Anda di halaman 1dari 2

Perjanjian Pangkor merupakan satu perjanjian yang ditandatangani pada 20 Januari 1874 di antara

Gabenor Negeri-Negeri Selat Sir Andrew Clarke di pihak Inggeris dan Raja Muda Abdullah yang berkuasa
di Hilir Perak bersama-sama dengan pembesar-pembesar yang menyokong baginda iaitu Bendahara,
Temenggung, Orang Kaya Menteri, Shahbandar, Raja Mahkota, Laksamana dan Dato' Sagor. Perjanjian
ini memberi kebenaran untuk Inggeris mencampuri urusan negeri Perak, satu kesilapan yang telah
dilakukan oleh Raja Abdullah dan membuka kepada campur tangan Inggeris secara rasmi dalam urusan
negeri Melayu. Perjanjian ini telah ditandatangani di atas kapal HMS Pluto yang berlabuh di Selat
Dinding, iaitu di kawasan perairan di antara Lumut dan Pulau Pangkor.

Dengan persetujuan Sultan Abdullah juga, Gabenor Sir Andrew Clarke berani bertindak menjalan dan
menurunkan Sultan Ismail yang berkuasa di Hulu Perak dan bersemayam di Tanjong Belanja, Parit,
daripada pangkat sultan tetapi membenarkan Sultan Ismail memakai gelaran "Sultan Muda" dengan
memberi pencen 1,000 ringgit tiap-tiap bulan. Che Ngah Ibrahim tidak lagi diakui sebagai pemerintah
Larut.

Sebab

Perak pada masa itu merupakan pengeluar bijih timah utama yang mendahului United Kingdom pada
abad ke-19. Sementara Inggeris, yang pada masa itu sudah mendapat Pulau Pinang, Melaka dan
Singapura, menganggap Perak sebagai satu negeri yang amat penting. Tetapi keadaan yang tidak stabil
seperti Perang Larut dan pergaduhan antara kongsi gelap Cina mengganggu perniagaan bijih timah
ketika itu.

Perjanjian ini berputik daripada kemangkatan Sultan Ali pada tahun 1871. Raja Abdullah, sebagai Raja
Muda, sepatutnya dilantik sebagai sultan baru akan tetapi disebabkan baginda tidak menghadiri upacara
pengkebumian, Raja Bendahara Raja Ismail telah dilantik. Raja Bendahara Ismail diangkat dan ditabalkan
kerana mengikut istiadat pertabalan Raja-raja Melayu, baginda adalah sultan yang sah oleh kerana
baginda memiliki alat-alat kebesaran diraja (regalia). Baginda berkuasa dan mempunyai pengikut-
pengikut yang ramai di Hulu Perak.

Perasaan tidak puas hati mendorong Raja Abdullah meminta bantuan Inggeris. Pada masa yang sama,
berlaku permusuhan dua kongsi gelap Cina, Ghee Hin yang dipimpin oleh Chin Ah Yam dan Hai San yang
dipimpin oleh Chung Keng Quee untuk merebut lombong bijih timah.

Raja Abdullah meminta pertolongan Inggeris untuk menyelesaikan dua masalah tersebut. Menurut Lucy
Bird (1831-1904) dalam bukunya "The Golden Chersonese and The Way Thither" (diterbitkan pada tahun
1892 oleh G.P Putnam dan Anak-anak), Raja Abdullah meminta pertolongan rakannya di Singapura, Tan
Kim Ching. Tan bersama seorang pedagang Inggeris di Singapura merangka surat kepada Gabenor Sir
Andrew Clarke yang ditandatangani oleh Abdullah. Dalam surat tersebut, Abdullah menyatakan hasrat
untuk meletakkan Perak di bawah naungan Inggeris. Pada 26 September 1872, Chung Keng Quee
menghantar petisyen yang ditandatanganinya serta 44 orang lagi ketua orang Cina, meminta
campurtangan Inggeris selepas diserang 12,000 orang-orang Chung San. Pihak Inggeris melihat perkara
ini sebagai peluang keemasan untuk mengembangkan pengaruhnya di Asia Tenggara dan monopoli
perdagangan bijih timah. Hasilnya, Perjanjian Pangkor ditandatangani pada tahun 1874

Syarat
Perjumpaan mesyuarat Raja Muda Abdullah, Sir Andrew Clarke dan beberapa Orang-orang Besar Perak
tanpa kehadiran Sultan Ismail dan Raja Yusuf di Pulau Pangkor pada 20 Januari 1874 telah menghasilkan
Perjanjian Pangkor dan syarat-syaratnya adalah seperti berikut:

“ Raja Muda Ibrahim diangkat menjadi Sultan Perak, Bendahara Ismail bekas Sultan itu
dibenarkan memakai gelaran Sultan Muda; Sultan Perak hendaklah menyediakan tempat
Residen itu, nasihat Residen British hendaklah diikuti kecuali pada perkara-perkara yang
mengenai agama dan adat orang-orang Melayu; fasal menjaga dan memungut segala cukai dan
hasil negeri, demikian pula aturan pemerintahan Am hendaklah ditetapkan dengan nasihat
Residen British. ”

Kesan

Raja Ismail tidak mengiktiraf perjanjian tersebut tetapi nasi sudah menjadi bubur. Raja Abdullah diiktiraf
Inggeris sebagai sultan dan Sir James W.W. Birch menjadi Residen Inggeris yang pertama di Perak.
Berikutan dengan perjanjian ini, Inggeris terlibat secara langsung dalam urusan pentadbiran negeri
Melayu.

Campurtangan Residen Inggeris telah menimbulkan rasa tidak senang di kalangan orang-orang Melayu,
khasnya golongan istana yang merasa kuasa mereka telah hilang. Rasa tidak senang itulah yang
membuka jalan nekad orang Melayu Perak bertindak. Tanpa takut dan gentar, mereka telah berpakat
membunuh Birch yang berjaya dilakukan pada tahun 1875 di Pasir Salak. Kejadian ini mengakibatnya
beberapa siri peperangan antara Melayu Perak dan Inggeris hingga tahun 1876.

Ramai wira negeri Perak yang terlibat dalam pembunuhan Birch telah ditangkap dan dihukum bunuh.
Antaranya Dato Maharaja Lela, Datuk Sagor, Si Puntum, Pandak Endut, Laksamana Mohamad Amin,
Ngah Ibrahim dan lain-lain. Sultan Abdullah pula disingkir ke Pulau Seychelles.

Walaupun wira-wira bangsa ini berjaya dibunuh oleh Inggeris, namun peristiwa Pasir Salak itu telah
mengajar Inggeris bahawa mereka tidak boleh mengambil mudah dan memperbodohkan orang Melayu.

Dengan berjaya membantutkan penentangan Melayu, Inggeris berjaya mengukuhkan kedudukannya di


Perak dan kemudiannya membuka lebih banyak lombong bijih timah di Perak dan ladang-ladang getah.
Perak bersama Negeri Sembilan, Selangor dan Pahang kemudiannya dikenali dengan Negeri-negeri
Melayu Bersekutu.

Anda mungkin juga menyukai