut, James Brooke berjaya meloloskan diri daripada kepungan dengan terjun ke
Sungai Sarawak dan berenang di celah-celah jong Cina yang terdapat di sungai berkenaan. Bila
fajar menyinsing pada tanggal 19 Februari 1857, Kuching telah ditawan dengan jayanya oleh
Pelombong Cina dari Bau.
Pada tarikh itu juga Liu Shan Bang telah mula mengatur pentadbiran baru iaitu dengan
mengarahkan Pengurus dan pedagang Syarikat Borneo, Ludvig Helms dan Rupell yang
merupakan sekutu mereka di dalam perlombongan emas untuk menjaga kepentingan
penduduk Inggeris yang terselamat di Kuching. Manakala Datu Patinggi Ali telah
dipertanggungjawabkan untuk menjaga kepentingan kaum Melayu dan kaum pribumi yang lain
di Kuching dan masyarakat Cina Kuching diuruskan oleh Kongsi Hakka.
Setelah 3 hari berkuasa di Kuching, Liu Shan Bang berpendapat bahawa Kuching lebih elok
ditadbir oleh mereka yang lebih pintar mentadbir jadi pada 21 Februari 1857, Liu Shan Bang
dengan kesemua angkatan pelombong telah berundur kembali ke Bau. Tetapi dalam perjalanan
pulang itu, angkatan pelombong telah diserang oleh James Brooke yang disangkakan mati itu
dengan bantuan daripada anak saudaranya Charles Brooke serta pasukan kaum iban Skrang
yang setia kepada pemerintahan James Brooke. Angkatan pelombong Liu Shan Bang berpatah
balik menuju ke Kuching dan di Kuchinglah pertempuran maha hebat berlaku dengan pasukan
James Brooke membedil Bandar Kuching bertubi-tubi. Serangan itu telah berjaya
menenggelamkan beberapa jong pelombong Cina dan ramai antara pelombong Cina ini
berundur ke Bau.
Dendam kesumat Rajah James Brooke tidak terhenti di situ sahaja walaupun kemenangan telah
berpihak kepadanya. Angkatan perang James Brooke telah mengejar angkatan pelombong Cina
sehingga ke Bau. Setiap saki baki pelombong Cina tidak kira wanita atau kanak-kanak kecil yang
tidak sempat melarikan diri ke Sambas dibunuh. Bagi yang sempat bersembunyi di gua-gua
hantu di sekitar Bau jika diketahui lokasinya juga akan dibunuh oleh angkatan James Brooke.
Hampir 2,000 orang pelombong Cina Kongsi 12 dan kaum keluarga mereka dibunuh bagi
memastikan tiada lagi pemberontakan yang akan dilakukan oleh mereka. Dan tanggal 21
Februari 1857, sekali lagi Kuching dibawah pentadbiran Rajah James Brooke.
Inilah sekelumit sejarah tentang penentangan daripada masyarakat Cina Hakka iaitu daripada
pelombong emas dari Bau yang telah mencatitkan satu sejarah di dalam kalendar Sarawak Bumi
Kenyalang. Mungkin ramai yang tidak mengetahui kerana ianya tidak begitu diperbincangkan
secara ilmiah untuk pengetahuan rakyat Sarawak sekalian.
#KamekSayangSarawakBah!

Anda mungkin juga menyukai