Anda di halaman 1dari 10

Gerakan Protes Menentang Brooke di Sarawak 1841-1930-an.

Sejak abad ke-15, Sarawak di bawah naungan Brunei.[1] Dalam menguruskan pentadbiran, seorang
Gabenor dilantik sebagai wakil kerajaan Brunei. Biasanya penyandangnya dipilih daripada kerabat diraja
Brunei. Pemimpin-pemimpin tempatan Sarawak yang terdiri daripada golongan datu ditunjuk untuk
membantu Gabenor. Mereka termasuklah Datuk Patinggi, Dato Bandar dan Datu Temenggung.
Kemudiannya, Sarawak diperintah dan ditadbir oleh kerajaan Brooke selanjutnya yang banyak
mencetuskan penentangan dan protes.

Bagi kajian ini, pengkaji akan meneliti dan mengupas berhubung gerakan protes menentang
kerajaan Brooke di Sarawak.  Fokus kajian adalah berdasarkan kerengka masa daripada tahun 1841
sehingga 1930.  Di antara objektif-objektif kajian adalah mengenalpasti sejarah penentangan masyarakat
tempatan terhadap pemerintahan Brooke di Sarawak yang didominasi kaum-kaum Melayu, Cina dan Iban
(Dayak). Kajian juga turut melihat akan peranan dan sumbangan tokoh-tokoh yang terlibat dalam
mendalami isu-isu gerakan protes ini. Dari segi permasalahan kajian ianya menjurus kepada kurangnya
kajian yang berkaitan dilakukan oleh pengkaji lainnya. Hal ini turut didorong oleh perasaan ingin tahu
pengkaji berkaitan dengan gerakan protes dalam konteks tokoh-tokoh di Sarawak terhadap kerajaan
Brooke.

            Kajian ini amat penting kepada seluruh lapisan masyarakat supaya dapat menghargai sumbangan
tokoh-tokoh terdahulu di samping susur galur sejarah yang berkaitan dengan  gerakan protes di Sarawak.
Skop kajian juga tertumpu di negeri Sarawak sahaja. Bagi sorotan kajian yang berkaitan, terdapat pelbagai
tulisan dan penerbitan yang dihasilkan pengkaji tempatan dan luar negara untuk dijadikan rujukan dan
sumber ilham yang amat penting dalam menghasilkan kajian ini selengkap-lengkapnya.
Dari segi methodologi, pengkaji lebih cenderung menggunakan sumber perpustakaan dalam mengumpul
maklumat dan sekaligus menghuraikan dapatan kajian ini. Pelaporan dalam bentuk esei ilmiah turut
memaparkan gerakan protes ini secara menyeluruh dengan sokongan tulisan dan kajian-kajian terdahulu
berhubung dengan tajuk ini.

Pada abad ke-19 berlaku gerakan protes terhadap Brunei di Sarawak (khususnya di Kuching).
Mereka menentang Pengiran Mahkota yang dilantik oleh Sultan Umar Ali Saifudin 11 sebagai wakil
baginda di Sarawak. Faktor utama penentangan ialah penindasan. Pengiran Mahkota bertindak sesuka
hati dan mengenakan cukai yang tinggi. Perasaan tidak puas hati juga berlaku kerana Pengiran Mahkota
mengeksploitasi sistem kerah melombong antimoni dan emas di Bau. Pemberontakan ini dihubungkaitkan
juga dengan Pengiran Usop yang dibuang dari istana Brunei. Beliau yang mempunyai kepentingan dalam
perdagangan antimony telah menghasut orang Sarawak menentang Pengiran Mahkota.[2]
Orang-orang Melayu, Bidayuh dan Cina bangun menentang Pengiran Mahkota di bawah pimpinan Datu
Patinggi Ali. Kumpulan penentang Berjaya mendapat bantuan senjata dan makanan daripada Sultan
Sambas.[3] Sultan Brunei Pengiran Muda Hashim untuk menyelesaikan masalah. Bagaimanapun beliau
gagal kerana Pengiran Mahkota tidak dipecat dan meneruskan kegiatannya. Ketidak stabilan politik
Sarawak ini akan membuka ruang kepada James Brooke untuk campur tangan.

James Brooke tiba di Sarawak pada 15 Ogos 1839. Pengiran Muda Hashim telah meminta bantuan
James Brooke untuk menghapuskan pemberontakan.[4] Pada bulan Februari 1841, James Brooke dilantik
sebagai Residen Sarawak. Lapan bulan kemudian Pengiran Muda Hashim melantiknya sebagai Gabenor
Sarawak. Pada 1 Ogos 1842, James Brooke diisytiharkan sebagai Rajah Sarawak. Walaupun perlantikan
ini dibuat sebagai mengenang jasa James Brooke menghapuskan kegiatan lanun dan Pengeran Mahkota
tetapi james Brooke juga menggunakan tekanan dan paksaan ke atas Pengiran Muda Hashim bagi
memenuhi tuntutan.

Dalam usaha mengukuhkan kedudukan di Sarawak, James Brooke berusaha menghakis pengaruh
kesultanan Brunei. Pembesar-pembesar dari Brunei diketepikan. James Brooke melantik ketua-ketua
Melayu Sarawak memegang jawatan kerajaan. Antaranya termasuklah Datu Patinggi Ali, Dato
Temenggung Marsal, Datu Bandar Kanca, Muhammad Lana (anak Datu Ali) dan Pengiran Matusin.
Keturunan bangsawan Sarawak bergelar “Abang” kemudiannya diberi peluang untuk menjadi pegawai
kerajaan kelas 2.[5] James Brooke juga mengambil langkah mengadakan peraturan dan undang-undang
mengikut pola barat.[6]

Walaupun James Brooke Berjaya mendapat sokongan sebilangan orang tempatan tetapi ramai juga
bumiputera yang tidak mahu tunduk dan mengiktiraf pemerintahan Brooke. Mereka tidak menghormati
undang-undang yang dikeluarkan oleh Rajah Brooke, merompak dan melanin serta melawan dengan
mengangkat senjata. Malah seorang pemimpin Iban bernama Linggir membuat percubaan membunuh
Raja Brooke sewaktu diadakan ‘rumah terbuka’.[7]

Pada zaman Kesultanan Brunei, banyak kawasan yang diperintah secara bebas. Sekumpulan
pembesar merdeka daripada keturunan Syarif Arab membina kekuasaan mereka terutama di Saribas dan
Sekrang. Selain orang Melayu pembesar-pembesar ini juga disokong oleh puak-puak Iban yang tinggal di
Saribas, Sekrang dan Batang Lupar.[8] Pembaharuan yang cuba diterapkan oleh James Brooke ternyata
mengongkong dan merugikan dan menyebabkan sumber pendapatan pembesar terjejas. Bahkan
peraturan ini juga bermakna simbol kekuasaan mereka terancam.

Peristiwa Gerakan Sharif Sahap (1850-1860) turut berlaku di Bahagian Sibu. Kebangkitan ini
didorong oleh keinginan pemimpin-pemimpin tempatan untuk mengekalkan kuasa dan hak tradisional.
Penentangan mereka dikenali sebagai ‘pakatan Melayu’ atau ‘Episod Mukah’.[9] Kerajaan Brooke terpaksa
mengambil tindakan tegas meminda kebangkitan ini kerana mahu menguasai kawasan pengeluaran sagu.
[10] Gerakan penentangan ini dipimpin oleh Sharif Sahap dan adiknya Sharif Mullah, Sharif Sahap menjadi
pemerintah di Sekrang dan adiknya di Saribas. Pengikut-pengikut mereka terdiri daripada orang Melayu
dan orang Iban dari Saribas, Sekrang dan Batang Lupar. Rajah Brooke tidak menyenangi pengaruh Sharif
Sahap ke atas orang Iban terutama yang tinggal di sempadan. Rajah Brooke mendesak
Pengiran Muda Hashim mengenakan tekanan ke atas Sharif Sahab tetapi kurang berkesan. Rajah Brooke
juga tidak menyenangi kegiatan Sharif Sahap dan kuncu-kuncunya dalam aktiviti merompak (melanin) ke
atas kapal-kapal perdagangan dan jiran-jiran yang menjadi musuh mereka. Sharif Sahap juga dikatakan
terlibat dalam kegiatan memperdagangkan hamba abdi.[11] Malah pada tahun 1842 Sharif Sahap
merancang menyerang Kuching tetapi dibatalkan kerana perkara ini bocor dan Rajah Brooke didapati
membuat persediaan yang mencukupi.

Dalam usaha menghapuskan penentang-penentang, Rajah Brooke menggunakan alas an ‘lanun’.


Kerajaan Brooke gagal memberi penjelasan  yang jelas terutama sasaran serangan. Tindakan Brooke
dibantah keras oleh beberapa golongan di England termasuk pertubuhan agama.[12] Graham Irwin
menganggap kempen anti lanun sebagai kezaliman yang tidak perlu dan tidak berhati perut.[13]
Rajah Brooke telah berjaya meyakinkan kerajaan British supaya membantu beliau menghapuskan kegiatan
lanun. Kapal-kapal perang British dihantar untuk membantu dari masa ke semasa. Pada tahun 1844,
Kapten Henry Keppel dan kapal perang H.M.S. Dido dan Phlegethon Berjaya mengalahkan Sharif Sahab
dan Sharif Mullah di Pemutus da Undup. Bagaimanapun kedua bersaudara ini Berjaya meloloskan diri dan
bersatu dengan Syarif Jaafar di Lingga. Pihak British memburu mereka hingga ke Kapuas dan ini memaksa
mereka berundur ke Pontianak. Sharif Sahab kemudiannya meninggal di Pontianak.[14]

Pihak British mengambil tindakan menyerang sekutu-sekutu Sharif Sahab yang terdiri daripada
orang Iban di Sekrang, Undup dan Batang Lupar. Walaupun orang Iban kalah tetapi mereka Berjaya
membunuh tiga orang askar British dan mencederakan lima puluh enam orang. Datu Patinggi Ali (ketua
orang Melayu Kuching) juga turut terkorban.[15] Sharif Mullah telah diberi pengampunan dan dibenarkan
menetap di Sekrang. Manakala Syarif Jaafar dipecat daripada jawatan pembesar Lingga dan dikehendaki
tinggal di Sadung. Langkah Rajah Brooke gagal menyekat gerakan penentangan daripada penyokong-
penyokong Syarif Mullah. Mereka sekali lagi bersama-sama orang Iban Sekrang menyerang Kuching pada
tahun 1845. Percubaan serangan ini juga gagal dan selepas itu gerakan ini semakin reda.

Bagi Gerakan Syarif Masyhur, 1854-1861 dikatakan menggantikan Datu Patinggi Abd. Rahman
sebagai pemerintah Sarikei sejak tahun 1849. Beliau dikatakan berasal daripada kampong Igan di muara
Sungai Rejang dan mempunyai hubungan kekeluargaan dengan Datu Patinggi Abd. Ghafur  serta orang
Melanau Rejang. Bila Sarawak diserahkan kepada James Brooke, kedudukan Sharif Masyhur terus
diiktiraf. Beliau seorang yang berkebolehan dan bercita-cita tinggi. Pengaruhnya begitu besar dalam
kalangan masyarakat Islam dan bukan Islam di Bahagian Sarikei. Bagi pandangan pentadbiran Brooke
pula pemimpin Melayu yang berkebolehan dianggap pengacau.[16]

Pada tahun 1854, Datu Patinggi Abd. Ghafur dipecat dari jawatan sebagai salah seorang pembesar
utama Melayu Sarawak. Rajah Brooke tidak berpuas hati dengan tindakan Abd. Ghafur yang mengenakan
cukai yang tinggi. Beliau kemudiannya mengadakan pakatan dengan Sharif Masyhur untuk membunuh
Rajah Brooke dan semua orang Eropah di Sarawak. Rancangan ini gagal kerana rahsianya bocor. Abd.
Ghafur ditangkap dan dinasihatkan ke Mekah.[17] Sharif  Masyhur terpaksa berbaik dengan James Brooke
dan membenarkan Rajah mendirikan kubu di Sarikei.
Ketegangan berlaku lagi pada tahun 1855 bila Pengiran Matusin yang menjadi penyokong kuat
Rajah Brooke membunuh Pengiran Arshad (wakil Sultan Brunei dan mertua Syarif Masyhur). Sharif
Masyhur mengambil tindakan balas menyerang Mukah dengan bantuan orang Iban Kanowit dan Sungai
Rejang.[18] Serangan ini dipatahkan dan Syarif Masyhur dilucutkan jawatan sebagai ketua di Sarikei.
Pada 25 Jun 1859 dua orang pegawai Eropah bernama Charles Fox dan Henry Steele dibunuh di Kubu
Kanowit. Dua orang Iban bernama Sawing dan Sakalai turut terlibat. Menurut cerita lisan Kanowit, Sawing
yang sudah beristeri berhasrat mengahwini seorang gadis bernama Nyalede. Gadis ini member syarat
supaya Sawing menyediakan dua kepala orang putih.[19] Mengikut sumber barat, pembunuhan ini berlaku
akibat merebaknya sikap anti barat ekoran pembunuhan berama-ramai ke atas orang Eropah di
Banjarmasin pada tahun 1859.[20] Kerajaan Brooke mendapati orang Iban dari Kanowit, Poi dan Ngemah
juga terlibat. Penggerak utama dan perancang di belakang peristiwa ini bagi Rajah Brooke tentunya Sharif
Masyhur. Malah tindakan ini dianggap sebagai usaha pembesar-pembesar Melayu untuk menggulingkan
Rajah Putih.[21]

Pakatan Melayu memuncak menjelang tahun 1860. Lebih ramai pembesar-pembesar Melayu
terlibat. Bahkan Pengiran Temenggong Hashim Jalil dari Brunei juga menyertai Sharif Masyhur. Menurut
Joan Rawlins, Pengiran Temenggung tersebut sebenarnya rakyat biasa bernama Tunjang. Tunjang
diarahkan pergi ke beberapa tempat di Borneo untuk menarik sokongan.[22] Pengiran Temenggung
diarahkan ke Pontianak untuk mengatur rancangan serangan ke atas Kuching bersama Datu Patinggi Abd
Ghafur yang dalam buangan di Pontianak. Mengikut rancangan ini, Sharif Masyhur akan berjumpa mereka
di Sungai Batang Rejang sebelum menyerang Kuching secara besar-besaran. Bagaimanapun pakatan
mulai terencat bila Pengiran Temenggung dan Pengiran Abd Ghafur ditangkap oleh Belanda di Pontianak.
Kedua-duanya dihantar ke Jakarta dan dipenjarakan.[23] Pakatan ini semakin padah bila Pengiran Matusin
yang diajak turut serta telah memberitahu Rajah Brooke tentang rancangan menyerang Kuching.

Angkatan perang Syarif Masyhur dikalahkan oleh pasukan Rajah Brooke di bawah pimpinan
Charles Brooke di Sadong pada bulan Februari 1860. Syarif Mashyur melarikan diri ke Sarikei dan
kemudian ke Igan. Sudah menjadi kebiasaan pemerintah Brooke mengambil tindakan menghukum dan
memusnahkan kawasan golongan penentang atau penyokong mereka. Charles Brooke mengambil
tindakan membakar rumah-rumah di Sarikei dan Igan. Akibatnya, enam puluh empat orang pengikut Syarif
Masyhur terkorban. Syarif Masyhur terpaksa mendapat perlindungan daripada iparnya pengiran Nipa di
Mukah. Pengiran Nipa juga aktif dalam gerakan  anti British dan sering menganggu kapal-kapal
perdagangan British. Rajah Brooke cuba menyekat kegiatan ini dengan menyerang Mukah pada bulan
Ogos 1860 tetapi gagal mengalahkan Pengiran Nipa.[24]

Dalam usaha menghadapi Syarif Masyhur seterusnya pihak Rajah Brooke menggunakan Sultan
Brunei untuk melemahkan penentangan. Sultan Mukmin telah memerintahkan Syarif Masyhur keluar dari
Mukah. Setelah berunding dengan Syarif Masyhur, kerajaan Brooke membenarkan tokoh penentang  itu
keluar dari Mukah. Syarif Masyhur memilih Singapura sebagai tempat menetap dan meninggal di sana
pada tahun 1890. Rajah Brooke juga Berjaya melantik penyokong kuatnya Pengiran Matusin sebagai
Pegawai Bumiputera Mukah.[25] Bagi mengukuhkan lagi kekuasaannya, Rajah Brooke mula berunding
untuk mendapat kawasan tersebut supaya gerakan penentangan dapat dikawal dengan lebih berkesan.
Sultan Brunei bersetuju menyerahkan kawasan meliputi Mukah, Rejang, Oya, Tatau dan Lembah Sungai
Bintulu dengan bayaran tahunan $4,500.[26]

Bagi gerakan prores orang Cina, 1857 banyak dipengaruhi factor kedatangan orang cina ke Borneo
pada abad ke-18 dijemput oleh Sultan-sultan Melayu untuk bekerja di lombong emas. Mulanya penduduk
Cina di Sarawak kecil sahaja bilangannya dan tinggal di Pengkalan Tebang (sempadan Kalimantan
Belanda-Sarawak). Pada peringkat awal pelombong-pelombong Cina di Kalimantan menjalankan kegiatan
secara persendirian sebelum menubuhkan kongsi.[27] Bila antimony menjadi barang dagangan penting
pada tahun-tahun 1820-an ramai pelombong Hakka berpindah ke Bau untuk melombong. Kegiatan
perlombongan ini dibuat melalui kongsi San-tiao-kou.[28] Orang Cina di Bau mempunyai hubungan baik
dengan orang Cina di Sambas (Kalimantan Belanda). Orang Cina Sambas dikatakan tidak begitu gemar
mengikut peraturan yang dikenakan oleh kerajaan. Perlakuan ini diikuti oleh orang Cina di Bau.

Menjelang tahun 1850-an penduduk Cina di Ulu Sarawak meningkat hingga empat ribu orang.
Dorongan kemasukan merek adalah kerana jaminan kestabilan pemerintahan Brooke dan dasar liberal
Brooke dalam pemberian tanah dan perlombongan. Kebanyakan penghijrahan Cina ini dating dari kawasan
Kalimanatan Belanda, khususnya Sambas. Keadaan di Sambas telah menjadi faktor penolak penghijrahan
tersebut. Kerajaan Belanda mengenakan tekanan kuat ke atas komuniti Cina bagi memastikan
keberkesanan pentadbiran. Di samping itu pergaduhan juga sering berlaku dalam masyarakat Cina
Sambas akibat pergaduhan antara kongsi gelap San-tiao-kou dengan Ta-king.[29]

Di Sarawak kedua-dua kongsi gelap ini bersatu dan menyusun organisasi lebih besar dan
menjalankan kegiatan perlombongan di Bau, Bidi, Paku dan Tandong. Selain bermatlamat ekonomi, kongsi
ini juga bertujuan untuk menegak dan mengekalkan autonomi etnik Cina. Pihak kongsi menjalankan
pemerintahan sendiri termasuk menguruskan system kehakiman, membuat senjata, menggunakan mata
wang sendiri dan mengibarkan bendera sendiri sebagai lambing kuasa politik.[30] Walaupun Rajah Brooke
menggalakkan perlombongan dan pertanian tetapi tidak berhasrat memberi status pemerintahan sendiri
kepada orang Cina seperti yang dibuat oleh Kesultanan Sambas dan Sumatra Barat.[31] Ini kerana
langkah sedemikian akan mendorong ke arah wujud negeri dalam negeri.

Bagi orang Cina di Bau mereka mengendahkan hasrat Brooke. Mereka terus menggalakkan
kemasukan orang Cina yang hamper sama suku dan dialek bagi mengukuhkan kedudukan. Menurut orang
Cina di Bau, kongsi sudah membuat perjanjian dengan Pengiran Muda Hashim dan hak yang diberikan
kepada orang Cina tidak berubah walaupun Rajah Brooke diberi kuasa memerintah Sarawak. Dalam kata
lain, kongsi yang bertapak lebih awal di Bau daripada James Brooke tidak boleh menerima tuntutan hak
kekuasaan Rajah Putih tersebut. Rajah Brooke menyedari sejak abad ke-18 lagi di Borneo Barat
kecenderungan,
…when kongsi, usually situated up-river, because strong enough, they
challenged the authority of down-river centres. A similar geopolitical
conflict was to take place in Sarawak between the up-river Bau kongsi
and the down-river based white Rajah. (John M. Chin, 1981, hal. 30).

Pada awal tahun 1850-an, kongsi tidak menentang kerajaan secara aktif. Ini mungkin didorong oleh
zaman kemakmuran di Bau ketika itu. Bagaimanapun terdapat golongan tetentu dalam komuniti Cina yang
menjalankan kegiatan yang tidak disenangi oleh Rajah Brooke. Rajah Brooke menyedari adanya ‘negeri
dalam negeri’ yang akan mengancamnya. Oleh itu, pada tahun 1852 dibentuk daerah Bau bagi
memastikan kuatkuasa kerajaan Brooke dipatuhi. Orang Cina dibenarkan melantik kapitan mereka sendiri
di samping seorang kapitan Inggeris yang mewakili kerajaan Brooke. Kedua kapitan ini diberi
tanggungjawab mentadbir kawasan pendalaman ini. Bagaimanapun had kuasa kongsi dikurangkan. Kongsi
tidak boleh membuat keputusan-keputusan penting atau mengendalikan kes jenayah di luar kelompok
mereka. Kongsi juga tidak dibenarkan mengambil tanah orang Dayak atau membina parit tanpa kebenaran
kerajaan.[32]

Rajah Brooke mula menguatkuasakan peraturan dan menangkap agen-agen kongsi dari Singapura
dan ahli-ahli yang dianggap mengancam. Tuan Muda Charles Brooke pula memerintah orang Cina
membina kubu kerajaan di Belidah ddan meminta orang Cina menyerah senjata. Ini menimbulkan
perasaan tidak puas hati dalam kalanagan masyarakat Cina di Bau. Perasaan tidak puas hati semakin
memuncak bila kerajaan Brooke melaksanakan undang-undang candu.[33] Sebagai langkah memprotes
orang Cina di pendalaman tidak mengeksport emas  melalui Kuching tetapi melalui Sambas. Mereka tidak
mahu Kuching muncul sebagai pelabuhan entrepot walaupun Sungai Sarawak satu-satunya jalan yang
menghubungkan Bau dengan dunia luar. Lagipun, perdagangan di Kuching dikuasai oleh puak Hokkien
dan Teochius yang bermusuhan  dengan Hakka.[34] Lagi satu kaedah orang Cina di Bau menentang
undang-undang candu ini ialah dengan menyeludupnya dari Singapura dan Pulau Natuna. Nampaknya
krisis candu ini menjadi pemangkin kepada tercetusnya perang.[35]

Ada pendapat mengatakan kebangkitan ini ada hubungkait dengan cita-cita menggulingkan dinasti
Ching di China dan gerakan anti British di Canton.[36] Pada tahun 1856, Persuruhjaya Canton
menawarkan $30 untuk sebiji kepala orang British. Ini menyebabkan orang Cina di Borneo menunggu
peluang untuk menimbulkan kekacauan.[37] Menurut  pandangan lain kebangkitan ini hanya bersifat
tempatan dan kalau ada pun pengaruh luar hanya  dari Sambas. Lagipun sentiment anti Brooke tidak
meluas. Orang Cina di Kuching dan pelombong Hakka di Marup, Batang Lupar tidak member sokongan.
[38]

Orang Cina di Bau membuat keputusan untuk memberontak dan menggulingkan kerajaan Brooke
yang dianggap menindas mereka. Mereka mahu merampas kuasa dan membunuh Rajah Brooke serta
orang Eropah dalam usaha untuk mengembalikan cara hidup kongsi. Pada 18 Februari 1857, lebih kurang
enam ratus orang Cina Bau berangkat ke Tundong ke Kuching untuk menyerang kediaman Rajah Brooke.
Akibat serangan yang tidak diduga  Rajah Brooke terpaksa mencari perlindungan di rumah orang Melayu.
Sebenarnya kongsi tidak berminat menubuhkan kerajaan di Kuching dan mereka meminta Ludvig Helms
(Pengurus Syarikat Borneo) yang mempunyai hubungan dagang dengan kongsi dan seorang pedagang
bernama Rupell untuk menguruskan hal ehwal luar. Manakala Datu Bandar diminta memerintah orang
Melayu di Kuching. [39] Rajah Brooke dengan dibantu oleh orang Melayu dan Iban Berjaya membuat
serangan balas. Lebih kurang 3,500 orang Cina terkorban atau melarikan diri ke Sambas.[40]

Dalam konteks gerakan protes orang Iban, orang Iban telah bersekutu dengan orang Melayu dalam
gerakan anti Brooke. Bila Rajah Brooke Berjaya menangani gerakan ini, orang Melayu dan Dayak Laut
digunakan sebagai sekutu yang berguna khususnya dalam usaha menekan kebangkitan orang Dayak Ulu.
Bahkan kecenderungan Iban Laut dari Saribas dan Sekrang bermusuhan dengan orang Iban Balau
(Lingga), Undup dan Seboyan Berjaya dimanfaatkan oleh Rajah Brooke.[41] Gerakan penentangan orang
Dayak jelas bersifat tempatan tetapi tidak begitu mudah untuk ditundukkan.

Gerakan Rentap 1849-1861 turut mendominasi gerakan protes ini. Tokoh ini lahir sekitar tahun
1800 dan tinggal di kawasan Sungai Saribas. Nama asalnya Libau dan mula menggunakan nama Rentap
selepas ‘potong kepala pertama’. Ini selaras dengan tradisi potong kepala dalam kalangan orang Dayak.
[42]  Rentap mula terlibat dalam gerakan anti Brooke bila turut berjuang menentang angkatan Rajah
Brooke dalam peperangan di Benteng Maru. Ini berlaku pada 31 Julai 1849. Rentap mula mengukuhkan
kedudukan dengan membina kubu di Tabbat. Gerakan penentangan ini mendapat sokongan dari kawasan
Sekrang dan Saribas. Dalam usaha untuk melindungi penduduk yang menyokong kerajaan, Rajah Brooke
terpaksa membina kubu di Lingga. Bagaimanapun ini tidak menghalang Rentap daripada menyerang kubu
Brooke di Sekrang dan Lingga. Bagi mengatasi masalah ini Charles Brooke dihantar mengetuai ekspedisi
menghukum. Oleh kerana kurang tenaga, Charles Brooke mendapat bantuan sukarelawan Dayak yang
sememangnya sedia berperang tanpa gaji. Ekspedisi ini dikenali sebagai ekspedisi Sungai Lang.
[43] Ekspedisi ini kurang berhasil.

Pada bulan Disember 1852 Rajah Brooke datang ke Sekrang untuk berunding tetapi Rentap
menolak. Satu lagi ekspedisi menghukum dihantar pada bulan Ogos 1854. Angkatan ini terdiri daripada
tujuh ribu orang Melayu dan Dayak. Ekspedisi ini mulanya diarahkan menyerang rumah panjang di Apai
Dendang sebelum menyerang Rentap di Sungai Lang. walaupun Rentap cedera tetapi sempat
menyelamatkan diri dan kemudian mengambil tindak balas menyerang orang Dayak yang menyokong
Rajah Brooke. Pada tahap ini nama Rentap begitu popular dan menjadi pusat tumpuan penentang
kerajaan Brooke. Rentap telah mengisyitiharkan dirinya sebagai Raja Pendalaman. Bagi mengukuhkan
kedudukan, Rentap telah membina kubu di Sadok. Pada tahun 1857, sekali lagi Charles Brooke (Tuan
Muda) mengetuai ekspedisi menghukum tetapi terpaksa berundur sekali lagi. Sekali lagi Rentap dan
penyokong-penyokongnya membalas dendam dengan menyerang orang Dayak yang menyokong Rajah
Brooke. Kali ini tumpuannya di Lupar dan Saribas. Satu lagi langkah yang dibuat oleh Rentap bagi
mengukuhkan kedudukannya ialah dengan membina kubu di Betong.[44]

Menjelang tahun 1858, kepopularan Rentap mulai merosot. Orang Dayak tidak suka tindakannya
menceraikan isterianya dan kemudian berkahwin dengan wanita muda bernama Ranee Sadok.[45]  Dalam
pada itu, Rajah Brooke meneruskan tekanan dengan menghantar ekspedisi menghukum pada tahun 1858.
Ekspedisi yang dihantar pada bulan September 1861 ternyata lebih berkesan dan Kubu Rentap di Bukit
Sadok ditawan pada bulan berikutnya. Rentap melarikan diri ke dalam hutan tetapi kemudiannya tinggal di
Etabai dan seterusnya di Wak, Julau sehingga usia tuanya dan meninggal di Tembawai panggil.[46]
Penentangan Bantin 1896-1908 dan orang Iban mempunyai kaitan dengan tradisi dan kebudayaan yang
sukakan akan peperangan, potong kepala dan migrasi. Kebangkitan Iban lebih bersifat kelompok dan tidak
terlalu bergantung kepada institusi kepimpinan. Orang Iban Nampak seperti tidak ada ketua atau seseoang
yang paling berpengaruh untuk dipatuhi. Ketua-ketua Iban yang ada termasuklah Tuai Serang (Ketua
Perang), Tuai Kayau (Pahlawan Utama), Manok Sabong (Hulubalang), Tuai Menoa (Ketua / Pemimpin)
dan Tuai Rumah (Ketua Rumah Panjang). Bagi orang Iban yang mempunyai hubung kait dengan
Kesultanan Brunei, ketua-ketua Iban tersebut diberi gelaran Orang Kaya, Orang Kaya pemancha, Orang
Kaya Panglima dan Orang Kaya Temenggung.[47] Bagaimanapun masyarakat Iban tidaklah begitu
berkesedaran  kelas. Malah Bantin pun daripada kalangan rakyat bawahan.[48] Oleh itu, kepimpinan
Bantin dapat dilihat sebagai pemangkin aktifnya gerakan penentangan.

Bantin lahir sekitar tahun 1855-60, di Delok. Beliau bergelar  Ijau Layang. Mula terlibat dalam
peperangan menentang Rajah Brooke pada tahun 1875 di Bukit Seligi. Pada pandangan orang Iban beliau
tidaklah dapat menjadi panglima yang digeruni. Ini kerana beliau tidak mempunyai dua kualiti penting
kepimpinan. Iban iaitu ‘mimpi’ dan ‘tau serang’. Mengikut Robert Pringle (1970), Bantin tidak pernah
mendakwa bermimpi diberi tugas memimpin angkatan perang.[49] Kepercayaan sebegini amat penting
dalam masyarakat pagan[50] dalam usaha mengukuhkan keyakinan peribadi dan pengikut.  Didorong oleh
kepercayaan inilah pemimpin-pemimpin Iban dahulu  memusatkan pemikiran kepada mimpi. Bantin sendiri
mendakwa pernah bermimpi pergi ke Panggau Libau, rumah panjang keramat Keling iaitu wira orang Iban.
Bantin akan terlibat dalam banyak peperangan di bawah ketua-ketua Iban termasuk anaknya sendiri.[51]
Satu lagi perkara yang mendorong kebangkitan orang Iban Ulu, khususnya di Bahagian kedua kerana
kedudukan tempat tinggal mereka bersempadan dengan Kalimantan Belanda. Bila mereka mendengar
undang-undang dengan mudah mereka melarikan diri ke kawasan Belanda. Kebanyakan mereka
mempunyai hubungan kekeluargaan dengan orang Iban di kawasan Sungai Leboyan (Kalimantan
Belanda). Charles Brooke yang menggantikan bapa saudaranya (1868-1917) menghadapi kesulitan
menangani orang Iban di kawasan ini kerana,
In part because it was the home of the most conservative Ibans in the
country, naturally inclined to resist authority in part because it was runs
nearly parallel with an artificial political frontier, the Upper Batang Lupas
was never under effective Government control until the second decade of
the twentieth century. (Robert Pringle, Rajahs and Rebels, op. cit., hal.
212)

Pada zaman pemerintahan Charles Brooke daerah pendalaman kurang diberi perhatian kerana
sibuk menghadapi penduduk kawasan pantai. Bila Charles Brooke Berjaya menundukkan penentangan
tersebut mulalah beliau memberi perhatian untuk menguatkuasakan pemerintahan di kawasan
pendalaman khususnya di kawasan Hulu Batang Lupar. Orang Hulu Batang Lupar tidak menyenangi
kehadiran kerajaan yang menganggu cara hidup mereka.

Dalam menghadapi gerakan penentangan di Sarawak, kerajaan Brooke sebenarnya menghadapi


masalah kekurangan tenaga askar. Oleh itu, digunakan sukarelawan Melayu dan Iban. Orang Iban yang
menyokong rejim Brooke  biasanya tinggal di kawasan sebelum Engkilili. Orang Iban ini walaupun tidak
dibayar gaji tapi sanggup berperang kerana kencenderungan berperang dan peluang untuk mendapat
kepala musuh yang menjadi lambing keperwiraan. Nampaknya walaupun ekspedisi kerajaan Brooke
adalah untuk mengamankan kawasan hulu namun pada masa yang sama usaha ini juga member kesan
bertambahnya dendam dan pemusuhan sesame orang Iban.

Sebelum gerakan Bantin bermula, penentangan orang Iban Hulu Batang Lupar dipimpin oleh
Ngumbang. Puncanya keengganan mereka membayar cukai pintu dan tidak mahu menghentikan amalan
potong kepala.[52]  Beberapa ekspedisi menghukum dihantar untuk menghukum  Ngumbang tapi gagal,
keadaan hanya kembali aman selepas tahun 1886 bila Ngumbang bersedia bekerjasama dengan kerajaan
Brooke.

Pada tahun 1890 keadaan di Hulu Batang Lupar bergolak semula. Di sinilah peranan Bantin mula
terserlah. Bantin dan beberapa keluarga Iban pengikut Ngumbang berpindah ke kawasan hutan di Delok.
Tindakan berpindah ini dilakukan untuk mencari kawasan penanaman padi huma yang lebih sesuai. Selain
itu mereka mahu mengelak kuatkuasa kerajaan. Ini bertentangan dengan dasar kerajaan Brooke yang
mahu penduduk membuat petempatan tetap di tebing sungai-sungai utama sahaja. Dalam usaha
memaksa Bantin berpindah balik ke kawasan asal, Ngumbang diarah menyerang Bantin. Usaha ini gagal
malah lima keluarga lagi pengikut Ngumbang menyertai Bantin.

Ada dua lagi perkara yang menimbulkan ketegangan antara Bantin dengan kerajaan Brooke.
Pertama kedatangan D.J.S. Bailey sebagai Residen Bahagian Kedua pada akhir tahun 1890. Bailey
dikatakan seorang yang sangat tegas melaksanakan dasar-dasar kerajaan terutama dalam usaha
menguatkuasakan undang-undang dan peraturan. Peristiwa kedua, keengganan Bantin dan beberapa
orang Ketua Iban yang pergi berniaga di Kapuas (Kalimantan Belanda) membayar cukai.[53]

Perasaan anti kerajaan semakin besar bila Bailey menghantar ekspedisi menghukum Bantin pada
tahun 1896. Pasukan Bailey berjaya membunuh anak saudara Bantin dan kepalanya dibawa ke Sekrang
untuk pesta. Bantin mengambil tindakan balas menyerang Sekrang.[54]  Beberapa usaha dibuat oleh
kerajaan Brooke untuk mententeramkan keadaan termasuk kesediaan Charles Brooke berunding dan
menawarkan pengampunan. Bila usaha ini gagal Charles menggunakan taktik menghukum. Satu ekspedisi
di bawah pimpinan Panglima Dalam Munan dari Rejang dihantar untuk mengajar Bantin. Selain
membunuh, ekspedisi  ini juga terlibat membakar rumah panjang. Walaupun tindakan ini kejam dan ganas
tetapi tidak dapat memadamkam gerakan penentangan sepenuhnya. Keadaan hanya menjadi tenteram
untuk selama tiga tahun.

Kekacauan tercetus semula bila seorang Iban dari kawasan sempadan Kalimantan Belanda
dibunuh di Sermat pada bulan Disember 1901. Kerajaan mengambil langkah segera memenjara
pembunuh-pembunuh tersebut dan membayar pati nyawa[55] kepada keluarga mangsa.[56] Bantin yang
ada hubungan kekeluargaan dengan si mati tidak berpuas hati dan mengambil tindakan balas menyerang
rumah panjang di Sermat pada bulan Mac dan Mei 1902.[57] Rajah Charles Brooke pula mengambil
tindakan tegas menghantar skspedisi menghukum pada bulan Jun 1902. Seramai dua belas ribu askar dan
sukarelawan yang terlibat.[58]  Ekspedisi ini gagal kerana kemarau panjang. Dianggarkan seribu orang
daripada pasukan kerajaan terkorban kerana wabak kolera. Ini merupakan kemenangan kepada Bantin
dan mendorong Ngumbang untuk menyertai kumpulan penentang semula.

Pada awal tahun 1900 keadaan di Bahagian Kedua dan Ketiga begitu gawat. Penentangan antara
sesame kaum Iban  tidak dapat dibendung dan sering balas membalas serangan. Kumpulan Bantin begitu
mendendami orang Iban yang menyokong kerajaan Brooke dan mengambil kesempatan ketidakupayaan
kerajaan untuk membalas dendam. Ekspedisi menghukum yang dihantar gagal mencapai matlamat dan
hanya  dapat membakar beberapa buah rumah panjang dan mengutip sejumlah kepala musuh. Selebihnya
jurang pemusuhan semakin melebar.

Hanya masa yang menjinakkan orang Iban. Menjelang tahun 1905, orang Ulu Batang Lupar jemu
berperang. Ramai penentang kerajaan di Pan dan Engkari mulai membayar cukai dan berjanji hidup aman.
Dua tahun kemudian, Bantin pun mulai berminat berdamai. Orang yang memainkan peranan penting untuk
mengendurkan ketegangan ini ialah Charles Hose (Residen Bahagian Ketiga). Tapi usaha ini dirosakkan
oleh Bailey yang menghantar satu ekspedisi menghukum Bantin pada tahun 1908 setelah Bantin
menyerang orang Iban di Sekrang.[59]

Sebenarnya Bantin dan pengikutnya tidak menganggap kerajaan pusat di Kuching sebagai musuh.
Bantin lebih melihat Bailey sebagai musuh kerana perlaksanaan dasar yang keras. Oleh sebab itu, bila
Bailey digantikan dengan A.B. Ward keadaan beransur pulih. Langkah Ward bertolak ansur pulih. Langkah
Ward bertolak ansur telah member kesan.[60]  Bantin sendiri telah muncul bersama Ngumbang dan
pengikut-pengikutnya di Lubuk Antu dan telah membayar denda yang dituntut oleh kerajaan.
Bagaimanapun Bantin tidak lagi menetap di Batang Lupar dan mengambil keputusan berpindah ke Sungai
Leboyan (Kalimantan Belanda). Beliau meninggal di sana pada tahun 1832.[61]
Bagi kebangkitan Asun 1930-1932, mempunyai kaitan dengan penentangan orang Iban terhadap Brooke
sebelumnya. Pada zaman pemerintahan Brooke terdapat kumpulan Iban yang pro kerajaan dan satu puak
lagi menjadi penentang. Kumpulan Iban yang mulanya pro kerajaan boleh bertukar kepada anti kerajaan
dan begitulah sebaliknya. Tokoh penentang pada awal 1930-an ini lahir sekitar tahun 1880 di Entabai dan
meninggal dunia pada tahun 1958.[62]  Pada masa pemberontakan Bantin, Asun berjuang di pihak
kerajaan.  Sebagai penyokong kerajaan beliau dilantik sebagai penghulu Entabai sekitar tahun 1915.
Sebenarnya institusi penghulu baru diperkenalkan oleh kerajaan Brooke dan kemudiannya menjadi
sebahagian birokrasi Brooke.[63]  Asun juga diberi penghormatan  oleh komunitinya dan dilantik sebagai
‘Tuai Rumah’.[64]

Asun mula mengambil pendirian anti kerajaan bila betelagah dengan C.D. Adams, residen
Bahagian Ketiga. Pada tahun 1926, beliau meletakkan jawatan penghulu dan menyerahkan semula
pakaian seragam dan lencana. Punca Asun berbalah kerana beliau enggan membayar cukai.[65] Pada
masa kebangkitan Bantin soal migrasi adalah salah satu perkara yang menjadi perbalahan antara orang
Iban dengan kerajaan Brooke. Berpindah-pindah sudah menjadi tradisi orang Iban. Mereka berpindah dari
kawasan Kapuas (Kalimanatan Belanda)  ke Batang Lupar dan Lembah Rejang sejak abad ke-16. Pada
abad ke-19, mereka sudah menjadi penduduk majority di Bahagian Kedua dan Ketiga.[66]  Dorongan
utama orang Iban berpindah adalah mencari kawasan yang sesuai untuk padi huma. Bagi kerajaan Brooke
amalan berpindah menimbulkan masalah kerana ini menyulitkan kawalan. Pada tahun 1926, Residen
Bahagian Ketiga menentapkan peraturan migrasi. Setiap orang Iban yang hendak keluar kawasan
dikehendaki mendapat pas keluar terlebih dahulu.[67]

Amalan potong kepala dalam kalangan orang Iban sering menjadi pencetus kebangkitan. Amalan
ini menimbulkan semangat suka berperang dan keperwiraan dalam kalangan mereka. Langkah kerajaan
Brooke untuk menghapuskan amalan ini tidak Berjaya. Ekspedisi-ekspedisi menghukum yang dihantar
untuk mengajar puak Iban anti kerajaan tidak Berjaya. Malah permusuhan antara pihak pro kerajaan
dengan penentang semakin membara.[68]  Asun sendiri berjaya menarik orang-orang muda Iban untuk
menyertainya dengan membangkitkan soal etika memotong kepala.

Tindakan kerajaan Vyner Brooke melaksanakan cukai dan peraturan baru menimbulkan
kegelisahan orang Iban. Dalam soal pembayaran cukai pintu, orang Iban tidak membantah semasa sebuah
keluarga dikenakan bayaran seringgit setahun.  Mereka mula memprotes bila kerajaan mahu mengutip
mengikut bilik tanpa mengira penghuninya seorang janda atau miskin. Cukai tambahan pula dikenakan
untuk setiap tangga rumah panjang sebanyak lima ringgit atau sepuluh ringgit untuk sebuah rumah
panjang. Sukai senapang patah yang baru juga menimbulkan bantahan dalam kalangan orang Iban. Apa
yang lebih menimbulkan rasa tidak senang bila tersebar khabar angin yang kerajaan akan mengenakan
cukai ke atas setiap orang lelaki sebanyak lima puluh sen setiap kali ingin meniduri isterinya.[69]  Beberapa
dasar kerajaan Brooke antara 1920-30 juga menimbulkan ketegangan dengan masyarakat Iban. Pada
tahun 1920 ditubuhkan Jabatan Hutan Simpan dan Perhutanan. Jabatan ini mahu menghentikan amalan
tanam pindah, penebangan hutan, mengutip hasil hutan dan memburu binatang liar. Mulai tahun 1926
Residen Bahagian Ketiga mengarahkan orang Iban membina rumah panjang yang boleh memuatkan tidak
lebih sepuluh keluarga. Ini bagi mengelakkan penyatuan dan memudahkan kawalan. Orang Iban
membantah dengan alas an peraturan ini bertentangan dengan adat mereka.[70]

Tekanan ekonomi turut memainkan peranan menimbulkan rasa tidak puas hati. Sekitar tahun 1928-
29, harga barangan keluaran hutan dan getah mulai jatuh. Kejatuhan harga bahan ini menyulitkan orang
Iban menyara kehidupan mereka. Kerajaan Brooke pula tidak berpeluang untuk menerangkan bahawa
naik-turun harga barangan adalah di luar kawalan kerajaan.[71]  Bagaimanapun sukar untuk memastikan
kejatuhan harga getah menyebabkan orang Iban menentang kerajaan kerana pekebun kecil Melayu dan
Cina lebih ramai menerima kesan. Bilangan pekebun kecil getah Melayu dan Cina melebihi orang Iban.
Kekecewaan politik nampaknya lebih mendorong orang Iban menentang kerajaan Brooke.

Pada penghujung tahun 1931, C.D.Adams (Residen Bahagian Ketiga) menghantar perwakilan
berjumpa Asun. Residen menjemput Asun ke Sibu untuk berunding. Bagaimanapun Asun terus menentang
dan menghasut orang Iban. Beliau mengirimkan lembing-lembing perang kepada ketua-ketua Iban di
Bahagian Kedua dan Ketiga. Ini melambangkan Asun mahukan sokongan mereka. Kebanyakan yang
tertarik menyertai Asun terdiri daripada golongan muda. Mereka lebih terdorong oleh semangat
keperwiraan dan tradisi potong kepala. Ketegangan memuncak bila kerajaan Vyner Brooke mengecap
Asun sebagai penderhaka dan Asun pula mengancam akan menyerang orang Eropah.[72]

Pada 9 Januari 1932 satu rundingan diadakan antara Asun dengan wakil kerajaan Brooke di rumah
Penghulu Undu. Pihak Brooke mahu Asun menyerah diri dan akan dipenjarakan untuk jangka masa
pendek tapi tawaran tersebut ditolak. Setelah rundingan gagal, sati ekspedisi dihantar untuk menghukum
Asun, dikenali sebagai Ekspedisi Kanawit-Entabai. Asun mengambil langkah membakari rumah
panjangnya terlebih dahulu dan menjalankan taktik serangan hendap. Pasukannya Berjaya membunuh
seorang dan mencederakan lima orang pasukan ekspedisi. Selepas itu Asun dan orang-orangnya
melarikan diri ke Bukit Lanjak Entimau.[73]

Perjuangan Asun nempaknya tidak bertahan lama seperti gerakan Bantin. Pada bulan Disember
1932, Asun menyerah diri kepada Pegawai Daerah, J.C.H. Barcort. Beliau dipenjarakan di Kuching untuk
jangka masa pendek, Asun dibuang daerah ke Lundu. Pihak kerajaan Brooke memastikan beliau tidak
menghubungi pengikut-pengikutnya lagi. Walaupun Asun menyerah diri tetapi penentangan dan
pelanggaran undang-undang oleh orang Iban berterusan. Sekumpulan pemuda Iban (lebih kurang tiga
puluh orang) terus bergiat dengan amalan potong kepala.[74]  Di antara wira Iban yang meneruskan
penentangan termasuklah Kendawang dan saudara tirinya banyang.[75]

Gerakan Asun seperti pemberontakan orang Iban yang lain tidak ditunjangi dengan kesedaran
untuk menggulingkan kerajaan Brooke. Tumpuan gerakan lebih bersifat tempatan, perseorangan dan
kebumiputeraan. Satu sudut pandangan berbeza diberikan oleh Ranee of Sarawak yang menganggap
gerakan Asun paling agresif dan sanggup melakukan apa sahaja untuk mencapai matlamatnya.[76] 
Tetapi  dalam melayan penentangan orang Iban, kerajaan Brooke menanganinya seperti budak sekolah
yang nakal dan bukan sebagai musuh politik yang serius.

Sebagai rumusan, pentadbiran James Brooke bukanlah diterima oleh semua pihak di Sarawak.
Pada peringkat awal lagi Pengiran Muda Hashim cuba menolak tetapi Brooke menggunakan kekuatan
tenteranya  dan gertakkan untuk memperolehi Sarawak. Pada peringkat awal gerakan penentangan
tertumpu di bahagian pantai. Pemimpin-pemimpinya terdiri daripada bangsawan Melayu yang tercabar
kewibawaan tradisionalnya. Penentangan ini Berjaya ditundukkan dengan bantuan tentera laut British dan
kumpulan pro Brooke. Brooke nampaknya Berjaya mengeksploitasi isu lanun untuk mendapat sokongan
dan menghalalkan tindakan.

Orang Cina pula memberontak kerana kerajaan Brooke mencabar tradisi kongsi mereka. Demikian
juga orang Dayak yang tidak mahu amalan tradisi mereka diganggu-gugat. Pada peringkat awal kerajaan
Brooke hanya berdepan dengan orang Dayak kawasan pantai. Bila kumpulan ini ditundukkan mereka
menjadi penyokong kerajaan dan sering digunakan untuk ekspedisi-ekspedisi menghukum di bahagian ulu.
Gerakan penentangan lebih bersifat tempatan dan kebumiputeraan. Terdapat banyak alas an yang
mendorong kebangkitan. Ia menyangkut  persoalan tanah, adat, pembunuhan, penguatkuasaan undang-
undang dan peraturan baru, migrasi dan persoalan-persoalan kecil bersifat peribadi dan tempatan. Namun
kerajaan Brooke berjaya menanganinya dengan kekuatan tentera dan mengeksploitasi permusuhan suku-
suku kaum. Walaupun begitu gerakan protes tidaklah dapat dipadamkan sepenuhnya.

[1] James P. Ongkali, “Pre-Western Brunei”, SMJ (40-41), 1972 : hal. 1-16.


[2] Sabihah Osman, Perkembangan Pelajaran Bumiputera Sarawak, 1990 : hal. 15-16.
[3] Buyung Adil, Sejarah Sarawak, 1981 : hal. 11.
[4] S. Baring-Gould dan C.A. Bampfylde, A History of Sarawak Under. Its Two White Rajahs, 1839-1908,
London, 1909.
[5] Steven Runciman, The White Rajahs, 1960 : hal.69.
[6] Lihat, Buyung Adil, op.cit., hal. 22-24.
[7] Ibid, hal. 24-25.
[8] Sabihah Osman, Perkembangan Pelajaran Bumiputera Sarawak, op.cit., hal. 26.
[9] Robert Pringle,Rajahs and Rebels, 1970 : hal. 97-134.
[10] Sabihah Osman, Malay Muslim Political Participation, Sabah Society Journal, Vol. VIII, 1982 (2): hal.
288.
[11] Joan Rawlins, Sarawak, 1839-1968, 1969 : hal.49.
[12] Sabihah Osman, Perkembangan Pelajaran Bumiputera Sarawak, op.cit., hal. 19.
[13] Graham Irwin, Borneo Abad Kesembilan Belas, 1986 : hal. 1981.
[14] Buyung Adil, Sejarah Sarawak. Op.cit., hal. 35.
[15] Joan Rawlins, Sarawak 1839-1968, op.cit., hal. 51.
[16] Robert Pringle, Rajahs and Rebels, hal. 113.
[17] Joan Rawlins, Sarawak 1839-1968, op.cit., hal. 91.
[18] Nicholas Tarling, Britain, Brooke and Brunei, 1971 : hal. 110-111.
[19] Tuton Kaboy, “The Murder of Steele and Fox : Two Versions”, SMJ, 1965 : hal. 207-210.
[20] S. Baring-Gould dan C.A. Bampfylde, A History of Sarawak Under. Its Two White Rajahs, 1839-1908,
op.cit., hal : 220.
[21] Lihat, Versi Sharif Masyhur dalam Robert Pringle, “The Murder of Fox and Steele : Mashor’s
Versions”. SMJ, 1965 : hal. 215.
[22] Joan Rawlins, Sarawak 1839-1968, op.cit., hal. 94.
[23] Ibid, hal. 94-95.
[24] Buyung Adil, Sejarah Sarawak, op.cit., 73-74.
[25] Ibid, hal. 75.
[26] Joan Rawlins, Sarawak 1839-1968, op.cit., hal. 111.
[27] Daniel Chew, Chinese Pioneers on the Sarawak Frontier, 1841-1941, 1990 : hal. 18-23.
[28] Ibid, hal, 23.
[29] John M. Chin, The Sarawak Chinese, 1981 : hal. 27-28.
[30] Daniel Chew, Chinese Pioneers on the Sarawak Frontier, 1841-1941, op. cit., hal. 23.
[31] John M. Chin, The Sarawak Chinese, op.cit., hal. 28.
[32] Ibid, hal. 30.
[33] Ibid, hal. 32-34.
[34] Daniel Chew, Chinese Pioneers on the Sarawak Frontier, 1841-1941,op.cit, hal. 31.
[35] Robert Payne, The White Rajahs of Sarawak, 1960: hal.86.
[36] Steven Runimen,The White Rajahs, 1960 : hal 126.
[37] Robert Payne, The White Rajahs of Sarawak, op. cit., hal. 86.
[38] Daniel Chew, Chinese Pioneers on the Sarawak Frontier, 1841-1941, op. cit., hal. 32.
[39] John M. Chin, The Sarawak Chinese, op. cit., hal. 36.
[40] Spencer St. John, Life in Forests of the Far East, Vol.2, 1974 : hal.  354-358.
[41] Benedict Sandin, The Sea Dayaks of Borneo, 1967 : hal. 65-71.
[42] Peter Metcalf, A Borneo Journry Into Death, 1982 : hal. 112-136.
[43] Joan Rawlins, Sarawak 1839-1968, op. cit, hal. 76-77.
[44] Robert Pringle, Rajahs and Rebels, op. cit., hal. 107-110.
[45] Joan Rawlins, Sarawak 1839-1968, op. cit, hal. 79.
[46] Maran Ramping, Rentap Pahlawan Iban, 2001: hal. 5.
[47] Benedict Sandin, “Iban Leaders”, SMJ, 1970 : hal. 89.
[48] S. Baring-Gould dan C.A. Bampfylde, A History of Sarawak Under. Its Two White Rajahs, 1839-1908,
op.cit., hal : 387.
[49] Robert Pringle, Rajahs and Rebels, op. cit., hal. 220.
[50] Istilah ‘pagan’ bermaksud masyarakat yang berpegang kepada amalan dan kepercayaan nenek
moyang.
[51] Benedict Sandin, ‘Iban Hero Dreams and Apparitions, SMJ, 1966 : hal. 118-119.
[52] Ibid, hal. 216.
[53] Ibid, hal. 222.
[54] Ibid, hal. 223.
[55] Istilah ‘pati nyawa’ bermaksud ganti rugi yang dijelaskan oleh pihak tertentu.
[56] Benedict Sandin, The Sea Dayak of Borneo, 1967 : hal. 9.
[57] Robert Pringle, Rajah and Rebels, op. cit., hal. 224-225.
[58] Joan Rawlins, Sarawak 1839-1968, op. cit, hal. 122.
[59] Ibid, hal. 232.
[60] A.B. Ward, Rajah’s Servant, Cornell University, 1966 : hal. 121-122.
[61] Robert Pringle, Rajah and Rebels, op. cit., hal. 233.
[62] Joan Rawlins, Sarawak 1839-1968, op. cit, hal. 125.
[63] Eric Jensen, The Iban andTheir Religion, 1974 : hal. 23-24.
[64] Ibid, hal. 25-27.
[65] Robert Pringle, ‘Asun’s Rebbellion’, SMJ  Vol. xiv, hal. 350-351.
[66] Benedict Sandin, The Sea Dayak of Borneo, op.cit., hal. 10.
[67] Robert Pringle, ‘Asun’s Rebbellion’, op.cit.,  hal. 352.
[68] Ulla Wagner, Colonialism and Iban Warfare, 1972 : hal. 116-152.
[69] Robert Pringle, ‘Asun’s Rebbellion’, op.cit.,  hal. 351.
[70] Ibid, hal. 352.
[71] R.Steven, The White Rajahs, 1960 : hal.240.
[72] Robert Pringle, ‘Asun’s Rebbellion’, op.cit.,  hal. 356.
[73] Ibid, hal. 359.
[74] R.Steven, The White Rajahs, op.cit., hal.240.
[75] Robert Pringle, ‘Asun’s Rebbellion’, op.cit.,  hal. 360-365.
[76] Ranee of Sarawak, The Three White Rajahs, 1939 : hal. 208-209.

Rujukan:

Buyung Adil, Sejarah Sarawak, Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka, 1981.
Pringgle, R., ‘Asun’s Rebbellion’:  The Political Growing Pains of a Tribal Society in Brooke Sarawak, 1929-
40’, SMJ, 1968.
_________, Rajah and Rebels, Kuala Lumpur : Macmillan, 1970.
Rence of Sarawak (Sylvia Leonara Brooke), The Three White Rajahs, London : Cassell, 1939.
Rawlins, J., Sarawak 1839-1968, London : Macmillan, 1969.
Runciman, Steven, The White Rajahs : History of Sarawak From 1841 to 1946, London : Cambridge
University Press, 1960.
Sandin, The Sea Dayaks of Borneo Before White Rajah Rule, Singapore : Asia Pacific Press, 1967.
________, ‘Iban Hero Dreams and Appariations’, SMJ, 1966.
________, ‘Iban Leaders’, SMJ, 1970.
Sabihah Osman, Perkembangan Pelajaran Bumiputera Sarawak, 1841-1941, Kuala Lumpur : Dewan
Bahasa dan Pustaka, 1990.

Anda mungkin juga menyukai