Anda di halaman 1dari 4

MEMPERINGATI 145 TAHUN PERJANJIAN PANGKOR

.
Seratus empat puluh lima tahun lalu, pada tanggal 20 Januari 1874 telah
termeterai Perjanjian Pangkor yang telah membawa implikasi yang besar dalam
sejarah tanah air kita.
.
Sebagai penduduk Manjung, apatah lagi orang Pangkor, peristiwa ini sangat dekat
dengan kita dan sewajarnya menjadi peringatan bersama dalam menanggapi masa
depan negara.
.
Perjanjian Pangkor telah berlangsung di atas Kapal HMS Pluto yang berlabuh di
perairan Dinding antara Lumut dan Pulau Pangkor. Antara kesan besar perjanjian
ini adalah, Sultan Perak telah membenarkan Residen British mentadbir negeri-
negeri Melayu bermula di Perak dan akhirnya menjangkau negeri-negeri Melayu
lain.
.
LATAR BELAKANG PERJANJIAN PANGKOR
.
Terdapat 2 isu utama yang membawa kepada termeterainya Perjanjian Pangkor:
.
1. Perang Larut yang menyaksikan pertempuran antara 2 kumpulan kongsi gelap
Cina iaitu Ghee Hin yang dipimpin oleh Chin Ah Yam dan Hai San yang dipimpin
oleh Chung Keng Quee untuk merebut lombong bijih timah. Perang ini
menyebabkan keadaan sosio-politik di Larut yang dipimpin oleh Ngah Ibrahim
menjadi tidak stabil. Industri perlombongan bijih timah yang dijalankan oleh
British turut terjejas.
.
2. Perebutan takhta antara Raja Muda Abdullah dan Raja Bendahara Ismail
setelah kemangkatan Sultan Ali al-Mukammal Inayat Shah. Jika mengikut urutan,
Raja Muda Abdullah sepatutnya ditabalkan menggantikan Almarhum Sultan Ali.
Namun, setelah 30 hari menanti, Raja Muda Abdullah masih tidak hadir
pemakaman Almarhum Sultan Ali untuk dimasyur sebagai pengganti kerana takut
dibunuh oleh Raja Di Hilir Yusuf (kerana persengketaan lama). Akhirnya, Orang-
orang Besar Perak yang diketuai oleh Menteri Larut Ngah Ibrahim
mengisytiharkan Raja Bendahara Ismail sebagai pengganti Sultan Ali dengan
gelaran Sultan Ismail Mu’abidin Riayat Shah dan bersemayam di Belanja, Parit.
.
Disebabkan 2 peristiwa ini, Raja Muda Abdullah telah meminta pertolongan
British dengan menulis surat kepada Gabenor Negeri Selat Sir Andrew Clarke.
Dalam surat tersebut, Raja Muda Abdullah menyatakan hasrat untuk meletakkan
Perak di bawah naungan Inggeris dengan syarat-syarat tertentu.
.
Surat ini memberikan British ruang dan peluang untuk menguasai negeri Perak
seterusnya memonopoli perlombongan bijih timah yang sememangnya banyak di
negeri Perak. Bertitik tolak daripada itu, British telah bersetuju untuk
‘membantu’ Raja Muda Abdullah dan akhirnya Perjanjian Pangkor pun diatur dan
ditandatangani.
.
Antara isi penting Perjanjian Pangkor:
.
1. Raja Muda Abdulah diiktiraf sebagai Sultan Perak yang baru dengan gelaran
Sultan Abdullah.
.
2. Raja Bendahara Ismail (Sultan Ismail), diturunkan takhta dan dibenar
menggunakan gelaran Sultan Muda dengan diberi pencen 1000 sebulan dan
sebuah wilayah kecil di Belanja diserahkan kepadanya.
.
3. Menteri Larut Ngah Ibrahim dilucutkan jawatan daripada menjadi penguasa
wilayah bijih timah Larut.
.
4. Sultan menerima dan menyediakan sebuah kediaman yang sesuai untuk seorang
pegawai British yang dinamakan Residen. Pegawai ini akan ditauliahkan ke istana
Sultan, dan nasihatnya mestilah diminta dan diambil tindakan atas semua
persoalan selain yang menyentuh agama Islam dan adat istiadat orang Melayu.
.
KESAN PERJANJIAN PANGKOR
.
Akibat daripada perjanjian ini, Sir James W.W. Birch telah dilantik sebagai
Residen British yang pertama di Negeri Melayu. Dengan perlantikan ini, J.W.W.
Birch telah campurtangan dalam semua urusan pentadbiran Negeri Perak
sehingga mengetepikan peranan Sultan dan para pembesar.
.
Hal ini telah menyebabkan Sultan Abdullah tidak puas hati dan bertindak
menyusun konspirasi bersama Dato Maharaja Lela, Datuk Sagor, Si Puntum,
Pandak Endut, Laksamana Mohamad Amin, Ngah Ibrahim dan lain-lain untuk
membunuh J.W.W. Birch. Turut sama dalam rencana ini adalah seteru lama
Sultan Abdullah iaitu Sultan Muda Ismail (Raja Ismail).
.
Akhirnya, pada tahun 1875, J.W.W. Birch telah dibunuh di Pasir Salak. Dato
Maharaja Lela, Datuk Sagor, Si Puntum, dan Pandak Endut telah dibicarakan di
Larut dan dijatuhi hukuman mati. Sultan Abdullah, Laksamana Mohamad Amin
dan Orang Kaya Ngah Ibrahim pula dibuang negeri ke Pulau Seychelles.
.
Sultan Muda Ismail pula bertindak melarikan diri ke Kedah dengan menaiki gajah.
Dalam pertengahan bulan Januari 1876, Sultan Ismail yang telah masuk ke negeri
Kedah bersama para pengikutnya. Baginda telah meminta perlindungan daripada
Sultan Kedah, Sultan Zainul Rashid II. Sultan Kedah pula tidak mahu melindungi
orang yang diburu oleh pihak British. Baginda telah memberitahu perkara
tersebut kepada Lt. Colonel Anson (Gabenor British di Pulau Pinang) dan baginda
telah diminta supaya membenarkan Sultan Muda Ismail memasuki sempadan
Kedah dan kemudian menyerahkan Sultan Muda Ismail kepada British di Pulau
Pinang. Pada 20 Mac 1876 baginda bersama 18 orang pengikutnya dibawa ke Pulau
Pinang untuk berjumpa dengan Lt. Colonel Anson.
.
Lt. Colonel Anson telah menulis berkenaan peristiwa Sultan Muda Ismail dibawa
bertemu beliau:
"Pada 23 Mac 1876, Raja Ismail telah dibawa ke pejabat saya di Pulau Pinang, dan
beliau telah menyerahkan kepada saya segala Alat Kebesaran Kerajaan Negeri
Perak. Saya dapati beliau seorang tua yang baik dan menyukakan hati. Saya
sangat belas kasihan kepadanya. Oleh sebab Alat Kebesaran itu ada di tangan
beliau, itu menunjukkan beliau adalah Sultan (Perak) yang sebenarnya...Adalah
satu kesilapan besar melantik (Raja) Abdullah yang tak ada apa gunanya itu."
(Haji Buyong bin Adil, 1981, Sejarah Perak, Dewan Bahasa & Pustaka.
.
Sultan Muda Ismail serta Alat Kebesaran Kerajaan Perak dihantar oleh Lt.
Colonel Anson ke Singapura dengan kapal perang H.M.S. Ringdove. Ringdove telah
sampai di Singapura pada 26 Mac 1876. Setelah semua Alat Kebesaran itu
diserahkan kepada Gabenor William Jervois, pada 27 Mac 1876, baginda telah
dihantar ke negeri Johor dan diserahkan di bawah jagaan Maharaja Johor
(Maharaja Abu Bakar). Sultan Muda Ismail mangkat pada 4 September 1889.
Beliau telah dimakamkan di Makam Diraja Bukit Mahmoodiah, Johor Baharu dan
telah diberi gelaran Marhum Mangkat di Sekudai.
.
IKTIBAR
.
1. Penjajahan British di negeri Perak adalah penjajahan sebenar. Walaupun
sebahagian ahli sejarah menyifatkan negeri-negeri Melayu hanya menjadi wilayah
naungan British, namun hakikatnya kita benar-benar dijajah. Benar, secara
teknikalnya, British hanya meletakkan Residen sebagai penasihat. Namun, urus
tadbir negeri tidak lagi dijalankan oleh Sultan dan pembesar, seluruh hasil negeri
dieksploitasi, cukai dibayar kepada British, segala undang-undang dan hubungan
luar dijalankan oleh residen British, urusan rasmi dalam bahasa Inggeris dan
mahkamah dibicarakan oleh British. Walaupun secara ‘on paper’ British
menggunakan istilah naungan (Protectorates), bukankah itu secara hakikatnya
adalah penjajahan?
.
2. Perjanjian Pangkor seharusnya mengajarkan kita betapa ketidakstabilan
ekonomi dan perebutan kuasa antara pemimpin akan membuka ruang kepada
kuasa asing untuk mengintai ruang campurtangan dalam urus tadbir tanah air.
Oleh yang demikian, para pemimpin politik, dalam kerakusan merebut kuasa, perlu
berhati-hati agar tidak sampai menggadaikan kepentingan negara.
.
3. Iklim ekonomi yang kondusif penting dalam menentukan keharmonian sesebuah
negeri. Apabila aktiviti ekonomi terganggu, akan timbul ketidakstabilan sosio-
politik dikalangan rakyat. Oleh itu, penting bagi sesebuah kerajaan untuk
memastikan aktiviti ekonomi berjalan dengan baik tanpa gangguan hingga
menggaggu kestabilan.
.
4. Perebutan kuasa politik ada hadnya. Sebagai pemimpin yang bijaksana dan
berhikmah, dalam amalan demokrasi, sewajarnya menghadkan percakaran politik
ketika pilihanraya sahaja. Selepas tamat pilihanraya, seeloknya seluruh pemimpin
tidak kira sama ada kerajaan atau pembangkang bersama-sama membina negara
dengan ikhlasnya. Terus-menerus bertelagah dalam semua isu hanya merencatkan
pembangunan dan keharmonian negara.
.
5. Pihak yang tewas dalam persaingan kuasa sepatutnya akur dengan keputusan
dan tidak bertindak kurang bijak dengan meminta pertolongan daripada pihak
luar. Sebagaimana yang berlaku kepada Sultan Abdullah yang memohon
pertolongan daripada British, akhirnya memakan diri sendiri sehingga dirinya
sendiri dibuang negeri ke Pulau Seychelles.
.
Perjanjian Pangkor merupakan 'turning point' utama dalam sejarah negeri Perak
dan tanah air kita. Kesannya sangat signifikan hingga mempengaruhi sistem
pentadbiran dan sosio-budaya negara hingga kini. Sebagai rakyat yang cakna dan
prihatin dengan tanah air, seharusnya kita menginsafi peristiwa bersejarah ini
dan menjadikannya sebagai pengajaran untuk mengharungi perjalanan negara
yang semakin mencabar dewasa ini.
Wallahua'lam.
Dr Azizul Salehudin
20 Januari 2019
Manjung, Perak

Anda mungkin juga menyukai