Anda di halaman 1dari 12

LINGUISTIK ANTROPOLOGI: KAJIAN

HUBUNGAN ANTARA BAHASA DAN


BUDAYA
S. NATHESAN

Umumnya, linguistik difahami sebagai kajian tentang bahasa secara saintifik manakala

antropologi pula sebagai kajian terhadap budaya. Kedua-dua bidang antropologi dan

linguistik sudah lama berkembang sebagai disiplin ilmu yang tersendiri di Amerika dan

Eropah. Bagaimana pula dengan linguistik antropologi, iaitu kajian gabungan bidang

antropologi dan linguistik? Adakah bidang ini mengkaji kedua-dua bidang antropologi

dan linguistik sekali gus, atau mengkaji gabungan kedua-dua bidang sebagai satu

bidang kajian?

Kini, linguistik antropologi merupakan suatu disiplin ilmu yang tersendiri dalam ilmu

linguistik. Teo Kok Seong (1997) dalam ‘Linguistik Antropologi: Satu Penelitian Teoritis’

(JDB 41:3) menerangkan linguistik antropologi sebagai suatu bidang dalam disiplin

linguistik dan berkembang dalam bidang tersebut.

Pertindihan dengan Bidang Lain

Bidang linguistik antropologi merupakan ilmu antara disiplin, dan bidang ini memperoleh

banyak manfaat daripada beberapa bidang, terutamanya daripada ilmu linguistik dan

antropologi. David Crystal (1991) pula berpendapat bahawa bidang ini bertindih dengan

1
ilmu etnolinguistik dan sosiolinguistik. Etnolinguistik ialah bidang linguistik antropologi

yang berkaitan dengan kajian bahasa kumpulan etnik tertentu dan hubungan antara

bahasa dan budaya (collinsdictionary.com) manakala sosiolinguistik ialah kajian semua

aspek hubungan antara bahasa dan masyarakat (Kamus Linguistik (1997).

Menurut Teo (1997), terdapat pertindihan antara sosiolinguistk dan linguistik

antropologi. Walaupun kedua-dua bidang tersebut meneliti fungsi yang dimainkan oleh

bahasa, namun fokus fungsi adalah berbeza. Sosiolinguistik memberikan tumpuan

terhadap aspek sosial dalam bahasa manakalah linguistik antropologi pula menekankan

perspektif budaya dan menganggap bahasa sebagai sebuah institusi budaya.

Sementara itu, Pagliai Valentia (2012) berpendapat bahawa linguistik antropologi

bertindih dengan subbidang antropologi sosiobudaya, antropologi biologi dan arkelogi.

Pada mulanya, bidang linguistik antropologi dikenali sebagai etnolinguistik, terutamanya

pada tahun 1940 dan awal 1950-an. Sebenarnya pada waktu tersebut, istilah

etnolinguistik amat popular digunakan untuk merujuk bidang linguistik antropologi di

Eropah, walaupun istilah itu kurang terkenal di Amerika Syarikat pada masa tersebut

(Duranti, 1997).

Walau bagaimanapun, kini etnolinguistik berdiri sebagai disiplin ilmu yang tersendiri.

Kamus Linguistik (1997) mendefinisikan etnolinguistik sebagai cabang linguistik

antropologi yang mengkaji sikap penutur terhadap bahasanya, khususnya bentuk yang

digunakan untuk mewujudkan keakraban dan prestij.

2
Bidang linguistik antropologi (linguistic antropologi) ini juga ada kalanya disebut sebagai

antropologi linguistik (anthropological linguistics). Didapati kedua-dua istilah merujuk

bidang yang sama dalam bahasa Inggeris. Misalnya, David Crystal (1991) merujuk

bidang ini sebagai antropologi linguistik dan mentakrifkan bidang ini sebagai cabang

linguistik yang mengkaji variasi bahasa dan penggunaan berhubung dengan corak serta

kepercayaan budaya manusia, dan menggunakan teori dan kaedah antropologi. The

World Book Encyclopedia (1992) pula menjelaskan bahawa antropologi linguistik

meneliti cara orang daripada pelbagai budaya menggunakan bahasa.

Oxford Concise Dictionary of Linguistics (1997) menerangkan antropologi linguistik

sebagai kajian terhadap bahasa-bahasa yang kurang dikenali melalui lapangan kerja

dan diusahakan dari sudut pandangan antropologi tentang penggunaan bahasa dalam

adat resam, perbendaharaaan kata yang ada hubung kait dengan penggunaan bahan-

bahan objek (material objects).

Menurut Teo (1997), kedua-dua bidang antropologi linguistik dan linguistik antropologi

adalah berlainan kerana kedua-dua bidang tersebut wujud dan berkembang dalam

disiplin-disiplin ilmu yang berbeza. Walaupun kedua-dua bidang itu berbeza, namun

kedua-duanya saling bertindih antara satu sama lain dalam orientasi penelitaan, ujar

beliau.

Selain itu, didapati antropologi linguistik dan linguistik antropologi bertindih kerana minat

dan hubung kait antara kedua-duanya. Antropologi linguistik menganggap bahawa

3
faktor budaya tidak diboleh dipisahkan dalam penelitian bahasa. Demikian juga bahasa

merupakan faktor yang harus diambil kira dalam perbincangan tentang kehidupan

manusia dalam kajian linguistik antropologi.

Walau bagaimanapun, didapati istilah linguistik antropologi lebih gemar digunakan oleh

ahli-ahli bahasa dewasa ini untuk merujuk disiplin ilmu ini. Sebenarnya pada awalnya,

bidang ini dirujuk sebagai antropologi linguistik tetapi mulai tahun 1970-an bidang ini

sudah mula dirujuk sebagai linguistik antropologi dan seterusnya menjadi rujukan

utama bagi bidang tersebut.

Dalam The World Book Encyclopedia dijelaskan juga bahawa kedua-dua bidang

tersebut merupakan cabang utama dalam ilmu antropologi dan turut bertindih antara

satu sama lain. Sama ada bidang tersebut digelar sebagai linguistik antropologi atau

antropologi linguistik, kedua-dua bidang itu merupakan subbidang antropologi yang

memberikan tumpuan terhadap impak kontektual bahasa terhadap masyarakat dan

bahasa (Valentia Pagliai, 2012).

Definisi Konsep

Dell Hymes (1963:277) dalam Objectives and Concepts of Linguistic Anthropology

mentakrifkan menjelaskan bahawa linguistik antropologi sebagai subbidang utama

dalam bidang antropologi kerana bidang ini mengkaji ujaran (speech) dan bahasa

dalam konteks antropologi. Kamus Linguistik (1997) pula menerangkan linguistik

antropologi sebagai linguistik yang menerapkan teknik penyelidikan antropologi dan

4
linguistik untuk mengkaji bahasa komuniti yang tidak mempunyai sistem tulisan dan

tradisi persuratan. Encyclopaedia Britannica

(https://www.britannica.com/science/anthropological-linguistics ) menerangkan

antropologi linguistik sebagai kajian hubungan antara bahasa dan budaya. Lazimnya,

kajiannya dilakukan terhadap bahasa-bahasa yang tidak ada tradisi persuratan.

Trask (1998) dalam Key Concepts in Language and Linguistics menjelaskan bahawa

linguistik antropologi ialah kajian tentang hubungan antara bahasa dan budaya. Ben G.

Blount (2009) pula dalam Culture and Language Use menganggap linguistik antropologi

sebagai bidang kajian bahasa dari segi sudut antropologi. Beliau menganggap linguistik

antropologi sebagai subbidang antropologi yang memberikan tumpuan utama terhadap

bahasa.

Menurut Duranti (1997), linguistik antropologi haruslah dilihat sebagai sebahagian

daripada bidang antropologi yang luas kerana bidang ini meneliti bahasa melalui lensa

pemerhatian antropologi. Sementara itu, The World Book Encyclopedia menjelaskan

bahawa linguistik antropologi menganalisis cara-cara bahasa digunakan oleh

masyarakat yang berlainan dalam dunia manakala ahli-ahli antropologi linguistik cuba

meneliti hubungan antara bahasa orang dan aspek-aspek lain budaya mereka.

Contohnya, dalam bahasa Indonesia banyak kenyataan memuatkan rujukan tentang

status sosial orang yang disapa. Penggunaan bahasa seumpama ini memperlihatkan

kepentingan kelas sosial yang diberikan dalam budaya Indonesia.

5
Matlamat Kajian Linguistik Antropologi

Teo (1997) berpendapat bahawa terdapat dua pandangan tentang matlamat bidang

linguistik antropologi. Pertama ialah pandangan bahawa linguistik antropologi

menganggap bahasa sebagai sistem budaya itu sendiri dan pandangan kedua bahawa

bahasa hanya sebahagian daripada sistem budaya. Demikianlah dua pandangan

ekstrem yang dijelaskan oleh Teo.

Marcel Daniesi (2008) dalam Linguistic Anthropology: A Brief Introduction menjelaskan

bahawa matlamat kajian linguistik antropologi adalah untuk mengkaji bahasa dengan

mengumpul data secara langsung melalui kaedah etnografi atau pemerhatian peserta

yang berkaitan dengan struktur bahasa dan cara bahasa tersebut memaklumkan

budaya tertentu. W.O. Beeman (2012) dalam ‘Linguistics and Anthropology’ (dlm. Ruth

Kempson, et.al. Philosphy of Language) pula menjelaskan bahawa fokus utama

linguistik antropologi adalah terhadap cara bahasa digunakan dalam kehidupan sosial

dan budaya orang dalam masyarakat yang berbeza-beza. Sebagai bidang ilmu,

linguistik antropologi berminat terhadap cara bahasa mempengaruhi budaya. Hal ini

termasuk cara bahasa memberik impak kepada interaksi sosial, kepercayaan, identiti

budaya dan aspek-aspek budaya yang lain.

Ruang Lingkup Kajian Linguistik Antropologi

Oleh sebab pertindihan bidang ini dengan beberapa bidang lain, maka cakupan kajian

dalam bidang ini adalah cukup meluas. Skopnya termasuk hal-hal seperti yang berikut:

6
i. sistem kekerabatan

ii. taksonomi rakyat

iii. istilah-istilah warna

iv. metafora

v. bahasa formal dan tidak formal termasuk hina-menghina dan gurau senda

vi. hubungan bahasa dan mitos

vii. sistem sapaan yang diamalkan oleh masyarakat serta sistem memberikan nama

bagi orang dan tempat

viii. layanan terhadap ruang dan masa

ix. pernyataan tentang perbezaan jantina

x. perbezaan sosial dalam pertuturan, dan struktur naratif.

(Disesuaikan daripada Key Concepts in Language and Linguistics (1999) oleh R.L.Trask)

Selain berminat untuk meneliti aspek-aspek yang tertera di atas, didapati ahli-ahli

linguistik antropologi juga turut menunjukkan minat untuk menganalisis struktur bahasa

yang belum ada tradisi persuratan yang tersendiri. Sebenarnya, bidang linguistik

antropologi berkembang berdasarkan kajian bahasa-bahasa peribumi masyarakat India

Amerika yang belum ada tradisi persuratan mereka sendiri.

Bidang Antara Disiplin

Linguistik antropologi dianggap sebagai bidang antara disiplin kerana memperoleh

banyak manfaat daripada bidang-bidang lain, khususnya bidang linguistik dan

antropologi. Lagi pun, kedua-dua bidang tersebut merupakan cabang kedua-dua

antropologi dan linguistik. Namun, bidang linguistik antropologi kini berdiri sebagai

7
disiplin ilmu yang tersendiri. Jelaslah bahawa pada hari ini linguistik antropolologi

melihat bahasa melalui lensa budaya dan tingkah laku daripada lensa formal dan

kognitif.

Walaupun, linguistik antropologi menonjolkan diri dengan ciri-ciri formal fonetik,

fonemik, morfemik dan sintaksis, serta kemahiran kognitif yang diperlukan untuk

komunikasi linguistik, namun persoalan pentingnya terletak pada cara bahasa

digunakan dalam kehidupan sosial dan kebudayaan orang yang ada dalam masyarakat

yang berbeza-beza. Linguistik antropologi juga mengambil berat tentang persoalan

yang luas mengenai bagaimana bahasa berkembang sebagai sebahagian daripada

himpunan kemahiran biologi manusia dan penyesuaian tingkah laku manusia (Beeman,

W.O, 2012).

Ada juga pandangan bahawa linguistik antropologi merupakan bidang kajian antara

bidang dengan etnografi atau yang dikenali sebagai etnografi komunikasi (ethnography

of communication). Etnografi diertikan sebagai cabang antropologi yang berkaitan

dengan pemerian saintifik tentang masyarakat manusia (Kamus Dewan, 2016)

manakala etnografi komunikasi didefinisikan oleh Crystal (1991) sebagai cabang

linguistik yang mengkaji bahasa dalam hubungan siasatan terhadap jenis-jenis etnik

dan tingkah laku. Menurut Crustal, bidang ini sebenarnya bertindih dengan linguistik

antropologi dan sosiolinguistik.

Sejarah Ringkas Perkembangan Linguistik Antropologi

8
Apabila disoroti sejarah perkembangan bidang linguistik antropologi, didapati

permulaannya dapat dikesan di Amerika Syarikat dan Kanada pada akhir abad ke-19

sebagai salah satu daripada empat bidang antropologi Amerika Utara (Duranti, 2007).

Sebenarnya, ilmu linguistik antropologi bercambah berdasarkan bahasa-bahasa yang

dituturkan oleh orang Red Indian di Amerika Syarikat pada awal abad ke-19. Franz

Boas mempelopori kajian tentang bahasa-bahasa peribumi Amerika Syarikat lalu

meletakkan asas bagi kajian antropologi. Boas juga dikenali sebagai Bapa Antropologi

Amerika dan Bapa Antropologi Moden.

Kemudian, anak murid Boas, iaitu Edward Sapir (1884-1939) meneruskan kajian

tentang sistem nahu dan implikasi potensi bagi kajian budaya. Sapir pula kemudian

melahirkan beberapa orang pakar penyelidikan tentang bahasa-bahasa orang asli

Amerika, termasuk Benjamin Lee Whorf (1897-1941) yang mempelopori pendekatan

Hipotesis Whorfian pada tahun 1930-an. Pendekatan itu juga dikenali sebagai hipotesis

relativiti bahasa (hipotesis linguistic relativity) yang kemudian diiktiraf oleh Sapir sendiri.

Pada masa itu, belum ada tradisi persuratan tentang bahasa yang dituturkan oleh

orang-orang asli Amerika. Kajian bahasa orang India Amerika telah muncul sebagai

bahagian penting dalam penyelidikan antropologi pada masa itu dan bahasa-bahasa

orang asli Amerika itu kelihatan pupus akibat penjajahan orang-orang Eropah di

Amerika Utara. Ketika itu, tumpuan kajian linguistik antropologi adalah terhadap hal

mendokumentasi bahasa orang-orang peribumi di Amerika Utara dan stuktur nahunya.

Tegasnya, permulaan tradisi persuratan bagi bahasa-bahasa asli Amerika.

9
Di Amerika Syarikat, hubungan rapat antara antropologi dan linguistik berkembang

akibat kajian yang dilakukan oleh ahli-ahli antropologi terhadap budaya dan bahasa

orang India Amerika. Dikatakan bahawa bidang linguistik lahir di Amerika Syarikat

akibat pengaruh bidang antropologi yang diusahakan ahli-ahli antropologi seperti Boas

dan Sapir. Di Britain, ahli linguist yang terkenal J.R. Firth pula telah dipengaruhi oleh

ahli antropologi B. Malinowski yang kemudian mempelopori bidang antropologi pada

awal abad ke-19.

Sebenarnya, Boas telah meninggalkan legasi yang amat berharga tentang linguistik

antropologi bagi ahli-ahli bahasa. Menurut Trask (1998), Boas berpendapat bahawa

perlu untuk mempelajari bahasa orang asli Amerika yang dikaji mereka kerana

menyedari bahawa bahasa-bahasa tersebut membekalkan maklumat penting tentang

budaya yang diteliti pengkaji pada masa itu. Pada akhir abad ke-19, Boas

menekankan kepentingan bahasa-bahasa Amerika asli sebagai wajib dalam kajian

antropologi.

Sejak beberapa dekad kebelakangan ini, bidang linguistik antropologi sudah mengalami

perubahan drastik (Duranti, 2007). Pada tahun-tahun 1950-an, ahli-ahli linguistik

antropologi mula beralih kepada kajian penggunaan bahasa dalam konteks sosial dan

budaya. Tempoh antara 1970-1990 pula menyaksikan linguistik antropologi lebih

menaruh perhatian kepada perkembangan model yang lebih canggih untuk interaksi

bahasa dan kehidupan sosial. Sosiolinguistik, yang bermula pada tahun 1950-an adalah

10
suatu bidang berkehendak berfaedah dalam aktiviti baharu yang dianuti oleh linguistik

antropologi. Ini kemudian berkembang menjadi satu aktiviti baharu yang disebut

etnografi komunikasi yang dipelopori oleh Dell Hymes dan John Gumperz, dua orang

perintis dalam bidang tersebut. Istilah etnografi komunikasi yang dicipta oleh Dell

Hymes pada tahun 1970 dijelaskan oleh Hymes sebagai tingkah laku dalam konteks

budaya.

Kesimpulannya, linguistik antropologi merupakan bidang yang bersifat pelbagai dan

rencam kerana bertindih dengan beberapa bidang ilmu lain, seperti yang dihuraikan

dalam perbincangan ini. Dalam pada itu, linguistik antropologi mengkaji bahasa dan

cara bahasa tersebut digunakan orang untuk memahami budaya. Bidang ini juga

berminat untuk mengetahui kewujudan bilangan banyak bahasa dan cara bahasa-

bahasa tersebut tersebar luas merentasi dunia serta hubungan kontemporari dan

sejarah antaranya. Ahli linguistik antropologi juga berminat tentang variasi bahasa dan

maksudnya apabila digunakan dalam pelbagai konteks.

Bidang linguistik antropologi kini sudah mula berkembang sebagai suatu subbidang

linguistik yang tersendiri di beberapa buah negara dunia, termasuk di Malaysia.

Walaupun kajian linguistik antropologi tidaklah rancak di Malaysia, namun kepentingan

kajian linguistik antropologi tidak boleh dikesampingkan. Barangkali sifat kompleks

bidang ini menyebabkan ramai pengkaji tidak berminat untuk menceburi bidang ini.

Namun demikian, kajian linguistik antropologi harus dan wajarlah diberi pertimbangan

oleh ahli-ahli bahasa dan pengkaji bahasa memandangkan kepentingannya dalam

11
kajian bahasa, khususnya dalam hal meneliti budaya manusia dari sudut pandangan

bahasa.

12

Anda mungkin juga menyukai