Anda di halaman 1dari 2

Nama : Lyle Sean Rafael Lazilix

Sekolah : SK Dallas, Kota Belud

Sejambak mawar, seharum kasturi buat peneraju majlis. Yang dihormati panel juri teguh saksama, penjaga masa yang
setia dengan pergerakan masa, guru-guru berdedikasi serta rakan-rakan penerus wawasan negara. Selamat pagi, salam
sejahtera dan salam Negaraku Malaysia. Pada pagi yang indah ini, saya akan menceritakan sebuah cerita yang menarik
bertajuk, PuteraTimun Selamat daripada Ancaman Gergasi. Kawan-kawan, sila duduk dan dengarlah cerita saya.

Pada zaman dahulu, ada perempuan tua yang tinggal di dalam hutan. dia hidup seorang diri. Dia ingin
akan seorang anak sebagai peneman. Pada suatu hari, datang gergasi ke tempat tinggalnya. Gergasi itu
meminta seorang manusia daripada perempuan tua itu. Katanya, dia sudah lama tidak makan daging manusia.

Namun begitu, perempuan tua itu mengatakan bahawa dia juga tidak mempunyai anak dan tidak
mampu untuk menunaikan permintaan gergasi tersebut. Gergasi itu pun memberikan timun dan meminta
perempuan tua itu untuk menanam timun tersebut di hadapan rumah. Apabila genap tahun, gergasi itu berjanji
untuk datang semula .

Perempuan tua itu pun menanam timun pemberian gergasi tersebut. Pada keesokan harinya, timun itu
mulai berbuah sebiji. Semakin hari, semakin besar timun itu. Apabila timun itu sudah cukup matang,
perempuan tua tersebut memetik timun tersebut. Dia pun membelah timun itu dan alangkah terkejutnya
perempuantua itu apabila mendapati terdapat bayi lelaki comel dalam timun tersebut. Lalu, dia pun
menamakan lelaki itu Putera Timun.

Putera Timun dijaga oleh perempuan tua itu bagai menatang minyak yang penuh. Putera Timun
dibesarkan dengan penuh kasih sayang. Sedetik pun Putera Timun tidak berpisah daripada perempuan tua itu.

Haa... kawan-kawan, apakah yang terjadi apabila genap enam tahun? Adakah gergasi itu akan datang?

Apabila genap enam tahun, gergasi itu datang ke rumah perempuan tua itu untuk menuntut janji.
Namun begitu, perempuan tua itu merayu untuk diberikan dua tahun lagi kerana masih belum puas bersama-
sama dengan Putera Timun. Gergasi itu berasa kasihan dan bersetuju untuk memberikan masa dua tahun lagi
kepada perempuan tua.

Setelah gergasi itu pergi meninggalkan rumah perempuan tua tersebut, perempuan tua itu mulai
memikirkan cara untuk menyelamatkan Putera Timun daripada dimakan gergasi tersebut. Kawan-kawan,
apakah cara untuk menyelamatkan Putera Timun? Hmm...

Apabila sudah hampir dua tahun, perempuan tua itu pun menyuruh Putera Timun untuk bertemu
dengan orang bertapa di dalam gua. Dia menyuruh Putera Timun untuk meminta pertolongan daripada orang
bertapa itu.

Setelah mendengar permintaan Putera Timun, orang bertapa itu memberikan empat bungkusan kepada
Putera Timun. Bungkusan pertama berisi timun, kedua berisi dengan jarum. Ketiga berisi dengan garam dan
yang keempat pula adalah berisi dengan belacan. Hmm... dalam fikiran kawan-kawan, mengapakah orang
bertapa itu memberikan empat bungkusan itu kepada Putera Timun?

Haa... orang bertapa itu menyuruh Putera Timun untuk lari ke arah matahari terbit apabila dikejar oleh
gergasi. Kemudian , lemparkan bungkusan pertama, kedua, ketiga dan keempat dengan tertib untuk
menghalang gergasi itu.

Putera Timun memahami pesanan orang bertapa itu dan mengucapkan terima kasih. Setibanya di
rumah, dia melihat gergasi yang tinggi dan gagah itu sedang berdiri di halaman rumahnya dan sedang
bercakap dengan ibunya.
Ibu Putera Timun, Si Perempuan tua itu mengatakan kepada gergasi bahawa Putera Timun tidak ada
dan dia sanggup menggantikan Putera Timun untuk dimakan oleh Sang Gergasi yang jahat itu. Putera Timun
sebak mendengar kata-kata ibunya . “Besar sungguh pengorbanan ibu,”bisiknya dalam hati. Putera Timun
keluar dari tempat persembunyian dan terus mendapatkan ibunya.

Apabila gergasi itu melihat Putera Timun, dia menghentakkan kakinya dengan kuat dan mukanya
merah menahan marah kerana ditipu oleh Si Perempuan Tua. Dia cuba menangkap Putera Timun tetapi
dengan pantas Putera Timun melarikan diri. Putera Timun pun berlari menuju ke arah matahari terbit. Langkah
gergasi begitu pantas mengejar Putera Timun. Putera Timun melemparkan bungkusan pertama. Dengan tidak
disangka-sangka, tumbuh hutan tebal dengan pohon timun. Pohon timun itu membelit kaki, tangan, dan badan
gergasi. Belitan timun itu melambatkan pergerakan Gergasi. Tapi malangnya, dengan kekuatan Gergasi dia
berjaya melepasi hutan timun itu dan mengejar Putera Timun.

Putera timun pun segera melemparkan bungkusan kedua dan tumbuh hutan buluh dengan duri yang
tajam. Habis luka kaki dan tubuh gergasi terkena duri. Walaupun begitu, gergasi itu berjaya mengharunginya
dan masih gagah mengejar Putera Timun. Kali ini, Sang Timun melemparkan bungkusan ketiga. Terbentang
lautan masin di belakang Putera Timun. Luka pada tubuh Gergasi terasa pedih merenangi lautan masin.
Apabila Sang Gergasi semakin hampir, Putera Timun melemparkan bungkusan keempat, maka terjadilah
lautan mendidih. Gergasi itu meraung kesakitan dan mati di lautan mendidih itu. Haa...padan muka gergasi itu!

Setelah gergasi itu mati, Putera Timun pun berjalan ke arah matahari terbenam. Dia pun pulang ke
rumahnya dan memeluk ibunya, Si Perempuan Tua dengan erat dan mengatakan “Saya sayang ibu sepenuh
hati!”

Kawan-kawan pengajaran daripada cerita ini ialah dalam menghadapi saat-saat getir kita harus bijak
berfikir seperti si Perempuan Tua yang bijak mencari jalan menyelamatkan puteranya dari dimakan gergasi. Di
samping itu, kita haruslah berani menentang musuh seperti Putera Timun yang berani berhadapan dengan
Gergasi yang berbadan besar. Akhir sekali, kita haruslah menyayangi ibu kita yang menjaga kita sejak kecil
lagi. Selagi ibu masih hidup, jaga dan berbaktilah kepada mereka kerana ibu adalah pintu masuk syurga untuk
kita.

Nasi goreng rasanya gurih,

Dimakan bersama di Kota Batu,

Ku ucapakan terima kasih,

Atas semua perhatianmu.

Sekian.

Anda mungkin juga menyukai