Anda di halaman 1dari 3

1.

SOALAN

APA YANG DIMAKSUDKAN DENGAN KEMPEN NAFAS BARU BERMULA RAMADHAN

JAWAPAN

Kempen Nafas Baru Bermula Ramadhan merupakan beberapa siri kempen menggalakkan orang
ramai berhenti merokok. Nama Kempen Nafas Baru Bermula Ramadhan diambil bersesuaian
dengan kedatangan bulan Ramadhan Al-Mubarak iaitu merupakan peluang yang sangat baik
kepada orang-orang islam untuk meninggalkan tabiat merokok.

Sempena dengan bukan Ramadhan ini, kita akan menyahut tuntutan Rukun Islam dan adalah
menjadi kewajipan bagi setiap orang Islam menunaikannya. Di sebalik itu, bulan Ramadhan ini
kita gunakan dengan sebaik mungkin peluang ini untuk merenung sejenak perbuatan kita iaitu
merokok, yang seperti kita sedia maklum, hukumnya adalah haram. Majlis fatwa kebangsaan
pada tahun 1995 telah menetapkan bahawa merokok hukumnya adalah haram.

Banyak penguasa hal ehwal agama di negara-negara Islam dan para ulama’ tersohor dunia
meletakkan hukuman Haram terhadap penggunaan tembakau (rokok) ini.

2. SOALAN

APA YANG MENYEBABKAN KEMENTERIAN KESIHATAN MEMENTINGKAN KEMPEN-


KEMPEN ANTI MEROKOK KHUSUSNYA KEMPEN NAFAS BARU BERMULA RAMADHAN ?

JAWAPAN

Seperti yang kita sedia maklum, merokok adalah perbuatan yang tidak berfaedah. Terdapat 40
jenis penyakit yang dikaitkan dengan merokok yang kebanyakannya boleh membawa maut
seperti penyakit kanser, penyakit jantung, strok, emfisima dan bronkitis kronik.

Di samping itu, merokok menyebabkan ketagihan. Ini adalah kerana rokok mengandungi bahan
nikotin iaitu sejenis dadah yang kesannya akan membawa padah yang buruk seperti mendorong
seseorang khususnya remaja terlibat dengan masalah penagihan dadah, ia turut menjejaskan
stamina, boleh menyebabkan penyakit-penyakit akut seperti mengalami masalah penyakit gusi
dan jangkitan saluran pernafasan.

Malah kajian juga mendapati, merokok mempercepatkan proses penuaan seseorang di samping
menjejaskan kesuburan lelaki dan kesanya menyebabkan lelaki mati pucuk. Asap rokok juga
mendatangkan kesan buruk kepada ahli keluarga perokok, terutamanya kanak-kanak.

Justeru itu, Kementerian Kesihatan menggunakan asas ini dalam mengadakan sesuatu kempen
untuk membantu orang ramai khsusunya perokok. Kempen Nafas Baru ini juga diadakan
kerana daripada statistik yang ada, mendapati perokok di negara kita yang paling ramai adalah
dalam kalangan orang Islam. Inilah hasrat utama Kementerian Kesihatan mengadakan Kempen
Nafas Baru Bermula Ramadhan.
3. SOALAN

BAGAIMANA KEMPEN NAFAS BARU BERMULA RAMADHAN INI DIJALANKAN.

JAWAPAN

Untuk makluman semua, khususnya perokok dan ahli-ahli keluarga lain, Kempen Nafas Baru
Bermula Ramadhan ini telah dimulakan sejak tahun 2003 lagi. Sebenarnya kempen ini adalah
pelaksanaan beberapa program dan aktiviti yang dijalankan di peringkat kebangsaan dan diikuti
di peringkat negeri-negeri.

Berbagai pendekatan dan strategi kita gunakan dalam kempen ini. Kita menggunakan berbagai
saluran media untuk menghebahkan tentang kempen dan menyampaikan maklumat-maklumat
berkaitan merokok. Antaranya kita menerbitkan poster-poster Nafas Baru, risalah-risalah,
sepandok, bunting dan sebagainya. Kementerian Kesihatan juga turut menggunakan saluran TV
untuk siarkan iklan Nafas baru untuk menyampaikan maklumat dan juga penggunaan radio di
peringkat negeri dan kebangsaan. Ini semua untuk memberi kesedaran kepada perokok agar
mengambil kesempatan sempena bulan Ramadhan untuk berhenti merokok.

Aktiviti-aktiviti berunsur memberi pendidkan turut diadakan umpamanya kita mengadakan


seminar dan forum Nafas Baru di negeri-negeri yang melibatkan orang ramai dan juga
Jawatankuasa Masjid. Pihak Kementerian Kesihatan melalui Jabatan Kesihatan Negeri dengan
kerjasama JAKIM serta Jabatan Agama Islam Negeri menerbitkan Khutbah Jumaat untuk dibaca
pada hari jumaat.

Di samping beberapa rencana dan iklan berkaitan merokok juga diterbitkan di dalam akhbar-
akhbar tempatan.

Kita juga mengadakan bengkel-bengkel motivasi nafas baru bermula bulan Ramadhan. Aktiviti-
aktiviti promosi turut dilaksanakan iaitu di Bazar Ramadhan, Pusat-Pusat Membeli Belah,
mengedar poster ke Masjid dan Surau dan sebagainya.

4. SOALAN

BAGAIMANA JIKA SEKIRANYA ORANG RAMAI KHUSUSNYA PEROKOK UNTUK


MENDAPATKAN KHIDMAT BERHENTI MEROKOK SEMPENA BULAN RAMADHAN INI ?

JAWAPAN

Sekiranya tuan-tuan telah membuat keputusan untuk berhenti merokok mulai bulan Ramadhan
ini, sila dapatkan maklumat dan nasihat di Kinik Kesihatan Berhampiran atau menghubungi
infoline Berhenti Merokok yang disediakan di Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian
Kesihatan Malaysia iaitu 03 – 8883 4400. Tuan-tuan akan diberikan maklumat yang diperlukan.
5. SOALAN

KENAPA BULAN RAMADHAN DIJADIKAN SEBAGAI BULAN BERMULANYA BERHENTI


MEROKOK ?

JAWAPAN

Kita dapati, orang Islam khususnya lelaki yang merokok, mereka dapat menahan diri daripada
lapar dan dahaga ketika berpuasa. Tetapi setelah berbuka, mereka kembali menghisap rokok
dengan jumlah yang banyak, konon-kononya membalas dendam tidak merokok pada hari
berpuasa. Saya berpendapat ini bukan satu tabiat yang bijak, malah tabiat yang bodoh yang
menghumbankan diri ke kencah kehancuran, membinasakan diri, merosakkan diri dan menjadi
hamba rokok.

Sebagai orang Islam, kita perlu menghambakan diri kepada Allah s.w.t dan bukan
menghambakan diri kepada ROKOK. Bulan Ramadhan merupakan bulan yang seindah-
indahnya dan bermakna bagi perokok untuk berhenti merokok. Saya juga berpendapat, bulan
puasa adalah lebih mudah untuk berhenti merokok. Ambillah peluang ini untuk berhenti.

6. SOALAN

APA HARAPAN KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA DALAM KEMPEN NAFAS BARU


BERMULA RAMADHAN INI ?

JAWAPAN

Orang-orang Islam khususnya perlu mengambil kesempatan di bulan mulia yang penuh barakah
untuk meninggalkan tabiat buruk merokok ini yang langsung tidak mendatangkan faedah kepada
diri dan keluarga.

Kita sentiasa berdoa, mudah-mudahan orang Islam yang merokok diberi kekuatan dan natijah
yang lahir dari hari yang ikhlas untuk berhenti merokok sempena bulan Ramadhan.

Renungilah maksud Ayat 195 dalam surah Al Baqarah iaitu” Dan janganlah kamu membinasakan
diri dengan tangan mu sendiri ”

Bulan Ramadhan bulan yang suci


Tetapkan Iman yakinkan diri
Berhenti merokok mula di sini
Demi keluarga yang disayangi

Anda mungkin juga menyukai