Anda di halaman 1dari 3

Pemerdagangan manusia: Ada unsur tarikan

http://www.sinarharian.com.my/semasa/pemerdagangan-manusia-ada-unsur-tarikan-1.199917

MELAKA - Pemerdagangan manusia menular menjadi 'epidemik' di seluruh dunia ekoran


pulangan lumayan hasil daripada kegiatan jenayah memalukan itu khususnya membabitkan
wanita dan kanak-kanak.

Menurut laporan Jabatan Negara Amerika Syarikat mengenai pemerdagangan manusia Jun lepas,
dianggarkan 27 juta orang menjadi mangsa pemerdagangan pada bila-bila masa tetapi hanya
40,000 mangsa atau 0.001 peratus dikesan.

Untuk mencari 'penyembuh' kepada penularan 'epidemik' ini, orang ramai perlu dididik, respons
kerajaan perlu ditingkatkan dan masyarakat perlu sentiasa peka, namun Koordinator Residen
Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) Michelle Gyles-McDonnough berkata: "Kita perlu
lakukan lebih banyak lagi daripada sekadar menangani faktor penarik dan penolak
permerdagangan manusia."

Gyles-McDonnough, yang juga Wakil Residen Program Pembangunan PBB ke Malaysia,


Singapura dan Brunei, berkata faktor penolak sosio-ekonomi seperti kemiskinan, ketidaksamaan
gender, peluang kerja terhad dan kekurangan maklumat perlu ditangani.

Faktor penarik pula ialah permintaan global terhadap perkhidmatan dan buruh murah menjadi
pemacu jenayah kompleks ini yang memerangkap jutaan mangsa untuk bekerja dalam sektor
yang membayar upah murah atau tiada upah langsung seperti pertanian, pembuatan, pembantu
rumah dan industri pelacuran.

"Sering kali orang muda, wanita dan kanak-kanak menjadi mangsa jenayah ini dalam usaha
mereka sendiri atau keluarga untuk mencari pekerjaan untuk menampung kehidupan dan mencari
peluang untuk memajukan diri sendiri.

"Dalam kes ini, mereka diperdaya untuk menjadi buruh atau dieksploitasi secara seksual," kata
diplomat kelahiran Jamaica itu kepada Bernama semasa ditemui di luar Persidangan
Antarabangsa mengenai Pemerdagangan Wanita dan Kanak-kanak di sini.

Persidangan lima hari anjuran Yayasan Belia Dunia itu yang berakhir semalam dihadiri 91
peserta dari 15 negara termasuk Amerika Syarikat, United Kingdom, Singapura, Thailand dan
Malaysia.

Gyles-McDonnough berkata amalan dan nilai sosial yang telah berakar umbi turut memudahkan
lelaki, wanita dan kanak-kanak menjadi mangsa pemerdagangan, menjadi sasaran mudah kepada
penjenayah yang berniat mengaut laba daripada harapan individu berkenaan untuk mencari
kehidupan lebih baik.

Merekrut atau mengeksploitasi orang yang tidak berdaya amat mudah serta kurang berisiko
dikesan, manakala kanak-kanak mudah menjadi sasaran kerana kurang matang dan tidak mampu
membuat keputusan sendiri.
"Kanak-kanak bergantung kepada penjaga mereka yang mungkin sering mengabaikan mereka,
dan berikutan mereka kurang pengalaman, dan juga mudah mempercayai sesorang, ini
dipergunakan oleh penjenayah untuk mengeksploitasi mereka," kata Gyles-McDonnough.

Beliau berkata dalam kebanyakan masyarakat, wanita kurang diperkasakan berbanding lelaki dan
ini dapati dilihat daripada segi ketidaksamaan gender, akses kepada kesaksamaan dalam sistem
keadilan serta daripada segi memproleh hak asasi dan sosial.

Daripada segi risiko menjadi mangsa penjenayah, ini dapat dilihat daripada hakikat kekuatan
fizikal, yang menjadikan wanita dan kanak-kanak lebih mudah dieksploitasi berbanding lelaki
menerusi kekerasan atau ugutan.

"Migran merupakan satu lagi kumpulan yang mudah menjadi sasaran, yang mencari peluang di
luar negara untuk memperbaiki kehidupan, termasuk migran yang baru tiba yang sering tanpa
ditemani anggota keluarga terdekat, kawan atau rangkaian sokongan lain.

"Bakal migran mungkin terlalu teruja untuk mencari peluang kerja, dan sering tertekan untuk
mendapatkan kerja dengan cepat. Dan juga terdapat kumpulan lain yang juga mudah menjadi
sasaran seperti remaja, pelarian, orang kelainan upaya dan miskin," katanya.

Mengenai tindakan PBB untuk membanteras pemerdagangan manusia, Gyles-McDonnough


berkata pertubuhan itu secara berterusan menggesa dan menyokong kerjasama global untuk
tindakan dan juga sentiasa memberikan respons efektif di peringkat serantau, sub-rantau dan
kebangsaan.

"Protokol PBB untuk menghukum, mencegah dan membanteras pemerdagangan manusia


terutamanya wanita dan kanak-kanak atau Protokol TIP, merupakan kunci utama kami dalam
usaha memerangi jenayah memalukan ini, mengikut kedaulatan undang-undang.

"Ia melengkapi konvensyen PBB dalam membanteras jenayah terancang merentas sempadan dan
merupakan instrumen undang-undang di peringkat global dalam mendefinisikan pemerdagangan
orang dan selaras dengan Protokol TIP, 134 negara dan wilayah di seluruh dunia telah
mengambil ketetapan bahawa sebarang bentuk pemerdagangan manusia adalah satu jenayah,"
katanya.

Beliau juga memuji usaha Malaysia dalam memerangi kegiatan pemerdagangan orang dengan
mengguna pakai Protokol TIP pada 2009, dan melaksanakan tindakan peringkat kebangsaan
dengan menguatkuasakan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran
2007.

Menerusi akta itu diwujudkan Majlis Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan
Migran (MAPO) bagi memantau pelaksanaan akta itu dan untuk merumuskan dasar-dasar dan
program-program untuk memerangi pemerdagangan manusia.
"Penubuhan badan seperti itu bukan sahaja penting tetapi juga perlu kerana penguatkuasaan dan
pelaksanaan undang-undang yang efektif amat penting untuk memerangi jenayah yang kompleks
dan amat sukar ini.

"Bagaimanapun, masih banyak yang perlu dilakukan di sini dan di seluruh dunia. Agensi-agensi
PBB bersedia membantu usah-usaha kerajaan dalam memperkukuhkan kapasiti nasional untuk
memerangi pemerdagangan orang, daripada segi mengenal pasti mangsa sehingga kepada
pengumpulan bukti dan pendakwaan individu terbabit jenayah itu," katanya. - Bernama

Anda mungkin juga menyukai