Anda di halaman 1dari 4

ULASAN JURNAL ARTIKEL

Mayr, A. 2008. Discourse of Higher Education: Enterprise and Institutional Change in the
University. Language and Power: An Introduction to Institutional Discourse. London:
Continuum. 26-44

Pengulas: Izzati Rozman & Aimee Dalila

PENDAHULUAN

Analisis wacana kritis merupakan suatu kaedah pendekatan kritis dalam bidang linguistik yang
memperkatakan soal sosial secara ‘kritis’ dan digembleng pelaksanaanya melalui pemahaman
akan prinsip am analisis wacana kritis beserta tanggapannya terhadap wacana (Fairclough dan
Wodak,1997). Melihat bahasa sebagai suatu bentuk praktis sosial, analisis wacana kritis
berupaya menjelaskan akan penghasilan dan pengukuhan sesuatu proses kuasa hasil daripada
rujukan akan sesuatu peristiwa, proses dan praktis sosial melalui sifat kewacanaan dan
pencirian sesebuah teks. Adalah relevan untuk mengkaji dan menganalisis pola penyebaran
kuasa yang terselindung di sebalik sesebuah tetenunan teks kerana ianya mampu menggali
turapan kepelbagaian ideologi dan hubungan kuasa yang terjalin dalam sesebuah wacana yang
akhirnya berupaya merubah identifikasi nilai sesebuah institusi, kumpulan mahupun individu
seperti mana dalam artikel ini.

Penelitian awal artikel mendapati isu yang diutarakan penulis adalah berpaksikan kepada kesan
yang timbul hasil daripada penstrukturan tidak langsung sesebuah institusi pendidikan tinggi
dalam aspek pemasaran institusi sebagai suatu komoditi, perubahan penginstitusian serta
penerapan nilai perusahaan di sesebuah universiti. Signifikannya artikel ini adalah kerana
penulis membincangkan secara terperinci akan masalah yang membelenggu sistem pendidikan
tinggi Britain terutamanya dalam aspek pangadaptasian polisi baru berteraskan keusahawanan
di setiap institusi pengajian tinggi awam di Eropah. Usaha ini berjaya memperlihatkan suatu
pemaparan agenda baru dalam wacana pendidikan tinggi Britain yang pantas menuju ke arah
budaya perusahaan dalam sistem pendidikan tingginya selain membantu mencorakkan
pemahaman yang lebih jelas kepada penuntut dan pembaca lain dalam memahami isu yang
berlegar sekitar wacana pendidikan tinggi di Eropah, khususnya Britain.

Kepakaran pengarang dalam bidang bahasa moden dan linguistik melalui kerjayanya sebagai
pensyarah di Queens University, Belfast serta jawatannya sebagai senator di Institut George J
Mitchell (Keamanan Global, Keselamatan dan Keadilan) membolehkan pengarang melakukan
suatu analisis kritis dalam memperkaitkan keterjalinan yang wujud dalam usaha
membudayakan pendidikan berteraskan keusahawanan dalam perwacanaan universiti awam di
Britain. Melalui sorotan pencerapan kosa ilmu yang lampau, beberapa implikasi langsung yang
berkait rapat dengan penerimaan dan penstrukturan semula institusi turut diutarakan pengarang
secara berpada.

Artikel ini membicarakan secara jelas pengorientasian kosa kata bersifat managerialist dan
pengulangan item leksikal khusus yang juga dikenali sebagai ‘buzzword’ dalam penstrukturan
wacana universiti. Dimensi pembicaraan oleh pengarang dapat diperincikan secara lebih lanjut
kepada subkategori leksikal dan juga kenahuan. Pemerolehan fitur-fitur yang mencirikan
wacana pendidikan tinggi ini sebagai wacana perusahaan dikenalpasti pengarang melalui
empat teks utama yang diambil dari empat buah universiti Britain di mana perspektif korporat-
bisnes adalah jelas dalam setiap perwacanaannya. Pendekatan yang diambil oleh pengarang
dalam mengutarakan analisis serta interpretasi hujahnya adalah berteraskan kepada
pengkaedahan analisis wacana kritis oleh Fairclough (1989) iaitu analisis teks (description),
pemprosesan analisis (interpretation) dan analisis sosial (explanation) . Berdasarkan sorotan
kajian lepas, masih belum ada sebarang analisis tentang wacana pendidikan tinggi yang
membicarakan secara ekstensif berkenaan pencirian tekstual dan kenahuan melibatkan proses
pewacanaan bersifat perusahaan secara berpada sebelumnya. Penerbitan artikel ini umumnya
memangkin diskusi wacana pendidikan tinggi dalam aspek wacana perusahaan dan perubahan
institusi di universiti awam seluruh dunia. Antara artikel yang diterbitkan usai penerbitan artikel
ini adalah Wacana dalam Pentadbiran Institusi Universiti Awam di Ghana : Anjakan ke arah
Paradigma Pasaran oleh Edu-Buandoh (2010) yang membicarakan anjakan wacana universiti
awam di Ghana dalam memasarkan institusi sebagai satu komoditi, juga menggunakan kaaedah
analisis wacana kritis oleh Fairclough (1989).

Kaedah penganalisaan yang digunakan pengarang adalah berasaskan pendekatan yang


digunakan oleh Fairclough (1989,1995) iaitu melibatkan tiga proses saling berkait yang
dijalinkan kepada tiga dimensi wacana saling berkait yang utama iaitu objek panganalisaan
(termasuklah verbal, visual, visual atau verbal dan teks berbentuk visual), proses (bagaimana
objek dihasilkan dan diterima sama ada melalui tulisan, pertuturan, pembacaan oleh manusia)
dan keadaan sosio-sejarah yang mendasari proses-proses tersebut. Pendekatan ini umumnya
berbeza sedikit berbanding pendekatan Konteks & Kognisi oleh Van Dijk (2006) ataupun
kajian rentas disiplin melibatkan analisis pragmatik seperti mana dipelopori oleh Wodak
(2007).

Perbincangan artikel ini dicerakinkan kepada empat bahagian yang utama. Bahagian pertama
iaitu Pengenalan membincangkan secara ringkas fenomena anjakan polisi melibatkan
perubahan dalam aspek struktural, budaya dan pewacanaan di universiti awam pada era New
Labour di Britain. Pengamalan budaya perusahaan dalam wacana pendidikan tinggi universiti
awam di Britain dinyatakan penulis sebagai berpunca dari beberapa faktor, serta dinyatakan
juga akan kaedah pengadaptasian dan kesan adaptasi perniagaan berbentuk kapitalis baru
terhadap sarjana juga pelajar. Bahagian kedua iaitu Pengenalan Budaya Perusahaan & Wacana
memberikan definisi umum bagi budaya perusahaan dari aspek pertamanya; proses
pembaharuan institusi di Britain dan keduanya; perilaku individu. Pada bahagian tiga, perincian
subtopik berkenaan Universiti Keusahawanan dimulakan dengan definisi asas dan diikuti isu-
isu pengkolonian akademia dalam pembudayaan universiti keusahawanan. Tumpuan utama
adalah pada bab keempat di mana penerangan serta penjelasan akan fitur leksikal dan unsur
kenahuan yang terjalin dalam cebisan ayat dari pelbagai wacana dianalisis dengan berpada
hingga menerbitkan suatu analisis lengkap yang berupaya memberikan kefahaman kepada
pembaca dari teks pertama hinggalah teks keempat. Hasil analisis mendapati penulisan wacana
terbabit memanfaatkan sepenuhnya penggunaan leksis bersifat positif, superlatif, kata ganti
nama diri, ‘buzzwords’ berkaitan bisnes dan enterprise, leksis berkaitan bisnes dan kosa kata
bersifat ‘managerial’. Selain itu, terdapat juga pencirian lain seperti petikan langsung dari
sumber luaran, penggunaan proses material aktif, perujukan luaran serta pembinaan kata nama.
Bahagian ini sangat menarik kerana setiap hujah yang dibuat disertakan argumen bagi
menyokong interpretasi yang dilakukan pengarang. Asas penjelasannya adalah jalinan alat
tetenunan yang wujud dalam teks memberikan interpretasi sosial dan kesan kepada pembinaan
teks yang akhirnya mengubah wacana pendidikan tinggi ke arah wacana perusahaan.

Dari aspek susun atur dan penyusunan bahasa, pengarang sewajarnya diberikan pujian atas
kelancaran penyampaian isi serta kejelasan isu yang dipamerkan sedari awal bahagian pertama.
Walau bagaimanapun, generalisasi umum mengenai pembudayaan keusahawanan dalam
wacana pendidikan tinggi di Eropah di tidak seharusnya didasari hanya oleh pembuktian dari
cebisan wacana dari universiti Britain sahaja. Pemilihan cebisan wacana hanya dari empat
universiti awam Britain sahaja juga tidak mencerminkan kejernihan hujah pengarang yang
mendakwa kebanyakan universiti awam di Britain mengadaptasikan budaya perusahaan dalam
kepelbagaian wacana universiti. Selain itu, pengarang juga tidak menyisipkan penerangan
berpada dalam aspek ‘institutional change’atau perubahan institusi meskipun ruang konteks
penjelasan kajian adalah sebenarnya didasari oleh kerangka konsep ini. Penakulan deduktif
seharusnya dilakukan pada aspek ‘institutional logics’, ‘institutional actors’ dan ‘governance
system’ bagi mewujudkan kefahaman yang lebih mendalam akan pelopor yang mendasari
perubahan wacana pendidikan tinggi di Britain.

Aras pembicaraan beserta skop penghujahan pada analisis ini umumnya adalah bersesuaian
dengan isu yang ingin ditangani dan seharusnya dimanfaatkan penggunaannya oleh penuntut
linguistik atau pelajar bahasa, khususnya yang ingin mendalami bidang analisis wacana kritis
secara lebih mendalam.

RUJUKAN

Mayr, A. 2008. Discourse of Higher Education: Enterprise and Institutional Change in the
University. Language and Power: An Introduction to Institutional Discourse. London:
Continuum. 26-44.

Van Dijk, T. A. 2006 Discourse, Context and Cognition’. Discourse Studies. SAGE
Publications. 159–176.

Wodak, R. 2007 Pragmatics and Critical Discourse Analysis: A Cross-Disciplinary Inquiry.


Pragmatics & Cognition. 203–225.

Wodak, R., Fairclough, N. 1997 In: Discourse as Social Interaction. London : Sage p. 258-284.
27 p.

Fairclough, N. (1989). Language and power. London: Longman.

Anda mungkin juga menyukai