Anda di halaman 1dari 1

Objektif kajian

Kajian ini dijalankan bertujuan untuk mengkaji pengurusan disiplin dan tingkahlaku pelajar di
SMK DESA TUN HUSSEIN ONN, khususnya berkaitan dengan tahap pengetahuan dan amalan
pengurusan tingkahlaku disiplin pelajar. Antara objektif kajian ini adalah untuk mengenal pasti
tahap pengetahuan dan kemahiran guru-guru di SMK DESA TUN HUSSEIN ONN dalam
melaksanakan pengurusan disiplin pelajar di sekolah. Selain itu, untuk mengenal pasti sama ada
terdapat perbezaan dari segi tahap pengurusan disiplin pelajar berdasarkan faktor demografi iaitu
jantina guru. Objektif Kajian ini menjelaskan bahawa tahap kecekapan pengurusan disiplin
dalam kalangan guru mampu memberi impak yang besar terhadap kecemerlangan sekolah.
Kajian ini juga dijalankan bagi mencari maklumat yang tepat tentang perkembangan disiplin
semasa di dalam sekolah atau di luar kawasan sekolah, garis panduan tatacara perlaksanaan
disiplin, jenis–jenis pelajar yang terlibat dengan masalah disiplin, mengenal pasti punca masalah
disiplin, mengetahui kemahiran menyelesaikan masalah, kaedah berkomunikasi dengan ibu bapa
penjaga secara berkesan, program-program pemantapan disiplin dan hukuman yang sesuai
dikenakan ke atas murid mengikut kesalahan disiplin yang dilakukan. Di samping itu, kajian ini
juga dijalankan untuk mengetahui tahap pengetahuan dan kemahiran guru dalam pengurusan
disiplin di sekolah iaitu tahap pengetahuan guru terhadap prinsip-prinsip asas disiplin, tahap
pengetahuan guru terhadap program pemantapan disiplin dan akhir sekali tahap kemahiran guru
terhadap strategi pengurusan disiplin dan pendekatan penyelesaian masalah yang dapat
dilaksanakan berdasarkan langkah-langkah yang tepat dan berkesan. Kajian ini dijalankan untuk
melihat sejauh mana tahap pengetahuan dan kemahiran guru-guru supaya pengurusan disiplin
yang berkesan dapat diamalkan. Kemahiran seseorang guru dalam menangani masalah disiplin
murid adalah berbeza. Kecekapan, kebolehan dan kemahiran adalah merujuk kepada tingkah
laku seseorang. Kecekapan guru terhadap kerja- kerja disiplin pelajar harus dilihat secara
menyeluruh. Ia bukan sekadar merujuk kepada kebolehan guru dalam menyoal murid,
menentukan dan mengesahkan kesalahan atau pun melaksanakan hukuman sahaja. Sebaliknya, ia
turut memerlukan pelbagai pengetahuan dan kemahiran-kemahiran lain seperti proses merekod,
menilai, memantau, menemu duga ibu bapa, menyiasat, konsep keadilan, menentukan keputusan
dengan tepat, merancang program pencegahan, dan pemupukan nilai-nilai. Tambahan lagi, kajian
ini juga dijalankan untuk melihat tahap pengetahuan guru terhadap pengurusan disiplin pelajar di
sekolah dan bentuk-bentuk kesalahan displin dalam kalangan pelajar. Kajian ini dilaksanakan
bagi mengetahui tentang kaedah yang digunakan oleh pihak sekolah bagi mewujudkan rekod
disiplin yang cemerlang. Justeru, kajian ini dapat melihat bagaimana pengurusan disiplin yang
dijalankan di sekolah seterusnya mengkaji permasalahan yang timbul dalam pengurusan disiplin
di sekolah. Kajian ini lebih menjurus kepada pengetahuan dan amalan guru bagi meningkatkan
keberkesanan pengurusan disiplin pelajar di sekolah. Kajian ini juga diharapkan dapat memberi
kesedaran kepada pihak-pihak yang terlibat bahawa pengurusan disiplin di sekolah bukan
sesuatu yang boleh di pandang ringan dan ianya perlu dipikul bersama. Kajian ini penting bukan
sahaja kepada guru disiplin, pentadbir dan juga pihak sekolah, malah ianya boleh dijadikan
panduan kepada semua pihak yang terlibat dalam proses pengajaran dan pembelajaran
terutamanya guru.

Anda mungkin juga menyukai