Anda di halaman 1dari 1

Jiran merupakan orang yang tinggal berhampiran dengan rumah kita.

Selain dapat
memupuk persefahaman sesama penduduk, semangat sebegini dapat
menyatupadukan masyarakat yang terdiri daripada pelbagai kaum di negara kita.
Walaupun khalayak sedia maklum akan kepentingan semangat kejiranan, namun
masih ramai dalam kalangan masyarakat yang memandang enteng akan
kepentingannya. Pada zaman dahulu, hubungan sesama jiran sangat rapat, bak kata
pepatah, hidup sandar-menyandar ‘seperti aur dengan tebing’. Dasawarsa ini,
hubungan sesama jiran semakin renggang ‘bagai enau dalam belukar, melepaskan
pucuk masing-masing’. Persoalannya, bagaimanakah kita boleh merapatkan
hubungan yang semakin renggang ini?

.....Pelbagai langkah yang boleh diambil untuk memupuk semangat kejiranan,


antaranya adalah dengan menghidupkan kembali konsep rukun tetangga di kawasan
perumahan mereka. Rukun tetangga merupakan satu badan yang berfungsi untuk
mengawal keselamatan kawasan perumahan, terutamanya pada malam hari. Aktiviti
ini memerlukan pembabitan semua pihak tanpa mengira kaum yang secara tidak
langsung mampu menanam semangat kejiranan ketika melakukan rondaan bersama-
sama. Ketidaksamaan taraf sosial dapat dilupuskan melalui rukun tetangga kerana
dalam konsep badan ini, semua orang berada pada martabat yang sama, seperti kata
orang tua, ‘duduk sama rendah, berdiri sama tinggi’.

.....Selain itu, kita juga perlu menyuburkan kembali amalan bergotong-royong. Hal ini
membolehkan masyarakat bersama-sama menjalankan pelbagai aktiviti seperti
membersihkan kawasan kediaman, memperbaiki alat kelengkapan di taman-taman
perumahan, menebas semak-samun yang mungkin menjadi tempat persembunyian
para penjenayah dan sebagainya. Aktiviti ini juga boleh melahirkan semangat
kerjasama sesama jiran, bak kata peribahasa ‘berat sama dipikul, ringan sama
dijinjing’.

.....Di samping itu, kempen mengadakan amalan rumah terbuka juga merupakan
salah satu langkah yang boleh menghidupkan kembali semangat kejiranan. Melalui
amalan ini, ziarah-menziarahi dapat diwujudkan dalam kalangan masyarakat
terutama pada hari-hari perayaan kaum masing-masing. Amalan rumah terbuka ini
memberi ruang kepada masyarakat untuk menjalin kemesraan walaupun mereka
menyambut perayaan yang berbeza. Sebagai contoh, penduduk berketurunan India
menziarahi jirannya yang beragama Islam pada Hari Raya Aidil Fitri.

.....Malahan, hubungan kejiranan dapat dipererat melalui aktiviti menziarahi jiran


tetangga. Amalan ziarah-menziarahi dan bertanya khabar dapat menyemarakkan rasa
prihatin. Umpamanya, apabila jiran ditimpa kemalangan, dan ada kematian,
kunjungan jiran tetangga sedikit sebanyak dapat mengurangkan rawan yang
bersarang dalam lubuk hati. Apabila berkunjung, usah lupa membawa ‘buah tangan’
seperti buah-buahan, manisan atau hadiah sebagai tanda ingatan. Kata orang, ‘ke
bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni’.

Anda mungkin juga menyukai