Anda di halaman 1dari 31

NOVEL NARATIF

OGONSHOTO
SINOPSIS NOVEL

BAHAN SUMBANGAN, SMK BINGKOR KENINGAU, SABAH


Suber Bahan : GURU daripada S.M.K. Bingkor, Keningau, SABAH

KESUSASTERAAN MELAYU

Sinopsis NOVEL ‘NARATIF OGONSHOTO’ (karya Anwar


Ridhwan)
*Ogonshoto = kepulauan emas

Nota:
Sinopsis ini agak panjang lebar. Namun, memang sesuai begini untuk
membantu pelajar memahami cerita novel N. O. dengan mudah. Jika pelajar
faham kandungan sinopsis ini, bermakna mereka sudah menguasai hampir 80 %
‘naratif ’ sebenar.

PENGENALAN
Naratif Ogonshoto adalah karya Anwar Ridhwan, berbentuk cerita
berbingkai. Cerita ini berkisar tentang kisah hidup masyarakat yang dipimpin oleh
pemerintah yang zalim dan penuh tipu muslihat di sebuah negara iaitu Republik
Ogonshoto. Kisah ini sebenarnya terhasil daripada pengembaraan minda (minda
bawah sedar ) seorang pesakit bernama Encik Noor ketika beliau sedang
dibedah di sebuah hospital di Tokyo, Jepun.
Encik Noor berasal dari Malaya. Namun, ketika menjalankan tugas di sebuah
organisasi Asia-Pasifik di Tokyo, penyakitnya bertambah serius. Beliau terpaksa dibedah.
Ketika berada dalam pengaruh ubat bius (ketika tidak sedar), fikirannya
menerawang. Kononnya dia bekerja di kapal Kawai Maru. Melalui pengalaman bekerja di
Kawai Maru dia mendengar pelbagai cerita yang pernah berlaku di sebuah negara
republik bernama Ogonshoto. Cerita-cerita itu disahkan oleh nakhoda bahtera yang
terselamat daripada tsunami yang melenyapkan kepulauan Ogonshoto. Cerita-cerita
itu telah dibingkaikan kepada beberapa bab dalam naratif ini.
Ada 9 bab dalam novel ini. Bab awal iaitu prolog penting kerana
menceritakan tentang Republik Ogonshoto, secara geografi dan sedikit kisah hidup anak
kapal Kawai Maru. Bab berjudul Epilog pula merupakan penamat yang memerikan
kisah pencerita selepas bencana Tsunami. Melalui epilog juga, pembaca
mengetahui bahawa cerita ini merupakan cerita berbingkai yang berkisar di sebuah
kepulauan.
1
PROLOG : KAWAI MARU

Nama kapal Kawai Maru ini diambil sempena nama pemiliknya


Tuan Kawai Maru. Kawai Maru yang telah didaftarkan di Kobe, Jepun.
Dia menjadi nelayan sejak berusia 15 tahun. Tuan Kawai Maru menjadi
kaya raya pada usia 30-an dan mempunyai pengetahuan yang luas
tentang dunia lautan. Tuan Kawai sanggup melabur besar-besaran
kerana amat tahu nilai ikan, dan hidupan lainnya.
Kapal Kawai Maru mempunyai beberapa kelebihan/keistimewaan.
Antara kelebihannya: boleh menempatkan 200 orang pekerja, dan
dilengkapi dengan teknologi telekomunikasi canggih. Hasil tangkapan
kapal ini mampu mencapai 3 juta tan ikan laut setiap tahun. Kawai
Maru juga merupakan kapal induk/kapal terbesar di lautan Pasifik.
Kawai Maru mempunyai 5 tingkat. Dua tingkat dijadikan ruang tidur
pekerja. Satu tingkat lagi menjadi ruang dapur dan dewan makan. Dua
tingkat lagi pula menjadi tempat menyimpan ikan-ikan laut dalam yang
lengkap dengan bilik sejuk beku.
Kawai Maru menggunakan teknologi canggih iaitu kawalan satelit untuk
memudahkan pelayarannya. Itu sebabnya kapal besar itu pernah sampai ke Jurang
Marianas, Galapagos, Nauru termasuklah kepulauan Ogonshoto. Ogonshoto merupakan
sebuah republik yang mempunyai 6 buah pulau iaitu Gora-Gora, Futu-Ata,
Rai-Rapa, Kai Rai-Rapa, Kai Futu-Ata dan Kai Gora-Gora
terletak 1500 batu di barat laut Pulau Easter. Menurut cerita Kawai
Maru, kepulauan ini ditemui oleh pelayar-pelayar Jepun pada zaman
Edo (abad ke-17). Merekalah yang memberikan nama Ogonshoto. Masih
terdapat pengaruh Jepun di republik ini, malahan generasi kacukan
Jepun banyak juga, terutama penduduk yang mendiami Futu-Ata.
Kepulauan Ogonshoto digambarkan memiliki panorama atau pemandangan yang
cantik dan menakjubkan. Perairannya pula merupakan lubuk ikan terbesar, iaitu
mempunyai ikan paling banyak di lautan Pasifik. Kapal Kawai Maru berlabuh di pelabuhan
utama Ogonshoto yang terletak di Teluk Pinavana. “Kami” akan bergilir-gilir menggunakan
bot kecil ke Tatamanu yang merupakan ibu kota Republik Ogonshoto.
Terdapat juga anak-anak kapal pergi ke Malagana untuk mendapatkan hiburan.
Sepanjang tempoh berada di daratan, masyarakat Ogonshoto sering
menceritakan pelbagai kisah yang berlaku di Ogonshoto kepada anak-
anak kapal Kawai Maru. Cerita tersebut lebih jelas selepas
berlakunya peristiwa tsunami yang dahsyat itu. Di sini, “kami”
pernah berjumpa dengan seorang nakhoda bersama pengikutnya dari
2
Ogonshoto. Mereka cuba mencari daratan untuk dijadikan penempatan
baharu. (Rujuk Bab 9: Bahtera)
Cerita-cerita dari Ogonshoto ini terus menjadi buah mulut
masyarakat di kepulauan itu, dan anak-anak kapal Kawai Maru. Semua
cerita ini diadun, disusun sempurna seperti seekor ikan yang lengkap
dari ekor ke kepalanya. Antara cerita-cerita yang pernah pengarang
dengar daripada mulut masyarakat Ogonshoto ialah ‘naratif-naratif
Ogonshoto’ seperti Kolonial, Jeneral, Penyamaran, Aisberg, Mainan,
Pentafsir, Jari, Kamera, dan Bahtera).

3
BAB 1: KOLONIAL

Bab 1 mengisahkan sejarah hidup Presiden Republik Ogonshoto.


Ada kisah hidupnya yang sebenar tidak sama dengan biografi beliau
setelah menjadi Presiden kerana telah ditokok tambah menjadi lebih
hebat dan istimewa. Hal ini tidak menghairankan kerana kisahnya itu
ditulis oleh pengarang yang mendapat ganjaran sangat lumayan
daripada Presiden sendiri.
Presiden Ogonshoto asalnya hanya seorang anak luar nikah yang
berasal dari Malagana. Ibunya orang tempatan dari Malagana, manakala
“bapa-bapanya” tidak dapat dikenal pasti. Malagana merupakan sebuah
tempat tumpuan pelancong dan pusat hiburan di Gora-Gora. Ketika
kecil, anak luar nikah itu selalu menghabiskan masanya bermain-main
di pantai dengan beberapa orang anak luar nikah juga. Ketika kawan-
kawan lain bermain, budak lelaki yang baru berumur 7 tahun ini sering
memerhatikan kapal-kapal asing yang berlabuh di Tanjung Takatea.
Perkara ini menimbulkan keinginan yang kuat dalam diri budak tersebut untuk melihat
dunia luar iaitu ke Eropah yang menjajah Ogonshoto. Lantas, pada suatu petang dia telah
menyelinap masuk ke dalam sebuah kapal dari Eropah. Ibunya tidak tahu bahawa anaknya
sudah mengikuti kapal itu belayar. Budak berumur 7 tahun itu berenang menuju ke arah
kapal itu hingga berjaya menyelinap masuk. Budak itu menyorok di celah kotak-kotak atau
peti dalam kapal itu sehingga nakhoda tidak perasan kehadirannya.
Selama dalam pelayaran, suatu hari budak lelaki itu masuk ke dapur di kapal itu
untuk mencuri makanan kerana terlalu lapar. Ketika itulah kelasi kapal telah menyedari
hal itu. Akhirnya pada hari kesepuluh pelayaran, dia ditangkap oleh kelasi-kelasi kapal.
Nakhoda kapal tersebut telah menyerahkan budak dari Malagana itu kepada
seorang tua iaitu pesara kelasi. Selepas itu nakhoda kapal itu mengambilnya sebagai anak
angkat. Nakhoda menghantar budak itu belajar. Semasa di sekolah, budak lelaki itu
merupakan pelajar yang pandai, pintar dan dihormati rakan-rakannya. Nakhoda
membiayai sepenuhnya pengajian budak itu sehingga ke peringkat universiti.
Sebaik tamat pengajian, anak Malagana itu mendapat tawaran pekerjaan di
sebuah firma Eropah. Namun, sebelum mula bekerja, dia mengambil keputusan untuk
belayar selama empat belas hari dengan tujuan untuk berlibur bersama-sama tiga orang
rakannya. Malangnya baru tiga hari belayar, kapal mereka dipukul ribut sehingga tiang
layarnya patah. Kapal mereka yang hanyut memasuki perairan tanah airnya, iaitu
Ogonshoto. Pemuda itu menyedarinya bahawa dia sudah menghampiri Ogonshoto apabila
4
ternampak asap gunung berapi Gora-Gora. Dia sangat gembira kerana menyedari dirinya
dapat balik semula ke tanah kelahirannya, iaitu Ogonshoto. “Ke mana lagi saya
akan pulang?”. Pulau-pulau ini tanah air tercinta”, katanya
apabila ditemui penduduk Ogonshoto di pesisir pantai. Pemuda itu dan rakan-rakannya
bernasib baik apabila kapal mereka yang teroleng-oleng ditemui oleh sekumpulan nelayan
dari Ogonshoto yang menaiki dua buah perahu. Pemuda itu memperkenalkan diri,
seterusnya meminta orang-orang tersebut mencari ibunya dan mengkhabarkan tentang
kepulangannya. Berita kepulangannya tersebar meluas di seluruh Ogonshoto. Sekumpulan
wartawan dan ribuan penduduk Pulau Gora-Gora menyaksikan pemuda itu memeluk lutut
ibunya sebaik-baik sahaja bertemu ibunya yang menunggu di pantai. Kini pemuda itu
kembali ke pangkuan keluarga dan negara asalnya setelah lebih 20 tahun tinggal di
Eropah.
Tiga orang rakannya kembali ke Eropah manakala pemuda itu mengambil
keputusan untuk menetap di Gora-Gora dan menceburi bidang politik.
Pemuda itu menyertai parti paling popular di Ogonshoto yang didukung oleh polis,
tentera dan karyawan umum. Dia mengumpul data tentang kelemahan dan kesilapan parti
pemerintah ketika itu. Pemuda dari Malagana itu membaca semula kajiannya semasa di
universiti dulu tentang cara meluaskan pengaruh serta cara menewaskan musuh.
Selepas tiga tahun menceburi bidang politik, dia dilantik menjadi Timbalan
Presiden. Enam bulan kemudian, Presiden Ogonshoto ketika itu mati mengejut dalam
tidurnya. Pemuda dari Malagana itulah yang telah dilantik menjadi Presiden yang baharu.
Presiden Ogonshoto menjalankan pemerintahan secara kuku besi. Sesiapa saja
yang menentangnya akan dihapuskan. Presiden baharu itu juga telah mengisytiharkan
bahawa tiada lagi pemerintahan kolonial Eropah, sebaliknya rakyat Ogonshoto sendiri
menjadi pemerintah. Beliau juga mula menjalankan rancangannya membangunkan
Ogonshoto dengan menjemput kapitalis/peniaga asing melabur di Ogonshoto.
Presiden itu juga mulai mempengaruhi anggota-anggota Dewan
Presiden dengan kekayaan. Presiden mengamalkan pemerintahan
mengikut sistem kapitalis. Presiden berkata kepada anggota kabinetnya
(anggota komiti), “fahaman kapitalisme yang sebenar memberi
peluang kepada sesiapa sahaja untuk menjadi kaya raya”. Akhirnya
ahli-ahli politik dan pucuk pimpinan negara berlumba-lumba
mengumpul harta, manakala rakyat jelata tetap hidup dalam keadaan
sederhana dan miskin.

5
Bagi Presiden Republik Ogonshoto, setiap penentangan mesti dibanteras segera
agar pemerintah boleh kekal berkuasa. Sebarang kemunculan kumpulan protes atau
bantahan mesti dihukum. Presiden seterusnya telah mengarahkan agar asrama universiti
harus dihapuskan serta-merta. Mahasiswa dianggap sebagai kuman yang menyebabkan
penyakit. Sebagai akibatnya, mahasiswa terpaksa hidup berpisah dan mencari rumah
sewa di luar kampus.
Fahaman kapitalis dan pemerintahan yang autokrasi atau kuku besi ini
menyebabkan presiden menjadi semakin berkuasa dan kekal memerintah kerana disokong
kuat oleh pegawai-pegawai kanannya, manakala setiap penentang pula dilenyapkan.
Rakyat menganggap presiden bukan setakat pemerintah, tetapi juga sebagai kolonial.

6
BAB 2 : JENERAL

Bab 2 mengisahkan percaturan politik antara Jeneral bersara,


Pegawai kanan dan Wakil Dewan Presiden.
Jeneral mempunyai rumah besar di bandar Tatamanu. Dia membeli sebuah rumah
lagi di Ture. Jeneral selalu berulang-alik antara Tatamanu dengan Ture menggunakan bot
lajunya. Selepas bersara, Jeneral meninggalkan kekayaannya di Tatamanu lalu
berhijarah ke Ture demi cita-cita besarnya dalam politik. Jeneral memilih Ture kerana dia
tahu peluangnya menjadi pemimpin di situ lebih besar.
Jeneral memilih Ture kerana, pertama, menurutnya Ture terletak di timur, paling
awal menerima cahaya matahari. Lagi pun, dia percaya fajar memberi semangat untuk
terus hidup, jadi sesuai kepadanya yang baru bersara. Kedua, peribadi dan kepimpinan
Wakil Dewan Presiden di Ture semakin lemah. Wakil Presiden itu juga sudah terlalu tua,
dan selalu sakit pula. Ketiga, wilayah Ture masih mundur. Buktinya, ada sebuah sekolah
sahaja di situ; itu pun setakat sekolah dasar (sekolah rendah ) dan sangat daif iaitu
hanya berlantaikan tanah. Sebab keempat, hasrat Wakil Presiden di Ture itu mengundur
diri dalam pemilihan umum akan datang pernah tersiar dalam surat khabar.
Pada hari pertama menjejakkan kaki di Ture beliau mula memperkenalkan diri
kepada masyarakat Ture dengan menjemput wartawan televisyen, akhbar dan beberapa
jemputan terpilih ke dalam upacara memuja “semangat rumah” barunya.
Jeneral dan isterinya juga mula berbaik-baik dan beramah-mesra dengan penduduk Ture.
Mereka berkunjung ke perkampungan nelayan sambil menghulurkan bantuan. Mereka
juga meniru gaya hidup penduduk kawasan itu dengan memakai pakaian nelayan atau baju
orang kebanyakan di Ture.
Namun demikian, kehadiran Jeneral tidak disenangi oleh pegawai
kanan pemerintahan provinsi Ture (wilayah Ture). Beliau dapat
merasakan bahawa kehadiran Jeneral akan menggugat kedudukannya
untuk bertanding menggantikan Wakil Dewan Presiden yang
dikhabarkan sudah uzur dan hampir nyanyuk. Oleh itu pegawai kanan
telah membuat fitnah ke atas Jeneral. Mereka menyebarkan cerita kononnya
Jeneral sebenarnya ialah anak yang lahir di Fukana, bukannya Ture. Mereka juga turut
mengada-adakan cerita lelucon, dan cuba menghina ibu Jeneral. Kononnya, ibu Jeneral
berbadan sangat besar sehingga sewaktu melahirkan Jeneral, dia mengerang kesakitan
di Fukana dan kemudiannya melahirkan anak di tempat yang jauh iaitu Ture. Anak itulah

7
yang menjadi Jeneral sekarang. Namun demikian, Jeneral telah membuat persiapan awal
dan berjaya menepis propaganda atau dakwaan negatif pegawai kanan itu.
Wakil Dewan Presiden telah dapat menjangkakan niat kedua-dua orang yang
berebut menjadi presiden itu. Oleh itu, Wakil Dewan Presiden mula mengatur langkah.
Beliau menjemput kedua-dua calon itu untuk makan malam bersamanya di sebuah
restoran makanan laut di Ture. Beliau sengaja lambat tiba, dengan memberi alasan
bahawa beliau terlupa akan perjumpaan tersebut. Wakil Dewan Presiden itu mengutuk
dirinya sendiri yang teruk, tidak sihat, nyanyuk dan sudah tidak layak lagi menjadi
pemimpin. Beliau turut menyatakan hasrat untuk berundur dan meminta kepastian sama
ada dua orang calon itu benar-benar bertanding merebut jawatan Wakil Dewan Presiden.
Jeneral menafikan niatnya dengan alasan dia merupakan orang baru di Ture. Pegawai
kanan pula menyatakan bahawa dia hanya akan bertanding sekiranya
Tuan Wakil Dewan Presiden mengundur diri. Masing-masing mencari
helah agar niat mereka tidak ketara.
Selepas perjumpaan itu, pegawai kanan gembira kerana laluan
untuknya menggantikan tuan Wakil Dewan Presiden terbuka luas.
Namun demikan, kegembiraannya bertukar amarah (kemarahan)
apabila mengetahui pengaruh Jeneral bertambah kuat hanya empat hari
selepas perjumpaan itu. Rupa-rupanya, Jeneral telah menggunakan
kelalaian pegawai kanan sebagai ruang untuk berkempen. Pegawai
kanan mengambil langkah akhir, iaitu berkempen dengan menggunakan
pengaruh Presiden. Beliau mengeluarkan hampir semua wang
simpanannya untuk mencetak kertas kempen yang turut memaparkan
wajah Wakil Dewan Presiden.
Dalam kesibukan berkempen, Jeneral dan pegawai kanan
mendapat panggilan. Panggilan itu kononnya dari pejabat Presiden.
Pemanggil itu menyatakan bahawa presiden ingin bertemu mereka
berdua pada malam nanti di sebuah bot yang terletak di hujung
pengkalan Ture.
Pada malam itu mereka berdua pergi ke hujung pengkalan Ture
untuk bertemu Presiden. Jeneral menembak mangga yang mengunci
pintu pagar pengkalan itu. Pegawai kanan memuji reka bentuk pistol Jeneral dan
menyatakan niatnya untuk melihat-lihat pistol itu lebih dekat. Tanpa prasangka, Jeneral
meminjamkan pistolnya kepada pegawai kanan. Pegawai kanan bercerita pasal umang-
umang, dan tiba-tiba dia mengacukan pistol ke arah Jeneral. Jeneral tidak mundur
sebaliknya merampas pistol yang tidak berpeluru itu. Setelah, mengisi sebutir peluru,
Jeneral menembak pegawai kanan, tepat pada jantungnya. Setelah itu, Jeneral membuang
8
mayat pegawai kanan ke dalam laut. Lalu berdiri menghadap laut menanti kehadiran
Presiden. Namun, Presiden tidak kunjung tiba.
Selepas kematian pegawai kanan, Jeneral telah menawarkan diri untuk bertanding.
Jurucakap parti pula mengatakan bahawa pegawai kanan yang berura-ura untuk
bertanding tidak muncul untuk menghantar borang pencalonan.
Pada hari mesyuarat pemilihan, Tuan Wakil Dewan Presiden menjadi pengerusi.
Mesyuarat berjalan dengan lancar. Selepas itu Presiden meminta ahli mesyuarat berehat
selama tiga puluh minit. Ketika ahli mesyuarat yang lain keluar berehat, Tuan Wakil Dewan
Presiden melambai Jenaral.
Dengan perasaan marah Tuan Wakil Presiden itu bercakap, “perbuatan yang
keji”, lalu menunjukkan beberapa keping gambar kepada Jeneral. Jeneral terperanjat
apabila Tuan Wakil Dewan menunjukkan gambar ketika pembunuhan pegawai kanan di
hujung pangkalan Ture.
“Sia-sialah kamu ke Ture”, kata Wakil Presiden yang sudah tua itu. Ketika
itu empat orang anggota polis masuk ke dewan mesyuarat. Tangan Jeneral digari.
Nampaknya cita-cita politik Jeneral terkubur. Tuan Wakil Dewan pula terus
mengekalkan jawatannya sebagai Presiden.

9
BAB 3 : PENYAMARAN

Bab 3 mengisahkan tentang penyamaran Presiden sebagai


nelayan tua dari Kuri untuk menghentikan protes yang berlaku di
Tubua. Presiden berasa bimbang mendengar peristiwa protes yang
berlaku di Tubua. Oleh itu beliau berbuat helah seperti penyamaran
untuk menghalang protes itu.
Rakyat di Tubua menyediakan sepanduk yang bermaksud
menentang pembinaan jalan raya di kawasan lereng gunung. Pembinaan
jalan raya itu bertujuan untuk memudahkan pelancong datang ke Tubua.
Dikatakan bahawa pihak pemerintah akan membina rumah-rumah
perjudian di Tubua selepas itu. Penduduk Tubua berpendapat,
membina rumah perjudian hanya akan memporak-peranda kerukunan
hidup berkeluarga di Tubua. Lebih teruk lagi, pembinaan jalan raya
tersebut akan memusnahkan keindahan kolam air panas dan kawasan
tadahan air di Gora-Gora. Perkara tersebut pastinya akan menyusahkan
kehidupan rakyat. Selain itu, penduduk Tubua tidak yakin projek
pelancongan dapat dimajukan di situ. Pelancong luar pastinya tidak
mahu datang ke pedalaman Tubua yang terpencil kata mereka. Hal
inilah dijadikan alasan oleh penduduk Tubua untuk melakukan tunjuk
perasaan atau demonstrasi.
Isu protes ini disiarkan di kaca televisyen dan menghias dada akhbar Ogonshoto.
Sekiranya tidak dibendung, protes di Tubua akan menjadi pemangkin protes di seluruh
Ogonshoto. Oleh itu Presiden sendiri telah datang ke Tubua dan menyamar sebagai
seorang lelaki tua yang berasal dari Kuri. Pakaiannya seperti nelayan tua. Badannya agak
bongkok sabut. Jambang, misai, dan janggut hampir menutup wajahnya. Dia memakai kaca
mata gelap murah, yang biasanya dijual di kaki lima kedai di Tatamanu. Sebaik sahaja di
tiba di Tubua dia telah bertemu dengan ketua kumpulan protes. Dia kononnya
memberikan sokongan terbuka terhadap perjuangan mereka. Lelaki tua dari Kuri itu
bermalam di rumah ketua kumpulan yang menentang itu, dan berkenal-kenalan dengan
ahli kumpulan penentang yang lain. Lelaki nelayan tua itu berbincang dengan ketua
penentang tersebut. Dia mencadangkan agar mereka berarak terus ke
istana Presiden di Tatamanu untuk berunding dengan seorang anak
muda lulusan California yang bekerja di Pejabat Presiden. Lelaki tua
itu mengatakan bahawa Presiden tiada di pejabat waktu itu kerana
beliau sedang menjalankan tugas rasmi di negara Peru.
Lelaki tua itu telah mengetuai perarakan menuju ke Tatamanu.
Namun, simpang menunju ke Tatamanu disekat dengan kawat berduri
10
dan dikawal ketat oleh sekumpulan tentera kerajaan. Lelaki tua itu
meminta para pemberontak berhenti dan dia berdiri di tengah-tengah
antara kedudukan kumpulan pemprotes dengan kumpulan tentera.
Ketika keadaan hening/tenang, tiba-tiba sahaja lelaki tua itu meluru ke
arah anggota keselamatan yang bersenjata sambil menjerit, “d a r i K u
r i”. Pada masa itu juga bom asap warna kuning dilepaskan oleh
pasukan bersenjata betul-betul di hadapan para penunjuk perasaan.
Jeritan “dari Kuri” oleh lelaki tua itu seolah-olah memberi isyarat
kepada pasukan tentera untuk melepaskan gas pemedih mata ke arah
penunjuk perasaan. Apabila gas pemedih mata dibebaskan, lelaki tua itu
hilang dalam kabut gas yang tebal. Selepas itu kumpulan pemprotes
menjadi kucar-kacir. Beberapa tubuh manusia jatuh bergelimpangan,
yang lain berundur menyelamatkan diri.
Peristiwa tersebut telah melemahkan semangat para pemprotes di
Tubua. Media massa di Tubua pula manyatakan bahawa Presiden baru
tiba dari Peru untuk menutup penyamaran itu. Selain itu, televisyen di
Tubua turut meyiarkan berita penangkapan seorang lelaki yang terlibat
dengan pemprotesan Tubua yang kini sedang disiasat pihak tentera.
Segelintir pengikut kumpulan pemprotes itu mengesyaki bahawa
orang tua dari Kuri itu adalah Presiden Ogonshoto yang sedang
menyamar, namun mereka tiada bukti kukuh. Akhirnya, pemprotesan
atau demonstrasi di Tubua terhenti. Semangat mereka juga turut
menjadi lemah.

11
BAB 4 : AISBERG (BONGKAH AIS YANG BESAR)

Bab ini membandingkan usaha dua pihak untuk mendapatkan


bekalan air sebagai persediaan menghadapi musim kemarau. Pihak
pertama diwakili oleh pihak kerajaan yang mahu menarik bongkah ais ke
Ogonshoto sehingga menelan belanja jutaan ringgit. Pihak kedua pula
mewakili rakyat jelata yang digambarkan melalui watak seorang lelaki
tua yang menggunakan kudrat tulang empat kerat dan peralatan murah
untuk mendapatkan air.
Kisahnya bermula dengan Ogonshoto diramalkan bakal dilanda
kemarau teruk selama sembilan bulan akibat kemusnahan hutan yang
sepatutnya menjadi kawasan tadahan air. Dua bulan sebelum Ogonshoto
dijangka dilanda kemarau, kerajaan mengambil keputusan untuk
menarik dua bongkah ais yang sangat besar dari kutub selatan. Saiz
aisberg itu sangat besar. Misalnya bongkah aisberg yang kedua
mempunyai saiz yang besar sehingga orang boleh bermain luncur salji di
atasnya. Satu bongkah aisberg akan ditarik oleh sebanyak tujuh buah
kapal. Menurut rancangan kerajaan, setelah berjaya menarik bongkah
aisberg itu, ia akan dileburkan supaya cair dan menjadi air minuman
kepada seluruh rakyat di Republik Ogonshoto. Presiden sangat yakin
rancangan menarik aisberg dari Kutub Selatan ke Ogonshoto berjaya
dilakukan. Oleh itu Presiden begitu bangga membuat pengumuman di
stesen televisyen dan radio untuk mengatakan bahawa Republik
Ogonshoto saja yang mampu berbuat demikian. Ucapan itu
menggembirakan seluruh rakyat Republik Ogonshoto kerana masalah
kesan kemarau bakal diatasi.
Rancangan itu menelan belanja yang sangat besar serta melibatkan
banyak pihak. Pada peringkat awal, 15 orang pengikut setia serta
orang harapan Presiden mendapat imbuhan besar daripada projek itu.
Seorang mendapat imbalan setelah menjadi ejen mencari pakar-pakar
aisberg dari Greenland untuk menggerudi dan mengikat aisberg. Empat
belas lagi orang Presiden mendapat imbuhan kerana kapal mereka
digunakan atau disewa untuk menarik dua bongkah ais gergasi dari
kutub selatan ke perairan Ogonshoto. Hal ini bermakna, pemerintah
Ogonshoto yang diketuai oleh Presiden telah mengeluarkan wang
berjuta-juta untuk membiayai segala persiapan bermula dari
menjemput pakar luar negara, menyewa peralatan canggih untuk
menggerudi dan memotong aisberg, membayar sewa kapal, dan
membayar upah beribu-ribu pekerja semata-mata mahu menarik dua
bongkah aisberg itu. Menurut wartawan televisyen Japan News
12
Network, sebenarnya Ogonshoto tidak perlu membazirkan wang yang
banyak untuk menarik aisberg itu kalau pemerintah bijak mengurus
alam sekitar terutamanya kawasan tadahan hujan. Hal ini bererti, kalau
tiada penerokaan hutan dan pemusnahan kawasan tadahan air hujan
sebelum ini di Ogonshoto, sudah tentu kemarau yang berpanjangan
tidak mungkin berlaku di republik itu. Namun ada pemilik kapal itu
(pengikut Presiden) yang sedang mendengar siaran berita itu segera
menutup televisyen saluran 6 itu (kerana tidak setuju dengan
kenyataan wartawan itu).
Ramai rakyat Ogonshoto berkunjung ke Teluk Pinavana iaitu
tempat pendaratan aisberg itu kelak. Mereka menunggu dan melihat ais
besar itu ditarik ke pantai Teluk Pinavana. Dalam masa yang sama pihak
pentadbir sibuk membincangkan proses pengagihan aisberg itu apabila
tiba nanti. Rancangan pengagihan aisberg itu telah tersebar di radio dan
televisyen. Namun ada seorang lelaki tua dari Runakita yang hanya
mengetahui berita itu setelah seminggu berlalu, melalui jirannya. Hal ini
kerana lelaki tua itu tidak memiliki radio dan televisyen di rumahnya.
Tambahan pula, dia buta huruf.
Ketika pemerintah sibuk dengan rancangan menarik aisberg dari Kutub Selatan
itu, rakyat Ogonshoto sibuk memperkatakan projek itu; manakala seorang lelaki tua dari
Runakita tadi berusaha mengumpul air menggunakan tulang empat keratnya sendiri.
Beliau tidak mempedulikan cerita berkaitan aisberg itu. Lelaki tua yang tinggal sebatang
kara itu melakukan proses penyulingan dengan memasak air laut dalam periuk besar dan
membiarkan wapnya memasuki tujuh batang bambu. Wap yang memasuki batang bambu
akan bertukar semula menjadi air. Air ini dialirkan menuju ke dalam tujuh tong kosong.
Proses memasak air laut dan penyulingan ini berterusan sehinggalah semua empat belas
tong besarnya penuh. Sementara proses penyulingan ini berlangsung, lelaki tua menggali
sebuah perigi di belakang rumahnya yang dalam sehingga melebihi 30 kaki. Tanpa
mengira penat, lelaki tua menggali lagi sehinggalah pengoreknya hanya menemui batuan
keras yang mustahil untuk ditembusi.
Setelah berusaha hampir tiga bulan, akhirnya lelaki tua itu berjaya mengisi empat
belas tong besar itu dengan air bersih. Pada masa yang sama, mata air mula
memancutkan air mengisi periginya. Ketika ini lelaki tua itu teringat akan rancangan
pemerintah menarik aisberg dari Kutub Selatan ke Ogonshoto, namun rancangan itu
hanyalah umpama khayalan sahaja. Jiran-jirannya tidak pernah muncul lagi untuk
bercerita tentang aisberg itu.

13
Kisah ini menggambarkan kebijaksanaan lelaki tua itu. Selain membuat penyulingan
ke atas air laut, beliau juga menggali sebuah perigi sebagai sumber air dalam tempoh
kemarau panjang itu melanda Republik Ogonshoto. Sebaliknya rancangan pemerintah
menarik aisberg dari Kutub Selatan gagal. Projek itu gagal kerana memang amat sukar
serta sangat mustahil menarik bongkah ais yang sangat besar; apatah lagi hanya
menggunakan kapal yang terhad kekuatannya.

14
BAB 5 : MAINAN

Bab ini berkisar tentang kisah malang seorang anak angkat


Presiden dari pulau Banaba yang dijadikan buruan Presiden dalam
permainan musim gerhana matahari di Ogonshoto.
Ada seorang anak muda yang pintar dari Banaba. Pemuda itu merupakan pelajar
cemerlang ketika belajar dalam sebuah universiti di Banaba. Dia telah hanyut di lautan
selama 60 hari, beberapa tahun dahulu. Pemuda itu akhirnya ditemui terdampar di pantai
Gora-Gora dalam Republik Ogonshoto. Ketika ditemui tubuh badannya sangat kurus.
Selepas itu pemuda tersebut dirawat di hospital Tubua. Presiden Ogonshoto mengambil
pemuda itu sebagai anak angkatnya.
Ibu tua pemuda itu yang berada di Banaba menganggapnya sudah meninggal dunia
setelah 60 hari menunggu tanpa apa-apa berita. Beliau sudah bersedia menerima
khabar walau apa kejadian sekali pun. Namun ibu pemuda itu amat gembira apabila
diberitahu oleh pihak tentera bahawa anak lelakinya terselamat. Selepas itu, ibu pemuda
tadi bergegas ke gereja walaupun hujan renyai, untuk memanjatkan rasa gembira dan
kesyukurannya kepada Tuhan.
Peristiwa Presiden Ogonshoto mengambil anak muda dari Banaba sebagai anak
angkat tersebut mendapat liputan besar-besaran oleh media. Selain untuk mendapat
nama, pekara tesebut merupakan simbolik sokongan Ogonshoto terhadap Banaba untuk
keluar daripada jajahan Kiribati.
Ketika tinggal di istana, pemuda itu hanya menurut sahaja arahan Presiden dan
tidak pernah menunjukkan kepintarannya walaupun dia sebenarnya seorang yang bijak.
Sebaliknya dia memperlihatkan tingkah laku orang yang bodoh dan pendiam. Pemuda itu
diberi layanan dan kemudahan istimewa sebagai ahli keluarga Presiden. Sejak dia
tinggal di istana itu, para pekerja istana sangat memuji sifatnya yang
unggul seperti dedikasi, berdisiplin dan amanah.
Untuk mengisi masa lapang, pemuda itu memelihara seekor tupai.
Tupai itu dijaga dengan baik sehinggalah jinak dengannya. Tupai itulah
yang dijadikan sasaran oleh pemuda itu semasa mengadakan latihan
berburu. Sudah menjadi adat masyarakat Ogonshoto, akan mengadakan
permainan menguji kecekapan menggunakan senjata dengan cuba
membunuh atau menewaskan musuh atau sasaran. Permainan turun-
temurun di Ogonshoto itu diadakan pada tiap-tiap hari ke seribu enam
ratus empat puluh dua hari (setiap 1642 hari) iaitu ketika berlaku
gerhana matahari.
15
Ketika gerhana matahari, penduduk Ogonshoto akan mengadakan
permainan berburu binatang. Mereka boleh melepaskan haiwan
peliharaan masing-masing lalu memanah atau menembaknya untuk
memperlihatkan kehandalan dan kemahiran bermain senjata. Terdapat
tiga syarat pertandingan itu. Pertama, para peserta hanya boleh
menggunakan atau melepaskan senjatanya sebanyak tiga kali sahaja.
Kedua, tempoh permainan bermula dari tergelincir matahari sampai
matahari terbenam. Ketiga, peserta yang gagal menewaskan sasaran
atau binatang buruannya selepas tiga kali mencuba, dianggap kalah.
Pada suatu pagi, ketika Presiden meninggalkan perkarangan
istana, beliau ternampak pemuda itu berlatih memanah tupai. Pemuda
itu kelihatan gembira kerana panahan atau sumpitannya berjaya
menepati sasarannya. Ketika itu Presiden mengatakan kepada
pemandunya supaya selepas ini pemuda itu tidak patut lagi ditugaskan
untuk membersihkan dan mengemaskan pejabat Presiden di istana.
Diceritakan bahawa pada suatu ketika kira-kira sehari selepas gerhana matahari,
telah diadakan suatu permainan turun-temurun di Ogonshoto iaitu memburu binatang
yang dilepaskan. Ramai rakyat di Ogonshoto telah mengambil bahagian termasuk
keluarga Presiden. Pemuda Banaba itu juga turut serta. Sewaktu pemuda itu mengejar
binatang mainannya iaitu seekor tupai jantan menuju ke kawasan semak, Presiden telah
menembaknya menggunakan pistol. Tiba-tiba Presiden melepaskan empat das tembakan
ke arah anak angkatnya itu. Tembakan pertama tersasar. Tembakan kedua mengenai
lengan kanannya. Tembakan ketiga mencederakan betis kiri dan tembakan keempat
menghancurkan tapak tangan pemuda malang itu. Sepasukan tentera elit Presiden tiba-
tiba muncul dari sebalik semak lalu memotong lidah serta kedua-dua pergelangan tangan
pemuda itu. Selepas itu Presiden melarang pemuda itu menjejakkan kaki ke istana,
seterusnya mengarahkannya meninggalkan Ogonshoto. “Jangan pulang ke istana!
Jangan berada di Ogonshoto!” Sepasukan tentera elit itu pun segera
hilang daripada pandangan pemuda itu.
Pemuda malang itu diselamatkan lalu dirawat oleh para resi yang
sedang bertapa di kaki gunung Gora-Gora. Akhirnya pemuda mengambil
keputusan bertapa di gunung itu bersama-sama para resi yang
membantunya. Resi-resi di situ bergantungan di dahan kayu seperti
kelawar. Mereka bertapa untuk membersihkan jiwa supaya masuk ke
alam kejernihan. Mereka enggan bercakap hal-hal kehidupan di dunia
yang kebanyakannya kotor.

16
BAB 6: PENTAFSIR

Penduduk yang tinggal di Aitu percaya bahawa lelaki tua yang


gemar menyelam dalam laut itulah satu-satunya resi (resi ertinya orang
yang suka bertapa/orang suci) yang mereka kenal. Mereka juga percaya
bahawa setiap kali menyelam dia meninggalkan (membersihkan) segala
kekotoraan dan menjadikan jiwanya lebih suci. Itu sebabnya wajah
lelaki itu lebih tenang dan lembut. Matanya juga sangat jernih sehingga
orang lain tidak sanggup melihatnya. Lelaki tua itu juga gemar berdiam
diri, dan jika mahu bercakap dia akan berfikir terlebih dahulu. Lelaki itu
suka bercakap secara ringkas dan hanya menggunakan kata-kata
terpilih. Kata-katanya pula mempunyai banyak maksud (banyak
maksud tersirat).
Pernah ada seorang penduduk Aitu yang cuba mendampingi lelaki tua itu. Dia telah
mendampingi lelaki tua itu selama 10 tahun. Sebagai akibatnya, dia dapat mempelajari
bahasa yang digunakan oleh resi itu serta mengetahui pengalaman hidupnya. Pada satu
hari dia merasakan bahawa telah tiba masa baginya untuk menceritakan kisah hidup lelaki
tua itu. Si pendamping (penduduk dari Aitu) mahu memberi tafsiran
kepada pengalaman hidup resi tua itu.
Menurut cerita lelaki yang mendampingi resi itu; ketika mula-mula menetap di
Aitu, resi itu masih muda. Waktu itu hanya ada 11 buah rumah di Aitu termasuk rumah si
resi. Pada suatu hari kawasan perkampungan Aitu telah dilanda abu gunung berapi
menyebabkan seluruh kawasan perkampungan itu menjadi warna kelabu. Tumbuh-
tumbuhan, bumbung rumah, bukit-bukau dan pantai pun kelihatan kelabu. Kejadian seperti
ini belum pernah berlaku sebelum ini. Apabila penduduk memandang ke arah pantai,
mereka terlihat seolah-olah ada bukit berwarna kelabu. Ramai penduduk berkejar
ke tempat itu, rupa-rupanya ada seekor paus mati terdampar di pantai.
Inilah pertama kalinya ada ikan paus mati di pantai itu.
Hal ini bermakna, dalam kisah ini ada dua kejadian ganjil berlaku di Aitu; pertama,
kawasan daratan menjadi kelabu kerana dilitupi oleh abu, dan kedua ada kematian ikan
paus di pantai. Penduduk Aitu berasa hairan dengan kejadian tersebut. Keluarga si
pendamping, jiran dan seluruh penduduk di situ kini menjadi pentafsir. Masing-masing
membuat tafsiran. Mereka memberi tafsiran (membuat andaian/tanggapan)
bahawa kejadian itu merupakan petanda atau alamat bahawa perkara buruk akan berlaku
di Aitu. Keadaan warna kelabu di seluruh Aitu berlaku selama tujuh hari.

17
Apabila masuk hari kelapan keadaan menjadi baik seperti sedia kala. Warna
seluruh kawasan Aitu tidak kelabu lagi. Pada hari kelapan itu si resi muda pun menyelam
untuk menyucikan dirinya sambil berfikir dan membuat tafsiran tentang perkara yang
berlaku di kampungnya.
Selepas itu ada sebuah kapal dari Tatamanu yang singgah berlabuh di Aitu. Mereka
menyatakan Ogonshoto kini ada Presiden baharu. Kelasi kapal itu kata, mereka datang ke
situ atas arahan Presiden. Apabila nama Presiden disebut, mereka teringat akan kisah
seorang presiden yang semasa berumur 10 tahun telah dibawa oleh nakhoda ke Eropah
kerana kepintarannya. Dia merupakan seorang yang berdedikasi dan pintar dalam
akademik. Presiden itu berhasil membawa kapal yang mengalami kerosakan besar akibat
taufan lautan, dari Eropah kembali semula ke pantai tanahairnya sendiri iaitu Ogonshoto.
Sebaik-baik sahaja tiba di pantai, Presiden itu terus memeluk kaki ibunya. Dia tidak malu
mempunyai ibu yang sudah tua dan hodoh. Dia sangat menghormati orang tuanya. Kisah
itu (kejadian ganjil) sudah bertahun-tahun terjadi, namun penduduk Aitu masih mengingati
cerita itu. Tambahan pula, gambar Presiden itu telah tersiar dalam surat khabar.
Keesokan harinya, si resi muda mengasingkan diri dan menyelam ke dasar
laut (bertapa di dalam laut) untuk membersihkan dirinya. Resi duduk bersila di dasar laut.
Dia menutup matanya lalu bertafakur. Resi muda itu cuba mentafsirkan maksud dua
petanda yang berlaku di Aitu. Kebetulan kedua-dua petanda itu berlaku serentak dengan
pelantikan Presiden baru Ogonshoto. Semasa resi muda itu membuka matanya
ketika bertapa di dasar laut, dia terlihat bayangan lima ekor kuda putih
yang ditunggang oleh 5 lelaki berbaju merah.
Beberapa hari selepas itu, barulah resi tahu bahawa ada 5 lelaki berkuda yang
menjadi utusan Presiden baru itu telah datang ke Aitu. Utusan itu menyatakan bahawa
dalam tempoh 100 hari memerintah, Presiden akan melawat beberapa wilayah di
Ogonshoto, salah satu daripadanya adalah wilayah Aitu. Presiden mahu membuat
rancangan pembangunan di Aitu. Ketika berada di situ, Presiden menganjurkan satu
sayembara (pertandingan) iaitu mencipta sesuatu ‘benda yang hidup’. Namun tidak
diterangkan bagaimana bentuk benda hidup yang dimaksudkan itu. Penduduk Aitu
dikehendaki menyertai sayembara itu. Hadiahnya disediakan oleh Presiden berupa sebiji
kelapa emas. Ada tiga orang sahaja yang menyertai, dua lelaki tua dan seorang resi
muda.

18
Resi muda telah menyiapkan ciptaannya daripada tanah liat yang dicampur dengan daun
tembakau dan pelbagai jenis daun yang direbus untuk menghasilkan banyak warna.
Ciptaan resi muda itu berbentuk ikan yang berwarna-warni.
Ketika penghakiman dilakukan, resi muda berjaya memenangi sayembara itu.
Presiden memberi hadiah kepada si resi dengan membaling hadiah itu. Hadiah berbentuk
sebiji buah kelapa berwarna kuning emas yang dibalingkan oleh Presiden itu terkena ikan-
ikan ciptaan resi muda menyebabkannya hancur rosak lalu dihanyutkan air laut
bersama-sama kelapa emas itu. Resi muda berpendapat bahawa begitulah agaknya cara
seorang Presiden yang terpelajar itu menyampaikan hadiah. Resi muda terasa hina oleh
tindakan Presiden itu. Seluruh penduduk Aitu yang menyaksikan kejadian itu berasa
hairan. Resi muda mengarahkan semua penduduk Aitu pulang. Tinggallah resi muda itu
duduk di pantai sambil berfikir panjang.
Selepas itu resi muda menyelam ke dasar laut untuk bertapa lagi.
Dia mendapati ikan-ikan yang berwarna-warni berenang di
sekelilingnya. Resi membayangkan mungkinkah ikan warna warni itu
sebagai jelmaan ikan ciptaannya (terbentuk daripada ikan yang
diciptanya waktu sayembara dulu). Pada hari seterusnya, resi muda
menyelam lagi. Dia mendapati ikan yang berwarna-warni berenang-
renang mengelilinginya. Tiba-tiba pandangannya tertumpu pada
terumbu karang di hadapannya. Beberapa ekor hidupan laut berbentuk
bulat dan berduri telah melekat pada karang, menyebabkan batu karang
itu hancur. Resi muda membuat kesimpulan bahawa hidupan laut yang
merosakkan batu karang itu adalah jelmaan daripada kelapa emas yang
dihadiahkan oleh presiden dulu.
Pada hari seterusnya resi muda menyelam lagi. Dia mendapati ikan yang pelbagai
warna didekati oleh hidupan laut yang merosakkan karang itu. Kejadian itu ditafsirkan
oleh resi muda bahawa kuasa baik sedang diganggu oleh kuasa jahat. Menurut tafsiran
resi muda, ikan pelbagai warna itu melambangkan kuasa baik, manakala hidupan laut yang
berduri itu sebagai kuasa jahat. Itulah sebabnya resi muda itu sering bertapa di laut
untuk melawan kuasa jahat. Resi itu yakin bahawa sesiapa yang melawan kejahatan maka
akan mendapat balasan kebaikan apabila mati nanti. Resi muda terkenang semula
akan kisah lampau iaitu seluruh kawasan Aitu bertukar menjadi
kelabu, kemudian bangkai ikan paus pula terdampar di pantai. Resi
muda itu membuat hubung kait antara dua kejadian aneh tersebut
dengan pelantikan Presiden baru, dan peristiwa hidupan laut berbentuk
bulat dan berduri yang memusnahkan terumbu karang.

19
21 hari selepas si pendamping resi dari Aitu itu membuat
semua tafsiran di atas, dia didatangi oleh seseorang yang mengaku
datang dari pejabat Presiden di Tatamanu. Wakil Presiden itu
menyatakan bahawa dia mempunyai pendidikan dalam pengurusan
moden dari beberapa universiti. Dia tidak bersetuju dengan tafsiran
yang diberikan oleh resi muda tentang perbuatan baik akan mendapat
ganjaran kebaikan dari Tuhan selepas mati kelak. Keesokan harinya,
mereka pergi berjumpa resi tua untuk mendapat kepastian. Lelaki itu
tidak percaya bahawa perbuatan baik akan mendapat ganjaran nirwana
(balasan kebaikan). Seterusnya lelaki dari Tatamanu itu mengatakan
bahawa resi tua itu boleh dihukum kerana memberi pendapat yang
sangat mengelirukan. Apabila lelaki dari Tatamanu itu tidak puas hati
dengan jawapan resi tua, akhirnya dia kata “saya akan menunggu
kedatangan Tuhan kerana hanya Tuhan yang boleh memberi
jawapan”.
Lelaki dari Tatamanu itu pula membuat tafsiran bahawa Tuhan akan muncul dari
arah laut. Hal ini menyebabkan dia terus-menerus berada di pantai sehingga beberapa
tahun kerana mahu bertemu Tuhan. Lelaki itu akhirnya meninggal di situ namun tidak
bertemu Tuhan.
Akhirnya si pentafsir faham akan kata-kata si resi tua selama ini iaitu bukannya
Tuhan yang menemui mereka, sebaliknya kebenaran dan kebaikanlah yang ditegakkan.
Menurut tafsiran si pendamping resi tua lagi, yang menang bukanlah atas kekuasaan
manusia, tetapi yang menang ialah kebenaran. Kebaikan dan kebenaran
itulah yang akan mengatasi sesuatu yang jahat atau kepura-
puraan.

20
BAB 7: JARI

Ada seorang bekas guru sains di sekolah tinggi Tatamanu. Kini dia bertugas di
tempat lain. Guru itu membawa bersama balang berisi jari manis. Hal ini menimbulkan
tanda tanya kepada jiran tetangga dan sahabatnya. Apatah lagi jari manisnya yang
sebelah tangan kanan telah pun tiada. Guru sains itu menjelaskan tentang demokrasi
atau kebebasan yang diamalkan di Ogonshoto tidak lagi mempunyai nilai kerana
pemerintahnya, khasnya presiden tidak lagi mahu mendengar pendapat orang lain.
Walaupun Presiden selalu mengatakan bahawa sesiapa sahaja bebas memberi pendapat.
Malahan Presiden pernah mengatakan bahawa Republik Ogonshoto adalah contoh terbaik
sebagai pengamal demokrasi moden. Namun begitu kata-kata tuan presiden itu hanya
satu penipuan kerana sesiapa yang melawannya akan dikenakan tindakan yang tegas.
Apabila jiran-jiran dan rakannya begitu berminat mengetahui kisah di sebalik jari
manis yang diawet di dalam balang itu, akhirnya dia menjelaskannya. Menurut guru
sains itu: ketika menjadi guru di sekolah tinggi di Tatamanu, dia telah menyatakan
pendapatnya melalui sebuah rencana yang dimuatkan di akhbar. Dia berjanji akan
memotong jarinya jika dia tidak dikenakan tindakan akibat perbuatannya menulis rencana
itu. Dia cukup yakin akan dikenakan tindakan yang keras oleh pemerintah Ogonshoto.
Dalam rencana/makalah yang ditulisnya, dia mengutarakan tentang isu kepincangan
dalam pemerintahan pemimpin republik itu. Pemimpin-pemimpin mula lupa tujuan asal
perjuangan selepas mendapat kuasa dan kekayaan. Para pemimpin hanyut dalam kegilaan
mengumpul kekayaan tanpa menghiraukan kebajikan rakyat. Mereka juga ingin mendapat
kekayaan dengan cara mudah tanpa memikirkan kesan buruk terhadap masyarakat
bawahan.
Seminggu selepas itu, tiada apa-apa tindakan selepas guru sains itu
menulis rencana dalam akhbar. Kemudian dia teringat akan janjinya dulu mahu memotong
jari manisnya jika dia tidak diambil tindakan oleh pemerintah. Dia berjumpa kawannya
yang menghidapi penyakit kusta. Dia mahu pesakit kusta itu yang memotong jarinya
kerana dirinya sendiri tidak sanggup memotongnya. Kawannya itu pun meluahkan rasa
tidak puas hati kepada pemerintah yang mengabaikan golongan bawahan serta hidup
susah. Pemerintah yang menjatuhkan hukuman terhadap orang yang tidak bersalah.
Ketika pesakit kusta itu bercerita, guru itu terleka. Masa itulah jari manisnya dipotong.
Tanpa disedari jari manisnya telah pun dipotong. Kemudiannya jari manis itu dimasukkan
ke dalam balang kaca.
21
Dua minggu kemudian, dia menerima sepucuk surat yang mengarahkan dia
berpindah dari Tatamanu ke Kuri dalam tempoh 24 jam. Arahan pindah ini adalah kesan
daripada tindakan guru itu dahulu yang menulis rencana berunsur kritikan kepada
pemerintah. Saudara-saudaranya turut menerima tempias, ada yang dipindahkan tempat
kerja, ada yang diberhentikan dan diturunkan pangkat. Dia menyesal kerana hukumannya
lewat datang, sedangkan dia telah pun memotong jarinya sendiri.
Tidak lama selepas itu penduduk kawasan pedalaman Kuri menjadi heboh apabila
tiga buah syarikat Turki, Jepun dan Jerman datang dan menggondolkan kawasan hutan di
Kuri bagi membina padang golf yang besar. Guru itu bermati-matian menghalang projek
tersebut kerana boleh mengakibatkan kesan yang buruk misalnya kemarau yang panjang
seperti yang pernah berlaku selama sembilan bulan dahulu. Kawasan tadahan hujan juga
musnah kelak akibat penerokaan hutan secara berleluasa. Guru itu menceritakan bahawa
ketika kemarau panjang dulu, ratusan orang mati. Ada juga penduduk yang terpaksa
meminum air kencingnya kerana tiada air minum.
Kali ini guru itu mempertaruhkan jari hantunya pula jika
kumpulan pencinta alam bersetuju dengan cadangan penerokaan hutan
untuk padang golf itu. “Aku berani bertaruh jari hantuku”, kata guru
itu. Dia yakin projek itu akan mendapat tentangan keras daripada para pencinta alam.
Memang benar sangkaan guru itu bahawa kumpulan pencinta alam dari Kuri menentang
keras rancangan pembinaan padang golf itu. Selepas itu guru sains menjemput penduduk
Kuri datang ke rumahnya untuk mengadakan majlis kesyukuran setelah rancangan
membina padang golf itu dibatalkan.
Bagaimanapun pengikut setia Presiden di Tatamanu membuat
laporan kumpulan pencinta alam yang palsu (membuat laporan
bikinan). Kumpulan itu menyatakan kononnya laporan pencinta alam
dari Kuri mengandungi kesilapan. Sebaliknya pengikut Presiden itu menyatakan
bahawa projek membina padang golf itu tidak mendatangkan ancaman atau kesan negatif.
Oleh itu kata mereka, projek padang golf itu boleh diteruskan.
Guru kidal itu sangat kecewa lalu bertindak memotong jari hantunya menggunakan
kapak demi menunaikan janjinya sebelum ini. Kali ini dia memotong sendiri
jarinya kerana kawannya (penghidap kusta) yang memotong jari
manisnya dulu tiada lagi kerana telah meninggal dunia.

22
BAB 8: KAMERA

Lelaki muda itu berasal dari Runakita, Ogonshoto. Dia mewakili


Ogonshoto ke Tokyo bagi program Penyelidik Muda Asia-Pasifik. Dia
berada di Tokyo, Jepun selama empat bulan untuk menyertai program itu. Semasa di
Jepun, dia berpeluang menghayati kesenian orang Jepun. Sebelum bertolak balik ke
Ogonshoto dia membeli beberapa cenderamata termasuklah sebuah kamera dengan
beberapa komponen kelengkapannya. Dia mengilhamkan dan mencipta sebuah
kamera yang dipanggil kamera eksperimental yang boleh merakam
‘peristiwa masa lalu pada masa ini’.
Sebaik-baik tiba di lapangan terbang Tatamanu, dia berasa rindu untuk
mengetahui berita di Ogonshoto, lalu membeli senaskhah surat khabar 12 halaman. Itu
saja surat khabar tunggal di Ogonshoto. Ketika berada di dalam teksi menuju ke
rumahnya di Tatamanu, dia terpandang satu iklan dalam akhbar itu. Iklan itu menunjukkan
bekas komandan tentera yang memohon maaf kepada semua pihak atas kesilapannya
semasa berkhidmat dalam Angkatan Bersenjata Republik Ogonshoto dahulu. Menurut
pemandu teksi itu, kebanyakan mereka akan menyesali akan dosa silam mereka.
Dia meminta supaya dibawa berjumpa dengan komandan tentera
tersebut. Sebaik-baik tiba di rumah komandan itu, dia mendapati
seorang tentera sedang menjerit-jerit minta ampun dan bercakap
sendirian (meracau) menyalahkan dirinya sendiri. Tentera itu juga pernah
meminta jirannya agar menolong menyediakan iklan meminta maaf. Tentera tersebut
teringat akan kejahatannya dahulu; seolah-olah dapat dilihatnya orang-orang yang
dizaliminya ketika berkhidmat dahulu datang membalas dendam. Anak-anaknya tidak
seorang pun yang mahu menjaganya. Isterinya yang tua dan lumpuh sedang duduk tepok
di lantai. Isterinya itulah sahaja temannya sekarang. Bantal, selimut, termos, cawan, botol
kopi, dan botol gula berserakan di lantai.
Ada seorang rakan komandan tentera itu cuba menenangkannya, dan berkata
bahawa dia tidak perlu memohon maaf kepada sesiapa. Sebaliknya hanya memohon maaf
kepada Tuhan. Rakan komandan itu berkata, “bukankah kamu sudah diajar supaya tidak
berasa berdosa kerana melakukan semua tindakan kejam itu demi Presiden dan Republik
Ogonshoto”, katanya. Bekas komandan itu terbayang-bayang akan dosanya yang lalu.
Antara dosanya, dia telah membunuh seorang lelaki aktivis hak asasi manusia di jurang
kawah gunung berapi Gora-Gora lima tahun lalu. Tindakan itu dilakukan olehnya atas
perintah sulit Presiden.
23
Apabila tiba di rumah bujangnya di Tatamanu, dia mencantum-cantumkan
komponen kameranya dengan kalendar elektronik. Kalendar itu boleh diputar-putar untuk
mendapatkan sesuatu tarikh dari julat tahun 0001 hingga kini. Akhirnya kamera
eksperimental itu siap dicantumkan. Kamera itu boleh merakam gambar dan suara
sesuatu peristiwa dengan memasukkan tarikh, cuaca dan suhu badan orang itu. Kamera
itu dapat melihat peristiwa lalu. Menurut temannya, kamera itu merupakan ciptaan luar
biasa.
Dia akhirnya teringat tentang kata-kata bekas komandan yang menyalahkan
dirinya itu. Dia berfikir, mungkinkah aktivis yang dibunuh itu adalah abangnya, manakala
khabar angin yang menyatakan abangnya bersembunyi di Amerika adalah tidak benar.
Lalu dia bersama-sama temannya mengambil keputusan mendaki gunung berapi Gora-
Gora. Semasa berada di puncak gunung berapi itu, dia mengambil gambar di
sekelilingnya. Selepas itu, dia memproses gambar itu. Ada tiga keping
gambar yang berjaya diproses. Melalui gambar-gambar itu, dia mendapati
bahawa memang betul bekas komandan itulah yang membunuh abangnya. Dalam foto
pertama yang dirakam dengan kamera eksperimental itu, dia mendapati mata abangnya
ditutup, dan tangan diikat oleh seorang tentera. Kemudian rakaman foto yang kedua,
tentera itu menembak abangnya dengan pistol. Dalam foto ketiga pula, menunjukkan
mayat abangnya diterjang oleh tentera itu lalu jatuh ke kawah gunung berapi Gora-Gora.
Apabila pasti bahawa mangsa dalam foto itu adalah abangnya, dia berhasrat untuk
menuntut keadilan (menuntut bela) di mahkamah atas kematian abangnya. Dia
menyiapkan jadual penggunaan atau cara-cara menggunakan kamera itu untuk
diserahkan kepada kawannya sebagai persiapan; kalau-kalau ada apa-apa berlaku
kepadanya kelak. Selepas itu dia bergegas ke pejabat undang-undang Tatamanu, kemudian
membuat laporan tentang penganiayaan terhadap abangnya. Dia menyerahkan tiga keping
foto itu kepada hakim sebagai bukti. Ketika menunggu salinan laporannya disiapkan, tiba-
tiba muncul dua orang tentera, menggari dan menahannya atas tuduhan menggunakan
kamera yang belum diluluskan oleh pemerintah. Menurut tentera itu, perbuatan
menggunakan kamera yang belum diluluskan adalah kesalahan amat
besar mengikut undang-undang di Republik Ogonshoto.
Dia dimasukkan ke dalam penjara. 3 keping foto yang
diserahkan kepada hakim itu telah dibuat salinan (photo copy) dan
dihantar ke hospital tempat bekas komandan ditahan. Kemudiannya foto itu
ditunjukkan kepada komandan itu. Apabila melihat foto itu, komandan menjerit-jerit
24
ketakutan akan dosa-dosanya dulu lalu pengsan. Begitulah yang ditempuhi oleh komandan
itu selama dua hari sehingga menemui ajalnya. Mayat komandan itu dihantar pulang
dengan teksi tanpa ada sebarang penghormatan.
Sementara itu, pemuda terpelajar yang menghasilkan kamera eksperimental itu sudah
dua hari ditahan di penjara. Namun dia belum dimaklumkan bilakah kes pembunuhan
abangnya dibawa ke muka pengadilan.

25
BAB 9: BAHTERA

Bakal nokhoda yang berumur lewat 50-an itu berdiri di atas kapal besar
(bahtera), memerhati longgokan kayu dari bangsal pekerjanya yang telah dirobohkan.
Dia memerhati sekeliling, melihat pekerjanya yang sedang sibuk bekerja. Lalu dia teringat
akan seekor penyu yang mendorongnya membina kapal itu.
Pada suatu senja, ketika bersampan hendak menuju ke pantai, dia ternampak
seekor penyu yang amat besar, berenang menyusup ke bawah perahunya. Dia terpaku,
lalu bergegas ke daratan, menceritakan kepada kawan-kawannya yang sedang berehat di
kedai kopi. Tidak seorang dari mereka percaya akan ceritanya. Semua kawannya beredar,
kecuali seorang yang pendiam. Lelaki pendiam itu memberitahu, dia pernah mendengar
cerita itu dari datuknya bahawa ada penyu besar tinggal di gua besar di bawah pulau.
Namun cerita kemunculan penyu itu tidak penting, yang penting ialah mengapa penyu
raksasa itu pergi dari tempat tinggalnya dalam gua itu. Menurut cerita orang tua-tua di
situ, apabila penyu besar itu pergi meninggalkan tempatnya di gua bermakna akan
berlaku malapetaka di Republik Ogonshoto. Kata lelaki pendiam itu, seribu tahun dulu
berlaku gempa bumi yang besar di sini menyebabkan beberapa buah pulau lenyap kecuali
Gora-Gora, Futu-Ata Rai Rapa dan pulau-pulau pasir.
Lelaki itu mengatakan bahawa kemunculan penyu raksasa itu membawa alamat
buruk. Oleh itu penduduk Ogonshoto perlu berpindah ke kawasan lain. Mereka perlu
mencari tempat tinggal baru. Oleh itu dia mencadangkan agar mereka membina sebuah
bahtera atau kapal besar yang mampu memuatkan seluruh penduduk Republik Ogonshoto
menuju ke kawasan penempatan baru. Bagaimanapun kisah penyu itu dan pendapat lelaki
itu ditentang oleh anak remaja lelakinya yang sedang belajar di Tatamanu. Katanya
Ogonshoto jauh dari lingkaran gunung berapi Pasifik. Gempa besar tidak
mungkin berlaku di tempat itu. Lelaki tua itu sukar menyangkal
(membantah) kata-kata anaknya, apatah lagi dia seorang yang buta
huruf berbanding anaknya.
Cadangan lelaki itu untuk membina bahtera akhirnya diterima oleh penduduk yang
mempercayai kata-katanya. Mereka perlu menebang kayu di hutan untuk dijadikan
perkakas membina kapal besar itu. Namun permohonan untuk menebang kayu di hutan
Republik Ogonshoto memakan masa untuk diluluskan kerana banyak karenah birokrasi.
Akhirnya lelaki itu meminta bantuan sebuah syarikat dari Jepun yang beroperasi di Futu
Ata. Mereka diberikan kawasan hutan seluas lima ratus ekar sebagai kawasan untuk

26
mencari kayu yang kukuh untuk membina bahtera. Akhirnya bahtera itu juga dapat
disiapkan.
Kumpulan pertama pengikut lelaki itu (kini jadi nakhoda bahtera)
mendaftarkan diri untuk sama-sama menaiki bahtera itu. Semasa orang
ramai mendaftar, tiba-tiba muncul dua orang perempuan dan seorang lelaki yang
berpenyakit. Kata mereka, penyakit itu didapati selepas menghadiri jamuan di rumah
Presiden. Nakhoda menyuruh penumpang yang berpenyakit itu duduk di buritan geladak;
lalu meminta anak-anak kapal menjaga mereka. “Semoga penyakit kalian
akan sembuh segera”, kata nakhoda. Kemudian muncul seorang lelaki berbaju
putih yang mahu menumpang bahtera itu. Rupa-rupanya dialah tukang masak di istana
Presiden. (Tukang masak yang kelihatan seperti lelaki ini sebenarnya
adalah wanita tetapi menyamar sebagai lelaki ketika mula-mula
berjumpa nakhoda). Nakhoda meminta lelaki itu menceritakan hal hidangan
tersebut sehingga mendatangkan penyakit. Kata tukang masak itu, Presiden minta
menyediakan bubur tradisional Ogonshoto yang paling enak iaitu bubur taro. Bubur
taro memerlukan campuran daging rusa. Memang sukar mendapatkan daging rusa di
Ogonshoto. Kebetulan waktu itu ada seorang lelaki datang ke rumah tukang masak itu.
Lelaki itu mengikuti semua arahan tukang masak tersebut. Lelaki itu disuruh baring,
ketika itulah tukang masak menyembelih lehernya dengan kapak. Daging itulah yang
dikisar menjadi ramuan bubur taro. Dari sanalah semuanya mendapat sakit.
Bahtera itu bergerak meninggalkan Ogonshoto apabila penyu raksasa muncul.
Tiba-tiba kelihatan penyu gergasi keluar meninggalkan pulau karang. Pada masa itulah
nakhoda meminta bahtera dilayarkan. Ketika itu juga ombak yang dahsyat atau tsunami
melanda Ogonshoto. Ombak itu telah menyapu bersih (menenggelamkan) segala-galanya
termasuk anak lelakinya. Nakhoda meneruskan pelayaran bersama-sama pengikutnya
menuju ke sebuah daratan lain atau kawasan penempatan baharu.
Setelah berminggu-minggu belayar, akhirnya bahtera itu menghampiri daratan.
Daratan itulah yang menjadi kawasan tempat tinggal yang baharu kepada seluruh
penghuni bahtera tersebut.

27
EPILOG: TSUNAMI
Bahtera dari Ogonshoto berlabuh (telah sampai) beberapa hari mendahului
Kawai Maru (masih ingat cerita Kawai Maru dalam Prolog? ). Mereka (penumpang kapal
itu) membawa cerita yang sama tentang peristiwa tsunami, pertemuan itu menjadikan
mereka semakin rapat. Dari sinilah segala cerita-cerita dari Ogonshoto didengari. Kisah-
kisah itulah yang terkumpul sehingga menjadi sebuah naratif. Tetapi itu semua telah lama
berlalu.
Peristiwa tsunami itu berlaku ketika penulis berumur 45 tahun, dan sekarang dia
berusia 85 tahun. Menurut mereka ketika tsunami berlaku, gelombang laut begitu tinggi
melebihi 500 kaki. Gelombang besar itu menenggelamkan Gora-Gora, Rai-Rapa, dan Futu-
Ata. Bangunan dan rumah-rumah serta perahu rosak teruk. Mujurlah Kawai Maru dan
bahtera itu tidak musnah. Dia juga tertanya-tanya adakah Tuan Kawai Maru masih hidup.
Kepulangan mereka ke kampung halaman merupakan pengalaman yang janggal. Hal ini
kerana tiada lagi sahabat lama. Isteri-isteri rimas dengan kehadiran suami yang telah
lama biasa dengan lautan di atas Kawai Maru.
Penulis tidak pulang ke kampung halamannya, sebaliknya menetap di Tokyo. Dia
tinggal di penempatan yang sunyi. Dia melelapkan mata, kedengaran sayup ditelinganya
siren kereta mayat yang semakin jauh.
Cerita kembali kepada realiti masa kini apabila penulis tersedar daripada kesan
ubat bius selepas pembedahan beberapa hari sebelumnya. Encik Noor yang berasal
dari Malaya membuka matanya, dan mendapati dia berada di wad hospital. Tubuhnya
dipenuhi tiub dan seorang jururawat berdiri di sisinya. Dia sedar sekarang bahawa dia
telah keluar dari wad pembedahan di Jepun. Sebenarnya dia telah lama menghidapi
penyakitnya, tapi dirahsiakan daripada pengetahuan keluarga dan sahabatnya. Namun
penyakitnya menjadi semakin serius ketika bertugas dengan sebuah organisasi Asia
Pasifik di Tokyo, Jepun.

28
TEMA
Tema novel ‘Naratif Ogonshoto’ tulisan Anwar Ridhwan ialah kepimpinan yang
diktator atau ‘kuku besi’ dalam sebuah negara yang mengamalkan demokrasi. Sebagai
kesannya berlaku pertentangan antara pemimpin dan rakyat. Dalam novel ini, Presiden
memerintah dengan kejam demi mempertahankan kuasa dan kedudukannya. Presiden
Republik Ogonshoto mengamalkan politik Machiavelli iaitu ‘matlamat menghalalkan
cara’. Misalnya, beliau tergamak menembak anak angkatnya apabila didapati pemuda itu
pintar dan boleh menggugat kedudukannya kelak.

PERSOALAN
Terdapat beberapa persoalan dalam novel ‘Naratif Ogonshoto’ karya Anwar
Ridhwan. Persoalan pertama ialah tentang kasih sayang anak terhadap orang tuanya. Hal
ini kita dapati daripada watak Presiden yang telah kembali tanah airnya iaitu Ogonshoto
setelah 20 tahun merantau di Eropah. Dalam novel ini, orang pertama yang dicari oleh
Presiden tersebut adalah ibunya. Beliau menangis sambil mememeluk lutut ibunya yang
telah tua.
Persoalan kedua, penganiayaan terhadap masyarakat bawahan. Hal ini dapat kita
perhatikan melalui watak cendekiawan yang mencipta kamera lalu cuba menuntut
keadilan atas kematian abangnya. Melalui kamera yang dibelinya di Jepun, dia berjaya
membuktikan kekejaman komandan tentera yang menembak abangnya di gunung berapi
Gora-Gora. Apabila pemerintah tahu hal ini, pemuda itu ditangkap; kononnya bersalah
kerana menggunakan kamera secara haram.
Persoalan ketiga ialah kekejaman pemerintah terhadap orang bawahannya.
Umpamanya, Presiden telah melepaskan empat das tembakan ke arah anak angkatnya itu
sehingga tercedera. Tentera elit Presiden pula memotong lidah serta kedua-dua tapak
tangan pemuda itu.
Persoalan keempat ialah tentang kepercayaan terhadap sesuatu ramalan dalam
kalangan masyarakat. Buktinya, watak pentafsir memaparkan kejadian ikan paus yang
mati di pantai Aitu, dan debu gunung berapi yang melanda kawasan itu. Pentafsir itu
meramalkan kejadian itu merupakan petanda bahawa suatu kejadian buruk bakal berlaku
di tempat itu.
Persoalan kelima ialah kebenaran yang akan mengatasi kejahatan dan sifat
kepura-puraan. Hal ini dapat dilihat daripada watak resi yang sering bersendirian dalam
29
mencari kebenaran dalam kehidupannya. Dia menyatakan kepada seorang utusan dari
pemerintah Ogonshoto bahawa setiap kebenaran itu akan mengatasi perkara jahat.
Utusan Ogonshoto itu tidak percaya, sebaliknya mempersoalkan kuasa Tuhan. Akhirnya
dia mati dalam kejahatannya tanpa menemui kebenaran.
Persoalan keenam ialah tentang kesan dari pembangunan yang tidak terancang.
Contohnya, seorang guru bermati-matian menentang pembinaan padang golf besar yang
dibangunkan oleh firma dari Turki, Jepun dan Jerman. Tindakan mereka yang
menggondolkan hutan akan menyebabkan bencana alam. Dia masih ingat bagaimana
kemarau panjang selama sembilan bulan sebelumnya yang meragut ratusan orang di
Ogonshoto.
Persoalan ketujuh ialah tentang konsep setiap kejahatan akan mendapat balasan.
Contohnya, kekejaman pemerintahan Presiden terhadap rakyat di republik Ogonshoto,
akhirnya mendapat balasan setelah tsunami melanda kepulauan itu sehingga
meranapkan segala-galanya.
Persoalan kelapan ialah tentang pembangunan yang mengorbankan alam sekitar.
Misalnya, penerokaan hutan untuk dijadikan pusat perjudian hanya memusnahkan
keindahan alam sekitar. Lebih teruk lagi, pembinaan jalan raya ke tempat itu
memusnahkan kawasan tadahan air di Gora-Gora.

30

Anda mungkin juga menyukai