Anda di halaman 1dari 3

Sejambak kasih, seharum kasturi buat peneraju majlis, kombinasi kehakiman yang

berlandaskan neraca keadilan, penjaga masa yang peka tiap detiknya, warga pendidik
yang disanjungi, rakan-rakan seperjuangan seterusnya warga dewan sekalian.
Assalamualaikum pembuka bicara. Tajuk pidato saya pada pagi ini ialah ‘Aedes
Membawa Maut’.

Hadirin yang saya hormati,

Saya yakin, kalian cukup arif dengan perkataan demam denggi dan nyamuk
aedes. Spesis nyamuk aedes cukup mudah untuk dikenali, iaitu mempunyai kaki dan
badan yang berjalur hitam putih selain aktif pada waktu pagi dan petang. Nyamuk ini
boleh menyebarkan wabak demam denggi hanya melalui gigitan. Kes demam denggi
pernah menjadi serius pada tahun 2010 dengan mencatatkan kematian sebanyak
hingga 45 kes sehingga Oktober pada tahun tersebut.

Persoalannya, bagaimanakah kita tahu bahawa diri kita mahupun orang


terdekat dijangkiti wabak ini? Pertama, mereka yang dijangkiti akan diserang demam
panas secara mengejut. Selain itu, terdapat juga binti-bintik merah dan sakit sendi di
seluruh anggota badan pesakit. Mereka yang dihinggapi penyakit ini juga akan sering
loya dan muntah-muntah. Oleh itu, tidak hairanlah jika mereka hilang selera makan
dan kuantiti air dalam tubuh. Jika keadaan ini berlarutan, maka tidak mustahil mereka
akan kurus kering. Realitinya, pesakit hanya akan menganggap demam itu adalah
biasa. Tanggapan ini menyebabkan mereka membiarkannya tanpa menyedari
bahawa penyakit itu boleh membawa maut jika lambat diselamatkan.

Sidang dewan yang dikasihi,

Apakah pula punca-punca yang menyebabkan wabak denggi mudah merebak?


Realitinya, persekitaran yang kotor dengan tin-tin, botol-botol, tayar kereta dan
tempurung kelapa menjadi sarang buat pemangsa ini. Untuk makluman, telur nyamuk
aedes boleh bertahan selama seminggu sekiranya air dalam bekas-bekas tersebut
telah kering. Bayangkan, adakah dalam seminggu itu hujan tidak turun? Selain itu,
kawasan yang ditakungi air seperti pasu bunga, kolah, dan saluran di bumbung juga
menjadi kawasan pembiakan pilihan nyamuk aedes.
Jadi, apakah yang perlu kita lakukan untuk mencegah wabak denggi ini?
Langkah mudah, luangkan masa 10 minit seperti yang dianjurkan oleh Kementerian
Kesihatan Malaysia untuk membersihkan kawasan persekitaran rumah. Antara
tempat yang perlu diberikan perhatian ialah longkang, saluran hujan, kolah, dan pasu
bunga. Bahan-bahan terbuang seperti tin, botol, tayar kereta dan tempurung kelapa
elok ditanam. Bagi barang yang boleh menakung air dan masih berguna, pastikan
diletakkan dalam keadaan terbalik. Apa salahnya jika keluarga meluangkan masa
untuk membersihkan persekitaran rumah?

Hadirin yang dimuliakan,

Selain itu, kita perlu memberikan kerjasama kepada pihak yang datang
menyembur racun atau ‘fogging’ di kawasan perumahan. Adakah anda tahu bilakah
semburan akan dilakukan? Sebaik sahaja menerima aduan berhubung kes denggi di
tempat anda, semburan akan dilakukan secara berkala. Hal ini bagi memastikan telur
nyamuk aedes akan musnah dengan semburan racun tersebut. Oleh itu, pastikan
anda menutup pintu dan tingkap bagi mengelakkan asap semburan itu masuk ke
dalam rumah. Siapa tahu ada nyamuk aedes sedang membiak di sekitar tempat
tinggal anda tanpa pengetahuan sendiri? Jadi, tindakan ini akan boleh
menyelamatkan anda seisi keluarga.

Bagi individu yang mengalam simptom-simptom yang disebutkan, usah takut


untuk datang merujuk ke hospital atau klinik berhampiran. Doktor akan mengambil
sampel darah dan mengujinya sama ada anda benar-benar dihinggapi wabak tersebut
atau tidak. Suntikan vaksin pelali dapat menguatkan daya tahan tubuh dan antibodi
bagi melawan serangan wabak denggi. Jika pesakit berada dalam kondisi tidak stabil,
maka dia akan ditahan dan dirawat di hospital selama beberapa minggu. Keadaan ini
membolehkan pesakit melawan vektor penyakit denggi melalui suntikan yang
diberikan oleh doktor.

Saudara dan saudari sekalian,

Bagi pengguna yang mempunyai kolah dan tempat yang ditakungi dengan air,
penggunaan ubat jentik-jentik juga berkesan. Ubat yang mudah larut ini boleh didapati
daripada klinik dan hospital yang berhampiran. Di samping meletakkannya ke dalam
kolah, ubat ini juga sesuai diletakkan di saluran hujan. Bagi penduduk yang alah
dengan gigitan nyamuk, penggunaan kelambu juga amatlah digalakkan. Kelambu
juga dapat mengelakkan gigitan nyamuk seterusnya mengelakkan ahli keluarga
menjadi korban virus denggi ini. Benarlah kata peribahasa, sebelum ‘nasi menjadi
bubur’, eloklah kita berjaga-jaga kerana ‘mencegah lebih baik daripada mengubati’.

Sesungguhnya, angka kes yang dilaporkan pasti akan meningkat dari sehari
ke sehari andainya tiada langkah proaktif yang dilakukan di rumah. Tiada guna
Kempen Hapuskan Aedes jika masyarakat memandang enteng akan
pelaksanaannya. Ingatlah, 10 minit penentu sama ada anda sekeluarga selamat atau
tidak.

Sekian, terima kasih.

Anda mungkin juga menyukai