Anda di halaman 1dari 11

Asal Usul Beberapa Kata Pinjaman

dalam Bidang Komputer


S. Nathesan

Teknologi komputer hanya bermula di dunia sekitar tahun 1960-an di Eropah dan juga

di Malaysia sekitar tahun 1960-an. Teknologi komputer dikatakan berevolusi daripada

sempoa (abacus) yang digunakan pada zaman dahulu untuk tujuan perkiraan. Kali

pertama kata “computer” digunakan adalah pada tahun 1613 dan kemudian terus

digunakan dalam bahasa Inggeris di dunia Barat untuk mendukung maksud “mengira”

sehingga pertengahan abad ke-20.

Teknologi komputer menjejakkan namanya di negara kita sekitar tahun 1960-an dan

kali pertama mesin komputer digunakan oleh Tenaga Nasional (TNB) untuk memproses

bayaran gaji bagi staf mereka pada tahun 1965. Komputer difahamkan sebagai mesin

yang melaksanakan perkiraan dan memproses maklumat pada kadar pantas dan tepat.

Komputer juga berupaya menguruskan jumlah maklumat yang banyak dan juga dapat

menyelesaikan masalah-masalah yang rumit.

Komputer ditakrifkan sebagai alat elektronik yang menyimpan maklumat pada cakera

atau pita bermagnet, menganalisisnya dan mengeluarkan maklumat selanjutnya apabila

diperlukan (Kamus Dewan, 2005). Kamus Komputer (2002) pula mendefinisikan

komputer sebagai “peranti atau mesin yang boleh diatur cara untuk menerima data dan

1
mengolah data, seperti melakukan pengiraan matematik, logik atau pemprosesan lain,

dan kemudian mengeluarkan data terproses secara bersistem.”

Dalam hal memajukan bidang komputer, banyak istilah bahasa Melayu perlu dibentuk

atau dicipta untuk melengkapkan bidang baharu ini. Justeru, berpuluh-puluh istilah

komputer dicipta dan dipinjam khususnya daripada bahasa Inggeris untuk memperkaya

perbendaharaan kata bidang komputer. Dahulu, komputer dirujuk sebagai mesin hitung

dalam Kamus Winstedt (1965). Kata komputer sendiri merupakan istilah pinjaman

daripada kata Inggeris computer yang dipinjam setelah disesuaikan ejaan menjadi

komputer dalam bahasa Melayu. Kata komputer mula digunakan dalam bahasa Melayu

sekitar tahun 1980-an dan pertama kali dirakamkan dalam Kamus Dewan (1984).

Antara istilah yang dipinjam dalam bidang komputer termasuklah istilah-istilah seperti

aksara, bait, cakera, disket, kluj, komputer, kursor, modem, output, port dan zum.

Berikutnya, istilah-istilah tersebut akan diteliti dari segi asal usul dan sejarah

kemasukan perkataan tersebut dalam bahasa Melayu. Istilah-istilah ada dirakamkan

dalam Istilah Komputer terbitan DBP.

aksara (character)

Aksara umumnya bermaksud huruf atau abjad. Hal ini bermaksud kedua-dua perkataan

tersebut menjadi sinonim dengan aksara. Kata aksara sudah digunakan dalam bahasa

Melayu sejak zaman dahulu lagi. Adakah kata tersebut merupakan kata asli dalam

bahasa Melayu? Antara kamus terawal yang mencatatkan aksara ialah Kamus

2
Wilkinson (1908) yang menerangkan aksara sebagai kata pinjaman Sanskrit. Kata

Sanskrit tersebut diangkat menjadi istilah dalam bidang komputer sejak komputer

diperkenalkan di negara kita. Kamus Dewan (1970) mencatatkan aksara sebagai kata

Sanskrit dengan maksud huruf dan tanda-tanda abjad.

Kini, Kamus Dewan (2005) mentakrifkan aksara sebagai “huruf, angka dan lain-lain

yang dapat dilambangkan dengan kod komputer”. Sementara itu, aksara dijelaskan

sebagai “lambang unik yang digunakan dalam sistem tulisan sesuatu bahasa untuk

menyampaikan maksud” dalam Kamus Komputer (2002). Aksara dipilih menjadi kata

padanan bagi kata character dalam bahasa Inggeris. Dictionary of Computer and

Internet Terms (2016) pula menerangkan aksara (character) sebagai “a letter of the

alphabet, number, space atau punctuation mark is a character”. Hal ini bermaksud

aksara boleh terdiri daripada abjad, nombor, ruang atau tanda baca.

Dewasa ini, istilah aksara mendukung makna khusus dalam bidang komputer dan turut

menjadi istilah dalam bidang linguistik, antropologi, matematik dan kejuruteraan dengan

mendukung maksud khusus dalam bidang-bidang berkenaan.

bait (byte)

Istilah bait merupakan istilah khusus dalam bidang komputer dan teknologi maklumat.

Kamus Dewan (2005) menerangkan kata tersebut sebagai istilah bidang komputer

dengan maksud “unit data atau saiz daftar (dalam sistem komputer) yang ditaksirkan

sebagai kata yang panjangnya lapan bit”. Pertama kali kata bait dicatatkan dalam

3
Kamus Dewan (1994). Sementara itu, Kamus Komputer (2002) mentakrifkan bait

sebagai “unit data atau saiz daftar yang ditafsirkan sebagai data yang panjangnya 8

bit”.

Oleh sebab bait merupakan konsep baharu dan khusus dalam bidang komputer, kata

tersebut dipinjam daripada kata Inggeris byte. Dalam A Glossary of Computer

Technology, bit dijelaskan sebagai “atom of computer information and is the smallest

single piece of information, either the number 0 or 1. Secara ringkas, hal ini dirujuk

sebagai bits (bait). Byte dipinjam ke dalam bahasa Melayu dengan disesuaikan ejaan

menjadi bait (byte>bait) sejak tahun 1990-an.

Dari mana berasalnya kata byte? Apabila dijejaki asal usul kata byte, didapati bahawa

byte terbentuk secara sewenang-wenangnya (arbitary) berdasarkan kata bit dan bite

dalam bahasa Inggeris pada tahun 1960. Online Etymology Dictionary pula

mencatatkan bahawa byte yang bermaksud “unit maklumat digital dalam komputer”

dicipta oleh seorang ahli komputer Amerika-Jerman bernama Werner Buchholz pada

tahun 1922.

cakera (disc)

Umumnya, cakera bererti roda atau cakeram dalam sastera lama (Kamus Dewan,

2005). Dalam bahasa Tamil cakeram (சக்கரம்) bermaksud roda (Kamus Tamil-Melayu

Dewan, 2013). Menurut Wilkinson (1908) pula kata cakera merupakan kata pinjaman

Sanskrit. Kata tersebut diangkat menjadi istilah dalam bidang komputer pada tahun

4
1990-an dengan erti “bahantara leper berbentuk bulat yang bersalut bahan magnet dan

digunakan untuk menyimpan isyarat bertindih” (Kamus Komputer, 2002).

Dalam Glosari Sains untuk Sekolah, cakera pula dihuraikan sebagai “plat yang

berbentuk bulat, nipis dan rata, yang digunakan untuk menyimpan data”

(prpm.dbp.gov.my). Terdapat beberapa kata generik cakera dalam bidang komputer,

termasuk cakera keras, cakera luaran, cakera padat, dan berbagai-bagai lagi.

Kata cakera yang sedia wujud sejak dahulu lagi dalam perbendaharaan kata Melayu

telah dijadikan kata padanan bagi istilah Inggeris disc dalam bidang komputer. A

Dictionary of Computer dan Internet Terms (2016) pula menerangkan disc sebagai

“peranti yang digunakan untuk menyimpan maklumat”. Selain menjadi istilah dalam

bidang teknologi maklumat dan komputer, cakera juga menjadi istilah dalam beberapa

bidang lain seperti kejuruteraan, komunikasi massa, dan perubatan dengan mendukung

makna yang khusus.

disket (diskette)

Salah satu istilah penting dalam bidang komputer ialah disket. Disket dijelaskan maksud

sebagai “alat berbentuk empat segi, ringan dan mudah dibawa, yang biasanya dapat

menyimpan komputer dalam kuantiti kecil” (Kamus Pelajar Edisi Kedua, 2016). Disket

juga dirujuk sebagai cakera liut. Pertama kali disket dicatatkan dalam Kamus Dewan

(1994) dengan entri kepingan magnetik daripada plastik yang digunakan untuk

merakamkan data dan sebagainya dengan komputer.

5
Namun demikian, dengan perkembangan teknologi komputer sekarang, istilah tersebut

kurang digunakan dalam bidang tersebut kerana terdapat beberapa peranti lain yang

dapat menyimpan data dalam kuantiti lebih besar, seperti pemacu pena (pen drive).

Oleh sebab tidak ada kata padanan yang sesuai dalam bahasa Melayu untuk merujuk

konsep tersebut, maka kata diskett dipinjam daripada bahasa Inggeris untuk

mengungkapkan konsep tersebut. Kata diskette dipinjam dengan penyesuaian ejaan

(diskette>disket) dalam bahasa Melayu dan pertama kali dicatatkan dalam Kamus

Dewan (1994).

Apakah diskette kata asli Inggeris? Apabila ditelusuri asal usul kata tersebut, didapati

kata dasar disc sebenarnya berasal daripada kata Latin, discus (Julia Cresswell, dalam

Oxford Dictionary of Word Origins, 2010). Kemudian, kata tersebut dipinjam ke dalam

bahasa Inggeris untuk menjadi disc. Di Amerika pula disk dieja sebagai disc. Kata disk

pula diberikan imbuhan akhiran ette untuk membentuk kata baharu diskette (disk+ette)

dalam bahasa Inggeris dan pertama kali direkodkan pada tahun 1973.

kluj (kludge)

Barangkali ramai tidak mengenal kata kluj kecuali mereka yang berkecimpung dalam

dunia komputer. Kluj belum lagi dimasukkan pun dalam kamus-kamus umum, seperti

Kamus Dewan. Menurut Kamus Komputer (2002), kluj bermaksud “ kumpulan

komponen tidak sepadan yang telah digabungkan menjadi satu sistem”. Sementara itu,

A Dictionary of Computer Science (2016) menerangkan kluj sebagai mekanisme yang

bukan bijak tetapi merupakan sejenis perisian yang berkesan. Kluj sebagai perisian

6
digunakan dalam bidang komputer untuk menyelesaikan masalah sulit secara pantas

melalui pengaturcaraan (The Hackers Dictionary of Computer, 1991) .

Kata kludge tercipta dalam bahasa Inggeris pada tahun 1960 berdasarkan acuan kata

bodge dan fudge (Oxford Dictionary). Kata ini, menurut A Hackers Dictionary of

Computer (1991) pula, berasal daripada kata Jerman, klug (yang bermaksud bijak).

Kata tersebut dieja dalam bahasa Inggeris sebagai kludge. Walau bagaimanapun, kata

kluj belum lagi dicatatkan dalam Kamus Dewan, seperti yang dijelaskan pada awal.

Kata ini sudah dientrikan sebagai istilah komputer sejak tahun 1993 lagi dalam bahasa

Melayu.

kursor (cursor)

Salah satu istilah asas dan penting dalam bidang komputer ialah kursor. Kursor

umumnya diertikan sebagai penunjuk kedudukan pada skrin paparan. Kamus Komputer

menerangkan kursor sebagai “aksara yang digunakan sebagai penanda kedudukan

aksara masa kini pada papan tabir paparan video”. Dictionary of Computer and Internet

Words (2001) pula menjelaskan kursor sebagai penanda cerah dan berkelip yang

menandakan kedudukan aksara dan pada kedudukannya sesuatu aksara boleh

dimasukkan, ditukar atau dihapus.

Kata kursor dipinjam daripada kata Inggeris cursor sebagai istilah dalam Teknologi

Maklumat sekitar tahun 1990-an. Pertama kali, kata tersebut dicatat dalam Kamus

Dewan (1994) dengan maksud “aksara yang digunakan sebagai penanda kedudukan

7
semasa pada tabir paparan komputer”. Walaupun kursor merupakan kata pinjaman

Inggeris, namun cursor sebenarnya berasal daripada kata Latin, cursor yang

bermaksud “runner” atau budak suruhan (errand-boy). Kursor pula digunakan dalam

konteks komputer bermula tahun 1967 dalam bahasa Inggeris (Online Etymology

Dictionary).

modem (modem)

Umumnya, modem difahami sebagai sejenis peranti yang digunakan untuk

membolehkan komputer berhubung antara satu sama lain melalui talian. telefon

(Kamus Dewan, 2005). Kamus Komputer mentakrifkan modem sebagai “peranti

elektronik yang terdiri daripada pemodulat dan penyahmodulat isyarat yang

membolehkan data dari sebuah komputer dihantar ke komputer lain melalui talian”.

Istilah modem dipinjam ke dalam bahasa Melayu sekitar 1990-an daripada kata

Inggeris, modem. Pertama kali istilah modem dicatatkan dalam Kamus Dewan (1994).

Moden berasal daripada kata Inggeris, modem. Apabila dijejaki asal usul kata modem,

didapati kata modem dicipta sekitar tahun 1937 berdasarkan pembentukan kata baharu

dengan menggunakan awalan kata modulator-demodulator (mo+dem) (Online

Etymology Dictionary).

output (output)

Lazimnya, output membawa pengertian “hasil keluaran” atau “keluaran”. Dalam bidang

teknologi maklumat dan komputer, output pula bererti “data yang diproses” dan “hasil

daripada pengerjaan tugas” (Kamus Komputer). Kata tersebut muncul dalam bahasa

8
Melayu sekitar tahun 1990-an apabila dipinjam daripada kata Inggeris output. Hal ini

bermakna kata tersebut dipinjam bulat-bulat, iaitu termasuk bentuk dan maknanya

sekali. Pertama kali, kata output dicatatkan dalam Kamus Dewan (1994).

Kata output terbentuk dalam bahasa Inggeris hasil daripada gabungan kata out dan put

(out+put) untuk mendukung makna tersendiri pada tahun 1839. Makna komputernya

(iaitu tenaga yang dihasilkan oleh peranti atau sistem) ditambah mulai tahun 1884

(Online Etymology Dictionary). Kini, istilah output menjadi istilah dalam bidang

matematik, perhutanan, sains politik dan beberapa bidang lain, selain bidang komputer

dan teknologi maklumat.

port (port)

Umumnya, kata port dalam bahasa Inggeris bermaksud “pelabuhan” dalam bahasa

Melayu. Di samping itu, kata port juga digunakan sebagai kata pinjaman dalam bidang-

bidang tertentu untuk mendukung makna yang khusus. Dalam bidang komputer pula,

port bermaksud “pangkal atau hujung saluran penghantaran” (Kamus Komputer).

Didapati kata port dipinjam bentuk dan ejaannya sekali gus dalam bahasa Melayu

sebagai istilah khusus dalam bidang komputer. Kata port dengan maksud “pangkal atau

hujung sesuatu saluran penghantaran” dimasukkan dalam Kamus Dewan (1994).

Apabila diteliti asal usul kata port, didapati ada beberapa maksud port. Antaranya

termasuk pintu masuk daripada kata Latin porta yang bermaksud “pintu masuk”

(Complete Word Finder, 1994).

9
.

zum (zoom)

Kata zoom secara umumnya bermaksud membesarkan saiz sesuatu. Dalam bidang

komputer, istilah zum ditakrifkan sebagai “kaedah menukar jarak tumpu subjek untuk

mendapatkan saiz imej yang besar atau kecil dengan menggunakan kanta zum”

(Kamus Komputer). Sementara itu, Dictionary of Computing (2009), zoom ditakrifkan

sebagai “to enlarge an area of textor graphics to make it easier to work on.”

Kata zum dalam bahasa dipinjam daripada kata Inggeris, zoom untuk membawa

beberapa maksud. Kata zum sebagai istilah komputer dicatatkan pada tahun 1993

dalam Istilah Komputer, terbitan DBP. Namun, pertama kali kata zum dicatatkan

sebagai kosa kata Melayu dalam Kamus Dewan (2005). Dewasa ini, zum juga

digunakan sebagai istilah dalam bidang kejuruteraan dan komunikasi masa. Terdapat

beberapa istilah generik zum, termasuk zum dekat, zum jauh, zum masuk dan zum

keluar. Pernah zum jauh pernah digunakan seawal tahun 1988 dalam buku “Projektor

Bersuara 16MM” (Korpus DBP).

Demikianlah perbincangan asal usul dan sejarah beberapa istilah terpilih bahasa

Melayu dalam bidang komputer dan teknologi maklumat. Kemasukan istilah-istilah

tersebut telah sesungguhnya memperkaya kosa kata Melayu untuk membicarakan ilmu

komputer dengan berkesan dan tepat dalam bahasa Melayu. Justeru, peminjaman kosa

kata baharu ke dalam bahasa Melayu, khususnya dalam bidang-bidang yang belum

istilah padanan dalam bahasa Melayu merupakan langkah yang wajar dan patut

10
diteruskan dalam bidang-bidang ilmu lain, khususnya yang kekurangan istilah yang

sesuai.

11

Anda mungkin juga menyukai