Anda di halaman 1dari 19

NOVEL NARATIF OGONSHOTO

Sinopsis NOVEL ‘NARATIF OGONSHOTO’ (karya Anwar Ridhwan)


*Ogonshoto = kepulauan emas

Nota:

Sinopsis ini agak panjang lebar. Namun, memang sesuai begini untuk membantu pelajar
memahami cerita novel N. O. dengan mudah. Jika pelajar faham kandungan sinopsis ini,
bermakna mereka sudah menguasai hampir 80 % ‘naratif ’ sebenar.

PENGENALAN

Naratif Ogonshoto adalah karya Anwar Ridhwan, berbentuk cerita berbingkai. Cerita ini berkisar
tentang kisah hidup masyarakat yang dipimpin oleh pemerintah yang zalim dan penuh tipu
muslihat di sebuah negara iaitu Republik Ogonshoto. Kisah ini sebenarnya terhasil daripada
pengembaraan minda (minda bawah sedar) seorang pesakit bernama Encik Noor ketika beliau
sedang dibedah di sebuah hospital di Tokyo, Jepun.

Encik Noor berasal dari Malaya. Namun, ketika menjalankan tugas di sebuah organisasi Asia-
Pasifik di Tokyo, penyakitnya bertambah serius. Beliau terpaksa dibedah. Ketika berada dalam
pengaruh ubat bius (ketika tidak sedar), fikirannya menerawang. Kononnya dia bekerja di kapal
Kawai Maru. Melalui pengalaman bekerja di Kawai Maru dia mendengar pelbagai cerita yang
pernah berlaku di sebuah negara republik bernama Ogonshoto. Cerita-cerita itu disahkan oleh
nakhoda bahtera yang terselamat daripada tsunami yang melenyapkan kepulauan Ogonshoto.
Cerita-cerita itu telah dibingkaikan kepada beberapa bab dalam naratif ini.

Ada 9 bab dalam novel ini. Bab awal iaitu prolog penting kerana menceritakan tentang Republik
Ogonshoto, secara geografi dan sedikit kisah hidup anak kapal Kawai Maru. Bab berjudul Epilog
pula merupakan penamat yang memerikan kisah pencerita selepas bencana Tsunami. Melalui
epilog juga, pembaca mengetahui bahawa cerita ini merupakan cerita berbingkai yang berkisar di
sebuah kepulauan.

PROLOG : KAWAI MARU

Nama kapal Kawai Maru ini diambil sempena nama pemiliknya Tuan Kawai Maru. Kawai Maru
yang telah didaftarkan di Kobe, Jepun. Dia menjadi nelayan sejak berusia 15 tahun. Tuan Kawai
Maru menjadi kaya raya pada usia 30-an dan mempunyai pengetahuan yang luas tentang dunia
lautan. Tuan Kawai sanggup melabur besar-besaran kerana amat tahu nilai ikan, dan hidupan
lainnya.

Kapal Kawai Maru mempunyai beberapa kelebihan/keistimewaan. Antara kelebihannya: boleh


menempatkan 200 orang pekerja, dan dilengkapi dengan teknologi telekomunikasi canggih.
Hasil tangkapan kapal ini mampu mencapai 3 juta tan ikan laut setiap tahun. Kawai Maru juga
merupakan kapal induk/kapal terbesar di lautan Pasifik. Kawai Maru mempunyai 5 tingkat. Dua
tingkat dijadikan ruang tidur pekerja. Satu tingkat lagi menjadi ruang dapur dan dewan makan.
Dua tingkat lagi pula menjadi tempat menyimpan ikan-ikan laut dalam yang lengkap dengan
bilik sejuk beku.

Kawai Maru menggunakan teknologi canggih iaitu kawalan satelit untuk memudahkan
pelayarannya. Itu sebabnya kapal besar itu pernah sampai ke Jurang Marianas, Galapagos, Nauru
termasuklah kepulauan Ogonshoto. Ogonshoto merupakan sebuah republik yang mempunyai 6
buah pulau iaitu Gora-Gora, Futu-Ata, Rai-Rapa, Kai Rai-Rapa, Kai Futu-Ata dan Kai Gora-
Gora terletak 1500 batu di barat laut Pulau Easter. Menurut cerita Kawai Maru, kepulauan ini
ditemui oleh pelayar-pelayar Jepun pada zaman Edo (abad ke-17). Merekalah yang memberikan
nama Ogonshoto. Masih terdapat pengaruh Jepun di republik ini, malahan generasi kacukan
Jepun banyak juga, terutama penduduk yang mendiami Futu-Ata.

Kepulauan Ogonshoto digambarkan memiliki panorama atau pemandangan yang cantik dan
menakjubkan. Perairannya pula merupakan lubuk ikan terbesar, iaitu mempunyai ikan paling
banyak di lautan Pasifik. Kapal Kawai Maru berlabuh di pelabuhan utama Ogonshoto yang
terletak di Teluk Pinavana. “Kami” akan bergilir-gilir menggunakan bot kecil ke Tatamanu yang
merupakan ibu kota Republik Ogonshoto. Terdapat juga anak-anak kapal pergi ke Malagana
untuk mendapatkan hiburan.

Sepanjang tempoh berada di daratan, masyarakat Ogonshoto sering menceritakan pelbagai kisah
yang berlaku di Ogonshoto kepada anak- anak kapal Kawai Maru. Cerita tersebut lebih jelas
selepas berlakunya peristiwa tsunami yang dahsyat itu. Di sini, “kami” pernah berjumpa dengan
seorang nakhoda bersama pengikutnya dari Ogonshoto. Mereka cuba mencari daratan untuk
dijadikan penempatan baharu. (Rujuk Bab 9: Bahtera)

Cerita-cerita dari Ogonshoto ini terus menjadi buah mulut masyarakat di kepulauan itu, dan
anak-anak kapal Kawai Maru. Semua cerita ini diadun, disusun sempurna seperti seekor ikan
yang lengkap dari ekor ke kepalanya. Antara cerita-cerita yang pernah pengarang dengar
daripada mulut masyarakat Ogonshoto ialah ‘naratif-naratif Ogonshoto’ seperti Kolonial,
Jeneral, Penyamaran, Aisberg, Mainan, Pentafsir, Jari, Kamera, dan Bahtera).

BAB 1: KOLONIAL

Bab 1 mengisahkan sejarah hidup Presiden Republik Ogonshoto. Ada kisah hidupnya yang
sebenar tidak sama dengan biografi beliau setelah menjadi Presiden kerana telah ditokok tambah
menjadi lebih hebat dan istimewa. Hal ini tidak menghairankan kerana kisahnya itu ditulis oleh
pengarang yang mendapat ganjaran sangat lumayan daripada Presiden sendiri.

Presiden Ogonshoto asalnya hanya seorang anak luar nikah yang berasal dari Malagana. Ibunya
orang tempatan dari Malagana, manakala “bapa-bapanya” tidak dapat dikenal pasti. Malagana
merupakan sebuah tempat tumpuan pelancong dan pusat hiburan di Gora-Gora. Ketika
kecil, anak luar nikah itu selalu menghabiskan masanya bermain-main di pantai dengan beberapa
orang anak luar nikah juga. Ketika kawan-kawan lain bermain, budak lelaki yang baru berumur 7
tahun ini sering memerhatikan kapal-kapal asing yang berlabuh di Tanjung Takatea.
Perkara ini menimbulkan keinginan yang kuat dalam diri budak tersebut untuk melihat dunia luar
iaitu ke Eropah yang menjajah Ogonshoto. Lantas, pada suatu petang dia telah menyelinap
masuk ke dalam sebuah kapal dari Eropah. Ibunya tidak tahu bahawa anaknya sudah mengikuti
kapal itu belayar. Budak berumur 7 tahun itu berenang menuju ke arah kapal itu hingga berjaya
menyelinap masuk. Budak itu menyorok di celah kotak-kotak atau peti dalam kapal itu sehingga
nakhoda tidak perasan kehadirannya.

Selama dalam pelayaran, suatu hari budak lelaki itu masuk ke dapur di kapal itu untuk mencuri
makanan kerana terlalu lapar. Ketika itulah kelasi kapal telah menyedari hal itu. Akhirnya pada
hari kesepuluh pelayaran, dia ditangkap oleh kelasi-kelasi kapal.

Nakhoda kapal tersebut telah menyerahkan budak dari Malagana itu kepada seorang tua iaitu
pesara kelasi. Selepas itu nakhoda kapal itu mengambilnya sebagai anak angkat. Nakhoda
menghantar budak itu belajar. Semasa di sekolah, budak lelaki itu merupakan pelajar yang
pandai, pintar dan dihormati rakan-rakannya. Nakhoda membiayai sepenuhnya pengajian budak
itu sehingga ke peringkat universiti.

Sebaik tamat pengajian, anak Malagana itu mendapat tawaran pekerjaan disebuah firma Eropah.
Namun, sebelum mula bekerja, dia mengambil keputusan untuk belayar selama empat belas hari
dengan tujuan untuk berlibur bersama-sama tiga orang rakannya. Malangnya baru tiga hari
belayar, kapal mereka dipukul ribut sehingga tiang layarnya patah. Kapal mereka yang hanyut
memasuki perairan tanah airnya, iaitu Ogonshoto. Pemuda itu menyedarinya bahawa dia sudah
menghampiri Ogonshoto apabila ternampak asap gunung berapi Gora-Gora. Dia sangat gembira
kerana menyedari dirinya dapat balik semula ke tanah kelahirannya, iaitu Ogonshoto. “Ke mana
lagi saya akan pulang?”. Pulau-pulau ini tanah air tercinta”, katanya apabila ditemui penduduk
Ogonshoto di pesisir pantai. Pemuda itu dan rakan-rakannya bernasib baik apabila kapal mereka
yang teroleng-oleng ditemui oleh sekumpulan nelayan dari Ogonshoto yang menaiki dua buah
perahu. Pemuda itu memperkenalkan diri, seterusnya meminta orang-orang tersebut mencari
ibunya dan mengkhabarkan tentang kepulangannya. Berita kepulangannya tersebar meluas di
seluruh Ogonshoto. Sekumpulan wartawan dan ribuan penduduk Pulau Gora-Gora menyaksikan
pemuda itu memeluk lutut ibunya sebaik-baik sahaja bertemu ibunya yang menunggu di pantai.
Kini pemuda itu kembali ke pangkuan keluarga dan negara asalnya setelah lebih 20 tahun tinggal
di Eropah.

Tiga orang rakannya kembali ke Eropah manakala pemuda itu mengambil keputusan untuk
menetap di Gora-Gora dan menceburi bidang politik. Pemuda itu menyertai parti paling popular
di Ogonshoto yang didukung oleh polis, tentera dan karyawan umum. Dia mengumpul data
tentang kelemahan dan kesilapan parti pemerintah ketika itu. Pemuda dari Malagana itu
membaca semula kajiannya semasa di universiti dulu tentang cara meluaskan pengaruh serta cara
menewaskan musuh.

Selepas tiga tahun menceburi bidang politik, dia dilantik menjadi Timbalan Presiden. Enam
bulan kemudian, Presiden Ogonshoto ketika itu mati mengejut dalam tidurnya. Pemuda dari
Malagana itulah yang telah dilantik menjadi Presiden yang baharu. Presiden Ogonshoto
menjalankan pemerintahan secara kuku besi. Sesiapa saja yang menentangnya akan dihapuskan.
Presiden baharu itu juga telah mengisytiharkan bahawa tiada lagi pemerintahan kolonial Eropah,
sebaliknya rakyat Ogonshoto sendiri menjadi pemerintah. Beliau juga mula menjalankan
rancangannya membangunkan Ogonshoto dengan menjemput kapitalis/peniaga asing melabur di
Ogonshoto.

Presiden itu juga mulai mempengaruhi anggota-anggota Dewan Presiden dengan kekayaan.
Presiden mengamalkan pemerintahan mengikut sistem kapitalis. Presiden berkata kepada
anggota kabinetnya (anggota komiti), “fahaman kapitalisme yang sebenar memberi peluang
kepada sesiapa sahaja untuk menjadi kaya raya”. Akhirnya ahli-ahli politik dan pucuk pimpinan
negara berlumba-lumba mengumpul harta, manakala rakyat jelata tetap hidup dalam keadaan
sederhana dan miskin.

Bagi Presiden Republik Ogonshoto, setiap penentangan mesti dibanteras segera agar pemerintah
boleh kekal berkuasa. Sebarang kemunculan kumpulan protes atau bantahan mesti dihukum.
Presiden seterusnya telah mengarahkan agar asrama universiti harus dihapuskan serta-merta.
Mahasiswa dianggap sebagai kuman yang menyebabkan penyakit. Sebagai akibatnya,
mahasiswa terpaksa hidup berpisah dan mencari rumah sewa di luar kampus.

Fahaman kapitalis dan pemerintahan yang autokrasi atau kuku besi ini menyebabkan presiden
menjadi semakin berkuasa dan kekal memerintah kerana disokong kuat oleh pegawai-pegawai
kanannya, manakala setiap penentang pula dilenyapkan. Rakyat menganggap presiden bukan
setakat pemerintah, tetapi juga sebagai kolonial.

BAB 2 : JENERAL

Bab 2 mengisahkan percaturan politik antara Jeneral bersara, Pegawai kanan dan Wakil Dewan
Presiden.

Jeneral mempunyai rumah besar di bandar Tatamanu. Dia membeli sebuah rumah lagi di Ture.
Jeneral selalu berulang-alik antara Tatamanu dengan Ture menggunakan bot lajunya. Selepas
bersara, Jeneral meninggalkan kekayaannya di Tatamanu lalu berhijarah ke Ture demi cita-cita
besarnya dalam politik. Jeneral memilih Ture kerana dia tahu peluangnya menjadi pemimpin di
situ lebih besar.

Jeneral memilih Ture kerana, pertama, menurutnya Ture terletak di timur, paling awal menerima
cahaya matahari. Lagi pun, dia percaya fajar memberi semangat untuk terus hidup, jadi sesuai
kepadanya yang baru bersara. Kedua, peribadi dan kepimpinan Wakil Dewan Presiden di Ture
semakin lemah. Wakil Presiden itu juga sudah terlalu tua dan selalu sakit pula. Ketiga, wilayah
Ture masih mundur. Buktinya, ada sebuah sekolah sahaja di situ; itu pun setakat sekolah dasar
(sekolah rendah ) dan sangat daif iaitu hanya berlantaikan tanah. Sebab keempat, hasrat Wakil
Presiden di Ture itu mengundur diri dalam pemilihan umum akan datang pernah tersiar dalam
surat khabar.

Pada hari pertama menjejakkan kaki di Ture beliau mula memperkenalkan diri kepada
masyarakat Ture dengan menjemput wartawan televisyen, akhbar dan beberapa jemputan terpilih
ke dalam upacara memuja “semangat rumah” barunya. Jeneral dan isterinya juga mula berbaik-
baik dan beramah-mesra dengan penduduk Ture. Mereka berkunjung ke perkampungan nelayan
sambil menghulurkan bantuan. Mereka juga meniru gaya hidup penduduk kawasan itu dengan
memakai pakaian nelayan atau baju orang kebanyakan di Ture.

Namun demikian, kehadiran Jeneral tidak disenangi oleh pegawai kanan pemerintahan provinsi
Ture (wilayah Ture). Beliau dapat merasakan bahawa kehadiran Jeneral akan menggugat
kedudukannya untuk bertanding menggantikan Wakil Dewan Presiden yang dikhabarkan sudah
uzur dan hampir nyanyuk. Oleh itu pegawai kanan telah membuat fitnah ke atas Jeneral. Mereka
menyebarkan cerita kononnya Jeneral sebenarnya ialah anak yang lahir di Fukana, bukannya
Ture. Mereka juga turut mengada-adakan cerita lelucon dan cuba menghina ibu Jeneral.
Kononnya, ibu Jeneral berbadan sangat besar sehingga sewaktu melahirkan Jeneral, dia
mengerang kesakitan di Fukana dan kemudiannya melahirkan anak di tempat yang jauh iaitu
Ture. Anak itulah yang menjadi Jeneral sekarang. Namun demikian, Jeneral telah membuat
persiapan awal dan berjaya menepis propaganda atau dakwaan negatif pegawai kanan itu.

Wakil Dewan Presiden telah dapat menjangkakan niat kedua-dua orang yang berebut menjadi
presiden itu. Oleh itu, Wakil Dewan Presiden mula mengatur langkah. Beliau menjemput kedua-
dua calon itu untuk makan malam bersamanya di sebuah restoran makanan laut di Ture. Beliau
sengaja lambat tiba, dengan memberi alasan bahawa beliau terlupa akan perjumpaan tersebut.
Wakil Dewan Presiden itu mengutuk dirinya sendiri yang teruk, tidak sihat, nyanyuk dan sudah
tidak layak lagi menjadi pemimpin. Beliau turut menyatakan hasrat untuk berundur dan meminta
kepastian sama ada dua orang calon itu benar-benar bertanding merebut jawatan Wakil Dewan
Presiden. Jeneral menafikan niatnya dengan alasan dia merupakan orang baru di Ture. Pegawai
kanan pula menyatakan bahawa dia hanya akan bertanding sekiranya Tuan Wakil Dewan
Presiden mengundur diri. Masing-masing mencari helah agar niat mereka tidak ketara.

Selepas perjumpaan itu, pegawai kanan gembira kerana laluan untuknya menggantikan tuan
Wakil Dewan Presiden terbuka luas. Namun demikan, kegembiraannya bertukar amarah
(kemarahan) apabila mengetahui pengaruh Jeneral bertambah kuat hanya empat hari selepas
perjumpaan itu. Rupa-rupanya, Jeneral telah menggunakan kelalaian pegawai kanan sebagai
ruang untuk berkempen. Pegawai kanan mengambil langkah akhir, iaitu berkempen dengan
menggunakan pengaruh Presiden. Beliau mengeluarkan hampir semua wang simpanannya untuk
mencetak kertas kempen yang turut memaparkan wajah Wakil Dewan Presiden.

Dalam kesibukan berkempen, Jeneral dan pegawai kanan mendapat panggilan. Panggilan itu
kononnya dari pejabat Presiden. Pemanggil itu menyatakan bahawa presiden ingin bertemu
mereka berdua pada malam nanti di sebuah bot yang terletak di hujung pengkalan Ture.

Pada malam itu mereka berdua pergi ke hujung pengkalan Ture untuk bertemu Presiden. Jeneral
menembak mangga yang mengunci pintu pagar pengkalan itu. Pegawai kanan memuji reka
bentuk pistol Jeneral dan menyatakan niatnya untuk melihat-lihat pistol itu lebih dekat. Tanpa
prasangka, Jeneral meminjamkan pistolnya kepada pegawai kanan. Pegawai kanan bercerita
pasal umang-umang, dan tiba-tiba dia mengacukan pistol ke arah Jeneral. Jeneral tidak mundur
sebaliknya merampas pistol yang tidak berpeluru itu. Setelah, mengisi sebutir peluru, Jeneral
menembak pegawai kanan, tepat pada jantungnya. Setelah itu, Jeneral membuang mayat pegawai
kanan ke dalam laut. Lalu berdiri menghadap laut menanti kehadiran Presiden. Namun, Presiden
tidak kunjung tiba.
Selepas kematian pegawai kanan, Jeneral telah menawarkan diri untuk bertanding. Jurucakap
parti pula mengatakan bahawa pegawai kanan yang berura-ura untuk bertanding tidak muncul
untuk menghantar borang pencalonan. Pada hari mesyuarat pemilihan, Tuan Wakil Dewan
Presiden menjadi pengerusi. Mesyuarat berjalan dengan lancar. Selepas itu Presiden meminta
ahli mesyuarat berehat selama tiga puluh minit. Ketika ahli mesyuarat yang lain keluar berehat,
Tuan Wakil Dewan Presiden melambai Jenaral.

Dengan perasaan marah Tuan Wakil Presiden itu bercakap, “perbuatan yang keji”, lalu
menunjukkan beberapa keping gambar kepada Jeneral. Jeneral terperanjat apabila Tuan Wakil
Dewan menunjukkan gambar ketika pembunuhan pegawai kanan di hujung pangkalan Ture.

“Sia-sialah kamu ke Ture”, kata Wakil Presiden yang sudah tua itu. Ketika itu empat orang
anggota polis masuk ke dewan mesyuarat. Tangan Jeneral digari. Nampaknya cita-cita politik
Jeneral terkubur. Tuan Wakil Dewan pula terus mengekalkan jawatannya sebagai Presiden.

BAB 3 : PENYAMARAN

Bab 3 mengisahkan tentang penyamaran Presiden sebagai nelayan tua dari Kuri untuk
menghentikan protes yang berlaku di Tubua. Presiden berasa bimbang mendengar peristiwa
protes yang berlaku di Tubua. Oleh itu beliau berbuat helah seperti penyamaran untuk
menghalang protes itu. Rakyat di Tubua menyediakan sepanduk yang bermaksud menentang
pembinaan jalan raya di kawasan lereng gunung. Pembinaan jalan raya itu bertujuan untuk
memudahkan pelancong datang ke Tubua. Dikatakan bahawa pihak pemerintah akan membina
rumah-rumah perjudian di Tubua selepas itu. Penduduk Tubua berpendapat, membina rumah
perjudian hanya akan memporak-peranda kerukunan hidup berkeluarga di Tubua. Lebih teruk
lagi, pembinaan jalan raya tersebut akan memusnahkan keindahan kolam air panas dan kawasan
tadahan air di Gora-Gora. Perkara tersebut pastinya akan menyusahkan kehidupan rakyat. Selain
itu, penduduk Tubua tidak yakin projek pelancongan dapat dimajukan di situ. Pelancong luar
pastinya tidak mahu datang ke pedalaman Tubua yang terpencil kata mereka. Hal inilah
dijadikan alasan oleh penduduk Tubua untuk melakukan tunjuk perasaan atau demonstrasi.

Isu protes ini disiarkan di kaca televisyen dan menghias dada akhbar Ogonshoto. Sekiranya tidak
dibendung, protes di Tubua akan menjadi pemangkin protes di seluruh Ogonshoto. Oleh itu
Presiden sendiri telah datang ke Tubua dan menyamar sebagai seorang lelaki tua yang berasal
dari Kuri. Pakaiannya seperti nelayan tua. Badannya agak bongkok sabut. Jambang, misai, dan
janggut hampir menutup wajahnya. Dia memakai kaca mata gelap murah, yang biasanya dijual
di kaki lima kedai di Tatamanu. Sebaik sahaja di tiba di Tubua dia telah bertemu dengan ketua
kumpulan protes. Dia kononnya memberikan sokongan terbuka terhadap perjuangan mereka.
Lelaki tua dari Kuri itu bermalam di rumah ketua kumpulan yang menentang itu, dan berkenal-
kenalan dengan ahli kumpulan penentang yang lain. Lelaki nelayan tua itu berbincang dengan
ketua penentang tersebut. Dia mencadangkan agar mereka berarak terus ke istana Presiden di
Tatamanu untuk berunding dengan seorang anak muda lulusan California yang bekerja di Pejabat
Presiden. Lelaki tua itu mengatakan bahawa Presiden tiada di pejabat waktu itu kerana beliau
sedang menjalankan tugas rasmi di negara Peru.
Lelaki tua itu telah mengetuai perarakan menuju ke Tatamanu. Namun, simpang menunju ke
Tatamanu disekat dengan kawat berduri dan dikawal ketat oleh sekumpulan tentera kerajaan.
Lelaki tua itu meminta para pemberontak berhenti dan dia berdiri di tengah-tengah antara
kedudukan kumpulan pemprotes dengan kumpulan tentera. Ketika keadaan hening/tenang, tiba-
tiba sahaja lelaki tua itu meluru ke arah anggota keselamatan yang bersenjata sambil menjerit,
“dari Kuri”. Pada masa itu juga bom asap warna kuning dilepaskan oleh pasukan bersenjata
betul-betul di hadapan para penunjuk perasaan. Jeritan “dari Kuri” oleh lelaki tua itu seolah-olah
memberi isyarat kepada pasukan tentera untuk melepaskan gas pemedih mata ke arah penunjuk
perasaan. Apabila gas pemedih mata dibebaskan, lelaki tua itu hilang dalam kabut gas yang
tebal. Selepas itu kumpulan pemprotes menjadi kucar-kacir. Beberapa tubuh manusia jatuh
bergelimpangan, yang lain berundur menyelamatkan diri.

Peristiwa tersebut telah melemahkan semangat para pemprotes di Tubua. Media massa di Tubua
pula manyatakan bahawa Presiden baru tiba dari Peru untuk menutup penyamaran itu. Selain itu,
televisyen di Tubua turut meyiarkan berita penangkapan seorang lelaki yang terlibat dengan
pemprotesan Tubua yang kini sedang disiasat pihak tentera. Segelintir pengikut kumpulan
pemprotes itu mengesyaki bahawa orang tua dari Kuri itu adalah Presiden Ogonshoto yang
sedang menyamar, namun mereka tiada bukti kukuh. Akhirnya, pemprotesan atau demonstrasi di
Tubua terhenti. Semangat mereka juga turut menjadi lemah.

BAB 4 : AISBERG (BONGKAH AIS YANG BESAR)

Bab ini membandingkan usaha dua pihak untuk mendapatkan bekalan air sebagai persediaan
menghadapi musim kemarau. Pihak pertama diwakili oleh pihak kerajaan yang mahu menarik
bongkah ais ke Ogonshoto sehingga menelan belanja jutaan ringgit. Pihak kedua pula mewakili
rakyat jelata yang digambarkan melalui watak seorang lelaki tua yang menggunakan kudrat
tulang empat kerat dan peralatan murah untuk mendapatkan air.

Kisahnya bermula dengan Ogonshoto diramalkan bakal dilanda kemarau teruk selama sembilan
bulan akibat kemusnahan hutan yang sepatutnya menjadi kawasan tadahan air. Dua bulan
sebelum Ogonshoto dijangka dilanda kemarau, kerajaan mengambil keputusan untuk menarik
dua bongkah ais yang sangat besar dari kutub selatan. Saiz aisberg itu sangat besar. Misalnya
bongkah aisberg yang kedua mempunyai saiz yang besar sehingga orang boleh bermain luncur
salji di atasnya. Satu bongkah aisberg akan ditarik oleh sebanyak tujuh buah kapal. Menurut
rancangan kerajaan, setelah berjaya menarik bongkah aisberg itu, ia akan dileburkan supaya cair
dan menjadi air minuman kepada seluruh rakyat di Republik Ogonshoto. Presiden sangat yakin
rancangan menarik aisberg dari Kutub Selatan ke Ogonshoto berjaya dilakukan. Oleh itu
Presiden begitu bangga membuat pengumuman di stesen televisyen dan radio untuk mengatakan
bahawa Republik Ogonshoto saja yang mampu berbuat demikian. Ucapan itu menggembirakan
seluruh rakyat Republik Ogonshoto kerana masalah k esan kemarau bakal diatasi.

Rancangan itu menelan belanja yang sangat besar serta melibatkan banyak pihak. Pada peringkat
awal, 15 orang pengikut setia serta orang harapan Presiden mendapat imbuhan besar daripada
projek itu. Seorang mendapat imbalan setelah menjadi ejen mencari pakar-pakar aisberg dari
Greenland untuk menggerudi dan mengikat aisberg. Empat belas lagi orang Presiden mendapat
imbuhan kerana kapal mereka digunakan atau disewa untuk menarik dua bongkah ais gergasi
dari kutub selatan ke perairan Ogonshoto. Hal ini bermakna, pemerintah Ogonshoto yang
diketuai oleh Presiden telah mengeluarkan wang berjuta-juta untuk membiayai segala persiapan
bermula dari menjemput pakar luar negara, menyewa peralatan canggih untuk menggerudi dan
memotong aisberg, membayar sewa kapal, dan membayar upah beribu-ribu pekerja semata-mata
mahu menarik dua bongkah aisberg itu. Menurut wartawan televisyen Japan News Network,
sebenarnya Ogonshoto tidak perlu membazirkan wang yang banyak untuk menarik aisberg itu
kalau pemerintah bijak mengurus alam sekitar terutamanya kawasan tadahan hujan. Hal ini
bererti, kalua tiada penerokaan hutan dan pemusnahan kawasan tadahan air hujan sebelum ini di
Ogonshoto, sudah tentu kemarau yang berpanjangan tidak mungkin berlaku di republik itu.
Namun ada pemilik kapal itu (pengikut Presiden) yang sedang mendengar siaran berita itu segera
menutup televisyen saluran 6 itu (kerana tidak setuju dengan kenyataan wartawan itu).

Ramai rakyat Ogonshoto berkunjung ke Teluk Pinavana iaitu tempat pendaratan aisberg itu
kelak. Mereka menunggu dan melihat ais besar itu ditarik ke pantai Teluk Pinavana. Dalam masa
yang sama pihak pentadbir sibuk membincangkan proses pengagihan aisberg itu apabila tiba
nanti. Rancangan pengagihan aisberg itu telah tersebar di radio dan televisyen. Namun ada
seorang lelaki tua dari Runakita yang hanya mengetahui berita itu setelah seminggu berlalu,
melalui jirannya. Hal ini kerana lelaki tua itu tidak memiliki radio dan televisyen di rumahnya.
Tambahan pula, dia buta huruf.

Ketika pemerintah sibuk dengan rancangan menarik aisberg dari Kutub Selatan itu, rakyat
Ogonshoto sibuk memperkatakan projek itu; manakala seorang lelaki tua dari Runakita tadi
berusaha mengumpul air menggunakan tulang empat keratnya sendiri. Beliau tidak
mempedulikan cerita berkaitan aisberg itu. Lelaki tua yang tinggal sebatang kara itu melakukan
proses penyulingan dengan memasak air laut dalam periuk besar dan membiarkan wapnya
memasuki tujuh batang bambu. Wap yang memasuki batang bamboo akan bertukar semula
menjadi air. Air ini dialirkan menuju ke dalam tujuh tong kosong. Proses memasak air laut dan
penyulingan ini berterusan sehinggalah semua empat belas tong besarnya penuh. Sementara
proses penyulingan ini berlangsung, lelaki tua menggali sebuah perigi di belakang rumahnya
yang dalam sehingga melebihi 30 kaki. Tanpa mengira penat, lelaki tua menggali lagi
sehinggalah pengoreknya hanya menemui batuan keras yang mustahil untuk ditembusi.

Setelah berusaha hampir tiga bulan, akhirnya lelaki tua itu berjaya mengisi empat belas tong
besar itu dengan air bersih. Pada masa yang sama, mata air mula memancutkan air mengisi
periginya. Ketika ini lelaki tua itu teringat akan rancangan pemerintah menarik aisberg dari
Kutub Selatan ke Ogonshoto, namun rancangan itu hanyalah umpama khayalan sahaja. Jiran-
jirannya tidak pernah muncul lagi untuk bercerita tentang aisberg itu.

Kisah ini menggambarkan kebijaksanaan lelaki tua itu. Selain membuat penyulingan ke atas air
laut, beliau juga menggali sebuah perigi sebagai sumber air dalam tempoh kemarau panjang itu
melanda Republik Ogonshoto. Sebaliknya rancangan pemerintah menarik aisberg dari Kutub
Selatan gagal. Projek itu gagal kerana memang amat sukar serta sangat mustahil menarik
bongkah ais yang sangat besar; apatah lagi hanya menggunakan kapal yang terhad kekuatannya.
BAB 5 : MAINAN

Bab ini berkisar tentang kisah malang seorang anak angkat Presiden dari pulau Banaba yang
dijadikan buruan Presiden dalam permainan musim gerhana matahari di Ogonshoto.

Ada seorang anak muda yang pintar dari Banaba. Pemuda itu merupakan pelajar cemerlang
ketika belajar dalam sebuah universiti di Banaba. Dia telah hanyut di lautan selama 60 hari,
beberapa tahun dahulu. Pemuda itu akhirnya ditemui terdampar di pantai Gora-Gora dalam
Republik Ogonshoto. Ketika ditemui tubuh badannya sangat kurus. Selepas itu pemuda tersebut
dirawat di hospital Tubua. Presiden Ogonshoto mengambil pemuda itu sebagai anak angkatnya.

Ibu tua pemuda itu yang berada di Banaba menganggapnya sudah meninggal dunia setelah 60
hari menunggu tanpa apa-apa berita. Beliau sudah bersedia menerima khabar walau apa kejadian
sekali pun. Namun ibu pemuda itu amat gembira apabila diberitahu oleh pihak tentera bahawa
anak lelakinya terselamat. Selepas itu, ibu pemuda tadi bergegas ke gereja walaupun hujan
renyai, untuk memanjatkan rasa gembira dan kesyukurannya kepada Tuhan.

Peristiwa Presiden Ogonshoto mengambil anak muda dari Banaba sebagai anak angkat tersebut
mendapat liputan besar-besaran oleh media. Selain untuk mendapat nama, pekara tesebut
merupakan simbolik sokongan Ogonshoto terhadap Banaba untuk keluar daripada jajahan
Kiribati.

Ketika tinggal di istana, pemuda itu hanya menurut sahaja arahan Presiden dan tidak pernah
menunjukkan kepintarannya walaupun dia sebenarnya seorang yang bijak. Sebaliknya dia
memperlihatkan tingkah laku orang yang bodoh dan pendiam. Pemuda itu diberi layanan dan
kemudahan istimewa sebagai ahli keluarga Presiden. Sejak dia tinggal di istana itu, para pekerja
istana sangat memuji sifatnya yang unggul seperti dedikasi, berdisiplin dan amanah.

Untuk mengisi masa lapang, pemuda itu memelihara seekor tupai. Tupai itu dijaga dengan baik
sehinggalah jinak dengannya. Tupai itulah yang dijadikan sasaran oleh pemuda itu semasa
mengadakan latihan berburu. Sudah menjadi adat masyarakat Ogonshoto, akan mengadakan
permainan menguji kecekapan menggunakan senjata dengan cuba membunuh atau menewaskan
musuh atau sasaran. Permainan turun- temurun di Ogonshoto itu diadakan pada tiap-tiap hari ke
seribu enam ratus empat puluh dua hari (setiap 1642 hari) iaitu ketika berlaku gerhana matahari.

Ketika gerhana matahari, penduduk Ogonshoto akan mengadakan permainan berburu binatang.
Mereka boleh melepaskan haiwan peliharaan masing-masing lalu memanah atau menembaknya
untuk memperlihatkan kehandalan dan kemahiran bermain senjata. Terdapat tiga syarat
pertandingan itu. Pertama, para peserta hanya boleh menggunakan atau melepaskan senjatanya
sebanyak tiga kali sahaja. Kedua, tempoh permainan bermula dari tergelincir matahari sampai
matahari terbenam. Ketiga, peserta yang gagal menewaskan sasaran atau binatang buruannya
selepas tiga kali mencuba, dianggap kalah.

Pada suatu pagi, ketika Presiden meninggalkan perkarangan istana, beliau ternampak pemuda itu
berlatih memanah tupai. Pemuda itu kelihatan gembira kerana panahan atau sumpitannya berjaya
menepati sasarannya. Ketika itu Presiden mengatakan kepada pemandunya supaya selepas ini
pemuda itu tidak patut lagi ditugaskan untuk membersihkan dan mengemaskan pejabat Presiden
di istana.

Diceritakan bahawa pada suatu ketika kira-kira sehari selepas gerhana matahari, telah diadakan
suatu permainan turun-temurun di Ogonshoto iaitu memburu binatang yang dilepaskan. Ramai
rakyat di Ogonshoto telah mengambil bahagian termasuk keluarga Presiden. Pemuda Banaba itu
juga turut serta. Sewaktu pemuda itu mengejar binatang mainannya iaitu seekor tupai jantan
menuju ke kawasan semak, Presiden telah menembaknya menggunakan pistol. Tiba-tiba
Presiden melepaskan empat das tembakan ke arah anak angkatnya itu. Tembakan pertama
tersasar. Tembakan kedua mengenai lengan kanannya. Tembakan ketiga mencederakan betis kiri
dan tembakan keempat menghancurkan tapak tangan pemuda malang itu. Sepasukan tentera elit
Presiden tiba- tiba muncul dari sebalik semak lalu memotong lidah serta kedua-dua pergelangan
tangan pemuda itu. Selepas itu Presiden melarang pemuda itu menjejakkan kaki ke istana,
seterusnya mengarahkannya meninggalkan Ogonshoto. “Jangan pulang ke istana!

Jangan berada di Ogonshoto!” Sepasukan tentera elit itu pun segera hilang daripada pandangan
pemuda itu. Pemuda malang itu diselamatkan lalu dirawat oleh para resi yang sedang bertapa di
kaki gunung Gora-Gora. Akhirnya pemuda mengambil keputusan bertapa di gunung itu bersama-
sama para resi yang membantunya. Resi-resi di situ bergantungan di dahan kayu seperti kelawar.
Mereka bertapa untuk membersihkan jiwa supaya masuk ke alam kejernihan. Mereka enggan
bercakap hal-hal kehidupan di dunia yang kebanyakannya kotor.

BAB 6: PENTAFSIR

Penduduk yang tinggal di Aitu percaya bahawa lelaki tua yang gemar menyelam dalam laut
itulah satu-satunya resi (resi ertinya orang yang suka bertapa/orang suci) yang mereka kenal.
Mereka juga percaya bahawa setiap kali menyelam dia meninggalkan (membersihkan) segala
kekotoraan dan menjadikan jiwanya lebih suci. Itu sebabnya wajah lelaki itu lebih tenang dan
lembut. Matanya juga sangat jernih sehingga orang lain tidak sanggup melihatnya. Lelaki tua itu
juga gemar berdiam diri, dan jika mahu bercakap dia akan berfikir terlebih dahulu. Lelaki itu
suka bercakap secara ringkas dan hanya menggunakan kata-kata terpilih. Kata-katanya pula
mempunyai banyak maksud (banyak maksud tersirat).

Pernah ada seorang penduduk Aitu yang cuba mendampingi lelaki tua itu. Dia telah
mendampingi lelaki tua itu selama 10 tahun. Sebagai akibatnya, dia dapat mempelajari bahasa
yang digunakan oleh resi itu serta mengetahui pengalaman hidupnya. Pada satu hari dia
merasakan bahawa telah tiba masa baginya untuk menceritakan kisah hidup lelaki tua itu. Si
pendamping (penduduk dari Aitu) mahu memberi tafsiran kepada pengalaman hidup resi tua itu.

Menurut cerita lelaki yang mendampingi resi itu; ketika mula-mula menetap di Aitu, resi itu
masih muda. Waktu itu hanya ada 11 buah rumah di Aitu termasuk rumah si resi. Pada suatu hari
kawasan perkampungan Aitu telah dilanda abu gunung berapi menyebabkan seluruh kawasan
perkampungan itu menjadi warna kelabu. Tumbuh- tumbuhan, bumbung rumah, bukit-bukau dan
pantai pun kelihatan kelabu. Kejadian seperti ini belum pernah berlaku sebelum ini. Apabila
penduduk memandang ke arah pantai, mereka terlihat seolah-olah ada bukit berwarna kelabu.
Ramai penduduk berkejar ke tempat itu, rupa-rupanya ada seekor paus mati terdampar di pantai.
Inilah pertama kalinya ada ikan paus mati di pantai itu.

Hal ini bermakna, dalam kisah ini ada dua kejadian ganjil berlaku di Aitu; pertama, kawasan
daratan menjadi kelabu kerana dilitupi oleh abu, dan kedua ada kematian ikan paus di pantai.
Penduduk Aitu berasa hairan dengan kejadian tersebut. Keluarga si pendamping, jiran dan
seluruh penduduk di situ kini menjadi pentafsir. Masing-masing membuat tafsiran. Mereka
memberi tafsiran (membuat andaian/tanggapan) bahawa kejadian itu merupakan petanda atau
alamat bahawa perkara buruk akan berlaku di Aitu. Keadaan warna kelabu di seluruh Aitu
berlaku selama tujuh hari.

Apabila masuk hari kelapan keadaan menjadi baik seperti sedia kala. Warna seluruh kawasan
Aitu tidak kelabu lagi. Pada hari kelapan itu si resi muda pun menyelam untuk menyucikan
dirinya sambil berfikir dan membuat tafsiran tentang perkara yang berlaku di kampungnya.
Selepas itu ada sebuah kapal dari Tatamanu yang singgah berlabuh di Aitu. Mereka menyatakan
Ogonshoto kini ada Presiden baharu. Kelasi kapal itu kata, mereka datang ke situ atas arahan
Presiden. Apabila nama Presiden disebut, mereka teringat akan kisah seorang presiden yang
semasa berumur 10 tahun telah dibawa oleh nakhoda ke Eropah kerana kepintarannya. Dia
merupakan seorang yang berdedikasi dan pintar dalam akademik. Presiden itu berhasil membawa
kapal yang mengalami kerosakan besar akibat taufan lautan, dari Eropah kembali semula ke
pantai tanahairnya sendiri iaitu Ogonshoto. Sebaik-baik sahaja tiba di pantai, Presiden itu terus
memeluk kaki ibunya. Dia tidak malu mempunyai ibu yang sudah tua dan hodoh. Dia sangat
menghormati orang tuanya. Kisah itu (kejadian ganjil) sudah bertahun-tahun terjadi, namun
penduduk Aitu masih mengingati cerita itu. Tambahan pula, gambar Presiden itu telah tersiar
dalam surat khabar.

Keesokan harinya, si resi muda mengasingkan diri dan menyelam ke dasar laut (bertapa di dalam
laut) untuk membersihkan dirinya. Resi duduk bersila di dasar laut. Dia menutup matanya lalu
bertafakur. Resi muda itu cuba mentafsirkan maksud dua petanda yang berlaku di Aitu.
Kebetulan kedua-dua petanda itu berlaku serentak dengan pelantikan Presiden baru Ogonshoto.
Semasa resi muda itu membuka matanya ketika bertapa di dasar laut, dia terlihat bayangan lima
ekor kuda putih yang ditunggang oleh 5 lelaki berbaju merah.

Beberapa hari selepas itu, barulah resi tahu bahawa ada 5 lelaki berkuda yang menjadi utusan
Presiden baru itu telah datang ke Aitu. Utusan itu menyatakan bahawa dalam tempoh 100 hari
memerintah, Presiden akan melawat beberapa wilayah di Ogonshoto, salah satu daripadanya
adalah wilayah Aitu. Presiden mahu membuat rancangan pembangunan di Aitu. Ketika berada di
situ, Presiden menganjurkan satu sayembara (pertandingan) iaitu mencipta sesuatu ‘benda yang
hidup’. Namun tidak diterangkan bagaimana bentuk benda hidup yang dimaksudkan itu.
Penduduk Aitu dikehendaki menyertai sayembara itu. Hadiahnya disediakan oleh Presiden
berupa sebiji kelapa emas. Ada tiga orang sahaja yang menyertai, dua lelaki tua dan seorang resi
muda.
Resi muda telah menyiapkan ciptaannya daripada tanah liat yang dicampur dengan daun
tembakau dan pelbagai jenis daun yang direbus untuk menghasilkan banyak warna. Ciptaan resi
muda itu berbentuk ikan yang berwarna-warni.

Ketika penghakiman dilakukan, resi muda berjaya memenangi sayembara itu. Presiden memberi
hadiah kepada si resi dengan membaling hadiah itu. Hadiah berbentuk sebiji buah kelapa
berwarna kuning emas yang dibalingkan oleh Presiden itu terkena ikan-ikan ciptaan resi muda
menyebabkannya hancur rosak lalu dihanyutkan air laut bersama-sama kelapa emas itu. Resi
muda berpendapat bahawa begitulah agaknya cara seorang Presiden yang terpelajar itu
menyampaikan hadiah. Resi muda terasa hina oleh tindakan Presiden itu. Seluruh penduduk Aitu
yang menyaksikan kejadian itu berasa hairan. Resi muda mengarahkan semua penduduk Aitu
pulang. Tinggallah resi muda itu duduk di pantai sambil berfikir panjang.

Selepas itu resi muda menyelam ke dasar laut untuk bertapa lagi. Dia mendapati ikan-ikan yang
berwarna-warni berenang di sekelilingnya. Resi membayangkan mungkinkah ikan warna warni
itu sebagai jelmaan ikan ciptaannya (terbentuk daripada ikan yang diciptanya waktu sayembara
dulu). Pada hari seterusnya, resi muda menyelam lagi. Dia mendapati ikan yang berwarna-warni
berenang-renang mengelilinginya. Tiba-tiba pandangannya tertumpu pada terumbu karang di
hadapannya. Beberapa ekor hidupan laut berbentuk bulat dan berduri telah melekat pada karang,
menyebabkan batu karang itu hancur. Resi muda membuat kesimpulan bahawa hidupan laut
yang merosakkan batu karang itu adalah jelmaan daripada kelapa emas yang dihadiahkan oleh
presiden dulu.

Pada hari seterusnya resi muda menyelam lagi. Dia mendapati ikan yang pelbagai warna didekati
oleh hidupan laut yang merosakkan karang itu. Kejadian itu ditafsirkan oleh resi muda bahawa
kuasa baik sedang diganggu oleh kuasa jahat. Menurut tafsiran resi muda, ikan pelbagai warna
itu melambangkan kuasa baik, manakala hidupan laut yang berduri itu sebagai kuasa jahat. Itulah
sebabnya resi muda itu sering bertapa di laut untuk melawan kuasa jahat. Resi itu yakin bahawa
sesiapa yang melawan kejahatan maka akan mendapat balasan kebaikan apabila mati nanti. Resi
muda terkenang semula akan kisah lampau iaitu seluruh kawasan Aitu bertukar menjadi kelabu,
kemudian bangkai ikan paus pula terdampar di pantai. Resi muda itu membuat hubung kait
antara dua kejadian aneh tersebut dengan pelantikan Presiden baru, dan peristiwa hidupan laut
berbentuk bulat dan berduri yang memusnahkan terumbu karang.

21 hari selepas si pendamping resi dari Aitu itu membuat semua tafsiran di atas, dia didatangi
oleh seseorang yang mengaku datang dari pejabat Presiden di Tatamanu. Wakil Presiden itu
menyatakan bahawa dia mempunyai pendidikan dalam pengurusan moden dari beberapa
universiti. Dia tidak bersetuju dengan tafsiran yang diberikan oleh resi muda tentang perbuatan
baik akan mendapat ganjaran kebaikan dari Tuhan selepas mati kelak. Keesokan harinya,
mereka pergi berjumpa resi tua untuk mendapat kepastian. Lelaki itu tidak percaya bahawa
perbuatan baik akan mendapat ganjaran nirwana (balasan kebaikan). Seterusnya lelaki dari
Tatamanu itu mengatakan bahawa resi tua itu boleh dihukum kerana memberi pendapat yang
sangat mengelirukan. Apabila lelaki dari Tatamanu itu tidak puas hati dengan jawapan resi tua,
akhirnya dia kata “saya akan menunggu kedatangan Tuhan kerana hanya Tuhan yang boleh
memberi jawapan”.

Lelaki dari Tatamanu itu pula membuat tafsiran bahawa Tuhan akan muncul dari arah laut. Hal
ini menyebabkan dia terus-menerus berada di pantai sehingga beberapa tahun kerana mahu
bertemu Tuhan. Lelaki itu akhirnya meninggal di situ namun tidak bertemu Tuhan.

Akhirnya si pentafsir faham akan kata-kata si resi tua selama ini iaitu bukannya Tuhan yang
menemui mereka, sebaliknya kebenaran dan kebaikanlah yang ditegakkan. Menurut tafsiran si
pendamping resi tua lagi, yang menang bukanlah atas kekuasaan manusia, tetapi yang menang
ialah kebenaran. Kebaikan dan kebenaran itulah yang akan mengatasi sesuatu yang jahat atau
kepura-puraan.

BAB 7: JARI

Ada seorang bekas guru sains di sekolah tinggi Tatamanu. Kini dia bertugas di tempat lain. Guru
itu membawa bersama balang berisi jari manis. Hal ini menimbulkan tanda tanya kepada jiran
tetangga dan sahabatnya. Apatah lagi jari manisnya yang sebelah tangan kanan telah pun tiada.
Guru sains itu menjelaskan tentang demokrasi atau kebebasan yang diamalkan di Ogonshoto
tidak lagi mempunyai nilai kerana pemerintahnya, khasnya presiden tidak lagi mahu mendengar
pendapat orang lain. Walaupun Presiden selalu mengatakan bahawa sesiapa sahaja bebas
memberi pendapat. Malahan Presiden pernah mengatakan bahawa Republik Ogonshoto adalah
contoh terbaik sebagai pengamal demokrasi moden. Namun begitu kata-kata tuan presiden itu
hanya satu penipuan kerana sesiapa yang melawannya akan dikenakan tindakan yang tegas.

Apabila jiran-jiran dan rakannya begitu berminat mengetahui kisah di sebalik jari manis yang
diawet di dalam balang itu, akhirnya dia menjelaskannya. Menurut guru sains itu: ketika menjadi
guru di sekolah tinggi di Tatamanu, dia telah menyatakan pendapatnya melalui sebuah rencana
yang dimuatkan di akhbar. Dia berjanji akan memotong jarinya jika dia tidak dikenakan tindakan
akibat perbuatannya menulis rencana itu. Dia cukup yakin akan dikenakan tindakan yang keras
oleh pemerintah Ogonshoto. Dalam rencana/makalah yang ditulisnya, dia mengutarakan tentang
isu kepincangan dalam pemerintahan pemimpin republik itu. Pemimpin-pemimpin mula lupa
tujuan asal perjuangan selepas mendapat kuasa dan kekayaan. Para pemimpin hanyut dalam
kegilaan mengumpul kekayaan tanpa menghiraukan kebajikan rakyat. Mereka juga ingin
mendapat kekayaan dengan cara mudah tanpa memikirkan kesan buruk terhadap masyarakat
bawahan.

Seminggu selepas itu, tiada apa-apa tindakan selepas guru sains itu menulis rencana dalam
akhbar. Kemudian dia teringat akan janjinya dulu mahu memotong jari manisnya jika dia tidak
diambil tindakan oleh pemerintah. Dia berjumpa kawannya yang menghidapi penyakit kusta. Dia
mahu pesakit kusta itu yang memotong jarinya kerana dirinya sendiri tidak sanggup
memotongnya. Kawannya itu pun meluahkan rasa tidak puas hati kepada pemerintah yang
mengabaikan golongan bawahan serta hidup susah. Pemerintah yang menjatuhkan hukuman
terhadap orang yang tidak bersalah. Ketika pesakit kusta itu bercerita, guru itu terleka. Masa
itulah jari manisnya dipotong. Tanpa disedari jari manisnya telah pun dipotong. Kemudiannya
jari manis itu dimasukkan ke dalam balang kaca.

Dua minggu kemudian, dia menerima sepucuk surat yang mengarahkan dia berpindah dari
Tatamanu ke Kuri dalam tempoh 24 jam. Arahan pindah ini adalah kesan daripada tindakan guru
itu dahulu yang menulis rencana berunsur kritikan kepada pemerintah. Saudara-saudaranya turut
menerima tempias, ada yang dipindahkan tempat kerja, ada yang diberhentikan dan diturunkan
pangkat. Dia menyesal kerana hukumannya lewat datang, sedangkan dia telah pun memotong
jarinya sendiri.

Tidak lama selepas itu penduduk kawasan pedalaman Kuri menjadi heboh apabila tiga buah
syarikat Turki, Jepun dan Jerman datang dan menggondolkan kawasan hutan di Kuri bagi
membina padang golf yang besar. Guru itu bermati-matian menghalang projek tersebut kerana
boleh mengakibatkan kesan yang buruk misalnya kemarau yang panjang seperti yang pernah
berlaku selama sembilan bulan dahulu. Kawasan tadahan hujan juga musnah kelak akibat
penerokaan hutan secara berleluasa. Guru itu menceritakan bahawa ketika kemarau panjang
dulu, ratusan orang mati. Ada juga penduduk yang terpaksa meminum air kencingnya kerana
tiada air minum.

Kali ini guru itu mempertaruhkan jari hantunya pula jika kumpulan pencinta alam bersetuju
dengan cadangan penerokaan hutan untuk padang golf itu. “Aku berani bertaruh jari hantuku”,
kata guru itu. Dia yakin projek itu akan mendapat tentangan keras daripada para pencinta alam.
Memang benar sangkaan guru itu bahawa kumpulan pencinta alam dari Kuri menentang keras
rancangan pembinaan padang golf itu. Selepas itu guru sains menjemput penduduk Kuri datang
ke rumahnya untuk mengadakan majlis kesyukuran setelah rancangan membina padang golf itu
dibatalkan.

Bagaimanapun pengikut setia Presiden di Tatamanu membuat laporan kumpulan pencinta alam
yang palsu (membuat laporan bikinan). Kumpulan itu menyatakan kononnya laporan pencinta
alam dari Kuri mengandungi kesilapan. Sebaliknya pengikut Presiden itu menyatakan bahawa
projek membina padang golf itu tidak mendatangkan ancaman atau kesan negatif. Oleh itu kata
mereka, projek padang golf itu boleh diteruskan. Guru kidal itu sangat kecewa lalu bertindak
memotong jari hantunya menggunakan kapak demi menunaikan janjinya sebelum ini. Kali ini
dia memotong sendiri jarinya kerana kawannya (penghidap kusta) yang memotong jari manisnya
dulu tiada lagi kerana telah meninggal dunia.

BAB 8: KAMERA

Lelaki muda itu berasal dari Runakita, Ogonshoto. Dia mewakili Ogonshoto ke Tokyo bagi
program Penyelidik Muda Asia-Pasifik. Dia berada di Tokyo, Jepun selama empat bulan untuk
menyertai program itu. Semasa di Jepun, dia berpeluang menghayati kesenian orang Jepun.
Sebelum bertolak balik ke Ogonshoto dia membeli beberapa cenderamata termasuklah sebuah
kamera dengan beberapa komponen kelengkapannya. Dia mengilhamkan dan mencipta sebuah
kamera yang dipanggil kamera eksperimental yang boleh merakam ‘peristiwa masa lalu pada
masa ini’.
Sebaik-baik tiba di lapangan terbang Tatamanu, dia berasa rindu untuk mengetahui berita di
Ogonshoto, lalu membeli senaskhah surat khabar 12 halaman. Itu saja surat khabar tunggal di
Ogonshoto. Ketika berada di dalam teksi menuju ke rumahnya di Tatamanu, dia terpandang satu
iklan dalam akhbar itu. Iklan itu menunjukkan bekas komandan tentera yang memohon maaf
kepada semua pihak atas kesilapannya semasa berkhidmat dalam Angkatan Bersenjata Republik
Ogonshoto dahulu. Menurut pemandu teksi itu, kebanyakan mereka akan menyesali akan dosa
silam mereka.

Dia meminta supaya dibawa berjumpa dengan komandan tentera tersebut. Sebaik-baik tiba di
rumah komandan itu, dia mendapati seorang tentera sedang menjerit-jerit minta ampun dan
bercakap sendirian (meracau) menyalahkan dirinya sendiri. Tentera itu juga pernah meminta
jirannya agar menolong menyediakan iklan meminta maaf. Tentera tersebut teringat akan
kejahatannya dahulu; seolah-olah dapat dilihatnya orang-orang yang dizaliminya ketika
berkhidmat dahulu datang membalas dendam. Anak-anaknya tidak seorang pun yang mahu
menjaganya. Isterinya yang tua dan lumpuh sedang duduk tepok di lantai. Isterinya itulah sahaja
temannya sekarang. Bantal, selimut, termos, cawan, botol kopi, dan botol gula berserakan di
lantai.

Ada seorang rakan komandan tentera itu cuba menenangkannya, dan berkata bahawa dia tidak
perlu memohon maaf kepada sesiapa. Sebaliknya hanya memohon maaf kepada Tuhan. Rakan
komandan itu berkata, “bukankah kamu sudah diajar supaya tidak berasa berdosa kerana
melakukan semua tindakan kejam itu demi Presiden dan Republik Ogonshoto”, katanya. Bekas
komandan itu terbayang-bayang akan dosanya yang lalu. Antara dosanya, dia telah membunuh
seorang lelaki aktivis hak asasi manusia di jurang kawah gunung berapi Gora-Gora lima tahun
lalu. Tindakan itu dilakukan olehnya atas perintah sulit Presiden.

Apabila tiba di rumah bujangnya di Tatamanu, dia mencantum-cantumkan komponen kameranya


dengan kalendar elektronik. Kalendar itu boleh diputar-putar untuk mendapatkan sesuatu tarikh
dari julat tahun 0001 hingga kini. Akhirnya kamera eksperimental itu siap dicantumkan. Kamera
itu boleh merakam gambar dan suara sesuatu peristiwa dengan memasukkan tarikh, cuaca dan
suhu badan orang itu. Kamera itu dapat melihat peristiwa lalu. Menurut temannya, kamera itu
merupakan ciptaan luar biasa.

Dia akhirnya teringat tentang kata-kata bekas komandan yang menyalahkan dirinya itu. Dia
berfikir, mungkinkah aktivis yang dibunuh itu adalah abangnya, manakala khabar angin yang
menyatakan abangnya bersembunyi di Amerika adalah tidak benar. Lalu dia bersama-sama
temannya mengambil keputusan mendaki gunung berapi Gora- Gora. Semasa berada di puncak
gunung berapi itu, dia mengambil gambar di sekelilingnya. Selepas itu, dia memproses gambar
itu. Ada tiga keping gambar yang berjaya diproses. Melalui gambar-gambar itu, dia mendapati
bahawa memang betul bekas komandan itulah yang membunuh abangnya. Dalam foto pertama
yang dirakam dengan kamera eksperimental itu, dia mendapati mata abangnya ditutup, dan
tangan diikat oleh seorang tentera. Kemudian rakaman foto yang kedua, tentera itu menembak
abangnya dengan pistol. Dalam foto ketiga pula, menunjukkan mayat abangnya diterjang oleh
tentera itu lalu jatuh ke kawah gunung berapi Gora-Gora.
Apabila pasti bahawa mangsa dalam foto itu adalah abangnya, dia berhasrat untuk menuntut
keadilan (menuntut bela) di mahkamah atas kematian abangnya. Dia menyiapkan jadual
penggunaan atau cara-cara menggunakan kamera itu untuk diserahkan kepada kawannya sebagai
persiapan; kalau-kalau ada apa-apa berlaku kepadanya kelak. Selepas itu dia bergegas ke pejabat
undang-undang Tatamanu, kemudian membuat laporan tentang penganiayaan terhadap
abangnya. Dia menyerahkan tiga keping foto itu kepada hakim sebagai bukti. Ketika menunggu
salinan laporannya disiapkan, tiba-tiba muncul dua orang tentera, menggari dan menahannya atas
tuduhan menggunakan kamera yang belum diluluskan oleh pemerintah. Menurut tentera itu,
perbuatan menggunakan kamera yang belum diluluskan adalah kesalahan amat besar mengikut
undang-undang di Republik Ogonshoto.

Dia dimasukkan ke dalam penjara. 3 keping foto yang diserahkan kepada hakim itu telah dibuat
salinan (photo copy) dan dihantar ke hospital tempat bekas komandan ditahan. Kemudiannya
foto itu ditunjukkan kepada komandan itu. Apabila melihat foto itu, komandan menjerit-jerit
ketakutan akan dosa-dosanya dulu lalu pengsan. Begitulah yang ditempuhi oleh komandan itu
selama dua hari sehingga menemui ajalnya. Mayat komandan itu dihantar pulang dengan teksi
tanpa ada sebarang penghormatan. Sementara itu, pemuda terpelajar yang menghasilkan kamera
eksperimental itu sudah dua hari ditahan di penjara. Namun dia belum dimaklumkan bilakah kes
pembunuhan abangnya dibawa ke muka pengadilan.

BAB 9: BAHTERA

Bakal nokhoda yang berumur lewat 50-an itu berdiri di atas kapal besar (bahtera), memerhati
longgokan kayu dari bangsal pekerjanya yang telah dirobohkan. Dia memerhati sekeliling,
melihat pekerjanya yang sedang sibuk bekerja. Lalu dia teringat akan seekor penyu yang
mendorongnya membina kapal itu.

Pada suatu senja, ketika bersampan hendak menuju ke pantai, dia ternampak seekor penyu yang
amat besar, berenang menyusup ke bawah perahunya. Dia terpaku, lalu bergegas ke daratan,
menceritakan kepada kawan-kawannya yang sedang berehat di kedai kopi. Tidak seorang dari
mereka percaya akan ceritanya. Semua kawannya beredar, kecuali seorang yang pendiam. Lelaki
pendiam itu memberitahu, dia pernah mendengar cerita itu dari datuknya bahawa ada penyu
besar tinggal di gua besar di bawah pulau. Namun cerita kemunculan penyu itu tidak penting,
yang penting ialah mengapa penyu raksasa itu pergi dari tempat tinggalnya dalam gua itu.
Menurut cerita orang tua-tua di situ, apabila penyu besar itu pergi meninggalkan tempatnya di
gua bermakna akan berlaku malapetaka di Republik Ogonshoto. Kata lelaki pendiam itu, seribu
tahun dulu berlaku gempa bumi yang besar di sini menyebabkan beberapa buah pulau lenyap
kecuali Gora-Gora, Futu-Ata Rai Rapa dan pulau-pulau pasir.

Lelaki itu mengatakan bahawa kemunculan penyu raksasa itu membawa alamat buruk. Oleh itu
penduduk Ogonshoto perlu berpindah ke kawasan lain. Mereka perlu mencari tempat tinggal
baru. Oleh itu dia mencadangkan agar mereka membina sebuah bahtera atau kapal besar yang
mampu memuatkan seluruh penduduk Republik Ogonshoto menuju ke kawasan penempatan
baru. Bagaimanapun kisah penyu itu dan pendapat lelaki itu ditentang oleh anak remaja lelakinya
yang sedang belajar di Tatamanu. Katanya Ogonshoto jauh dari lingkaran gunung berapi Pasifik.
Gempa besar tidak mungkin berlaku di tempat itu. Lelaki tua itu sukar menyangkal (membantah)
kata-kata anaknya, apatah lagi dia seorang yang buta huruf berbanding anaknya.

Cadangan lelaki itu untuk membina bahtera akhirnya diterima oleh penduduk yang mempercayai
kata-katanya. Mereka perlu menebang kayu di hutan untuk dijadikan perkakas membina kapal
besar itu. Namun permohonan untuk menebang kayu di hutan Republik Ogonshoto memakan
masa untuk diluluskan kerana banyak karenah birokrasi. Akhirnya lelaki itu meminta bantuan
sebuah syarikat dari Jepun yang beroperasi di Futu Ata. Mereka diberikan kawasan hutan seluas
lima ratus ekar sebagai kawasan untuk mencari kayu yang kukuh untuk membina bahtera.
Akhirnya bahtera itu juga dapat disiapkan.

Kumpulan pertama pengikut lelaki itu (kini jadi nakhoda bahtera) mendaftarkan diri untuk sama-
sama menaiki bahtera itu. Semasa orang ramai mendaftar, tiba-tiba muncul dua orang perempuan
dan seorang lelaki yang berpenyakit. Kata mereka, penyakit itu didapati selepas menghadiri
jamuan di rumah Presiden. Nakhoda menyuruh penumpang yang berpenyakit itu duduk di
buritan geladak; lalu meminta anak-anak kapal menjaga mereka. “Semoga penyakit kalian
akan sembuh segera”, kata nakhoda. Kemudian muncul seorang lelaki berbaju putih yang mahu
menumpang bahtera itu. Rupa-rupanya dialah tukang masak di istana Presiden. (Tukang masak
yang kelihatan seperti lelaki ini sebenarnya adalah wanita tetapi menyamar sebagai lelaki ketika
mula-mula berjumpa nakhoda). Nakhoda meminta lelaki itu menceritakan hal hidangan tersebut
sehingga mendatangkan penyakit. Kata tukang masak itu, Presiden minta menyediakan bubur
tradisional Ogonshoto yang paling enak iaitu bubur taro. Bubur taro memerlukan campuran
daging rusa. Memang sukar mendapatkan daging rusa di Ogonshoto. Kebetulan waktu itu ada
seorang lelaki datang ke rumah tukang masak itu. Lelaki itu mengikuti semua arahan tukang
masak tersebut. Lelaki itu disuruh baring, ketika itulah tukang masak menyembelih lehernya
dengan kapak. Daging itulah yang dikisar menjadi ramuan bubur taro. Dari sanalah semuanya
mendapat sakit.

Bahtera itu bergerak meninggalkan Ogonshoto apabila penyu raksasa muncul. Tiba-tiba
kelihatan penyu gergasi keluar meninggalkan pulau karang. Pada masa itulah nakhoda meminta
bahtera dilayarkan. Ketika itu juga ombak yang dahsyat atau tsunami melanda Ogonshoto.
Ombak itu telah menyapu bersih (menenggelamkan) segala-galanya termasuk anak lelakinya.
Nakhoda meneruskan pelayaran bersama-sama pengikutnya menuju ke sebuah daratan lain atau
kawasan penempatan baharu. Setelah berminggu-minggu belayar, akhirnya bahtera itu
menghampiri daratan. Daratan itulah yang menjadi kawasan tempat tinggal yang baharu kepada
seluruh penghuni bahtera tersebut.

EPILOG: TSUNAMI

Bahtera dari Ogonshoto berlabuh (telah sampai) beberapa hari mendahului Kawai Maru (masih
ingat cerita Kawai Maru dalam Prolog? ). Mereka (penumpang kapal itu) membawa cerita yang
sama tentang peristiwa tsunami, pertemuan itu menjadikan mereka semakin rapat. Dari sinilah
segala cerita-cerita dari Ogonshoto didengari. Kisah-kisah itulah yang terkumpul sehingga
menjadi sebuah naratif. Tetapi itu semua telah lama berlalu.

Peristiwa tsunami itu berlaku ketika penulis berumur 45 tahun, dan sekarang dia berusia 85
tahun. Menurut mereka ketika tsunami berlaku, gelombang laut begitu tinggi melebihi 500 kaki.
Gelombang besar itu menenggelamkan Gora-Gora, Rai-Rapa, dan Futu-Ata. Bangunan dan
rumah-rumah serta perahu rosak teruk. Mujurlah Kawai Maru dan bahtera itu tidak musnah. Dia
juga tertanya-tanya adakah Tuan Kawai Maru masih hidup. Kepulangan mereka ke kampung
halaman merupakan pengalaman yang janggal. Hal ini kerana tiada lagi sahabat lama. Isteri-isteri
rimas dengan kehadiran suami yang telah lama biasa dengan lautan di atas Kawai Maru.

Penulis tidak pulang ke kampung halamannya, sebaliknya menetap di Tokyo. Dia tinggal di
penempatan yang sunyi. Dia melelapkan mata, kedengaran sayup ditelinganya siren kereta mayat
yang semakin jauh.

Cerita kembali kepada realiti masa kini apabila penulis tersedar daripada kesan ubat bius selepas
pembedahan beberapa hari sebelumnya. Encik Noor yang berasal dari Malaya membuka
matanya, dan mendapati dia berada di wad hospital. Tubuhnya dipenuhi tiub dan seorang
jururawat berdiri di sisinya. Dia sedar sekarang bahawa dia telah keluar dari wad pembedahan di
Jepun. Sebenarnya dia telah lama menghidapi penyakitnya, tapi dirahsiakan daripada
pengetahuan keluarga dan sahabatnya. Namun penyakitnya menjadi semakin serius ketika
bertugas dengan sebuah organisasi Asia Pasifik di Tokyo, Jepun.

TEMA
Tema novel ‘Naratif Ogonshoto’ tulisan Anwar Ridhwan ialah kepimpinan yang diktator atau
‘kuku besi’ dalam sebuah negara yang mengamalkan demokrasi. Sebagai kesannya berlaku
pertentangan antara pemimpin dan rakyat. Dalam novel ini, Presiden memerintah dengan kejam
demi mempertahankan kuasa dan kedudukannya. Presiden Republik Ogonshoto mengamalkan
politik Machiavelli iaitu ‘matlamat menghalalkan cara’. Misalnya, beliau tergamak menembak
anak angkatnya apabila didapati pemuda itu pintar dan boleh menggugat kedudukannya kelak.

PERSOALAN
Terdapat beberapa persoalan dalam novel ‘Naratif Ogonshoto’ karya Anwar Ridhwan. Persoalan
pertama ialah tentang kasih sayang anak terhadap orang tuanya. Hal ini kita dapati daripada
watak Presiden yang telah kembali tanah airnya iaitu Ogonshoto setelah 20 tahun merantau di
Eropah. Dalam novel ini, orang pertama yang dicari oleh Presiden tersebut adalah ibunya. Beliau
menangis sambil mememeluk lutut ibunya yang telah tua.

Persoalan kedua, penganiayaan terhadap masyarakat bawahan. Hal ini dapat kita perhatikan
melalui watak cendekiawan yang mencipta kamera lalu cuba menuntut keadilan atas kematian
abangnya. Melalui kamera yang dibelinya di Jepun, dia berjaya membuktikan kekejaman
komandan tentera yang menembak abangnya di gunung berapi Gora-Gora. Apabila pemerintah
tahu hal ini, pemuda itu ditangkap; kononnya bersalah kerana menggunakan kamera secara
haram.

Persoalan ketiga ialah kekejaman pemerintah terhadap orang bawahannya. Umpamanya,


Presiden telah melepaskan empat das tembakan ke arah anak angkatnya itu sehingga tercedera.
Tentera elit Presiden pula memotong lidah serta kedua-dua tapak tangan pemuda itu.

Persoalan keempat ialah tentang kepercayaan terhadap sesuatu ramalan dalam kalangan
masyarakat. Buktinya, watak pentafsir memaparkan kejadian ikan paus yang mati di pantai Aitu,
dan debu gunung berapi yang melanda kawasan itu. Pentafsir itu meramalkan kejadian itu
merupakan petanda bahawa suatu kejadian buruk bakal berlaku di tempat itu.

Persoalan kelima ialah kebenaran yang akan mengatasi kejahatan dan sifat kepura-puraan. Hal
ini dapat dilihat daripada watak resi yang sering bersendirian dalam mencari kebenaran dalam
kehidupannya. Dia menyatakan kepada seorang utusan dari pemerintah Ogonshoto bahawa
setiap kebenaran itu akan mengatasi perkara jahat. Utusan Ogonshoto itu tidak percaya,
sebaliknya mempersoalkan kuasa Tuhan. Akhirnya dia mati dalam kejahatannya tanpa menemui
kebenaran.

Persoalan keenam ialah tentang kesan dari pembangunan yang tidak terancang. Contohnya,
seorang guru bermati-matian menentang pembinaan padang golf besar yang dibangunkan oleh
firma dari Turki, Jepun dan Jerman. Tindakan mereka yang menggondolkan hutan akan
menyebabkan bencana alam. Dia masih ingat bagaimana kemarau panjang selama sembilan
bulan sebelumnya yang meragut ratusan orang di Ogonshoto.

Persoalan ketujuh ialah tentang konsep setiap kejahatan akan mendapat balasan. Contohnya,
kekejaman pemerintahan Presiden terhadap rakyat di republik Ogonshoto, akhirnya mendapat
balasan setelah tsunami melanda kepulauan itu sehingga meranapkan segala-galanya.

Persoalan kelapan ialah tentang pembangunan yang mengorbankan alam sekitar. Misalnya,
penerokaan hutan untuk dijadikan pusat perjudian hanya memusnahkan keindahan alam sekitar.
Lebih teruk lagi, pembinaan jalan raya ke tempat itu memusnahkan kawasan tadahan air di Gora-
Gora.

Anda mungkin juga menyukai