Anda di halaman 1dari 16

Tugasan 1

Pengenalan

Perkataan tamadun merangkumi tentang kebudayaan, kemajuan,

pembangunan, peradaban dan kemakmuran yang dicapai oleh sesuatu bangsa.

Tamadun berasal daripada perkataan Arab, iaitu maddana, madinah, madaniyyah,

yang bermaksud Bandar yang terbina melalui proses urbanisasi. Daripada maddana

muncul perkataan maddani yang membawa erti pembangunan perbandaran serta

kehalusan budi pekerti yang terpuji. Selain itu, istilah tamadun menurut perspektif

Islam ialah ia merangkumi pembangunan spiritual dan material secara serentak dan

sepadu.

Urbanisasi juga sebagai salah satu ciri-ciri tamadun, kerana bandar biasanya

menjadi pusat berkumpulnya masyarakat, dan juga wujudnya rumah ibadah, institusi

pendidikan, istana, golongan bangsawan, ahli-ahli perniagaan, pusat membeli belah

dan sebagainya. Kewujudan berbagai institusi dan golongan manusia di pelbagai

peringkat menjadikan sesebuah masyarakat tersebut menjadi bertambah maju dan

hidup secara harmoni. Keadaan ini memperlihatkan munculnya pengkhususan

bidang perkerjaan dan sistem politik yang teratur dan perkembangan ekonomi yang

pesat.

Pada dekad terakhir abad ke-20, kita berhadapan dengan kemunculan

demokrasi liberal yang berakar umbi dalam peradaban barat. Malah kita dikejutkan

dengan pertembungan peradaban antara barat dengan bukan barat. Susulan

daripada ini, sesebuah negara atau sesuatu masyarakat boleh dianggap beradab

ataupun sebaliknya, diukur mengikut amalan demokrasi dan hak asasi manusia. Di
peringkat individu, hak asasi manusia selari dengan peradaban kerana seseorang

yang menegakkan hak asasi manusia seterusnya menegakkan kepentingan

peradaban masyarakatnya. Setiap peradaban ingin memastikan warganya

menikmati hak untuk mendapat makanan, pakaian, tempat tinggal, dan hak

meningkatkan kebahagiaan hidup.

Disamping itu juga, perkembangan dalam peradaban masyarakat memainkan

peranan penting dalam usaha membawa kemajuan sesebuah tamadun. Sistem

tersebut berkembang bagitu pesat selari dengan perkembangan kemajuan dunia

hari ini menunjukkan bahawa tamadun amat memerlukan kecanggihan sistem

komunikasi bagi menghadapi era globalisasi, iaitu dunia tanpa sempadan.

Definisi Globalisasi

Pada masa kini, globalisasi merupakan satu perkataan yang hangat

diperkatakan oleh pelbagai pihak tetapi sering disalah tafsirkan. Globalisasi

merupakan satu proses untuk meletakkan dunia dibawah satu unit yang sama tanpa

dibatasi oleh sempadan dan kedudukan geografi sesebuah negara. Melalui proses

ini, dunia akhirnya tidak lagi mempunyai sempadan dengan ruang udara dan langit

sesebuah negara lain, di mana pintu sentiasa terbuka luas untuk dimasuki oleh

pelbagai maklumat yang disalurkan menerusi pelbagai perantaraan media

komunikasi seperti internet, media elektronik, dan teknologi siber. Perkembangan ini

memungkinkan perhubungan di antara sesebuah negara dengan negara yang lain

dan perhubungan sesama manusia dapat dilakukan dalam tempoh yang singkat.
Menurut Kamus Dewan, globalisasi didefinisikan sebagai fenomena yang

menjadikan dunia mengecil dari segi perhubungan manusia disebabkan kepantasan

perkembangan teknologi maklumat. Manakala cendikiawan barat mentakrifkan

globalisasi sebagai satu proses kehidupan yang serba luas dan infiniti yang

merangkumi segala aspek kehidupan seperti politik, sosial, dan ekonomi yang boleh

dirasai oleh seluruh umat manusia di dunia ini. Ini bermakna segala-galanya menjadi

milik bersama dalam konsep dunia tanpa sempadan. Menurut Princeton N. Lyman,

Felo Kanan di Institut Keamanan, Amerika Syarikat dan bekas Duta negara itu ke

Afrika Selatan, globalisasi biasanya diertikan sebagai merujuk kepada “rapid growth

of interdependency and connection in the world of trade and finance”.

Dalam era globalisasi ini, dunia semakin dikecilkan ruangnya daripada yang

asal. Jika dulu dunia ini seluas saujana mata memandang dan dipagari dengan

sempadan-sempadan namun, kini ia tidak berlaku lagi. Malah pada hari ini, kita telah

dapat merasakan apakah itu globalisasi, di mana dunia bukan sahaja tidak

bersempadan dari segi geografi tetapi pengaruh globalisasi menjangkau sempadan

ekonomi, teknologi, bahasa, budaya, ideologi, politik, dan dari segenap aspek

kehidupan sesebuah masyarakat.

Walau bagaimanapun, konsep globalisasi masih banyak kekaburan. Kita

sebagai rakyat Malaysia memerlukan lebih banyak wacana ilmiah tentang globalisasi

yang dapat memperjelaskan dan menghalusi konsep tersebut. Kebanyakan

perbincangan tentang globalisasi lebih tertumpu kepada isu-isu ekonomi dan bukan

dari sudut globalisasi kebudayaan dan globalisasi ilmu dan maklumat. Semua aspek

globalisasi sepatutnya diperhatikan kerana ia adalah penting kepada masa depan

masyarakat dan negara ini. Disamping itu juga, konsep globalisasi dari perspektif

Islam dan perspektif dunia Timur perlu diketengahkan ke peringkat nasional dan
antarabangsa secara yang lebih berkesan supaya masyarakat dunia berpeluang

membandingkan antara satu perspektif dengan perspektif yang lain secara adil dan

saksama.

Kesan Globalisasi

Proses globalisasi sudah membawa banyak kesan-kesan yang baik yang

telah memperkayakan kehidupan manusia, khususnya kepada masyarakat

Malaysia. Di sini, kita dapat lihat di mana Kerajaan Malaysia memberi keutamaan

kepada globalisasi maklumat dan ilmu dan globalisasi saintifik serta teknologi.

Kesungguhan Kerajaan dalam menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang

membangun dalam era globalisasi jelas kelihatan pada berbagai-bagai bentuk

wacana di peringkat nasional dan peringkat antarabangsa seperti dialog, seminar,

persidangan dan forum dan juga pada penubuhan berbagai-bagai jenis institusi dan

projek. Koridor Raya Multimedia (MSC) misalannya, adalah simbol harapan serta

kemegahan Malaysia dalam menyahut panggilan globalisasi.

Sungguhpun begitu, dalam menghadapi gelombang besar globalisasi ini,

terdapat pelbagai kesan yang dapat dilihat sama ada dari sudut positif atau negatif,

di mana banyak pihak sedang menilai buruk baiknya globalisasi ke atas peradaban

Malaysia. Sebagai contoh, Dr. Mahathir Mohamad, mantan Perdana Menteri

Malaysia, beliau banyak menumpukan pemikirannya kepada globalisasi dan

perkongsian pintar sebagaimana yang terpancar dalam beberapa ucapan beliau

tentang perkara ini di forum kebangsaan dan juga antarabangsa. Dr. Mahathir

menggambarkan keadaan sebenar yang mungkin terjadi tentang natijah dan

dampak globalisasi ini jika tafsiran globalisasi yang ada pada hari ini diterima tanpa
banyak soal jawab. Seperti agama besar dan ideology yang lain, globalisasi dapat

mewujudkan sebuah dunia yang lebih baik lagi. Tetapi beliau memberi amaran

bahawa globalisasi juga boleh disalah gunakan dan secara langsung mengakibatkan

‘backlash’ atau tindakan balas yang ganas ke atas peradaban kita sendiri. Selain itu,

Chandra Muzaffar juga berpendapat bahawa globalisasi membawa kesan positif dan

juga negatif, di mana beliau telah menyenaraikan lapan kebaikan globalisasi tetapi

senarai keburukannya ternyata lebih panjang, iaitu sebanyak tiga belas keburukan.

Selain memberi impak yang baik, globalisasi juga mendatangkan kesan buruk

kepada peradaban Malaysia, di mana kita dapat lihat konsep globalisasi ini lebih

sinonim dengan maksud peng-amerika-an dunia. Ia merupakan proses untuk

menjadikan budaya Amerika diikuti oleh semua penduduk dunia. Maklumlah

globalisasi dikatakan “Semua Untuk Satu”. Proses ini akhirnya akan merosakkan

budaya lain selain budaya Amerika. Perkara ini tidak menjadi negatif sekiranya

budaya Amerika ialah budaya yang baik, bertepatan dengan fitrah kejadian manusia

dan budaya timur serta agama Islam. Sebaliknya budaya Amerika merupakan

budaya yang kebanyakkannya bertentangan dengan akhlak dan norma hidup

masyarakat timur amnya dan Malaysia khususnya.

1.1 Kesan globalisasi dari sudut kekeluargaan

Terdapat pelbagai kesan yang dapat dilihat daripada globalisasi. Salah satu

kesan positif yang dapat dilihat ialah lebih ramai wanita yang sudah berkeluarga

ataupun yang belum berkeluarga terlibat dalam pelbagai lapangan kerjaya. Kesan ini

dilihat positif kerana dapat mengurangkan kadar pengangguran di Malaysia. Selain

itu, peningkatan bilangan wanita yang berpendidikan tinggi dapat memenuhi


permintaan dalam pasaran kerja di Malaysia, seterusnya mengurangkan kadar

kebergantungan terhadap tenaga mahir asing. Namun begitu, terdapat juga kesan

negatif. Salah satu kesan negatif tersebut ialah masalah kekeluargaan serta gejala

sosial yang semakin menular. Kesan tersebut dapat dilihat daripada peningkatan kes

perceraian sejak akhir-akhir ini. Masalah gejala sosial juga semakin meningkat dan

salah satu penyebabnya adalah kerana anak-anak kurang mendapat perhatian

daripada ibu bapa mereka seperti di dalam video kedua. Malah, terdapat juga ibu

bapa yang bergantung sepenuhnya kepada khidmat pembantu rumah seolah-olah

pembantu rumah juga bertanggung jawab dalam memberi asuhan dan didikan

kepada anak-anak mereka. Hal ini menjadi punca utama kepada kemusnahan

sistem kekeluargaan seterusnya menjurus kepada berlakunya gejala sosial

dikalangan anak-anak remaja.

Disamping itu, berlakunya peningkatan kes perceraian mungkin disebabkan

kurangnya fahaman serta didikan dalam agama disebabkan kemajuan serta

globalisasi yang dicapai, pendidikan agama diketepikan. Selain dari kes penceraian,

peningkatan juga dapat dilihat pada kes penderaan terhadap wanita serta kanak-

kanak. Sesungguhnya Islam melarang keras perbuatan tersebut kerana ia bukan

sahaja salah di sisi agama, malahan bertentangan dengan norma kehidupan

manusia biasa.
1.2 Kesan globalisasi dari sudut pemakaian

Jika dilihat dari aspek pemakaian pula, ramai rakyat Malaysia terutama

golongan remaja terikut-ikut dengan arus pemodenan dalam cara berpakaian. Arus

pemodenan dalam berfesyen tersebut didominasi oleh barat yang telah berjaya

mempengaruhi masyarakat Malaysia. Ramai remaja sekarang ini berpakaian

menjolok mata tanpa mengira adat serta budaya sebagai orang timur seperti yang

terdapat di dalam video pertama. Disamping itu, cara berpakaian juga

mencerminkan akhlak. Oleh itu, ia amat penting untuk dibincangkan bagi menjaga

akhlak remaja kita.

1.3 Kesan globalisasi dari sudut pemakanan

Seperti mana yang kita lihat sekarang ini, kewujudan restoran serta francais

makanan segera, seperti KFC dan McDonald telah tumbuh bak cendawan di negara

kita dan makanan segera ini semakin popular di kalangan masyarakat Malaysia dan

mendapat sambutan dari semua lapisan masyarakat sama ada kanak-kanak,

mahupun golongan dewasa. Fenomena yang berlaku ini merupakan salah satu

daripada globalisasi yang melanda bidang pemakanan khususnya di Malaysia. Jadi,

tidak hairanlah, perniagaan makanan segera tersebut dapat bertapak dengan kukuh

serta berkembang hingga ke hari ini.

Kemasukan perniagaan makanan segera daripada barat ini sebenarnya telah

membuka banyak peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia. Hal ini seterusnya

akan mengurangkan kadar pengangguran serta mengurangkan gejala sosial dalam

kalangan belia. Selain itu, proses penyediaan makanan yang disediakan juga telah
mendapat pengesahan status halal daripada pihak berkuasa. Namun begitu,

terdapat juga kesan negatif daripada kemasukan produk asing tersebut. Contohnya,

golongan remaja tidak suka makan ulam dan mereka berpendapat bahawa ulam

ialah makanan golongan tua yang sudah ketinggalan zaman seperti dalam iklan

Deepavali di dalam video 1 ini. Mereka sebenarnya tidak menyedari bahawa

makanan segera ini memudaratkan kesihatan mereka. Satu kajian yang dijalankan

oleh Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) baru-baru ini menunjukkan bahawa

hampir 40% daripada remaja kita mengalami obesiti, dan seterusnya akan

membawa kepada penyakit serangan jantung, kencing manis, tekanan darah tinggi,

kerosakan buah pinggang dan sebagainya. Hal ini demikian kerana makanan

segera ini mengandungi bahan kimia seperti Monosodium Glutamate (MSG) dan

bahan pengawet yang menjejaskan kesihatan dalam jangka panjang.

Selain itu, dengan peningkatan jumlah restoran tersebut, pengusaha-

pengusaha makanan yang berniaga samada melalui gerai atau restoran biasa akan

mengalami kesukaran untuk mempertahankan perniagaan mereka. Walaupun ianya

dilihat sebagai persaingan sihat, namun kerajaan juga harus memberi peluang serta

ruang kepada golongan ini untuk memajukan industri makanan tempatan. Jika

dilihat, ramai pengusaha-pengusaha yang tidak dapat bertahan lama dek kerana

persaingan sengit yang terpaksa dihadapi dengan francais makanan dari luar negara

tersebut.
1.4 Kesan Globalisasi Dari Sudut Media

1.4.1 Media Elektronik

Kehidupan manusia yang melalui liku-liku arus pemodenan mutakhir ini tidak

terlepas daripada penggunaan media elektronik dalam kehidupan seharian samada

secara langsung atau tidak langsung. Media menurut kamus dewan edisi ketiga

bermaksud alat atau perantara komunikasi. Contoh media elektronik ialah radio,

televisyen, komputer dan telefon bimbit. Alat-alat ini berfungsi sebagai medium

perhubungan serta alat untuk menyebarkan maklumat dengan pantas dalam masa

yang singkat. Kemajuan teknologi dalam media elektronik memang tidak dapat

dinafikan lagi serta membawa banyak faedah kepada manusia.

Melalui media elektronik, manusia dapat berhubung antara satu sama lain

dengan hanya menekan beberapa butang sahaja. Contoh alat perhubungan tersebut

ialah telefon bimbit di mana seseorang itu dapat berhubung dengan manusia lain

yang duduk berjauhan beribu-ribu kilometer dengannya. Peningkatan teknologi

penciptaan telefon mudah alih juga melahirkan model telefon yang menampilkan

kemudahan internet di mana sahaja seseorang itu berada. Begitulah hebatnya

teknologi. Melalui media elektronik, kita akan sentiasa mempunyai sumber maklumat

terbaru mengenai perkara-perkara yang berlaku di sekitar kita dan lain-lain

maklumat. Penyebaran maklumat dengan pantas ini dapat menyediakan setiap

orang untuk melakukan tindakan sewajarnya. Namun begitu, bukan kebaikan

semata-mata yang dibawa oleh media elektronik.

Melalui media elektronik, ramai remaja yang terpengaruh dengan gejala serta

aktiviti yang tidak bermoral yang ditonton. Bermula sebagai hiburan, lama-kelamaan

program-program hiburan menjadi ikutan remaja pada masa kini. Selain itu, melalui
media elektronik juga tersebarnya perkara-perkara yang tidak sepatutnya seperti

fitnah, kutukan, malahan laman-laman porno juga tidak ketinggalan. Aktiviti-aktiviti

kurang sihat ini jika tidak dibendung bakal mengundang keburukan yang lebih besar

seperti jenayah siber, kejadian sumbang, budaya kuning dan lain-lain lagi seperti di

dalam iklan hari raya di mana anak yang dating dari kota sentiasa menggunakan

telefon bimbitnya untuk bermain permainan elektronik dan sehingga bertanya

kepada adik saudaranya tentang wifi di rumahnya.

1.4.2 Media Cetak

Media cetak merupakan salah satu medium perhubungan terpenting di

Malaysia. Contoh media cetak ialah surat khabar, majalah, risalah, dan buku. Media

cetak juga mempunyai fungsi yang hampir sama dengan media elektronik dimana ia

berfungsi menyebarkan maklumat kepada umum. Boleh dikatakan hampir seluruh

rakyat Malaysia membeli serta membaca surat khabar setiap hari dan perbuatan ini

sudah menjadi amalan harian. Untuk menampung permintaan tinggi daripada

pembaca, pelbagai teknologi canggih digunakan dalam percetakan surat khabar.

Kilang-kilang percetakan juga bertambah dari semasa ke semasa. Perkembangan

ini mendatangkan pelbagai manfaat kepada rakyat Malaysia. Pembukaan kilang-

kilang baru semestinya memerlukan tenaga kerja serta tenaga mahir untuk

menggerakkan operasi. Justeru, pelbagai peluang pekerjaan akan diperolehi oleh

penduduk setempat seterusnya mengurangkan kadar pengangguran di Malaysia.

Selain daripada surat khabar, terdapat berbagai lagi media cetak yang lain

yang terdapat di pasaran seperti majalah. Majalah pula datang dengan pelbagai

bentuk serta tujuan. Ada majalah mengenai pendidikan, fesyen, hiburan, kartun, dan
lain-lain lagi. Kepelbagaian bentuk bahan bacaan ini memberi lebih kebebasan

kepada kita dalam memilih bahan bacaan. Selain itu, majalah-majalah ini amat

senang untuk diperolehi. Namun begitu, jika kemudahan serta kelebihan ini

disalahgunakan buruk padahnya. Ramai kita lihat golongan di luar sana terutamanya

golongan remaja yang terpengaruh dengan budaya barat samada cara berhibur

mahupun cara berpakaian. Pengaruh ini tersebar salah satunya melalui media cetak

seperti majalah hiburan serta majalah fesyen yang banyak memaparkan gaya

fesyen dari barat yang bertentangan dengan adat timur.

1.5 Kesan globalisasi dari sudut pendidikan

Globalisasi dalam pendidikan memberikan kesan yang positif dan negatif

kepada masyarakat Malaysia. Antara kesan positif yang dapat diberikan melalui

globalisasi dalam pendidikan ialah wujudnya budaya pembelajaran sepanjang hayat

atau pengajian terbuka jarak jauh. Melalui Rangka Rancangan Jangka Panjang

Ketiga (2001-2010) contohnya, secara jelas memberi penekanan kepada

penggalakan pembelajaran sepanjang hayat dengan menyediakan pelbagai

kemudahan bagi menguasasi ilmu pengetahuan dan kemahiran walaupun telah

tamat latihan dan pendidikan secara formal. Sebagai contoh, Universiti Terbuka

Malaysia (OUM) telah menjadikan lima buah negara sebagai lokasi pusat

pembelajaran global iaitu negara Yaman, Bahrain, Maldives, Sri Lanka dan Ghana.

Perkembangan seperti ini dapat melaksanakan agenda pengantarbangsaan

seterusnya mengkomersilkan pendidikan di Malaysia disamping dapat membuktikan

bahawa kualiti program pengajian sepanjang hayat setanding dengan program di

peringkat antarabangsa.
Selain daripada itu, globalisasi dalam pendidikan dapat memberi kemudahan

kepada golongan istimewa iaitu orang kelainan upaya (OKU) yang mempunyai

kekurangan sama ada dari segi fizikal atau mental. Sebagai contoh, penyediaan

perpustakaan dicipta untuk golongan ini seperti yang telah dilakukan oleh

Perbadanan Perpustakaan Awam Pulau Pinang dengan kerjasama sekolah

Pendidikan Khas Alma, St. Nicholas Home Penang, dan Perbadanan Perpustakaan

Awam Kedah dimana pihak-pihak ini telah menyediakan catalog induk untuk

kegunaan golongan isitimewa yang cacat penglihatan. Antara bahan-bahan yang

dibekalkan dalam bentuk Braile adalah seperti “Talking Book’ dan ‘Large Prints’.

Dengan adanya kemudahan-kemudahan seperti ini dapat memberi peluang kepada

golongan OKU kemudahan pendidikan sama rata dan jelasnya globalisasi

memberikan kemudahan pendidikan kepada golongan istimewa sama seperti

masyarakat normal.

Walau bagaimanapun, terdapat juga kesan negatif akibat daripada globalisasi dalam

pendidikan seperti berlakunya peminggiran Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.

Hal ini berlaku kerana para pelajar mudah mendapat maklumat melalui buku,

ensiklopedia dan diinternet. Maklumat yang disebarkan sebahagian besarnya dalam

bahasa Inggeris. Sebagaimana yang kita maklum, Bahasa Inggeris merupakan

bahasa standard yang diterima pakai oleh semua negara membangun. Selain itu,

bahasa Inggeris telah diiktiraf oleh kerajaan Malaysia sebagai bahasa pengantaraan

dalam proses pengajaran bagi memudahkan mendapatkan maklumat. Kini, sudah

banyak IPTA dan IPTS yang telah menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa

pengantar.
Hal ini akan meminggirkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. Bahasa

Melayu akan menjadi bahasa kedua dalam kehidupan masyarakat Malaysia

seterusnya akan membantutkan usaha ke arah pembinaan bangsa Malaysia

berasaskan Bahasa Melayu. Hal ini jelas menunjukkan bahawa globalisasi

pendidikan akan meminggirkan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.

Selain dari itu juga, globalisasi juga menyebabkan jurang perbezaan antara

negara-negara kaya dengan negara-negara miskin bertambah luas. Menurut

Dr.Yusuf al-Qaradawi, “Sesungguhnya globalisasi hanyalah untuk kebaikan

golongan yang kuat terhadap yang lemah, untuk menguntungkan yang kaya dan

untuk memanfaatkan blok utara yang kaya terhadap blok selatan yang miskin”.

Dalam sistem globalisasi, negara yang kaya akan bertambah kaya, manakala yang

miskin akan terus miskin. Pertubuhan-pertubuhan antarabangsa seperti Bank Dunia

berperanan dalam mewujudkan jurang yang besar antara negara blok utara dan blok

selatan. Negara-negara dunia ketiga yang berada dalam blok selatan, ketika

berhutang dengan Bank Dunia, akan dikenakan faedah dan syarat-syarat tertentu

yang rata-ratanya akan mendatangkan kesan negatif kepada peminjam. Dalam era

globalisasi, negara blok selatan yang masih merangkak tidak mampu mengejar,

apatah lagi menyaingi negara-negara maju di blok utara. Oleh itu, jelaslah bahawa

globalisasi merupakan satu bentuk penjajahan negara maju ke atas negara miskin

dan negara yang sedang membangun seperti Malaysia.

Disamping itu, jika dilihat dari aspek budaya, warga Malaysia perlu bersiap

sedia menangani segala bentuk ancaman perpecahan kepelbagaian budaya akibat

daripada globalisasi. Walau bagaimanapun, ungkapan “kesatuan dalam

kepelbagaian” boleh digunakan bagi merujuk perkembangan budaya dalam era

globalisasi ini. Terdapat beberapa ciri budaya etnik yang boleh diterima oleh bangsa
yang lebih besar di negara yang berlainan hingga menjadi ciri budaya yang

universal. Kesatuan budaya boleh disatukan dengan kemudahan telekomunikasi,

teknologi maklumat, dan juga ekonomi. Pelbagai usaha perlu dipergiatkan bagi

melahirkan bangsa serantau dan bangsa yang berkeperibadian nasional yang utuh,

berperikemanusiaan, memiliki daya maju, daya tahan, dan berdaya saing untuk

menempuh era globalisasi dan liberalisasi yang berterusan menyerang

perkembangan budaya etnik, khususnya melalui hegemoni budaya Amerika

Syarikat. Fahaman pelbagai budaya oleh pelbagai suku bangsa dan kaum di

Malaysia tidak menjadi suatu masalah sekiranya rakyat di Malaysia bersatu padu.

Bersatu padu dalam erti kata penyertaan menyeluruh yang memungkinkan

perkongsian tradisi agama dan budaya dan saling menghormati kewujudan masing-

masing.

Kesimpulan

Kesimpulannya, globalisasi harus ditangani dengan berhati-hati. Kerajaan kita

harus mengambil langkah-langkah yang proaktif agar rakyat kita amnya dan remaja

khususnya tidak terjerumus dalam lembah kehinaan yang sememangnya dirancang

oleh negara maju untuk memusnahkan golongan muda agar negara-negara miskin

dan membangun senantiasa melutut kepada mereka dan menagih simpati dan

pertolongan yang akhirnya membelenggu kita dari segala aspek kehidupan kita.

Jelaslah bahawa globalisasi boleh ditakrifkan sebagai satu bentuk penjajahan, iaitu

penjajahan dari segi mental, ekonomi, budaya, sosial dan politik. Oleh itu, kita perlu

berhati-hati menghadapi era globalisasi ini kerana kita sedia maklum bahawa

cabaran globalisasi dan implikasinya terhadap ekonomi, budaya dan teknologi


adalah luas dan mempunyai kesan yang negatif dan positif. Penerimaan terhadap

perubahan yang baik haruslah difikirkan dan diterima secara positif, manakala kesan

negatif haruslah dielakkan bagi membina kemajuan diri, keluarga, agama, bangsa

dan negara kita.

Disamping itu, globalisasi merupakan suatu bentuk perubahan dan

pembaharuan yang harus dihadapi oleh masyarakat Malaysia dalam kesatuan

konsep bangsa dan negara dan tidak seharusnya dianggap sebagai ancaman

kepada budaya etnik dan konsep kebudayaan Malaysia. Menurut Friedman (2000),

beliau tidak memulakan globalisasi malah tidak mampu untuk menghalang

globalisasi, kecuali dengan menanggung kos pembangunan manusia yang besar.

Jika dilihat dari persepektif peradaban, ia lebih mementingkan isu

pembentukan budaya yang sihat baik budaya politik mahupun budaya intelektual.

Sebagaimana yang kita semua ketahui, peradaban Islam merupakan teras kepada

peradaban di Malaysia. Ini adalah kerana perspektif Islam yang digunakan adalah

perspektif universal, maka segala pertimbangan yang dibuat seharusnya dapat

diterima oleh agama-agama lain di Malaysia. Pengaruh globalisasi sungguh besar

dan luas sehingga meliputi semua bidang peradaban. Demi menjamin proses

pembinaan peradaban di negara ini berlandaskan kerohanian dan moral yang

dituntut oleh Islam dan agama-agama lain, penilaian baik dan buruk fenomena

globalisasi perlu dinilai dengan berterusan dan lebih teliti lagi. Untuk mencapai

kejayaan, kita perlu menggunakan segala kekuatan dan kekayaan yang ada pada

kita terutamanya kekayaan dalaman yang terdapat dalam agama dan tradisi kita

baik dari aspek kerohanian ataupun dari aspek intelektual.


RUJUKAN

A. Aziz Deraman & Rohani Zainal Abidin. (2003). Globalisasi dan Peradaban di

Malaysia. . Kuala Lumpur. Dewan Bahasa dan Pustaka.

Chandra Muzaffar et.al, 2001. “Pengenalan Ilmu Ketamadunan” dalam Tamadun

Islam dan Tamadun Asia, Kuala Lumpur: Penerbit Universiti Malaya, hlm.3

Fayers, P.M & MacHin D. (2000). Quality of life and Assesment, Analysis and

Interpretation. UK. John Wiley and Sons.

Hashim Yaacob & Abdul Jalil Othman. (2007). Dunia Pendidikan Dalam Era

Globalisasi: Peranan dan Cabaran. Fakulti Pendidikan. Universiti Malaya.

Joseph A. Camilleri & Chandra Muzaffar, eds. Globalization, hal. 180-186.

Nurani Othman. (2000). Malaysia menangani globalisasi, peserta atau mangsa?

Bangi. Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.

Princeton N. Lyman, „Globalization and the demands of governance,‟ Georgetown

Journal of International Affairs (Winter/Spring 2000), Premier Issue, hal. 90.

www.nst.com.my/

Anda mungkin juga menyukai